You are on page 1of 2

GAYA HIDUP SIHAT Setiap orang yang hidup di dunia ini mempunyai gaya hidup yang tersendiri kerana

manusia dibesarkan dan dididik dalam keadaan berlainan oleh orang yang berbeza. Ada yang hidup dalam keadaan yang selesa dan sempurna, dan ada pula di sebaliknya. Jika kita perhatikan manusia di sekeliling kita, kita akan nampak pelbagai gaya hidup. Ada yang sihat, dan kurang sihat pada pandangan kita. Gaya hidup yang sihat membawa kebaikan kepada kita kerana jika kita mengamalkannya sepanjang masa, hidup kita akan menjadi lebih bahagia dan gembira. Antara gaya hidup yang baik kepada kita ialah mengelakkan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan mendatangkan penyakit seperti merokok, minum arak dan mengambil dadah sama ada dalam dos yang sedikit atau banyak. Selain daripada itu, kita harus memberi perhatian kepada pemakanan kita kerana pemakanan yang baik boleh membekalkan vitamin dan mineral untuk menguatkan pertahanan tubuh kita. Makanan yang tidak berkhasiat walaupun enak dimakan seperti makanan segera dan daging bergoreng hendaklah dikurangkan. Buah-buahan, sayur-sayuran dan daging putih bolehlah disenaraikan sebagai makanan yang baik. Di samping itu, orang yang gaya hidupnya sihat akan prihatin terhadap masa rehat dan masa tidurnya. Tempoh tidur yang cukup iaitu antara enam hingga lapan jam akan memberi peluang kepada tubuh kita untuk membina sel-sel baru. Proses metabolisme dapat dijalankan dengan lancar. Tambahan pula, berehat daripada sebarang pekerjaan pula dapat mengurangkan tekanan dan menenangkan tubuh. Pada masa yang sama, kita boleh melakukan senanam ringan. Seterusnya, kita harus sentiasa berfikiran optimis tentang diri kita dan masa depan kita. Apabila usaha yang kita buat bertemu kegagalan, janganlah mudah mengaku kalah. Apabila kita berdepan dengan masalah, janganlah mudah hilang akal. Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa setiap masalah ada penyelesaiannya. Kita patut yakin bahawa setiap kejadian yang berlaku kepada kita ada hikmahnya. Selain itu, kebersihan dari segi mental, fizikal dan persekitaran hendaklah sentiasa dijaga. Mental kita boleh dibersihkan melalui amalan ajaran agama yang baik. Perkara yang boleh merosakkan mental seperti laman lucah hendaklah dielakkan. Mandi, memakai pakaian bersih, dan mencuci tangan pula adalah antara cara menjaga kebersihan fizikal. Kebersihan rumah, halaman rumah dan alam sekitar juga hendaklah dijaga. Sesungguhnya terdapat banyak perkara yang perlu kita berikan perhatian untuk hidup dalam keadaan yang sihat. Hampir kesemua perkara tersebut berpunca daripada diri kita sendiri. Kita adalah orang yang bertanggung jawab menentukan gaya hidup kita dan bukannya orang lain. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan gaya hidup yang sihat.