You are on page 1of 7

NAMA : NO MATRIK: KURSUS:

HASLINDA BT ZAIMI M20092001149 ETIKA DAN PERUNDANGAN DALAM

KAUNSELING/KKP 6023 PENSYARAH: DR.MOHAMMAD NASIR BIN BISTAMAM

TAJUK 3
BATAS HUBUNGAN DAN KEPELBAGAIAN HUBUNGAN

PENGENALAN Persoalan mengenai etika sering ditimbulkan apabila kaunselor mencampur-adukkan hubungan professional dengan klien dengan jenis hubungan yang lain. Dual atau multiple relationships berlaku apabila kaunselor memainkan dua atau lebih peranan kepada klien pada masa yang sama. Ia mungkin melibatkan lebih dari satu peranan professional seperti peranan sebagai instruktur dan terapi kepada klien atau memainkan dua peranan yang berbeza iaitu mempunyai hubungan professional dan nonprofessional dengan klien seperti sebagai rakan dan kaunselor. Banyak situasi yang menyukarkan bagi kaunselor untuk kekal dalam hubungan professional dengan klien.

KEPELBAGAIAN HUBUNGAN Di dalam kod etika atau amalan kaunseling, ada dinyatakan dengan jelas mengenai batas hubungan antara kaunselor dan klien. Kaunselor sering berhadapan dengan masalah apabila batasan ini lemah atau kabur dan apabila mereka cuba untuk mencampuradukkan dua atau lebih peranan yang tidak sesuai seperti peranan sebagai terapi dan rakan atau peranan sebagai terapi dan rakan seperniagaan. Percanggahan peranan ini yang telah melepasi batasan hubungan teraputik boleh mendatangkan keburukan kepada klien dan seterusnya menjejaskan kredibiliti kaunselor. Terdapat pendapat yang berbeza mengenai mengenai kepelbagaian hubungan. Ada pendapat yang menyatakan bahawa walaupun hubungan kepelbagaian ini tidak selalunya mendatangkan keburukan kepada klien, namun adalah perlu bagi kaunselor untuk mengenalpasti risiko yang mungkin dihadapi yang berkaitan dengan kepelbagaian hubungan. Ini adalah kerana kesilapan dalam membuat penilaian mungkin timbul apabila ia melibatkan kepentingan atau keperluan peribadi. Selain daripada itu, hubungan ini juga cenderung untuk mengaburi penilaian kaunselor, meningkatkan potensi timbulnya konflik dan memesongkan asas konsep professional dalam hubungan teraputik dengan kaunselor. Ada yang berpendapat bahawa segala kepelbagaian hubungan dalam kaunseling adalah salah dan tidak beretika sama sekali. Mereka percaya bahawa hubungan professional dengan klien haruslah sentiasa dikekalkan kerana ia akan menjamin pemikiran serta penilaian secara objektif dan konsisten daripada kaunselor dan

penyalahgunaankuasa oleh kaunselor akan dapat dielakkan. Namun ada juga yang berpendapat bahawa kepelbagaian hubungan dalam kaunseling adalah sesuatu yang sukar untuk dielakkan dan ianya tidak semestinya menjadikan kaunselor itu tidak beretika atau professional. Walaupun kod etika kebanyakan bidang professional tidak membenarkan atau menggalakkan kepelbagaian hubungan namun jika ianya dapat dikawal dan ditangani dengan baik, ianya boleh mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

BATAS HUBUNGAN ANTARA KAUNSELOR DAN KLIEN Kaunselor haruslah sentiasa menjaga batas hubungannya dengan klien. Ini bermakna kaunselor perlu sentiasa menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan klien mengikut cara-cara yang memupuk kepentingan dan kebajikan klien melalui jalinan hubungan yang sihat untuk menjamin keberkesanan sesuatu sesi kaunseling. Ini adalah kerana hubungan yang tidak professional atau di luar batasan antara klien dan kaunselor boleh membawa kepada timbulnya isu-isu yang berkaitan dengan etika kaunseling. Sebagai contoh jika wujudnya hubungan sosial klienkaunselor, kemungkinan akan wujudnya situasi apabila klien gagal atau tidak mampu untuk membayar bagi sesi kaunseling, kemungkinan mereka akan menawarkan bayaran yang berbentuk barangan atau perkhidmatan. Sebagai contoh, seorang mekanik mungkin akan memberikan perkhidmatan membaiki kereta secara percuma kepada kaunselor untuk menggantikan bayaran bagi sesi kaunseling. Walaubagaimanapun, masalah mungkin akan timbul sekiranya klien terpaksa memberi perkhidmatan yang melebihi daripada yang sepatutnya kepada kaunselor sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati. Begitu juga jika perkhidmatan percuma membaiki kereta tidak dilakukan dengan baik oleh klien akan turut menimbulkan perasaan tidak senang di dalam hati kaunselor. Keadaan-keadaan ini secara tidak langsung boleh merosakkan suasana dan hubungan teraputik di antara kaunselor dan klien. Tambahan lagi, konflik juga mungkin akan berlaku terutama sekali jika klien memberi perkhidmatan yang berbentuk personal atau peribadi kepada kaunselor seperti membersihkan rumah dan melaksanakan kerja-kerja kesetiausahaaan yang membolehkan klien mengenali atau mengetahui kaunselor dengan lebih rapat atau peribadi.

Dalam Kod Etika Lembaga Kuanselor Bahagian A.5. Peranan dan Hubungan dengan Klien, A.5.c. Interaksi atau hubungan bukan professional (selain daripada interaksi dan hubungan seksual dan romantic) ada menyatakan bahawa hubungan bukan profosional di antara kaunselor dengan klien hendaklah dilakukan secara minimum, melainkan apabila interaksi ini berpotensi memberi manfaat kepada klien.

PENGANUGERAHAN BARANG ATAU PERKHIDMATAN OLEH KLIEN Dahulu kebanyakan kod-kod etika professional tidak mempunyai piawaian atau standard ynag spesifik tentang penganugerahan barang atau perkhidmatan (batering) oleh klien. Namun terdapat perubahan di mana pada masa sekarang kebanyakan kod etika menyatakan bahawa batering adalah satu isu yang kompleks untuk ditentukan atau ditafsirkan secara tepat. Ini adalah kerana sesetengah pihak berpendapat bahawa batering seharusnya dinilai di dalam konteks budaya. Ini adalah kerana batering adalah suatu amalan yang diterima dalam sesetengah budaya dan masyarakat. Justeru itu, sebelum sesi kaunseling melibatkan batering, kedua-dua kaunselor dan klien haruslah berbincang untuk mendapatkan pemahaman yang jelas mengenai perkara tersebut dan seterusnya mencapai persepakatan atau perjanjian agar segala salah faham akan dapat dielakkan pada masa akan datang. Namun bagitu, terdapat golongan professional yang menentang amalan batering dan menganggap ianya adalah sesuatu yang melanggar etika tidak kira dalam konteks apa jua sekalipun kerana amalan tersebut dilihat penyalahgunaan kuasa oleh kaunselor dan tidak sesuai bagi konsep kaunseling. Dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor Bahagian A: Perhubungan menolong, A.10.e. Menerima hadiah ada menyatakan bahawa kaunselor harus menyedari cabaran menerima hadiah daripada klien dan sedar bahawa di dalam sesetengah budaya, hadiah kecil adalah suatu tanda hormat dan cara untuk menyatakan rasa terima kasih. Apabila menentukan sama ada untuk menerima sesuatu hadiah daripada klien atau tidak, kaunselor hendaklah mengambil kira perhubungan teraputik, nilai kewangan hadiah, motivasi klien untuk memberi hadiah dan motivasi kaunselor untuk menerima atau menolaknya.

HUBUNGAN SOSIAL KAUNSELOR KLIEN Kepelbagaian hubungan juga melibatkan hubungan sosial antara kaunselor dan klien. Persoalan yang sering timbul apabila membincangkan isu ini ialah adakah semestinya hubungan sosial kaunselor-klien akan mengganggu hubungan teraputik dalam sesi kaunseling. Ada pendapat yang menyatakan tidak semestinya asalkan kaunselor dan klien mampu untuk menangani hubungan ini dengan baik dan mengetahui dengan jelas prioriti di dalam hubungan mereka. Mereka merasakan hubungan sosial ini adalah sesuai untuk klien yang tidak begitu terganggu emosinya dan mereka yang sedang mencari perkembangan diri kerana hubungan ini dapat lebih mewujudkan kepercayaan dan penerimaan klien terhadap kaunselor. Namun terdapat pihak yang menolak hubungan sosial kaunselor-klien. Mereka percaya bahawa kaunseling dan persahabatan tidak wajar dicampuradukkan kerana ianya boleh memberikan kesan negative terhadap proses teraputik serta hubungan sosial atau kedua-duanya sekali dan akhirnya akan menjejaskan keseluruhan proses kaunseling. Di antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan ini ialah: a) kaunselor mungkin akan mengelakkan atau mengurangkan konfrontasi dengan klien yang mempunyai hubungan sosial dengan mereka b) keperluan kaunselor agar dirinya lebih terima atau disukai oleh klien tersebut mungkin akan menyebabkan sesi kaunseling menjadi lebih selamat dan kurang mencabar untuk mengelakkan persahabatan mereka daripada terjejas c) Hubungan sosial yang terjalin mungkin akan menyebabkan kaunselor hilang objektif dalam membuat penilaian kerana dipengaruhi oleh keperluan atau sebab peribadi. Oleh itu adalah lebih baik jika kaunselor dapat sentiasa meletakkan hubungan mereka dengan klien di atas landasan professional untuk menjamin keberkesanan dan ketulenan sesi kaunseling.

ISU DAYA TARIKAN DAN HUBUNGAN SEKSUAL Isu daya tarikan dan hubungan seksual merupakan satu isu yang biasa dibincangkan dan berlaku dalam kaunseling. Di dalam kod etika kaunseling ada dinyatakan dengan jelas bahawa sebarang hubungan seksual adalah ditegah sama sekali dan melanggar etika kaunseling. Malahan ada yang berpendapat bahawa jika kaunselor mempunyai atau merasakan daya tarikan seksual terhadap klien, mereka sebenarnya telah melakukan kesalahan dalam proses teraputik. Isu ini bukan hanya tertumpu atau terbatas terhadap hubungan intim atau seksual kaunselor-klien, tetapi isu seksual merangkumi perkara yang lebih luas seperti kaunselor mempunyai fantasi seksual terhadap klien, berkelakuan yang mempunyai unsur-unsur menggoda terhadap klien dan mempengaruhi atau mendorong klien ke arah sesuatu yang bercirikan romantic atau seksual untuk memenuhi keperluan kaunselor. Perlakuan-perlakuan sebegini adalah jelas pada asasnya bersifat seksual dan boleh memberikan kesan yang sama dengan hubungan seksual. Daya tarikan seksual yang keterlaluan boleh memesongkan tujuan serta matlamat asal terapi kerana tarikan seksual ini telah menjadi fokus utama di dalam sesi kaunseling. Namun begitu sebagai seorang manusia biasa yang mempunyai perasaan dan emosi, adalah mustahil bagi setiap kaunselor untuk sentiasa memastikan dirinya bebas daripada sebarang perasaan atau mengalami tarikan seksual terhadap klien. Oleh itu, kaunselor seharusnya menerima perasaan ini dengan terbuka dan jika perlu mereka boleh membincangkan isu ini secara terbuka dengan rakan sekerja yang boleh dipercayai. Apa yang terpenting di sini ialah bukannya menafikan perasaan yang dialami tetapi cara yang diambil untuk menangani isu ini kerana ianya boleh menggugat proses teraputik. Jika kaunselor benar-benar tidak dapat mengawal perasaanya, maka jalan terakhir yang wajar dilakukan ialah menarik diri dan merujuk klien tersebut kepada orang lain. Dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor Bahagian A.5. Peranan dan Hubungan dengan Klien, A.5.a. Klien Semasa ada menyatakan bahawa interaksi atau hubungan seksual atau romantic di antara kaunselor dengan klien semasa atau ahli keluarga adalah dilarang. Kesimpulannya ialah menjadi seorang kaunselor tidak menjadikan seseorang itu kalis perasaan atau emosi. Namun yang paling penting ialah kejujuran dalam melakukan refleksi atau penilaian kendiri untuk menjadikan diri sebagai kaunselor yang beretika.

You might also like