You are on page 1of 1

RMK 9 Review

Tumpuan sektor MICE mampu pikat 24.6 juta pelancong

SASARAN kerajaan menarik 24.6 juta pelancong ke negara ini seperti diumumkan dalam Kajian
Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), semalam boleh dicapai dengan
memberi penekanan kepada sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).

Pengusaha industri pelancongan menyokong sasaran kerajaan dengan memberi pelbagai


cadangan bagi memantapkan sektor pelancongan khususnya dari segi perkhidmatan, kualiti
penyediaan makanan, tawaran produk, program sampingan berkonsep budaya masyarakat
negara ini.

Presiden Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Syed


Mohd Razif Syed Yasin, berkata memandangkan harga minyak semakin meningkat dan menjadi
isu global, kerajaan harus memberi fokus untuk menarik pelancong berkualiti yang boleh
memberikan pendapatan lebih daripada yang disasarkan.

“Melalui sektor MICE, matlamat untuk meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini pasti akan
lebih mudah kerana sektor ini merangkumi mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran yang
semestinya akan dihadiri delegasi asing, sekali gus menarik pelancong ke negara ini.

“Pada saya, kerajaan harus mementingkan kualiti pelancong yang datang bukan saja kuantiti
kerana jika MICE diadakan, ia akan menarik delegasi asing yang semestinya melabur banyak
wang yang boleh meningkatkan pendapatan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini,
semalam.

Selain itu, Syed Mohd Razif berkata, kerajaan wajar memberi subsidi minyak kepada pengusaha
pelancongan terutama syarikat pengangkutan bagi mengelakkan mereka mengenakan tambang
tinggi sehingga menyekat kedatangan pelancong terutama dari Indonesia dan Thailand yang
turut dihimpit dengan bahang kenaikan harga minyak.

Naib Presiden Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia (NTC), Datuk Shamsul Falak Kadir,
berkata sasaran kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelancong dapat dicapai dengan adanya
kerjasama daripada semua pihak terutama kementerian serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya yakin sasaran 24.6 juta pelancong asing dengan pendapatan RM59.4 bilion boleh dicapai
jika kerajaan dan agensi pelancongan menyediakan produk pelancongan unik dan baru serta
mengadakan promosi berkesan di Asia Barat, China, Korea dan Eropah.

“Pengusaha produk pelancongan harus menghasilkan produk baru yang dapat menarik
pelancong, selain program biasa dipromosikan kerajaan seperti ekopelancongan, perubatan,
aktiviti membeli-belah. Saya rasa peruntukan untuk mempromosikan Malaysia pada peringkat
antarabangsa juga harus ditambah,” katanya.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datuk Mohd Ilyas Zainal Abidin, berkata beliau menyambut
baik sasaran kerajaan untuk mencapai jumlah pelancong pada RMK-9 itu dan meminta
pengusaha hotel mengambil bahagian dalam pesta pelancongan di luar negara.