You are on page 1of 2

Harapan baru dalam melahirkan masyarakat berakhlak

Harapan baru dalam melahirkan masyarakat berakhlak

Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN

DARI segi prinsipnya, Malaysia amat berhasrat untuk melahirkan masyarakat yang berakhlak. Ini ditekankan dalam prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Begitu juga, salah satu matlamat Wawasan 2020 ialah untuk melahirkan masyarakat maju dan berakhlak. Salah satu prinsip pendekatan Islam Hadhari ialah keutuhan budaya dan akhlak. Semua ini menunjukkan kesungguhan Malaysia untuk mewujudkan masyarakat berakhlak selaras dengan ajaran agama dan budaya semua rakyat di negara ini. Namun, hasrat murni ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Pendedahan kepada budaya kuning melalui media dan aliran globalisasi telah sedikit demi sedikit menghakis nilai-nilai kesopanan masyarakat Timur sehingga perlakuan tidak sopan seperti berpeluk dan bercium ala Barat telah dapat diperhatikan di tempat-tempat awam di negara ini. Perbuatan seumpama ini pastinya menimbulkan rasa kurang senang, terutamanya di kalangan orang Islam. Ibubapa yang membawa anak kecil ke taman riadah seringkali rasa malu dan serba salah bila bertembung dengan remaja yang berkelakuan tidak sopan. Pihak media juga seringkali memaparkan gambar-gambar seumpama ini dengan tujuan untuk menunjukkan betapa perbuatan ini telah berleluasa dan perlu dibendung. Dalam keadaan ini, keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur boleh mendakwa dua orang pelajar sebuah universiti atas tuduhan berkelakuan tidak sopan di taman awam pastinya disambut baik oleh seluruh masyarakat. Bagi masyarakat Islam, keputusan ini bukan sahaja telah menyedarkan seluruh masyarakat tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di tempat awam, tetapi ia juga membawa satu harapan baru dalam usaha membendung perlakuan tidak senonoh di kalangan umat Islam. Ini jelas bila mana beberapa pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Alor Star, Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Bandaraya Shah Alam menyatakan iltizam untuk mendakwa pihak-pihak yang berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai. Selepas ini, pastinya ibubapa tidak akan berhadapan dengan keadaan yang memalukan ketika membawa anak-anak mereka ke taman-taman riadah. Walaupun ada yang berpendapat bahawa perbuatan bercium dan berpeluk di tempat awam merupakan luahan cinta yang perlu digalakkan dan merupakan satu bentuk kebebasan hidup yang tidak boleh disekat, namun dalam Islam perkara ini bukanlah masalahnya.

Dalam Islam luahan rasa cinta dan kasih sayang juga amat digalakkan, namun dalam batas-batas yang tertentu. Berpeluk dan bercium adalah sah dalam keadaan tertentu seperti antara suami-isteri dan anak-beranak. Cumanya, oleh kerana Islam mengajarkan bahawa perasaan malu itu adalah sebahagian daripada iman, amalan berpelukan dan berciuman antara suami-isteri tidak ditunjukkan di khalayak awam. Bagaimanapun, tidaklah menjadi satu kesalahan jika ia dilakukan juga. Begitu juga, ciuman di dahi atau pipi oleh seorang bapa kepada anak perempuannya tidak dilihat sebagai satu perbuatan yang menjolok mata kerana Rasulullah s.a.w. sendiri diriwayatkan berbuat demikian kepada anaknya, Fatimah. Dari segi ini, perlaksanaan undang-undang tadi tidak akan menimbulkan banyak masalah dalam masyarakat Islam kerana segala peraturan tentang boleh dan tidak boleh dalam luahan cinta dan kasih sayang ini adalah terang dan nyata. Namun, ia mungkin akan menimbulkan kemusykilan di kalangan masyarakat bukan Islam di negara ini. Apakah mereka juga tertakluk kepada hukum dan ukuran yang dikenakan ke atas orang Islam? Yang pasti, mereka tidak tertakluk kepada hukum yang dikenakan ke atas orang Islam. Namun, pandangan Hakim Ahmad Fairuz dalam hal ini boleh mereka jadikan peringatan dalam menentukan tindak-tanduk mereka. Di England dan di Amerika Syarikat, perbuatan bercium dan berpeluk di tempat awam diterima oleh masyarakat di sana. Tetapi adakah perbuatan berpeluk dan bercium (di tempat awam) boleh diterima penduduk Malaysia? Adakah perbuatan seumpama itu mengikut akhlak orang Asia? Sebagai masyarakat Timur, nilai kita adalah nilai-nilai yang diajarkan oleh agama. Nilainilai ini disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain oleh ibubapa kepada anakanak mahupun oleh sekolah dan media massa. Jika perkara ini berlaku dengan baik, tidak timbul kekeliruan dalam masyarakat. Namun, jika ia tidak berlaku dengan baik, maka banyak lagi yang perlu dilakukan ke arah melahirkan masyarakat yang berakhlak ini. Posted at 09:15 am by melayucyber