You are on page 1of 2

TLDM gagalkan lanun

Oleh ZABRY MOHAMAD


dan RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Dua minggu selepas menyelamatkan kapal dagang China daripada dirampas lanun di
Teluk Aden dekat Somalia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini berjaya menggagalkan pula cubaan lanun
merampas sebuah kapal tangki India di perairan sama.

Kehadiran helikopter Fennec dari kapal perang TLDM, KD Sri Inderasakti yang dilengkapi mesingan pelbagai guna
(GPMG) 12.7mm berjaya membuatkan lanun-lanun dari dua bot yang sedang menembak kapal MT Abul Kalam
Azad, melarikan diri.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu (11.30 pagi waktu Malaysia), kapal KD Sri Inderasakti yang menerima panggilan
kecemasan (SOS) dari kapal tangki itu segera mengarahkan helikopter Fennec untuk membantu.

Kapal perang itu berada kira-kira 28 kilometer dari lokasi MT Abul Kalam Azad yang sedang diserang oleh dua bot
lanun.

Helikopter TLDM tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian dan menyertai helikopter Dauphine dari kapal
Tentera Laut Arab Saudi (HMS Al-Dammam) untuk menghalang rampasan kapal tangki tersebut.

Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memberitahu Utusan
Malaysia malam ini, menyedari kehadiran helikopter Fennec yang dilengkapi GPMG, kedua-dua bot lanun itu yang
berasa terancam telah beredar melarikan diri.

Menurutnya, lanun-lanun tersebut sebelum itu cuba merampas kapal tangki itu dengan menembaknya berkali-kali
tetapi mereka gagal menaikinya.

“Tiada tembakan dilepaskan oleh helikopter Fennec tetapi kekuatan persenjataannya berjaya menakutkan lanun-
lanun sehingga melarikan diri.

“Kejayaan ini dicapai hasil pemilikan aset berprestasi TLDM yang ditempatkan di perairan Teluk Aden selain latihan
berterusan dan kesiapsiagaan anggota dan aset yang dimiliki,” katanya.

Dalam operasi menyelamat itu, helikopter Fennec TLDM turut disertai beberapa anggota penembak tepat dari
Pasukan Khas Laut (Paskal).

Selepas itu, kapten kapal tangki MT Abul Kalam Azad yang dikenali sebagai Kapten Shy bersama anak-anak
kapalnya disahkan terselamat.

Kapal tangki tersebut kemudian menyertai konvoi beberapa kapal dagang MISC Berhad yang sebelum itu sedang
diiringi oleh KD Sri Inderasakti.

Pada 17 Disember lalu, kehadiran pesawat Fennec dari KD Sri Inderasakti berjaya menyelamatkan kapal kargo dari
China, Zhenhua 4 beserta 30 krew dari diserang lanun di perairan sama.
KD Sri Inderasakti dengan 204 krew di bawah pimpinan pegawai memerintahnya, Kepten Mohamad Adib Abdul
Samad kini mengambil alih tugas KD Mahawangsa dalam Operasi Fajar bagi melindungi kapal-kapal dagang negara
di perairan Teluk Aden sehingga Februari ini.

Operasi Fajar dilaksanakan apabila kapal MT Bunga Melati 2 milik MISC Berhad dengan 39 anak kapal dirampas
lanun di Teluk Aden berdekatan Somalia dan Yemen ketika dalam perjalanan dari Dumai ke Rotterdam pada 19 Ogos
lalu.

Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC Berhad, MT Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal turut
dirampas di perairan sama.

Pada 16 Disember lalu, sebuah kapal tunda Masindra 7, milik syarikat Masindra Shipping Sdn. Bhd. swasta negara
ini bersama 11 anak kapal warga Indonesia yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia ditawan sekumpulan lanun
Somalia di perairan Yemen.

Perairan Teluk Aden dan sekitar Somalia diklasifikasikan sebagai tidak selamat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) berdasarkan jumlah kes rampasan lanun yang semakin membimbangkan.

Sementara itu, Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar yang dihubungi memberitahu, kejayaan
terbaru di Teluk Aden itu pastinya menggembirakan beliau dan keseluruhan TLDM.

“Ini permulaan tahun baru yang cemerlang buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM,” ujarnya.

Menurutnya, kejayaan TLDM mengawal keselamatan laluan di antara Yemen dan Somalia makin diperakui komuniti
maritim antarabangsa.