ISL4 Mengakses maklumat daripada internet dan sumber rujukan tentang proses pencapaian perpaduan di Malaysia sebelum 1970

Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara. Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin parti pembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum. Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum. Tugas-tugas MAGERAN yang utama ialah:    Mengembalikan keamanan dan undang-undang negara Menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna Mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum seluruh negara.

Bertolak dari sinilah terbitnya pemikiran untuk mengadakan sebuah agensi khas bagi mengendalikan usaha-usaha serta aktiviti yang bercorak muhibah antara kaum. Ia membuka jalan kepada penubuhan Majlis Muhibah Negara dan Jabatan Perpaduan Negara.

ISL4 Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan. Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru. Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini. Usaha memupuk dan mengekalkan perpaduan negara adalah satu-satunya dasar utama kerajaan. Usaha ini juga merupakan tanggungjawab bersama pihak kerajaan dan rakyat. Perpaduan rakyat dan integrasi nasional merupakan satu proses yang mengambil masa yang lama. Tahap pencapaiannya tidak dapat diukur dan tarikh tercapainya matlamat tidak boleh diramalkan. Dengan adanya prinsip Rukun Negara yang menjadi panduan hidup masyarakat, iklim politik yang tidak bercorak perkauman, perpaduan rakyat dan negara adalah lebih terjamin.

Rujukan: http://www.scribd.com/doc/19412497/masalah-perpaduan-di-malaysia http://www.tutor.com.my/tutor/arkib2002.asp?e=STPM&s=PAM&b=APR&m=3&r=m&i=NOTA