Aii Fariza

Prolog

INAH mintak maaf, abang. Kinah tak tahu apa yang abang suka makan,” ucap Sakinah. Jelingan tajam berserta ketapan sepasang bibir nipis itu menunjukkan suaminya sedang menahan marah. Sakinah tunduk. Air liur di kerongkong ditelan, pahit. Perasaan gerun dan takut itu hadir semula. “Kau apa pun tak tahu. Yang kau tahu minta maaf dua puluh empat jam!” Kasar Rafiq berbahasa. Akhbar yang baru dibacanya dilipat kasar lalu dicampak ke lantai. Sakinah tergamam. Surat khabar itu jatuh tepat ke kakinya. Tengkingan suaminya bergema lagi hari ini. Sakinah sebak. “Ma... maafkan... Kinah.” Tersekat-sekat butir bicara Sakinah. Begitulah dia setiap kali berhadapan dengan Rafiq. Tergagap-gagap seperti pesalah walaupun kadangkala kesalahan itu bukan datang daripadanya. Namun, terpaksa juga dia yang tunduk memohon maaf. “Entah apalah yang umi aku berkenan sangat

“K

1

Kontrak Janji Setia Antara Kita

dengan kau? Semuanya serba tak kena. Bertambah menyusahkan aku adalah!” Rafiq menempelak. Dijelingnya Sakinah yang berdiri di sisi. Wanita muda itu masih diam terpaku seperti hari-hari sebelumnya. “Orang kampung memang macam nikan? Suka berpaut pada orang kaya untuk hidup senang. Pantang nampak orang berduit, lekas aje nak pasang jerat. Entah ubat guna-guna apalah yang kau bagi pada umi sampai umi sanggup paksa aku kahwin dengan kau?” Sengaja Rafiq menambah kata untuk menyakiti hati Sakinah. “Abang tunggu sekejap. Kinah buatkan sarapan yang lain,” ujar Sakinah. Dia ingin berlalu ke dapur. Mahu membuat sarapan lain untuk suaminya kerana sedari tadi Rafiq langsung tidak menyentuh sarapan yang dibuatnya. Selebihnya dia mahu mengelak daripada mendengar katakata Rafiq. Hatinya pedih dituduh begitu. “Tak payah. Aku tak lalu nak tengok masakan kau lagi. Semuanya memualkan.” Rafiq bangun dari kerusi meja makan. Briefcase di kerusi sebelah kanannya dicapai kemudian berlalu ke pintu hadapan. Sakinah hanya membuntuti dari belakang. Rafiq tiba-tiba berhenti melangkah dan berpaling. Sakinah terkejut. Nasib baik langkahnya jauh dari Rafiq. Jika tidak pasti tubuh mereka akan berlanggar. Mesti dia yang disalahkan walaupun hakikatnya tidak. “Mana Shafiq?” tanya Rafiq dengan anak matanya tepat memanah ke mata Sakinah. “Shafiq tidur. Kinah baru lepas bagi dia minum susu,” beritahunya dengan sedikit senyum. Mendengar sahaja nama Shafiq, dia rasa gembira tiba-tiba. Telatah si kecil itu betul-betul mencuit hatinya yang kesunyian.

2

Aii Fariza

“Bagus. Kau ingat apa yang aku pesan?” Rafiq masih merenung tajam ke wajah itu. Sakinah mengangguk. Masakan dia lupa pada pesanan yang cukup menggerunkannya itu. Pesanan tersebut dititip setiap hari sejak hari pertama mereka disatukan. Termasuklah hari ini, sudah genap dua minggu dia dipesan begitu. Ya, baru dua minggu berkahwin dia sudah dianggap seperti penjenayah. “Ingat... kalau ada apa-apa perkara yang berlaku pada Shafiq, aku takkan teragak-agak untuk dakwa kau. Faham?” jerkah Rafiq memberi amaran. Sakinah mengangguk lagi. Rafiq bergegas ke kereta Lotus Evora miliknya. Sakinah menghantar suaminya di muka pintu. Tanpa pamitan, Rafiq berlalu pergi tetapi begitulah kebiasaannya. Pernah juga dia cuba menghulurkan tangan untuk mengucup tangan itu sebelum ini, tetapi tidak langsung dihiraukan malah dia diherdik kasar. “Tak perlu susahkan diri kau nak buat macam tu. Aku langsung tak harap! Jangan kau ingat dengan menunjukkan diri kau tu baik aku akan tertawan! Aku dah masak dengan perangai perempuan macam kau. Dalam otak kau cuma tahu nak mengambil kesempatan pada lelaki kaya yang bodoh. Tapi untuk pengetahuan kau, aku tak bodoh! Kau yang bodoh sebab kahwin dengan aku!” ‘Bodoh!’ Semenjak berkahwin selalu juga telinganya menjamah kalimah itu. Sejak itu Sakinah tidak lagi bertindak sesuka hati. Dia cuma mahu melakukan yang terbaik buat Rafiq. Biarpun balasan yang diterima tidak setimpal malah amat tidak berpatutan. Kereta Rafiq sudah menghilang di jalan. Sakinah

3

Kontrak Janji Setia Antara Kita

segera menutup pintu. Dia bergegas ke dapur. Sakinah memandang sepi ke arah sarapan yang langsung tidak dijamah oleh Rafiq. Nasi lemak, air kopi, karipap, roti, jem, kaya dan telur hancur. Satu pun tidak mampu membangkitkan selera Rafiq. “Dia nak makan apa sebenarnya?” Omel Sakinah sendirian sementara tangannya lincah mengemas meja makan.

4

Aii Fariza

Bab 1
UASANA di ruang tamu itu kelihatan senyap setelah beberapa suara mengeluarkan hujah masing-masing. Datuk Faiz mengintai sedikit wajah isterinya dan Rafiq dari tepi surat khabar yang dibacanya. Kemudian cepat-cepat kembali berpura-pura membaca setelah perasan sorotan mata Datin Noraini. “Abang...!” panggil Datin Noraini berbaur geram. Marah kerana dari tadi hanya dia yang bersuara. Suara suaminya sepatah pun tidak terkeluar. Tenggelam dalam cerita-cerita hangat di dada akhbar. Sedangkan topik perbincangan keluarga ini lebih lagi terasa kehangatannya. “Apa dia, Ain?” Datuk Faiz menyahut. Tetapi tatapan mata pada akhbar tidak dilepaskan. “Pandanglah sini. Asyik membelek surat khabar dari tadi. Cubalah bercakap sikit, bagi Rafiq ni faham dengan kehendak Ain...” ujar Datin Noraini. Rafiq bagaikan cacing kepanasan sahaja. Duduknya di atas sofa empuk itu terasa bagaikan duduk di atas bara api.

S

5

Kontrak Janji Setia Antara Kita

“Nak cakap apa? Abang tak tahu. Ain sajalah yang cakap.” Datuk Faiz tersengih di sebalik surat khabar. Dia kalau boleh memang ingin mengelak daripada terjebak sama dengan masalah Rafiq. Anak lelakinya itu sudah cukup besar untuk membuat dan menilai keputusan tentang hidup yang dipilih. “Abang lagi suka tengok surat khabar tukan? Baik, mulai esok Ain akan telefon apek hantar surat khabar tu supaya berhenti hantar surat khabar lagi ke sini. Biar abang tak senang duduk.” Datin Noraini mengugut. Senyuman sinis di hujung bibir terpamer. Datuk Faiz segera menutup akhbar di tangan. Jika sudah diugut jangan lagi ditangguh-tangguh. Harus dipatuhi. Perkahwinan selama tiga puluh tahun ini telah menyaksikan pelbagai kerenah isterinya yang dahsyat-dahsyat belaka. Apa yang dikata maka itulah yang bakal dikotakan. Datin Noraini memang tegas. Lebih-lebih lagi dalam hal mendidik anak-anak. Walaupun tegas tetapi sifat penyayang isterinya sangat ketara. Sifat itulah yang berjaya mencuri hatinya di awal pernikahan mereka walaupun perkahwinan tanpa cinta pada mulanya. “Puas hati?” Datuk Faiz melipat lalu meletakkan akhbar tersebut di atas pahanya. Datin Noraini tersenyum lagi. Suaminya itu sangat memahami kehendak hatinya. Perkara itulah yang selalu membuatkan Datin Noraini begitu mencintai jejaka pilihan keluarganya ini. Ini yang menyebabkan Datin Noraini percaya bahawa perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga akan lebih membahagiakan dan diberkati. Contohnya sudah ada di hadapan mata. Anak lelakinya yang berkahwin dengan pilihan hati sendiri baru

6

Aii Fariza

sahaja menduda lima bulan lalu setelah bekas isterinya lari mengikut lelaki lain. “Umi janganlah paksa. Raf mohon sangat. Permintaan umi susah untuk Raf tunaikan.” Rafiq memohon pengertian. Datuk Faiz mengeluh lembut. Datin Noraini bangun lalu berdiri sambil berpeluk tubuh. Masih tidak mahu mengalah. “Janganlah kita paksa dia, Ain. Dah dia tak mahu.” Belum apa-apa lagi Datuk Faiz sudah mengangkat bendera putih. Tanda mengalah. Hatinya yang lembut tidak mahu menonton kesedihan pada raut anaknya. Kekecewaan Rafiq begitu dalam. Sukar untuk disembuhkan luka itu. Wanita yang dicintai mengkhianati cinta yang dihulurkan. Bagaimana mungkin untuk mencari galang gantinya? Memulai semuanya kembali daripada titik permulaan. “Berilah peluang kepada dia. Umi percaya Sakinah mampu membahagiakan Raf, mampu menjaga dan menyayangi Shafiq seperti anak dia sendiri. Insya-Allah,” pujuk Datin Noraini. “Please umi... jangan terpedaya dengan kata-kata dia. Raf dah masak dengan perangai perempuan. Baik di luar, tapi jahat di dalam. Semua perempuan sama saja. Raf takkan biarkan diri Raf terhantuk untuk kali kedua,” getus Rafiq dengan perasaan berang. Marahnya pada wanita yang bernama Suraya belum lagi surut. Biarpun untuk lima tahun atau lima puluh tahun lagi. Cintanya juga telah mati setelah melihat kecurangan bekas isterinya. Yang tinggal hanya perasaan dendam dan amarah yang memuncak tetapi tidak dapat dihamburkan kepada sesiapa. “Habis tu, umi, Kak Ina dan Rina termasuklah

7

Kontrak Janji Setia Antara Kita

dalam stok perempuan jahat? Maknanya semua perempuan di atas muka bumi ni semuanya jahat macam bekas bini Raf? Begitu maksud Raf?” tekan Datin Noraini. Sengaja mendera perasaan anak lelakinya itu. “Bukan. Raf maksudkan perempuan luar yang suka ambil kesempatan. Yang bijak memainkan peranan sebagai perempuan baik tapi sebenarnya busuk hati,” luah Rafiq, geram. Perlahan jari-jemarinya menyauk rambutnya ke belakang. Cuba menenangkan diri. Melihat situasi Rafiq, Datin Noraini menghampiri. Duduk di sisi anaknya di sofa berangkai dua itu. Tangan anak keduanya itu digenggam erat. Kasih sayangnya tumpah di situ. “Tapi Sakinah berbeza, sayang. Cubalah menerimanya kerana umi sangat berharap. Dulu, sewaktu Raf berkahwin dengan pilihan hati Raf, umi langsung tak membantah. Malah, umi menerima dia dengan sepenuh hati. Tak salah jika kali ini Raf memenuhi permintaan umi pula. Umi percaya, Sakinah mampu membahagiakan Raf dan Shafiq. Ingat, Shafiq perlukan sentuhan kasih sayang seorang ibu. Dia masih terlalu kecil.” Datin Noraini berkata lembut dan tenang. Berharap sangat Rafiq mampu menerima Sakinah, gadis kampung yang begitu istimewa padanya. “Terimalah, dia. Abah pun berkenan dengan budak tu. Lagipun abah takut kalau tiba-tiba Suraya buat tuntutan hak penjagaan anak ke atas Shafiq. Kedudukan Raf akan tergugat sebab selalunya hak penjagaan anak yang bawah umur tujuh tahun akan jatuh pada si ibu. Kalau Raf berkahwin mungkin kedudukan Raf lebih selamat dan kukuh. Sekurang-kurangnya kebajikan Shafiq terjaga...” kata Datuk Faiz. Menguatkan lagi hujah isterinya supaya anaknya bersetuju untuk berkahwin lagi.

8

Aii Fariza

“Betul ke, abah?” Rafiq cemas. Tidak dapat dibayangkan anaknya yang belum pun berusia setahun itu dirampas daripadanya. Apatah lagi jika perempuan keparat itu yang cuba merampas Shafiq. Mati hidup balik dia tidak akan sesekali menyerahkan anaknya itu kepada perempuan seperti Suraya. “Abah banyak membaca dari surat khabar, begitulah selalunya. Kedudukan si ibu lebih diutamakan daripada kedudukan si ayah,” tambah Datuk Faiz lagi. Datin Noraini yang mendengar terdetik rasa gembira di hati. Secara tidak langsung kata-kata si suami mampu membantu dirinya dalam memujuk Rafiq. Rafiq mengerutkan dahi. Bingung. “Tapi Suraya bukan perempuan baik untuk mendapatkan hak penjagaan Shafiq. Mahkamah perlu tahu itu! Perempuan tu memang tak layak langsung.” “Kedudukan seorang bapa tunggal juga tak menjamin Raf mendapat hak penjagaan tu. Suraya masih ada ibu dan adik perempuan. Barangkali hak penjagaan boleh jatuh kepada pihak sana.” Datuk Faiz menambah lagi. Datin Noraini lega melihat suaminya membantu dalam usaha memujuk anak mereka itu. Rafiq semakin tidak keruan. Benarkah begitu? “Cuba rujuk dengan peguam syarie. Tanya mereka apa yang patut,” kata Datuk Faiz. Rafiq mengangguk perlahan. “Dan lebih baik kalau Raf berkahwin lagi untuk menguatkan kedudukan Raf sebagai seorang bapa. Ada isteri yang menguruskan rumah tangga dengan sempurna dan sebuah keluarga yang lengkap untuk memberi kehidupan turut

9

Kontrak Janji Setia Antara Kita

yang sempurna kepada Shafiq.” Datin Noraini mengulas kembali topik yang dibawa. “Boleh ke dia menjaga dan menyayangi Shafiq seperti anak kandung sendiri? Umi rasa ada ke perempuan yang sanggup menerima kehadiran seorang anak tiri dengan sepenuh hati? Paling tidak pun perempuan tu cuma mahu mengambil kesempatan dengan apa yang Raf miliki. Sedangkan ibu kandung boleh bertindak membuang anaknya sendiri, inikan pulak sorang perempuan yang langsung tak ada hubungan darah dengan kita. Mustahil dia boleh menyayangi anak Raf,” luah jejaka itu. Moga umi faham maksud aku…. desis Rafiq dalam hatinya. “Umi percaya Sakinah mampu.” Datin Noraini masih tetap dengan pendiriannya. Teguh dan nekad untuk menjadikan Sakinah menantunya. Pengalaman hidup yang panjang banyak mengajarnya menilai hati manusia. Datin Noraini percaya pilihannya ini tidak silap. Hanya Sakinah yang mampu merawat dan menyembuhkan kepedihan luka Rafiq. Gadis tulus itu juga mampu memberikan kasih sayang yang ikhlas buat anak dan cucunya. “Tak salah kita mencuba, Raf. Gagal sekali bukan bermakna akan gagal untuk kali kedua. Raf dah ada pengalaman daripada kegagalan perkahwinan dulu, mungkin Raf mampu menangani kekurangan yang wujud dalam perkahwinan pertama dalam perkahwinan yang kedua.” Penuh diplomasi Datuk Faiz berbicara. “Tapi Raf serik, umi... abah...” keluh Rafiq dengan seribu kesalan. Memang dia tidak sanggup lagi menanggung perasaan pernah dikhianati. Memeritkan buat dirinya apabila orang yang dicintai sanggup membuat onar di belakangnya.

10

Aii Fariza

Lelaki mana yang sanggup melihat isteri yang dikasihi lari mengikut jantan lain? “Tak salah kita memberi peluang kepada diri kita untuk mencari kebahagiaan. Raf kena hadapi hakikat hidup ini. Manusia ni selalu diduga. Ada ketikanya kita di atas dan ada ketikanya kita di bawah. Pokok pangkalnya hanya iman di dada. Selagi Raf berusaha untuk mencari kebahagiaan itu, insya-Allah tak ada apa yang boleh menghalang Raf daripada mengecap semua hasil usaha Raf sendiri. Percayalah, Raf masih boleh mengecap kebahagiaan itu,” bicara Datin Noraini dengan lembut. Tangan Rafiq diramas perlahan. Mengharapkan persetujuan anaknya. “No! Raf tak mahu lagi terlibat dengan semua ni.” Rafiq terus bangun. Membiarkan uminya begitu sahaja. Dia sudah nekad. “Cukuplah dengan apa yang Raf dah tempuhi. Untuk berkahwin lagi mungkin tidak. Raf sendiri akan menjaga Shafiq. Raf tak perlukan lagi perempuan dalam hidup ni.” “Jadi Raf tak mahu terima Sakinah?” soal Datin Noraini. Wajahnya kembali tegang. Rafiq menggeleng laju. “Kalau Raf rasa Raf dah tak perlukan umi dalam dunia ni, Raf memang boleh tolak permintaan umi. Tapi jangan harap umi akan mengaku Raf sebagai anak umi.” Tegas Datin Noraini sebelum pergi mendaki anak tangga ke tingkat atas. Hatinya benar-benar rawan dengan sikap Rafiq. Naluri keibuannya dilanda sebak dengan tiba-tiba. Anak yang ditatang dengan penuh kasih dan sayang sejak lahir kini langsung tidak mempedulikan perasaannya. Permintaannya disisihkan begitu sahaja. Ibu mana yang sanggup melihat permintaannya ditolak mentah-mentah? Sedangkan

11

Kontrak Janji Setia Antara Kita

permintaan itu membawa seribu pengertian dan rahmat untuk anaknya itu. Rafiq tengadah. Datuk Faiz tersentak. Begitu nekad isterinya kali ini.

12

Aii Fariza

Bab 2
OI, apa hal moody semacam ni? Aku ajak kau ke sini untuk hilangkan tension, tapi alih-alih aku pulak yang tension tengok kau macam ni. Apa hal?” tanya Rudi sejurus duduk bersebelahan dengan Rafiq. Perempuan cantik dan seksi yang dikeleknya tadi masih setia berdiri manja di sisinya sambil mengusap dan mengelus wajah dan lehernya. Dia tersengih kepada Rafiq. Rudi mengangkat jari telunjuk memesan minuman kepada seorang lelaki yang bertugas sebagai pelayan bar. Tidak perlu dia bersusah-susah menyebut pesanan minuman yang perlu dihidangkan kerana pelayan bar itu cukup mengenalinya. “So, apa hal yang buat kau runsing sangat ni?” soal Rudi lagi apabila melihat Rafiq masih diam membisu. Minuman koktel diletakkan di hadapannya oleh pelayan bar. “Kau rasa masalah aku yang paling rumit sekarang ni apa?” Rafiq melemparkan pandangan kepada sekelompok

“W

13

Kontrak Janji Setia Antara Kita

manusia yang terkinja-kinja menari. Suasana meriah dalam kelab langsung tidak menarik perhatiannya. “Banyak. Kau nak yang mana satu?” balas Rudi selamba. Air yang dipesan diteguknya rakus. Dahaga setelah penat menari sebentar tadi. “Jangan jadi banganglah, Di! Aku tengah serius, kau boleh pulak main-main,” getus Rafiq, geram. Rudi tergelak besar. “Relakslah Raf. Aku buat lawak pun kau nak marah. Kawallah sikit temper tu. Boleh buat awek aku lari, beb...” bicara Rudi sambil merangkul perempuan di sisinya. Semakin gedik gelagat perempuan itu. Semakin berbulu mata Rafiq menontonnya. Perempuan... tak sah kalau tak tergedik-gedik kepada lelaki yang berduit. “Kaulah punya pasal. Siapa suruh kau buat lawak bodoh pulak time ni? Kepala aku tengah berserabut sekarang, tiba-tiba kau tambah pulak dengan lawak bodoh kau, memang aku malas nak layan.” Rafiq menyedut air Pepsi yang dipesannya. “Ini tak lain tak bukan, mesti masalah tentang kahwin lagi, kan?” teka Rudi. Jangkaannya tepat apabila Rafiq mengangguk. Memang dia sudah mengagaknya sejak dari tadi. “Kejap.” Rudi berpaling kepada perempuan seksi di sebelahnya sambil berbisik sesuatu. Perempuan itu kemudiannya berlalu dari situ. “Siapa tu?” soal Rafiq sekadar meredakan gejolak di hati. Rudi tersengih seperti kerang busuk. “Kenapa? Kau berminat? Kalau kau nak, aku boleh

14

Aii Fariza

bagi tapi aku dah pernah rasalah perempuan tu. Bestlah jugak. Macam mana, nak cuba?” tawar Rudi seperti menjual ikan di pasar malam. “No, thanks. Aku tak berminat nak jamah bangkai kau.” Rafiq menolak tawaran Rudi. “Tak berminat dengan bangkai aku? No, problem. Aku boleh tolong carikan seorang perempuan yang belum lagi pernah jadi mangsa aku. Anak dara… nak?” giat Rudi lagi. Padahal dia kenal sangat siapa Amar Rafiq yang sebenarnya. Rafiq tersengih sambil menggelengkan kepala. “Kenapa? Kau tak berani?” Rudi bertindak mencabar. Sengaja dibakar perasaan Rafiq dengan cabaran itu kerana dia tahu sangat jejaka itu memang pantang dicabar. Rafiq masih tersengih. Dia memang pantang dicabar dalam semua hal tetapi hanya empat perkara yang terkecuali iaitu arak, judi, zina dan rokok. Ajaran agama yang diterapkan oleh abah dan uminya sangat kuat. Memang pada awal perkenalannya dengan Rudi, imannya diduga hebat. Tetapi dia terpaksa akui ajaran orang tuanya telah sebati dalam tubuhnya. Biarpun ramai teman rapatnya menyangka dia juga merupakan stok anak-anak orang kaya yang bebas bersosial, namun sangkaan itu meleset sama sekali. Dia tidak dapat mengelak daripada berkawan dengan mereka yang terlibat dalam kancah itu. Terutamanya Rudi. Seteruk-teruk Rudi, itulah teman yang sentiasa bersamanya ketika susah dan senang sejak mereka menjalani hidup di UK. Dan bagi Rafiq, Rudi memang agak sosial dari sudut itu, tetapi dari sudut lain siapa yang menyangka dia seorang sahabat yang telus dan baik hati. Pantang mendengar teman terdekat mempunyai masalah, pasti akan dibantu walau dengan cara

15

Kontrak Janji Setia Antara Kita

apa pun. Dan sesiapa pun pasti tidak menyangka Rudi yang suka bersosial itu selalu memberikan derma ke rumah anak yatim yang pernah dihuni jejaka itu suatu ketika dahulu. “Cubalah sekali, pasti nak lagi! Mana tahu tension kau boleh hilang nanti. Kau takkan rugi apa-apa pun,” tambah Rudi lagi. Sengaja mengumpan temannya itu. “Tak perlulah, Di. Aku tak bersedia lagi nak menggalas dosa berzina.” Rafiq membalas sinis. Rudi ketawa besar. “Okay, fine! Aku tahu kau takkan layan punya cabaran aku. So, berbalik pada masalah kau,” Rudi mengalah. Fikiran Rafiq kembali berpusar pada masalah yang melanda. “Ceritalah... umi tetap paksa kau?” desak pemuda itu lagi bila melihat Rafiq hanya diam. “Tak kira apa pun alasan aku, umi tetap mahu aku berkahwin dengan pilihan dia. Siap ugut aku lagi.” Rafiq menghela nafas perlahan. Masalah itu merumitkannya. Masalah yang sedia ada sudah terlalu banyak, ditambah pula dengan permintaan uminya yang dirasakan satu bebanan yang maha dahsyat. Cukuplah dengan pengalaman lalu. Dia serik untuk mengharunginya lagi. “Ugut?” “Kira dia nak isytiharkan aku Si Tanggang versi moden.” Laju sahaja kata-kata itu keluar daripada bibir Rafiq. Spontan Rudi tergelak. Terbayang wajah umi Rafiq yang telah dianggap seperti ibunya sendiri. Wanita itu memang penuh dengan sifat keibuan, penyayang dan sangat mengambil berat. Lebih-lebih lagi perihal yang berkait rapat dengan anak-anak.

16

Aii Fariza

Minda Rafiq cepat sahaja mengimbau peristiwa petang tadi. Walaupun hanya dengan kehadiran dirinya, umi dan abah, namun perbincangan memang terasa amat sengit. Terlalu menghimpit perasaannya. Suasana penuh ketegangan. Rafiq sungguh tidak mahu menuruti saranan Datin Noraini tetapi apakan daya, jika menolak buruk padahnya. Tetapi jika menerima, seolah-olah memberi peluang untuk dirinya dilukai lagi. Mungkin kali ini bertambah parah. Rudi menepuk perlahan bahu Rafiq. Menyedarkan bapa tunggal itu daripada lamunan singkat yang dicipta. Rafiq lantas kembali ke alam realiti. Suasana dalam pub itu memang bingit namun dia masih mampu melayan perasaannya yang bercelaru. Minuman yang dipesan diteguk lagi. Wajah Rudi kembali dipandang. “Aku tahu kau dah serik nak terlibat dengan perempuan, tapi kau tak boleh nafikan yang naluri kau tetap mendambakan layanan daripada seorang perempuan. Lumrah seorang lelaki sejati.” Rudi tersengih. Rafiq mencebik sinis. “Itu kau, bukan aku! Pada aku, sekali aku terkena aku takkan mengulangi sejarah yang sama.” Rudi hanya menjongketkan bahu. Dia kenal sangat dengan Rafiq. Persahabatan yang terjalin antara mereka cukup membuatkan Rudi mengenali siapa sebenarnya Rafiq. “Jadi kau tolak atau terima permintaan umi?” tanya Rudi lagi. “Terpaksalah aku terima kalau umi siap mengugut nak buang aku daripada keluarga. Aku ni dahlah bapa tunggal, takkan nak jadi anak tunggal pulak,” kata Rafiq. Masih terbayang lagi wajah uminya yang kecewa dengan keputusannya yang mendadak. Langsung tidak diendahkan

17

Kontrak Janji Setia Antara Kita

perasaan umi yang memang sensitif. Dan akhirnya dia juga yang mengalah semata-mata mahu menggembirakan hati seorang ibu. “Apa salahnya? Aku pun anak tunggal, so joinlah aku.” Rudi bergurau. Tawa kecil tercetus di bibirnya. “Kau bukan anak tunggal, tapi anak yatim. Tak sama....” Tanpa niat, laju Rafiq membalas. Rudi terdiam kali ini. Rafiq tersedar bibirnya sudah tersilap kata. “Sorry, aku tak sengaja,” pohon Rafiq. Rudi tersenyum sambil menggeleng. “Kau patut bersyukur sebab masih ada umi dan abah daripada aku yang tak ada sesiapa. Kalau aku jadi kau, aku akan ikutkan saja permintaan umi. Seorang ibu mestilah mahukan yang terbaik untuk anaknya, tak mungkin sebaliknya. Umi memaksa sebab dia tak sanggup tengok kehidupan kau yang tak tentu arah selepas jadi bapa tunggal. So, mestilah dia nak carikan kau seorang isteri yang mampu menguruskan diri kau dan Shafiq dengan sempurna. Lebihlebih lagi Shafiq yang perlukan kasih sayang seorang ibu. Aku tak rasa kau mampu bahagikan masa yang secukupnya buat Shafiq. Sekarang ni pun, umi yang tolong kau jaga Shafiq,” ujar Rudi panjang lebar. Rafiq yang mendengar turut mengakui dalam hati kebenaran kata-kata itu. “Tapi kau rasa perempuan tu boleh terima Shafiq sepenuh hati? Aku takut perempuan tu apa-apakan Shafiq. Maklumlah, ibu tiri takkan sama dengan ibu kandung. Sedangkan ibu kandung pun boleh buang anak sendiri, inikan pulak ibu tiri. Esok-esok jangan sampai Shafiq kena

18

Aii Fariza

dera pulak. Memang aku bunuh perempuan tu.” Rafiq mengulas lagi. Kali ini giliran Rudi mengiakan kata-kata Rafiq. Sesiapa pun tidak mampu menjangka jika hal itu berlaku. “Apa kata kau pasang CCTV? Senanglah sikit bila kau tak ada, dia takkan cuba mengapa-apakan Shafiq.” Rudi memberi buah fikiran. Rafiq menggeleng laju. “Kau ingat rumah aku tu pusat beli-belah ke? Tak relevanlah nak pasang benda tu, dalam rumah sendiri pulak tu! Kang, apa kata umi dengan abah aku? Lagipun lecehlah. Nak pasang CCTV memanglah senang, tapi nak tengok balik rakaman tu aku mana ada masa. Sekarang pun tengah terkejar-kejar kat pejabat, balik sampai lewat malam. Lepas tu kau nak suruh aku tengok pulak rakaman lewat malam. Bila masa pulak aku nak tidur?” sanggah Rafiq. Rudi mencebik. Mudah sahaja ideanya ditolak oleh Rafiq walaupun memang ada benarnya. Rafiq diam dan begitu juga dengan Rudi. Masingmasing ligat berfikir tentang cara yang lebih tepat dan mantap. “Aku rasa cuma ada satu cara boleh tolong kau lindungi Shafiq dan sekali gus harta kau.” Rudi tersengih lebar. Idea kali ini memang relevan padanya. “Harta aku?” “Itu pun kau mesti berhati-hati. Soal tuntutan harta. Tak ada siapa pun dapat meramal masa depan. Kalau perkahwinan tu gagal, kau nak perempuan tu lakukan perkara yang sama seperti Suraya lakukan pada kau selepas kau orang bercerai? Perempuan macam Suraya tak layak diberi satu sen pun.” Rudi berbicara penuh makna.

19

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Rafiq terpinga-pinga. Rudi seolah-olah terlebih pengalaman daripadanya. “Cara apa yang kau ada tu?” Rudi tersenyum lebar.

20

Aii Fariza

Bab 3
AKINAH berdebar-debar menerima kedatangan keluarga Datin Noraini ke teratak usangnya itu. Selepas menghantar air dan sedikit kuih-muih ke ruang tamu, Sakinah terus masuk ke dalam kamar. Benaknya tertanya-tanya tujuan keluarga berada itu bertandang ke rumah orang tuanya. Dia menyangka mereka sengaja datang menziarahi keluarganya. Maklumlah, dulu arwah neneknya dan arwah Nenek Khatijah, ibu Datin Noraini berkawan baik. Begitu juga hubungan antara ibunya dan Datin Noraini. Terimbau kembali kenangan pertemuan antara dirinya dan Datin Noraini di tepi pantai suatu ketika dahulu. Segala-galanya tidak dirancang sama sekali. Perkenalan itu telah menemukan semula Datin Noraini dengan ibunya. Dua orang sahabat lama itu berpelukan dan menitiskan air mata gembira dan terharu. Jarak perpisahan yang lama mengundang sebak di dada masing-masing. Perkahwinan yang berlaku antara kedua-duanya memisahkan dua orang sahabat itu. Ibunya terpaksa berpindah mengikut ayah yang bekerja sebagai anggota

S

21

Kontrak Janji Setia Antara Kita

tentera, meninggalkan nenek dan atuk. Manakala Datin Noraini terpaksa mengikut suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur. Anggota tentera seperti ayah yang selalu berpindahrandah membuatkan mereka sekeluarga jarang pulang ke kampung. Sehinggalah ibu mendapat berita nenek semakin tenat, barulah mereka pulang. Nenek menghembuskan nafas terakhir tidak lama setelah kepulangan mereka. Ayah yang berasa bersalah melihat kedukaan ibu terus berhenti daripada menjadi askar. Kerana mahu memujuk perasaan ibu, ayah mengajak ibu pulang ke kampung ibu dan menetap terus di sini di samping menjaga atuk yang uzur. Ibu benar-benar bahagia. Mulai saat itulah mereka memulakan hidup baharu dengan ayah menjadi nelayan pada sebelah pagi dan menguruskan kebun atuk pada sebelah petang. Biarpun hidup mereka tidak sesenang mana, ayah dan ibu tetap berusaha memberikan mereka pelajaran dan didikan agama yang sempurna. Namun satu keputusan yang lahir daripada bibir ayah dan ibu pagi itu benar-benar menghampakan impiannya. Dia kecewa. Harapannya untuk mengubah nasib keluarga tidak kesampaian. Alasannya, pengajian Abang Yusri belum lagi tamat di universiti luar negara dan adik-adiknya masih bersekolah. Ibu dan ayah tidak dapat menampung biaya pembelajarannya jika dia turut ke universiti walaupun hanya dalam negara. Oleh itu, ibu dan ayah memintanya menangguhkan pembelajaran sehingga Abang Yusri tamat pengajian dalam masa dua tahun lagi. Sakinah yang terkilan, membawa rasa kecewa sehingga ke pantai. Tempat yang selalu dicarinya pada kala hati kerunsingan. Dia duduk di atas sebatang pokok kelapa yang telah tumbang. Pukulan ombak yang menghempas pantai menjadi tatapan. Angin yang menderu kuat

22

Aii Fariza

membuatkan tudung yang dipakai menjadi tidak tentu arah. Pun begitu, tidak dihiraukannya. Air mata yang meleleh laju diseka dengan hujung tudung. Satu sentuhan lembut di bahu mengejutkan Sakinah. Diseka laju air mata yang masih berlinangan. Sakinah tidak mahu sesiapa pun mengetahui duka yang bermukim di hatinya. Biarlah dia sahaja yang menyimpan rasa itu sendirian. Sakinah berpaling. Seorang wanita separuh baya yang anggun sedang tersenyum padanya. Wanita itu duduk di sebelahnya. Di kendongan wanita itu kelihatan seorang bayi yang comel. Pada perkiraan Sakinah, wanita itu bukan berasal dari sini. Mungkin pelancong yang menginap di homestay kampung dan sengaja berkunjung ke sini melihat keindahan pantai. “Menangis?” tanya wanita itu perlahan dan masih tersenyum. Pandangan mereka bertaut. Sesekali wanita itu mengusap pipi bayi yang berada di dalam kendongannya. Kelihatan sangat penyayang. Sakinah menggeleng laju. Walaupun dia sendiri menyedari tentu bebola matanya sudah memerah akibat terlalu banyak mengalirkan air mata. Wanita itu menggeleng perlahan. Tangan kanannya tiba-tiba hinggap di pipi Sakinah. Diseka perlahan air mata yang masih berbekas. “Bergaduh?” Lembut pertanyaan wanita itu. Sakinah lantas menggeleng laju. “Habis tu, kenapa? Ada masalah?” “Masalah kecil saja,” balas Sakinah sayu. Hampir tenggelam suaranya yang baru lepas menangis.

23

Kontrak Janji Setia Antara Kita

“Kalau tak keberatan, ceritalah kepada saya,” ujarnya lagak seorang ibu penyayang. “Tak ada apa-apa. Masalah saya kecil saja. Comelnya baby ni. Anak puan ke?” Sakinah mengelak daripada menjawab. Sengaja beralih tajuk. Ternyata wanita itu cukup faham. Mungkin gadis di hadapannya ini tidak mahu berkongsi duka yang dilalui. Ataupun belum bersedia bercerita padanya. Sementelah mereka bukannya kenalan rapat. Baru pertemuan pertama. Belum pun sempat berkenalan, masakan cerita luar dalam ingin disingkap gadis itu padanya. Mustahil! “Hesy, bukanlah! Saya ni dah tua, mana nak ada anak kecik. Ini cucu saya,” beritahu wanita itu. Ada gelak di hujung bicaranya. Kenaifan gadis itu begitu mencuit hatinya. “Mana ada tua. Puan nampak cantik dan muda, tak mustahil boleh ada anak sekecil ini. Tak sangka pula ini cucu puan. Siapa namanya?” Sakinah memegang kaki halus bayi yang bersarung itu. Memang sangat comel pada pandangannya. “Namanya Amar Shafiq,” jawab Datin Noraini. Digenggam tangan si kecil yang terawang-awang seperti ingin menggapai sesuatu di langit. Sakinah menguntum senyuman bahagia. Hilang rasa kecewanya melihat telatah si cilik. “Berapa umurnya?” Diusap pula pipi mungil bayi itu. “Lapan bulan.” “Ibu dan ayahnya mana? Tak datang sekali?” “Ibu dan ayah dia dah berpisah.” Tenang sahaja wanita itu bercerita.

24

Aii Fariza

Sakinah tersentak. “Maafkan saya.” “Tak apa. Eh, dah lama kita bersembang. Saya langsung tak tahu nama kamu.” “Sakinah. Panggil Kinah saja pun boleh. Boleh saya dukung dia?” pinta Sakinah. Dia memang ingin menggendong anak kecil itu. Simpatinya mudah sahaja tumpah mengenangkan nasib bayi comel itu. Terpaksa mengharungi situasi perpisahan ibu bapa biarpun dalam usia yang sangat mentah. Wanita itu mengangguk perlahan. dengan cermat cucunya kepada Sakinah. Diberikan

“Errr... boleh saya tahu nama puan?” Teragak-agak dia menyoal. “Nama saya Noraini. Semua orang panggil Ain termasuk suami saya. Sampai saya naik muak mendengar nama saya sendiri,” gurau Datin Noraini. Sakinah ketawa kecil mendengar ucapan wanita di hadapannya itu. Begitu bersahaja intonasinya. Tercuit hatinya untuk ketawa. “Hah, kan manis ketawa begini! Jangan menangis lagi. Setiap dugaan itu pasti ada hikmahnya.” Naluri seorang ibu yang ingin melihat seorang anak ceria dan bahagia secara tidak langsung memujuk hati gadis manis itu. Sakinah mengangguk. Sebuah senyuman terukir biarpun hambar. “Puan di sini dengan siapa lagi selain Shafiq? Saya tak nampak sesiapa pun dari tadi.” “Saya datang dengan suami saya. Tapi dia keluar ke pasar sekejap beli barang dapur. Maklumlah, kami baru pulang ke sini, jadi tak sempat nak membeli barang untuk memasak.”

25

Kontrak Janji Setia Antara Kita

“Pandai juga suami puan beli barang dapur. Saya jarang nampak lelaki ke pasar sebab selalunya kat pasar tu, majoritinya wanita.” Sakinah mengulas. “Mana tak pandainya, sepanjang usia perkahwinan kami selama tiga puluh tahun ni, saya selalu paksa dia masuk dapur. Mana tahan kita sorang saja yang memasak tapi dia duduk goyang kaki baca surat khabar. Jadi, bila saya ugut tak nak memasak baru dia nak ikut sekali,” cerita Datin Noraini yang sememangnya ramah. Sakinah hanya tergelak mendengarnya. Datin Noraini terkesan sesuatu di sebalik senyuman itu. “Kamu ni orang sini ke? Wajah kamu macam ada iras orang yang saya kenal.” “Haah, ibu saya orang sini. Lepas arwah nenek meninggal, kami terus menetap di sini. Puan selalu ke melancong ke sini?” Kesedihan Sakinah sedikit demi sedikit lenyap. “Apa pulak melancong? Saya ni dilahirkan dan dibesarkan di sini. Anak jati kampung ni. Cuma selepas arwah mak saya meninggal, saya dah jarang pulang ke sini. Kalau raya pun kami adik-beradik selalu berkumpul di Kuala Lumpur. Tapi entah mengapa sejak kebelakangan ini saya tiba-tiba terpanggil untuk balik ke sini. Rindu agaknya,” luah Datin Noraini. Sakinah hanya mendengar. Dibelai ubun-ubun Shafiq. Sesekali ciuman kecil bertaut di kening bayi itu. “Ibu kamu orang sini? Siapa namanya? Mana tahu kami saling mengenali.” Datin Noraini senang melihat Sakinah mengulit manja cucunya itu. Penuh sifat keibuan biarpun gadis itu tampak begitu muda. “Nama ibu, Syamila...” beritahu gadis itu.

26

Aii Fariza

Senyuman Datin Noraini mati. Berubah air mukanya serta-merta. Sakinah turut terkesan. “Syamila?” Sakinah mengiakan. “Orang kampung panggil Mila.” “Syamila anak arwah Hajah Fatimah dan arwah Haji Abdullah? Kamu anak dia?” Datin Noraini semakin panasaran. “Ya. Kenapa, puan?” Sakinah hairan melihat riak wajah Datin Noraini yang tiba-tiba berubah. Datin Noraini mengampu wajah Sakinah dengan kedua-dua belah tangannya. Tidak silap tekaannya. Wajah Sakinah ada iras Syamila. Alhamdulillah.... “Bawa mak cik jumpa ibu kamu. Mak cik dah lama nak jumpa dia,” pohon Datin Noraini. Raut wajahnya benarbenar berharap. Air matanya hampir bergenang. Sakinah yang kaget, mengangguk setuju. Sambil menggendong Shafiq, Sakinah bersama Datin Noraini melangkah beriringan menuju ke rumahnya, meninggalkan kawasan pantai. Ketukan pada pintu bilik menyedarkan Sakinah daripada khayalannya. Sakinah menapak ke pintu lalu membukanya. Wajah Datin Noraini dan ibunya terlayar di ruang mata. Datin Noraini mengukir senyuman manis. Sakinah membalas. Ibunya pula memandang dengan senyuman kecil. “Mari.” Tangan Sakinah ditarik. Datin Noraini mendudukkan Sakinah di birai katil. Dia turut mengambil

27

Kontrak Janji Setia Antara Kita

tempat di sebelah kanan Sakinah manakala Mak Cik Syamila di sebelah kiri anaknya. Datin Noraini segera mencapai tangan Sakinah. “Keluarga umi datang nak pinang Kinah.” Datin Noraini berterus terang. Perasaan gembira di wajahnya sungguh jelas terpamer. Sakinah terkasima. Bagaikan ada satu rentapan kuat mencabut hatinya. Jantungnya seolah-olah berhenti berdenyut. Ayat itu seperti membelit lehernya. Sakinah menoleh kepada ibunya memohon pengertian. Mungkin semuanya gurauan semata-mata. Wajah ibunya ditatap. Ternyata anggukan Mak Cik Syamila memecahbelahkan seluruh ruang hatinya. Ya, Allah... ujian apa pula kali ini? Kahwin? Bagaimana pula dengan impianku untuk menyambung pengajian? Tanpa Sakinah sedari, sebentuk cincin bertatah sebutir berlian telah tersarung di jari manisnya. Sakinah semakin tidak keruan. Mata bundarnya hampir menitiskan air mata. Namun ditahan supaya tidak menitik. Tangannya masih dalam genggaman tangan Datin Noraini. “Umi tahu anak umi dan Sakinah tak sepadan. Maklumlah, anak umi duda dan Sakinah pula anak dara. Tapi umi berharap sangat Sakinah tak kisah dan sudi menerima pinangan ini. Umi ingin sangat menjadikan Sakinah menantu umi, isteri kepada anak umi dan ibu kepada Shafiq.” Lembut tutur kata Datin Noraini. Ingin membeli jiwa Sakinah supaya bersetuju dengannya. “Shafiq masih terlalu kecil untuk kehilangan sentuhan seorang ibu. Apatah lagi untuk memahaminya. Umi yakin Kinah mampu memberi kasih sayang buat Shafiq,” tambah wanita anggun itu.

28

Aii Fariza

“Kinah setuju?” Mak Cik Syamila menyoal. Sakinah memandang kehilangan kata-kata. ibunya kembali. Dia

“Sakinah tak setuju?” teka Datin Noraini setelah menyedari kebisuan Sakinah. Sakinah mengetap bibir. Lidahnya benar-benar kelu. Sakinah memandang raut wajah hampa Datin Noraini. Dia tidak sanggup menatapnya. Wanita itu begitu mengharap, masakan dia begitu kejam ingin menolak. Sakinah serba salah. Dia masih ingin menyambung pengajian yang tertunda. Bolehkah impiannya itu dipenuhi walaupun setelah dia berkahwin kelak? “Umi tak kisah kalau Kinah nak fikirkan dulu.” Datin Noraini menyambung bicara. “Kinah masih ada satu impian yang Kinah belum capai. Kinah takut lepas berkahwin nanti Kinah dah tak boleh nak capai impian tu,” ujar gadis itu tenang. Mak Cik Syamila mengusap rambut anak daranya itu dengan lembut. Datin Noraini kembali ceria. Ayat yang diungkap oleh Sakinah tidak menunjukkan sebarang penolakan itu menggembirakannya. Ternyata dia masih mempunyai harapan. “Apa impian yang Kinah nak capai tu? Boleh umi tahu?” “Errr... Kinah nak sambung pengajian ke universiti. Kinah nak dapatkan segulung ijazah buat ibu dan ayah. Kinah nak sangat bantu ibu dan ayah.” Begitu polos suara gadis itu. Mak Cik Syamila sebak. Mutiara jernih mulai terbit daripada celah kelopak matanya. Datin Noraini turut hiba. Sakinah memang anak

29

Kontrak Janji Setia Antara Kita

yang mulia. Gadis itu tidak seperti kebanyakan anak gadis kampung yang hanya menunggu masa untuk dipinang. Sakinah masih memikirkan tentang nasib orang lain walaupun dirinya di ambang kehidupan selesa. Nampaknya, dia telah tersilap menilai. Dia mengagak yang Sakinah akan segera bersetuju. Pantas sahaja gadis itu tidak terus menyatakan persetujuan kerana masih ada tanggungjawab yang belum dilunasi sebagai seorang anak. “Kalau umi berjanji selepas berkahwin yang Kinah masih boleh sambung belajar, Kinah setuju dengan pinangan umi?” soal Datin Noraini. Sakinah memandang Mak Cik Syamila sekilas sebelum memandang wajah Datin Noraini kembali. “Boleh ke begitu? Kinah tak mahu susahkan sesiapa,” tanya Sakinah polos. Datin Noraini mengangguk laju. “Boleh. Umi akan tunaikan.” “Tapi Kinah tak mahu bebankan sesiapa,” ujar Sakinah serba salah. “Itu bukan satu bebanan, tapi satu tanggungjawab. Bila Kinah dah berkahwin dengan anak umi, secara automatik Kinah juga menjadi anak umi. Jadi, tak salah umi memenuhi impian Kinah itu sebagai seorang ibu. Lagipun, anggaplah itu sebagai satu hadiah penghargaan tak ternilai di atas kesudian Kinah menerima anak umi.” Sakinah mati bicara. Menganalisis kata-kata Datin Noraini. Adakah ini saja jalannya agar menyambung cita-citaku? Ujarnya dalam hati. aku dapat

“Macam mana? Kinah sudi terima lamaran daripada

30

Aii Fariza

pihak umi?” Datin Noraini menyoal lagi. Berdebar-debar menanti jawapan Sakinah yang masih diam membisu. Ya Allah, permudahkanlah segalanya agar Sakinah menerima pinanganku ini, amin.... Doa Datin Noraini dalam hati. “Errr... Kinah ikut keputusan ibu dan ayah,” jawab Sakinah. Walau apa pun keputusan yang dibuat, ibu dan ayahlah keutamaannya. “Kalau ibu dan ayah setuju, Kinah setuju?” Datin Noraini bertanya kembali. Kali ini Sakinah diam. “Diam saja. Setuju ke, Sakinah?” Mak Cik Syamila pula menyoal. Sakinah telan liur. “Kinah ikut kata ibu dan ayah.” “Ikut kata kau dengan Yusuf pulak! Kalau Sakinah setuju, kamu berdua setuju? Mana satu ni, Mila?” soal Datin Noraini kebingungan. “Kalau ibu dan ayah setuju, Kinah setuju?” Mak Cik Syamila menarik dagu anak gadis itu menghadapnya. Wajah Sakinah ditenung. Sakinah tertunduk malu. Jika dianggukkan kepalanya, kelihatan seperti dia yang terhegeh-hegeh ingin berkahwin. Jika digeleng, lain pula maksudnya nanti. “Kira setujulah. Anak dara mana nak mengangguk kalau setuju. Selalunya dia orang diam saja. Orang tua-tua pesan kalau dah diam tanda setujulah tu.” Datin Noraini menyimpul kata. Wajah Sakinah berona merah. Mak Cik Syamila faham. “Ikut kata kau sajalah, Ain....”

31

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Datin Noraini menghela nafas lega. Dia berasa lapang. Akhirnya penyatuan dua hati ini akan berlangsung juga.

32

Aii Fariza

Bab 4
AK ANDAM membetulkan letak selendang di atas kepala Sakinah yang dilitupi tudung. Sulaman bunga-bunga kecil yang timbul pada selendang putih itu kelihatan cantik. Sesuai dengan kulit wajah Sakinah yang mulus dan manis. Kebarung moden yang tersarung pada tubuh gadis itu juga tampak menawan. Mak andam sedari tadi asyik mengomel tentang kulit wajah Sakinah. “Kamu ni muda lagi, tu pasal kulit kamu cantik. Senang kerja akak, tak payah nak touch up tebal-tebal. Lagi bagus sebab kamu tolong jimatkan mekap akak tau!” usik Kak Tijah. Sakinah senyum. “Akak nak tanya sikit boleh?” bisik Kak Tijah. Sakinah memandang mak andam yang dibawa khas dari Kuala Lumpur buatnya itu. “Tanyalah, bukan ada sesiapa pun kat sini.” “Oh, lupa pulak tak ada siapa pun kat sini. Akak bukan apa, saja nak tanya tapi Sakinah jangan marah.” Sedari

M

33

Kontrak Janji Setia Antara Kita

tadi memang dia yang menyuruh semua orang beredar dari bilik itu untuk memudahkan proses mengandam pengantin. “Tanyalah dulu, nanti baru saya ambil keputusan nak marah ke tidak,” balas Sakinah bersahaja. Kak Tijah mencebik. “Tak apalah. Akak takut kamu meradang, tak pasal-pasal akak kena angkut semua barang balik KL sekarang ni.” “Tanyalah. Saya gurau aje.” “Kamu kahwin ni atas pilihan keluarga atau pilihan kamu?” Kak Tijah mula mengorek cerita. Sakinah tersengih kemudian tergelak kecil. “Entah. Tapi rasanya pilihan saya sebab kalau tak, bukan sayalah yang menjadi pengantinnya...” Kak Tijah ketawa. Soalannya dibalas dengan jawapan selamba. Rasa ingin dicubit-cubit bibir mungil itu. Terlebih pandai bibir itu mengatur ayat. “Kamu ni suka main-mainlah. Akak tanya betulbetul, selamba je kamu jawab.” Kak Tijah mengomel. “Pilihan sayalah,” jawab Sakinah perlahan. “Kamu tu anak dara, muda pulak tu... tak kisah ke hidup dengan duda? Ada anak pulak tu?” cungkil Kak Tijah lagi. “Aduh, akak ni! Dah pilihan saya mestilah saya tak kisah. Kalau saya kisah, dah lama saya cari teruna tau! Tapi teruna pun belum tentu teruna, entah-entah dah pernah ‘tebuk’ anak orang. Lagi bagus pilih duda yang memang sah bukan teruna,” jawab Sakinah diiringi sengihan nakal. “Erm, yelah....” Malas dia menyoal lagi. Ada sahaja balasan daripada mulut itu yang membuatkan dia terdiam sendiri. Ingat bolehlah mengorek cerita daripada gadis

34

Aii Fariza

kampung ini, namun ternyata gadis ini lebih bijak daripada jangkaannya. Kak Tijah menyematkan sebentuk kerongsang berlian ke tudung Sakinah. Diberi sentuhan terakhir pada wajah gadis itu. “Ada saja jawapan kamu. Tak kisahlah apa kamu cakap, tapi kamu ni baru dua puluh tahun... tak teringin ke nak sambung belajar? Takkan nak jadi suri rumah tangga seumur hidup? Boleh mati kebosanan tau kalau akak jadi kamu,” soal Kak Tijah seraya duduk di birai katil pengantin yang dihias indah, usai tugas yang diamanahkan ke pundaknya. “Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan sambung belajar. Memang itu pun niat saya,” balas Sakinah. Mogamoga dia dibenarkan sambung belajar kelak. “Dah siap ke?” Kak Tijah mengangguk. Mengandam gadis itu tidak memerlukan banyak masa. Kak Tijah akui Sakinah mempunyai raut wajah yang cantik dan manis. Kerjanya sudah selesai buat masa ini. Esok barulah kerja mengandam lebih susah dengan adanya beberapa pertukaran persalinan semasa majlis persandingan. “Assalamualaikum....” Terjah beberapa suara dengan ketukan di balik pintu. “Waalaikumussalam.... Akak boleh tolong bukakan pintu?” pinta Sakinah. Kak Tijah membuka pintu yang dikuncinya tadi. “Dah siap ke? Nak tengok pengantin.” Kak Tijah diterjah dengan soalan sebaik sahaja pintu bilik dikuak dari dalam. “Dah, masuklah.” Sakinah menjawab dari dalam. Dia cukup kenal dengan suara-suara itu.

35

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Kak Tijah melebarkan bukaan daun pintu untuk memberi laluan masuk kepada teman-teman Sakinah. Kak Tijah pula keluar selepas itu. “Mak oi, cantiknya! Lawan tauke nampak?” usik Nurul yang memang dikenali dengan gelaran ratu bergaya di kampung itu. Pantang melihat orang lain lebih cantik daripadanya. Tetapi hari ini Nurul terpaksa mengiakan yang Sakinah tampak jelita dan anggun. Namun dia pasti suatu hari nanti dia tentu akan kelihatan lebih cantik jika menjadi pengantin. “Wah, bilik pun baru!” tempik Wan Asiah. Sakinah mengiakan. Memang kamar itu baru dibina sempena perkahwinannya. Itu pun atas kehendak pihak lelaki supaya bilik pengantin nampak lebih selesa dan luas. Siap dengan sebuah bilik air. “Lawalah kau, Kinah...” puji Siti pula. Dia berdiri di sisi Sakinah sambil merenung temannya itu. “Haah. Selalu tu selekeh aje, sekarang bukan main lawa lagi.” Nurul mengusik setelah bangun semula dari birai katil untuk menutup pintu kamar. Siti dan Wan Asiah terkekeh-kekeh ketawa. Sakinah mencebik geram. “Apa pulak selekeh? Cuma tak pandai melawa aje...” balas Sakinah. Membela diri. “Betul tu! Tapi tak pandai melawa pun ada jugak yang minat,” tambah Siti pula. Wan Asiah dan Nurul ketawa lagi. Sakinah tarik muka. “Kesian Zul tau, Kinah.” Wan Asiah tersengih mengusik.

36

Aii Fariza

Sakinah menjeling. “Merana jiwa dia dengar kau nak menikah... dengan lelaki lain pulak tu!” Nurul menambah lagi sekadar bercanda. Mengusik temannya itu. “Hesy, aku tak sukalah dengar nama mamat tu! Buat hilang mood aje,” omel Sakinah. Bila teringat sahaja wajah Zulfi, dia memang cukup tidak berkenan. Sejak dia mula tinggal di kampung itu dan mula bertukar ke sekolah yang sama, jejaka itu selalu mengacau dan mengekorinya. Rimas Sakinah dibuatnya. “Dahlah semua, jangan sebut nama Zulfi lagi. Nanti ada pulak yang tak menikah hari ni.” Wan Asiah mengarah. Nurul dan Siti menurut. Masing-masing mula berbicara tentang bermacam-macam topik disulami gurau senda seperti selalu. Mereka sedar, selepas ini entah bila pula mereka akan dapat duduk bersembang begini lagi. “Hai, semua....” Terjah Azila dari sebalik pintu yang dibuka. Mati senyuman empat orang sahabat yang sedang bersenda gurau. Suasana riang dengan gelak tawa berganti sepi. Azila dan Kamariah masuk tanpa dijemput. Berlenggang-lenggok kedua-duanya ketika berjalan masuk. Senyuman bahagia bertamu di bibir mereka. Yang jelas bagi Sakinah dan teman-temannya, senyuman itu memang plastik. Langsung tidak ikhlas. “Wah, cantiknya Sakinah! Berseri-seri macam bintang.” Azila memuji. Sakinah tersengih. Faham sangat maksud Azila. “Betul tu. Tahi bintang pun kalah.” Suara gedik manja Kamariah pula mencelah.

37

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Azila tergelak-gelak. “Setahi-tahi bintang pun laku jugak dia. Dah nak kahwin pun. Daripada dua orang tu asyik mengelek tahi kat badan tak perasan pulak!” Nurul menempelak, sinis. Selamba sahaja mulutnya mengeluarkan bicara. “Haah. Moleklah tu cakap kau. Bila dua orang tu masuk aje dalam bilik ni, aku dah mula dapat merasakan aura bau tahi menyumbat hidung aku. Habis hilang bau wangi bilik pengantin.” Siti menambah. “Itu bau tahi hidung kau!” balas Kamariah. “Pengotor rupanya kawan pengantin ni. Hesy, mulut pun berbau busuk. Ini mesti lupa gosok gigi. Untuk pengetahuan korang, sebelum bertandang ke rumah ni tadi aku dah siap mandi air bunga bagi wangi satu badan.” Azila tersenyum lebar. Sakinah memang malas membuka mulut. Biarlah Azila mengeluarkan semua bicaranya sepuas hati kerana pada hari bahagianya ini, dia tidak ingin mencemarkannya dengan kata-kata yang bakal merosakkan moodnya. Tambahan pula, kedua-dua teman yang datang itu bukan boleh dilayan sangat, buat kering air liur sahaja. Bukan reti bahasa pun. Nanti hatinya juga yang sakit. “Baguslah tu. Aku dengar mandi bunga ni diamalkan sebab nak buang sial kat badan. Nak bagi cepat kahwin. Kau mesti cemburu tengok Sakinah kahwin, kan? Tu pasal kau dah tak sabar nak kahwin.” Giliran Wan Asiah melepaskan ayat berbisa. Usai sahaja bicara Wan Asiah, Nurul dan Siti gelak semahunya. Sakinah ikut sekali ketawa.

38

Aii Fariza

“Eleh, setakat duda aku tak laparlah! Ada anak sorang pulak tu! Buat membebankan. Macam beli barang kat supermarket. Buy one free one!” Hambur Azila sebelum melangkah pergi. Terkedek-kedek belakang. “Nah, ambik ni. Zulfi bengong bagi kat kau.” Kamariah masuk semula lalu mencampakkan sekeping sampul surat yang berisi ke riba Sakinah. Gadis itu terus berlalu pergi. Sakinah membelek-belek surat yang diterimanya. Nurul, Wan Asiah dan Siti memandang dari birai katil. Menanti gerak jari-jemari Sakinah yang berinai merah membuka sampul itu. Sakinah mencebik. Surat cinta yang selalu diperolehnya tetapi setiap kali itu juga dia pasti akan membuangnya. “Bukalah.” Siti berkata teruja. Nurul dan Wan Asiah juga mengangguk. “Tak naklah. Surat dia merepek-repek. Aku tak lalu nak baca,” balas Sakinah meluat. “Tak nak baca bagi kita orang baca.” Nurul meminta. Sakinah menghulurkan surat tersebut kepada temannya. Dia langsung tidak berminat untuk mengetahui isi surat itu. Belum pun sempat membuka sampul surat itu, Kak Tijah meluru masuk ke dalam kamar. Berita kedatangan rombongan pihak lelaki dan tok kadi disampaikan. Sakinah berpindah duduk di atas katil. Kamariah membuntuti dari

39

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Wan Asiah dan Siti beralih duduk di atas lantai yang diliputi permaidani, manakala Nurul duduk di atas bangku meja solek. Surat yang berada di tangannya terus dimasukkan ke dalam laci meja solek. Berniat ingin mengambilnya semula selepas majlis akad nikah.

SEKALI lafaz namanya terpateri menjadi milik orang lain. Fikirannya tiba-tiba bercelaru. Terfikir-fikir nasib yang bakal dilalui. Dia bakal menempuh sebuah kehidupan baharu. Malah kampung halaman ini juga bakal ditinggalkan. Perasaan cemas, takut dan risau membelah jiwa. Sakinah mulai ragu dengan keputusan yang diambil, sedangkan ijab dan kabul telah terungkap. Sebelum ini Sakinah tidak terlalu berfikir soal itu. Dia hanya memikirkan mengenai pengajian yang bakal disambung. Dia berasa sangat teruja sehingga langsung tidak memikirkan tentang permasalahan yang bakal dihadapi. Tadi sewaktu tok kadi meminta tandatangannya, Sakinah berasa satu perasaan aneh menyelubunginya. Perasaan lebih kepada ragu-ragu. Macam kena paksa sahaja ketika dia menurunkan tandatangan. Itu pun setelah Siti berdeham padanya. “Pengantin lelaki dah nak masuk.” Kak Tijah berbisik. Sakinah seperti tersedar daripada lamunan. Dia terasa semakin aneh dan pelik. Aku ni kenapa? Soalnya dalam hati. “Beri laluan, pengantin lelaki nak masuk.” Arah satu suara dari luar pintu. Tetamu-tetamu yang berada di ambang pintu berkalih tempat duduk.

40

Aii Fariza

Sakinah berdebar-debar. Rafiq menghampiri pengantin perempuan yang duduk di atas katil. Wajah isteri baharunya tidak dapat dilihat dengan jelas kerana gadis itu sedang tunduk. Mungkin malu. Entah cantik entah hodoh, Rafiq kurang pasti. Selalu juga umi menyuruh dia melihat gambar Sakinah, tetapi Rafiq malas. Biarpun gadis itu hodoh atau tidak, dia perlu berkahwin juga. Demi umi dan Shafiq, Rafiq mahu semuanya segera selesai. Disarung sebentuk cincin ke jari manis isterinya. Spontan suaminya. Sakinah tunduk mencium tangan sebelum

Rafiq mengangkat dagu Sakinah melekapkan sebuah kecupan di dahi isterinya.

Kerlipan cahaya putih daripada lensa kamera turut bergemerlapan merakamkan saat indah itu. “Tahniah, Sakinah!” ucap teman-teman Sakinah. Tersenyum manis Sakinah mendengar ucapan ikhlas daripada rakan-rakannya. Dia berterima kasih kepada semua yang datang menemaninya pada waktu itu. Rafiq yang berada di sisi hanya diam mengukir senyuman kecil. “Tahniah, sayang.” Mak Cik Syamila mencium pipi anaknya. Dikuti umi Rafiq serta kakak dan adik perempuan Rafiq. Sakinah agak segan pada mulanya apabila bertemu empat mata dengan ahli keluarga suaminya. Namun penerimaan baik daripada Mardina dan Marina benar-benar membuatkan Sakinah lega. “Terima kasih kerana sudi menerima anak umi.

41

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Insya-Allah, umi percaya Kinah mampu membahagiakan anak umi. Dia anak yang baik dan mendengar kata. Hanya dia sorang sajalah anak lelaki yang umi ada. Jagalah Rafiq serta Shafiq dan sayangilah mereka dengan sepenuhnya. Umi harap Kinah dapat menunaikan kebahagiaan Rafiq dan Shafiq yang telah tertangguh. Jangan hampakan harapan umi. Tahniah, sayang...” ujar Datin Noraini. Penuh emosi Datin Noraini mengungkapkan kata. Sehingga menerbitkan air mata. Sakinah terharu. Kecupan Datin Noraini yang hinggap di keningnya begitu lembut dan tenang. “Jadi isteri yang terbaik buat Rafiq tau! Kak long percaya pada umi bahawa Sakinah mampu menjadi ibu terbaik untuk Shafiq dan isteri yang baik untuk Rafiq. Jangan sesekali kecewakan kami. Tahniah!” pesan Mardina pula. Sakinah hanya mampu mengangguk dan senyum. “Insya-Allah, Kinah akan cuba.” “Hai, saya Marina! Adik bongsu Rafiq. Kinah boleh panggil Rina aje. Senang. Tak payah nak panggil Kak Rina walaupun Kinah lagi muda daripada Rina. Actually seganlah ada kakak ipar yang muda lagi daripada Rina tapi tak kisahlah, janji umi gembira. Yang penting Kinah mesti jadi isteri yang terbaik buat abang supaya dia bahagia kali ni. Kami percaya dengan pilihan umi kali ni. Jangan kecewakan kami tau!” Bicara Marina panjang lebar. Sekali lagi Sakinah hanya mengangguk dengan doa, harapan dan impian yang diungkapkan padanya. Walaupun ada kemusykilan yang bertaut di jiwa, Sakinah hanya mendiamkan diri. Namun benaknya masih terfikir-fikirkan tentang pengharapan yang disandarkan di atas bahunya. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata daripada pihak keluarga suaminya.

42

Aii Fariza

Bab 5
ZILA mencebik dalam hati. Komen-komen yang didengar daripada para tetamu termasuklah kedua-dua orang tuanya, membengkakkan seluruh organ dalamannya. Jauh di sudut hati, Azila langsung tidak bersetuju. Malah dia paling benci mendengar ayat, ‘Secocok sangat mereka berdua. Sama cantik sama padan.’ Biarpun seribu orang berkata begitu, Azila tetap berpendapat bahawa kedua-duanya sama buruk dan sama hodoh. Samasama malang. “Cantik betul Sakinah. Sesuai sangat dengan laki dia.” Mak Kiah tersengih sambil tersenyum melihat Sakinah dan Rafiq dalam acara makan beradab. “Tapi itulah... sayang suaminya duda. Kalau tak, memang sesuai betul dengan Sakinah.” Mak Timah pula mengeluarkan butir bicara. “Tak apalah, dah jodoh. Lagipun duda bukan sebarang duda. Itu duda berisi. Duit banyak tu. Anak orang kaya.” Mak Lah, ibu Azila pula membuka mulut.

A

43

Kontrak Janji Setia Antara Kita

“Berisi anak jugak.” Azila berkata perlahan. Mak Lah memandang tajam ke wajah anak daranya. Amaran diberikan sebagai isyarat, jangan suka menyampuk cakap orang tua! “Betul tu. Dari dapat teruna tak berduit, aku lagi sanggup kahwinkan anak aku dengan duda berduit. Sekurang-kurangnya terjamin hidup anak aku,” tutur Mak Timah pula. “Itu kalau duda muda. Buatnya duda yang sama baya dengan umur kita, tak ke buang tabiat? Esok-esok dipanggilnya kita mak, tak lalu aku nak mendengarnya. Mahu termuntah aku. Gamaknya hari tu juga aku suruh anak aku mintak cerai.” Gurau Mak Kiah. Mak Lah dan Mak Timah ketawa kecil. Azila mencebik geram. Perbualan di kalangan orang tua-tua itu benar-benar mengganggu fikirannya. Ditambah pula dengan rasa sakit hatinya yang dibawa dari semalam sehingga ke hari ini. Otaknya masih teringat sindiran tajam Sakinah dan teman-temannya. Memang malu besar dia waktu itu. Ingin dibalas tetapi takut pula nanti kecoh satu rumah pengantin dikerjakannya. Azila hanya bersabar. Dia pasti akan membalasnya suatu hari nanti. Tetapi macam mana?

SAKINAH masuk ke dalam kamar beradunya. Tudung yang meliputi kepalanya ditanggalkan. Tangan runcing itu mengurut lembut dari bahu sehingga ke pangkal leher. Seluruh urat sendinya amat penat. Mulai petang tadi sampai ke malam mereka sekeluarga serta sanak saudara yang masih belum pulang sibuk mengemas rumah. Dari halaman rumah

44

Aii Fariza

sehingga ke dapur. Walaupun ditegah oleh ahli keluarga yang lain, Sakinah tetap berdegil ingin menolong. Panas juga telinganya mendengar usikan-usikan yang membuatkan hatinya tidak keruan. Dia menghampiri meja solek. Sepit rambut ditanggalkan. Rambutnya yang panjang mengurai dilurut perlahan . Kemudian bergerak pula ke almari pakaian. Tuala dan pakaian tidurnya dibawa ke bilik air. Kali ini Sakinah bertindak penuh berhati-hati. Mulai saat ini dia perlu membawa pakaian sekali jika mahu mandi. Tidak mahu perilakunya sebelum berkahwin terbawa-bawa selepas berkahwin. Malu besar jika dia terlupa. Walaupun hakikatnya tembok ‘haram’ telah roboh antara kedua-duanya. Lima minit selepas itu, Rafiq masuk ke dalam bilik pengantin. Langkahnya diatur ke bagasi yang berisi pakaian. Dia mahu membersihkan tubuh yang melekit dengan peluh. Seharian melayan kehadiran tetamu yang tidak putus-putus membuatkan badannya rimas. Rafiq kaget apabila melihat semua pakaiannya tiada dalam bagasi tersebut. Juraian air dari kamar mandi menyedarkannya. Mungkin Sakinah sudah mengemas pakaiannya ke dalam almari. “Dokumen.” Rafiq berkata sendiri. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Cepat sahaja kakinya menapak ke almari pakaian. Kemudian dibukanya almari yang mempunyai dua pintu itu. Dia tercari-cari dokumen yang dimaksudkan di bahagian pakaiannya yang telah disusun rapi. Malah bahagian pakaian Sakinah juga turut diselongkar. Tetapi tidak ditemuinya. Rafiq beralih pula ke meja solek. Laci meja dibuka. Kini terpampang sebuah sampul surat berwarna coklat yang bersaiz A4 di dalamnya. Masih belum dibuka. Rafiq mengucapkan rasa syukur dalam hati. Dikeluarkan sampul surat itu.

45

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Sebelum menutup laci meja, Rafiq terlihat sekeping sampul surat kecil di dalamnya. Tergerak hatinya untuk mencapai. Mungkin kad ucapan tahniah daripada teman isterinya. ‘Sayangku~ Sakinah’ Rafiq terus sahaja melemparkan pandangan tajam ke bilik air yang masih kedengaran juraian air. Wajahnya sinis ketika membaca tulisan di atas sampul itu. Tidak menyangka gadis pilihan uminya itu telah mempunyai kekasih hati. Nampaknya kali ini umi tersalah membuat perhitungan. Bayangan wajah Suraya yang curang kembali menerjah ingatan. Barangkali Sakinah juga akan mengikut jejak Suraya. Rafiq berang. Marahnya tiba-tiba memuncak. Dia memang benci pada perempuan yang curang. Dengan perasaan marah yang membuak, dia terus membuka sampul surat itu. Dia memang sengaja ingin Sakinah tahu bahawa dia sendiri telah membaca surat cinta isterinya itu. Seterusnya bolehlah dilaksanakan strateginya tanpa raguragu. Jauh di sudut hati, Rafiq mahu mengajar Sakinah erti sebuah kesetiaan. Salam sayang buat Sakinah yang kucintai… Aku tahu kau bakal menyusuri sebuah kehidupan yang baru bersama seorang lelaki yang selain daripadaku. Tapi sayang, aku tertanya-tanya kenapa kau sanggup melukai hatiku. Aku langsung tak faham! Bila aku kata aku sayangkan kau bermakna aku memang sayangkan kau... tapi kenapa kau bertindak

46

Aii Fariza

memilih lelaki lain? Aku betul-betul terluka bila mendengar berita perkahwinan kau... dengan seorang duda? Ada anak satu pulak tu! Rupa-rupanya harta yang kau pilih. Tapi bagaimana dengan impian aku untuk mengecap kebahagiaan hidup ini dengan kau? Aku tahu aku hanya insan biasa yang belum tentu mampu membahagiakan kau... tapi tak sepatutnya kau bertindak memilih lelaki lain sebagai suami! Aku cuma perlukan waktu untuk membuktikan diri ini mampu berjaya... tapi kenapa aku tak diberi kesempatan itu? Aku terlalu kecewa dengan kau, Sakinah…. Salam sayang, Zulfi Hakimi Rafiq mencampakkan surat yang dibaca berserta sampul yang dipegang ke meja solek. Dia melabuhkan punggung di birai katil. Sakinah keluar dari bilik air. Pandangan mereka bertemu. Sakinah kecut melihat tatapan mata suaminya. Sangat tajam dan menggerunkan. Sakinah yang hanya ber-Tshirt putih dan berkain batik menghampiri Rafiq. Dalam takut-takut digagahi diri untuk melangkah. “Abang nak mandi?” tanya Sakinah lembut. “Aku memang nak mandi tapi pakaian aku tak ada kat dalam beg,” tutur Rafiq perlahan. Sakinah yang mendengar pula terasa kasar di

47

Kontrak Janji Setia Antara Kita

telinga. Berdebar-debar hatinya membahasakan dirinya, ‘aku’.

tatkala

lelaki

itu

“Errr... Kinah dah pindahkan pakaian abang ke dalam almari. Maaf, Kinah buat tanpa kebenaran abang.” Sakinah tertunduk kesal. Suaranya jelas terketar-ketar. “Lain kali jangan buat sesuatu perkara tanpa kebenaran aku.” Rafiq memberi amaran. “Lagi satu aku memang tak suka orang sentuh barang aku tanpa kebenaran.” “Kinah janji takkan buat lagi. Maafkan Kinah.” Lembut bicara Sakinah memohon kemaafan. Rafiq tidak menunjukkan sebarang reaksi. Sebaliknya dia bangun lalu berdiri dan bersandar di meja solek. “Duduk,” arah Rafiq. Sakinah duduk di birai katil. membungkus rambutnya dilurut perlahan. Tuala yang

Rafiq memandang sekilas perbuatan itu sebelum menatap semula pada sampul yang dipegang. Dibuka lilitan benang pada sampul tersebut. “Memandangkan kau dan aku dah berkahwin, aku ada satu perkara penting untuk kita bincangkan.” Rafiq membuka sebuah dokumen. Sakinah bungkam. “Ambil ni.” Rafiq menyerahkan dokumen itu kepada Sakinah. “Apa ni?” tanya Sakinah hairan. “Baca dan kemudian kau perlu tandatangan surat perjanjian tu,” arah Rafiq.

48

Aii Fariza

Sakinah terkejut. “Surat perjanjian? Tapi untuk apa?” “Untuk jaminan masa depan. Bacalah tapi kalau kau tak nak baca pun tak apa. Aku cuma perlukan tandatangan kau,” bicara Rafiq serius. Sakinah akhirnya membaca juga isi kandungan dokumen itu. Daripada ayat pertama surat perjanjian itu, hatinya sudah tidak sanggup untuk meneruskan bacaan. Namun, bacaannya tetap diteruskan sehingga ke ayat yang terakhir. Jika diikutkan perasaan, Sakinah memang ingin menangis tetapi dia cuba bertahan. Lelaki seperti Rafiq tidak mungkin mengasihaninya. “Kenapa abang lakukan semua ni?” “Kau nak tahu apa sebabnya? Baik, salah satu sebabnya ini.” Rafiq mengambil surat cinta yang terdampar di atas meja solek itu. Dihulurkan pada isteri yang baru dinikahinya itu. Sakinah menyambutnya. Dia membaca surat itu. “Aku minta maaf sebab membaca surat cinta kau tanpa kebenaran.” Rafiq berkata sinis. Sakinah pantas menggelengkan kepala. “Abang dah salah faham. Kinah sebenarnya...” “Tak payah nak terangkan. Semuanya dah jelas. Aku nak kau sain surat tu sekarang,” pintas Rafiq tanpa menghiraukan kata-kata isterinya. “Tapi Kinah bukan seperti yang abang sangkakan. Kinah....” “Kau jangan nak berpura-pura jadi perempuan baik. Aku takkan tertipu dengan helah kau. Cukuplah dulu aku dah pernah diperbodohkan dengan sorang perempuan.”

49

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Sakinah terkasima. Tersentak dengan bicara kasar suaminya. Belum pernah Sakinah mendengar bahasa sekasar itu. “Abang, tolonglah dengar penjelasan Kinah....” Rafiq mendengus. Sebatang pen dihulurkan kepada isterinya. “Abang....” “Ambil pen ni dulu dan kemudian sain. Lepas tu, baru aku akan dengar penjelasan kau.” Arah Rafiq. Dalam keterpaksaan Sakinah mengambil pen yang diberi. Surat perjanjian itu ditenung lama sebelum teragakagak menurunkan tandatangan. Dokumen itu diserahkan kepada Rafiq semula. “Surat perjanjian ni aku dah sertakan dengan surat peguam. Jadi surat perjanjian ini sah dari segi undangundang. Selagi kau jadi isteri aku, setiap isi surat itu kau perlu ikut. Aku takkan teragak-agak untuk mendakwa kau di mahkamah jika ada sebarang tindak-tanduk kau yang bertentangan dengan isi surat tu.” Itulah kata-kata terakhir Rafiq sebelum berlalu keluar dari kamar pengantin. Sakinah panar. Langsung tidak menduga suaminya terus pergi tanpa mendengar sebarang penjelasannya. Memang dari petang tadi Sakinah sedar akan kewujudan surat itu di dalam laci. Dia tergerak hati untuk membuangnya. Tetapi mengenangkan teman-temannya ingin membaca surat itu, Sakinah membatalkan niatnya. Ternyata natijah sekeping surat cinta yang tidak bernilai telah merosakkan perhubungan yang baru dibina. Surat itu telah menimbulkan rasa curiga di hati sang suami. Mutiara jernih yang ditahan berderai juga akhirnya. Sakinah merintih hiba. Tindakan Rafiq begitu memilukannya. Beginikah berakhirnya malam pertama miliknya?

50

Aii Fariza

MALAM pertama yang didambakan oleh setiap pasangan pengantin baharu sama sekali tidak termeterai di antara mereka. Malam itu Sakinah tidur di atas katil seorang diri. Rafiq pula memilih untuk tidur di atas lantai bilik dengan beralaskan gebar. Sakinah menyeka air mata yang sesekali meleleh di pipi. Setiap kali fikirannya berpusar pada isi kandungan surat perjanjian yang ditandatanganinya, mudah sahaja mutiara jernih itu mengalir lesu. Sakinah tidak menyangka semua itu berlaku dalam hidupnya kini. 1) Puan Sakinah binti Mohd. Yusof bertanggungjawab penuh dengan mengambil segala peranan sebagai ibu kepada Amar Shafiq bin Amar Rafiq selagi ikatan perkahwinan di antara Encik Amar Rafiq dan Puan Sakinah masih berlangsung. 2) Jika didapati sebarang kecederaan sama ada dari segi mental mahupun fizikal kepada Amar Shafiq semasa di bawah jagaan Puan Sakinah binti Mohd. Yusof maka Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz berhak mengambil tindakan ke atas Puan Sakinah binti Mohd. Yusof seperti mendakwanya di mahkamah atas kesalahan di bawah akta penderaan kanak-kanak. 3) Tempoh perkahwinan antara Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz bersama Puan Sakinah binti Mohd. Yusof akan terus berkekalan kecuali jika Puan Sakinah berlaku curang dalam perkahwinan mereka.

51

Kontrak Janji Setia Antara Kita

4) Jika didapati kecurangan berlaku daripada pihak Puan Sakinah binti Mohd. Yusof maka Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz berhak menjatuhkan talak ke atas Puan Sakinah. Sehubungan itu, selepas penceraian tersebut berlaku Puan Sakinah tidak dibenarkan sama sekali menuntut sebarang harta daripada Encik Amar Rafiq. 5) Puan Sakinah binti Mohd. Yusof boleh meminta talak daripada Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz tetapi Puan Sakinah tidak dibenarkan untuk menuntut apa-apa harta daripada Encik Amar Rafiq kecuali di atas kerelaan Encik Amar Rafiq sendiri selepas penceraian berlaku. 6) Perjanjian ini sah di antara Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz dan Puan Sakinah binti Mohd. Yusof sepanjang tempoh perkahwinan mereka kecuali Encik Amar Rafiq bertindak membatalkan perjanjian ini. 7) Perjanjian ini adalah sulit di antara Puan Sakinah binti Mohd. Yusof dan Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz. Selain daripada mereka berdua serta peguam yang bertanggungjawab, pihak lain tidak berhak mengetahui isi-isi perjanjian yang termeterai sama ada daripada pihak Puan Sakinah mahupun daripada pihak Encik Amar Rafiq. Pedihnya hati! Sakinah mengesat lagi titisan air mata yang masih menuruni lekuk pipinya. Bila dikenangkan

52

Aii Fariza

kembali baris-baris ayat pada surat perjanjian itu, Sakinah jadi sebak. Mutiara jernihnya merembes lagi. Entah mengapa dia perlu melalui episod getir itu. Terperangkap dalam ikatan perkahwinan yang disangka merupakan gerbang kebahagiaan yang dinanti namun sebaliknya yang terjadi. Hakikatnya, hati Sakinah semakin sendu mengenangkan prasangka Rafiq kepada dirinya. Sedangkan jiwa dan hati sucinya belum pernah dinodai oleh mana-mana jejaka termasuklah Zulfi, jejaka yang masih mengejar dirinya biarpun sering kali kasihnya itu ditolak oleh Sakinah.

53

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Bab 6
AKINAH melipat mukenah setelah mengerjakan solat subuh. Pandangannya meliar ke seluruh ruang kamar termasuk tempat peraduan suaminya malam tadi tetapi kelibat Rafiq langsung tidak kelihatan. Mungkin ada di luar, sangkanya. Sakinah mengemas katil dan tempat tidur suaminya dengan cermat. Langsung tidak berniat untuk menyambung tidurnya kembali. Dia mahu menolong di dapur di samping menyediakan sarapan untuk saudara-mara yang masih belum pulang. Usai mengemas bilik barulah Sakinah menyusul ke dapur. Dia menyarung tudung kerana masih ada lagi sanak saudara yang bukan muhrimnya berada di situ. Kelihatan senyuman nakal bertamu di bibir saudara-maranya apabila melihat kehadirannya di dapur. Sakinah tersenyum membalas sekadar yang mampu. “Awalnya pengantin bangun…” usik Kak Milah, dua pupunya.

S

54

Aii Fariza

Sakinah sekadar tersengih. “Betul tu. Cik abang tak tarik ke sebelum keluar dari bilik?” sampuk Mak Usu Khatijah pula, ibu Kak Milah. Sakinah sekadar menjongketkan bahu tanpa katakata. Cuma senyuman sahaja yang mampu diberi untuk mengaburi mata yang memandang. “Abang dia pagi-pagi lagi dah keluar. Katanya nak pergi berjalan-jalan di sekitar kampung, nak hirup udara segar.” Mak Cik Syamila menjawab bagi pihak anaknya. Dia tahu Sakinah tidak betah dengan suasana itu. Anaknya itu belum mampu menyesuaikan diri dengan perubahan itu. “Ada apa-apa yang Kinah boleh tolong?” “Tak payahlah tolong. Kamu tu pengantin baru, jadi rehat aje hari ni sementara kami tak balik lagi. Esok-esok bila kami dah balik, nak buat kerja apa pun tak ada siapa nak menghalang. Lagipun ramai kakitangan kat sini....” Mak Usu Khatijah berkata lagi. “Betul tu. Semalam pun Kinah dah penat mengemas satu rumah. Jadi, hari ni biar kami saja yang buat kerja. Kamu tu dahlah pengantin baru, mesti penat melayan suami. Elok kami aje yang selesaikan kerja kat dapur ni,” ujar Kak Milah bersahaja. Sakinah memuncungkan bibir. Tidak setuju. “Alah, Kinah tengah lapang sekarang. Biarlah Kinah tolong,” desak Sakinah. Memang dia tidak betah duduk diam. Rasa tidak enak membiarkan saudara-maranya membuat kerja di rumahnya sedangkan dia hanya duduk goyang kaki. “Kalau macam tu, Kinah bawak keluar pucuk paku dari dalam peti ais tu. Lepas tu siang. Senang ibu nak masak lemak pucuk paku tengah hari nanti.” Arah Mak Cik Syamila.

55

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Sakinah mengangguk setuju dalam senyuman. Seronok sangat diberikan tugas di dapur. Mereka yang lain hanya memandang dalam senyuman yang belum lagi sirna.

RAFIQ merebahkan tubuh di atas katil. Berbaring menelentang sambil merenung siling. Hangat jiwanya perlu didinginkan. Panas telinganya perlu disejukkan. Jika tidak, padahnya lebih teruk. Kata-kata yang didengarnya tadi sungguh berada di luar jangkauannya. Ternyata dia tersilap menilai Sakinah. Uminya juga sudah tersalah meletakkan harapan. Sakinah bukan gadis yang baik, malah hanya seorang perempuan yang tidak bermaruah. “Awak suami Sakinah, kan?” tegur satu suara ketika Rafiq sedang duduk tenang menghadap keindahan pantai waktu dinihari. Rafiq memandang gerangan gadis yang menyapa. Gadis itu sedang menguntum senyuman kepadanya. Rafiq kemudian berpaling kembali ke pantai yang terhampar luas tanpa senyuman mahupun kata-kata. Malas dia mahu melayan kerenah orang kampung. “Kau siapa?” soal Rafiq jengkel. “Aku Azila, kawan Sakinah.” Azila membalas. Bahasa sopannya juga ditukar apabila mendengar cara Rafiq berbahasa. Lagipun, dia malas berpura-pura baik. Jenuh mulutnya ingin mengatur ayat nanti. “Habis tu, kenapa? Sakinah tak ada kat sini.” Rafiq menjawab tanpa menoleh. Azila mencebik. Sombong! “Ya, aku tahu. Saja aku nak bertanya khabar.”

56

Aii Fariza

“Kalau nak bertanya khabar, datanglah ke rumah. Boleh tanya khabar seisi rumah.” Rafiq terus bangkit. Seluar jean yang terlekat pasir ditepuk perlahan sebelum berlalu pergi. “Jangan sombong sangat, Encik Rafiq. Isteri baru kau tu bukannya baik sangat.” Azila berkata kuat. Rafiq menghentikan langkah kaki. Dia berpaling dengan renungan yang tajam ke wajah gadis yang bernama Azila itu. “Apa maksud kau?” “Kau tahu tak dia tu sebenarnya gadis paling ligat dalam kampung ni? Ke hulu ke hilir dengan macam-macam lelaki. Silap besarlah kau jadikan dia isteri lebih-lebih lagi ‘ibu segera’ untuk anak kau! Perempuan macam dia tak layak langsung. Kalau kau tak percaya, aku boleh bawak kau berjumpa dengan kawan-kawan aku. Kita orang semua satu sekolah.” “Kenapa kau beritahu aku semua ni? Apa motif kau?” Rafiq bertanya. Dia nampak relaks dan bersahaja, walaupun sebenarnya dalam hati begitu hangat membara. “Aku sebenarnya kesian pada kau. Kononnya nak dapatkan sorang isteri yang baik dan ibu yang sempurna untuk anak kau, tapi alih-alih dalam kau memilih yang terbaik rupa-rupanya kau dapat sampah,” kata Azila sesedap rasa. “Habis tu, kau sebagai kawan kenapa sanggup mendedahkan perangai buruk dia pada aku? Kau nak rosakkan hubungan kami? Atau kau dengki sebab dia dapat berkahwin dengan orang kaya tapi kau tak dapat? Apa alasan kau sebenarnya?” Bening mata Rafiq memaku tepat ke wajah Azila. Kalau boleh memang ingin dipaku mulut yang berkata. Hatinya pedih menadah telinga mendengar momokan daripada Azila.

57

Kontrak Janji Setia Antara Kita

“Aku cuma nak ingatkan kau siapa sebenarnya Sakinah. Aku takut kalau kau akan menyesal di kemudian hari nanti. Jadi lebih baik aku ceritakan hal sebenarnya supaya kau berhati-hati. Untuk pengetahuan kau, aku langsung tak ada rasa iri hati pada Sakinah. Setakat duda anak sorang aku langsung tak laparlah!” hambur Azila sebelum melangkah pergi. Puas hatinya tika itu. Dendamnya terbalas. Senyumannya memekar bak bunga kembang pagi. Padan muka kau, Sakinah! Rafiq tergelak kecil. Hambar. Fikirannya yang sedia bingung bertambah sasau gara-gara mulut teman Sakinah. Rafiq merasakan segalanya bagaikan memakan dirinya kembali. Satu perjudian diri yang tidak membawa apa-apa makna. Malah, pengorbanan yang dilakukan demi ibu tercinta terasa sia-sia belaka. Walau apa pun yang berlaku, Rafiq masih berasa lega dengan surat perjanjian yang berada di tangannya. Apa sekalipun tindakan Sakinah, semuanya sudah tersurat dalam isi surat perjanjian tersebut. Rafiq percaya gadis itu tidak akan berani berbuat macam-macam. Jika tidak, akibatnya cuma mengundang padah kepada diri sendiri. “Abang nak sarapan?” tegur satu suara lunak. Fikiran Rafiq yang melayang kembali ke alam realiti. Apa yang difikirkan tadi semuanya lenyap. Wajah Sakinah pula yang muncul. Wanita itu berjalan ke arahnya setelah menutup pintu kamar. “Kenapa kau masuk ke dalam bilik ni?” Rafiq bertanya garang. Matanya tajam menghunjam mata isterinya. Sakinah terkedu. Langkahnya pegun. Perasan takut untuk berhadapan dengan suaminya hadir semula. “Errr... Kinah nak tanya... abang nak makan?”

58

Aii Fariza

gugup Sakinah memberitahu tujuannya bertandang ke dalam bilik sedangkan hakikatnya dia tidak perlu berbuat demikian kerana bilik itu juga miliknya. “Tak payah susah-susah dan tak perlu nak buat baik. Aku tak harapkan layanan baik daripada kau. Sekarang ni, aku cuma nak kau keluar dari bilik ni. Aku rimas tengok muka kau berdiri dekat sini lama-lama. Tolong keluar!” Jerkah Rafiq lantas terus memejamkan mata. Konon ingin merehatkan fikiran. Sakinah mengangguk dalam keperitan. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Suaminya tidak sudi, buat apa lagi dia mahu tersorong-sorong pipi pula!

59

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Bab 7
AK CIK SYAMILA mendatangi Pak Cik Yusof yang sedang membetulkan jala di atas pangkin di bawah pokok rambutan. Segelas air kopi ditatang bersama. “Air, bang.” Mak Cik Syamila melabuhkan punggung di sisi suaminya. Dihulurkan air kopi yang dibawa kepada suaminya. Pak Cik Yusof menyambut. Dihirup perlahan sebelum diberikan semula kepada isterinya. “Terima kasih.” Mak Cik Syamila tersenyum. Itulah ayat yang tidak pernah lekang daripada bibir suaminya sejak mereka berkahwin. Membuatkan dia terasa dirinya sentiasa dihargai. “Macam manalah keadaan Sakinah di sana, bang? Saya risau,” luah Mak Cik Syamila. Perkara itu selalu berlegar-legar di benaknya. Bimbang sungguh mengenangkan anaknya yang baru berkahwin dalam usia yang begitu muda. “Hei, hal Sakinah lagi yang awak risaukan? Nak risau apa lagi? Sakinah dah berkahwin, tahulah suaminya

M

60

Aii Fariza

menjaga dia. Lagipun kawan baik awak tu sekarang dah jadi mak mentua dia. Tahulah dia nak tengok-tengokkan Kinah,” kata Pak Cik Yusof sambil tangannya ligat menyirat jala yang rosak. Mak Cik Syamila mengeluh lembut. “Maksud saya, Sakinah tu masih muda. Tahu ke dia nak menguruskan rumah tangga? Nak uruskan suami satu hal, belum lagi dengan anak. Belum apa-apa lagi dah dapat pangkat ‘ibu segera’.” Pak Cik Yusof terus meletakkan jalanya ke tepi. Dia memandang ke wajah isterinya. “Habis tu, waktu Ain meminang Sakinah kenapa awak tak tolak saja? Sekarang baru nak cakap yang awak tak mahu bermenantukan lelaki duda.” “Saya bukan tak suka, bang. Saya cuma risaukan Sakinah. Dalam satu masa dia kena belajar menguruskan suami dengan anak serentak. Lepas ni, dia nak sambung belajar pulak. Banyak beban yang dia kena tanggung. Saya takut dia tak dapat nak hadapi semua tu.” Mak Cik Syamila membalas. “Janganlah risau, Mila. Awak dah lupa yang Sakinah tu bukan calang-calang anak? Dari kecil kita tengok dia membesar sampai sekarang. Susah senang kita, Sakinah banyak bersabar daripada abang dan adik-adiknya. Dulu waktu kita suruh tangguhkan pengajian, dia tetap menurut biarpun abang tahu dia kecewa. Tapi rasa kecewa tu langsung tak pernah ditunjukkan pada kita. Sekarang pun abang percaya Sakinah tetap mampu hadapi semua tu,” pujuk Pak Cik Yusof. Mak Cik Syamila mengangguk tanda mengiakan kata-kata suaminya. “Saya pun harap begitu, bang.”

61

Kontrak Janji Setia Antara Kita

“Assalamualaikum…” seru satu suara di halaman rumah. Pak Cik Yusof dan Mak Cik Syamila melihat Pak Cik Ismail sedang berjalan menghampiri mereka. “Waalaikumussalam.” “Sihat, Mail?” tanya Pak Cik Yusof setelah mereka bersalaman. Mak Cik Syamila sudah meminta diri untuk ke dapur. “Alhamdulillah... aku sihat, macam nilah selalunya. Kau pulak? Sihat?” Pak Cik Ismail melabuhkan punggung di atas pangkin. Duduk bersetentang dengan Pak Cik Yusof. “Alhamdulillah, sihat. Kenapa tiba-tiba ke sini?” “Aku dapat tahu kau tak ke laut, jadi langsung ke sini. Kenapa? Ada masalah?” “Jala aku yang tak sihat. Terpaksalah aku betulkan sebelum ke laut,” jawab Pak Cik Yusof. “Oh, aku ingatkan dah tak mahu ke laut! Maklumlah, dapat menantu kaya...” usik Pak Cik Ismail. Pak Cik Yusof tergelak kecil. “Yang kaya menantu, bukan aku...” balas Pak Cik Yusof bersahaja. Pak Cik Ismail pula tergelak. “Untunglah anak kau, Yusof. Anak aku Marisa dah dua tahun bekerja di KL tapi sorang lelaki kaya pun tak dapat ditangkapnya bawak balik.” Pak Cik Ismail bercanda lagi. Pak Cik Yusof menggeleng sambil tersenyum. “Dah jodoh Sakinah. Aku terima sajalah. Kalau tak silap aku, Marisa bekerja sebagai jururawat, kan? Tak dapat

62

Aii Fariza

menantu kaya pun tapi anak kau dah bekerja cari duit untuk kau. Tak lama lagi kau bertambah senang daripada aku,” kata Pak Cik Yusof merendah diri. “Itulah pasalnya. Marisa tu satu-satunya anak aku. Dari kecil dia dah merasa hidup susah. Sekurang-kurangnya kalau dia ada suami yang berduit sikit, tak adalah hidupnya susah lagi. Tapi kalau dibuatnya jodoh dia dengan orang susah, alamatnya bertambah susahlah aku,” omel Pak Cik Ismail. “Apa yang susah-susah ni?” tegur Mak Cik Syamila sambil menatang sebuah dulang. Diletakkan secawan kopi di hadapan Pak Cik Ismail dan sedikit kuih keria untuk juadah minum petang. “Mail nak menantu kaya macam kita,” gurau Pak Cik Yusof menjawab persoalan isterinya. Pak Cik Ismail ketawa. Mak Cik Syamila hanya tersenyum. “Kalau menantu kaya tapi anak kita tak bahagia tak boleh juga,” tambah Mak Cik Syamila. “Betul jugak tu. Dapat menantu kaya tapi anak kita merana, lagi susah.” Pak Cik Ismail menyokong kata-kata isteri temannya itu. Dia terlupa pula soal itu. “Hah, tahu pun. Kaya, miskin, berduit ke tak... semua tu jodoh. Yang penting kita doakan yang terbaik buat kesejahteraan anak-anak kita.” Pak Cik Yusof mengulas lagi. Pak Cik Ismail mengangguk setuju. “Tapi harapharap biarlah berduit dan beriman.” Mak Cik Syamila dan Pak Cik Yusof tertawa mendengar pengharapan yang dilahirkan oleh teman mereka itu.

63

Kontrak Janji Setia Antara Kita

DATUK FAIZ menghampiri isterinya yang ralit membelek pokok-pokok bunga orkid di taman mini yang terletak di sebelah kanan halaman rumah. Dia menyentuh bahu isterinya lalu melepaskan sebuah kecupan di kepala Datin Noraini. “Isy, abang ni! Suka-suka hati buat macam tu kat tengah laman ni,” tegur Datin Noraini dengan wajah menghangat. Malu jika Milah, pembantu rumah mereka ternampak perlakuan Datuk Faiz. Meskipun begitu dalam diam, Datin Noraini sangat menyenangi perlakuan tersebut. Itulah cara suaminya menunjukkan kasih sayang padanya. Datuk Faiz tergelak kecil. Sifat malu-malu Datin Noraini masih belum lentur walaupun telah lama mereka bersama melayari alam berumah tangga. Salah satu sifat yang menawan hatinya di awal perkahwinan dulu. “Habis tu, siapa suruh Ain busy sangat membelek pokok-pokok tu sampai tak sedar abang dah ada kat sebelah Ain. Terpaksalah abang buat macam tu untuk sedarkan Ain.” Datuk Faiz tersenyum. Datin Noraini mencebik. “Lain kali bagi salam dulu. Tak payah nak romantik sangat kat tengah halaman rumah. Malu kalau Milah nampak nanti,” tegur Datin Noraini. Pura-pura marah. Datuk Faiz senyum lagi. “Jomlah ke sana, abang nak duduk sembangsembang dengan Ain. Tak payahlah duk asyik bermanja dengan pokok bunga tu, abang pun nak bermanja jugak dengan Ain,” omel Datuk Faiz seraya menarik tangan isterinya. Datin Noraini ingin menolak tetapi tidak terluah apabila suaminya sudah menarik tangannya. Dengan langkah berat dia membuntuti suaminya ke pangkin kayu cengal yang berukir halus.

64

Aii Fariza

“Sebenarnya abang bosan duduk memerap kat rumah, tak ada kerja langsung nak dibuat. Lainlah Ain, sibuk memanjang dengan pokok bunga. Dari pagi hingga ke petang tak sah kalau tak main-main dengan pokok tu sampai abang pun Ain tak nampak. Daripada abang tak buat apa-apa, baik abang masuk kerja balik, tapi abang tahu Ain mesti tak bagi punya...” bebel Datuk Faiz. “Alah, abang janganlah masuk kerja balik. Ain bosan nanti tak ada teman. Kalau abang nak pergi main golf dengan kawan-kawan abang, Ain tak kisah... janji jangan masuk kerja balik.” Datin Noraini menyanggah niat suaminya. Tangan suaminya digenggam. Tidak mahu suaminya terlalu mengikut kata hati. Datin Noraini cukup faham perangai Datuk Faiz yang memang gila bekerja sehingga ada kalanya dia merasa diabaikan. Mujur sekarang syarikat telah diterajui oleh Rafiq. “Kalau macam tu, tak payahlah asyik buang waktu dengan pokok bunga tu. Sepatutnya Ain layan abang tau. Manjakan abang, sayang abang dan jaga abang baik-baik. Barulah abang terasa bermakna duduk di rumah ni...” balas Datuk Faiz bersahaja. Ingin tergelak melihat wajah isterinya yang mulai keruh bila dia membuka topik ‘mahu bekerja semula’. Topik yang cukup tidak digemari oleh isterinya. “Okey, Ain janji lepas ni Ain akan penuhkan masa Ain dengan abang sampai abang takkan rasa nak kerja balik. Demi abang, pokok-pokok tu nanti Ain suruh Milah yang jaga.” Lembut suara Datin Noraini memujuk rasa kecewa di hati sang suami. Gara-gara takut Datuk Faiz jadi ‘gila kerja’ semula, dia sanggup mengorbankan minatnya itu. “Okey, kalau Ain dah janji... abang akan lupakan niat untuk kerja semula,” jawab Datuk Faiz dalam senyuman lebar. Bahagia dengan janji yang dibuat oleh isterinya.

65

Kontrak Janji Setia Antara Kita

“Tak pun abang boleh tukar minat abang pukul golf kepada minat mencangkul dan bercucuk tanam. Ain rasa abang mesti seronok punya. Nanti kita mencangkul samasama tau!” Datin Noraini memberi cadangan. Terasa sedih pula terpaksa mengorbankan minatnya begitu sahaja. Apa salahnya jika dia mengajak Datuk Faiz menyertai aktiviti kegemarannya itu. “Tengoklah macam mana. Sekarang ni abang cuma nak bermanja dengan Ain aje...” bisik Datuk Faiz sambil menggenggam lembut jemari isterinya. Datin Noraini tersenyum malu. Segannya seperti pengantin yang baru menikah semalam. “Bagaimanalah keadaan budak berdua tu, bang?” luah Datin Noraini tiba-tiba. “Laaa, siapa pulak yang Ain fikirkan saat ni? Janganlah fikir pasal orang lain bila kita tengah berdua... nanti abang sedih,” sayu suara Datuk Faiz. “Abang janganlah kecil hati. Ain tiba-tiba teringatkan Sakinah dan Rafiq bila kita bermesra macam ni. Entah sampai ke tak hajat Ain nak tengok dia orang berdua bahagia macam kita sekarang ni?” keluhnya. Datuk Faiz menarik nafas berat. Soal Rafiq dan Sakinah ternyata agak rumit. Dia sendiri sukar untuk menjangka perjalanan rumah tangga anaknya itu jika Rafiq berterusan begitu. “Insya-Allah akan ada harinya. Asalkan kita berdoa dan berusaha menyatukan hati mereka...” balas Datuk Faiz ringkas. “Ain pun hanya mampu berdoa supaya hati anak kita tu akan bertukar lembut. Layan isterinya dengan baik macam abang layan Ain,” luahnya lagi.

66

Aii Fariza

“Ain jangan risau, semuanya pasti berubah sebab Rafiq tu anak kita. Sifatnya akan mengikut acuan yang kita terapkan. Suatu hari nanti dia mesti dapat berfikir apa yang kita lakukan sekarang adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan dia juga. Cuma kita kena biarkan waktu yang bermain dengan peranan masing-masing.” Tambah Datuk Faiz. Mahu membuang jauh kerunsingan isteri tercinta. “Ain cuma berharap Sakinah adalah pilihan terbaik.” “Abang pulak berharap Rafiq dapat menghargai apa yang dia ada sekarang ni.”

67

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Bab 8
Geram.

“R

AF tak setuju!” putus Rafiq. Datin mengancingkan Noraini gigi.

“Raf tak boleh buat begitu. Itu hak dia untuk belajar.” Datin Noraini membidas. “Habis tu, siapa pulak nak menjaga Shafiq? Tujuan Raf kahwin dengan dia pun demi kepentingan Shafiq, takkan tiba-tiba dia nak lepas tangan macam tu aje. Dulu umi suruh Raf berkahwin dengan dia, Raf ikut dan patuh. Sekarang ni, umi nak suruh Raf hantar dia pergi belajar pulak?” Rafiq bercakap dalam nada marah. Permintaan uminya yang mewakili Sakinah dirasakan melampau. Dasar budak kampung! “Tolong kawal suara kamu, Rafiq. Umi tak pernah didik kamu untuk menyakiti hati orang lain terutamanya isteri kamu. Tolong jaga perasaan Sakinah. Umi tak mahu dia bersedih sekiranya terdengar kata-kata kamu tu!” Datin Noraini memberi amaran.

68

Aii Fariza

Rafiq berpaling ke arah lain sambil mendengus. Cuba menahan rasa hati yang marah membara mendengar permintaan tidak masuk akal uminya itu. “Itu impian Sakinah sebelum berkahwin dengan Raf. Umi sendiri dah bersetuju untuk tunaikan hasrat dia. Berilah Sakinah peluang untuk sambung pelajarannya. Soal Shafiq janganlah Raf bimbang. Umi boleh tolong jagakan anak kamu tu sementara Sakinah sambung belajar,” pujuk Datin Noraini. Rafiq menggeleng laju. “Raf tak setuju. Untuk apa umi bersusah payah menjaga Shafiq sedangkan Raf dah ada isteri? Kalau dari dulu Raf tahu perempuan ni banyak kerenah, dah lama Raf tolak permintaan umi untuk berkahwin dengan dia. Agaknya orang kampung ni memang ada agenda untuk peralatkan orang macam kita dan umi pulak masih tak sedar-sedar yang Sakinah tu sedang memperalatkan umi!” Lancang sekali bibir Rafiq berkata-kata. “Rafiq!” tegur Datuk Faiz yang baru sahaja turun dari tingkat atas. “Itu umi kamu, Raf. Jangan biarkan perasaan marah tu menguasai diri. Nanti akan memakan diri,” pesan Datuk Faiz yang mula mengambil tempat di ruang tamu. Dilabuhkan duduknya di sisi isteri tercinta. “Maaf, umi. Raf tak sengaja,” pohon Rafiq ikhlas. Datin Noraini mengangguk lemah. Anak lelakinya itu memang cukup tegas pendiriannya. Tetapi jika kena dengan caranya, Datin Noraini yakin hati manusia sekeras mana pun pasti akan berlembut juga. Insya-Allah. “Kenapa Raf tak setuju? Sakinah cuma nak sambung pelajaran dia, itu saja. Lagipun umi sendiri dah setuju untuk jaga Shafiq,” tegur Datuk Faiz.

69

Kontrak Janji Setia Antara Kita

“Atau Raf risau tentang yuran pembiayaan pengajian Sakinah? Kalau pasal tu, Raf jangan risau. Umi sendiri bersedia menanggung segala kos pengajian menantu umi tu,” ujar Datin Noraini lirih. Demi kepentingan menantu yang dipilihnya itu, Datin Noraini sedia berkorban. Terbayang di ruang mata wajah teman baiknya, Syamila. Wajah yang meletakkan sepenuh harapan dan kepercayaan terhadapnya. Hatinya sebak tiba-tiba. Syamila dan Sakinah begitu tulus menerima permintaannya. Masakan pula dia sanggup menghampakan impian kecil itu. “Bukan begitu, umi. Bagilah Raf sikit masa lagi untuk fikirkan tentang perkara ni. Sekurang-kurangnya Raf nak Shafiq besar sikit dulu,” kata Rafiq perlahan. Malas mahu bercerita lagi perihal isterinya. Rafiq rimas dengan situasi itu. “Umi tak kisah jika Raf mahu fikirkan dulu soal ni, tapi umi berharap sangat jawapan Raf takkan menghampakan umi. Jangan kecewakan isteri kamu, Raf,” kata Datin Noraini dengan lembut. Melenturkan kekerasan hati anaknya. “Abah nak ingatkan Raf tentang satu perkara. Sememangnya Raf berkahwin dengan Sakinah atas arahan umi, tapi tak bermakna Raf layak untuk memperlakukan Sakinah sesuka hati kamu. Dia juga manusia seperti kita. Yang perlukan kasih sayang dan tempat bergantung. Jika Raf terus bersikap mengasingkan diri daripada Sakinah, abah percaya Raf bakal kehilangan permata yang dah berada dalam genggaman. Hargai apa yang Allah tentukan untuk kita kerana sesungguhnya hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik buat kita.” Pesan Datuk Faiz, lembut. Berusaha melenturkan sifat prejudis Rafiq terhadap Sakinah selaku isterinya yang sah.

70

Aii Fariza

Rafiq yang mendengar hanya mengangguk. Sebagai anak dia harus mendengar dan itulah yang sedang dilakukannya. Berubah atau tidak terpulang pada dirinya. Apa yang penting sekarang dia perlu bersemuka dengan Sakinah untuk perbincangan yang seterusnya.

DATIN NORAINI menapak ke dapur dengan segera. Berdebardebar jantungnya. Kenyataan Milah meresahkan Datin Noraini. Ternyata andaiannya tidak silap. Sakinah pasti mendengar tengkingan Rafiq yang bagaikan halilintar tadi. Pasti wanita itu bersedih dengan kata-kata Rafiq. Sedangkan dia sendiri terkejut dengan sikap Rafiq pada Sakinah. Terlalu melampau. “Sugul betul saya tengok wajah Sakinah tadi. Macam baru lepas menangis. Entah apa yang disedihkannya. Nanti Datin tanyalah pada dia. Waktu masuk ke dapur elok saja emosinya. Lepas tu, dia kata nak ke ruang depan tapi alih-alih masuk dapur balik. Tapi... saya ternampak air mata dia. Bila saya tanya kenapa, dia kata tak ada apa-apa.” Datin Noraini memandang Sakinah yang berdiri membelakanginya. Berdiri pegun menghadap ke tingkap dapur. Datin Noraini menghampiri. Disentuh lembut bahu menantunya. Sakinah segera menyeka air mata yang masih mengalir. “Kinah...” selanya. Sentuhan di bahu Sakinah semakin kejap. “Kenapa ni, sayang? Kinah menangis ya?” Pantas Sakinah menggeleng. “Taklah, umi.” Tidak berkutik tubuhnya. Jika dia berkalih

71

Kontrak Janji Setia Antara Kita

memandang Datin Noraini, pasti ibu mentuanya itu perasan bahawa dia sedang menangis. Datin Noraini menarik tubuh Sakinah supaya menghadapnya. Ditenung mata menantunya yang merah. Datin Noraini mengesat kesan air mata itu. Kemudian dikucup pipi menantunya. Syahdu hati Sakinah. “Maafkan umi kerana meletakkan Kinah dalam situasi yang tegang macam ni. Umi tak ada pilihan lain.” Sebak suara Datin Noraini berbicara. Sakinah menggeleng. “Bukan salah umi.” “Umi memang pentingkan diri. Demi melihat Rafiq bahagia dan Shafiq mempunyai seorang ibu, umi sanggup meletakkan Kinah dalam situasi ini. Sanggup mengorbankan kebahagiaan Kinah. Umi terasa sangat kejam kerana memperlakukan Kinah begini.” Datin Noraini berterusan menyalahkan diri. Sakinah pilu mendengarnya. “Umi tahu Kinah bersedih dengan kata-kata Rafiq, tapi sungguh umi yakin semua kata-kata tu bukannya lahir dari perasaannya yang sebenar. Ungkapan itu hanya untuk melampiaskan rasa marah yang terpendam pada bekas isterinya, Suraya. Rafiq sengaja menyakiti hati Sakinah untuk memuaskan perasaannya. Tapi percayalah dia sebenarnya tak berniat begitu. Hati Rafiq telah diselubungi perasaan benci dan kecewa yang amat sangat.” Datin Noraini berjeda. Terus memandang raut manis Sakinah. “Jadi Kinah perlu bersabar, sayang. Memang tak mudah untuk melunturkan kebencian seseorang tapi kalau Kinah tetap bersabar dan tekun menghadapi Rafiq, insyaAllah, umi pasti kebencian di hati Rafiq akan menghilang jua.

72

Aii Fariza

Tabahkan hati Kinah demi umi dan Shafiq. Umi hanya mengharapkan Kinah sorang untuk merawat kelukaan Rafiq. Tolonglah, sayang...” pohon ibu mentuanya sayu. “Kinah takut, umi. Kinah takut Kinah tak mampu memberi kebahagiaan pada anak umi. Dia terlalu membenci kehadiran Kinah dalam hidupnya. Sesaat pun diri Kinah tak boleh diterimanya. Kinah takut Kinah tak boleh menunaikan hasrat umi tu...” akui Sakinah sejujurnya. Biarlah dia meluahkan perkara sebenar yang terpendam agar Datin Noraini tidak terlalu kecewa jika dia bakal menempuh kegagalan suatu hari nanti. “Syyy, jangan fikir yang bukan-bukan.” Ditekan bibir Sakinah perlahan dengan jari telunjuknya. Datin Noraini mengukir senyuman. “Kinah tak perlu rasa takut. Hadapilah segalanya dengan berani. Selagi Kinah tak salah, jangan sesekali rasa takut. Menawan hati seorang suami perlukan keberanian. Kalau Kinah berani menunjukkan isi hati Kinah yang sebenar pada Rafiq, tak mustahil lama-kelamaan Rafiq akan dapat melihat juga kebaikan yang ada pada Kinah. Dari situlah hati Rafiq perlahan-lahan akan terbuka untuk menerima Kinah. Bersabarlah,” tutur Datin Noraini memberi semangat. Katakata yang begitu bererti untuk disimpan dalam sanubari sebagai penawar kelukaan hatinya kelak. “Umi boleh bantu Kinah?” Datin Noraini segera mengangguk. “Insya-Allah selagi terdaya dan berkudrat, umi akan bantu.” “Terima kasih, umi....” Ucap Sakinah luhur. Lantas Datin Noraini mencium ubun-ubun Sakinah dengan penuh kasih sayang.

73

Kontrak Janji Setia Antara Kita

USAI makan malam, Rafiq dan Sakinah meminta diri untuk pulang. Sakinah melabuhkan punggung ke dalam kereta setelah bersalaman dengan mentuanya. Kemudian, Rafiq terus memecut laju kereta Lotus Evora miliknya ke jalan raya. Sakinah merangkul Shafiq dengan selesa agar tidur Shafiq tidak terganggu. Suasana malam yang dingin itu diisi dengan bunyi muzik dari corong radio. Sakinah dan Rafiq terus mendiamkan diri tanpa sebarang bicara. “Betul kau nak sambung belajar?” soal Rafiq tibatiba. Pertanyaan Rafiq menggamit Sakinah memandang sekilas kepada suaminya. Sesungguhnya Rafiq tidak mengetahui jauh di lubuk hati, terlalu rencam dan duka naluri kewanitaannya. Cakaplah apa sahaja keburukan yang ada kepadanya, Sakinah tegar mendengarnya. Tetapi saat dirinya disingkap dan dicerca di hadapan keluarga mentua, sungguh Sakinah berasa begitu terhina. Rafiq benar-benar membencinya. “Aku cakap dengan kau sekarang ni. Kenapa tak jawab?” soal Rafiq geram. Sakinah membuatnya seperti tunggul kayu. Seolah-olah dirinya pula yang terhegeh-hegeh untuk berbual dengan wanita itu. “Keputusan di tangan abang. Kinah tak berhak untuk meminta.” Perlahan Sakinah berkata. Rafiq menjeling tingkah Sakinah dari ekor mata. “Aku nak tahu jawapan yang tepat bukannya jawapan yang tak pasti. Sekali lagi aku tanya dan kalau kau

74

Aii Fariza

tak bagi jawapan yang khusus, aku akan diamkan hal ni buat selamanya. Aku akan anggap kau dah tak berminat nak belajar lagi,” gertak Rafiq. Sakinah kecut mendengarnya. Selama-lamanya? “Sebenarnya kau masih nak sambung belajar atau tak?” Sakinah segera mengangguk. “Kinah mahu. Errr... itu pun kalau abang benarkan.” “Aku dah fikir masak-masak. Jawapan aku... tak boleh!” putus Rafiq. Sakinah panar mendengar jawapan suaminya. Ternyata Rafiq cuma mahu memain-mainkan perasaannya. Lelaki itu tidak bersungguh-sungguh. Sakinah benci dengan semua permainan suaminya. Permainan perasaan yang suka mencederakan hati dan jiwanya. Air matanya menitik deras seiring irama hati yang berlagu pilu. Ya Allah, sakitnya ujian ini! Rintihnya. “Tak boleh buat masa ni. Aku tak mahu kehidupan Shafiq terganggu. Kau sepatutnya jalankan tanggungjawab sebagai ibu, bukannya nak merambu sana sini. Buat masa ni aku nak kau jaga dia dulu. Bila Shafiq dah besar sikit, kau pergilah sambung belajar, aku tak kisah. Asalkan kau ingat dengan semua perjanjian kita...” sambung Rafiq pada ayat yang memang sengaja digantungnya. Dia mahu melihat respons Sakinah. Ternyata gadis itu menitiskan air mata kerana penolakannya. Aku tak sekejam itu, Sakinah! Wajah mendung Sakinah terus sirna. Riak ceria dan gembira menghiasi wajahnya yang manis dan ayu. Senyuman mekar tersungging di hujung bibir. Perasaannya berbunga bahagia. Tidak dijangka rupa-rupanya suaminya yang garang itu masih tahu membuat lawak.

75

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Hampir sahaja diluku-luku kepala suaminya seperti yang biasa dilakukan pada teman-teman di kampung kerana mempermainkannya, tetapi ditahan keinginan itu. Sakinah memandang tepat pada wajah Shafiq lalu dilepaskan beberapa kecupan bahagia ke wajah mulus bayi itu. Menunjukkan rasa bahagia yang dialaminya tika itu. Rafiq perasan akan perubahan emosi isterinya. Dia tahu Sakinah sudah mula gembira. Rafiq berasa jengkel tibatiba. Dia geram kerana Sakinah sanggup menggunakan umi untuk mencapai setiap impiannya. Wanita ini terlalu licik. Perwatakannya dapat mengaburi semua mata ahli keluarganya tetapi tidak dirinya. Rafiq ingin lihat sejauh mana Sakinah mampu memperalatkan umi untuk kepentingannya. “Terima kasih, bang. Kinah ingatkan abang tak benarkan. Kinah tak sangka.” “Jangan nak main sangka-sangka. Aku buat keputusan ni bukan atas sebab aku sayang atau cintakan kau. Aku buat semua ni untuk umi. Biar umi puas hati tengok menantu kesayangan dia ni belajar tinggi-tinggi sampai pandai. Makin lama makin pandai. Lepas tu, lagi bijak gunakan umi untuk kepentingan diri,” jerkah suaminya dengan sinis. Sakinah tersentak. Omongan Rafiq ada makna rupanya. Bukan ikhlas. “Apa maksud, abang? Kinah tak faham,” getusnya perlahan. “Kau tak faham?” Rafiq tergelak kecil. Memang kau penuh kepura-puraan, Sakinah! “Jangan berpura-pura, Sakinah. Dengan umi kau bolehlah berlagak baik, tapi dengan aku, kirim salam banyak-

76

Aii Fariza

banyak. Aku dah muak dengan kerenah perempuan macam kau. Nampak saja suci, tapi dalaman pasang niat keji. Sanggup kau gunakan umi untuk capai impian bodoh kau tu!” Rafiq berkata keras. Sakinah menggeleng laju. Bukan itu niatnya. “Tak, abang. Kinah takkan buat begitu pada umi,” ujar Sakinah membela diri. “Diam!” tempik Rafiq. Sakinah terkasima. “Kau ingat aku akan percayakan semua kata-kata kau? Jangan nak bermimpi. Sampai bila-bila pun aku takkan percaya perempuan licik macam kau!” sembur Rafiq. Sakinah mengetap bibir saat rasa sebaknya bertamu. Sungguh dia penat menjadi seorang isteri kepada manusia yang bernama Amar Rafiq. “Kinah tahu, sampai bila-bila pun abang takkan menerima Kinah....” Ujar wanita itu di hujung bibir. Suara yang terbit hanya seiring dengan hembusan nafas. Langsung tidak kesampaian di telinga Rafiq. Hanya Sakinah sahaja yang mampu mendengarnya. Kelukaan dan kepedihan semakin menggunung di jiwa. Peritnya, Ya Allah...!

77

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Bab 9
AFIQ mendengus kuat. Sebal hatinya. Tangisan Shafiq di kamar sebelah menampar pedih ke telinga. Membuatkan tidur Rafiq terganggu. Penatnya belum lagi hilang setelah pulang dari bermain boling bersama Rudi. Rafiq bingkas bangun menuju ke bilik sebelah. Ingin ditempik kepada Sakinah yang langsung tidak pandai menguruskan Shafiq sehingga anaknya itu menangis melalak seperti ditinggalkan di tepi jalan tanpa ibu dan bapa. Ternyata sangkaan Rafiq tidak meleset. Dilihatnya Shafiq terbiar di dalam baby cot tanpa pengawasan sesiapa. Kelibat Sakinah juga tidak kelihatan. Rafiq bertambah berang. Anaknya itu dibiarkan begitu sahaja. Dia kemudian mendukung Shafiq keluar dari katilnya. Perlahan Rafiq menepuk dan mengusap belakang anaknya supaya tangisannya reda. “Syyy... jangan menangis, sayang.” Rafiq memujuk lembut. Dia membelek lampin Shafiq. Bersih lagi. Barangkali Shafiq kelaparan. Rafiq meliarkan pandangan. Mencari botol susu anaknya tetapi tiada. Mungkin berada di tingkat bawah.

R

78

Aii Fariza

Bingkas Rafiq menapak ke muka pintu sambil menatang anaknya. “Kau ke mana, hah? Kenapa biarkan Shafiq menangis melalak tak tentu pasal?” jerkah Rafiq pada Sakinah yang terpacul di muka pintu. Di tangan gadis itu tergenggam sebotol susu yang baru siap dibancuh. Sakinah teguk liur. Tergamam. “Errr... tadi Kinah pergi buatkan susu,” jawabnya takut-takut. Dihulurkan botol susu tersebut pada suaminya. Rafiq menyambut kasar. Rasa marahnya jelas terpamer di wajah. “Lama betul kau buat susu. Susu apa yang kau buat? Dah lama aku dengar Shafiq menangis. Takkan lama sangat nak bancuh susu?” Rafiq menempelak lagi. Botol tersebut disuakan ke mulut Shafiq. Rakus anaknya menghisap susu yang diberikan. Sakinah menggigit bibirnya. Kesal dengan kecuaiannya, juga kemarahan Rafiq padanya. “Sebenarnya... errr... tadi Kinah ada sikit kerja kat bawah... sebab itulah Kinah tak dengar sangat Shafiq menangis. Errr... Kinah mintak maaf, bang.” Perit suaranya mengakui dan memohon maaf atas kesilapannya. Gerun perasaannya membayangkan penerimaan Rafiq terhadap jawapannya. “Lagi-lagi maaf yang kau tahu. Perempuan apa kau ni, hah? Jaga budak pun tak reti. Apa guna aku kahwin dengan kau kalau satu kerja pun kau tak boleh buat? Tak habis-habis nak menyusahkan hidup aku. Kalau aku tahu begini beban yang aku kena tanggung, baik aku tak payah kahwin dengan kau. Lebih baik aku ambil orang gaji lagi bagus,” marah Rafiq berterusan.

79

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Berdesing telinga Sakinah. Sekali lagi hatinya diratah dan dirobek. Lagi-lagi telinganya mendapat habuan caci maki. Pedih betul kata-kata suaminya. Namun seperti lazimnya, Sakinah hanya mampu berdiam diri. Tidak mampu membalas walaupun sepatah. “Maafkan Kinah. Kinah tahu Kinah salah tapi... Kinah tak sengaja,” tutur Sakinah memohon kefahaman suaminya. “Aku peduli apa kau sengaja atau tak! Yang penting kau dah buat salah.” Keras Rafiq berbicara. Tetapi nada suaranya direndahkan sedikit agar tidak mengejutkan anak terunanya yang sedang minum susu di dalam dakapannya. “Kinah janji Kinah tak akan buat lagi. Maafkan Kinah.” Sakinah mengulang lagi perkataan maaf bagaikan air pili yang tidak jemu membuak keluar. Tajam tatapan mata Rafiq kepada Sakinah. Baru sahaja ingin membuka mulut, kedengaran bunyi telefon di tingkat bawah bergema. Memecah kesunyian dalam rumah lalu meredah perbualan dingin antara kedua-duanya. “Sudahlah. mengarah. Pergi angkat telefon tu.” Rafiq

Sakinah mengangguk sebelum pergi. Bagaikan orang suruhan dia diperlakukan. Tetapi suaminya tidak pernah memaksa Sakinah menuruti setiap kata-katanya. Hanya diri Sakinah yang memang dilahirkan untuk mendengar dan mematuhi kata-kata orang yang lebih tua dan dihormatinya. Seperti Rafiq, suaminya. Rafiq meletakkan anaknya yang hampir lelap ke dalam katil semula. Dia kemudian turun ke tingkat bawah. Ingin mengetahui gerangan yang menelefon pada hari minggu begini.

80

Aii Fariza

“Insya-Allah... waalaikumussalam.” Sakinah terus meletakkan gagang telefon. Dia kemudian menoleh ke belakang. Senyuman mekar terukir di bibirnya. Dipandang suaminya yang menghampiri. Berdebar-debar jantung Rafiq merenung isterinya yang kelihatan gembira. Timbul keraguan terhadap isterinya. Kegembiraan Sakinah seperti baru lepas berbual dengan seorang kekasih di telefon. Mana tahu sangkaannya benar. Mungkin Sakinah ada menyimpan lelaki di luar sana. “Siapa yang telefon?” tanya Rafiq tegas. Mematikan senyuman Sakinah. “Umi,” balas Sakinah perlahan. Lega hati Rafiq serta-merta. Ternyata sangkaannya tidak tepat kali ini. “Umi nak apa?” soalnya lalu duduk di ruang tamu. “Umi suruh kita pergi ke sana malam ni, selepas maghrib. Nak buat makan malam untuk raikan hari lahir Rina,” beritahu Sakinah. Rafiq spontan menepuk dahinya. Aduh, macam mana boleh terlupa? Rungut hatinya. Sakinah memandang pelik. Tingkah suaminya menimbulkan pertanyaan di benak. Tetapi Sakinah tiada kekuatan untuk bertanya. Siapalah dirinya untuk bertanya pada Rafiq. Hanya sekadar seorang isteri yang terpaksa diterima dalam hidup jejaka itu. Dijeling jam dinding yang tergantung megah. Pukul empat lebih. Waktu solat asar juga baru masuk. “Waktu asar dah masuk, kita solat dulu. Lepas solat kita keluar.” Rafiq mengeluarkan arahan. Dia lantas berpaling. Ingin menuju ke tingkat atas semula.

81

Kontrak Janji Setia Antara Kita

Sakinah terkejut. Takkan seawal ini? Majlisnya berlangsung selepas solat maghrib. “Errr... kenapa awal sangat? Umi kata lepas solat maghrib nanti baru mula majlis makan malam tu.” Dalam teragak-agak, Sakinah bertanya. Rafiq menoleh semula. Merenung tegang ke wajah isterinya. “Tak payah banyak bunyi boleh tak? Ada aku suruh kau bagi pendapat? Suka hati akulah nak keluar bila-bila masa aku suka! Sekarang ni lebih baik kau ke atas siapkan diri kau dan Shafiq. Sekejap lagi kita nak keluar,” bicara Rafiq tegas. Sakinah mengangguk laju. Akur. Usai solat, Rafiq mula bersiap. Petang itu Rafiq mengenakan kemeja putih bersih dengan seluar jean hitam. Ketampanannya kian terserlah. Sejurus itu dia bergegas turun ke tingkat bawah. Sempat Rafiq mengetuk pintu kamar sebelah untuk mengingatkan Sakinah supaya segera bersiap. Rafiq mula panas punggung menunggu di ruang tamu. Sekejap matanya menjeling jam tangan yang dipakainya dan sekejap matanya singgah ke anak tangga yang sepi. Sepuluh minit menunggu namun kelibat Sakinah dan Shafiq tetap juga tidak muncul. Rafiq mula radang. Geram dibiarkan menunggu lama. Rafiq bangkit dari sofa. Berniat naik ke tingkat atas semula. Ingin dijerkah Sakinah atas kelewatan wanita itu. “Kenapa kau lambat? Kau ingat aku tunggul nak tunggu kau macam tiang elektrik?” hambur Rafiq geram apabila terpandang sahaja wajah Sakinah. Suaranya yang bagai halilintar itu menyebabkan Shafiq tersentak dalam dakapan Sakinah. Timbul pula rasa kesal di hati. Shafiq

82

Aii Fariza

nampak terkejut dengan aura suaranya yang kuat. Mujur anak terunanya itu tidak menangis. Sakinah bungkam. Takut. “Errr... maafkan Kinah. Tadi Shafiq...” Rafiq mendengus marah. Sakinah teguk liur yang terasa kesat. Menanti ditempik oleh suaminya. “Tak habis-habis kau gunakan Shafiq sebagai alasan. Kenapa kau tak mengaku aje itu semua salah kau? Kenapa mesti menyalahkan anak aku? Kalaupun kau tak sayangkan dia, tak payahlah kau tuduh Shafiq yang bukan-bukan. Dia cuma sorang budak yang tak faham apa-apa...” sembur Rafiq. Sakinah mengetap gigi, kuat. Menahan perasaan sebak yang melanda. Hatinya sungguh pilu dituduh sebegitu oleh suaminya sendiri. Rafiq jelas ingin menjatuhkan dirinya yang sedia lemah. Sakinah benar-benar tidak berdaya lagi. Pahit, kelat atau tawar sekalipun dia terpaksa menelannya bulat-bulat. Sejak pada malam perkahwinan lagi dia sudah mengasuh dirinya agar bersabar dan memujuk hati sendiri dengan sikap suaminya yang jelas menunjukkan kebencian kepadanya. “Maaf, memang salah Kinah.” Sakinah beralah. Tiada gunanya dia cuba mempertahankan dirinya di hadapan Rafiq kerana ternyata dirinya juga bakal dipersalahkan. Adat mentimun, digolek terluka apatah lagi menggolek ke arah durian yang sudah diketahui berduri tajam dan bakal melukakan. Ya, seumpama itulah dirinya kini. Meniti sebuah perkahwinan yang berduri. “Sudahlah. Lain kali kalau nak buat alasan tak payah nak pergunakan Shafiq lagi. Aku tak suka.” Rafiq malas memanjangkan lagi isu kecil itu. Sekarang dia punya agenda

83

Kontrak Janji Setia Antara Kita

yang lebih penting daripada terus menghabiskan masa memarahi Sakinah.

84

Aii Fariza

Bab 10
Sesekali Sakinah mengusik dan melayan keletah Shafiq yang sentiasa menguja hatinya. Rafiq pula hanya memandang dua insan di sisinya itu. Terutamanya pada Shafiq yang galak ketawa dalam dakapan Sakinah. Dijeling lewat ekor matanya pada penampilan Sakinah. Rafiq perasan sesuatu. Wanita itu pandai juga bergaya. Tidak kelihatan kekampungan seperti di dalam rumah yang hanya berT-shirt dan berkain batik. Sakinah tampak lain daripada kebiasaan. Hari ini wanita itu mengenakan sehelai blaus putih kapas berserta dengan tudung daripada rona hitam yang berukir bunga-bunga halus meliputi kepalanya. Dipadankan pula dengan skirt hitam yang labuh sehingga ke buku lali. Cantik. Sekali pandang seolah-olah mereka berdua bagaikan berjanji memakai pakaian daripada rona warna yang serupa

J

ALAN RAYA tetap sibuk pada hari minggu begini. Rafiq tenang dalam pemanduannya.

85

Kontrak Janji Setia Antara Kita

sedangkan hakikatnya bukan begitu. Jelas terpamer kematangan isterinya jika dilihat daripada cara berpakaian walaupun wanita itu masih dalam lingkungan usia remaja. “Errr... kalau tak keberatan boleh Kinah tanya?” soal Sakinah gusar. Menyedarkan suaminya yang sedang melamun. “Hmmm....” balas Rafiq malas. “Errr... kita nak ke mana sebenarnya?” Jelas kegugupannya ketika bersuara. “Beli hadiah,” jawab Rafiq pendek. Berkerut dahi Sakinah. Hadiah? “Errr... untuk siapa?” Rafiq diam. Sakinah juga ikut diam kerana tiada jawapan daripada suaminya. “Untuk Rina,” balas Rafiq sebelum memulas stereng ke kanan ketika melalui selekoh. Sakinah menganggukkan kepalanya. Patutlah Rafiq mahu keluar awal tadi. Rupa-rupanya ingin membelikan hadiah untuk Marina. “Erm, abang nak beli kat mana?” tanya Sakinah sedikit mesra. Mekar senyumannya apabila terkenangkan gadis cantik itu. Walaupun Marina lebih tua tiga tahun daripadanya, namun gadis itu menerima kedatangan Sakinah dengan hati terbuka. Begitu juga dengan Mardina yang merupakan anak sulung dalam keluarga itu. “Kat mana-manalah yang ada jual hadiah. Takkan dekat tepi jalan!” ujar Rafiq dengan suara jengkel. Stupid question! Dengusnya. Serta-merta senyuman Sakinah kaku. Menyesal

86

Aii Fariza

pula dia bertanya. Ingatkan ingin beramah mesra, tetapi lain macam pula ‘mesra’ yang ditunjukkan oleh Rafiq. Menakutkan orang sekeliling.

RAFIQ mendukung Shafiq sementara Sakinah berjalan di belakang suaminya di pusat membeli-belah The Mines itu. Jauh juga jarak antara mereka. Sakinah tidak peduli. Dia leka melihat pemandangan di dalam pusat membeli-belah yang besar dan indah itu. Rafiq pula ralit melayan kerenah Shafiq sambil berfikir arah jalan ke kedai yang ingin dimasukinya. Jika dilihat sekali imbas, tentu orang sekeliling menyangka Sakinah bersendirian tanpa teman. Rafiq memasuki kedai yang menjual barangan aksesori perempuan. Sakinah masih membuntuti tanpa banyak soal. Rafiq membelek-belek gelang dan rantai manik yang digubah indah. Sakinah melihat penuh minat di sekeliling sudut ruang kedai tersebut. Semuanya dipenuhi dengan barangan aksesori wanita yang cukup elegan. Patutlah Rafiq memilih untuk memasuki kedai itu kerana di dalamnya ada banyak pilihan untuk dijadikan hadiah. Ramai juga pelanggan lain yang turut berada di situ. Semuanya bagaikan rambang mata. Semua jurujual kelihatan sibuk melayan kehendak pembeli. Sakinah menoleh semula kepada suaminya. Dilihatnya Rafiq sukar untuk membuat pilihan, manakala Shafiq pula semakin sibuk mengusik benda-benda yang

87

Kontrak Janji Setia Antara Kita

berdekatan dengannya. Ingin dicapai apa-apa yang menarik di hadapannya. Rafiq lantas menyerahkan anaknya kepada Sakinah. “Boleh kau tolong pilihkan untuk aku?” Kali ini Rafiq terpaksa membuka mulut meminta pandangan Sakinah memandangkan tiada jurujual yang menghampiri mereka. Sakinah mengangguk. Gembira kerana Rafiq sudi meminta pandangannya walaupun hakikatnya dia kurang berpengetahuan bab aksesori wanita yang moden dan elegan, lebih-lebih lagi berkaitan cita rasa Marina. Namun, diikutkan sahaja permintaan suaminya. “Errr... Rina memang mahukan hadiah ni?” Sakinah menyoal dalam gugup. Sahaja diberanikan diri untuk bercakap dengan suaminya itu. “Hmmm...” sahut Rafiq. “Tapi macam mana abang boleh tahu ini kesukaan Rina? Errr... bukan ke lelaki kurang peka tentang hal ni?” tanya Sakinah lagi. Rafiq mengangkat wajah. Tajam sinar matanya. Banyak tanya pulak! Getus Rafiq dalam hati. Sakinah menikus. Faham sangat dengan sorotan mata suaminya. Memang mulutnya tidak boleh diam jika dibenarkan berkata-kata. “Maaf.” “Memang ini yang dia mahukan.” Rafiq menjawab juga apabila melihat wajah isterinya yang terkulat-kulat. Tidak tergamak Rafiq untuk membalas dengan sinis. Lebihlebih lagi di tempat terbuka seperti ini. Dia tidak ingin menjatuhkan maruahnya di hadapan khalayak seperti ini. Sakinah mengulum senyuman. Sudi juga Rafiq menjawab pertanyaannya.

88

Aii Fariza

“Kau dah pilih? Mana yang okey pada kau?” tanya suaminya. Sakinah memandang sekilas kepada Rafiq sebelum menuntaskan pandangan pada gelang di tangannya. “Sebenarnya Kinah kurang pasti yang mana sesuai untuk Rina. Lagipun Kinah tak tahu cita rasa Rina...” Rafiq mendengus. Lama-lama boleh sesak nafasnya menahan geram pada wanita itu. Sakinah tergamam. Segera diletakkan semula gelang yang berada di tangannya. Dia kecut melihat raut suaminya yang mula menyinga. Dilarikan anak matanya. Takut untuk bertemu dalam satu pandangan. Silap hari bulan dirinya boleh ditempelak di khalayak ramai. “Tadi bukan main beria-ia mengangguk. Sekarang cakap tak tahu. Lain kali kalau kau tak tahu, cakap awal-awal. Jangan buat-buat tahu. Membazir masa aku aje suruh kau pilih!” herdik Rafiq perlahan. Sakinah tertunduk malu. “Maaf, bang.” Rafiq malas melayan isterinya lagi. Tidak kering mulut wanita itu dengan perkataan maaf. Menyampah pula Rafiq mendengarnya. Tangan Rafiq menggamit jurujual yang ada. Dia perlu segera menyelesaikan urusannya di situ. “Boleh saya bantu encik dan puan?” ramah pekerja di kedai tersebut melayan. “Tolong rekomen satu aksesori yang cantik dan menarik,” ujar Rafiq. Jurujual itu mengangguk faham. “Boleh saya tahu aksesori jenis apa yang puan mahukan?” tanya gadis Cina itu kepada Sakinah. Sakinah terpinga-pinga. “Errr... bukan...”

89

Kontrak Janji Setia Antara Kita

“Not for her but for someone else. Birthday gift for my sister. Anything is good and beautiful please show it to me,” pintas Rafiq. Gadis itu mengangguk bersama senyuman manis sebelum berlalu. “Kau bawak Shafiq keluar dari sini. Pergi tunggu aku kat luar. Lama-lama kau dekat sini pun tak ada guna.” Rafiq mengarah. Sakinah akur lalu mengangguk perlahan. Suram wajahnya tatkala itu. Rafiq memang tidak menyenangi kehadirannya. Di mana-mana pun mereka berada, Rafiq memang tidak sudi untuk bersamanya. Sakinah melangkah keluar bersama Shafiq. Lebih baik dia menunggu di luar daripada menjadi mangsa herdikan suaminya lagi. Niat hati ingin mencari tempat duduk terbantut tatkala retina matanya singgah ke sebuah butik pakaian yang besar. Butik tersebut terletak selang dua buah kedai dari kedai aksesori yang baru ditinggalkannya. Bagaikan diseru-seru, Sakinah mengayun langkah menuju ke butik tersebut kerana menjangka suaminya mungkin akan lama untuk memilih hadiah yang terbaik buat Marina. Rasanya dia masih berpeluang untuk menjamu mata dengan pakaian-pakaian yang dipamerkan di butik tersebut. “Boleh saya bantu, puan?” tawar seorang gadis Melayu yang menjadi jurujual di situ. Sakinah yang ralit meneliti kemeja-kemeja lelaki yang bergantungan segera menoleh kepada gadis di sisinya. “Saya cuma nak tengok-tengok saja,” ujar Sakinah sopan bersama senyuman manis. “Apa salahnya kalau puan membeli sekali kerana

90

Aii Fariza

hari ini butik kami ada menawarkan harga diskaun sebanyak lima puluh peratus bagi setiap pembelian. Ia bersempena dengan jualan penghabisan stok dan ulang tahun keempat butik ini.” Beritahu gadis itu secara langsung untuk makluman pelanggan. “Tak apa, terima kasih. Biar saya tengok-tengok dulu.” Kata Sakinah dengan lembut. Hakikatnya Sakinah mahu jurujual itu menjauhinya agar mudah dia melihat-lihat pakaian yang dipamerkan. Sejak tadi Sakinah agak kekok dengan adanya gadis itu di sebelahnya. Mengekorinya sejak dia masuk ke dalam butik tersebut. “Okey, puan tengok-tengoklah dulu. Kalau ada apaapa yang puan perlukan, panggil saja saya atau jurujual kami yang lain.” Beralah juga gadis itu akhirnya. Sakinah lega. Shafiq yang berada dalam kendongannya dipandang sekilas. Anak kecil itu alpa dalam dunianya sendiri.

91

No. ISBN:- 978-967-5067-12-9 Jumlah muka surat:- 784 Harga Runcit:- S/M: RM27, S/S: RM30 Harga Ahli:- S/M: RM23, S/S: RM26 Sinopsis:“Kinah mintak maaf, abang. Kinah tak tahu apa yang abang suka makan,” ucap Sakinah. Jelingan tajam berserta ketapan sepasang bibir nipis itu menunjukkan suaminya sedang menahan marah. Sakinah tunduk. Air liur dikerongkong ditelan pahit. Perasaan gerun dan takut itu hadir semula. “Kau apa pun tak tahu. Yang kau tahu minta maaf dua puluh empat jam,” kasar Rafiq berbahasa. Akhbar yang baru dibacanya dilipat kasar lalu dicampak ke lantai. Sakinah tergamam. Surat khabar itu jatuh tepat ke kakinya. Tengkingan suaminya bergema lagi hari ini. Sakinah sebak. “Ma... maafkan... Kinah.” Tersekat-sekat butir bicara Sakinah. Begitulah dia

setiap kali berhadapan dengan Rafiq. Tergagap-gagap seperti pesalah walaupun kadangkala kesalahan itu bukan datang daripada pihaknya. Namun, terpaksa juga dia yang tunduk memohon maaf. “Entah apalah yang umi aku berkenan sangat pada kau? Semuanya serba tak kena. Bertambah menyusahkan aku adalah!” Rafiq menempelak. Dijeling pada Sakinah yang berdiri di sisinya. Gadis itu masih diam terpaku seperti harihari sebelumnya. “Orang kampung memang macam nikan? Suka berpaut pada orang kaya untuk hidup senang. Pantang nampak yang berduit lekas sangat pasang jerat. Entah ubat guna-guna apalah yang umi terkena sampai paksa aku kahwin dengan kau?” Sengaja Rafiq menambah kata. Kata-kata yang hanya akan menyakiti hati Sakinah. Mereka terjebak bersama. Amar Rafiq dan Sakinah terperangkap dalam ikatan perkahwinan demi memenuhi kepentingan masing-masing. Kalau bukan kerana Shafiq, mustahil bagi Rafiq menerima wanita dalam hidupnya kembali. Kepedihan semalam banyak mengajarnya agar lebih berwaspada. Kecurangan si bekas isteri telah merubah Rafiq menjadi seorang yang cengil dan bengis pada wanita yang menjadi isterinya. Demi menjaga kepentingannya dan Shafiq, Rafiq akhirnya mewujudkan sebuah kontrak bagi mengikat ‘kaki’ Sakinah. “Ambil ni.” “Apa ni? ” “Baca dan kemudian kau perlu tandatangan surat perjanjian itu.” “Surat perjanjian? Tapi untuk apa?” “Untuk jaminan masa depan. Bacalah tapi kalau kau

tak nak baca pun tak apa. Aku cuma perlukan tandatangan kau.” Sampai satu ketika tanpa dia menduga, akhirnya kesabaran sang isteri mula menipis yang membuatkan Rafiq tercengang. “Selama ini, Kinah telan semua kata-kata abang biarpun hati Kinah pedih mendengar setiap maki hamun abang. Kinah cuba memahami situasi abang yang masih dibelenggu dengan kecurangan Suraya. “Tapi pernah ke abang cuba memahami hati dan perasaan Kinah? Tak pernah, kan? Yang abang tahu, hanyalah melemparkan kata-kata amarah dan tak puas hati abang. Pada abang semua perempuan sama seperti Suraya termasuklah Kinah. “Selama enam bulan perkahwinan kita, pernah tak Kinah curangi abang? Pernah tak Kinah ambil kesempatan? Kinah sedar Kinah cuma anak kampung yang hidup menumpang. Kinah tak ubah seperti pengasuh Shafiq dan orang gaji dalam rumah ni. Dan Kinah tahu dalam hati abang sekali pun tak pernah sudi menerima Kinah sebagai isteri. Mungkin itulah perkara yang selayaknya berlaku dalam hidup Kinah.” Saat bunga-bunga cinta mewangi, Rafiq diuji lagi. Kepercayaan yang dibina mulai goyah. Kehadiran Zulfi Hakimi dan Tengku Rizal memburu curiga Rafiq. Sakinah terhimpit. Bersalahkah dia? Atau prasangka seorang suami yang menjadikan kebahagiaan mereka sukar untuk digapai? Bagaimana pula dengan Maria yang memendam rasa cinta terhadap sang suami? Dan mampukah Sakinah bertahan apabila Suraya kembali menagih cinta Rafiqnya?

“Aku betah melayani setiap kebencian serta kemarahan yang mengalir kepadaku namun apabila kejujuran dan kesetiaan ini mula diragui... aku gentar!” Untuk mengetahui kisah selanjutnya, dapatkan KONTRAK JANJI SETIA ANTARA KITA di rangkaian kedai buku Popular, MPH dan kedai-kedai buku berhampiran anda. Anda juga boleh membeli secara pos atau online dengan kami. Untuk pembelian secara online, sila layari laman web kami di:- www.kakinovel.com. Untuk pembelian secara pos, tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan, jumlah naskhah yang dibeli di atas sekeping kertas. Poskan dengan wang pos atau money order (atas nama:- KAKI NOVEL ENTERPRISE) ke alamat berikut:Kaki Novel Enterprise No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12, D’Wangsa, 53300 Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Tel:- 03-4149 0096 Faks:- 03-4149 1196

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful