Cetakan Pertama 2013 © Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Hak Cipta Terpelihara.

Tidak dibenarlan mengeluar ulang manamana bahagian artikel, ilustrasi, dan isi kandungan buku ini dalam apa juga bentuk dan dengan cara apa jua sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman, atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Diterbitkan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Susun Atur & Dicetak : OMR Press Sdn. Bhd. No.w18 Jalan Industri USJ 1/12, Taman Perindustrian USJ 1, 47600 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan Tel : 03-80246396 Fax : 03-80246936

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

ISI KANDUNGAN
1. Wasatiyyah Pengertian Istilah 2. Wasatiyyah Merentasi Semua Aspek Kehidupan 3. Wasatiyyah dalam Ibadah 4. Wasatiyyah dalam Akhlak 5. Wasatiyyah dalam Sirah Rasullah SAW * Rasulullah Sebagai Suami dan Ketua Keluarga Mithali * Rasulullah Menjaga Hak Jiran dan Kaum Kerabat * Rasulullah Sebagai Pemimpin * Berpegang kepada Hukum Sebab Musabbab 6. Aplikasi Wasatiyyah Masa kini 7. Seruan kepada Dasar Wasatiyyah 8. Kesimpulan 9. Bahan Rujukan 12 15 16 17 1 3 5 6 8

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Wasatiyyah :Pengertian Istilah
Banyak ayat al-Qur’an dan al-Sunnah, kata-kata para sahabat dan ulama terdahulu dan ulama semasa menyebut secara langsung atau tak langsung tentang istilah wasatiyyah. Ia merupakan satu metod atau kaedah Islam yang menggambarkan hakikat ajaran Islam itu sendiri. Kaedah Wasatiyyah inilah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan ia menjadi pegangan para sahabat Baginda. Ia turut diwarisi oleh umat Islam masa kini sebagai aliran perdana dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Berdasarkan keterangan al-Qur’an sendiri, wasatiyyah merujuk kepada maksud keadilan, kesederhanaan dan jauh daripada melampau. Umpamanya berani adalah pertengahan di antara pengecut dan yang berani membunuh diri. Pemurah adalah pertengahan di antara kedekut dan membazir. Justeru itu ajaran Islam yang meliputi akidah, syariah dan akhlak pada keseluruhannya berada pada kedudukan ‘wasat’ yang boleh dikembangkan pengertiannya sebuah agama dan umat yang adil, istiqamah, terbaik, aman, kuat dan bersatu. Dengan sifat adil, umat Islam boleh diterima sebagai saksi, tanpa adil segala kesaksian tertolak. Saksi yang adil dan hukuman yang adil, barulah hukuman itu disukai atau diredhai oleh orang ramai. Wasatiyyah juga merujuk kepada maksud istiqamah iaitu konsistensi dalam berpegang kepada kaedah atau metod. Dalam istilah al-Qur’an , “ al-Sirat al-Mustaqim” bermaksud, jalan lurus di tengah-tengah jalan lain yang bersimpang siur. Justeru itu umat Islam diminta menyebut 17 kali sehari pada setiap rakaat sembahyang dengan memohon petunjuk “jalan lurus”, bukan jalan menyeleweng yang melampau ke kiri atau ke kanan yang boleh [ 1 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

menjerumus kepada kesesatan. Jalan lurus yang paling utama bagi meneguhkan umat Islam seperti yang diajar oleh Sirah Rasullulah SAW dan menjadi pegangan kita hingga masa kini adalah tauhid keimanan mengesakan Allah. Begitu juga berpegang teguh kepada syariat Allah dan berpegang dengan nilai- nilai akhlak. Di samping maksud wasatiyyah itu adil, istiqamah, al-Qur’an menjadikan “terbaik” sebagai simbol umat Islam. Kebaikan di sini mengandungi maksud kedudukan yang terbaik daripada sudut spiritual dan material, tujuan terbaik di dunia dan di akhirat. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adalah kamu sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh mereka dengan makruf dan melarang mereka daripada mungkar dan kamu beriman dengan Allah” ( Ali Imran : ayat 110) Wasatiyyah seterusnya membawa maksud keamanan, jauh daripada marabahaya. Di sini anjuran al-Qur’an agar manusia tidak mendedah diri kepada kebinasaan dalam apa jua bentuk sekalipun. Akhirnya, wasatiyyah membawa makna kekuatan. Orang muda adalah pertengahan di antara kanak-kanak yang masih lemah dan usia tua juga yang sudah lemah. Kekuatan itu pertengahan di antara dua kelemahan sebelum dan sesudah dewasa. Jadi benarlah dengan wasatiyyah , ia menjadi pusat bagi kesatuan ummah. Pusat kesatuan yang akan menghubungkan di antara berbagai cabang kerana ia berada di tengah-tengah kepelbagaian dalam aspek sama ada material, pemikiran, spiritual dan seumpamanya. Dalam kata lain dengan kepelbagaian jalur yang ada, wasatiyyah menjadi tenaga penggerak atau dapat menarik berbagai jalur yang ada dengan kedudukan yang seimbang.

[ 2 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Wasatiyyah Merentasi Semua Aspek Kehidupan
Tonggak kesatuan ummah paling asas dan utama adalah akidah dan kepercayaan. Islam menawarkan satu bentuk akidah tauhid yang mantap. Percaya kepada Allah yang cukup dengan sifat-sifat yang sempurna. Berbeza dengan segolongan manusia yang melampau, menerima apa sahaja tanpa bukti dan dalil. Sikap melampau golongan yang mempertuhan apa sahaja sehinggakan matahari, batu, bintang-bintang dan binatang pun dipertuhankannya, malah pokok, sungai dan apa saja. Berbeza dengan wasatiyyah Islam yang mengajak keimanan dengan Tuhan yang Maha Esa. Satu golongan pelampau menganut faham materialisme pula yang menolak apa sahaja yang ada di luar daripada alam fizik, sebagai hakikat yang tidak wujud . Mereka itu menolak suara fitrah dan panggilan akal yang mengajak kepada keimanan dan berakidah. Mereka menolak sama sekali adanya alam ghaib dan metafizik. Wasatiyyah dalam Islam mengajak kesemua insan mengenali Tuhan, mentauhidkan serta membersihkan Tuhan daripada segala kekurangan. Jadi manusia dengan ilmu yang ada pada mereka, perlu beriman dengan keesaan Allah. Insan yang mulhid-aties, adalah nadir dan terlalu sedikit. Sebab itu dalam sejarah tamadun dunia, tidak ada tamadun tanpa rumah ibadat, meskipun ada tamadun tanpa sekolah atau benteng pertahanan tetapi keseluruhan tamadun tidak ada yang tiada agama. Apa yang menjadi tumpuan pandangan wasatiyyah dalam Islam apabila manusia mengambil selain daripada Allah sebagai tuhan-tuhan.

[ 3 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Terjemahannya : “Dan mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, bahkan benda-benda itu diciptakan (oleh penyembahpenyembahnya daripada bahan-bahan di bumi), dan benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau suatu faedah untuk dirinya sendiri dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan ataupun membangkitkan hidup semula makhlukmakhluk yang telah mati.” (al-Furqan : ayat 3). Justeru itu, wasatiyyah dalam berakidah menolak mereka yang memuja para nabi sehingga meletakkan para nabi setaraf dengan Tuhan atau anak Tuhan. Juga menolak golongan yang membohongi Tuhan, berani mencerca dan menghina nabi dengan alasan nabi-nabi juga manusia biasa seperti kita juga, mereka makan, pergi ke pasar, berkahwin dan beranak. Oleh sebab itu tiada kelebihannya pada nabi dan rasul itu. Fahaman ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

[ 4 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Wasatiyyah dalam Ibadat
Ada sesetengah anutan agama yang mengenepikan aspek ketuhanan tetapi falsafahnya hanya memfokus kepada aspek akhlak. Sebaliknya ada anutan yang fokus kepada ibadat sematamata hingga tidak membenarkan berkahwin supaya kehidupan tertumpu kepada ibadat. Apalagi untuk menghias diri dan menikmati berbagai-bagai nikmat duniawi. Islam muncul dengan wasatiyyah yang memerintah agar umat bersolat setiap hari, mengerjakan ibadat puasa dalam bulan Ramadhan setahun sekali dan mengerjakan ibadat haji dan umrah sekali seumur hidup jika berkemampuan. Malah itulah contoh tauladan daripada Rasulullah SAW yang tidak memutuskan diri dengan dunia, malahan keseluruhan aktiviti hariannya adalah ibadah. Begitulah dengan manusia sama ada ketika menjalani kehidupan sebagai petani, pekerja kilang, berkerjaya, berniaga, di mana mengingati Allah adalah dituntut pada setiap saat dalam keadaan muslim melakukan kerja harian. Tanpa terus menerus mengingati Allah akan terputus komunikasi manusia sebagai hamba kepada pencipta-Nya iaitu Allah. Justeru, dalam Islam menggabungkan agama dengan kehidupan, contohnya pada hari Jumaat boleh berjual beli dan berurusan sebelum sembahyang Jumaat, kemudian bersembahyang Jumaat sambil mengingati Allah dengan meninggalkan seketika jual beli dan urusan lain. Setelah selesai sembahyang Jumaat, diizinkan pula untuk bertebaran dan mencari rezeki lagi dengan tidak melupakan ingatan dan zikir kepada Allah SWT.

[ 5 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Wasatiyyah dalam Akhlak
Islam menolak pandangan idealisme melampau yang mahu menjadikan manusia makhluk malaikat atau separuh malaikat sehingga meletakkan nilai dan adab yang tidak mungkin dicapai oleh manusia. Begitu juga Islam menolak realisme melampau yang menganggap manusia seperti binatang, yang tidak mungkin diubah menjadi baik. Islam menganggap manusia itu adalah makhluk yang mempunyai akal dan nafsu. Pada diri manusia ada unsur binatang dan ada unsur malaikat. Jadi manusia diberi hak memilih di antara dua jalan. Manusia perlu memenuhi tuntutan jasad dan sekaligus tuntutan roh. Jadi seperti jasad badan yang mempunyai haknya, roh juga perlu dipenuhi keperluannya . Oleh itu Islam menolak mereka yang hidup sekadar melepaskan naluri nafsu dengan melupakan fungsi roh atau mereka yang menganggap roh sebagai musuh kepada jasad. Justeru, Islam yang wasat (sederhana) adil dan terbaik ini, tidak pernah melihat adanya pertentangan antara dunia dengan akhirat. Malah wasatiyyah menggabungkan antara dua kebaikan, dunia dan akhirat, ia menjadikan dunia sebagai ladang bagi akhirat. Jadi, membangunkan dunia adalah dikira satu ibadah dan seterusnya menolak sikap ekstrem orang agama yang selalu mengabaikan kepentingan dunia, yang melampau mengharamkan segala perhiasan dunia. Walau bagaimanapun Islam juga mengawal agar manusia itu tidak pula hidup penuh keseronokan dan melupakan suruhan agama. Jadi umat Islam seharusnya memperingati seruan al-Qur’an di mana jangan menjadikan diri seperti mereka yang kufur yang [ 6 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

bersenang-senang di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternakan makan minum sedangkan nerakalah yang menjadi tempat tinggal mereka. (Surah Muhammad, ayat : 12).

[ 7 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Wasatiyyah dalam Sirah Rasullulah SAW
Kehidupan Islam seperti ditunjukkan contoh oleh Rasulullah SAW melalui sirah Baginda, menunjukkan Baginda sentiasa bersikap adil dan seimbang di antara seluruh kehidupannya terutama sikapnya yang menolak sikap melampau. Contoh tauladan ini dalam bentuk praktikal yang mendekatkan antara idealisme dan realiti, antara hati dan akal, antara ilmu dan iman, antara benda dan roh dan seterusnya. • Rasulullah SAW sebagai Suami dan Ketua Keluarga Mithali Seorang suami yang mempunyai isteri yang lebih daripada satu, Rasulullah SAW memberikan contoh teladan dalam menggauli isteri-isteri, memberi keadilan kepada semua isteri dengan mengambil kira kondisi masing-masing. Baginda menjadi pendengar yang setia kepada masalah dan Baginda juga berkongsi masalah. Di samping itu juga Baginda akan meluangkan masa untuk bergurau senda dengan isteriisterinya. Dalam hubungan dengan anak cucu pula, Rasullah SAW amat menyayangi anak cucu dan memberi perhatian kepada kebaikan anak-anak bukan sahaja dalam urusan dunia tetapi urusan akhirat. Apabila anak Baginda Ibrahim meninggal dunia, Baginda cukup bersedih dan mengeluarkan air mata, tetapi tidak pula sampai menafikan Baginda terima dan redha dengan musibah tersebut. Kisah Baginda dengan cucu-cucunya Hasan dan Husain yang menunggang ketika Baginda bersujud ketika sembahyang, sehingga Rasulullah lama menunggu bangkit daripada sujud sehingga cucunya puas menunggangi Baginda. [ 8 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Rasulullah Menjaga Hak Jiran dan Kaum Kerabat Biarpun kaum kerabat dan kejiranan yang bukan muslim, Rasulullah SAW tetap menjaga keharmonian pergaulan dan komunikasi. Baginda memuliakan kerabat yang tidak turut sama menerima Islam sebagai agama anutan. Itulah sikap Baginda terhadap Bani al-Najjar daripada sebelah ibunya. Sikap yang sama dilakukan terhadap jiran yang beragama yahudi. Baginda juga cukup setia dengan para sahabat serta warga tua.

Rasulullah sebagai Pemimpin Baginda Rasulullah SAW sebagai pemimpin negara baru di Madinah di kelilingi oleh musuh-musuh berbagai pihak, agama berhala, Yahudi dan Nasrani, tetapi ini tidak menghalang Baginda daripada membangun negara baru Madinah dengan membangunkan masjid, mendirikan pasar-pasar perniagaan, mengadakan hubungan politik dalaman dengan berbagai pihak, menerima rombongan demi rombongan, menghantar duta-duta ke luar negara sehingga kepada tindakan-tindakan besar dan kecil. Sehingga isu wanita yang membiarkan kucing mati kelaparan turut diambil perhatian, serta Rasulullah juga menunai keperluan penduduk di Madinah, termasuk bantu membayar hutang mereka yang tak mampu membayar hutang. Sebagai pemimpin tentera, Baginda sendiri turut serta merancang dan ikut sama dalam peperangan, malah Baginda mengambil faedah daripada kaedah dan strategi dalam menentukan kejayaan tentera yang terlatih. Dengan erti kata lain, Baginda mempunyai misi dan visi yang mampu merancang, menyusun, dan mengadakan persiapan dengan menggunakan strategi dan taktik sehingga mampu melumpuhkan musuh [ 9 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Berpegang kepada Hukum Sebab Musabbab Ada pemikiran yang salah, menganggap kerja-kerja yang baik akan mendapat pertolongan Allah SWT secara mudah. Tetapi Rasulullah SAW mengajar dan mendidik umatnya agar bertawakkal tetapi tidak melupakan hukum sebabmusabbab. Daripada contoh dalam peperangan yang mengambil kira persiapan, pengawalan daripada bahaya musuh, berjaga-jaga, memanfaatkan statistik, merancang untuk masa depan, akhirnya, bertawakkal kepada Allah senjata yang ampuh. Rasulullah SAW sebagai manusia biasa masih hidup normal. Baginda sukakan makanan yang baik-baik seperti daging kambing, minuman susu segar, air, dan makan buah tamar. Baginda berpakaian secara sederhana dengan tidak ada jenis pakaian tertentu. Ada perhiasan dipakai pada hari Jumaat dan Hari Raya atau ketika menemui rombongan dari luar negara. Baginda juga memakai wangian, meniliki cermin dan mengingatkan para sahabat agar selalu kelihatan kemas, berbau harum serta menjaga kebersihan diri. Bila sakit, Rasulullah mengingatkan para sahabat agar mencuba rawatan dengan ubat-ubatan, namun Baginda turut mengguna rawatan alternatif melalui doa dan bacaanbacaaan tertentu. Demikian sekelumit daripada teladan kehidupan Rasulullah yang boleh disifatkan berdasarkan kesederhanaan wasatiyyah menjadi rujukan kepada semua pihak. Dia menjadi ikutan bagi si miskin atau orang kaya. Contoh kepada pemerintah dan rakyat, orang bujang atau mereka yang sudah berkahwin, orang yang mengamalkan monogami atau poligami, orang muda atau warga tua.

[ 10 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Sayangnya sirah Rasulullah SAW kadangkala dieksploitasi secara salah oleh sebahagian orang yang mengambil aspekaspek tertentu sahaja, dan meninggalkan aspek lain yang tidak disukainya . Ada juga yang membesar-besar sesuatu perkara kecil dan sebaliknya meremehkan perkara pokok dan utama. Pada hal jika diamati dan digabungkan secara koprehensif, seimbang, adil dan lengkap melengkapi, ia tidaklah bertentangan di antara satu sama lain, sesungguhnya Rasulullah SAW menjadi contoh kepada semua orang dalam segala perkara. Amalan dan tindakan Rasulullah SAW ini, kemudiannya menjadi ikutan para sahabat dan para tabi`in, umpamanya Sayyidina `Ali, yang menyifatkan kebaikan umat Islam pada sikap pertengahan (wasat) yang digambar oleh peribadi Rasulullah SAW. Dengan itu, meninggalkan perkara bidaah sebagai salah satu cara mengikut panduan sunnah Rasulullah SAW. Para ahli sunnah tidak akan terlampau bermewah seperti golongan yang suka bermewah-mewahan, tidak melakukan bidaah dalam agama sebagaimana kaum bidaah. Mereka tetap sabar menurut sunnah hingga ke akhir hayat. Rasulullah SAW menggesa orang ramai agar menuntut ilmu tetapi jangan sampai memudaratkan amal ibadat. Mengamalkan ibadat pula, perlu kepada ilmu dan mereka yang beramal tanpa ilmu, boleh membawa kemudaratan lebih daripada kebaikan. Mereka yang beribadat tanpa ilmu boleh membawa kepada sikap melampau sehingga menghunus senjata kepada sesama umat Nabi Muhammad SAW seperti sejarah kaum Khawarij.

[ 11 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Aplikasi Wasatiyyah Masa kini
Suatu hal yang penting dalam aplikasi wasatiyyah masa kini adalah meletakkan ianya sebagai tonggak maqasid syariah, justeru syariat Islam dalam semua hal menolak sikap melampau, pembaziran dalam semua perkara, samalah halnya, ia menolak kelonggaran dalam beragama. Sirah Rasulullah SAW penuh dengan perjuangan mempertahan dan menyibarkan ajaran kebenaran, kesatuan ummah, permuafakatan, tolong menolong dan bantu membantu ke jalan taqwa. Para ulama Islam sejak al-Mawardi (M. 450H), Imam Haramain (M. 478H), al-Isfahani (M. 502H), al-Ghazali (M. 505H) dan ramai lagi menolak sikap melampau, keras atau terlampau longgar dalam kehidupan beragama, mahu pun kehidupan seharian. Ada kalangan yang keliru hingga menolak adanya konsep wasatiyyah dalam Islam terdiri daripada mereka yang menafsirkan nas-nas Islam secara literal, atau mereka yang beranggapan bahawa menggunakan wasatiyyah bererti mengambil jalan mudah dalam soal agama. Kumpulan ini seolah-olah lupa dalam Islam, wasatiyyah itu adalah mengambil kira aspek “kemudahan” atau rukhsah dalam syariat Islam. Rukhsah adalah menggunakan pengecualian daripada kaedah umum bagi kemudahan orang ramai seperti mengumpul sembahyang Zuhur dan Asar pada satu waktu atau memendekkan sembahyang Zuhur yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Jamak dan Qasar itu adalah “kemudahan” (rukhsah) yang dibolehkan apabila seseorang itu musafir. Rasulullah SAW seperti diungkap oleh isterinya ‘Aisyah RA lebih suka memilih yang mudah daripada yang sukar, asalkan tidak menyebabkan berdosa. Rasulullah SAW mengingatkan para imam yang mengetuai sembahyang agar tidak [ 12 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

terlalu memanjangkan sembahyang kerana para makmum terdiri sebahagiannya daripada warga tua, orang yang lemah atau orang yang ada keperluan bersegera. Lainlah pula jika seseorang itu sembahyang berseorangan. Para sahabat dan ulama salaf pada kebiasaannya, lebih suka menggunakan “kemudahan” yang meringankan. Dalam masa yang sama mereka menyempitkan ruang fardhu,wajib dan haram, kecuali benar- benar ada dalil yang benar- benar kukuh. Oleh sebab itu ruang “kemaafan”(tidak wajib dan tidak haram) lebih banyak dalam Islam. Bagi mereka yang ada kelayakan, mereka digalakkan berijtihad untuk bersedia menerima pandangan yang berbeza dalam hukum furu’. Namun dalam masa yang sama bagi perkara dasar Islam cukup bersikap tegas. Ini bukanlah pula bermaksud, kita mengalu-alukan hukum yang sekian lama haram itu dihalalkan. Perkara yang haram, tetaplah haram seperti riba, arak, dadah, atau dosa-dosa besar yang lain seperti zina, pencurian, rompakan, membunuh dan sebagainya. Apa yang dimaksudkan di sini merujuk kepada kaedah syarak yang memberi kemudahan beberapa kaedah yang memang diperkenal oleh ulama Islam seperti berikut : a. Perkara yang tidak dibolehkan dalam keadaan biasa, dibolehkan ketika darurat, dari hukum asalnya haram ia menjadi harus. Keharusan perkara darurat begini di kira mengikut kadar keperluan setakat yang diperlukan. Umpamanya mereka yang tiada makanan untuk dimakan. Jika mereka tidak makan boleh membawa kepada maut. Maka mereka boleh dan diharuskan makan benda yang asalnya haram dimakan. Kes ini contohnya bagi mereka yang tersesat di padang pasir dan berada dalam kebuluran. Tetapi di hadapan mereka hanya ada bangkai, mereka boleh memakan bangkai itu, namun mereka tidak diizin [ 13 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

makan sampai kenyang yang melebihi keperluan untuk mempertahan kehidupan dan nyawa mereka. Bangkai itu hanya boleh dimakan sekadar untuk meneruskan kehidupan sahaja. b. Kesusahan menarik kemudahan. Umpamanya, mereka yang terbeban dengan sesuatu bebanan boleh memilih tindakan yang lebih mudah. Contohnya orang yang sakit, dibenarkan melewatkan waktu sembahyang, jika sembahyang itu amat menyukarkan mereka. c. Jika terpaksa memilih di antara dua kejahatan, maka pilihlah kejahatan yang lebih ringan risikonya atau kemudaratannya. Banyak lagi kaedah-kaedah hukuman yang diperkenalkan, menunjukkan bahawa Islam itu agama yang mudah, wasatiyyah seimbang dan tidak semata-mata bertujuan membebankan manusia kecuali bagi tujuan dan hikmah tertentu. Satu kesilapan dalam memahami wasatiyyah bagi mereka yang menterjemah wasatiyyah itu bermaksud redha dengan tahap minima kerana membawa maksud pertengahan dan sederhana itu, bertentangan dengan kecemerlangan, pada pemikiran mereka separuh daripada kecemerlangan itu umpamanya hanya cukup dengan mencapai 50% sahaja. Manakala Wasatiyyah pada ujian dengan hanya mendapat markah lulus. Pada hal kefahaman sebenar adalah untuk mencapai kecemerlangan yang tinggi di mana dalam banyak ayat al-Qur’an, Allah menegaskan, ujian kepada manusia untuk mencapai kecemerlangan dalam amalan. Orang yang kuat lebih disukai Allah daripada orang yang lemah.

[ 14 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Seruan kepada Dasar Wasatiyyah
Dasar wasatiyyah menuntut gabungan antara akal dan wahyu, agama dan sains. Menggunakan akal sahaja dengan meninggalkan wahyu membawa risiko kepada kefahaman yang terkeluar daripada ajaran Islam seperti aties, liberalisme, pluralisme dan sekularisme. Sebaliknya menggabungkan akal dan wahyu, menjadikan aktiviti berfikir, merancang malah melaksanakan program pembangunan ummah adalah menjadi ibadah. Kekuatan minda adalah saluran yang baik ke arah memahami hukum saintifik yang boleh digunakan keseluruhan isi alam bagi kebaikan manusia sejagat. Seruan kepada wasatiyyah juga akan membawa jalan tengah antara idealisme dan realiti. Manusia tidak harus terawang- awang dalam pemikiran ideal yang tidak berpijak kepada kenyataan. Manusia tidak boleh dijadikan malaikat kerana mereka ada naluri dan syahwat, akal dan matahati. Apa yang mampu dilakukan adalah menyubur elemen kebaikan menjadi lebih besar dan elemen kejahatan itu makin mengecil. Para petugas yang terlibat mengajak ke arah kebaikan ini, selalu memperingat masyarakat di antaranya takutkan bahaya daripada kemurkaan Allah dengan sekaligus mengharapkan keampunan Allah. Memberi ancaman kepada umum, jangan sampai mereka ditimpa rasa putus asa sebaliknya memberi harapan jangan sampai mereka terpedaya, kononnya mereka sudah sedia terselamat. Demikian rumusan al-Qur’an yang sentiasa menseimbangkan janji baik dan ancaman buruk, antara syurga dan neraka.

[ 15 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Kesimpulan
Tidak syak lagi sebaik-baik perkara adalah yang paling seimbang dan adil. Apabila mereka semakin merosak, mereka perlu diperingatkan tentang kematian, alam kubur dan akhirat. Ummah perlu sentiasa diperingat agar terus-menerus berwaspada terhadap pahala dan dosa. Unsur-unsur ini boleh memperteguh amal kebaikan dan niat yang baik dalam segala tindakan, akhirnya menatijahkan agar mereka bersatu teguh dan bercerai roboh, dalam membina negara yang aman dan makmur yang diredhai Allah SWT.

[ 16 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Bahan Rujukan
Abdullah Md.Zain dan Khairil Anas Jusoh (2011), Pendekatan Wasatiyyah Dalam Menghayati 1 Malaysia, Kuala Lumpur : Kasturi Jingga Corporation Sdn. Bhd. Akram Kassab (2008), Dawr al-Qaradhawi fi Ta’sir al-Wasatiyyah, Kaherah : Maktabah Wahbah. Imaduddin Khalil (t.t.), Dirasah fi al-Sirah , Beirut : Mu’assah al-Risalah. Mawsu’ah al-Hadith al-Sharif : al-Kutub al-Sittah, (2000), Riyadh: Dar al-Salam. Mohamad Kamil Hj Ab Majid et.al. (2012), Wasatiyyah Islam : Antara Liberalisme & Konservatisme Di Malaysia, Kuala Lumpur : Pekan Ilmu Sdn.Bhd. Muhammad ‘Imarah (2004), Maqalat al-Ghuluww al-Dini wa-ala-dini, Kaherah: Maktabah al-Sharuq, al-Dawliyyah. Yusuf al-Qaradawi (2010), Fiqh al-Wasatiyyah wa-al-Tajdid, Madinah Nasr: Dar al-Shuruq. Yusuf al-Qaradawi, (1995), al-Hayah al-Rabbaniyyah wa-al-‘ilm , Kaherah : Maktabah Wahbah

[ 17 ]

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

[ 18 ]

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful