GANGGUAN SEKSUAL DI TEMPAT KERJA: BAGAIMANA MENGHADAPI DAN MENGATASINYA

Pernah mengalami tindakan gangguan seksual (Sexual Harassment), contohnya tiba-tiba rakan sepejabat kita meletakkan tangannya dibahu kita yang mengakibatkan perasaan tidak selesa. Atau rakan kita menceritakan jenaka lucah, dengan bermaksud untuk sekadar bergurau tetapi kita merasa terganggu atas jenakanya. Contoh itu tadi boleh disebut sebagai gangguan seksual. Banyak dari kita mengalami kejadian seperti contoh di atas tetapi mungkin situasi tersebut dianggap sebagai suatu yang normal terjadi atau bahkan kita tidak mengetahui bahawa kita telah menjadi mangsa gangguan seksual. Sehingga hari ini, negara kita tidak mempunyai kod undang-undang yang berkuat kuasa membabitkan gangguan seksual secara khusus. Apa yang ada hanyalah Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang dilancarkan pada 1999 atau disebut sebagai Kod Amalan. Kod Amalan ini bertujuan memberi garis panduan kepada majikan mengenai penubuhan mekanisme dalaman pada peringkat organisasi bagi mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja.

Apa Itu Gangguan Seksual?
Menurut Abd Rahim Abd Rashid dalam bukunya Gangguan Seksual, “Gangguan Seksual adalah perlakuan lucah yang tidak direlakan oleh mangsa. Gangguan seksual adalah suatu keadaan yang tidak boleh diterima, baik secara lisan, fizikal atau isyarat seksual, pernyataan yang bersifat menghina secara tegas, atau keterangan secara seksual bersifat diskriminasi dibuat oleh seseorang yang mengganggu pekerja lain, menyebabkan pekerja tersebut merasa terancam, dihina, dipermalukan, diperbodohkan, dicabul maruah atau melemahkan situasi suasana kerjanya atau memberi ancaman atau intimidasi di persekitaran tempat dia bekerja. Kategori Gangguan Seksual 1. Ugutan (sexual coercion) Memberi kesan secara langsung kepada status pekerjaan seseorang. Sebagai contoh, di mana seseorang pegawai atasan yang mempunyai kuasa menentukan gaji dan pangkat, cuba mengugut pekerja bawahan memberi layanan seksual kepadanya. Jika pekerja bawahan tersebut tunduk kepada kehendak seksual pegawai atasan tersebut, faedah yang berkaitan dengan pekerjaan akan diperolehi. Sebaliknya pula jika pekerja bawahan berkenaan menolaknya, faedah itu akan dinafikan. 2. Ancaman kepada ketenteraman peribadi (sexual annoyance) Tingkah laku seksual yang dianggap oleh mangsa sebagai ancaman, ugutan atau penghinaan, tetapi tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan faedah-faedah pekerjaan. Walau bagaimanapun tingkahlaku itu menimbulkan

suasana kerja tidak tenteram kepada mangsa yang terpaksa dialaminya untuk terus bekerja. Gangguan seksual di antara rakan sekerja adalah termasuk di bawah kategori ini. Begitujuga gangguan oleh pelanggan syarikat terhadap pekerja juga termasuk dalam kategori yang sama. Adalah penting ditekankan bahawa gangguan seksual bermakna tingkahlaku seksual yang tidak diingini dan tidak disenangi oleh mangsa. Ianya juga satu kelakuan seksual yang dilakukan ke atas penerima tanpa diminta atau dibalas balik oleh penerima.

Bentuk-Bentuk Gangguan Seksual
Antara bentuk gangguan seksual menurut Kod Amalan dibahagikan kepada lima jenis, iaitu: 1. Gangguan Secara Lisan: contohnya: kata-kata, komen, gurauan, usikan bunyi dan soalan-soalan yang berbentuk ancaman atau cadangan seksual. 2. Gangguan Secara Isyarat/Bukan Lisan: contohnya: pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks, tingkah laku mengurat yang berterusan. 3. Gangguan Visual: contohnya: menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian bahan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah. 4. Gangguan Psikologi: contohnya: mengulangi jemputan sosial yang telah tidak diterima, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau untuk bercumbuan. 5. Gangguan Fizikal: contohnya: sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium, serangan seksual.

Mengapa Mangsa Gangguan Seksual Adalah Wanita?
Gangguan seksual boleh berlaku kepada siapa sahaja tanpa mengira jantina. Namun, gangguan seksual terhadap wanita adalah lumrah dan telah tercatat sejak pertama kali wanita memasuki pasaran tenaga kerja (Sumber dari Sexual Shakedown: the Sexual Harassment of Women on the job, Lin Farley (1978)) . Ini bermakna bahawa gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja bukanlah suatu persoalan yang baru, tetapi sudah setua umur sejarah wanita memasuki dunia kerja iaitu sejak kapitalisme berkembang. Farley mengatakan bahawa gangguan seksual merupakan kaedah baru yang dikembangkan oleh kapitalisme dalam mengawal tenaga kerja wanita. Data mengatakan bahawa sebahagian besar mangsa gangguan seksual adalah wanita, seperti yang sering diungkapkan iaitu, “men have power over women in society”. Oleh kerana kuasa sosial yang dipraktikkan telah menempatkan status lelaki lebih tinggi (berkuasa) dari wanita, maka lelaki (termasuk rakan sekerja lelaki

kita) menyalah gunakan “kekuasaannya” untuk mendapatkan manfaat keuntungan seksual terhadap wanita. Ada 3 teori dalam menganalisa Gangguan seksual seperti yang dikatakan oleh Sandra S. Tangri, Martha R. Burt and Leanor B. Johnson:

Teori Biologi. Perilaku gangguan seksual merupakan suatu ekspresi dari tindakan hormon-hormon seksual lelaki dan wanita, di mana lelaki dipandang memiliki dorongan seksual yang lebih kuat sehingga seringkali lelaki mengeksploitasi wanita secara seksual, walaupun di tempat kerja. Teori Sosiobudaya. Mengandaikan bahawa lelaki dan wanita secara sosiobudaya dibangunkan oleh suatu sistem yang menempatkan mereka sebagai dua pihak yang tidak setara. Teori Organisasi. Teori ini diambil dari andaian bahawa dengan adanya perbezaan struktur dalam dunia kerja (ada atasan dan bawahan), maka ada peluang bagi mereka yang punya kedudukan atau hierarki lebih tinggi untuk memperlakukan mereka yang menjadi bawahannya secara sewenangwenang.

Sering rakan sekerja dan pekerja atasan (lelaki) memberikan pernyataan bahawa ketertarikan seksual adalah perkara yang alamiah dan dialami oleh manusia, TAPI ingat tindakan seksual yang tidak boleh diterima dan dikehendaki adalah yang disebut dengan Gangguan seksual.

Kesan Gangguan Seksual
• Kerjaya. Mangsa cenderung untuk mengasingkan diri, mengelakkan diri untuk hadir ke pejabat, mengalami penurunan tahap kepuasan atau prestasi kerja, kehilangan pekerjaan atau peluang kenaikan pangkat dan mengubah matlamat kerjaya. Fisiologi. Dari aspek implikasi fisiologi, mangsa mungkin mempamerkan gejala-gejala seperti sakit kepala, gangguan tidur (mimpi ngeri), hilang selera makan atau mempunyai berat badan yang sering berubah. Malu. Kesan sosial yang dialami mangsa mengakibatkan mangsa ingin mengasingkan diri dari pergaulan. Perasaan ini timbul akibat rasa rendah diri kerana menjadi mangsa gangguan seksual, sehingga merasa tidak berharga dan tidak layak untuk bergaul bersama rakan-rakan sepejabatnya. Ketakutan dan Kecurigaan. Perasaan ketakutan merupakan kesan emosi yang sering dialami mangsa. Ketakutan ini muncul dalam bentuk takut kepada orang tertentu, bentuk tubuh tertentu, dan tempat tertentu. Selain itu, mangsa gangguan seksual sering menjadi ‘paranoid’ kepada orang tertentu, orang asing yang tidak dikenalnya, serta tempat asing yang belum pernah dikunjunginya.

Trauma. Kesan mental pula adalah mangsa gangguan seksual mengalami trauma kerana pernah mengalami peristiwa yang sangat menyakitkan, menyedihkan, dan berat. Justeru itu, mangsa sukar melupakan peristiwa tersebut dan dapat mengganggu ketenangan, penumpuan, dan kestabilan mentalnya sehingga dapat mengganggu aktiviti sehariannya. Penolakan Masyarakat. Kesan lain yang sangat serius adalah diasingkan atau dikucilkan masyarakat. Bagi tidak menimbulkan kesan yang berat bagi mangsa, keluarga mangsa atau mungkin organisasi di mana mangsa bekerja, maka tindakan yang diperlukan adalah merahsiakan hal yang dialami oleh mangsa dari pengetahuan umum.

Mangsa Biasanya Enggan Melapor Masalah Gangguan Seksual kerana:
• • • • • •

(seperti yang disebutkan di atas) perasaan malu, ketakutan, kecurigaan, trauma dan penolakan masyarakat takut terdedah kepada publisiti implikasi kewangan tiada prosedur aduan tidak yakin kepada prosedur sedia ada takut akan tindak-balas.

Beberapa Petua Untuk Menghindari Gangguan Seksual Di Tempat Kerja
1. Bekerja secara professional, kita perlu dapat membezakan mana hal-hal yang bersifat pribadi dan umum serta apa yang boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan di tempat kerja. Dalam kata lain, kita perlu mengetahui apa yang dimaksud dengan Gangguan Seksual serta menyebarkan maklumat tentang Gangguan Seksual. 2. Mengelak ‘Stay-Back’, bekerja sendirian selepas waktu kerja sehingga malam hari. Sekiranya terpaksa, pastikan kehadiran kita diketahui oleh orang lain. Pastikan ada rakan sekerja yang dipercayai apabila ada keperluan bekerja selepas waktu pejabat. 3. Berpakaian yang sopan sesuai dengan suasana tempat kita bekerja. Kita perlu dapat membezakan antara pakaian menjolok mata dengan yang menyejukkan mata. Berpakaianlah secara konservatif sekiranya kita memang serius dalam bekerja. 4. Berperilaku dan berbicara sopan ketika berkomunikasi dengan rakan sekerja, bukan bererti kita tidak boleh bergurau dengan rakan sekerja atau perlu terlalu serius. 5. Bersikap ramah dan bersahabat. Kadangkala terlalu ramah boleh disalahertikan oleh pihak lain. Di samping itu, keramahan bukan bermakna

kita bertutur dengan cara menggoda dan kita perlu menghindari gaya bicara manja dan genit. 6. Jika kita mengetahui ada rakan sekerja yang cenderung ke arah melakukan gangguan seksual baik dari gaya percakapannya mahupun secara tingkahlakunya; maka adalah lebih baik berkomunikasi dengannya hanya untuk tujuan pekerjaan sahaja. 7. Menghindari berdua-duaan dengan rakan lelaki di tempat yang sepi. Bukan sahaja kita dapat menghindari gosip yang sering kali berlaku di tempat kerja, malah dapat menghindari terjadinya gangguan seksual di tempat kerja. 8. Jika kita merasa ada gurau-senda atau jenaka yang sudah menjurus ke arah negative/lucah, adalah perlu kita menyatakan ketidaksukaan kita terhadap jenaka tersebut. 9. Jika kita merasa ada rakan sekerja yang melakukan gangguan seksual di tempat kerja, kita perlu melaporkan kelakuannya kepada pihak atasan kita ataupun ke Pengurus Sumber Manusia. Sekiranya gangguan ini terkena kepada rakan sekerja kita yang lain, kita perlu bersedia bertindak sebagai saksi dan membantu mangsa. 10. Mengundurkan diri dari organisasi tempat kita bekerja, adalah pilihan terakhir, jika dalam keadaan sangat terpaksa dan mendesak. Peringatan! Jika anda menjadi mangsa Gangguan Seksual, Anda jangan berdiam diri. Fikirkanlah langkah-langkah yang boleh anda ambil. Selalu tanamkan dalam diri anda bahawa gangguan yang terjadi sama sekali bukan kesalahan anda. Langkah-langkah yang boleh anda lakukan adalah: 1. Membuat catatan tentang kejadian gangguan seksual yang anda alami. Catat dengan teliti identiti pelaku, tempat kejadian, waktu, saksi, bahan bukti seperti sms yang ditujukan kepada anda oleh pelaku serta perincian ucapan-ucapan pelaku. 2. Beritahu pada orang lain tentang gangguan seksual yang anda alami. Ceritakan kepada rakan, atasan, atau siapa saja yang anda percayai dan mahu mengerti perasaan anda. 3. Memberi pelajaran kepada pelaku. Apabila anda sanggup melakukannya katakan kepada pelaku bahawa tindakannya tidak dapat anda terima. Anda dapat melakukannya dengan ucapan verbal dengan kata-kata, melalui telefon atau surat. Ajak seorang rakan untuk menjadi saksi. 4. Melaporkan gangguan seksual tersebut, kerana gangguan seksual melanggari undang-undang. Laporkan kepada seminima bilangan orang yang mungkin agar dapat menjaga kepentingan mangsa dan sipelaku.

Tindakan Pihak Majikan dalam Menangani Gangguan Seksual Sekiranya gangguan seksual di tempat kerja tidak dibendung, maka akan: • • • • • • • • memberi kesan buruk kepada perhubungan perindustrian kesan buruk kepada moral pekerja mengurangkan produktiviti meningkatkan cuti sakit dan ponteng kerja berhenti kerja/meningkatkan kos untuk mengambil dan melatih pekerja baru mengurangkan wanita bekerja risiko perbelanjaan tinggi akibat tindakan undang-undang mewujudkan suasana kerja yang tidak tenteram, mengancam dan tidak selesa

Organisasi perlu mengambil langkah proaktif untuk mencegah terjadinya gangguan seksual di tempat kerja dengan memasukkan masalah gangguan seksual ini ke dalam peraturan organisasi sehingga menjadi peraturan rasmi yang berlaku dan diketahui oleh semua pekerja. Langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh organisasi adalah: • Membuat Peraturan Tertulis. Organisasi perlu mewartakan Kod Amalan untuk mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja. Organisasi hendaknya membuat suatu peraturan tertulis yang berisi komitmen organisasi untuk tetap menjaga agar tidak terjadi gangguan seksual di tempat kerja, pengertian tentang apa yang dimaksudkan dengan gangguan seksual, prosedur pengaduan, dan hukuman yang akan dijatuhkan kepada para pelaku, bantuan yang boleh diperoleh simangsa dan jaminan bahawa pengaduan yang dilakukan bersifat rahsia. Memastikan Semua Pegawai Mengetahui. Peraturan tertulis yang telah disusun secara lengkap tidak akan efektif jika tidak disampaikan kepada semua pekerja. Oleh kerana itu, peraturan tersebut perlu dimasukkan ke dalam peraturan organisasi sehingga setiap individu yang baru bekerja mengetahui dengan jelas peraturan yang diwartakan. Pastikan bahawa pihak pengurusan atasan menyampaikan perkara ini kepada para pengarah, pengurus, penyelia, pekerja di pelbagai peringkat, pelanggan, pembekal atau siapa saja yang memiliki hubungan dengan organisasi. Penguatkuasaan Peraturan. Sebaik apapun peraturan yang dibuat jika tidak dilakukan penguatkuasaan akan jadi sia-sia. Oleh kerana itu, organisasi (pihak pengurusan / HRD) perlu benar-benar bertindak serius untuk memastikan bahawa peraturan yang dibuat adalah untuk ditaati (bukan untuk dilanggar). Keluhan yang disampaikan ataupun aduan adanya gangguan seksual perlu disiasat dengan segera oleh pegawai yang dilantik atau kaunselor organisasi.

Ringkasnya, satu mekanisme dalaman bagi pencegahan dan pengendalian gangguan seksual perlu dipraktikkan. Mekanisme tersebut mestilah:
• • • • • •

Cepat dan mudah Murah Dapat memelihara kerahsiaan Memberi keyakinan kepada pekerja Menggalakkan mangsa membuat laporan Memudahkan majikan mengambil tindakan.

Cara Mengatasi / Aduan Cara 1 Dapatkan kepastian jika dipejabat mengguna pakai Tata Amalan Pencegahan dan Pembanterasan Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang dilancarkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada bulan Ogos 1999. Tata Amalan ini secara amnya mendefinisikan gangguan seksual dan mencadangkan mekanisme dalaman ditubuhkan untuk menangani masalah gangguan seksual ini. Tata Amalan ini mengkehendaki syarikat-syarikat untuk merumuskan polisi yang melarang gangguan seksual, menubuhkan mekanisme aduan menangani gangguan seksual, lengkap dengan peraturan dan hukuman, menyediakan perlindungan dan langkah-langkah pemulihan kepada mangsa dan mengadakan program pendidikan dan menjadikan pekerja-pekerja terdidik tentang isu gangguan seksual di tempat kerja. Cara 2 Aduan boleh juga dibuat di Jabatan Buruh. Jabatan ini kemudiannya akan meminta majikan menyiasat aduan tersebut. Tetapi, kuasanya hanya setakat meminta suatu siasatan dalaman dijalankan atau perjumpaan dengan majikan itu. Jabatan ini tidak berkuasa untuk memaksa majikan mengambil apa-apa tindakan. Namun, adalah menjadi kebiasaan bahawa mangsa-mangsa gangguan seksual takut untuk membuat aduan kerana bimbang hilang pekerjaan. Jika diberhentikan kerana membuat aduan, maka kita boleh mengambil tindakan dengan membuat aduan ke Jabatan Perhubungan Perindustrian atas dasar pemecatan yang tidak adil di bawah Akta Perhubungan Perindustrian 1967, seksyen 20. Pegawai tersebut boleh disaman di bawah undang-undang sivil atas kesalahan tort untuk menuntut gantirugi dan injunksi. Injunksi ialah perintah Mahkamah

menghalang pegawai tersebut mendekati sahabat saudari dan jika dia didapati melanggar perintah Mahkamah itu, dia akan dikenakan tindakan menghina Mahkamah. Cara 3 Jika masih ragu-ragu atau mencari-cari kekuatan untuk bertindak, bolehlah menghubungi persatuan-persatuan wanita seperti AWAM atau WDC yang begitu aktif dan berpengalaman menangani masalah ini. AWAM boleh dihubungi di 0378774221 dan WDC di 03-77846979 / 77844977.

Peranan Dan Penglibatan Kesatuan Sekerja
Gangguan seksual dapat dicegah, ditangani dan dibasmi dengan berkesan sekiranya terdapat tindakan bersama oleh majikan dan kesatuan sekerja. Dalam membentuk dan menubuhkan mekanisma dalaman bagi mencegah dan membasmi gangguan seksual, majikan seharusnya memilih pendekatan secara rundingan dengan melibatkan kesatuan sekerja. Penyertaan kesatuan sekerja boleh membawa kepada komitmen yang lebih padu dari golongan pekerja untuk menerimapakai dan mematuhi mekanisma dalam tersebut. Kesatuan sekerja mempunyai peranan yang jelas dalam membantu mewujudkan suasana kerja yang bebas dari gangguan seksual. Kesatuan sekerja juga boleh memberi sumbangan dalam mencegah gangguan seksual melalui peningkatan kesedaran dan kepekaan ahli-ahli terhadap isu ini dan dalam memastikan bahawa tingkah laku ahli-ahlinya tidak menimbulkan masalah gangguan seksual. Kesatuan sekerja juga patut bekerjasama dengan majikan dalam melaksanakan program-program promosi dan pendidikan bagi mewujudkan budaya kerja yang menjamin suasana kerja yang selamat dan sihat, di mana setiap pekerja tanpa mengira jawatan atau status dihormati maruahnya dan bebas dari sebarang bentuk gangguan, penghinaan dan ancaman yang berbentuk seksual.

PROTECT YOURSELF FROM SEXUAL HARRASMENT, DON'T WAIT UNTIL IT HAPPENS BUT DO IT NOW.