You are on page 1of 5

TEORI PEMBANGUNAN MULTIMEDIA INTERAKTIF

Langkah-langkah dalam pembangunan produk multimedia interaktif

Fasa 1 – Perancangan
• Langkah 1 – Pembangunan Konsep
• Langkah 2 – Menyatakan Tujuan
• Langkah 3 – Mengenalpasti Pengguna

Fasa 2 – Analisis Keperluan
• Langkah 4 – Spesifikasi
• Langkah 5 – Papan Cerita

Fasa 3 – Pembangunan
• Langkah 6 – Pembangunan Kandungan

Fasa 4 – Pengujian
• Langkah 7 – Menguji Produk
FASA 1 – PERANCANGAN

Langkah 1 : Pembangunan Konsep

Setiap projek multimedia menjanakan idea tersendiri. Proses penjanaan idea adalah
berdasarkan beberapa persoalan seperti berikut :

• Bagaimana sesuatu maklumat boleh dipersembahkan dalam bentuk multimedia
yang lebih impresif dari segi kualiti grafik dan maklumat terkini ?
• Bagaimana kita boleh mengubah kandungan yang menjurus ke arah keperluan
pasaran yang pelbagai ?
• Bagaimana kita boleh mengoptimumkan teknologi terkini ?
• Bagaimana kita boleh menukarkan dari tajuk tunggal ke tajuk bersiri ?
• Bagaimana kita boleh membuat pempakejan semula dan mengubahsuai isi
kandungan ?

Langkah 2 : Menyatakan Tujuan

Setelah pembangunan konsep dibuat, matlamat dan objektif haruslah
diperincikan. Matlamat merupakan konsep umum mengenai projek yang dibina
manakala objektif adalah pernyataan yang lebih terperinci. Matlamat dan objektif boleh
menentukan hala tuju proses pembangunan produk multimedia. Pembangunan produksi
multimedia merupakan suatu proses kerja berpasukan, maka adalah penting bagi
sesuatu objektif yang tetapkan itu memenuhi fokus, landasan, peruntukan dan masa
yang ditetapkan.

Langkah 3 – Mengenalpasti Pengguna

Semakin banyak maklumat tentang keupayaan atau kebolehan pengguna yang
diperolehi individu yang akan membangunkan sesebuah perisian multimedia, maka
semakin tepat dan sesuailah sesebuah perisian yang dibangunkan itu memenuhi
keperluan kumpulan sasaran.

Para pengguna secara amnya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori
mengikut umur, jantina, pendidikan dan sebagainya. Individu yang ingin membangunkan
perisian multimedia perlu menentukan maklumat yang diperlukan dan bagaimana yang
bersesuaian dengan para pengguna.
Fasa 2 – ANALISIS KEPERLUAN

Langkah 4 – Spesifikasi

Spesifikasi boleh dirujuk kepada dua aspek utama iaitu spesifikasi perisian dan
juga spesifikasi perkakasan. Spesifikasi perisian menyenaraikan apa yang akan
dimasukkan ke dalam skrin, termasuk susunan setiap elemen dan fungsi setiap objek.

Selain dari itu, keupayaan sistem komputer dari sudut kepantasan ingatan utama
(RAM), ruang storan dan sebagainya juga perlu ditentukan dari awal bagi memastikan
agar perisian yang dibina mampu dimainkan pada mana-mana sistem komputer yang
dicadangkan tanpa sebarang masalah.

Langkah 5 – Papan Cerita

Pembinaan pembangunan perisian banyak meniru corak pembangunan filem,
termasuk penggunaan papan cerita. Papan cerita atau ‘storyboard’ mewakili paparan
setiap skrin dan cara mana skrin dihubungkan antara satu sama lain.

Papan cerita bertujuan :
• penetapan gambaran kasar projek
• sebagai panduan kepadan pembangun program
• memberi gambaran bagaimana setiap skrin dihubungkan
• memberi gambaran bagaimana setiap objek berfungsi

Navigasi atau penerokaan setiap skrin merupakan suatu elemen yang penting.
Interaktiviti yang tidak linear akan memastikan projek yang dibangunkan itu menarik dan
interaktif dan ini ditentukan oleh pembangun perisian itu sendiri.

Satu lagi perkara yang penting dalam penyediaan papan cerita ialah merancang
sistem penerokaan bagi setiap skrin di dalam papan cerita tersebut. Salah satu aspek
multimedia yang paling penting bagi memastikan sesebuah aplikasi yang dibangunkan
menarik serta interaktif ialah aspek interaktiviti yang tidak linear. Hubungkait antara skrin
melalui penggunaan butang, hyperteks dan hot spot membenarkan pengguna
berpindah dari satu skrin ke skrin yang lain

Sistem penerokaan atau navigasi boleh dilakukan dalam pelbagai cara , seperti susunan
yang berturutan, mengikut topik atau melalui konsep penjelajahan. Penerokaan
mengikut susunan yang berturutan akan menghasilkan satu sistem yang membolehkan
seseorang pengguna bergerak secara linear.
Fasa 3 – PEMBANGUNAN

Langkah 6 – Pembangunan Kandungan

Dalam fasa pembangunan perisian, proses kerja berubah dari merancang dan
mereka bentuk kepada proses pembangunan perisian. Ianya mempunyai dua langkah
utama iaitu langkah pembinaan isi kandungan dan langkah mengarang atau
mengaturcara tajuk.

Spesifikasi perisian meliputi sebarang skrip yang akan digunakan bagi
menggambarkan isi kandungan sesebuah perisian multimedia. Terdapat banyak
perkara mengenai isi kandungan yang perlu diberi perhatian, antaranya:

• Tahap kualiti isi kandungan
• Bagaimana isi kandungan dijana
• Siapa yang bertanggung jawab dalam mendapatkan hakcipta
• Bagaimana isi kandungan disimpan dan didokumentasikan

Sekiranya sesebuah perisian multimedia menggunakan semula isi kandungan
yang sedia ada seperti dalam buku atau katalog, proses mendapatkan bahan mungkin
lebih mudah. Walau bagaimanapun jika isi kandungan yang perlu dihasilkan
terutamanya yang mempunyai animasi dan video, proses yang terlibat adalah lebih
banyak dan sering memerlukan perjanjian dengan pihak pembekal luar.

Proses mengarang atau mengaturcara akan menjadi lebih mudah sekiranya
proses membina spesifikasi dan papan cerita telah disiapkan dengan sempurna semasa
proses perancangan. Proses pengarangan melibatkan pemilihan imej, bagi latar
belakang, jenis teks, mengimbas beberapa grafik, mengimpot video, audio dan
sebagainya.

Proses penulisan skrip dianggap sebagai titik fokus yang bertujuan untuk
menetapkan fungsi di dalam spesifikasi yang ditentukan. Proses ini merangkumi
pemeriksaan keatas input pengguna dari papan kekunci, kemampuan mencapai peranti
luaran seperti CD Video, mengenalpasti konfigurasi sistem main semula dan
mengujudkan program installasi untuk memulakan sesuatu aplikasi atau program.

Antara perisian pengarangan dan pengaturcaraan yang menyediakan
kemudahan membangunkan produksi multimedia ialah seperti Microsoft Visual Basic,
C++, Macromedia Authorware, Macromedia Director, Toolbook dan sebagainya.

Seseorang pembangun program adalah digalakkan dapat bekerjasama dengan
pereka antaramuka dan penulis isi kandungan supaya spesifikasi yang dirancang dapat
memenuhi semua kriteria.
Fasa 4 – Pengujian

Langkah 7 – Menguji Produk

Fasa ini merujuk kepada proses menguji dan menilai perisian yang terhasil agar
menepati kehendak yang telah ditetapkan. Perisian yang telah selesai diuji dan dinilai
dijangka akan berkualiti serta memenuhi kehendak pengguna sebenar apabila ianya
digunakan oleh kumpulan pengguna sasaran tersebut.

Walaupun proses pengujian diletakan sebagai langkah terakhir, namun proses ini
merupakan suatu proses berterusan. Melalui fasa pembentukan tajuk, adalah mustahak
untuk menguji rekabentuk dan fungsi yang digunakan. Pengujian boleh dimulakan dari
awal lagi iaitu dalam peringkat pembinaan konsep.

Menguji sesuatu perisian multimedia melibatkan proses memastikan sama ada
fungsi yang dipilih bertindak balas mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan boleh
menjawab beberapa soalan seperti berikut:

• Adakah dengan mengklik setiap butang atau objek pada skrin akan
menghasilkan tindakbalas yang bersesuaian ?
• Boleh animasi, bunyi dan klip video dikawal oleh pengguna?
• Adakah grafik, teks dan lain-lain elemen terhasil dan diletakkan di lokasi
yang betul ?