You are on page 1of 8

PERSAMPELAN DAN KAEDAH KUTIPAN DATA KUALITATIF

Sampel kajian kualitatif berbeza dengan sampel kajian kuantitatif kerana sampel yang diambil mewakili populasi lokasi/tempat kajian dijalankan manakala subjek kajian kualitatif dipilih secara bertujuan (Gay & Airasian 2000). Kajian kualitatif menggunakan pensampelan bertujuan. Subjek kajian dipilih mengikut kriteria-kriteria yang ditetapkan sesuai dengan tujuan kajian berkenaan dijalankan. Kaedah kutipan data kajian kualitatif melibatkan beberapa langkah penting iaitu fokus kajian, kutipan data menggunakan cara pemerhatian, temu bual, analisis dokumen, penulisan diari, nota lapangan dan pengesahan protokol temu bual serta pemerhatian (Creswell 1994). Penyelidik sebagai pemerhati atau penyelidik sendiri melibatkan diri dalam aktiviti yang diperhatikan, boleh digunakan dalam kajian kualitatif. Alat perakam suara atau video digunakan selain senarai semak pemerhatian (Cohen et. al. 2000) Tujuannya adalah untuk membantu penyelidik menyemak semula apa yang diperhatikan. Ini akan membantu meningkatkan kesahan dan keboleh percayaan hasil pemerhatian yang diperoleh. Selain itu, penyelidik juga boleh menggunakan peer checker di kalangan rakan penyelidik atau individu yang dilatih untuk membuat pemerhatian. Terdapat tiga bentuk temu bual yang boleh digunakan iaitu temu bual berstruktur, separa struktur atau temu bual bebas. Penyelidik perlu menyediakan protokol temu bual yang terdiri daripada pengenalan, soalan pembuka, soalan kunci, soalan-soalan berkaitan soalan kunci dan soalan penutup. Protokol temu bual disediakan untuk menjawab persoalan kajian. Temu bual yang dijalankan biasanya direkodkan menggunakan alat perakam audio supaya tidak ada maklumat yang akan tertinggal atau tercicir. Temu bual berkenaan akan ditranskripkan oleh penyelidik atau pembantunya. Hasil analisis data temu bual dipersembahkan dalam bentuk naratif atau kekerapan tema. Perlu diingatkan bahawa kebolehan penyelidik mengemukakan soalan demi soalan banyak membantu kajian yang dijalankan. Jika tidak subjek kajian akan menyatakan perkara-perkara di luar fokus kajian yang dijalankan. Dokumen seperti minit mesyuarat, surat khabar, kertas kerja, latihan, surat-surat dan dokumen yang berkaitan digunakan untuk menyokong dapatan kajian. Pelbagai bentuk kutipan data digunakan dalam kajian kualitatif. Data kualitatif yang diperoleh membantu memantapkan kajian yang dijalankan. Data-data berkenaan saling melengkapi antara satu sama lain.

PERSAMPELAN
SAMPEL

Sampel ialah kumpulan (orang, institusi, tempat, atau fenomena) yang menjadi sumber informasi yang diperlukan oleh pengkaji. Contohnya, jika sebuah sekolah mempunyai 1200 orang pelajar Sains, maka kumpulan tersebut dikenali sebagai populasi dan 240 orang pelajar daripada kumpulan itu yang dipilih untuk suatu penyelidikan, maka 240 orang pelajar tadi dikenali sebagai sampel. Realitinya, keinginan pengkaji adalah untuk menyelidik populasi yang telah dikenal pasti dalam sesuatu penyelidikan. Tetapi, faktor-faktor seperti saiz populasi yang besar, pelbagai dan meliputi kawasan yang luas menyukarkan pengkaji untuk berbuat demikian. Aktiviti mencari dan menghubungi semua ahli populasi akan memakan masa dan perbelanjaan yang tinggi. Oleh yang demikian, pengkaji terpaksa memilih sampel untuk diselidiki. POPULASI

Populasi ialah kumpulan yang lebih besar yang akan memperoleh manfaat daripada dapatan yang diperoleh hasil pengkajian saintifik ke atas sampel. POPULASI SASARAN

Populasi sasaran ialah populasi yang ingin diselidiki oleh pengkaji serta dijadikan asas untuk membuat generalisasi. Walau bagaimanapun populasi sasaran ini jarang dapat diperoleh. Oleh sebab itulah populasi sasaran dikatakan sebagai populasi pilihan ideal (Fraenkel dan Wallen, 2006). POPULASI CAPAIAN

Populasi capaian dikatakan sebagai populasi pilihan realistik kerana kebanyakan pengkaji dapat menjadikannya sebagai asas untuk membuat generalisasi dapatan kajian. Contoh untuk memahami konsep populasi sasaran, populasi capaian dan sampel adalah seperti berikut:

Masalah penyelidikan yang ingin diterokai: Kesan Pembelajaran Berbantukan Komputer terhadap Pencapaian Sains Murid Tahun Lima di Selangor. Populasi sasaran: semua murid tahun lima di Selangor Populasi capaian: semua murid tahun lima di daerah Hulu langat, Selangor Sampel: 10 % murid tahun lima di daerah Hulu Langat, Selangor. PERSAMPELAN

Persampelan bermaksud pemilihan suatu kumpulan (orang, institusi, tempat, atau fenomena) yang ingin diselidiki oleh pengkaji. Persampelan merupakan proses memilih sekumpulan (orang, institusi, tempat, atau fenomena) oleh pengkaji untuk sesuatu penyelidikan yang mewakili kumpulan besar (orang, institusi, tempat, atau fenomena) yang dipilih. Tujuan persampelan adalah untuk memperoleh maklumat tentang sesuatu populasi (orang, institusi, tempat, atau fenomena). Matlamat persampelan adalah untuk memperoleh sampel yang mencerminkan populasi dari segi pemboleh ubah yang menjadi tumpuan pengkaji. Ini bermakna pengkaji mengambil sebahagian kecil populasi untuk tujuan pemerhatian, dan membuat generalisasi berkenaan populasi yang diwakili oleh sampel tersebut. Oleh itu, pemilihan sampel yang baik ialah sampel yang boleh mewakili pemboleh ubah berkenaan dari populasi yang disasarkan. PERSAMPELAN

PROSEDUR Terdapat dua jenis prosedur persampelan iaitu:


Persampelan kebarangkalian (secara rawak) Persampelan bukan kebarangkalian (secara tak rawak) Kebarangkalian (secara rawak)

Persampelan

Prosedur persampelan kebarangkalian adalah sinonim dengan penyelidikan jenis kuantitatif. Prosedur persampelan jenis ini dilaksanakan dengan memilih subjek sampel secara rawak iaitu subjek dalam sampel tersebut mempunyai semua ciri-ciri yang terdapat dalam populasi kajian. Sebelum prosedur persampelan kebarangkalian dilakukan, pengkaji perlu mengenal pasti saiz populasi dan memperoleh senarai subjek dalam populasi. Berdasarkan senarai subjek, pemilihan responden dilakukan mengikut kaedah persampelan rawak. Rajah di bawah menunjukkan proses prosedur persampelan kebarangkalian.

Persampelan

bukan

kebarangkalian

(secara

tak

rawak)

Prosedur persampelan jenis bukan kebarangkalian lazimnya diguna pakai oleh pengkaji dalam penyelidikan bersifat kualitatif. Persampelan bukan kebarangkalian melibatkan pemilihan sampel daripada suatu populasi yang telah dikenal pasti berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Sebagai contoh, seorang pengetua ingin mengenal pasti pendapat guru-guru di sekolahnya tentang suatu dasar. Beliau memilih 30 orang guru daripada populasi guru seramai 180 orang yang telah mengajar di sekolahnya. Guru-guru berkenaan dipilih berdasarkan ciri-ciri berikut; (a) pengalaman mengajar kurang daripada 5 tahun, (b) ahli koperasi guru, (c) pernah menjadi ahli jawatankuasa penggubalan dasar sekolah. Memandangkan pemilihan sampel adalah berdasarkan ciri-ciri tertentu, maka terdapat guru yang tidak berpeluang menjadi sampel penyelidikan pengetua. Rajah di bawah menunjukkan jenis-jenis persampelan kebarangkalian dan persampelan bukan kebarangkalian.

Memandangkan perbincangan penulis lebih menjurus kepada penyelidikan kualitatif, maka hanya jenis persampelan bukan kebarangkalian yang dibincangkan dalam konteks persampelan ini. (1) Persampelan Mudah (Convenience Sampling)

Persampelan mudah dikenali juga sebagai persampelan secara kebetulan atau presampelan kesediaan. Di bawah persampelan mudah / Convenience Sampling, pengkaji memilih mana-mana subjek yang ditemuinya, yang paling dekat dengannya. Persampelan jenis ini biasanya digunakan dalam temu bual. Sebagai contoh, pengkaji melakukan kajian untuk mengetahui pendapat peserta seminar tentang keberkesanan program seminar yang dihadiri oleh mereka. pengkaji menemu bual 10 orang peserta, iaitu peserta-peserta yang paling dekat dengannya yang ditemuinya. Dalam kes ini, pengkaji menemui 10 orang peserta yang berada di bahagian hadapan dewan seminar secara kebetulan. Peserta-peserta lain terutamanya peserta yang berada di bahagian belakang dewan tidak mempunyai peluang untuk ditemu bual. Kebarangkalian peserta-peserta yang dipilih adalah berbeza, walaupun pengkaji tidak mempunyai apa-apa kriteria pemilihan responden, dan pemilihan tidak dibuat secara sengaja, pengkaji tidak dapat menganggarkan ralat persampelan kerana prosedur persampelan mudah bukan merupakan persampelan rawak. (2) Persampelan Tujuan (Purposive Sampling)

Persampelan tujuan atau purposive sampling / judgment sampling merujuk kepada prosedur persampelan iaitu sekumpulan subjek yang mempunyai ciri-ciri tertentu sahaja

dipilih sebagai responden kajian berdasarkan pengetahuan dan tujuan khusus penyelidikan pengkaji. Ini bermakna tidak semua kajian lain dalam populasinya dipilih oleh pengkaji sebagai responden. Sebagai contoh, jika pengkaji ingin mengenal pasti kesedaran pelajar-pelajar sekolah tentang akibat buruk merokok, dan hanya subjek-subjek kajian yang merokok sahaja yang dipilih sebagai responden. Maka, pengkaji telahh memilih subjek kajian berdasarkan tujuan atau kehendaknya. Dalam kes ini, responden-responden kajian adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang merokok, yang tidak mewakili seluruh populasi pelajar di sekolah. Sampel begini bukan merupakan sampel rawak dan hasil kajiannya tidak dapat digeneralisasi kepada seluruh populasi pelajar di sekolah kerana sampel tersebut tidak mewakili semua pelajar dalam populasi berkenaan. Keputusan kajian hanya mewakili kumpulan subjek kajian yang dipilih sahaja. (3) Persampelan Kuota (Quota Sampling)

Persampelan kuota (Quota Sampling) dikenali juga sebagai persampelan rawak berlapis yang bukan kebarangkalian. Dalam prosedur persampelan ini, pengkaji memilih subjek berdasarkan kategori-kategori yang dianggap wujud dalam populasi. Ia adalah berbeza dengan persampelan rawak berlapis kerana dalam persampelan rawak berlapis, subjek dipilih secara rawak dalam kumpulan-kumpulan berlapis. Persampelan kuota sebaliknya dilakukan ke atas kumpulan subjek tertentu (persampelan bertujuan), oleh itu, responden kajian merupakan subjek-subjek berlapis yang dipilih secara kebetulan. Dengan erti kata lain, pemilihan sampel adalah berdasarkan kuota-kuota yang dikategori oleh pengkaji. Dalam prosedur ini, subjek dipilih secara kebetulan sehingga bilangan bagi satu kategori yang mempunyai ciri-ciri tertentu dipenuhi, dan prosedur ini diteruskan untuk memilih subjek-subjek lain dalam kategori-kategori lain sehingga semua kategori dipenuhi. Sebagai contoh, pengkaji ingin mengenal pasti pendapat pelajar kursus komputer tentang keberkesanan program komputer di sekolah. Pengkaji membahagikan pelajarpelajar kepada dua kategori iaitu kategori pelajar yang sering menggunakan komputer sekolah (tiga atau lebih daripada tiga kali seminggu) dan kategori pelajar yang kurang menggunakan komputer di sekolah (kurang daripada tiga kali seminggu). Pengkaji memilih 30 orang pelajar untuk setiap kategori berdasarkan kepada kriteria "siapa yang ditemui dahulu dipilih, sehingga kedua-dua kategori dipenuhi". Dalam kes ini, walaupun pengkaji memilih satu peratusan tertentu subjek dalam setiap kategori, pemilihan tidak dibuat secara rawak atau ralat persampelan tidak dapat dianggarkan. Oleh itu, keputusan kajian tidak boleh digeneralisasikan kepada populasi kajian di bawah prosedur persampelan kajian ini. (4) Persampelan Dimensional

Persampelan dimensional (Dimensional Sampling) biasanya digunakan dalam kajian kes. Hanya sebilangan kecil subjek mempunyai ciri-ciri khas yang diminati pengkaji, dijadikan sebagai responden kajian. Persampelan dimensional digunakan untuk

mengurangkan masalah saiz sampel dalam prosedur persampelan kuota. Di bawah persampelan ini, pengkaji mengenal pasti ciri-ciri (faktor-faktor atau variabel bebas) yang diminati dalam populasi dan memilih sekumpulan kecil (sekurang-kurangnya seorang) responden yang mempunyai semua ciri tersebut. Sebagai contoh, dalam kajian kes, pengkaji ingin mengetahui pandangan pegawaipegawai lelaki dan perempuan sebuah organisasi yang bertaraf pekerjaan yang tetap, sementara dan kontrak. Jadual di bawah menunjukkan subjek yang dipilih dengan prosedur persampelan dimensional.

Berdasarkan jadual di atas, subjek bagi setiap kumpulan responden dipilih berdasarkan pemilihan secara kebetulan, iaitu subjek yang mempunyai ciri-ciri tersebut yang ditemui dahulu dipilih sebagai responden kajian. (5) Persampelan Kes Kritikal

Prosedur persampelan kes kritikal (Critical case sampling) digunakan apabila kajian dilakukan ke atas kes-kes yang spesifik, yang melibatkan tingkah laku yang aneh, luar biasa atau jarang dijumpai. Persampelan kes kritikal ini biasanya digunakan untuk kajian kulitatif atau kajian kes yang bertujuan menyelidik individu atau kumpulan yang unik. Sebagai contoh, pengkaji berminat untuk mengkaji kes-kes berikut;

seorang kanak-kanak tadika mengalami kecederaan di sebuah tadika beberapa penghuni rumah terpaksa berpindah kerana kawasan yang didiami mereka mengalami tanah runtuh cara seorang korporat mencapai kejayaan walaupun merupakan individu yang kurang upaya

Prosedur persampelan ini digunakan dalam kajian bertujuan untuk memahami dan mempelajari secara mendalam tentang sesuatu yang berlaku secara serius, yang mendatangkan kesan kepada masyarakat. Sampel kes kritikal yang digunakan juga dikenali sebagai sampel kes ekstrim. (6) Persampelan Variasi maksimum

Dalam persampelan variasi maksimum (Maximum variation sampling), individu-individu atau kumpulan individu dipilih untuk mewakili tahap terendah dan tahap tertinggi dalam sesuatu variabel (atau ciri) yang mempunyai nilai selanjar. Sebagai contoh, kumpulan pekerja tahap IQ tertinggi dan kumpulan pekerja tahap IQ

terendah dalam sesebuah organisasi dipilih sebagai sampel variasi maksiimum dalam kajian yang bertujuan untuk menyelidik perhubungan antara tahap IQ dan produktiviti pekerja-pekerja. (7) Persampelan Bola Salji (Snow ball sampling)

Persampelan bola sajli atau snow ball sampling merujuk kepada prosedur persampelan iaitu, responden kajian diminta untuk mencadangkan subjek lain yang mempunyai ciriciri yang sesuai untuk kajian. Prosedur persampelan ini digunakan terutamanya apabila pengkaji tidak dapat memperoleh senarai nama subjek dalam populasi yang mempunyai ciri-ciri yang sama. Dalam prosedur ini, pengkaji akan mengenal pasti sebilangan kecil subjek yang mempunyai ciri-ciri yang hendak dikaji. Setelah subjek ditemu bual atau diberi soal selidik untuk dijawab, dia diminta untuk menamakan subjek-subjek lain dalam populasi yang mempunyai ciri-ciri yang sama. Kaedah persampelan ini akan dilakukan berterusan sehingga pengkaji memperoleh semua responden yang dikehendaki. Persampelan bola salji ini sesuai digunakan apabila senarai nama subjek kajian tidak diperoleh, terutamanya kes-kes yang melibatkan perkara-perkara yang sensitif, atau tidak dibenarkan oleh pihak-pihak tertentu. Sebagai contoh, kajian yang dilakukan ke atas pegawai-pegawai sesebuah organisasi yang terlibat dengan kes jenayah tertentu atau kajian yang dilakukan ke atas guru-guru yang terlibat dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), atau kajian ke atas pegawaipegawai kerajaan yang terlibat secara aktif dalam politik. Walaupun prosedur persampelan ini tidak melibatkan pemilihan rawak, ia sesuai digunakan pada keadaankeadaan di mana prosedur persampelan lain tidak sesuai digunakan.

You might also like