You are on page 1of 7

Dapatan Kajian Antarabangsa TIMSS 2007 tentang Prestasi Pelajar 8th Grade

(Tingkatan 2) Malaysia dalam Ujian Matematik dan Sains


Profesor Emeritus Dato� Isahak Haron,
Universiti Pendidikan Sultan Idris
24 Februari, 2009.

Apakah dapatan Kajian Antarabangsa TIMSS 2077 mengenai Pencapaian Matematik dan
Sains Pelajar 8th Grade (Tingkatan 2) Malaysia?

Malaysia adalah antara 59 buah negara yang mengambil bahagian dalam kajian
pencapaian Matematik dan Sains antarabangsa bagi pelajar berumur 14+ tahun Gred 8
(pelajar Tingkatan 2) yang dijalankan oleh Trends in International Mathematics and
Science Study at Fourth and Eightth Grades, International Study Center (TIMSS
2007), Lynch School of Education, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts,
USA. (Malaysia tidak mengambil dalam bahagian murid Grade 4, atau Tahun 4).
Sebelum 2007, Malaysia pernah juga mengambil bahagian dalam kajian yang sama bagi
tahun 1999 dan 2003. (Kajian ini dilakukan empat tahun sekali).

Pada Disember 2008, dua laporan dapatan kajian TIMSS 2007 berhubungan dengan
pencapaian Matematik dan Sains ini diterbitkan. (Laporan ini dapat dirujuk dalam
internet TIMSS 2007).

Kandungan item dan taraf ujian Matematik dan Sains antarabangsa ini diselaraskan
untuk 59 negara (dengan persetujuan negara itu sendiri) bagi membolehkan
perbandingan dibuat tentang tahap dan trend pencapaian Matematik dan Sains pelajar
Gred 8 (Tingkatan 2).

Dapatan Kajian TIMSS 2007 menunjukkan yang skor purata pencapaian pelajar Malaysia
2007 untuk Matematik dan Sains menurun secara signifikan berbanding dengan skor
prestasi pelajar Malaysia dalam kajian TIMSS 1999 dan 2003.

Menurut Kajian itu:

Skor Matematik untuk tiga tahun pelajar Malaysia adalah sebagai berikut:

1999 = 519
2003 = 508 (turun 11 mata berbanding dengan skor 1999)
2007 = 474 (turun 34 mata berbanding dengan skor 2003)

Skor Sains untuk tiga tahun pula adalah seperti berikut:

1999 = 492
2003 = 510 (naik 18)
2007 = 471 (turun 40)

Dalam kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS ini, ada
negara yang skor purata pencapaian sampel pelajarnya meningkat sedikit atau
menurun sedikit. Tetapi penurunan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak
34 mata untuk Matematik dan 40 mata untuk Sains adalah signifikan dan terbesar
sekali dalam kalangan 59 negara itu.

Akibat daripada penurunan dalam prestasi pelajar Malaysia 2007 dalam Matematik dan
Sains ini, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam International benchmarks
�Advanced Benchmark (625)�, �Highbench mark (550) dan Intermediate Benchmark (475)
juga menurun secara signifikan berbanding dengan TIMSS 2003, mengikut Laporan itu.
Hanya 2% pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketegori �Advanced Benchmark�,
dalam TIMSS 2007 berbanding dengan 6% dalam 2003.
Dalam kategori �Highbench mark (550) peratus merosot daripada 30% dalam 2003 ke
18% dalam TIMSS 2007; dan untuk Intermediate Benchmark (475) Malaysia menurun
daripada 66% (2003) kepada 50% (2007). Kemerosotan peratus pencapaian Matematik
ini adalah signifikan, mengikut Laporan itu; dan secara bandingan dengan negara
lain, adalah yang terbesar. Daripada segi ranking pencapaian matematik, kedudukan
Malaysia jatuh daripada tangga 10 dalam 2003 ke tangga 20 dalam 2007.

Trend kemerosotan yang sama juga berlaku dalam Sains. Peratus pelajar Malaysia
yang mencapai TIMSS 2007 International benchmarks �High benchmark (550)� untuk
Sains menurun dari 28% dalam 2003 kepada 18% bagi 2007. Bagi �Intermediate
International Benchmark (skor 475)� pula peratus merosot daripada 71% (2003)
kepada 50% bagi 2007. Penurunan ini adalah signifikan, mengikut Laporan itu; dan
secara bandingan dengan negara lain, adalah yang terbesar.

Secara bandingan dengan negara-negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-
tiga kategori Matematik itu juga merosot. Dalam kategori �Advanced Benchmark�
Matematik TIMSS 2007, hanya 2% pelajar Malaysia termasuk dalam kategori ini,
berbanding dengan misalnya Chinese Taipei (45%), Korea (40%), Singapura 40%, Hong
Kong SAR 31%, Japan 26%, Hungary (10%), England (8%), Russian Federation (8%), US
(6%), Australia (6%), Serbia 5%, Romania (4%), Thailand (3%).

Dalam kategori �High benchmark 550� Matematik pula, hanya 18% pelajar Malaysia
yang tergolong dalam kategori ini, berbanding dengan beberapa negara lain seperti
Chinese Taipei 71%, Korea 71%, Singapura 70%, Hong Kong SAR 64%, Japan 61%,
England 35%, Hungary 36%, Czech Republic 26%, Russian Federation 33%, US 31%,
Australia 24%, Serbia 24%, Romania 20%.

Secara bandingan dengan negara-negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-
tiga kategori pencapaian Sains juga merosot secara signifikan.

Ulasan sebab

Berikut adalah salah satu ulasan Laporan ini mengenai faktor yang boleh
dihubungkait dengan pencapaian Matematik dan Sains (factors associated with higher
achievement in Mathematics and Science). Antara lain Laporan itu menyatakan,

�At both fourth an eighth grades, on average across countries, a large majority of
students reported always or almost always speaking the language of the test at
home, and these students had higher average mathematics (and science) achievement
than those who reported it less frequently.� TIMSS Mathematics/ Science Report
2007, p. 7)

Ertinya dalam kebanyakan negara, pelajar yang menyatakan yang mereka belajar mata
pelajaran ini dalam bahasa ibunda (home language) adalah secara puratanya lebih
tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding dengan pelajar yang menyatakan mereka
belajar matematik dan sains dalam dalam bahasa asing di peringkat rendah dan
menengah (8th grade).

Dengan perkataan lain, terdapat ada hubungan rapat antara pembelajaran Matematik
dan Sains dalam bahasa asing dengan kelemahan dalam prestasi Matematik dan Sains.

Peranan penting bahasa ibunda dalam pembelajaran akademik, misalnya matematik dan
sains, sudah banyak dikaji. Hasil kajian ini menunjukkan kemahiran kognitif
akademik berkembang terutamanya melalui bahasa ibunda pada peringkat pendidikan
awal. Justeru apabila pelajar cuba memperoleh bahasa asing dan terus belajar
matematik dan sains melalui bahasa asing tersebut sebagai bahasa pengantar,
pelajar akan menggunakan kemahiran kognitif akademik yang lemah (Cummins &
Saville-Troike 1991; Swain 1986).
Pendidikan dalam bahasa ibunda adalah amat kritikal untuk kanak-kanak mencapai
tahap kematangan mental, iaitu kemahiran memahami dan membina konsep secara
konstuktivis dalam matematik dan sains.

Penjelasan ini relevan dalam konteks dapatan dan ulasan TIMSS di atas, yang
menunjukkan pencapaian Matematik dan Sains pelajar yang menggunakan bahasa ibunda
untuk pengajaran-pembelajaran matematik dan sains secara purata adalah lebih
tinggi berbanding dengan pelajar yang belajar dalam bahasa asing. Ini adalah
kerana bahasa ibunda memudahkan pelajar memahami konsep sains dan matematik yang
diajarkan di sekolah.

Semua negara dalam Kajian TIMSS ini yang pelajarnya menggunakan bahasa ibunda
dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Korea, Jepun, Chinese
Taipei, Singapura, England, US, Romania, dsb mencapai skor matematik dan sains
yang tinggi.

Mungkin pada saat ini ada orang membangkitkan kes Singapura? Harus diingat bahawa
bahasa Inggeris adalah bahasa keluarga untuk kebanyakan pelajar Singapura.
Semenjak 10 - 15 tahun kebelakangan ini, termasuk dalam komunikasi harian dalam
masyarakat.

Berdasarkan dapatan kajian-kajian yang bagini, UNESCO mengeyorkan bahasa keluarga


digunakan untuk pengajaran-pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah bagi
memudahkan dan mengukuhkan kefahaman konsep-konsep matematik dan sains pelajar.
Semua negara dalam European Union menerima dasar bagi mengajarkan mata pelajaran
utama (seperti sains dan matematik) dalam bahasa ibunda. Bahasa kedua yang wajib
boleh dipilih dari Bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman. Bahasa Inggeris sebagai
bahasa kedua misalnya diajar melalui pendekatan yang dipanggil pengajaran bahasa
dalam konteks pembelajaran isi.

Apakah kesimpulan atau inferens yang boleh kita buat dari dapatan Kajian TIMSS
2007 dalam pencapaian Matematik dan Sains pelajar Malaysia?

Haruslah diingat pada 2003 Malaysia belum melaksanakan pengajaran Matematik dan
Sains dalam bahasa Inggeris bagi pelajar Tingkatan 2 yang menjadi sampel kajian
2003 itu; tetapi bagi sampel 2007 pelajar Tingkatan 2 (8th Grade) mereka diajar
Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris semasa mereka berada dalam Tingkatan 1
dan 2. Kajian-kajian (Isahak 2008, Juriah Long 2006) menunjukkan 70%-80% pelajar
Tingkatan 2 menyatakan yang mereka sukar dan agak sukar mengikuti pengajaran guru
Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Kesimpulan 1: Dalam konteks di atas bolehlah kita membuat inferens bahawa


pertukaran penggunaan bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah dari Bahasa
Malaysia ke Bahasa Inggeris (bahasa kedua/asing bagi kebanyakan pelajar, terutama
pelajar Melayu) mulai 2003 (untuk pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 dan seterusnya),
telah menyukarkan dan melemahkan proses pengajaran-pembelajaran pelajar Malaysia
untuk belajar kedua-dua mata pelajaran ini. Dengan itu prestasi pelajar Malaysia
dalam ujian TIMSS (2007) merosot secara signifikan: bagi Matematik dari 508 (2003)
jatuh ke 474 (2007); dan Sains dari 510 (2003) jatuh ke 471 (2007).

Kemerosoton ini adalah terbesar di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian itu.
Kemerosotan ini menurun juga prestasi pelajar kita dalam PMR dan SPM. Ini adalah
realitinya.

Kesimpulan 2: Prestasi dan tahap pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan
Sains dalam Kajian TIMSS 1999 dan 2003 boleh dibanggakan. (Bahkan YB Menteri
Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin sendiri dengan bangganya melaporkan hal ini
apabila dapatan TIMSS 2003 dikeluarkan dahulu). Ini menunjukkan yang pengajaran
Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia, iaitu bahasa keluarga bagi yang
kebanyakan pelajar (terutama pelajar Melayu dan Bumiputera lain) telah membantu
pencapaian Matematik dan Sains yang baik dalam TIMSS 1999 dan 2003. Bahasa
Malaysia adalah bahasa pengantar yang pelajar mudah memamahi kosep matematik dan
sains, berbanding dengan dalam bahasa Inggeris.

PPSMI sekolah rendah

Harus juga kita ingat pengajaran-pembelajaran matematik dan sains di Sekolah


rendah Jenis Kebangsaan Cina diajar dalam bahasa Cina iaitu bahasa ibunda mereka,
BUKAN dalam bahasa Inggeris.

Bagi Sekolah Kebangsaan, semua murid diajar Matematik dan Sains dalam Bahasa
Inggeris, iaitu bukan bahasa ibunda mereka. Berdasarkan kajian kami pengajaran-
pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini menjadi sukar kepada lebih daripada 70%
murid di Sekolah Kebangsaan. Guru juga sukar mengajar Matematik dan Sains dalam
Bahasa Inggeris kerana mereka sendiri kurang lancar. Dengan itu proses pemahaman
pelajar tentang konsep dan prosidur dalam Matematik dan Sains tidak dapat dibuat
dengan mudah dan licin, walau pun dengan mengguna program komputer (yang sekarang
sudah jarang digunakan kerana dianggap kurang praktikal dan kurang berkesan).

Dapatan ujian yang kami beri kepada murid Tahun 5 2008 menunjukkan lebih 70% lemah
dalam matematik dan lebih 80% lemah dalam sains.

Keputusan Peperiksaan UPSR 2008, secara bandingan menunjukkan peratus murid


Sekolah Rendah Cina yang mencapai gred cermerlang/baik meningkat dan prestasi
murid Sekolah Kebangsaan merosot.

Oleh kerana kebanyakan murid Sekolah Kebangsaan itu lebih 90% terdiri daripada
murid Melayu dan Bumiputera lain, maka murid yang bertambah lemah dalam Matematik
dan Sains adalah murid Melayu dan Bumiputera lain.

Inilah kesan negatif yang ketara akibat dari dasar PPSMI ini ke atas Sekolah
Kebangsaan. Dasar ini tidak menjejaskan pembelajaran dan prestasi murid SRJK Cina,
kerana mereka terus belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Cina (dan ditambah
dengan istilah Inggeris).

Berdasarkan kajian kami, dan trend yang dipaparkan di atas, kami menjangkakan yang
kebanyakan (lebih 70%) pelajar Melayu dan Bumiputera lain di Sekolah Kebangsaan,
terutama dari gologan sosioekonomi rendah di bandar dan di luar bandar akan terus
menghadapi masalah dan kepayahan belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa
Inggeris. Oleh kerana asas di peringkat rendah ini lemah, maka kelemahan ini
secara kumulatif dibawa ke peringkat menengah dan tinggi. Golongan ini, yang telah
menghadapi kepayahan belajar sejak enam tahun yang lalu, akan terus terjejas
pembelajaran mereka di peringkat menengah.

Yang mendapat faedah dan untung dari dasar PPSMI adalah 20% -30% pelajar dari
keluarga profesional, menengah dan di bandar. Dan kebanyakan ibu bapa mereka ini
tentulah ingin mempertahankan dasar yang menguntungkan mereka. Dan nampaknya
pemikiran pembesar dan pentadbir tinggi pendidikan memihak golongan yang beruntung
ini.

Perkembangan dan latihan modal insan dalam sains, teknologi dan profesional akan
terjejas, terutama di kalangan bangsa Melayu dan Bumiputera lain, kerana dasar
PPSMI akan terus mengecilkan peratus dan bilangan pelajar Melayu yang mempunyai
asas kukuh di peringkat rendah dan menengah dalam sains dan matematik. Dan ini
seterusnya mengecilkan lagi peratus pelajar Melayu dan Bumiputera lain layak untuk
pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

Ertinya strategi perkembangan modal insan dalam matematik, sains dan teknologi
melalui dasar PPSMI telah dan akan melemahkan keupayaan pembinaan modal insan
anak-anak Melayu dan Bumiputera lain terutamanya. Ini akan membantut keupayaan
ekonomi mereka: perkembangan ekonomi Melayu akan merosot, menambahkan jurang
antara kaum dan golongan sosioekonomi dan boleh menjejaskan kestabilan negara.

Strategi yang munasabah dan realistik

Strategi yang munasabah dan realistik bagi menyediakan pendidikan yang berkualiti
dan bermakna bagi pelajar kita adalah kembali semula kepada dasar mengajar
Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia kerana hasil Kajian TIMSS 1999 dan 2003
membuktikan prestasi pelajar kita dalam Matematik dan Sains dalam kohort yang
diajar dalam Bahasa Malaysia itu tinggi. Sebaliknya kohort yang diajar dalam
bahasa Inggeris (PPSMI) 2007 itu prestasi ujian Matematik dan Sains TIMSS 2007
mereka merosot dengan ketara, kerana kebanyakan mereka sukar belajar matematik dan
sains dalam bahasa Inggeris.

Perlaksanaan dasar kembali menggunakan Bahasa Malaysia untuk Sains dan Matematik
tidaklah sesukar seperti yang cuba digemburkan. Berikut adalah alasan saya.

1. Semua guru Matematik dan Sains sudah pun terlatih dan cekap untuk mengajar dua
mata pelajaran ini dalam Bahasa Malaysia (dari peringkat rendah, menengah dan
matrikulasi), kerana mereka telah pun mengajarnya dalam BM sebelum ini. Mereka
tidak perlu dilatih semula dalam Bahasa Malaysia.

2. Hanya yang perlu disediakan ialah buku teks (dan buku kerja) dalam Bahasa
Malaysia. Dan ini tidaklah bagitu sukar dibuat: iaitu dengan mengadaptasi saja
buku teks dalam bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka
boleh menjalankan ini dengan bantuan ramai pendidik dan guru pakar.

3. Program dan modul DVD dan komputer yang sedia ada dalam BI tidak perlu diganti
atau ditukar ke dalam Bahasa Malaysia. Dalam keadaan sekarang pun alat-alat ini
kurang digunakan di kebanyakan sekolah. Tetapi bahan yang sedia ada itu boleh
terus digunakan sebagai rujukan tambahan. Guru dan pelajar perlu terus membuat
projek sains dan matematik mereka mengguna komputer, misalnya dalam BM. Bahkan
pelajar akan lebih kreatif membuat projek kerana bahasa tidak lagi menjadi
kepayahan untuk mencatat dan menulis.

4. Peperiksaan Matematik dan Sains sudah pun dibuat dalam dwi bahasa (BM & BI) di
peringkat UPSR, PMR, SPM dan Matrikulasi sekarang. Dan sebahagian besar pelajar
UPSR (2008) Sekolah Kebangsaan memilih untuk menjawabnya dengan merujuk Bahasa
Malaysia.

5. Di peringkat matrikulasi, sebenarnya mata pelajaran sains seperti Fizik, Kimia,


Biologi, Matematik juga diajar dalam dwibahasa (BM dan BI) dan ujian dan
peperiksaan diberi dalam dwibahasa bagi membantu pelajar Melayu dan Bumiputera
lain memahaminya.

Pada anggaran saya tidak ada penambahan kos yang besar untuk kembali menggunakan
BM bagi pengajaran Matematik dan Sains di sekolah. Kos yang terlibat hanya dalam
penyediaan buku teks (dan buku kerja) matematik dan sains dalam Bahasa Malaysia.

Betulkan anggapan yang silap

Beberapan kesilapan anggapan perlu dibetulkan. Sepanjang 50 tahun yang lalu,


Bahasa Melayu sudah berkembang menjadi bahasa moden dari segi istilah, tatabahasa,
cukupnya penerbitan buku�buku pelajaran, dan cukupnya bilangan guru yang cekap
untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam BM di peringkat rendah, menengah
dan matrikulasi. Adalah sesuatu yang silap atau serong anggapan oleh setengah
pembesar, pentadbir dan golongan tertentu bahawa Bahasa Malaysia (termasuk Bahasa
Indonesia) tidak cukup moden untuk digunakan bagi pengajaran matematik dan sains,
terutama di peringkat rendah dan menengah. Mereka seolah-olah masih beranggapan
bahawa Bahasa Melayu adalah seperti pada zaman 1950-an semasa mereka bersekolah
Inggeris dahulu.

Penggunaan Bahasa Melayu untuk pengajaran Matematik dan Sains sebelum 2003 telah
menghasilkan pembelajaran yang berkesan, pengetahuan dan pencapaian yang baik
bertaraf antarabangsa bagi kebanyakan pelajar kita, seperti yang diterbukti dalam
Kajian TIMSS 1999 dan 2003. Apabila pelajar kita diajar math dan sains dalam
Bahasa Inggeris prestasi mereka merosot teruk seperti yang terbukti dalam Kajian
TIMSS 2007. Secara bandingan dengan 59 negara lain, kemerosotan skor negara
Malaysia adalah tertinggi.

Pengetahuan yang kukuh dalam sains dan math (sebelum terlaksana PPSMI) telah
membolehkan pelajar kita menyambung pelajaran tinggi mereka dengan mudah di
berbagai-bagai negara luar seperti di UK, US, Perancis, Jepun, Korea, Jerman,
Russia, selain dalam Bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia itu sendiri.

Asas yang kukuh dalam math dan sains di peringkat rendah dan menengah (SPM) amat
penting untuk membolehkan mereka meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi.

Adalah menjadi satu kekhilafan (fallacy) atau �anggapan palsu� apabila kita
menganggap kecepakan dalam bahasa Inggeris itu menjadi prasyarat untuk membolehkan
pelajar meneruskan pelajarannya dalam bidang sains, teknologi dan profesional.
Yang sebenarnya adalah sebaliknya. Pengetahuan yang kukuh dalam math dan sains
menjadi prasyarat untuk pengajian dalam pelbagai bidang sains dan teknologi, bukan
bahasa Inggeris.

Ertinya jika pelajar lemah dalam pegetahuan Matematik dan Sains maka kelemahan ini
menjadi masalah besar untuk mereka melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi dalam
bidang sains dan teknologi, bukan kelemahan dalam bahasa Inggeris.

Dalam keadaan sebelum dasar PPSMI, oleh kerana asas pengetahuan sains dan
matematik pelajar kita kukuh, maka mereka mudah belajar bidang sains dan teknologi
seterusnya dalam bahasa kedua di peringkat tinggi. Kebanyakan pelajar kita dengan
mudah menambah lagi kecekapan dalam Bahasa Inggeris (atau belajar bahasa asing)
bagi meneruskan pelajaran tinggi dalam sains dan teknologi dalam bahasa kedua ini.

Tentu sekali penguasaan bahasa Inggeris oleh pelajar itu penting. Tetapi untuk
meningkatkan penguasaannya bukan melalui pengajaran Matematik dan Sains dalam
Bahasa Inggeris. Mengikut kajian kami, peningkatan prestasi Bahasa Inggeris akibat
dari PPSMI pelajar Tahun 5 dan Tingkatan 2 (2008) adalah minimal saja. Ertinya
dasar PPSMI sepanjang yang dilaksanakan sejak enam tahun lalu gagal bagi
meningkatkan prestasi bahasa Inggeris secara bererti selain Sains dan Matematik.

Apa yang perlu dibuat bagi memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar
adalah memperbaiki kurikulum dan pendekatan pengajarn bahasa Inggeris di peringkat
rendah dan menengah.

1. Tambahkan masa untuk pembelajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah, terutama


dalam Tahun 1 -3.
2. Ubah atau pinda Kurikulum Bahasa Inggeris supaya lebih sesuai untuk dilaksana
bagi pelajar berbagai-bagai aras kebolehan
3. Pelbagaikan program dan pendekatan mengajar Bahasa Inggeris untuk pelajar
pelbagai kebolehan dan latar belakang, di bandar dan di desa.
4. Saya syorkan ini boleh dibuat secara modular.
5. Dalam program pengajaran-pembelajaran Bahasa Inggeris boleh dimasukkan istilah-
istilah dan unsur-unsur sains dan matematik. Persembahannya boleh dipelbagaikan
dalam bentuk cerita, nyanyian, lakonan dan sebagainya.
6. Pendekatan sama (standardised) yang sedia ada sekarang kurang berkesan dan
perlu diubah. Dan boleh diubah, jika Kementerian Pelajaran lebih bersikap terbuka
bagi menerima dan melaksanakan pendekatan alternatif. Pendidik dan guru Malaysia
rata-rata kreatif. Kementerian Pelajaran harus lebih terbuka untuk menerima idea
dan pendekatan dari luar, tidak semestinya dari luar negara!

Sumber:
International Science and Mathematics Report: Findings from IEA�s Trends in
International Mathematics and Science Study at Fourth and Eightth Grades (TIMSS
2007). TIMSS & PIRLS International Study Center, Lynch School of Education, Boston
College, Chestnut Hill, Massachusetts, USA, 2008.