You are on page 1of 9

Muslim Minoriti: Satu Sorotan di Negara-Negara Bukan Islam

JUFITRI BIN JOHA*


Naib Presiden Antarabangsa ABIM

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Surah al-Hujurat : 13

Pengenalan
Jumlah umat Islam di dunia sudah menjangkau 1.6 billion pada 2010 iaitu 23.4 peratus daripada keseluruhan 1.6 billion penduduk dunia. Dalam angka lain, setiap empat penduduk dunia maka ada seorang penduduk Muslim. Jumlah umat Islam terus meningkat seiring dengan pertambahan penduduk dunia pada Oktober 2011 menjangkau ke angka 1.7 billion walaupun kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam peperangan dan bencana alam terdiri daripada umat Islam. Di kala Eropah Barat, Rusia, Jepun, Singapura dan beberapa buat negara Barat risau akan kadar kelahiran yang rendah dan isu aging population negara umat Islam seperti Afghanistan,Indonesia dan Pakistan terus menunjukkan peningkatan kadar kelahiran dan dihuni oleh sebahagian besar penduduk muda. Majoriti umat Islam mendiami negara-negara Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) di 57 buah negara anggota terutamanya di 10 negara terbesar dan terpadat populasi umat Islam didahului dengan Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Mesir, Nigeria, Iran, Turki, Algeria dan Morocco. Selain itu umat islam juga menempati negaranegara bukan Islam khususnya di Barat di Blok Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada. Portal berita kabel CNN melaporkan pada 2009, One in five of the world's Muslims live in a country where Muslims are a minority. Menjadi minoriti tidaklah mudah. Minoriti biasa dikaitkan dengan mentaliti orang tertindas dan perlu berusaha lebih demi survival dan berjaya lebih jauh tanpa bantuan

pihak kerajaan. Namun begitu, mentaliti sebegini mempunyai pronya kerana ia menyebabkan kelompok minoriti ini akan terus mendidik anak-anak mereka agar berusaha lebih rajin untuk berjaya kerana kewujudan mereka sebagai entiti minoriti. Kerana mentaliti tertindas yang positif ini mereka berjaya dan kadang-kadang menguasai ekonomi negara yang menjadi hos mereka. Kejayaan ini sudah tentu menjadi kedengkian kepada masyarakat majoriti. Muslim minoriti pula mempunyai cabaran yang lebih apabila mereka merupakan umat yang semakin kuat beragama dan terpaksa menambahkan usaha mereka bukan sahaja untuk berusaha mencari keperluan hidup tetapi juga memenuhi keperluan agama. Senario ini menjadi mereka semakin kuat dengan pegangan agama bahkan jumlah mereka meningkat dan menimbulkan ancaman dan kebimbangan di kalangan masyarakat majoriti bukan Islam. Minoriti Muslim juga dikaitkan kelompok yang lemah dan sering ditindas dan tidak dipedulikan memandangkan mereka tidak di sangga dan didokong mana-mana negara Islam yang berstatus kuasa besar dunia. Ini adalah kerana kuasa besar dunia dipegang oleh negara-negara bukan Islam seperti Amerika, Perancis, Rusia, China, Jepun dan Jerman selain perancangan musuh yang tidak mahu wujudnya sebuah negara Islam berstatus kuasa besar. Justeru pihak majoriti yang menindas minoriti Muslim di negara mereka akan secara terang-terang berani menindas bahkan membunuh umat Islam kerana mereka tahu tiada negara Islam yang akan datang membantu. Minoriti Muslim juga memegang status dan label pendatang yang memberikan imej dan persepsi yang kebiasaannya negatif kepada negara yang menjadi hos mereka. Mereka berhijrah kerana pelbagai sebab termasuk faktor peperangan, kemiskinan, suaka politik dan mencari kehidupan yang lebih baik. Berdasarkan persepsi negatif ini, Muslim minoriti terpaksa bertarung untuk meruntuhkan imej yang negatif dan membina satu identiti baru melalui proses asimilasi dan integrasi ke dalam masyarakat majoriti.

Muslim Minoriti di Barat


Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pew Research Center (2009) bertajuk Mapping The Global Muslim Population, di Eropah terdapat 38 juta Muslim atau 5 peratus daripada jumlah populasi Eropah dan 2 peratus daripada jumlah populasi umat Islam dunia. Selain Rusia yang mempunyai jumlah umat Islam tertinggi di Eropah, negaranegara Eropah Barat seperti Jerman, Perancis, United Kingdom dan Belanda merupakan tempat kediaman kepada Muslim Minoriti yang berhijrah daripada negara Afrika Utara, Asia Selatan dan Asia Barat.

Menurut Timothy M. Savage (2004) dalam artikel beliau bertajuk Europe and Islam: Crescent Waxing, Cultures Clashing, menyebut, Today, approximately 50 percent of Muslim in Western Europe was born there. More importantly, the Muslim birth rate in Europe is currently more than three times that of non-Muslims, contributing to the burgeoning numbers of Muslims in Europe. As a result, Muslim communities in Europe are significantly younger than the non-Muslim population, and Europes Generation X includes considerably more Muslims than does the continents population as a whole. Tambah Savage lagi, menjelang 2015 populasi Muslim dijangka bertambah dua kali ganda dan populasi non-Muslim diramalkan jatuh sekurang-kurangnya 3.5 peratus. Dengan ramalan-ramalan dan perkembangan ini, menyebabkan kehadiran Muslim Minoriti di Eropah dicurigai dan digeruni kerana pertambahan mendadak daripada segi kadar kelahiran dan juga tren kemasukan orang Eropah ke dalam Islam. Walaupun mereka sebahagian daripada European Muslim (istilah yang dipopularkan Profesor Tariq Ramadan) namun mereka sentiasa menghadapi gejala Islamofobia. Islamofobia ialah ketakutan atau kebencian yang tidak rasional atau amat kuat terhadap Islam. Islamofobia turut menggabungkan kebencian kaum, sikap tidak bertoleransi, prejudis, diskriminasi dan stereotaip. Secara kesimpulan, Islamofobia adalah kebencian berasaskan agama atau lebih tepat prejudis terhadap Islam. Islamofobia di Eropah banyak digerakkan oleh golongan politik berhaluan kanan yang membawa agenda membenci Islam dan penganutnya. Dalam menangani Islamofobia, Eropah telah gagal dengan idea multiculturisme. Idea ini merujuk kepada kepelbagian etnik dan budaya di Eropah, keadilan sosial dan ekonomi untuk semua tanpa mengira latarbelakang. Eropah mungkin boleh belajar daripada sejarah kegemilangan Islam di Sepanyol meraikan kepelbagaian etnik dan agama dengan konsep La Convevencia (the existence). Konsep ini berjaya dipratikkan oleh Kerajaan Islam Sepanyol di mana Muslim, Kristian dan Yahudi dapat hidup secara aman dan diberikan peranan yang penting dalam pelbagai bidang.

Minoriti Muslim Hui di China


Di China, masyarakat minoriti Islam dikenali sebagai Hui. Mereka hidup secara berjiran bersama masyarakat majoriti yang dikenali sebagai Han. Hui yang bermakna kaabah, keuniversalan Islam dan kembali kepada. Hui juga merangkumi etnik-etnik Muslim yang tinggal di wilayah utara barat negara China iaitu Sinkiang merangkumi Uighur. Kazath, Kirghiz, Uzbek, Tatar dan Tadjik (berbahasa Parsi).

Menurut Dr. Osman Abdullah Chuah (2012) dalam makalahnya yang membincangkan berkenaan hubungan sosial dan kebudayaan etnik Hui dan Han di China menyatakan terdapat tiga jenis hubungan antara Hui dan Han. Pertama, hubungan secara peaceful co-existance antara Han dan Hui namun kemudiaannya Hui menentang paksaan asimilasi dalam cara hidup bukan Islam Han. Kedua, penindasan Han ke atas Hui. Ketiga, Penentangan Hui ke atas Han kesan daripada penindasan berterusan Han. Selaku minoriti, Hui sering mengalami tekanan daripada pihak pemerintah di kalangan Han. Mereka dipaksakan untuk berasimilasi dengan cara hidup bukan Islam Han dan menghadapi cabaran besar untuk mengekalkan identiti, budaya dan aktiviti keIslaman. Hui mengalami banyak pengalaman hidup pahit didiskriminasi dan dipinggirkan oleh majoriti Han dari segi sudut pekerjaan sektor kerajaan, makanan halal dan pendidikan. Justeru konflik antara Hui dan Han menjadi satu kebiasaan di sana namun amat jarang kita mendengar berita berkenaan dengan konflik ini. Ia mungkin disebabkan pihak media tidak memaparkan secara kerap berita berkenaan konflik ini dan ditambah pula polisi Kerajaan China yang membuat sekatan internet dan kebebasan maklumat. Secara ringkas hubungan minoriti-majoriti antara Hui yang berjumlah 20 juta dan Han yang berjumlah 1.3 billion sentiasa menghadapi mehnah dan tribulasi yang tidak memihak kepada Hui. Ternyata yang menjadi ketakutan utama Hui ialah budaya hidup bukan Islam Han yang jauh berbeza yang dipaksakan ke atas mereka secara political hagemony yang banyak menghakis jatidiri dan identiti keIslaman. Pengalaman saya di ABIM ketika cuba mempertahankan pelarian dan penuntut suaka politik puak Hui dari Turkestan Timur atau Sinkiang daripada dihantar balik oleh Kerajaan Malaysia atas permintaan Kerajaan China membuka mata dan memberikan kefahaman yang jelas terhadap nasib yang menimpa umat Islam Hui yang hidup dinafikan aspek karamatul insaniyyah mereka.

Minoriti Islamis di Negara Majoriti Muslim


Walaupun kita berbincang berkenaan minoriti Muslim di negara bukan Islam, saya terpanggil untuk mengutarakan tentang isu minoriti Islamis di negara majoriti Muslim. Saya merujuk kepada apa yang berlaku di Bangladesh. Bangladesh diperintah oleh seorang Perdana Menteri wanita berfahaman sekular dan amat pro kepada India. Bangladesh merupakan negara keempat terbesar umat Islam iaitu 89.6 peratus penduduknya beragama Islam. Namun apa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini amat menyedihkan apabila penduduknya yang mahukan agama Islam diamalkan secara syumul di tindas dan dihina.

Menurut Md Saidul Islam (2011) dalam artikelnya bertajuk Minority Islam in Muslim Majority Bangladesh: The Violent Road to a New Brand of Secularism menyebut proses sekularisasi Bangladesh yang didokong oleh Kerajaan Bangladesh banyak menafikan kebebasan beragama khususnya kepada umat Islam. Kerajaan Bangladesh berusaha memadamkan unsur-unsur Islam dalam kehidupan seharian khususnya yang menjadi penghalang agenda sekularisasi iaitu elemen Islam dalam tentera dan madrasah Islamiyyah. Kerajaan Bangladesh diterajui Parti Liga Awami ini juga bertanggungjawab membuang klausa 'absolute trust and faith in the almighty Allah' daripada Perlembagaan Bangladesh. Mereka turut memenjarakan cendekiawan dan pimpinan gerakan Islam atas dakwaan yang tiada asas kukuh, menganggu wanita berhijab, menyerang institusi dan personaliti Islam dan cuba mengadu domba antara penduduk Islam dan Hindu agar memandangkan buruk kepada Imej Islam dan penganutnya. Ini merupakan satu tragedi dalam kehidupan umat Islam Bangladesh yang cintakan agama bahkan lebih menyayat hati daripada rnasib yang menimpa akan-rakan Muslim mereka di Eropah. Walaupun mereka hidup di negara sekular Eropah, namun sekurang-kurangnya mereka tidaklah dihina sehingga menyebabkan kehilangan nyawa bahkan kebebasan mereka untuk beragama dijamin oleh perlembagaan dan prinsip Kerajaan Kesatuan Eropah.

Muslim Minoriti di Myanmar


Belum sampai setahun tragedi Arakan pada 24 Mei 2012 yang membunuh etnik Rohingya Muslim sekaligus mengusir mereka dari kampung mereka, dunia dikejutkan pula oleh tragedi yang berlaku di wilayah tengah Myanmar iaitu di Meikhtila. Belum reda dan belum sempat dunia Islam membantu menyelesaikan isu Rohingya sepenuhnya umat Islam terpaksa berhempas pulas untuk menghentikan keganasan terhadap umat Islam di Meikhtila bahkan lebih jauh daripada itu untuk menghentikan gelombang keganasan ini daripada terus merebak ke seluruh Negara Myanmar. Gelombang ini memberikan kebimbangan dan kegelisahan kepada 5 peratus umat Islam Myanmar yang sudah mula merasa bahangnya sehingga ke ibu kota Yangon. Tragedi Meikhtila berpunca daripada pertengkaran di antara pemilik kedai emas beragama dengan pelanggannya yang beragama Buddha. Dalam masa yang sama tersebar dakwaan bahawa seorang Muslim telah membunuh sami Buddha di satu lokaliti yang berdekatan. Kedua-dua peristiwa berkaitan ini menyebabkan amukan penganut Buddha ekstremis di kejiranan Muslim dan berlaku di luar kawalan. Akibatnya puluhan terbunuh dan ribuan terpaksa menjadi pelarian di bumi sendiri dan sudah tentu

kehidupan sering dihantui dengan ketakutan dan syak wasangka di antara Muslim dan Buddha. Dalam kejadian 20 Mac 2013 yang lalu, amat menyedihkan penganut Buddha ekstremis turut membakar Masjid Thiri Mingala Ashae di bahagian timur Meikhtila sehingga musnah teruk, Turut musnah dua buah masjid lain yang berdekatan dan 8 buah rumah umat Islam. Kumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Generasi 88 ini telah bertanggungjawab menyebabkan rusuhan dan mereka turut memukul Min Aung, penduduk Muslim yang cuba merakam tindakan ganas kumpulan pelajar ini. Ironinya, Min Aun telah dipenjara oleh polis dan bukannya grup pelajar samseng 88 yang telah memukulnya. Min Aun turut tidak diberikan rawatan bahkan dinafikan untuk bertemu sesiapa. Menurut Dr Ko Ko Gyi, aktivis Muslim Myanmar di Malaysia yang juga merupakan sahabat saya, setakat 27 Mac, fakta yang lebih terperinci menunjukkan bahawa tragedi ini telah mengorbankan 130 jiwa Muslim, 30 jiwa Buddha, 15 masjid dan 5 madrasah telah dimusnahkan. Keganasan telah merebak ke bandar-bandar lain dalam negeri Mandalay dan negeri-negeri lain termasuk Yangon. Dakwaan yang belum disahkan kebenaran ini juga mengingatkan kita kepada tragedi Arakan pada tahun lepas di mana sekali lagi dakwaan yang belum ada bukti kukuh terhadap etnik Muslim Rohingya yang dikatakan telah merogol seorang wanita etnik Rakhine Buddha yang membawa kepada amukan etnik Rakhine Buddha ektrimis seperti yang kita maklumi. Dakwaan-dakwaan sebegini yang dijadikan khabar angin oleh mereka untuk menghalalkan darah umat Islam. Dakwaan-dakwaan yang tidak berasas ini sebenarnya dibina atas dasar dan sikap Islamofobia. Suruhanjaya Muslim British dan Islamofobia telah mengeluarkan laporan yang dikenali sebagai Runnymede Trust Report Islamophobia: A Challenge for All of Us. Laporan ini telah mengenal pasti tujuh komponen yang terkandung dalam Islamofobia, namun dalam ruang yang terbatas ini satu komponen sahaja yang hendak diutarakan di sini yang berkait dengan umat Islam Myanmar iaitu komponen keenam iaitu Permusuhan terhadap Islam digunakan untuk menghalalkan amalan diskriminasi terhadap Muslim dan mengasingkan Muslim daripada khalayak ramai. Permusuhan penganut Buddha yang berhaluan kanan di Myanmar terhadap umat Islam telah menghalalkan tindakan mereka sehingga sanggup membunuh dan menyeksa mereka. Sebahagian penganut dan sami Buddha yang bersimpati terhadap umat Islam tidak berani bersuara kerana budaya ketakutan ini sudah tertanam selama 60 tahun junta tentera memerintah Myanmar. Kalau pun ada yang bersuara, mereka akan diberikan ancaman dan amaran. Win Htein sebagai contoh lain, Ahli Parlimen setempat daripada parti Suu Kyi yang cuba menghentikan pembunuhan terhadap umat

Islam, namun beliau disergah oleh pembunuh dengan menuduh beliau sebagai cubaan melindungi Muslim. Aliran ektremis dan haluan kanan Buddha seperti ini amat memalukan agama Buddha sendiri yang menganjurkan perdamaian dan ketenangan sekaligus memalit imej sami-sami dan penganut agama Buddha lain yang cintakan keamanan. Permusuhan dan kebencian buta ini adalah berdasarkan ketakutan yang tidak berasas dan dipendam daripada masa ke semasa sehingga prejudis dan stereotaip ini menebal dan terus menebal. Tidak hairanlan tragedi Meikhtila merupakan rentetan dan komplikasi daripada beberapa siri Islamofobia yang berlarutan semenjak berkurun lamanya di Myanmar. Mengambil contoh beberapa rentetan peristiwa yang berasaskan Islamofobia yang berlaku sebelum ini, antara lain pada 16 Mac 1997 di mana berikutan laporan cubaan merogol oleh lelaki Muslim menyebabkan seramai lebih 1000 sami Buddha dan orang ramai berkumpul di Mandalay dengan menyasarkan Masjid, kedaikedai dan kenderaan Muslim dirosakkan. Pada Februari 2001, konflik sekali lagi tercetus apabila 7 orang sami Buddha dikatakan enggan membayar selepas makan di sebuah kedai milik Muslim yang membawa kepada pergaduhan yang seterusnya menjadi tidak terkawal sekaligus mencetuskan rusuhan. Seramai 20 jiwa terkorban dan lebih kurang 30 buah rumah dan kedai Muslim dibakar. Kejadian ini dilaporkan kepada pihak berkuasa polis dan tentera namun mereka hanya mendiamkan diri dan membenarkan keganasan terhadap umat Islam khususnya terus berlaku. Bahkan lebih teruk, pada tragedi Arakan yang lepas, pihak keselamatan turut bersekongkol membunuh etnik Rohingya Muslim. Persoalannya mengapa pihak berkuasa dan Kerajaan Junta Tentera seolah-olah mendiamkan diri dan tidak serius untuk menamatkan keganasan. Adakah ini keganasan yang ditaja oleh pihak Junta sebagaimana yang terang-terang berlaku di Arakan di mana ia merupakan keganasan terhadap etnik Muslim Rohingya yang sememangnya ditaja oleh Kerajaan Negeri Rakhine. Mungkin ada benarnya dakwaan Dr Ko Ko Gyi di mana beliau menyatakan Kerajaan Junta sengaja membiarkan konflik etnik sebegini berlarutan sebagai alat atau trump card untuk terus berkuasa. Ini merupakan kaedah kebiasaan dan murahan kepada pemerintah diktator di mana-mana ceruk dunia untuk terus berkuasa. Pada tahun 2001 juga, risalah-risalah anti Muslim bertajuk Myo Pyauk Hmar Soe Kyauk Hla Tai, The Fear of Losing Ones Race dan banyak lagi disebarkan secara meluas menyebabkan ia menjadi alat propaganda yang ampuh untuk mencetuskan kebencian terhadap Muslim. Malaysia dan Indonesia, dua negara yang bertukar menjadi Negara umat Islam dijadikan contoh mengapa Islam harus ditentang dan dibendung daripada menular dan mendominasi Negara Myanmar. Selain itu, pemusnahan Patung Buddha di Bamiyan, Afghanistan oleh Taliban turut dijadikan contoh bagi terus menerus meniup api kebencian penganut Buddha untuk bangkit menentang Islam dan penganutnya.

Beberapa hari sebelum Tragedi Meikhtila berlaku, pada 8 Mac 2013 juga berlaku keganasan kecil dengan alatan-alatan seperti kerusi di kedai-kedai Muslim di Kyaike Htoo dirosakkan selepas berlangsungnya upacara keagamaan Buddha yang mengandungi ucapan-ucapan berunsur kebencian terhadap Islam. Kumpulan ekstremis Buddha yang menggelarkan grup 969 ini diketuai oleh sami-sami dan aktif menganjurkan upacara seumpama itu dan diikuti dengan tindakan keganasan dan vandalisme terhadap kedai-kedai Muslim khususnya di Bee Lin, Negeri Mon. Grup ini biasanya memakai baju T putih tertera symbol anti Muslim 969. Mereka menyebarkan jenayah kebencian dan mempromosikan anarki. Umat Islam telah membuat aduan kepada pihak berkuasa dan termasuk pertubuhan Islam sendiri seperti Islamic Religious Affairs Council dan Myanmar Muslim National Organization namun tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menamatkan isu ini. Api kebencian ini sebenarnya sudah lama merebak ke seluruh Myanmar dan juga ke ibu kota Yangon. Baru-baru ini sekumpulan Ngo Islam di peringkat kebangsaan telah mengutus surat aduan rasmi kepada Presiden Myanmar menggesa beliau untuk melindungi nyawa dan harta Muslim Myanmar dan menjamin perlindungan penuh di bawah undang-undang yang sedia ada. Aduan ini berikutan peningkatan insiden Islamofobia selepas tragedi Arakan 2012 berlaku di kejiranan Muslim di Yangon termasuk pemusnahan rumah-rumah, kedai-kedai, sekolah agama, masjid dan tanah perkuburan milik orang Islam. Nampaknya umat Islam di Yangon juga sudah mula tidak dapat hidup dengan aman dan tenteram. Sudah sampai masanya Kerajaan Myanmar yang dilihat bergerak ke arah amalan demokrasi lebih serius untuk melindungi rakyat minoritinya khususnya umat Islam. Jika mereka tidak benar-benar serius dalam hal ini termasuk mengheret pengganas dan ektremis aliran kanan Buddha ini, maka masyarakat sivil Asean harus memobilasikan rakyat Asean yang prihatin untuk memboikot sukan Asean yang bakal berlangsung di Myanmar hujung tahun ini. Ia sebagai isyarat jelas dan tegas jika kamu gagal menyelesaikan isu konflik etnik tidak ada maknanya kamu bertungkus lumus menganjurkan sukan SEA sedangkan rakyat kamu sendiri mati dan menderita.

Penutup
Demikian secebis kisah suka duka umat Islam minoriti di negara orang lain. Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif. Malaysia sentiasa menjadi contoh dan harus terus menjadi contoh untuk dunia tentang pengurusan hubungan etnik yang baik. Sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan, amatlah wajar Malaysia terus memelihara hak-hak minoritinya dari segi

hak sebagai warganegara, hak kebebasan dan hak kesaksamaan seperti yang disebut oleh Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaily. Masyarakat awam, belia dan mahasiswa melalui pertubuhan masyarakat madani dan NGO harus terus memainkan peranan proaktif dan terkehadapan untuk memelihara keharmonian pengikut agama dan kaum di Malaysia agar asas kepada keamanan dan perpaduan dapat dipelihara. Ini diyakini dapat menjadi contoh kepada dunia sekaligus membantu minoriti Muslim mendapatkan hak mereka daripada negara yang mereka huni sebagaimana Malaysia memelihara hak minoritinya.

Penulis adalah Naib Presiden (Antarabangsa) ABIM. Beliau sentiasa memenuhi jemputan dalam forum-forum serta wacana di peringkat tempatan ataupun antarabangsa. Jufitri Joha juga sering dijemput mengemukakan pandangan dalam rancangan bual bicara Global@1 di RTM 1. http://gptd-spain.blogspot.com jufitri1979@yahoo.com / FB : Jufitri Bin Joha / 019-6225100

You might also like