You are on page 1of 29

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN !

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotongroyong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh. Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali

Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa. Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan

masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

AMALAN BERJIMAT CERMAT DAN MENABUNG ! Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan

menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.

Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin. Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang

pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasaberjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

ISU PEMBUANGAN BAYI ! Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa.

Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.

Selain itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anakanak, walaupun sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas.

Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah

pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kemkem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Di samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain, begitu jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam kancah maksiat.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak

mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anakanak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik merekabagai menatang minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi.

Konklusinya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

DISIPLIN PELAJAR SEKOLAH !

Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan? Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibubapa era globalisasi ini. Ibubapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi. Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tida senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu. Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya. Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada

pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekollah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar. Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin. Kemelut ini mudah dibendung jika ibubapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibubapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibubapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini. Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.

CARA-CARA MEMPOPULARKAN PUISI TRADISIONAL !

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga negara kita mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam peredaran zaman dan lenyap di bumi kita ini? Tepuk dada tanya selera dan sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari pendekatan yang efisien untuk meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa, di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh. Oleh itu, prakarsa untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk mengangkat martabat permainan tradisional ini. Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional ini di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara besar-besaran dengan kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita, seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan karang-mengarang, pameran, dan peraduan poster dan sebagainya. Bak kata peribahasa, tak kenal maka tak

cinta lantaran itu, golongan muda pasti menghargai dan berminat terhadap permainan tradisional kita. Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional. Berpaksikan kelab permainan tradisional seperti Kelab Wau Bulan, pelajar boleh diajar tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan syarat-syarat permainan. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Hakikatnya, generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional pasti dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni budaya kita terus lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan maka atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan tekanan sebagai kegiatan riadah yang sangat bermanfaat. Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk mempopularkan permainan tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian kerana, sebagai fitrah manusia memang suka bertanding dan berlaga. Seterusnya agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan Malaysia boleh bergabung dengan badan korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa.

Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu berjaya menarik peminatpeminat permainan tersebut dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras dengan peribahasa, sambil menyelam minum air. Secara intihanya/Sebagai intiha bicara, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi untuk mempopularkan permainan tradisional ini agar dapat dilestarikan sampai bila-bila dan menjadi satu alat permainan yang mesti dimainkan oleh generasi pada masa akan datang.

LANGKAH MENGATASI KENAIKAN HARGA BARANG !

Dasawarsa ini, kenaikan harga barang keperluan atau gejala inflasi sering menghantui kehidupan rakyat jelata, terutamanya golongan yang miskin bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Isu barangan keperluan mengalami kenaikan harga sentiasa dipaparkan pada dada akhbar dan menjadi pokok perbincangan di warung kopi hingga sidang parlimen. Inflasi telah menjadi rakyat kita hidup melarat. Bagaimanakah rakyat kita dapat melepaskan diri daripada kemelut sosioekonomi ini? Seperti pepatah, Di mana tembilang terhentak, di situ cendawan tumbuh , kita perlu mencari

akal untuk menangani kemusykilan ini. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu seia sekata mencari akal untuk menangani masalah kenaikan harga barang keperluan. Pendekatan yang dominan untuk membendung masalah kenaikan harga barang keperluan ialah Kempen Berhemat. Kata orang tua-tua, Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis dan cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit. Amalan berjimat cermat merupakan tabiat yang terpuji. Amalan membesarkan kerak nasi patut dielakkan kerana berbelanja banyak tanpa sekatan hanya merugikan diri sendiri. Pengguna harus diterapkan ilmu kepenggunaan supaya sentiasa membeli barang berdasarkan keperluan dan bukan berdasarkan nafsu. Rakyat kita digesa supaya bersahaja dan sederhana tanpa boros terutamanya pada musim perayaan. Sebagai contoh, telur, daging ayam, tepung menghadapi kekurangan di pasaran gara-gara pengguna membeli secara berlebihan sehingga membazir dan tidak dapat dihabiskan. Jika setiap rakyat dapat berhemat dengan tabiat cicir dipungut, hilang dicari dalam setiap pembelian dan tidak membeli secara berlebihan, nescaya inflasi dapat diminimumkan kerana bekalan tidak mengalami kekurangan berbanding dengan permintaan di pasaran. Dalam konteks ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna harus menganjurkan Kempen Beli Barangan Malaysia. Langkah ini amat mustahak untuk memulihkan masalah inflasi. Rakyat Malaysia digalakkan supaya membeli bahan keperluan asas yang sedia ada di negara kita daripada membeli barangan import. Walhal, harga barangan tempatan lebih berpatutan kerana kos pengangkutan lebih murah. Contoh, rakyat kita seyogianya makan buah-buahan dan sayur-mayur tempatan yang lebih segar dan berkhasiat daripada barangan import. Seperti peribahasa, hendak seribu

daya, tak hendak seribu dalih. Jika semua rakyat dapat bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan bersemangat patriotik, kempen tersebut berupaya meningkatkan peniagaan dalam negara. Senarionya, petani, peniaga dan pengusaha industri kecil dan sederhana kita turut memperoleh manfaatnya. Hal ini dapat memantapkan defisit pendapatan negara supaya nilai mata wang Malaysia tidak jatuh berbanding dengan mata wang asing. Inflasi turut diredakan. Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan tindakan yang ampuh untuk membendung inflasi. Demi mencegah penyelewengan peniaga yang tamak haloba, pegawai yang terlibat tidak patut bertindak sambil lewa atau bena tak bena sahaja. Misalnya pemantauan atau serbuan hanya dijalankan secara bermusim sahaja. Lebih-lebih lagi kegiatan rasuah meruwatkan situasi ini. Tanpa tindakan undang-undang yang ketat, peniaga akan bertindak bermaharajalela dengan meningkatkan harga barangan jualan tanpa belas kasihan. Rentetan daripada itu, kompaun dan hukuman penjara mandatori harus dijatuhkan dengan semaksimumnya terhadap peniaga yang licik. Pemantauan yang lebih kerap harus diadakan terhadap semua premis perniagaan dan pasar malam. Masyarakat kita perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa seperti Rakan Cop untuk melaporkan berlakunya penyelewengan peniaga . Hukuman yang ketat dan tindakan pegawai yang bersih, cekap dan amanah pasti dapat mengekang peniaga yang ingin menangguk di air keruh. Orang ramai juga diseru supaya menanam sayur-sayuran di halaman rumah masing-masing. Sebenarnya, cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970-an dengan rancangan Buku Hijau. Ketika dilanda inflasi, khalayak ramai diseru supaya menjalankan penanaman di halaman rumah. Contohnya, hidroponik

diperkenalkan kepada masyarakat bandar untuk menanam sayur-sayuran di halaman rumah. Orang ramai tidak patut memandang enteng terhadap hal ini keranasedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Kita boleh menanam sayursayuran sebagai hobi untuk mengisi masa senggang. Selain menjamin kesihatan fizikal dan mental, kita dapat menjimatkan kos perbelanjaan untuk membeli sayur-mayur organik tanpa racun serangga. Tindakan ini bagai serampang dua mata. Alangkah baiknya, kita dapat memperoleh cili, tomato, bawang hijau, serai, ulam-ulaman yang segar-bugar dari pasu bunga di halaman rumah kita. Dengan kata lain, penanaman sayur-sayuran di rumah turut menyumbang ke arah inflasi sifar. Bagaimanapun, kerajaan kita memerlukan perancangan yang bersepadu untuk menangani inflasi di negara kita. Sebagai cerucuk kepimpinan negara, anggota kabinet harus menentukan segala polisi kerajaan dilaksanakan dengan berkesan tanpa menimbulkan inflasi. Pemimpin dan para pegawai awam yang terlibat harus memantapkan defisit pendapatan negara, meningkatkan produktiviti masyarakat kita, menjamin kestabilan mata wang Malaysia, menaikkan kadar faedah simpanan, mengawal kenaikan gaji secara rasional serta memastikan pengagihan barangan keperluan di dalam negara. Hal ini dapat mengelakkan pengaliran mata wang yang terlalu banyak di dalam pasaran tempatan sehingga berlakunya inflasi. Sebarang tindakan kerajaan akan memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat jelata. Kita tidak tergamak melihat golongan miskin dibebankan lagi dengan inflasi kerana berapa berat mata memandang, lebih berat lagi bahu memikul. Kerajaan harus sentiasa bertindak bijaksana seperti peribahasa, menarik rambut di dalam tepung. Sebelum memansuhkan subsidi terhadap bahan keperluan asas, kerajaan patut membuat kaji selidik dan analisis tentang kesannya terhadap indeks inflasi di negara kita.

Tuntasnya, pihak kerajaan dan Persatuan Pengguna harus berkomitmen untuk menangani masalah inflasi di negara kita. Semua pihak tidak patut bersikap melepaskan batuk di tangga. Bayangkan masih banyak rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan terpaksa menghadapi inflasi. Jangan biarkan cogan kata, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai slogan sahaja. Lantarannya, kita perlu berganding bahu dan bersinergi untuk menoktahi inflasi di negara kita.

LANGKAH MEMBANTU ORANG KURANG UPAYA ! Orang Kurang Upaya merupakan orang kurang bernasib baik.Mereka dilahirkan dalam keadaan cacat atau mengalami kemalangan yang mejejaskan anggota badan.Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki.Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan.Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU). Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang hina OKU.Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan ingin dihargai,disayangi dan dihormati oleh masyarakat.Sebagai contoh,anak-anak diajar supaya tidak memandang sebelah mata serta tidak mentertawakan apabila berhadapan dengan golongan tersebut.Oleh itu,ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU. Selain itu,pihak kerajaan boleh menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan kemahiran kepada golongan OKU.Hal ini demikian kerana pendidikan dan kemahiran sangat penting demi masa depan mereka.Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas patut dipuji.Jelaslah

bahawa,pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia,Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak,"Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan". Di samping itu,pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani kehidupan yang lebih baik.Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan jangan menggangap OKU sebagai beban.Sebagai contoh,usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas,tandas dan tempat letak kenderaan amat dihargai.Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurangt bernasib baik ini perlu dicontohi. Seterusnya,pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan malumat peluang pendidkan dan kerjaya bagi OKU.Setiap maklumat mestilah disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa kepada orang ramai.Kempen Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa ,maklumat boleh disalurkan melalui iklan,kempen dan melalui drama.Kesannya,orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus.Jelaslah bahawa nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa. Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni.Hal ini demikian kerana setiap individu mempunyai tanggungjawab masing-masing.Sebagai contoh,mereka perlu membantu golongan OKU semasa melintas jalan,menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan,"berat mata memandang,berat lagi bahu memikul".Pendek kata,setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini. Kesimpulannya,"sudah terang lagi bersuluh",pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk membantu OKU.Semua pihak perlu berganding

bahu,bak kata peribahasa "berat sama dipikul,ringan sama dijinjing",bagi membela hasib dan masa depan golongan OKU.

LANGKAH MENGATASI LUMBA HARAM !

Pendahuluan - Apabila kita berkereta bersama keluarga pada malam minggu, sudah pasti kita akan terserempak dengan kegilaan anak muda berlumba motosikal. - Di tepi-tepi jalan pula terlihat sekumpulan penonton memberi sokongan kepada anak muda yang kehilangan arah ini agar berterusan menempuh maut. - Pada hari persekolahan pula, apabila loceng terakhir berbunyi sahaja, pelajar yang sesetengahnya tidak berlesen akan memecut motosikal yang dipandu melepasi pintu pagar alma mater. - Di media akhbar pula, kita sudah lali dengan berita penunggang motosikal yang maut gara-gara mahu menjadi juara. - Antara keseronokan dan maut yang menanti, anak muda lebih suka memilih maut yang tersedia di garisan penamat - Mereka bersikap keras kepala dan nasihat yang diberi seperti mencurahkan air ke daun keladi atau masuk telinga kanan ,keluar telinga kiri. - Menurut kata Nicolas Amelot De La Houssave Nasihat yang terbaik diberikan oleh pengalaman tetapi biasanya nasihat itu datangnya terlalu lambat. - Oleh sebab jumlah kematian semakin meningkat akibat kegilaan anak muda yang berlumba motosikal secara haram maka kajian mendalam harus dijalankan untuk meninjau langkah-langkah drastik yang perlu diambil untuk mengatasi kemelut ini?

1. Pengaruh media massa

- Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini,iaitu membiarkan insiden lumba haram yang semakin berleluasa. - Kita seharusnya mengorak langkah untuk membendung masalah lumba haram daripada terus berlaku. - Sesunggahnya, pengaruh media massa memainkan peranan yang penting dalam hal ini. - Ini adalah sebab, pengaruh media massa di negara ini, khususnya dan seluruh dunia amnya begitu kuat sekali ibarat tarikan magnet ke atas besi dan kenyataan ini sememangnya tidak dapat disangkal. - Pihak media massa perlulah menyiarkan setiap kemalangan yang berlaku tanpa menyelindungkan kebenaran yang terdetik. - Ini penting bagi mewujudkan keinsafan dalam diri golongan remaja supaya mematuhi undang-undang jalan raya, bukannya berpaksikan nafsu dan "darah muda" mereka sahaja apabila berada di jalan raya. - Contohnya, kemalangan-kemalangan tragis yang melibatkan kematiankematian yang ngeri perlu disiarkan untuk menimbulkan perasaan takut dalam diri golongan remaja. - Hal sedemikian boleh menyedarkan remaja bahawa tindakan ini boleh memudaratkan diri sendiri atau pengguna jalan raya yang lain.

- Dengan itu, negara kita akn bersih daripada kemelut sosial yang tidak sihat ini. - Bak kata peribahasa, Hati hendak semua jadi.

2. peranan pihak polis dan JPJ

- Ketua polis telah mengarahkan semua anggota polis iaitu selain daripada anggota trafik turun padang untuk menyaman pesalah trafik. - Pihak polis membuat serbuan mengejut pada waktu malam untuk mengheret pelumba haram dan penonton ke balai polis melalui Operasi Rhino. - Selain itu, sesetengah mereka yang diberkas kerana kesalahan tidak memiliki lesen memandu, kenderaan tanpa cukai jalan, dan mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan pengangkutan Jalan. - Mekanisme kawalan seperti hukuman penjara atau denda telah dikena terhadap penunggang dan pembonceng supaya mereka tidak bersikap sudah terantuk baru tengadah . - Di samping itu, mereka juga akan dibawa ke rumah mayat dan hospital untuk melahirkan keinsafan diri mereka.untuk mengelakan kemelut ini menjadi semakin serius.Bak kata pepatah kecil api menjadi kawan ,besar menjadi lawan - Pada masa yang sama pihak penguatkuasa harus menggunakan peralatan yang canggih termasuk kamera digital, video dengan gambar kaku selain catatan siasatan kakitangan yang bertugas. - Tindakan ini dapat mendapat hasil yang lumayan dan mengurangkan kemelut ini dengan lebih berkesan.

3. Kempen-kempen dan ceramah perlu dijalankan

- Di Asia Tenggara, kedudukan Malaysia adalah di bawah negara Singapura. - Penyumbang utama ialah kemalangan akibat ketika berlumba haram. - Sehubungan itu, pihak kerajaan terus berusaha mempergiat aktiviti

pendidikan melalui kempen keselamatan jalan raya bagi mendidik, mendisiplin serta menyedarkan pelumba haram mengenai aspek keselamatan ketika berada di jalan raya. - Dengan itu pemandu dapat menanamkan sikap bersopan santun di jalan raya - Selain itu, pihak penganjur juga boleh membawa mangsa lumba haram tampil ke hadapan untuk membangkitkan perasaan insaf dalam kalangan pelajar semasa sesuatu kempen atau ceramah dijalankan. - Dengan adanya alpukah ini dapat membentuk pemandu berhemah sejak dari kecil lagi. - Mengikut kata orang-orang tua, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. - Jika nilai murni ini dapat disemai dalam diri para pelajar, akan melahirkan warga yang berwawasan yan sayang akan negara,agama, diri sendiri dan keluarga.

4. Peranan ibu bapa

- Anak-anak yang kecil dan meningkat remaja perlu diberi perhatian. - Menurut edisi siasat yang disiarkan oleh oleh ntv7, dikatakan ramai ibu bapa hanya beranak dan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga anakanak mereka mati katak di jalan raya. - Pepatah Melayu ada menyatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya iaitu ibu bapa harus membentuk akhlak remaja biarlah dari awal atau semasa kecil. - Jangan berjanji kepada anak-anak dengan janji-janji manis untuk meningkatkan prestasi akademik seperti jika anak-anak lulus PMR akan dibelikan motosikal kerana anak-anak yang baru mendapat Lesen L akan

menjadi jaguh di jalan raya. - Pada masa yang sama menjadi diri mereka sebagai suri teladan serta memberikan kasih sayang yang secukupnya bagai menatang minyak yang penuh. - Selain itu, ibu bapa juga seharusnya sentiasa memberikan perhatian, pengawasan dan mengawal kebebasan - Dengan itu , mereka akan menghargai diri sendiri dan kedua-dua orang tuanya.

5. pegangan didikan agama

- Pendidikan agama dan moral hendaklah disemai sebelum anak-anak meningkat remaja. - Tapak semaian atau moral tidak akan menghasilkan benih yang subur jika penyemai itu sendiri ketandusan ilmu tentangnya. - Ibu bapa sendiri mestilah melengkapkan mereka dengan ilmu agama dan moral supaya didikan, bimbangan, nasihat dan teguran daripada ibu bapa kepada anak-anak menjadi lebih mudah. - memastikan anak-anak tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma budaya, undang-undang dan ajaran agama masing-masing. - Pendidikan yang bertunjangkan kekuatan agama akan membolehkan seseorang membuat pertimbangan seawajarnya antara yang baik dan buruk. - Agama memang bersifat menggalakkan penganutnya melakukan kebaikan. - Ibu bapa yang mengejar kemewahan hidup tidak wajar mengabaikan anakanak dan seharusnya mengajar anak-anak ke jalan yang betul. - Menurut At-Tarmizi, Tiada satu anugerah yang lebih mulia yang diberikan oleh seseorang ayah kepada anaknya selain daripada tunjuk ajar dan budi

perkerti yang baik.

6. Penguatkuasaan undang-undang

- Susulan itu, Kementerian Pengangkutan telah mewujudkan sub seksyen baru di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada penonton lumba haram selain meningkatkan jumlah denda dan hukuman penjara kepada mereka yangmenaja lumba haram. - Menurut mantan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, pihaknya akan meminda Seksyen 81 APJ berkenaan mereka yang menaja lumba haram memandangkan hukuman yang sedia ada iaitu denda sehingga RM2000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan adalah terlalu ringan dan tidak berkesan untuk mencegah kegiatan itu. - Bagi pelumba haram atau popularnya mat rempit, mereka boleh disabitkan di bawah Seksyen 42 APJ iaitu membawa kepada hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda kurang daripada RM15000 atau kedua-duanya sekali bagi sabitan pertama. - Denda serta hukuman penjara akan bertambah kepada tidak lebih RM20000 dan penjara kurang daripada 10 tahun bagi sabitan kedua. - Selain itu, orang yang terlibat dalam lumba haram motosikal harus disenaraihitamkan dan lesen memandunya harus digantung agar situasi seperti sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna tidak akan berlaku. - Menurut pepatah Latin Undang-undang yang baik datangnya daripada perangai yang baik.

Penutup

- Justifikasinya, Malaysia telah pun meletakkan matlamat tahun 2020 sebagai tarikh penanda aras untuk merealisikan impian untuk menjadi negara maju. - Satu persoalan yang besar perlu dijawab ialah sama ada atau tidak mencapai matlamat tersebut dengan senario remaja yang terlibat gejala lumba haram. - Oleh itu, sebagai generasi yang akan menyambut tampuk kepimpinan pada masa akan datang wajar menoleh semula ke belakang dan melihat semula fenomena yang berlaku. - Gejala lumba haram ini sebenarnya menjejaskan banyak pihak sama ada ibu bapa, masyarakat mahupun negara. - Justeru, semua pihak wajarlah berganding bahu dan mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha untuk membanteras gejala ini terus berleluasa demi masa depan negara. DISIPLIN TERAS KEJAYAAN !

Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik, madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negaranegara gergasi seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah masyarakat yang progresif, berketrampilan serta sakinah.

Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah rajin untuk mengulang kaji

pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat 20 A dalam peperiksaan awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegighan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggilah yang menjadi punca kejayaan bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jelaslah bahawa disiplin merupakan formula yang paling manjur untuk anak watan ini berjaya di menara gading.

Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa memikul tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah menunjukkan tauladan yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata peribahasa, bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan

sebuah keluarga bahagia dan melahirkan anak yang penuh dengan sifat mahmudah.

Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja. Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan amah terhadap duit-duit yang dipegangnya. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam pepatah harapkan pagar, pagar makan padi. Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.

Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara tidak langsung, kadar kalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa musim perayaan dapat dikurangkan. Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.

Di samping itu, sebagai pengguna kita mestilah bijak berbelanja. Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya internet, masyarakat dapat membeli dan

berbelanja dengan kemudahan yang terletak di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naf dengan mata kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja mengikut hawa nafsu dan bukannya keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada berhutang dengan bank atau lintah darat. Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih untuk mendisiplinkan diri pasti dapat mengecapi kehidupan yang sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh pojok dunia. Oleh itu, marilah kita bergabung sinergi dan mengambil langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.