You are on page 1of 21

Falsafah Hidup Masyarakat Bugis dalam Tuhfat Al-Nafis

http://duniakaryaagung.blogspot.com/2013/05/tufhat-al-nafis-satupengenalan.html 1/7/2013

TUHFAT AL-NAFIS: SATU PENGENALAN

Tuhfat al-Nafis yang bermaksud hadiah yang bernilai merupakan salah satu karya Melayu tradisional yang amat penting dalam historiografi

Malaysia. Tuhfat al-Nafis telah dikarang oleh Raja Ali Haji namun terdapat catatan yang menyatakan bahawa Raja Haji Ahmad merupakan individu yang bertanggungjawab yang telah memulakan penulisan karya agung ini sebelum diteruskan oleh anaknya, Raja Ali Haji.
Dalam manuskrip Tuhfat al-Nafis kepunyaan Sir William Maxwell (Residen Selangor 1889), ada catatan yang menyatakan bahawa Raja Haji Ahmad memulakan penulisan Tuhfat alNafis, yang kemudiannya diteruskan dan diselesaikan oleh anaknya Raja Ali Haji.

(Tuhfat al-Nafis, 1998: xxi) Tarikh sebenar karya ini mula dikarang tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun ramai sarjana yang mengatakan Tuhfat Al-Nafis dikarang pada abad ke-18 sehingga pertengahan abad ke-19. Manuskrip Tuhfat alNafis mempunyai dua versi, iaitu versi pendek dan versi panjang. Versi pendek mengandungi 88 000 perkataan dan merupakan hasil tulisan Raja Haji Ahmad dan disalin pada tahun 1896 daripada koleksi Yang Dipertuan Muda Riau pada ketika itu. Versi panjang yang mempunyai sejumlah 126 000 perkataan pula dikarang oleh Raja Ali Haji dan telah dikaji semula oleh Virginia Matheson Hookor. Versi panjang mempunyai pengenalan dalam bahasa Arab, iaitu pengenalan yang serupa dengan yang terdapat dalam teks yang lain yang turut ditulis oleh Raja Ali Haji seperti Bustan al-Katibin, Gurindam Dua Belas dan Silsilah Melayu dan Bugis. Selain itu, versi yang lebih panjang turut mencatatkan beberapa butir tambahan berkaitan kehidupan Raja Ali Haji sendiri isterinya di Pulau Pinang, keuzurannya tatkala dalam perjalanan ke Jawa dan pengajaran agamanya.

Penceritaan dalam Tuhfat al-Nafis adalah berkisar tentang Kerajaan Riau-Lingga yang wilayahnya meliputi bahagian selatan Semenanjung Melayu, termasuk Singapura, Batam, Bintan, Karimun, Singkep, Lingga; Kerajaan Melaka yang wilayahnya meliputi: Pahang, Selangor, dan Johor; dan raja-raja Melayu-Bugis berserta keturunannya di daerah tersebut, sama ada melalui hubungan darah (genealogis) mahupun hubungan perkahwinan dengan orang Kedah, Perak, Terengganu, Siak, Kalimantan, dan sebagainya. R.O Winstedt berpendapat bahawa The Tuhfat is the most important Malay historical work after the Sejarah Melayu..... Malah, ada pendapat yang menyatakan bahawa karya ini merupakan karya sejarah Melayu yang paling kompleks dan canggih antara semua karya Melayu yang dikarang sebelum abad ke-20. Karya ini memperlihatkan world view masyarakat Bugis, sesuai dengan latar belakang penulisnya yang merupakan keturunan langsung daripada Yamtuan Muda Bugis yang kedua, iaitu Opu Daeng Chelak yang telah berkahwin dengan saudara perempuan Sultan Sulaiman. Oleh itu, setiap peristiwa sejarah yang ditulis dalam Tuhfat al-Nafis adalah berdasarkan daripada sudut pandang kebugisannya. Hal ini sesuai dengan pendapat Arbaiyah Mohammad Nor (2002) yang menyatakan bahawa tema Tuhfat alNafis dikatakan lebih cenderung kepada cerita Raja-raja dan rakyat Bugis atau boleh dianggap sebagai Bugis sentrik. Muhammad Yusuf Hashim (1992, dalam Siti Fathihah, 2010) berpendapat penulisan Tuhfat al-Nafis adalah untuk meningkatkan martabat masyarakat Bugis itu sendiri. Tuhfat al-Nafis yang dipercayai dikarang pada kurun ke-19 sememangnya bertujuan menaikkan imej masyarakat Bugis terutamanya golongan pemerintah Bugis. Karya tersebut lahir ketika kuasa pemerintah Bugis semakin berkurang dengan kehadiran dan pengaruh kuasa Barat yang semakin mendominasi Nusantara. Lalu, Tuhfat al-Nafis bertujuan bagi menarik kembali ketaatan rakyat kepada pemerintah Bugis dan tidak

terpengaruh dengan propaganda yang dibawa oleh pihak kolonial. Tuhfat alNafis sejak permulaan cerita lagi telah memfokuskan kepada sejarah raja Bugis dan kehebatan golongan tersebut. Penulisan Tuhfat al-Nafis oleh Raja Ali Haji merupakan salah satu sumbangannya kepada tradisi intelektual Melayu. Karya sejarah ini memperlihatkan betapa besarnya sumbangan Raja Ali Haji sebagai seorang ahli sejarah dan pencatat peristiwa pada zamannya.

Tuhfat al-Nafis

BUGIS: ASAL USUL DAN SALASILAH KETURUNAN Suku Bugis merupakan salah satu keturunan yang berada dalam rumpun Melayu dan dikatakan berasal dari Sulawesi Selatan. Mereka termasuk ke dalam rumpun keluarga besar Austronesia. Dalam Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, beliau menyatakan bahawa salasilah keturunan suku Bugis berasal dari seorang raja perempuan di negeri Luwuk, iaitu Sitti Mallangkik. Ada pendapat yang menyatakan bahawa Sitti Mallangkik itu merupakan

keturunan daripada Puteri Balkis, isteri Nabi Sulaiman A.S yang berasal dari sebuah negeri bernama Saba. Hal ini dapat dilihat dalam petikan yang berikut: Bermula adalah asal raja-raja Bugis yang mengembara ke sebelah barat daripada pihak tanah sebelah Bugis, adalah asalnya seorang raja perempuan, nama negerinya itu Luwuk, nama raja itu Sitti Mallangkik. Adalah Sitti Mallangkik itu, pada setengah kaul orang Bugis, keturunan daripada Puteri Balkis I konon. Di dalam pada itu Allah Subhanahu wa Taala yang terlebih tahu akan hakikat al-umur kuliha, kerana Balkis itu di negeri Saba pihak/negeri/tanah Yamani, anak raja jin jadi isteri Nabi Allah Sulaiman alaihissalam. (Tuhfat alNafis, 1998: 24) Meskipun kenyataan bahawa salasilah Bugis bermula daripada Puteri Balkis tidak dapat dibuktikan kebenarannya, namun Raja Ali Haji berpendapat hal ini bukanlah bersifat mustahil. Akan tetapi Puteri Balkis itu beranak laki-laki dan perempuan dengan Nabi Allah Sulaiman, berapa banyak turun-temurun, kerana tiada makna ((yang)) meneguhkan kepada akal yang tiada boleh sampai anak cucu Nabi Allah Sulaiman itu ke Bugis, kerana pekerjaan itu harus lulus kepada akal seperti kebanyakan tuan-tuan sayid Arab yang turun ke bawah angin ini, (bertaburan segenap negeri di bawah angin ini), meninggalkan (beberapa) anak cucunya. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 24) Daripada keturunan Nabi Allah Sulaiman dan Puteri Balkis inilah lalu berkembang dan melahirkan keturunan Bugis. SEJARAH BUGIS DI TANAH MELAYU Pada abad ke-17, sudah terdapat penghijrahan dan pemukiman masyarakat Bugis ke Alam Melayu khasnya di Indragiri, namun kehadiran masyarakat Bugis dalam jumlah yang besar berlaku pada zaman kolonial Belanda pada akhir abad ke-19. Joginder Singh Jessy (1965, dalam Hafidzah, 1987)

menyatakan bahawa sikap orang Bugis yang tidak suka dijajah menyebabkan mereka melakukan penghijrahan ke tempat lain. Tekanan dan peperangan yang berpanjangan oleh pihak Belanda telah memaksa orang-orang Bugis meninggalkan negara mereka dan merantau ke tempat-tempat lain. Sifat mereka yang tidak suka dijajah juga merupakan salah satu daripada faktor penghijrahan mereka. Bermula dengan kejatuhan Benteng Somba Opu sebagai pusat pemerintahan kerajaan Gowa-Tallo pada Jun 1669 telah menyebabkan penghijrahan beramai-ramai masyarakat Bugis-Makassar ke setiap pelosok Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerancakan kegiatan ekonomi yang berlangsung di Tanah Melayu sejak pertengahan abad ke-19 turut menjadi faktor penarik yang mempengaruhi kedatangan orang Bugis ke rantau ini. Syahadan maka Opu Kelana Jaya Putera pun minta kepada Raja Sulaiman hendak pergi ke Selangor mendapatkan (segala) Bugis-Bugis di (Selangor dan Langat) hendak (muafakat) mencari kekuatan, kerana adalah (pada masa itu negeri Selangor dan Langat banyak memang) Bugis berdaganag diam di situ, sebab hampir negeri Melaka senang berniaga I pulang pergi,dan banyaklah yang kaya-kaya Bugis di situ. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 71) Kedatangan orang Bugis ke Tanah Melayu juga didorong oleh sifatnya yang suka merantau atau mengembara. Masyarakat Bugis sejak berabadabad lamanya terkenal dengan jiwa dan semangat perantau dan mahir dalam bidang pelayaran. Bahkan dalam masyarakat Bugis juga ada istilah yang dikenal denganmasompe yang bererti berlayar juga membawa makna merantau. Bidalan masyarakat Bugis ada mengatakan Mappisona ri dewata sewai, tasakipi kampotta taita decenge. yang bermaksud berserah kepada Tuhan yang Maha Esa, tinggalkan kampung halamanmu agar kamu memperoleh kebaikan. Sifat orang Bugis yang suka mengembara ini

tergambar dalam karya sejarah Tuhfat al-Nafis, iaitu Opu Dahing Perani yang berlayar ke Johor dan Melaka. Maka tiada berapa lamanya maka lalu/lah hendak berlayar pula mengembara. Maka lalau diberi oleh saudaranya sebuah pencalang, cukup dengan modalnya serta alat senjatanya. Maka berlayarlah ia dari Betawi, lalu ke Siantan. Maka apabila sampai ke Siantan maka Opu Dahing Perani pun dinikahkan oleh ayahandanya dengan satu anak orang Mengkasar, yang bernama Nakhoda Alang. Maka tiada berapa lamanya di Siantan itu, maka lalulah opu-opu itu berlayar mengembara kepada pihak tanah Johor dan Melaka, bermain-main melihat negeri orang/orang Melayu. Kemudian lalulah berlayar ke Kemboja. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 52) Sifat ini turut digambarkan dalam karya agung sastera Bugis, iaitu La Galigo yang menceritakan kisah pengembaraan tokoh mitos Bugis,

Sawerigading, yang mengelilingi lautan dengan perahunya yang luar biasa, iaitu Wakka tana WalinonoE. La Galigo merupakan epik terpanjang dunia dan kewujudannya dikatakan berlaku sebelum epik Mahabrata. Nordin Hussin (2008) menyatakan bahawa kisah pelayaran Sawerigading dalam La Galigo telah memberikan kekuatan dan semangat kepada suku Bugis dalam membentuk keperibadian dan jati diri yang kukuh. Cerita kepahlawanan serta pelayaran Sawerigading ini telah memberi kekuatan kepada pedagang Bugis untuk muncul sebagai bangsa yang berhemah tinggi, justeru tekun dan tahan menghadapi dugaan dalam hidup. Pengembaraan dan kekuatan Sawerigading di merata tempat telah menjadi lambang jati diri pedagang Bugis. Ketokohan watak itu telah sebati dalam pemikiran orang Bugis yang mementingkan jati diri dan kekuatan moral. Sifat serta ketokohan Sawerigading itu telah menjadi asas kepada daya usaha serta keperibadian yang tinggi seperti yang ditunjukkan pedagang Bugis yang telah melayari perairan Nusantara untuk berdagang. Catatan Tom Pires menceritakan bahawa orang Bugis mempunyai susuk tubuh yang tegap dan bersifat pahlawan kerana gagah, kuat, tampan dan menuturkan bahasa Bugis. Norhalim Haji Ibrahim (1998: 20) pula

menggambarkan ciri-ciri masyarakat Bugis dalam tulisannya sebagai suku bangsa Melayu yang mempunyai semangat yang tinggi, pintar dan mahir dalam bidang pelayaran. Tanah tumpah darah orang Bugis terletak di barat daya Pulau Sulawesi. Mereka ialah suku bangsa Melayu yang bersemangat dan bertenaga, cerdik serta agresif, pelayar atau pelaut yang mahir dan ahli perniagaan yang pintar. Mereka merupakan orang yang berbakat dalam peperangan dan pertempuran dan apabila persengketaan antara orang Eropah dengan orang tempatan memuncak berebut menguasai perdagangan rempah di Asia Tenggara, mereka sangat dikehendaki sebagai tentera upahan, sama ada untuk berperang di laut mahupun di darat. Nordin Hussin (2008) berdasarkan catatan Tom Pires merumuskan bahawa sifat utama yang ditonjolkan Pires tentang orang Bugis adalah kepahlawanan, keberanian, kegagahan dan kepintaran mereka berniaga dan juga berniaga dengan jujur. Kejujuran adalah sifat yang amat disenangi semua peniaga dan pedagang. Selain itu, kepahlawanan serta kegagahan adalah sifat amat diperlukan kerana laut penuh dengan lanun dengan rampasan kapal dan barang dagangan sering berlaku. Kesemua sifat itu dipuji tinggi, malah menjadi aset kepada pedagang Bugis. Selain itu, kepandaian orang Bugis belayar dan membina kapal yang kukuh yang dapat belayar hingga ke Pegu dan Siam amat mengagumkan. Hanya kapal yang kuat dan kukuh mengharungi lautan yang bergelora dan menempuhi perjalanan yang jauh.

Kini, suku Bugis telah bercampur dengan suku lain di Sumatera, Kalimantan, Jawa, Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Masyarakat Melayu di Malaysia secara umumnya mengelompokkan sahaja masyarakat atau puak yang datang dari Sulawesi Selatan itu sebagai orang Bugis, walaupun pada kebenarannya bukan semua orang yang datang dari wilayah itu dari suku kaum Bugis. Masyarakat Bugis terdiri daripada beberapa suku yang berbeza. Hal ini berdasarkan kenyataan Norhalim Haji Ibrahim (1998: 28) iaitu:

Orang Bugis pada hakikatnya berasal daripada beberapa kelompok suku bangsa. Secara umum sekurang-kurangnya terdapat empat suku bangsa utama, iaitu suku bangsa toRaja, toMenre atau Mandar, toUgi atau Bugis dan suku bangsa toMengkasara atau Makasar. Hal yang sama berkaitan suku Bugis turut dinyatakan oleh Ahmad Jelani Halimi (2012). Terdapat empat etnik utama yang menghuni wilayah selatan Sulawesi itu selain dariapda etnik pendatang dari masyarakat Cina. Mereka terdiri daripada suku Bugis, Makassar, Mandar dan Toraja. Suku Bugis merupakan suku kaum terbesar diikuti oleh Makassar, Taroja dan Mandar. Bugis, Makassar dan Mandar merupakan masyarakat Islam manakala Taroja sebahagian besarnya merupakan penganut animisme. Pengislaman masyarakat Bugis telah berlaku pada pemerintahan Raja Opu La Madussilat, yang merupakan Raja Bugis pertama yang memeluk agama Islam seperti yang tercatat dalam Tuhfat al-Nafis. Syahadan adalah Raja Opu La Madussilat inilah awal raja Bugis yang mulamula masuk agama Islam yang beriman Nabi kita Muhammad, sallalahu alaihi wasallam. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 26) Orang Bugis memainkan peranan yang penting dalam perkembangan sejarah di Tanah Melayu. Golongan ini terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam politik dan perbalahan negeri-negeri Melayu ketika itu, terutama sekali negeri Johor. Keluarga Bendahara Johor telah meminta bantuan Raja-Raja Bugis untuk menumpaskan Raja Kecil dan mendapatkan semula takhta pemerintahan. Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah telah ditabalkan menjadi pemerintah Johor dan bagi membalas jasa serta bantuan yang diberikan oleh raja-raja Bugis, Daeng Merewah telah dilantik sebagai Yamtuan Muda Riau dengan menggunakan gelaran Yang

Dipertuan Muda. Dari sinilah bermulanya campur tangan Bugis di Tanah Melayu. Kesan kedatangan orang Bugis telah mengambil kesempatan pertelingkahan daripada pihak tertentu bagi memperluaskan pengaruh dalam organisasi kepimpinan kerajaan Melayu sekali gus menjadi tulang belakang dalam pentadbiran kerajaan.

SIRI SEBAGAI FALSAFAH HIDUP BUGIS

Setiap tamadun lazimnya mempunyai teras dan asas pemikiran atau ideologinya yang tersendiri dan maka hal ini bertindak sebagai roh dan jiwa sesuatu tamadun itu. Pemikiran atau ideologi yang tinggi ini disamaertikan dengan erti falsafah (cintakan kebijaksanaan) dan akhirnya falsafah itu menjadi pengisi, daya penggerak dan pencorak kepada sesuatu tamadun itu (Mohd Rashid Md Idris, 2004: 53). Falsafah hidup yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi dan dihayati sepenuhnya menjadi pegangan orang-orang Bugis untuk senantiasa hidup dengan baik dan terhormat sama ada di negeri sendiri atau di negeri orang. Pegangan yang erat terhadap falsafah kehidupan menjadikan orang Bugis sebagai manusia yang memiliki peradaban yang tinggi. Hal yang sama turut dinyatakan oleh Ahmad Jelani Halimi (2010) bahawa masyarakat Bugis ini terkenal sebagai sebuah masyarakat yang agak bengis dan kuat berpegang kepada martabat diri atau harga diri (sirik). Bagi sukusuku lain, orang Bugis dikenali dan dianggap sebagai orang yang mempunyai perwatakan yang keras dan sangat menjunjung tinggi kehormatan. Apabila perlu mempertahankan kehormatan mereka, mereka bersedia melakukan tindakan kekerasan. Namun demikian, di sebalik sifat keras itu, orang Bugis

juga dikenali sebagai orang yang ramah dan sangat menghargai orang lain serta sangat tinggi rasa kesetiakawanannya. Bidalan Bugis mengatakan, Siri Paccea rikatte, kontu ballak ia benteng, ia patongko, ia todong jari rinring . Maksudnya, Harga diri (sirik) dan kesetiakawanan bagi kita, ibarat rumah, ia adalah tiang, ia atap, ia juga jadi dinding. Siri sangat penting dalam budaya masyarakat Bugis. Sirimerupakan idea dan falsafah masyarakat Bugis tentang kekuatan jati diri dan unsur malu yang dianggap bersifat sakral (suci). Secara harfiahnya, kata Siri dalam sistem adat Bugis mempunyai makna yang berdimensi ganda, di satu sisi ertinya malu, manakala di sisi yang lain membawa maksud harga diri. Siri telah sebati dalam diri seorang Bugis dan melambangkan keutuhan keperibadian yang merangkumi segala tanggungjawab dan kewajipan sebagai seorang individu dalam lingkungan masyarakat. Orang Bugis yang tidak mempunyai siri sanggup membunuh diri demi menyucikan diri dan menebus martabat dirinya. Terdapat bidalan Bugis yang sering memberi ingatan tentang kekuatan harga diri seperti lebih baik mati demi

mempertahankan siri dibandingkan dengan sebuah kehidupan yang tidak memiliki siri. Dalam Tuhfat al-Nafis, perbuatan mempertahankan siri ini dapat dilihat apabila Opu Dahing Parani membunuh anak Raja Mengkasar yang melakukan perbuatan sumbang dengan isteri Arung Boneh. Syahadan maka tatkala Arung Boneh berangkat ke Boneh itu, ditinggalkannya Opu Tendriburang (Dahing Rilaga) itu di Mengkasar menunggu isterinya, sementara belum dibawanya ke Boneh, atau ke mana-mana atau suatu ketetapannya. Syahadan maka datanglah takdir Allah Taala maka berbuatlah isteri Arung Boneh itu suatu pekerjaan yang tiada patut ada syaria dan adat, iaitu bermain muda dengan anak Raja Mengkasar (itu). Maka kedapatan dengan Opu Dahing Parani, (maka) lalu ditikam oleh Opu Dahing Parani dengan keris yang diberi oleh Arung Boneh, bernama Tanjung Lada itu. Maka matilah anak Raja Mengkasar itu, maka tiadalah berani orang-orang Mengkasar membuka perkara itu.

(Tuhfat al-Nafis, 1998: 52) Christian Pelras (2006) menyatakan bahawa dalam kehidupan

masyarakat Bugis, Siri merupakan unsur yang asas dalam diri mereka. Tidak ada satu pun nilai yang paling berharga untuk dibela dan dipertahankan di muka bumi selain daripada Siri. Pendapat ini disokong oleh Rahilah Omar et.al (2010) iaitu: Siri merupakan unsur teras dalam setiap individu Bugis. Tidak ada satu nilai yang berharga untuk dibela dan dipertahankan di muka bumi ini selain daripada siri kerana siri adalah jiwa, harga diri dan martabat mereka. Oleh itu setiap masyarakat Bugis mesti mempunyai siri dalam dirinya supaya ia dapat meneruskan hidupnya sebagai manusia yang dipandang baik dan mulia.

Konsep harga diri ini telah menjadikan siri sebagai pedoman dalam kehidupan mereka dan seterusnya membentuk orang Bugis menjadi masyarakat yang dikagumi kerana mempunyai kekuatan serta harga diri yang tinggi dan jujur dalam segala tindakan dan perbuatan mereka. Norhalim Haji Ibrahim (2008: ) telah menyatakan beberapa konsep penting dalam falsafah dan budaya Siri seperti berikut: i. Siri emmi ri onroang ri lino hanya untuk siri itu sahajalah kita hidup

di dunia. Dalam ungkapan itu termasuklah erti siri sebagai yang memberikan identiti sosial dan martabat atau harga diri, maka baru hidup itu ada ertinya. ii. Mate ri sirina Mati dalam siri atau mati dalam menegakkan

martabat atau harga diri. Mati yang demikian dianggap sebagai suatu hal yang terpuji dan terhormat. iii. Mate siri Orang yang sudah hilang martabat atau harga dirinya

adalah dianggap sebagai bangkai hidup. Orang Bugis-Makassar yang berasa mate siri akan melakukan jallo (amuk) sehingga mati sendiri. Jallo yang

demikian disebut Napatettonngi sirina; ertinya ditegakkan kembali martabat dirinya. Konsep Siri sebagai falsafah kehidupan orang Bugis adalah bertepatan dengan ajaran Islam. Malu adalah sifat atau perasaan yang menimbulkan keengganan untuk melakukan sesuatu perbuatan yang hina atau tidak baik. Malu dan harga diri inilah yang perlu dimiliki oleh setiap orang. Alhayaa atau rasa malu ialah suatu sifat yang perlu ada dalam hati dan jiwa manusia, yang mendorongnya untuk melakukan kebaikan dan ketaatan, serta mencegahnya dari perilaku yang buruk, tercela, memalukan dan menjejaskan kehormatan diri, agama dan negara. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W ada bersabda bermaksud: Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman. LIMA PRINSIP SIRI Siri sebagai falsafah dan nilai kebudayaan masyarakat Bugis mengandungi lima prinsip utama, iaitu ada tongeng (senantiasa berkata yang benar); lempu (senantiasa menjaga kejujuran); getteng(berpegang teguh pada prinsip keyakinan dan pendirian); sipakatau(hormat-menghormati sesama manusia); mappesone ri dewata seuwae (pasrah pada kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa). Seseorang yang tidak lagi memiliki sifat-sifat ada

tongeng, lempu,getteng, sipakatau dan mappesone ri dewata seuwae, maka dia dia dinilai sebagai orang kurang Siri (tidak ada harga diri ). Golongan ini dianggap sebagai bukan manusia kerana manusia dipegang pada perbuatanperbuatannya atau diukur dari tingkah lakunya. Dengan mentaati kelima-lima prinsip di atas, orang-orang Bugis mengharapkan keturunannya akan tampil sebagai insan yang berguna dari satu generasi ke generasi yang lain.

Ada tongeng (senantiasa berkata yang benar) Ada tongeng adalah prinsip kata-kata yang menekankan bahawa seseorang harus sentiasa mengatakan perkara yang benar sahaja dan tidak berdusta. Prinsip ini memerlukan suatu kesedaran moral dalam diri setiap orang Bugis agar jujur dalam berkata-kata dan menyampaikan apa-apa jua maklumat kepada orang lain. Selain itu,Ada tongeng juga bererti bahawa setiap kata yang diungkapkan harus membawa kebaikan bagi kehidupan. Seseorang harus menghindari kata-kata yang dapat menyebabkan kerugian bagi individu lain atau kelompok masyarakat. Berbicara dan berkomunikasi dengan menggunakan kata-kata yang baik dan benar akan menyebabkan pendengar berasa tenang dan selamat dan seterusnya meningkatkan rasa hormat orang lain terhadap diri si penutur. Selain itu, berdasarkan prinsip ini, seseorang juga harus berusaha untuk membela dan memperjuangkan kebenaran. Maka jawab Raja Haji, Yang adinda apabila Tun Dalam itu memperbuat harubiru di dalam Riau ini perbuat adinda melainkan tiada (adinda) panjangkan lagi, melainkan adinda ajak saja (ia keluar) dari (dalam negeri) Riau ini, di mana-mana tempat dia suka berperang atau bertikam boleh segera habis ketentuan(nya) maksud (di antara) kedua pihak. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 143) Fitnah yang tersebar luas menyebabkan Raja Haji sanggup berperang bagi membetulkan semula kekeruhan yang terjadi antara suku Bugis dengan suku Melayu. Hal ini perlu bagi membuktikan kebenaran dan membersihkan nama baik orang Bugis di Riau.

Lempu (senantiasa menjaga kejujuran)

Dalam masyarakat Bugis, kejujuran dan kesucian jiwa seseorang dapat dijadikan benteng dan penghias kehidupan sehingga seseorang individu itu dianggap kaya dengan budi pekerti yang luhur. Nilai kejujuran itu perlulah diaplikasikan oleh setiap orang kerana kejujuran dapat menjadi benteng yang mencegah seseorang individu daripada melakukan perkara-perkara yang keji. Kesucian merupakan pancaran kalbu yang terpancar melalui kejujuran. Orang yang jujur tidak mudah terpengaruh untuk mengambil sesuatu yang bukan haknya. Prinsip ini juga memberikan penekanan terhadap setiap orang dalam komuniti Bugis agar menyatukan kata-kata dan tindakan, iaitu tindakan perlulah selari dengan percakapan. Dalam Tuhfat al-Nafis, prinsip ini dapat dilihat menerusi tindakan Kelana Jaya Putera (Opu Dahing Merewah) yang sanggup berjanji untuk tidak menjejakkan kaki lagi ke tanah Bugis sekiranya tidak dapat menawan Riau untuk diserahkan kepada Sultan Sulaiman sebagaimana yang telah dijanjikan. Maka diunjukkannya surat itu kepada Kelana Jaya Putera serta segala saudara-saudaranya. Maka semuanya itu berbangkitlah gembiranya mengunus kerisnya, mengaruk-ngaruk, berkanjar-kanjar. Maka Kelana Jaya Putera pun berkata, Jika belum aku ambil Riau dengan segala takluk daerahnya aku serahkan kepada Raja Sulaiman, aku haramkan menjejak tanah Bugis atau aku mati. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 68) Prinsip ini juga turut memberikan penekanan terhadap kejujuran terhadap harta. Kemudian telah putus (lah) musyawarah itu lalulah Yang Dipertuan Muda menyerahkan Pulau Karimun (dan Kundur) itu kepada saudara selamalamanya kepada Raja Ali Haji berdua saudara dengan Raja Abdullah itu mengamanahkan (nya) pada meramaikannya, dan hasil-hasilnya dibahagi lima seperti yang tersebut di dalam surat kuasanya itu. ((sepupunya)) Raja Abdullah dan Pulau Kundur itu jadi ketetapan. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 437)

Getteng (berpegang teguh pada prinsip keyakinan dan pendirian) Getteng ialah prinsip yang memberikan penekanan bahawa seseorang perlu sentiasa mempunyai pendirian yang teguh dan kukuh mengenai sesuatu hal. Bagi orang Bugis, mempertahankan dan membela sesuatu yang diyakini benar adalah suatu kewajipan. Prinsip inilah yang mendorong orang Bugis agar tidak mudah mengaku kalah apabila menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka. Mereka juga tidak mudah dipengaruhi oleh orang lain dan terkenal sebagai sebuah bangsa yang mempunyai jati diri yang kukuh. Beberapa contoh daripada Tuhfat al-Nafis jelas menunjukkan prinsip teguh pendirian ini amat dekat dalam kehidupan masyarakat Bugis. Maka Raja Kecik pun mengajak opu-opu itu melanggar Johor. Maka opu-opu itu pun berfikir, maka tiada berbetulan dengan timu-timunya itu. Maka tiadalah ia mahu. Maka didalihkannya hendak pergi ke Langat, hendak muafakat dengan Bugis-Bugis di Langat itu. Maka tiadalah jadi bantu-membantu itu adanya. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 56) Dalam petikan di atas, penolakan opu-opu (raja Bugis) untuk membantu Raja Kecik kerana mereka berpendapat hal itu bukanlah sesuatu perkara yang wajar dilakukan. Oleh itu, dalih terpaksa digunakan bagi memastikan prinsip yang dipegang tidak dilanggar dengan sewenang-wenangnya. Syahadan apabila Yang Dipertuan Muda mendengar kata Datuk Bendahara itu, dan temenggung serta segala raja-raja sekalian, maka titah Yang Dipertuan Muda, Jikalau begitu kata orang kaya semua, insya-Allah Taala, sayalah yang membayarnya hutang marhum itu. Jalan saya berjual kain di pinggang sekalipun, relalah saya (semua) adik-beradik, anak-beranak terjual kepala dengan sebab mengenangkan intan gemala yang dua butir ini. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 168) Petikan-petikan di atas menggambarkan keteguhan pendirian yang dimiliki oleh raja Bugis yang menyebabkannya pantang menyerah walaupun

menghadapi apa jua jenis cabaran. Hal ini bertepatan dengan salah satu syair Bugis yang berbunyi: Kusorona biseangku Kucampana sombalakku Tammammelakka Punna teai labuang Ertinya: Kudayung sampanku laju Kukembangkan layar Pantang berbelok ke arah lain Kecuali arah pantai berlabu Selain itu, mereka juga berpegang kepada pendirian bahawa memerangi orang yang lari dalam peperangan bukanlah suatu perbuatan yang mulia, sebaliknya merupakan perbuatan orang yang kecundang. Syahadan tiba-tiba berjumpa dengan kelengkapan Raja Haji, iaitu Kelana Pangeran Suta Wijaya, datang dari Inderagiri hendak membantu ke Riau. Maka apabila berjumpa akan sekalian panglima-panglima Raja Haji, panglima-panglima Bugis, dan panglima-panglima Melayu pun, hendak membedil belaka, maka dilarangkan oleh Raja Haji titahnya, Jangan memerangi orang lari, sudah seperti kecundang orang. Maka tiadalah kebilangan pekerjaan demikian itu. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 190) Orang Bugis juga turut diceritakan sebagai masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam. Hal ini terbukti apabila Raja Ali melarang orangorang Islam agar tidak menyabung, berjudi dan lain-lain lagi. Sesiapa yang melanggar perintah ini akan dihukum dengan hukuman yang berat. Syahadan lagi Yang Dipertuan Muda Raja Ali inilah membuang dan melarangkan segala orang yang jahat-jahat seperti berjudi dan menyabung (tiadalah boleh lagi, dan segala orang-orang Islam berjudi dan menyabung, jika diketahuinya dihukumkannyalah dengan yang sepatutnya, sehingga ia bekerjakan puteranya nikah kahwin pun tiada diberinya orang-orang berjudi dan menyabung. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 433)

Sipakatau (hormat-menghormati sesama manusia) Sipakatau ialah prinsip komunikasi yang membenarkan orang menegur satu sama lain dengan cara sebaik mungkin. Bagi orang Bugis, manusia dipandang sebagai entiti khusus dan unik di dunia ini dan harus diperlakukan dengan penuh hormat. Apabila kita menghormati seseorang, kita akan berusaha untuk melakukan apa yang akan menyebabkan orang itu rasa dirinya dihormati. Golongan tua perlu hormat kepada orang muda, si kaya simpati dengan si miskin sementara yang berkuasa menghormati golongan lemah. Rasa kasih dan sayang turut menjadi salah satu bahagian daripada prinsip ini. Hal ini kerana sekiranya nilai itu hilang daripada hati manusia, ia akan mengundang pelbagai bencana. Kejian demi kejian dan segala kebiadaban menular gara-gara hilangnya kasih sayang dan rasa hormat antara satu sama lain. Adapun yang di dalam Betawi ini tiadalah yang bersetuju dengan hatiku. Syahdan setelah Opu Dahing Kelola itu mendengar titah paduka ayahanda/bagindanya itu, maka ia pun menjawab (katanya, Yang) anakanda ini mana-mana saja perintah titah paduka ayahanda. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 91) Petikan di atas menggambarkan sikap seorang anak yang sentiasa mematuhi dan mentaati perintah ayahnya sebagai cara menunjukkan rasa hormat yang tinggi. Selain itu, prinsip menghormati sesama manusia yang menjadi pegangan orang Bugis mendorong mereka untuk mudah meminta maaf dan memberikan kemaafan kepada orang lain. Syahadan kata sahib al-hikayat apabila Engku Usman ayah saudara Engku Muda itu mendengar titah baginda itu, maka segeralah ia mendekati keduanya itu, iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Ali serta Engku Muda. (Maka) lalu ditarikkannya tangan keduanya, maka lalu dipertemukannya kepala

keduanya bersalam-salaman serta berpeluk bercium (keduanya) bertangistangisanlah (kedua) dan bermaaf-maafan. Maka berdamailah keduanya itu di hadapan Baginda Sultan Mahmud serta raja-raja sekalian adanya. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 305) Raja Ali, yang merupakan pemerintah Bugis juga mempunyai akhlak yang baik, iaitu sentiasa menghubungkan silaturahim dengan sanak-saudaranya. Hal ini menunjukkan perasaan hormatnya kepada kaum kerabatnya. Syahadan adalah Yang Dipertuan Muda Raja Ali ini suka mengambil hati segala sanak-sanak saudaranya yang jauh-jauh, seperti raja-raja di negeri Bugis serta ditetapkannya adat-adat yang lama-lama itu seperti utusmengutus ke tanah Bugis. Maka tiap-tiap tahun tiadalah hampa melawat dari Bugis tiadalah putus tanda sanak-saudara di negeri Bugis dan demikian lagi pada negeri yang lain-lainnya seperti Siak dan Selangor. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 435) mappesone ri dewata seuwae (pasrah pada kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa Prinsip ini menekankan bahawa setiap manusia harus berserah diri dan redha dengan segala takdir dan ketentuan Allah S.W.T. Manusia perlu tunduk kepada kehendak Allah S.W.T yang berkuasa memberikan apa-apa sahaja dugaan dan ujian kepada hamba yang dikehendaki-Nya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishaq, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membezabezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam) (3:84). Oleh itu, manusia perlu sentiasa berpegang teguh dengan agama dan yakin dengan segala ketentuan Allah S.W.T. Pengamalan prinsip ini oleh masyarakat Bugis juga dapat dikesan dalam Tuhfat al-Nafis. Setelah Opu Dahing Menambun iaitu Pangeran Emas Seri Negara mendengar khabar adinda baginda itu, maka menangislah yang amat sangat serta seperti hancurlah hatinya, kerana kehilangan dua saudaranya, akan

tetapi apa boleh buat, dengan takdir Allah Taala. Maka Ratu Bagus pun turut juga menangis kasihan melihat baginda itu bertangis-tangisan. Maka segala yang mengadap itu pun menangis semuanya, sebab belas kasihan melihat baginda kedua itu. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 102)

PESSE Pesse pula ialah kepercayaan yang berteraskan kesatuan rohani pada individu (Moh. Yahaya Mustafa 2003). Asal usul dan kekuatan yang ada dalam konsep ini adalah berteraskan persaudaraan. Kekuatan ikatan persaudaraan itu dianggap sangat penting demi membela dan

memperkukuhkan komuniti mereka. Apabila ada teman yang menghadapi rintangan dan kesulitan, kesusahan itu ditanggung bersama. Unsur ini telah memberi kekuatan padu kepada orang Bugis untuk mengingati asal usul mereka, selain memberi ikatan kesatuan yang kukuh kepada mereka. Konseppesse ini sebenarnya adalah tradisi tentang pentingnya semangat gotong royong dalam budaya Melayu (Moh. Yahya Mustafa 2003). Muh. Abdi Goncing (2012) berpendapat Pesse dapat diertikan sebagai rasa simpati yang dalam konsep masyarakat Bugis merupakan perasaan empati terhadap sesama dan seluruh anggota komuniti yang terdapat dalam masyarakat tersebut, atau dengan kata lain sebagai rasa solidaritas, kolektifitas, dan loyalitas terhadap masyarakatnya, di mana hal-hal yang berbau peribadi harus senantiasa disingkirkan kepada atau perpaduan

dikesampingkan. Solidaritasmerujuk

manakala kolektifitas atau kolektivitipula merujuk kepada bersama-sama atau beramai-ramai sebagai suatu kumpulan dalam melakukan sesuatu. Loyalitas

ialah kesetiaan atau kepatuhan. Ringkasnya, pesse dapat difahami sebagai suatu bentuk ikatan yang wujud dalam sesebuah komuniti, yang didasarkan kepada semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama. Pesse, yang dipegang teguh oleh orang Bugis sebagai konsep kebersamaan atau permuafakatan dalam sesebuah masyarakat dapat dikesan dalam Tuhfat alNafis bukan sahaja melibatkan sesama rakyat semata-mata, tetapi juga antara pemerintah dengan rakyat. Maka tersebutlah perkataan opu-opu raja Bugis yang pergi ke Langat. Maka apabila sampai ke Langat maka muafakatlah ia dengan (segala) Bugis di situ menyiapkan alat peperangan, akan tetapi tiadalah tentu yang hendak dibantunya, kerana barang siapa yang patut ((pada)) timu-timunya, itulah yang hendak dibantunya. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 58) (Dan ada seorang putera paduka adinda baginda itu Raja Lumu, iaitu pada pihak negeri Selangor), melainkan (hanyalah) Dahing Kemboja jua (yang terlebih patut) dialah (yang) terlebih tua, serta kesukaan muafakat pihak sebelah Bugis. Maka tetaplah Dahing Kemboja akan menjadi raja/Yang Dipertuan Muda (di dalam negeri Riau). Maka bermohonlah Dahing Kemboja (itu) dahulu kerana hendak (pergi) ke Selangor muafakat dengan paduka adinda (adinda Baginda) Yang Dipertuan Selangor, serta orang-orang besarnya, serta Bugis-Bugis yang banyak. (Tuhfat al-Nafis, 1998: 123)

KESIMPULAN Masyarakat Bugis merupakan suku yang amat berpegang teguh dengan prinsip kehidupan mereka dan menjunjung tinggi maruah dan kehormatan mereka (siri). Bagi golongan ini, tidak ada satu pun nilai yang paling berharga untuk dibela dan dipertahankan di muka bumi selain daripada Siri. Siri' adalah cara hidup, yang mengandungi etika dan membezakan antara manusia dengan haiwan, dengan martabat dan kehormatan yang dipertahankan.Mate

ri sirina -mati dalam siri atau mati dalam menegakkan martabat atau harga diri dianggap sebagai suatu hal yang terpuji dan terhormat. Siri dan Pesse merupakan sebuah dasar falsafah hidup yang menjiwai dan menjadi pegangan masyarakat Bugis untuk senantiasa hidup baik di negeri sendiri atau negeri orang lain danmenjadi manusia yang perkasa dalam menjalani kehidupan. Setiap manusia keturunan Bugis

dituntut untuk memiliki keberanian, pantang menyerah menghadapi tantangan ataupun ujian hidup. Itulah sebabnya maka setiap orang yang mengaku sebagai masyarakat Bugis memiliki orientasi yang mampu menghadapi apapun (Moein, 1990, dalam Muh. Abdi Goncing, 2012). Ringkasnya, konsep harga diri ini telah menjadikan siri dan pessesebagai pedoman dalam kehidupan mereka dan seterusnya membentuk orang Bugis menjadi masyarakat yang dikagumi kerana mempunyai kekuatan serta harga diri yang tinggi dan jujur dalam segala tindakan dan perbuatan mereka.

BIBLIOGRAFI

Ahmad Jelani Halimi (2012). Diaspora masyarakat Bugis di Malaysia [versi elektronik]. Diperoleh pada April 15, 2013, daripada http://www.dialogmelayu.com. Mohd Rashid Md Idris (2004). Monograf bahasa Melayu. Gombak: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Muh Abdi Goncing (2012). Siri na pacce sebagai falsafah hidup Bugis-Makassar dalam perspektif filsafat sejarah [versi elektronik]. Diperoleh pada April 10, 2013, daripada http://www.ighoelmachete.wordpress.com. Nordin Hussin (2008). Pedagang bugis dan kuasa Eropah di Selat Melaka,15001800 [versi elektronik]. SARI: Jurnal Alam dan Tamadun Melayu, 26. Diperoleh pada April 15, 2013, daripada http://journalarticle.ukm.my. Norhalim Ibrahim (1998). Sejarah Linggi: pintu gerbang sejarah pembangunan Negeri Sembilan. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn.Bhd. Raja Ali Haji. (1998). Tuhfat al-Nafis. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.