Cerpen : 20 April 2004 20 April 2004, 8.30 malam.Tarikh ini aku bergelar isteri.

Kalau suatu ketika dulu impian aku untuk mendirikan rumahtangga sebelum usia menjangkau 25 tahun, kini impianku tercapai tatkala usiaku baru 24 tahun 7 bulan. Walaupun bagi orang lain hari perkahwinan merupakan hari paling bertuah dalam hidup tetapi aku punya penafsiran tersendiri. Mungkin kerana apa yang aku alami membuatkan aku takut untuk melalui hari depanku yang kini bergelar seorang isteri. Hakikat tanggungjawab isteri sememangnya telah lama aku ketahui tetapi keenggannan abang menerima kehadiranku membuatkan aku teringat satu lagi impianku dulu. Aku ingin memilih orang yang menyayangiku bukan orang yang aku sayang. Cuma impianku itu tinggal kenangan. Itulah ketentuan dari-Nya. Tak semua impian akan jadi kenyataan kerana sesungguhnya Dia-lah perancang terbaik dan Dia-lah yang mengetahui sesuatu yang terbaik untuk hambaNya. Tetapi terlintas juga di fikiran bagaimana aku akan menghadapi semuanya. Berapa lama agaknya tempoh yang akan abang ambil untuk menerima kehadiran aku. Itulah satu-satunya persoalan yang muncul sebaik sahaja abang ucapkan kata-kata ini,"Meskipun kita dah disatukan tapi Ina kena tahu satu perkara, saya belum boleh terima kehadiran Ina. Semua nie berlaku terlalu pantas dan saya cuma tak mahu menghampakan harapan kedua ibubapa saya. Mungkin Ina terlalu istimewa di hati mereka tapi tidak pada saya. Ina ada hak untuk marah dengan tindakan saya tapi ia takkan merubah atau melembutkan hati saya. Kalau Ina rasa Ina nak beritahu pada mak dan ayah Ina, saya takkan menghalang. Tapi saya rasa Ina sendiri tahu apa akibatnya nanti, so lebih elok kalau Ina terima semuanya memandangkan Ina yang dah terima lamaran ibu dan ayah saya. Ina boleh buat apa sahaja yang Ina suka selagi tak melanggar hukum syaraq. Saya takkan ambil peduli dan jangan minta apa-apa bantuan dari saya. Anggap saja saya tak pernah wujud dalam hidup Ina. Mulai malam nie kita tidur berasingan. Katil nie hak Ina, biar saya tidur bawah." sayu rasa hati bila ingatkan kata-kata abang. Walaupun dah hampir 6 bulan usia perkahwinan kami, abang masih macam dulu. Kadang kala aku rasa seolah aku tidak pernah bergelar isteri. Sebaik masuk ke rumah ini dulu, abang terus menunjukkan bilikku yang terletak berhampiran biliknya. Aku terpaksa

terima segalanya walaupun ia terlalu pahit dan sesekali menyiksa hati ini. Aku terpaksa berlakon setiap kali ibu dan ayah abang datang juga setiap kali mak dan abahku menjengah dari kampung. Itulah saat yang cukup tertekan bagiku kerana terpaksa berbohong dengan orang tuaku. Apapun aku cuba untuk meyakinkan meraka yang aku bahagia di samping abang. Dan itulah juga yang aku harapkan meskipun ia tidak muncul sekarang nie. Aku cukup berat hati untuk bercerita bila kawan-kawan sepejabat bertanya. Jika jawapannya terlalu payah untuk kuberikan, aku hanya tersenym sekaligus menutupp kedukaan hati. Melihat orang lain gembira, aku jadi cemburu kerana aku tak pernah gembira seperti mereka. Kalau orang lain, minggu pertama perkahwinan mereka pastinya akan dihabiskan dengan berbulan madu tapi aku ditinggal sendirian di rumah sedang abang keluar meneruskan tugas di pejabatnya. "Kalau sesiapa bertanya pandai-pandailah Ina jawab. Ina faham maksud saya kan ? " pesanan abang sebelum meninggalkan aku sendirian masih kuingat sehingga kini. Malah sekarang nie pun aku kerap melindungi perbuatannya pada tetamu yang datang. Dua bulan lepas misalnya, mak dan abah muncul di depan rumah kami secara mengejut. Mereka tak mahu menyusahkan aku katanya. Mujur aku pulang awal dari pejabat petang itu. Selalunya aku akan sampai dalam pukul 7.00 malam tetapi hari itu aku sampai lima minit awal dari mak dan abanh ketika jam menunjukkan ke angka 5.30 petang. "Kau sorang aje kat rumah? Abang kau mana? " abah bertanya. "Belum balik lagi bah. Sekarang nie dia sibuk. Selalu balik lewat malam." aku cuba untuk tidak berbohong tanpa menimbulkan sebarang syak pada mak dan abah.Sehingga jam 11.00 malam abah menunggu kepulangan abang. Nak berborak kata abah. Abang dan abah memang serasi. Pantang berjumpa, ada sahaja yang dibualkannya. Itulah yang mengembirakan aku berkenaan dengan diri abang. Abang tak pernah menyakitkan hati mak dan abah apa lagi ibu dan ayahnya sendiri. Kerana menjaga hati orang tualah abang akan berpura-pura menyayangi aku dan kehadiran mereka membuatkan abang terpaksa membenarkan aku tidur di biliknya." Ina boleh tidur atas katil, biar saya tidur bawah." Abang tak pernah berkasar denganku. Suaranya tak pernah tinggi. "Ini katil abang, hanya abang yang berhak tidur kat sini. Ina hanya menumpang, biarlah Ina yang tidur bawah."Abang hanya menggelengkan kepala serentak mengeluarkan sebiji bantal dan selimut dari dalam

almari. "Kalau lelaki sanggup tengok wanita yang lemah tidur atas lantai bukan seorang yang bertanggungjawab namanya." Abang menghormati aku sebangai seorang wanita tapi bukan sebagai isteri. Aku akur dengan kehendak abang. Seingatku sejak kami diijabkabulkan, tak pernah sekali pun kami bertengkar. Walaupun banyak pesanan abang padaku yang lebih kepada melindungi perbuatannya tetapi mungkin kerana caranya yang lembut membuatkan aku lebih menurut. Seawal minggu pertama perkahwinan kami, aku cuba menambat hati abang dengan memasakkan makanan kegemarannya. Ibu abang yang memberitahuku tentang daging masak kicap kegemaran abang. Aku cuba lakukan yang terbaik. "Abang nak makan?" Aku menegur abang sebaik wajahnya muncul di muka pintu. "Saya dah makan dengan rakan sepejabat tadi." Aku jadi lemah bila dengar kata-kata abang. Aku tak mampu untuk memberitahu abang tentang masakanku. Cuma setelah selesai solat maghrib, abang sedar tentang masakanku setelah dia ke dapur mengambil minumannya." Kenapa tak beritahu saya yang Ina masak ?"Aku hanya diam."Ina dah makan ?" melihat aku tetap diam, abang mengambil pinggan dan meletakkannya di atas meja. " Ina duduk." Perintah abang aku turuti. "Saya makan sebab Ina dah masak. Dan saya tahu Ina takkan makan kalau saya tak makan." Makanan yang sedia terhidang terus abang jamah. Aku juga menjamah makanan yang dah sejuk akibat terbiar sejak petang tadi." Saya rasa Ina tak perlulah masak lagi lepas nie. Saya takkan sempat makan kat rumah memandangkan saya kerap balik lewat malam. Lagipun saya tak nak menyusahkan Ina." " Tak de apa yang susahnya bang. Ina dah biasa masak masa duduk dengan kawan- kawan dulu. Lagipun Ina kan isteri abang." "ISTERI..." abang merenung mataku. Aku jadi sedikit gentar dengan pandangan abang. "Mungkin bagi Ina tapi tidak pada saya." Abang menyudahkan makanannya. "Lain kali kalau saya tak suruh masak jangan masak. Masak untuk Ina sorang cukuplah.". Di saat itu, aku betul- betul sedih. Cuma aku kuatkan hati untuk tidak menangis. Andai aku menangis bermakna aku kalah, aku lemah dengan apa yang abang buat. Itu bukan prinsip yang aku pegang. Meskipun aku tahu perkahwinan kami tidak pernah mendapat restu abang tetapi aku percaya satu hari nanti abang akan dapat menerima kehadiranku. Kalau kita dah tersilap dalam memilih pasangan hidup tak bermakna kita tak boleh hidup bahagia. Bak kata pepatah yang pernah aku dengar dulu, nasi yang dah jadi bubur still

boleh jadi sedap jika kita pandai mengolahnya. Misalnya jadikan ia bubur lambok. Itulah yang aku akan lakukan ke atas rumahtangga kami. Cuma sesekali aku akan rasa sedikit sunyi dan terkilan dengan apa yang aku alami kini. Dulu aku sentiasa menegaskan bahawa wanita takkan mampu hidup tanpa lelaki. Secara amnya, wanita memerlukan kehadiran lelaki untuk bergantung tak kiralah lelaki itu ayah,abang,adik atau lebih utamanya suami. Dan tika ini apa yang aku katakan itu tak pernah jadi kenyataan ke atasku. Seperti janji abang dulu, abang sememangnya tidak pernah bertanya tentang apa jua yang aku buat. Baik daripada soal kerja dan dengan siapa aku balik. Abang memberi kepercayaan penuh kepadaku. Atau mungkin dia sememangnya tidak mahu tahu langsung denagan apa yang aku buat. Tentang itu aku tak pasti kerana riak dan prilaku abang tak pernah menunjukkan apa- apa makna. Aku cukup sukar untuk mentafsir apa yang abang buat sehingga ada kalanya aku tak dapat menangkap maksud di sebalik kata-katanya yang lembut dan berkias."Ina dah minum ? " pernah suatu ketika abang bertanya kepadaku yang leka menonton berita. "Dah. Petang tadi." Aku menjawab ringkas."Malam nie tak minum lagi ke? " Aku hairan dengan pertanyaan abang. "Tak pelah, saya tanya saja" Abang berlalu. Sedar tak sedar bila abang duduk kembali di sebelahku. Segelas susu berada dalam genggamannya. Barulah aku sedar kenapa abang tanya aku dah minum atau belum. Saat itu tak terkeluar langsung kata-kata maaf dariku untuk abang. Abang pula tak langsung menunjukkan reaksi marah. Pelik juga bila aku fikirkan balik dengan apa yang kami lakukan. Seakan tiada hubungan langsung antara kami. Sebagai suami isteri sememangnya jauh sekali terutama bila abang mengambil keputusan untuk tidak menyentuhku sejak hari perkahwinan kami. Kalau nak dikatakan hubungan kawan tak juga kerana abang tak mahu tahu langsung apa yang aku lakukan dan apa yang berlaku ke atasku. Sebagai musuh tentu sekali tidak kerana kami tak pernah bertengkar. Rumit untuk aku menerangkan segalanya. Yang pastinya aku suka tengok wajah abang. Bila aku tertekan dengan kerja di pejabat, beban itu akan hilang bila aku lihat wajah abang. Lebih gembira lagi kalau abang sudi berbual dengan aku. Rasa cukup bertuah jika abang mahu menegur aku. Paling tidak pun dia hanya tersenyum sedikit sebelum masuk ke dalam bilik bacaannya.

Kerana mempertahankan apa yang abang pernah katakan dulu, aku sememangnya tak pernah mendapat bantuan dari abang. "Hello, Abang yea ? Ina nie.." "Kenapa telefon malam-malam nie ?" "Ina kat Estin Hotel nie. Tadi ada dinner. Sorry sebab tak beritahu abang dulu. Ina nak minta tolong abang sikit boleh tak ? ""Kalau nak minta saya jemput Ina, sorrylah coz saya malas nak keluar. Ina naik teksi sajalah. Kalau tak dapat teksi tidur aje kat hotel tue." Tuttttttttt...... abang meletakkan ganggang telefon tanpa sempat aku berkata sepatah pun. Mudahnya abang membuat kata putus. Tak pernah langsung abang memikirkan soal keselamatan aku. Aku termanggu sendirian memikirkan tindakan abang. Mujur malam itu banyak teksi membuatkan penantianku tidak lama. Sesampainya di rumah, abang masih leka menonton tv. "Saya tak jemput pun, Ina sampai juga kan. Lain kali janganlah minta tolong dari saya sebab Ina pun masih ingat dengan apa yang saya katakan dulukan ? " Aku hanya terdiam. Kenapalah abang buat semua nie. Adakalanya perlakuan abang benar-benar menghiris hatiku. Mujurlah hatiku senang dipujuk. Aku belajar sesuatu tentang abang. Abang tetap pada pegangan dan pendirian dia. Kerana abang aku belajar untuk berdiri di atas khaki sendiri. Aku tak boleh mengharapkan abang kerana abang takkan membantuku. Sejak kejadian itu aku lebih banyak membuat keputusan sendiri. Namun tanggungjawab aku pada abang sebagai isteri tak pernah kuabaikan. Aku tetap memberitahu abang walau ke mana dan apa jua aktivitiku. Dan abang pastinya tak pernah menghalang. Sebelah malam sebolehnya aku berada di rumah lebih dulu dari abang. Sejak kejadian abang meminta air dengan kata- kata kiasan, aku faham sendiri dengan kehendak abang. Segelas susu pasti menjadi minuman wajib sebelum abang masuk tidur. Dan abang tak keberatan minum air susu hasil tanganku. Diariku yang penuh dengan catatan dan luahan hati kututup. Banyak kisah menarik dan suka duka hidupku yang tercatat di dalamnya. Sejak dulu lagi aku dah menyimpannya. Mungkin telah hampir lima tahun usianya. Maklumlah sejak aku menjejakkan kaki ke universiti, memulakan pekerjaan dan kini telah berumah tanggga pula. Laci tempat kusimpan diari segera kukunci bila aku terdengar hon kereta dibunyikan. "Awal abang balik hari ini ?" Aku menghulurkan gelas susu pada abang. "Saya pening kepala sejak kebelakangan ini. Banyak betul problem di pejabat." Abang menarik nafas panjang sebelum meneguk minuman kegemarannya. Aku hanya terdiam bukan kerana tidak

mendengar keluhan abang cuma aku tak tahu apa yang nak aku katakan. "Ceritalah pada Ina kalau abang rasa ia boleh meringankan beban abang." akhirnya aku bersuara setelah kami sama-sama diam. "Takpelah...kalau saya cerita pun bukannya Ina faham." Abang terus berlalu ke bilik tidurnya. Aku hanya mampu menggeleng kepala melihat tindakan abang. "Kenapa susah sangat abang nak mempercayai Ina ? " keluhan aku hanya berlegar di dalam hati. Sejurus selepas itu aku ke bilik bacaan abang. Melihat keadaan berserabut di sana sini, aku tergerak untuk membersihkannya tambahan pula mata aku tak mengantuk . Sedikit demi sedikit buku-buku yang berselerakan itu aku susun kembali ke tempatnya. Malam berlalu dengan pantas sehingga aku tak sedar waktu tidurku sudah terlepas. Hanya tinggal beberapa buah buku terakhir, tiba-tiba aku terpandang sekeping gambar yang terjatuh dari salah satu buku tadi. Terpamer gambar seorang wanita yang cantik dan ayu. Aku sendiri terpegun melihat kecantikannya. "Mungkinkah..?" aku tak mahu menjawab sendiri soalan hatiku. Buku terakhir kuletakkan di tempatnya. Dan gambar wanita masih berada di tanganku. Aku terus meninggalkan bilik bacaan dan bergerak ke bilik tidur selepas itu. Melihat pintu bilik abang tidak rapat aku menjenguk ke dalam. Bayang abang tak ada di atas katil. "Mungkin abang ke tandas agaknya."Aku membuat telahan sendiri. Melihat jam di dinding, aku sedikit terkejut kerana jarum pendeknya hampir sampai ke angka 4. Belumpun sampai ke bilikku, terdengar pula bunyi sesuatu di dapur. Kerana ingin tahu, aku melencong ke dapur pula. Rupanya abang sibuk mengacau air. "Abang tak tidur lagi..?" PRRAAANNGG... bunyi gelas pecah bergema."Allahuakbar...terkejut saya." Abang mengeluh panjang melihat serpihan kaca dan air berselerak di lantai. "Maafkan Ina abang. Ina tak bermaksud nak buat abang terkejut." Abang masih berada di tempatnya. Abang tak boleh bergerak kerana terlalu banyak serpihan kaca di kakinya. Dan aku bertindak pantas memungut semua serpihan tadi. Abang tunduk membantu sama. "Ina pun tak tidur lagi, kenapa?" Abang memandang aku. "Ina baru siap kemaskan bilik bacaan abang." Abang diam dan aku gembira kerana abang tak marah. Walaupun sebenarnya aku mengemas bilik dia tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu . Bersih segalanya aku terus bersuara." Abang duduklah dulu. Biar Ina buatkan air." Abang akur.Entah kenapa malam itu kami sama-sama tak mengantuk. Minum bersama abang, aku mengambil kesempatan bertanya tentang gambar yang aku jumpa tadi. Abang tak memberi apa-apa reaksi.

Walaupun abang tak memberi sebarang pendapat berkenaan wanita itu, aku pasti ada suatu hubungan antara abang dan dia. "Abang tak nak cerita pasal dia pada Ina?""Untuk buat Ina cemburu ? Untuk tambah beban dalam kepala saya ? ""Bukan macam tue maksud Ina. Kalau betul abang sukakan dia, apa salahnya." Abang memandangku dengan penuh kehairanan. Mungkin abang tak faham maksudku. "Beban abang bertambah kerana tak dapat memiliki dia kan..? kerana adanya Ina sebagai penghalang. Betul tak..? " Abang tetap diam. Aku pasti abang mengiakan kata-kataku di dalam hatinya cuma abang tak sampai hati nak berterus terang. "Dah 6 bulan kita kahwin. Ina tak punya kesempatan untuk berbual dengan abang. Tapi malam nie Ina harap dapat luahkan apa yang terbuku di hati Ina selama nie." aku pandang wajah abang. Mungkin ada reaksi darinya yang tidak membenarkan aku terus berbicara. Tapi ternyata tiada." Ina tahu perkahwinan kita tak pernah mendapat persetujuan dari abang. Abang sendiri kata yang abang tak boleh terima kehadiran Ina. Itu semua Ina terima dengan redha dan harapan Ina satu hari nanti abang terima juga diri Ina. Tapi setelah 6 bulan berlalu, Ina rasa apa yang kita lakukan sekarang nie benar-benar tak adil. Tak ada seorang pun di antara kita yang bahagia. Ina rasa perkahwinan kita tak memberi apa-apa makna langsung.""So, Ina nak abang putuskannya..?" Aku sedikit terkejut. Tak terlintas langsung di fikiranku untuk meminta cerai. "Bukan itu maksud Ina." Diam sekeitika aku mencari idea terbaik untuk mengeluarkan pendapat. "Terus terang Ina katakan yang Ina sayangkan abang. Ina tak pernah marah dengan apa yang abang buat pada Ina selama nie. Ina cuma nak abang bahagia. Kalau perkahwinan kita tak boleh bahagiakan hidup abang, kenapa abang tak cari calon lain untuk menggantikan tempat Ina..? " Serentak aku tunjukkan gambar yang tadinya berada di tangan abang. "Dia boleh bahagiakan abang kan..? " Abang hanya merenung gambar di tanganku. "Abang berkemampuan dari segi zahir dan batin untuk memiliki lebih dari seorang isteri. Kenapa abang tak mempergunakannya.?" Abang memandangku dengan wajah yang cukup sukar untuk kutafsirkan. Mungkin abang sedang memikirkan kata-kataku. "Ina sedih tengok abang tanggung beban masalah seorang diri. Tak kiralah masalah kerja atau apa pun. Sepatutnya kita kongsi masalah tue. Tapi Ina faham keadaan abang yang tak mempercayai Ina. Kalau ada orang lain tentu abang dapat ringankan masalah tue. Ina cuma nak tengok abang jadi suami yang penyayang dan bahagia walaupun bukan untuk Ina." Abang tetap diam. Air yang kutuang

ke gelas abang dah habis diteguknya. "Tanggungjawab abang untuk ambil Ina sebagai isteri sebagaimana janji abang pada ibu dan ayah dah abang laksanakan. Ina tak rasa mereka akan menghalang. Kalau yea pun Ina akan bantu abang yakinkan mereka." Aku tunduk seketika. "Ina tetap sayangkan abang dan Ina sentiasa doakan kebahagiaan buat abang." Aku dah kehabisan kata-kata tapi abang tetap seperti tadi. Wajah abang tenang seolaholah aku tak pernah berbicara apapun padanya."Dah habis cakap..?" Abang diam semula. "Saya nak tanya Ina satu perkara. Atas alasan apa Ina suruh saya kahwin lagi satu..?" Abang menanti jawapanku. "Sebab Ina nak abang bahagia. Ina nak abang melalui kehidapan yang normal seperti pasangan suami isteri lain. Bukan macam kita sekarang nie.Kalau ada orang bertanya, Ina sendiri tak boleh beri jawapan yang kita suami isteri yang bahagia atau tak." " Ina pasti, saya akan bahagia jika saya kahwin dengan dia..? " satu persoalan yang agak sukar untuk aku menjawabnya. "Ina tak tahu kan ?" Aku hanya mampu menundukkan kepala. " Kalau saya kahwin dengan dia dan tak bahagia, apa yang akan Ina buat..? Ina arahkan saya supaya menceraikannya pula kan..? juga atas alasan, Ina tak mahu lihat saya menderita." Ada betulnya apa yang abang katakan. "Mana Ina tahu yang saya tak bahagia dengan kehidupan sekarang ? Saya orang yang paling bertuah dalam dunia kerana walaupun dah berkahwin tapi tak terikat langsung dengan tanggungjawab menjaga isteri.Ina boleh jaga diri sendiri malah ada pendapatan sendiri yang mana saya tak perlu bahagikan pendapatan saya pada Ina." Aku terkilan mendengar penjelasan abang. Aku adalah tanggungjawab abang tapi kenapa aku disisihkan dari hidup dia. Aku menarik nafas panjang. Agak sukar untuk berbincang dengan abang. Dia sentiasa mempunyai pendapat yang tak kujangka. Aku mengalah akhirnya. "Buatlah apa yang abang rasa betul. Cuma Ina nak ingatkan abang bahawa Ina tetap isteri abang yang sah dan Ina masih berada di bawah tanggungjawab abang. Itupun kalau abang masih ingat dengan lafaz ijab yang abang buat 6 bulan lalu." Aku berlalu ke bilik tidur. Fikiran aku benar-benar berserabut. Keletihan kerana tak tidur semalaman membuatkan aku mengambil keputusan bercuti separuh hari. Pulang ke rumah, fikiran aku masih bercelaru. "Kenapalah aku berborak dengan abang semalam. Kalau tak pastinya rasa sedih nie tak hadir dalam diri." Aku

habiskan masa dengan tidur sepanjang petang itu. Sehinggalah pintu bilikku diketuk. Waktu itu hampir jam 8.00 malam. "Ya Allah,aku terlepas asar." aku bangkit dalam kelam kabut. Abang hanya memerhatikan gelagat aku yang langsung tak menghiraukannya. Selesai solat maghrib dan qada’ solat asar, aku mencari kelibat abang. "Abang dah minum susu ?" Aku teringat tanggungjawab yng tak dapat aku lakukan seperti kebiasaan sebaik abang pulang."Ina dah makan ?" Belumpun soalan aku terjawab, abang pula menyoalku. "Belum lagi. Tadi Ina tertidur. Tak sempat nak masak." "Dah sembahyang ?" Aku hanya menggangguk "Pergi bersiap. Kita makan kat luar." Aku sedikit terkejut. Jarang sekali dapat makan bersama dengan abang tapi hari ini dia pula yang mengajak aku makan di luar. "Tak nak pergi ke ?" Aku tersedar dari lamunan. "Nak, nak. Ina pergi bersiap sekejap." Abang memilik Restoran Al-Mubarak sebagai destinasinya. Tanpa bertanya kepadaku, abang memesan nasi beriani,tomyam dan ikan bakar. Agak banyak bagiku tapi tak pula aku membantah. "Siang tadi cuti ke ?" Aku hanya mengangguk walaupun aku kurang pasti bagaimana abang mengetahuinya. "Banyak lagi cuti ?" Keluar lagi soalan dari abang. "Ada 20 hari lagi" "Banyaknya. Setahun dapat cuti berapa hari ?" "Ina carry dari tahun lepas. Kalau ikutkan Ina punya cuti tahunan cuma 25 hari saja" Abang mengangguk."Banyak kerja sekarang nie..? " Aku tetap berselera walaupun abang banyak bertanya. "Bukan selalu dapat makan sedap. Dengan abang pulak tue." "Ina banyak kerja ker ?" Abang mengulangi soalannya. "Emmm.... adalah jugak. Kerja memang tak pernah tak ada. Sistem nie belum siap dah dapat request untuk buat sistem lain pulak. Tapi sejak launch satu sistem pada user, kerja Ina dah tak berat sangat." baru aku sedar yang abang bertanya soal kerja dengan aku. Kelainan kedua yang abang buat setelah mengajak aku makan di luar. "Kalau saya minta sesuatu boleh tak ?" aku mengerutkan dahi . Sebelum ini tak pernah abang minta apa-apa dari aku tapi hari nie... pelik betul. Apa agaknya yang abang perlukan dari aku. "Temankan saya ke Switzealand minggu depan" Abang memandangku. Pastinya menanti jawapan dariku. "Berapa lama ?" "Dua minggu. Saya tak nak ibu dan ayah suspect sesuatu bila tengok Ina tinggal sorang kat rumah." "Abang tetap nak lindungi penbuatan abang pada Ina daripada pengetahuan mereka." bisik hatiku sendirian. "Ina nak ikut tak ?" "Kalaulah abang ajak Ina untuk bercuti alangkah bagusnya

tapi niat abang saja dah lain. Apa yang Ina akan buat kat sana ? Duduk saja di hotel selama dua minggu ? Apapun Ina tetap isteri abang. sebolehnya Ina takkan membantah permintaan abang biarpun Ina terpaksa makan hati dengan perbuatan abang " "Ada masalah ke ?" "Emmm...Ina takde passport antarabangsa." "Itu masalah remeh. Masalahnya Ina nak temankan saya atau tak ?" aku menggangguk perlahan "Saya tak dengar pun kata-kata setuju dari Ina." "Abang tak perlu minta persetujuan Ina. Arahkan saja dan Ina tetap kena ikut abang." "Bunyi macam tak ikhlas saja." Abang menduga keputusanku. "Ina ikhlas temankan abang. Dan Ina gembira kerana abang masih hargai kehadiran Ina. Selagi Ina mampu insyaAllah Ina akan tetap turuti apa saja permintaan abang." Aku tiba-tiba tunduk kalah dengan renungan mata abang. "Saya takkan memaksa jika Ina katakan tidak. You just say NO. Saya tak suka bawa Ina, kalau hati Ina tak ada langsung bersama saya." "Ina bukan tak nak ikut. Abang sentiasa ada di hati Ina. Cuma niat abang yang mengecewakan Ina. Orang lain seronok ke luar negara bersama suami coz diorang akan habiskan masa bersama. Diorang holiday untuk release tension tapi Ina ikut abang kerana takut dengan ibu dan ayah. Akhirnya Ina jadi tunggul kayu kat sana. Macam apa yang abang buat pada Ina kat rumah, macam tue jugak abang akan buat kat sana nanti. Terus terang Ina katakan, Ina anak orang kampung yang tak kenal dunia luar. Apa akan jadi kalau abang tinggalkan Ina seorang diri kat sana ? Itu yang Ina takutkan." Terdiam abang mendengar penjelasan aku. Sejak semalam aku rasa aku semakin sensitif dengan apa yang abang lakukan ke atasku. Dan aku juga semakin lantang mengeluarkan rasa tak puas hati. Mungkin kerana abang yang semakin lembut berbanding di awal perkahwinan kami. Aku kehilangan selera untuk menghabiskan makanan di pinggan. Abang pula hanya merenung tingkahku. "Ina nak balik." Aku terus tinggalkan abang sendirian. Tak tahulah kenapa aku marah sangat. Malam itu aku tak pulang ke rumah sebaliknya terus ke rumah Uda. "Kenapa datang sorang ?" itu pertanyaan pertama keluar dari mulut uda. "Abang outstations uda. Boring duduk rumah, tue yang Ina datang sini. Lagipun dah lama tak jumpa bebudak nie." Aku memang rapat dengan anak -anak uda terutama along. Along membesar depan mata aku. Biarlah aku beri kasih sayang aku pada anak buah. Nak mengimpikan anak sendiri ternyata suatu anganan yang jauh dari kenyataan. Selama seminggu aku di rumah uda.

Aku tak hubungi abang langsung dan pastinya abang tak mencariku. Aku tahu apa yang aku buat salah tapi hati aku masih marah. Uda tak syak langsung tentang pergaduhan aku dengan abang. Selepas seminggu aku masih berat hati untuk pulang ke rumah tetapi takut uda mengetahui hal sebenar akhirnya aku pulang juga. Sebaik sampai di depan rumah aku dapati kereta abang berada di halaman . "Awalnya abang balik hari nie." khaki aku semakin berat untuk melangkah masuk. Bimbang juga rasa hati memikirkan reaksi abang. Sebaik pintu kubuka, pandanganku tertumpu pada dua buah beg besar yang diletak ditengah ruang tamu. Hati aku mula berdebar." Adakah abang ingin menghalau aku sebagai hukuman atas apa yang aku dah buat." Abang muncul dari biliknya dan sedikit terkejut melihat kelibatku. Aku ingin bertanya tentang beg yang kulihat tetapi tiada suara yang keluar. Abang pula hanya diam setelah melabuhkan diri ke sofa. "Kenapa balik ? " Aku terkedu mendengar soalan abang. "Saya dah siap kemaskan dua beg tue. Ingatkan nak tolong hantar kat rumah baru Ina sekali. " Abang bersuara dengan wajah bersahaja. "Sejak bila pulak Ina ada rumah lain selain rumah nie ?" "Dah seminggu tak balik rumah, mana lagi Ina duduk kalau bukan kat rumah lelaki lain. " " Aik.. nampaknya macam abang ambil tahu pasal hal Ina nie. Suka hati Ina lah nak balik rumah atau tak. Abang kan tak kisah dengan apa yang Ina buat.. Ini baru tak balik rumah, kalau Ina bawa lelaki lain masuk rumah nie pun rasanya abang tak kisah kan." "Ina! Ina dah melampau sekarang nie. Jangan ingat saya diam, Ina boleh buat sesuka hati Ina." "Selama nie, itulah yang Ina belajar dari abang. Ina buat semua benda, abang tak kisah pun pasal Ina. Kenapa pulak sekarang abang nak marah. Bukan ke lebih baik kalau abang diam macam dulu juga." Mungkin kerana hati aku masih marah aku membalas balik setiap apa yang abang katakan. Aku tak mahu kalah dengan abang kali ini. "Saya takkan diamkan diri kalau Ina cuba jatuhkan maruah saya." Abang mula menunjukkan kemarahan. "Maruah apa pulak nie. Abang dan Ina kan tak de apa-apa hubungan. So apa juga yang Ina buat tak de kaitan dengan abang. Apa yang abang nak takutkan? Abang dengan cara abang, Ina dengan cara Ina." Kata-kataku begitu sinis. Aku sendiri tak tahu bagaimana ia boleh keluar dari mulutku. "Apa maksud Ina sebenarnya? " Abang mengerutkan dahinya. Aku mula menyedari yang diri ini terlalu mengikut perasaan sehingga sanggup mengatakan sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu. Abang memandang tetap ke arahku .

Bergerak merapati aku, abang semakin tajam merenung. Aku sedikit gerun dan perasaan tidak mahu kalah dengan abang hilang entah ke mana. "Lebih baik Ina terus terang dengan saya, dengan lelaki mana Ina dah buat hah? Cakap!" abang mula menengking. Lidah aku kelu untuk berkata. Tak sangka abang yang selama nie lembut suara dan katakatanya menjadi bengis tiba-tiba. Aku berundur selangkah dua untuk menjauhi abang. Tetapi abang yang dah dikuasai perasaan marah seperti tidak mahu melepaskan aku. "Selama nie saya tak pernah sentuh Ina. Jangan biarkan saya sentuh Ina dengan cara yang paling kasar kali nie." Abang begitu hampir denganku dan aku tak berani lagi bertentang mata dengannya. Apa pun aku masih tiada kekuatan untuk memberitahu hal sebenar. "Ina nak cakap atau tak nak ? " Abang mengetap bibir menahan kemarahan yang meluap-luap terutama setelah melihat aku masih berdiam diri. "Ina..Ina..." aku sedikit gagap. "Ina apa????" aku tersentak . Kerana terlalu marah abang mencapai bingkai gambar di sebelahnya serentak memukul kepalaku. Pandanganku berpinar seketika. Aku terduduk di lantai lantas tangan memegang kepala yang berdenyut. Terasa cecair panas mengalir di celah jariku. "Ya Allah! Apa yang aku dah buat." abang turut terkejut melihat darah pekat membasahi tanganku. Aku masih terasa melayang. Seakan mahu gelap pandanganku tapi aku kuatkan diri untuk tidak pengsan. Abang cepat-cepat keluarkan sapu tangannya. "Ahhh...." Aku mengaduh menahan sakit. Dengan tangan mengeletar, abang mengikat kepalaku dengan sapu tangannya bagi memberhentikan pendarahan. Sejurus selepas itu abang membantuku duduk di sofa. Abang memandangku sayu. Mungkin abang kesal dengan tindakannya. "Abang percaya ke Ina ada lelaki lain selain abang? " aku bersuara sebaik melihat abang ingin beredar dari sisiku. Abang berpaling semula ke arahku. Lama kami bertentang mata. Entah kenapa aku rasa sedih dengan apa yang telah berlaku antara kami. "Ina bersalah sebab keluar rumah tanpa minta izin daripada abang. Ina terlalu ikutkan perasaan masa tue." Aku pegang tangan abang . "Abang.." Tangan abang yang hangat kukucup. Aku cuba menahan sebak . "Tolong maafkan kesilapan yang dah Ina buat." Tanpa kusedari jatuh juga airmata yang cuba kubendung. Mata abang juga berkaca . Abang menggelengkan kepalanya. "Bukan Ina yang bersalah. Abang yang banyak sis-siakan hidup Ina." Airmataku yang mengalir abang seka dengan lembut. Serentak dahiku abang kucup. "Jangan tinggalkan abang lagi."

abang bersuara sebaik aku berada dalam dakapannya. Aku hanya mampu mengangguk sementara airmata terus mengalir. Mungkin airmata gembira. TAMAT

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful