You are on page 1of 1

2.

0 CIRI-CIRI TAMADUN Usaha manusia untuk menyesuaikan kehidupan mereka dengan alam sekeliling telah menjadikan manusia lebih kreatif dan inovatif. Kreativiti dan inovasi manusia bergantung kepada pencapaian pemikiran dan kekuatan rohaniah mereka. Oleh itu, proses pembentukan tamadun merupakan manifestasi kepada pencapaian manusia dalam kedua-dua aspek ini. Kewujudan petempatan kekal merupakan salah satu ciri utama kemunculan tamadun. Kehidupan secara menetap membawa kepada corak hidup yang lebih sistematik. Peningkatan jumlah penduduk membawa kepada sebuah kehidupan berorganisasi yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik. Kehidupan secara berorganisasi ini mampu mengatur cara hidup manusia untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran kehidupan mereka. Bagi mengendalikan masyarakat yang lebih besar, sistem pemerintahan mula dibentuk untuk menjalankan pentadbiran. Kewujudan sistem pemerintahan membawa kepada kelahiran sistem perundangan yang menjadi panduan kepada masyarakat demi menjaga keamanan dan kemakmuran sesebuah tamadun. Pembentukan organisasi sosial dan politik membawa kepada pengkhususan pekerjaan dalam tamadun awal. Peningkatan dalam produktiviti manusia menyebabkan pengkhususan pekerjaan menjadi lebih penting. Agama dan kepercayaan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan tamadun. Ini adalah kerana kedua-duanya amat berkait dengan pengiktirafan terhadap golongan pemerintah, pembahagian sosial masyarakat, perkembangan ilmu

pengetahuan, kesenian dan pembinaan dalam proses pembentukan tamadun awal.