Tempat dan bangunan bersejarah Bangunan-bangunan dan tempat-tempat bersejarah merupakan

peninggalan zaman dahulu. Jika dilihat dengan teliti bangunan-bangunan ini mempunyai nilai budaya dan kesenian yang tersendiri. Hal ini kerana, kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya. Bangunan bersejarah ini juga mencirikan identiti negara dan merakam sejarah penting negara. Tidak dapat dinafikan, warisan Negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah tempat dan bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero Negara. Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan dan tempat bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam. Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah. Pemuliharaan dan penjagaan bangunan-bangunan dan tempat-tempat bersejarah dapat memberikan banyak kepentingan kepada Negara kita.

Kepentingan bangunan dan tempat bersejarah kepada Negara kita adalah menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan Negara kita. Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong. Masyarakat asing sememangnya gemar melihat kesan-kesan sejarah sebegini. Bangunan ini juga tidak memerlukan kos yang tinggi kerana tidak perlu dibina tetapi hanya dikekalkan sahaja kerana sudah lama dibina oleh penjajah atau penduduk di negara ini. Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 apabila melihat

Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Satu daripada kepentingan bangunan atau tempat bersejarah kepada negara ialah temapat dan bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18.

Seterusnya, kepentingan bangunan atau tempat bersejarah di Negara kita ialah dapat memberikan teladan dan ikhtibar kepada masyarakat. Teladan dan ikhtibar ini dapat diberikan khususnya kepada remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin nipis. Walaupun ada di antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan sama yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dapat dijadikan teladan manakala yang buruk dapat dijadikan sempadan.

Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan juga, bangunan dan tempat bersejarah dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat

pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifakartifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Lantaran itu, peluang kerja kepada masyarakat setempat turut berupaya diwujudkan akibat kehadiran pelancong ini. Bukan sahaja kerja yang berkait terus dengan industri ini seperti pemandu bas pelancong tetapi juga kerja sampingan seperti kedai makan, hotel dan pengangkutan awam serta kedai kraf tangan akan menerima tempias kedatangan pelancong asing ini. Di samping menyumbang melalui pelancongan, ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi Negara kita melalui pertukaran wang asing ketika urusan jual beli. Malah masyarakat di negara ini tidak akan berasa bimbang sekiranya kehilangan kerja kerana mereka mudah untuk memperoleh kerja yang lain pula. Oleh itu, pengekalan bangunan bersejarah mampu memastikan semua penduduk di negara ini memiliki pekerjaan.

Di samping itu, bangunan dan tempat bersejarah serta monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan

memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monument sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.

Kepentingan yang diperolehi seterusnya ialah bangunan-bangunan dan tempat-tempat bersejarah sememangnya mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah. Misalnya, pembinaan kota A Famosa (bermaksud “Yang Termasyhur” dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik. Bangunan atau rumah pada masa dahulu mempunyai seni bina yang halus dan berbentuk budaya bangsa. Contohnya, ukiran pada dinding kayu mempunyai tradisi yang unik. Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara. Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat „tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas‟ seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya. Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.

Melalui tempat dan bangunan bersejarah ini juga, kita dapat mendalami dan mempelajari sejarah Negara kita. Melalui cara ini, kita akan lebih mendalami fakta sejarah jika kita dapat melihat kesan peninggalannya sendiri. Dengan itu, para pelajar akan lebih berminat akan sejarah Negara kita sendiri. Kerajaan haruslah mewujudkan matapelajaran sejarah di seluruh sekolah di Malaysia sama ada di sekolah menengah mahupun di skolah rendah. Lawatan ke tempat-tempat bersejarah merupakan antara cara pembelajaran yang berkesan. Sebagai contoh, setiap Persatuan Sejarah di sekolah perlulah mengadakan lawatan ke A Famosa, Bangunan Sultan Abdul Samad atau tempat bersejarah lain bagi mengingatkan kita dan memberi kita peluang untuk menghayati sejarah Negara kita dengan baik. Tegasnya, janganlah kita mengulangi peristiwa hitam yang pernah berlaku di Negara ini.

Di samping itu juga, bangunan dan tempat bersejarah juga penting dalam industri perfileman. Hal ini kerana, sesebuah filembanyak bergantung pada latar tempatnya. Jika membuat filem yang bertemakan peristiwa bersejarah maka bangunan bersejarah perlu digunakan. Contohnya, filem Police Story III lakonan Jacky Chan di Kuala Lumpur yang berlatarbelakangkan bangunan Mahkamah Persekutuan dan Stesen Kereta Api. Jelaslah bahawa terdapat syarikat perfileman Negara asing yang menjalankan pengambaraan di Malaysia. Hal ini menjadikan Malaysia terkenal dan berdiri gah di persada dunia.

Bangunan dan tempat bersejarah juga mempunyai nilai-nilai seni dan nilai-nilai estetika yang tinggi. Jika dilihat dengan teliti, bangunan dan tempat bersejarah juga mempunyai seni bina yang halus yang bercorakkan budaya bangsa. Kita dapat menghayati kehalusan dan kreativiti seni bina bangsa kita pada zaman silam. Kita dapat menghayati keindahan dan keistemewaan budaya kita. Sebagai contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah Melayu tradisional, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penjajah yang telah menjajah di sesuatu negeri tersebut. Misalnya Istana Seri Menanti dipengaruhi oleh pengaruh Minangkabau. Jika bangunan ini tidak dijaga dengan baik maka nilai seni dan estetika akan hilang dan sukar lagi untuk kita melihat hasil seni masyarakat terdahulu kerana masyarakat pada zaman moden ini akan lebih berminat untuk mendirikan rumah dengan gaya dan bentuk yang moden.

Akhir sekali, penjagaan dan pemeliharaan bangunan dan tempat bersejarah juga dapat meningkatkan imej Negara. Imej Negara akan terus

tersohor pada mata masyarakat dunia kerana memiliki sikap menghargai peninggalan sejarah. Hal ini kerana masyarakat yang menjaga bangunan bersejarah akan dianggap bangsa yang menghargai budaya dan sumbangan pemimpin lamanya. Sikap ini sudah pasti akan menimbulkan satu kesan positif dalam setiap pandangan masyarakat terhadap Negara kita. Jadi, kita bukan sahaja menerima kesan ekonomi tetapi imej sebagai bangsa yang menghargai budaya turut diketahui umum.

Secara tuntasnya, bangunan dan tempat bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda Negara terutamanya kea rah penghayatan warisan dan khazanah Negara. Bangunan, tempat dan monumen yang bersejarah merupakan asset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdaptnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah Negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitive terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan dan tempat bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang oerlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful