Mantera Perubatan Melayu : Sebuah Tafsiran Hadith dan Al-Quran Muhammad Jailani Abu Talib Yang Dipertua Persatuan

Bahasa Melayu Universiti Malaya Pengenalan Sistem psikologi, kepercayaan serta kosmologi orang Melayu berlegar antara dua perkara yang kompleks dengan sejarah perkembangannya yang tersendiri. Biarpun di satu sudut, Islam telah banyak mempengaruhi gaya hidup dan budaya masyarakat Melayu, perkara tersebut masih belum berupaya untuk membasmi sistem kepercayaan Melayu yang sedia ada. Secara umumnya, masyarakat Melayu telah melalui beberapa fasa perubahan dalam sistem kepercayaannya. Antaranya, masyarakat Melayu telah menganuti kepercayaan animisme, Buddha, Hindu dan Islam. Kendatipun begitu, antara keempatempat kepercayaan yang telah disebutkan, Islam merupakan agama yang telah memberikan kesan dan impak yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Melayu. Dalam erti kata yang lain, Islam merupakan kepercayaan yang dominan dalam dasar psikologi orang Melayu. Perihal tersebut dapat diperhatikan pada segenap aktiviti orang Melayu. Antaranya termasuklah kepercayaan orang Melayu terhadap keupayaan mantera, serapah, jampi dan sebagainya sebagai pengganti ucapan-ucapan yang terdapat dalam Al-Quran ataupun ucapan sampingan bagi bacaan doadoa daripada kitab suci tersebut. Walau bagaimanapun, persoalan yang hadir dalam perbincangan mengenai mantera Melayu ialah adakah kaedah tersebut diterima menurut pandangan Islam? Mantera Mantera lazimnya dapat ditafsirkan sebagai gubahan kata yang sifatnya bercirikan doa yang ditujukan kepada sebuah makhluk yang tidak dapat ditakluki ataupun dilihat secara mata kasar. Dalam erti kata yang lain, mantera merupakan sebuah kod yang menjadi simbolik terhadap perbicaraan antara makhluk kasar sebagai pengamal mantera, iaitu manusia dan makhluk lembut sebagai penerima untaian doa tersebut, sama ada makhluk tersebut merupakan jinn, syaitan, tuhan, dewa dan sebagainya. Klasifikasi Mantera Mantera sebenarnya turut dapat dibahagikan kepada dua kategori utama sebagaimana yang diklasifikasikan pada ilmu sihir dan perubatan Melayu, iaitu ilmu putih dan ilmu hitam. Dalam hal yang sama, skop perbincangan mantera turut dapat diperincikan dengan membahagikan korpus kajian kepada dua kelompok utama, iaitu mantera putih dan mantera hitam. Untuk membahagikan mantera-mantera tersebut, dua landasan utama digunakan oleh pengkaji untuk membedakan antara kedua-dua aliran tersebut. Pengkaji turut menggunakan sistem yang digarispandukan oleh Abu Umar Abdillah (2006:24) dengan beberapa pindaan minimal. Mantera putih dapat diklasifikasikan sebagai mantera yang tujuan utamanya adalah untuk membantu orang lain demi mendatangkan kebaikin. Antara ciri-ciri mantera putih ialah untaian doa tersebut dapat digunakan untuk “menyembuhkan penyakit, mencarikan barang hilang, memberikan jimat penglarisan, atau memberikan kesaktiuan untuk ‘kebaikan’.” (2006:24) Sementara itu, mantera hitam dapat dirujuk sebagai doa-doa yang tujuan utamanya untuk mencelakai orang seperti apa yang dipraktikkan oleh golongan-golongan tertentu seperti dukun santet, dukun pellet, gendam atau dukun yang secara khususnya menggunakan kesaktian yang terdapat padanya untuk kejahatan lain. Pandangan Islam Terhadap Penggunaan Mantera

“Dan sesungguhnya, masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah.” (Al-Jinn, Ayat ke-18) Agama Islam tegas dalam pendapat bahawa tiada tuhan yang hadir selain Allah s.w.t serta tiada makhluk yang wajar disembah selainnya. Dalam hal ini, kecenderungan beberapa mantera untuk memasukkan elemen-elemen Islam ke dalam doa-doa yang berbentuk bukan Islam tidak seharusnya digalakkan. Perkara tersebut sekali gus merupakan sebuah amalan syirik sebagaimana yang dapat diperhatikan dalam mantera seterusnya : “Bismillahirahmannirahim. Niat ingsun mata aji, ajiku suket kalanjana. Aji…saka Sang Hyang Pramana. Byar pet, peteng dadi padhang. Padang terawangan…Sakabehing sifat katon sakung kersaning Allah.” (dlm. Abu Umar Abdillah, 2006:64) Dalam hal ini, mantera tersebut turut menyebut Sang Hyang Pramana di samping Allah s.w.t. Jelas daripada mantera tersebut bahawa ia sedang mencampurkan apa yang hak dan mutlak dengan yang bathil. Penggunaan mantera-mantera yang sebegitu sebenarnya adalah berdosa dari sudut Islam. Hal yang sama turut dapat diperhatikan pada mantera dan serapah tepung tawar berikut : " Bismillahirrahmanirrahim. Hai Jin Tanah Jembalang Bumi, Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi, putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga, tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku, dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah” Larangan Islam terhadap kaedah menggunakan khadam ataupun perantaraan jelas dapat diperhatikan dalam firman Allah : “Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Al-Jinn, Ayat ke-6) Namun begitu, tidak semua mantera yang terdapat dalam korpus kajian mempunyai ciri-ciri yang disebutkan di atas. Sebagai contoh : “Matahari empat, bulan lima Bintang tujuh ke mata aku Bintang berayun ke dagu aku Bulan purnama ke kening aku..” Cebisan daripada mantera sumbangan Senawi Ahmad (2004) digunakan sebagai mantera pengasih. Mantera tersebut menggunakan perwatakan alam semesta sebagai kiasan kepada anggota badan pengamal agar kelihatan cantik. Mantera tersebut seterusnya mengungkap: “Suara aku seperti rupa Nabi Daud rupa aku seperti rupa Nabi Yusuf cahaya aku seperti cahaya Muhammad berkat aku memakai pemanis dengan berkat Lailahaillallah” Mantera tersebut jelas mengambil contoh daripada kelebihan para Nabi sebagai kayu ukuran. Jelas dari senikata mantera tersebut bahawa ia menyuratkan harapan pengamal mantera tersebut bagi memperolehi perawakan alam semesta dan para Nabi melalui pembacaan serta penghayatan akan bacaan. Antara mantera yang turut diperbolehkan dan tidak melanggar syarak Islam adalah seperti berikut :

“bismillahirahman nirrahim dengan berkat izinmu mengalirlah kersani dalam tubuhku menjadi sasa si besi kuningan dengan urutan berkat doa la'illaha illaha muhammadur rasul allah”

Syarat Penggunaan Mantera Secara asasnya, kepercayaan terhadap Mantera ataupun puisi sihir telah hadir sebelum kemasukan Islam ke perairan Nusantara pada abad ke-15. Menurut tafsiran Worawit Baru@Haji Ahmad Idris (2005), mantera ialah “Bahasa magik yang digunakan untuk memuja roh atau semangat, untuk mengubati penyakit dan sebagainya. Kemudian kepercayaan ini diperkukuhkan pula oleh kosmologi panteistik pengaruh Hinduisme”. Mantera sebenarnya masih dapat digunakan sekiranya ia menepati tiga syarat utama, iaitu : Pertama, menggunakan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan as-Sunnah atau ruqyah dalam bahasa Arab yang diketahui maknanya tidak bertentangan dengan syarak. Kedua, boleh menggunakan bacaan selain daripada yang pertama, dengan apa jua bahasa, tetapi mestilah difahami maknanya dan tidak ada sebarang percanggahan dengan syarak. Ketiga, hendaklah yang merawat mengiktikadkan bahawa penyembuh sebenarnya adalah Allah s.w.t sahaja. Pengubat hanyalah berikhtiar. Pandangan segenap lapisan masyarakat bahawa mantera (yang menepati ketiga-tiga syarat yang ditetapkan) adalah bertentangan dengan ajaran Islam adalah salah. Hal tersebut dapat diperhatikan dalam firman Allah s.w.t : “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orangorang yang zalim melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra’, ayat ke-82) Mantera diperbolehkan dengan syarat pengamal mantera tersebut memahami inti mantera tersebut dan dapat memastikan bahawa doa yang digunakan tidak menduakan Allah s.w.t serta terpesong dari kiblat Islam. Apatah lagi, sebuah hadith sahih turut menyentuh tentang kehadiran jampi untuk menyembuhkan penyakit sebagaimana yang dapat diperhatikan seperti berikut : “ Wahai Muhammad, aku jampikan kamu, Allahlah yang akan menyembuhkan kamu. Semua penyakit yang kamu derita daripada kejahatan hasad manusia dan sihir manusia, Allah menyembuhkan kamu.” Jampi yang dibacakan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w sewaktu beliau dalam keadaan sakit seterusnya dikenali sebagai Ruqyah Jibril. Sebuah hadith daripada Aisha r.a turut menjelaskan, “Tidak ada seorang sahabat yang mengadu kepada Nabi kerana kesakitan melainkan Nabi menjampi mereka dengan beberapa jampi.” Amalan perubatan dengan menggunakan doa ataupun bacaan ayat sememangnya merupakan salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarak sebagai amalan mulia. Apatah lagi kalau kaedah yang digunakan bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Kesimpulan Pendekatan menggunakan mantera bagi mengubatkan seseorang tidak semestinya salah dari tuntutan agama Islam. Namun begitu, pengamal mantera bertanggungjawab atas mantera gunaannya dalam memastikan bahawa mantera tersebut tidak melanggar sebarang hukum syarak Islam, khususnya dalam kecenderungan mantera untuk meminta pertolongan daripada makhluk selain Allah s.w.t. Keupayaan dan keberkesanan mantera untuk mengubati sebarang penyakit hanya dapat mengambil tempat dengan izin Allah s.w.t. Pengguna harus menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang meminta pertolongan tersebut daripadaNya. Malahan, pengguna mantera turut bertanggungjawab untuk menggunakannya demi kebaikan masyarakat bersama seperti yang disabdakan rasul sewaktu beliau ditanyakan tentang ruqyah. Baginda bersabda, “barang siapa di antara kalian bisa memberikan manfaat untuk saudaranya, maka lakukanlah.” (Riwayat Muslim). Mantera diperbolehkan asal ia tidak mempunyai sebarang unsur syirik sebagaimana yang tertulis dalam Hadith Riwayat Muslim. Menurutnya, Nabi pernah bersabda, “Tidak mengapa melakukan ruqyah selagi tidak ada unsur syirik.” Rumusannya, mantera Melayu wajar diajarkan kepada generasi muda yang akan datang demi memartabatkan serta memastikan agar budaya tersebut tidak hilang dek zaman. Namun begitu, sesuai dengan ungkapan adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, masyarakat Melayu harus bijak untuk mengeluarkan unsur-unsur yang bercanggah dengan agama Islam dan membudayakan agama Islam ke dalam kehidupan seharian mereka.

Bibliografi Abu Umar Abdillah. 2006. Dukun Hitam Dukun Putih. Klaten : Wafa Press. Mohd. Taib Osman. 1989. Agama dan kepercayaan orang Melayu. In Masyarakat Melayu : Struktur, Organisasi dan Manifestasi (pp. 146-203). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. ________________. 1985. Islamization of the Malays : a transformation of culture. Singapore: Institute of South-east Asian Studies. Muhammad Ariff Ahmad. 1993. Bicara Tentang Adat dan Tradisi. Singapura: Pustaka Nasional. Muhammad Jailani Bin Abu Talib. 2009. Budaya Melayu dalam Era Sarwajagat. In A. G. Abdullah, Dewan Budaya, Februari. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Norazit Selat. (2000). Adat Melayu : Kesinambungan dan Perubahan. Dlm Abdul Latiff Abu Bakar, Adat Melayu Serumpun (ms. 87-98). Melaka: Perbadanan Muzium Melaka. Skeat, W. W. 1900. Malay Magic : Being an Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsula. London: Macmillain. Sweetenham, F. 1895. The Real Malay. London: The Ballantyne Press. Syed Alwi bin Sheikh Al-Hadi. 1960. Adat Resam Melayu dan Adat Istiadat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Syed Muhammad Naguib Al-Attas. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tjaroko HP Teguh Pranoto. 2007. Semar, Ajaran hidup, tuntutan luhur, piwulan agung. Indonesia : Kuntul Press. Worawit Baru@Haji Ahmad Idris. 2005. Pemikiran Melayu : Tradisi dan Kesinambungan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Yusmar Yusur. 2006. Melayu Juwita, Renjis Riau Sebingkai Perisa. Indonesia : Wedatama Widya Sastra.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful