You are on page 1of 58

BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 BAHAGIAN B (Karanan Respon Terbuka) Dimensi Diri Latihan 1: Seorang rakan anda telah

terlibat dengan gejala sosial yang serius sehingga rakan anda itu mengabaikan pelajaran. Huraikan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu rakan anda itu. Baru-baru ini, seorang rakan sekelas saya telah terlibat dengan gejala sosial yang serius. Rakan saya itu kerap memonteng kelas, terlibat dengan vandalisme dan sering tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya rakan saya ini seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun, guru-guru di sekolah berasa hairan kerana sejak akhir-akhir ini rakan saya itu sering mengabaikan pelajarannya. Sebagai seorang sahabat, saya bertanggungjawab untuk membantu rakan saya itu supaya dia insaf bak kata pepatah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Saya berharap, usaha-usaha yang saya lakukan itu akan menyedarkan rakan saya tentang tanggungjawabnya sebagai seorang remaja dan sebagai seorang pelajar. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu rakan saya itu? Usaha pertama yang saya lakukan untuk membantu rakan saya itu ialah saya akan menasihatinya supaya tidak menjerumuskan diri dalam kancah gejala sosial. Saya akan mengingatkan sahabat saya itu tentang akibat sekiranya rakan saya itu terlibat dengan gejala sosial. Saya akan menyedarkan rakan saya akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak agar tidak menghampakan harapan ibu bapanya. Rakan saya perlu sedar bahawa dia pernah mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pernah menerima anugerah pelajar terbaik PMR. Saya berharap nasihat-nasihat saya itu dapat menyedarkan rakan saya dan rakan saya akan berubah sikap serta insaf akan kesalahan yang dilakukan sebelum nasi menjadi bubur. Saya tidak mahu rakan saya berasa menyesal pada kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Selain itu, saya juga akan berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa rakan saya itu dan memberitahu mereka tentang pembabitan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berbuat demikian kerana kemungkinan ibu bapa rakan saya itu tidak tahu tentang penglibatan anak mereka dalam kegiatan yang tidak sihat di sekolah. Saya berharap, ibu bapa rakan saya itu dapat mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Besar kemungkinan, faktor kekurangan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa yang menyebabkan rakan saya terjebak dalam gejala sosial. Apabila ibu bapa rakan saya sudah mengetahui masalah anak mereka, saya berharap ibu bapa rakan saya dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang terhadap rakan saya itu. Ibu bapa rakan saya mungkin akan lebih bertanggungjawab dan mengadakan perbincangan dengan anaknya untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi. Jelasnya, tanggungjawab saya untuk memberitahu ibu bapa rakan saya itu diharapkan dapat membantu rakan saya untuk kembali ke pangkal jalan. Di samping itu, saya akan mengajak rakan saya untuk berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling. Saya akan memberitahu guru kaunseling tentang penglibatan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berharap guru kaunseling dapat membantu dan membimbing rakan saya dengan menasihatinya supaya berubah sikap. Sesi kaunseling ini amat penting kerana menerusi sesi kaunseling, diharapkan rakan saya itu akan sedar dan insaf tentang perbuatannya yang salah selama ini. Rakan saya juga dapat mengenali identiti diri dan bermotivasi untuk berubah apabila guru kaunseling memberi nasihat dan dorongan kepada rakan saya itu. Saya juga berharap, rakan saya dapat membina keyakinan diri dan menyedari betapa pentingnya pembinaan sahsiah diri dan akhlak

dalam kalangan remaja sebagai benteng supaya tidak mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Tegasnya, menerusi sesi kaunseling ini, rakan saya sebagai remaja dapat menginsafi dan menyedari peranannya sebagai remaja yang mewarisi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan. Hujatul Islam Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin mengatakan bahawa sekiranya kita ingin melihat masa depan remaja maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja, maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, jika buruk diri remaja maka buruklah masa depan negara. Seterusnya, saya juga akan mengajak rakan saya itu menyertai program-program yang berfaedah. Saya akan membawa rakan saya menghadiri majlis-majlis ilmu seperti program yang berunsurkan agama dan motivasi diri. Sebagai contoh, saya akan mengajak rakan saya menghadiri ceramah agama, Majlis Tazkirah, kelas mengaji al-Quran, Kem Bina Insan dan Kecemerlangan Diri. Menerusi majlis ilmu yang dihadiri itu, saya berharap rakan saya akan insaf dan lembut hatinya serta menyesal dengan apa yang pernah dilakukannya selama ini. Menerusi Kem Kecemerlangan Diri dan Bina Insan pula, rakan saya pasti membina keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk berubah terutamanya dalam proses pembentukan minda dan akhlak. Hasil daripada pergaulan dengan rakan-rakan yang baik dalam majlis-majlis ilmu itu, rakan saya itu dapat membezakan dan mengenali antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Jelasnya, rakan saya itu tidak akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik dan dia juga tahu menghargai masa kerana masa itu emas. Akhir sekali, saya juga akan sentiasa membantu rakan saya dalam pelajaran. Saya akan mengajak rakan saya menghadiri kumpulan perbincangan. Saya juga akan membantu rakan saya menerangkan tajuk-tajuk bagi memahami topik-topik pelajaran yang ketinggalan selama ini. Saya akan mengajak rakan saya mengulang kaji pelajaran di perpustakaan dan mencari rujukan serta berbincang tentang topik-topik yang kurang difahami. Saya juga akan mengajak rakan saya menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan di sekolah atau di luar sekolah. Saya akan menasihati rakan saya tentang kepentingan pelajaran dalam kehidupan. Tanpa pelajaran, masa depan seseorang itu gelap. Pada masa yang sama, saya akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk membantu dan sudi mengadakan perbincangan dengan rakan saya ini. Tujuan saya berbuat demikian adalah untuk memastikan rakan saya benar-benar insaf dan tidak mengabaikan pelajaran. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha membantu rakan yang terlibat dalam gejala sosial adalah sesuatu yang murni dan perlu diteruskan. Saya berharap, usaha yang saya lakukan ini dapat membantu rakan saya supaya tidak melibatkan diri dalam gejala sosial. Saya juga berharap, rakan saya benar-benar insaf dan bertanggungjawab terhadap masa hadapannya kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Rakan saya perlu ingat bahawa sekiranya dia tidak berubah, tidak ada sesiapa pun yang akan membantunya untuk berubah. Sebagai remaja, rakan saya perlu mempunyai jati diri agar tidak mudah dipengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Tegasnya, rakan saya perlu berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan kerana pepatah mengatakan rajin dan usaha tangga kejayaan dan yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Latihan 2 (Dimensi Diri) Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan. Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya mengganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan , sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, saya sebagai seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah modus operandi dan perancangan dan persediaan awal yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti? Langkah pertama yang saya ambil ialah sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di kelas. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar, sudah tentu sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa Lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah bilik darjah yang ceria supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang faham kerana berdasarkan satu kajianyang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya memberi tumpuan ketika guru mengajar dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru merupakan satu langkah dan persediaan yang sedang saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Selain itu, saya menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulangkaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan apabila peperiksaan sudah tiba, hal ini diibaratkan nasi sudah menjadi bubur. Kita haruslah sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah masa itu emas dan masa lalu tidak akan kembali, maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan dan ini haruslah dielakkan. Jelasnya, pengurusan

masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti. Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru di sekolah, barulah saya bertanya kepada guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga haruslah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah bak kata pepatah malas berkayuh perahu hanyut , segan bertanya sesat jalan. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru di tuisyen. Tambahan pula,jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenisjenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program sekolah dan mengikuti kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakanrakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakanrakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya. Akhir sekali, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang orang tua, Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Kenyataan ini pasti benar kerana orangorang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu saya selalu menasihatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekalipun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoakepada Tuhan

supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberiannya. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah dan segala perbincangan yang saya rancangkan. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan terutamanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, hidup kita sudah tentu teraba-aba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan tanpa berputus asa ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang. LATIHAN 3 (DIMENSI DIRI) Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk menggembirakan ibu bapa adalah dengan menjaga nama baik mereka. Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa anda. Tidak ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anaknya. Mereka sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat. Ibu bapa juga sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga malam semata-mata untuk menjaga terutamanya ketika anak-anak sakit. Bagi ibu bapa, tiada detik yang paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak membesar sebagai seorang yang berguna dan berjaya dalam hidup. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada kita. Sebagai seorang anak, saya bertanggungjawab menggembirakan ibu bapa saya dan menjaga nama baik mereka kerana saya sedar bahawa tiada ibu bapa, tiadalah saya. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus saya lakukan untuk menjaga nama baik mereka? Langkah utama yang akan saya lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa saya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa saya pasti akan gembira apabila saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dalaman sekolah atau peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan , saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya semasa guru sedang mengajar. Sekiranya saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran tertentu, saya tidak akan malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah menyatakan bahawa malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Selain itu , saya akan mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama-sama rakan sekelas ketika ada masa yang terluang. Saya juga akan menyediakan jadual belajar secara sistematik dan efisyen. Semua kerja rumah yang diberikan oleh guru akan saya siapkan mengikut ketetapan masa yang diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa membuat persediaan lebih awal dengan mengulangkaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan yang sebenar kerana pepatah menyatakan sediakan payung sebelum hujan. Kejayaan yang akan saya peroleh hasil usaha saya yang bersungguhsungguh ini tentulahkan akan menaikkan nama baik ibu bapa saya. Reputasi ibu bapa saya sebagai contoh dalam kalangan masyarakat akan terselah dan nama baik mereka juga akan terbina. Jelasnya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang untuk menjaga nama baik ibu bapa saya.

Selain itu, untuk menjaga nama baik ibu bapa, saya akan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang baik dan dapat membimbing saya menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya akan memastikan diri saya tidak terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh mempengaruhi saya terjebak dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak , ponteng sekolah , melakukan vandalime dan melibatkan diri dalam penagihan najis dadah. Saya akan sentiasa berpegang pada pepatah yang menyatakan bahawa jika kita berkawan dengan seorang tukang besi, baju kita akan tercarik kerana terkena percikan api, tetapi jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, tubuh badan kita akan turut berbau harum. Saya juga akan membezakan anatara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Saya akan berkawan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pelajaran agar saya dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan mereka. Hal ini penting bagi menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya, agar mempunyai semangat dan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa saya pasti bersyukur sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang ke muka mereka. Jelasnya , saya akan bergaul dengan rakanrakan yang berakhlak baik agar saya tidak tersilap langkah demi menjaga nama baik ibu bapa saya. Di samping itu , bagi menjaga nama baik ibu bapa, saya akan menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu bapa pasti berasa bangga seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-anak dalam bidang akademik bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-anak yang cemerlang ini tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa. Sebagai seorang anak, saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan lemah lembut terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan tidak sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan seiring dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula, saya akan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng kelas , tidak menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar sekiranya saya melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di sekolah, ibu bapa saya akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat perbuatan saya ini. Oleh itu, saya akan sentiasa menghormati guru-guru di sekolah dan menghormati orang yang lebih tua daripada saya apabila berjumpa dengan mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian kerana masyarakat pasti bertanya Anak siapakah yang berbudi bahasa itu? Secara tidak langsung, ibu bapa saya akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik anaknya dengan baik. Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang baik terdiri daripada ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia. Tambahan lagi , saya akan menjaga nama baik ibu bapa dengan manjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga , jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang anak yang baik, saya sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan saudara mara yang jauh dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa walaupun mereka telah meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan kasih sayang dengan ibu bapa saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka yang mempunyai hubungan bau-bau bacangdengan saya. Hubungan yang terjalin ini dapat mengeratkan ikatan kekeluaargaan dan tali persaudaraan yang mungkin hampir terputus kerana tinggal berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama lain. Sebagai contohnya, saya akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak saudara dan kaum kerabat saya pada musim perayaan atau majlis kendurikendara. Saya yakin hubungan saya ini dapat menjaga nama baik ibu bapa saya kerana menjalinkan hubungan baik dalam kalangan keluarga. Selain itu, saya juga akan menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan mereka, menziarahi

mereka sekiranya mereka sakit , membantu mereka apabila mereka memerlukan bantuan dan mengunjungi rumah mereka pada hari perayaan. Sebagai seorang anggota masyarakat, saya akan menyertai setiap program kemasyarakatan yang dianjukan oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal saya. Ibu bapa saya pasti gembira apabila saya melibatkan diri dalam program kemasyarakatan kerana mereka tidak perlu berasa bimbang sekiranya saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Penglibatan saya dalam program kemasyarakatan juga membuktikan saya menjadi lebih matang dan berminda terbuka dan tidaklah seperti katak di bawah tempurung.Tegasnya, nama baik ibu bapa dapat dijaga dan dapat dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat. Bak kata pepatah, hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa. Akhir sekali, saya akan sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi menjaga nama baik ibu bapa saya. Sebagai anak yang baik, saya akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan saya agar saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara yang tidak baik. Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran agama, saya dapat membezakan perkara yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan tidak menghampakan harapan mereka terhadap saya , kerana saya sedar, siapalah saya tanpa ibu bapa. Saya akan mempraktikkan didikan agama yang saya terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas. Saya sedar akan kepentingan masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai kerohanian dalam diri , saya akan menghadiri kelas-kelas agam a atau kelas fardhu ain serta majlis-majlis ilmu agar dapat membentuk jiwa saya kearah melakukan perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya untuk melakukan perkara yang tidak baik. Tegasnya, didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu bapa akan saya praktikkan dalam kehidupan saya supaya saya dapat membentuk keperibadian yang baik dalam diri saya sekali gus dapat menjaga nama baik ibu bapa saya. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga nama baik ibu bapa atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab anak-anak yang hidup di dunia. Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua remaja dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan jangan sesekali melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Tegasnya, berbuat baiklah kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. LATIHAN 4 (DIMENSI DIRI) Semua orang berusaha untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Huraikan sumbangan yang akan anda berikan kepada ibu bapa jika anda telah berjaya dalam kerjaya pada satu masa nanti. Kejayaan merupakan satu anugerah bagi orang yang berusaha. Orang tua-tua pernah menyebut bahawa usaha tangga kejayaan. Pakar Motivasi, Dr.Shukri Abdullah berkata bahawa, pemisahan antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal adalah sikap rajin. Orang yang rajin akan berjaya manakala orang yang gagal akan kecewa. Kejayaan bukan bergantung kepada nasib tetapi kerjaya akan dapat direalisasikan jika ada usaha yang padu dalam keluarga. Ibu bapa merupakan orang yang terpenting di sebalik kejayaan seseorang. Ibu bapa berkorban jiwa raga , masa dan wang ringgit untuk memastikan anak-anak mereka berjaya. Ibu bapa jugalah yang memberi panduan kepada anak-anak agar tidak terpesong daripada landasan kejayaan. Persoalannya, apakah sumbangan yang akan saya berikan kepada ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti?

Jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti, saya akan membalas jasa ibu bapa dengan memberikan wang kepada ibu bapa saya setiap bulan tidak kira ibu bapa saya berkedudukan atau berjawatan dan mempunyai pendapatan yang baik. Ibu bapa saya boleh menggunakan wang tersebut untuk keperluan harian dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan mereka seperti kesihatan. Saya akan memastikan wang yang saya berikan itu mencukupi untuk kegunaan harian dan kebajikan mereka. Saya akan bertanya kepada ibu bapa saya berkaitan jumlah wang yang diperlukan oleh mereka. Sekiranya, pemberian saya tidak memadai dan mencukupi, saya akan sentiasa menambahkan kiriman tersebut sesuai dengan pendapatan yang saya peroleh.. Saya akan menggunakan pelbagai cara untuk memberikan wang kepada mereka. Contohnya, saya akan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank ibu bapa saya secara terus kepada mereka atau pun mengirimkan wang menerusi kiriman wang pos dan sebagainya. Dengan adanya wang di tangan mereka, hati mereka akan tenang dan kehidupan mereka akan senang. Jadi, pemberian wang merupakan salah satu sumbangan saya kepada ibu bapa jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti untuk menggembirakan mereka. Selain memberikan wang tunai secara tetap. saya juga akan membawa ibu bapa saya menunaikan haji atau umrah serta melancong ke tempat-tempat yang disukai mereka jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti. Selama ini, Ibu bapa saya mungkin tidak berpeluang untuk menunaikan haji dan umrah atau makan angin serta melancong ke mana-mana kerana pendapatan mereka yang terhad ketika membesarkan saya dan adik-beradik yang lain. Pada hemat saya, inilah masa yang sesuai untuk membawa ibu bapa saya menunaikan umrah dan haji atau melancong sambil menggembirakan mereka. Setiap ibu bapa pasti gembira dan bersyukur seandainya anak-anak dapat memenuhi impian mereka untuk pergi ke Tanah Suci menunaikan rukun Islam yang ke-5. Selain itu, saya juga akan membawa ibu bapa saya melancong dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah seperti mengunjungi Bumi Anbiya di Jordan, Syria, Turki dan Mesir untuk melihat sendiri kesan peninggalan dan penyebaran Islam di sana. Oleh itu, menghantar ibu bapa menunaikan haji atau umrah dan melancong bersama ibu bapa merupakan sumbangan saya jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti. Di samping itu, saya juga akan membelikan insurans kesihatan kepada ibu bapa saya jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti. Saya berpendapat bahawa insurans sebegini sangat penting kepada ibu bapa kerana peribahasa Melayu sering menyebut, sediakan payung sebelum hujan. Jika ibu bapa saya menghadapi masalah kesihatan, mereka tidak perlu risau kerana melalui pembelian insurans kesihatan, mereka akan mendapat rawatan terbaik. Sebagai contohnya, jika ibu bapa saya sakit, saya akan membawa mereka ke hospital swasta yang terbaik dan merawat mereka segera melalui skim insurans yang di tawarkan. Saya tidak mahu ibu bapa saya menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan untuk dirinya di hospital biasa. Kita faham bahawa nisbah seorang doktor dan pesakit di hospital biasa ialah 1:100. Bilangan rakyat yang memerlukan rawatan di hospital terlalu ramai. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, saya akan menyediakan insurans kesihatan untuk ibu bapa saya agar mereka mendapat rawatan terbaik pada hari tua mereka. Jadi jelaslah bahawa pembelian insurans kesihatan merupakan sumbangan yang dapat saya berikan kepada ibu bapa saya jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti. Seterusnya, jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti, saya akan membina sebuah rumah yang indah dan lengkap dengan segala kemudahan untuk kedua-dua ibu bapa saya nanti. Rumah tersebut akan didirikan di kawasan pinggir bandar yang berdekatan dengan masjid atau surau dan pusat membeli belah. Rumah yang disediakan ini mempunyai beberapa buah bilik. Selain bilik tidur yang dilengkapi perabot, saya juga akan menyediakan bilik-bilik khas untuk ibu bapa saya menjalankan aktiviti harian tanpa sebarang gangguan seperti bilik riadah, bilik ibadat, dan bilik bacaan. Dengan adanya bilik-bilik khas

ini, ibu bapa saya akan dapat menjalankan aktiviti dalam suasana yang kondusif. Mereka juga dapat melakukan senaman untuk menjaga kesihatan walaupun ketika hujan. Salah satu contoh rumah agam yang menjadi idaman saya untuk disumbangkan kepada ibu bapa saya adalah seperti rumah yang dimiliki oleh Datuk Yusuf Haslam yang bernila RM6 juta. Jadi, rumah agam yang lengkap merupakan sumbangan saya kepada ibu bapa jika saya telah berjaya satu masa nanti. Akhir sekali, saya akan menyumbangkan sebuah dusun seluas beberapa ekar kepada ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti. Ibu bapa saya telah bersusah payah mengerjakan tanah yang tidak sampai suku ekar sewaktu membesarkan saya. Mereka sanggup membanting tulang berbakti kepada tanah untuk mencari rezeki dalam membesarkan saya adik-beradik. Sebagai cara untuk membalas jasa mereka, saya akan menyediakan dusun bersama-sama pembantu khas. Di dalam kawasan dusun tersebut, saya akan membina sungai kecil yang mengalir perlahan. Di dusun tersebut juga, saya akan menanam pokok buahbuahan kegemaran ibu bapa saya. Dusun tersebut merupakan contoh dusun yang akan saya sumbangkan agar mereka dapat menikmati keindahan alam semula jadi . Saya yakin bahawa sumbangan ini akan menyebabkan ibu bapa saya ceria dan gembira. Sebagai orang tua yang sudah lama tinggal di kampung, saya faham tentang jiwa ibu bapa saya yang tidak akan meninggalkan rumah dan tanah tempat kelahiran mereka. Sudah terang lagikan bersuluh, sumbangan dusun seluas beberapa ekar akan saya sempurnakan untuk ibu bapa saya nanti jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti. Berdasarkan huraian berkaitan sumbangan saya terhadap ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti, saya yakin impian ini akan terlaksana dalam tempoh sepuluh tahun lagi. Hal ini demikian kerana pencapaian saya dalam bidang akademik sangat terserlah. Kejayaan dalam bidang akademik akan membolehkan saya membina kerjaya yang cemerlang. Kecemerlangan dalam kerjaya akan membolehkan saya memberikan sumbangan yang bermakna kepada kedua-dua ibu bapa saya yang telah bersusah payah memelihara, mengasuh dan mendidik saya tanpa jemu. Jika ditakdirkan saya kurang berjaya sekalipun, saya akan tetap memberikan sumbangan mengikut kemampuan saya. Kata-kata hikmah yang sering diucap, harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Kesimpulannya, saya perlu belajar bersungguh-sungguh agar impian untuk memberi sumbangan kepada ibu bapa akan terlaksana. Latihan 5 (Dimensi Diri) Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda. Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah? Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan

buku-buku disusun atur dengan kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber. Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat sumber. Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah. Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengahaja tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan. Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara scaning. Kaedah ini akan mewujudkan sis tem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar

sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda. . Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Latihan 6 (Dimensi Diri) Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Jelaskan usaha-usaha yang boleh permainan tradisional di negara kita. anda lakukan bagi memartabatkan

Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita? Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja pada masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa saya berperanan memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja. Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakanrakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini. Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan

tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional. Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Karangan Dimensi keluarga Latihan 1 Kes pembuangan bayi sering menjadi tajuk utama dada akhbar tempatan saban hari. Peningkatan kes pembuangan bayi perlu dibendung sebelum menjadi trend masyarakat untuk mencari penyelesaian mudah menyelesaikan masalah kelahiran anak tidak sah taraf terutama dalam kalangan remaja. Pada pendapat anda apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini. Saban hari, terdapat pelbagai berita yang terpapar di dada-dada akhbar harian tentang jenayah pembuangan bayi. Kadar pembuangan bayi yang tidak berdosa kian meningkat. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita penemuan seorang mayat bayi yang dimasukkan ke dalam beg pakaian dan dibuang ke dalam perigi dan juga bayi yang baru lahir dicampakkan dari tingkat dua di satu kawasan perumahan. Perkara yang menyedihkan kita

jenayah ini melibatkan golongan remaja yang diharapkan akan mencorak kegemilangan negara kelak. Persoalannya, di manakah letaknya sikap bertanggungjawab dan belas kasihan serta perikemanusiaan remaja yang berani membuang bayi mereka begitu sahaja. Remaja ini seharusnya mengikut akal fikiran yang waras dan bukannya bertindak mengikut hati dan hawa nafsu serakah semata-mata, bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Pelbagai strategi telah dijalankan oleh kerajaan dalam usaha membendung masalah ini. Namun, masalah ini gagal diatasi. Dalam hal ini, ibu bapa adalah golongan yang paling hampir dengan remaja. Oleh itu ibu bapa perlu memainkan peranan yang besar dalam menangani masalah pembuangan bayi ini. Ibu bapa perlu bijak membahagikan dan meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menyediakan ruang untuk bermesra dengan anak-anak serta memberikan kasih sayang secukupnya terutamanya anak-anak yang sedang meningkat remaja kerana anak remaja sebenarnya memerlukan perhatian dan layangan yang lebih daripada ibu bapa kerana mereka akan rasa lebih dihargai. Contohnya, ibu bapa perlu memperuntukkan masa untuk membawa anak-anak bersiar-siar pada hujung minggu atau melakukan aktiviti yang melibatkan ahli keluarga bersama-sama. Selain dapat mengeratkan hubungan antara anak-anak dengan ibu bapa aktiviti yang dilakukan ini dapat menghalang anak-anak daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah di luar pengetahuan ibu bapa. Dalam melayari kehidupan remaja yang penuh cabaran, remaja sering mencari model yang boleh dicontohi. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang positif kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi model yang boleh diikuti dan dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, sekiranya Si ayah atau Si ibu mahu anak-anak mereka berakhlak mulia, tidak meninggalkan solat, maka sebagai orang tua, hendaklah melakukannya terlebih dahulu, seperti kata peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal, sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik, maka akan baik dan eloklah akhlak anak itu. Sekiranya hitam corak yang dilakar, maka akan hitamlah kehidupan anak-anak itu kelak. Mendidik anak biarlah dari kecil, bukannya bila dah menjadi buluh baru hendak dilentur, akan pecah dan patahlah buluh tersebut. Begitu juga dengan anak-anak, bila sudah besar amat sukar untuk dididik seandainya pada asasnya tidak dimulakan, bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa berperanan besar memastikan anak-anak tergolong dalam golongan yang berakhlak mulia, lalu tidak sesekali akan melakukan maksiat yang menyebabkan kesudahan yang mengaibkan dalam menutup episod hitam yang berlaku. Mereka tidak akan sanggup untuk menconteng arang ke muka kedua- dua ibu bapa mereka kerana anak yang berakhlak akan sentiasa menjaga maruah diri mereka dan juga maruah keluarga. Di samping itu, ibu bapa juga perlu prihatin terhadap kehidupan sosial anakanak. Sepertimana yang kita ketahui , rakan merupakan golongan kedua yang paling hampir dan rapat dengan remaja selain ibu dan bapa.Pepatah arab ada menyebut, sekiranya kita berkawan dengan penjual minyak wangi, nescaya kita berbau harum, dan sekiranya kita berkawan dengan pembuat besi, kita juga turut terkena percikan apinya. Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan mengamalkan pergaulan bebas. Ibu bapa seharusnya mengetahui dan memastikan dengan siapa anak mereka berkawan. Ibu bapa perlu menasihati dan memberi kesedaran kepada anak tentang batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan bagi mengelakkan berlakunya hubungan intim dan keterlanjuran yang secara tidak langsung menyumbang kepada berlakunya jenayah pembuangan bayi ini. Berkawan antara lelaki dengan perempuan tidak mengapa, asalkan tahu batas-batas pergaulan. Jangan sampai mendorong melakukan maksiat, melakukan zina seterusnya mengandung anak luar nikah. Akhirnya, untuk menutup malu, lalu remaja yang

terlibat sanggup membuang bayi yang tidak bersalah di masjid, di depan rumah atau dibuang ke dalam sungai. Ibu bapa perlu menasihati anak-anak agar berkawan dengan kawan yang mempunyai akhlak yang baik, berwawasan dan mendorong melakukan aktiviti yang berfaedah. Kawan yang baik dan berakhlak akan mengelakkan diri daripada menghampiri maksiat dan kejahatan. Mereka akan sentiasa menjaga adab pergaulan. Agama teras kehidupan dan merupakan panduan kepada setiap penganutnya. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi didikan agama yang secukupnya kepada anakanak. Didikan agama merupakan benteng yang ampuh untuk untuk mengelakkan golongan remaja terjebak dalam kancah maksiat. Mereka akan dapat membezakan antara baik dan buruk, halal dan haramnya tindakan serta perlakuan yang akan dilakukan. Anakanak akan mempunyai jati diri yang utuh bagi melawan serangan-serangan pemikiran dan budaya negatif. Oleh itu, ibu bapa perlu menghantar anak-anak mendalami bidang agama seawal usia tujuh tahun. Apabila pegangan agama menguasai diri, seseorang itu akan berfikir berulang kali sebelum melakukan sesuatu yang menyalahi ajaran agama. Namun, ibu bapa kini lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas-kelas yang mengajar anak-anak ilmu keduniaan berbanding dengan program-program kerohanian dengan alasan unsur-unsur kerohanian tidak memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan dan kemajuan seseorang. Didikan agama yang kurang akan menipiskan tahap keimanan seseorang. Akibatnya mereka tidak takut untuk membuat dosa dengan beranggapan perbuatan tersebut tidak mendapat balasan Alllah SWT pada masa itu juga. Remaja yang nipis imannya tidak dapat bertindak secara rasional dan lebih suka bertindak mengikut emosi untuk mengatasi sesuatu masalah. Lantaran itu, bagi remaja yang melahirkan anak tidak sah taraf ini, mereka sanggup membuang bayi mereka kerana bertindak mengikut emosi dan tidak memikirkan bahawa perbuatan mereka ini akan menambahkan lagi dosa yang sedia ada. Seandainya anak yang dibuang itu masih hidup dan ditemui oleh orang lain, akan selamatlah anak tersebut, tetapi seandainya bayi itu mati, jadilah dia seorang pembunuh. Seterusnya langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah pembuangan bayi ini adalah mengubah tanggapan dan persepsi mereka terhadap anakanak. Jangan memberikan kebebasan yang keterlaluan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu membuat ketetapan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak terutamanya kepada anak-anak perempuan kerana gejala pembuangan bayi ini lebih melibatkan golongan remaja perempuan. Tetapkanlah peraturan, anak-anak perempuan tidak dibenarkan keluar malam atau pulang lewat malam. Selain itu, ibu bapa perlu menegur anak-akan perempuan agar tidak memakai pakaian yang terlalu mencolok mata sehingga menimbulkan keghairahan orang lain untuk menghampiri mereka dan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada mereka. Keadaan ini bukan hanya berlaku di luar rumah, malahan mungkin akan berlaku di dalam rumah sendiri yang boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram yang akhirnya melahirkan zuriat. Ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak jika sekiranya ada sesuatu yang meragukan. Sebab pernah terjadi, anak yang masih bersekolah mengandung tanpa disedari oleh ibu bapa disebabkan kurang berkomunikasi dengan anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga jangan terlalu mengongkong anak-anak. Sekiranya mereka berpeluang hidup berjauhan dengan keluarga, mereka akan melakukan apa-apa sahaja yang terlintas difikiran mereka tanpa berfikir panjang. Anak-anak akan berubah sikap seperti membujur lalu melintang patah dengan bertindak liar tanpa pengawasan ibu bapa. Hal ini berlaku terutamanya bagi anak-anak gadis yang berpeluang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi kerana beranggapan mereka bebas melakukan apa-apa sahaja. Jangan sampai, sudah terhantuk baru terngadah dan nasi sudah menjadi bubur. Sesungguhnya, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Intihanya, gejala pembuangan bayi yang serius tiada penghujung sekiranya tidak ada kesedaran dalam kalangan masyarakat sarwajagat untuk mengubah sikap kerana untuk menangani masalah pembuangan bayi ini bukan hanya menjadi tanggunggjawab ibu bapa sahaja tetapi memerlukan kerjasama semua pihak. Langkah-langkah yang diambil sewajarnya akan menjadi anjakan paradigma dalam kehidupan agar setiap remaja yang terdedah kepada gejala negatif ini perlu mempunyai semangat yang kuat untuk menghadapi cabaran. Gejala tersebut merupakan satu kesalahan yang amat kejam. Sedangkan haiwan pun tidak berlaku kejam kepada anaknya. Anak itu satu anugerah daripada Tuhan. Oleh itu, kita mesti menghargainya dengan baik dan penuh kasih sayang. Sesungguhnya masih ada ruang untuk ibu-ibu muda yang mengandung anak luar nikah ini mencari jalan pulang, bak kata pepatah Melayu, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan. Walaupun di depan jalan amat berliku, namun remaja yang terlibat perlu menguak halangan untuk mencari sinar kehidupan. Latihan 2: (Dimensi Keluarga)
Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan. Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?

Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan. Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa. Menabung merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi budaya masyarakat kita? Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak adalahdengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini kerana suasana keluarga merupakan cara yang paling cepat dan efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam. Ibu bapa merupakan orang yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanakkanak sebelum kudis menjadi tokak. Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun

keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi? Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuknunjuk. Anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat "pengiktirafan"orang berada oleh orangorang di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka tidak berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini sebagai budaya keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan proses penerapan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak. Adat usang pusaka lama, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung. Membuka akaun bank untuk anak-anak merupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka kelak. Kata orang tua, semua orang memerlukan pujian. Dengan hal tersebut, ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan amalan menabung sudah terang seperti murai berkicau hari siang. Pada hakikatnya, ibu bapa berperanan untuk menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa sendiri harus mengamalkan sikap menabung. Mereka harus menabung wang bersama dengan anak-anak. Anak-anak mudah terikutikut oleh tingkah laku ibu bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan tabiat menabung juga. Cuba anda bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendir iseorang yang boros dan tidak pandai menguruskan wang? Hal ini jelas menunjukkan betapa pentingnya imej yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum, kawan merupakan magnet sakti yang boleh mempengaruh anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk perbelanjaan anak-anak. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan

diketepikan oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang bersahsiah. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan menabung manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi. Peribahasa Melayu pula menunjukkan ada padii semua jadi, ada beras semua deras. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan ini sabagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi muda barakhlak yang merupakan tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada masa depan amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran masyarakat madani. Air bersih, ikannya jernih. Latihan 3: (Dimensi Keluarga)
Ibu bapa merupakan dua insan yang banyak berjasa bagi memastikan kejayaan anak-anak dalam kehidupan. Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh anak-anak untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka.

Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Situasi sebeginilah yang sedang berlaku pada zaman ini. Ibu bapa ditinggalkan hidup merempat di jalan oleh anak anak yang tidak berperikemanusiaan. Mereka sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua-tua dalam keghairahan mengejar kemewahan dan kemajuan materialisme. Kita seharusnya ingat bahawa si ibu yang telah mengandungkan kita selama sembilan bulan sepuluh hari dan membawa kita ke muka bumi ini. Si bapa pula telah bersengkang mata untuk mencari nafkah bagi membesarkan kita. Mereka sanggup mengetepikan kegembiraan mereka semata-mata untuk membahagiakan kita. Bagi mereka, kesusahan yang dilalui oleh mereka tidak bererti apa-apa sekiranya anak- anak mereka hidup bahagia. Oleh itu, kita perlu menghargai dan membalas jasa ibu bapa kerana mereka merupakan insan yang paling penting dalam hidup kita. Tanpa ibu bapa, siapalah kita? Persoalannya, apakah langkah- langkah yang dapat diambil oleh anak-anak untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka? Sebagai seorang anak yang taat, kita seharusnya menghormati kedua-dua ibu bapa kita. Apabila usia sudah lanjut, ibu bapa mudah tersinggung dengan apa-apa yang diperkatakan oleh anak- anak. Dalam hal ini, kita seharusnya menjaga pertuturan dan pengucapan kita apabila berbual dengan ibu bapa agar mereka tidak berasa tersisih. Menurut pujangga sekiranya engkau tidak menghormati ibu bapamu, maka suatu hari nanti, anakanakmu tidak akan menghormatimu. Sekiranya kita menghormati ibu bapa kita dan sentiasa bersopan santun dengan mereka, mereka akan merasakan bahawa diri mereka disayangi dan dihargai. Sebagai contoh, ketika kita berjalan di hadapan orang tua kita, kita seharusnya tunduk sebagai tanda hormat. Hal ini menunjukkan bahawa kita sentiasa bersikap merendah diri di hadapan ibu bapa kita. Ibu bapa hanya mengharapkan diri mereka dihormati sejajar dengan usia mereka. Kita janganlah sesekali menyakitkan hati ibu bapa kerana kesedihan dan kekecewaan mereka boleh memusnahkan kita dalam sekelip mata. Kita harus mengambil iktibar daripada kisah Si Tanggang dengan ibunya agar tidak menerima nasib seperti Si Tanggang yang bertukar menjadi batu akibat sumpahan ibunya. Anak yang derhaka tidak akan mendapat keredaan Allah kerana menyakiti hati ibu bapa merupakan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan. Oleh itu, wajarlah kita menghormati ibu bapa untuk membahagiakan mereka. Di samping itu, kita juga perlu menjaga ibu bapa kita yang sudah uzur. Kita janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit setelah memperoleh kesenangan dengan menghantar mereka ke rumah orang tua. Hal ini kerana mereka telah membesarkan dan menjaga kita dengan baik sehingga kita berjaya dalam hidup . Oleh itu, kita perlu menjaga ibu bapa kita sehingga mereka menemui ajal mereka. Falsafah Cina ada menyebut menyimpan seorang tua di dalam rumah umpama kita memiliki suatu barang yang amat

berharga. Ibu bapa yang sudah tua mengharapkan anak- anak mereka ada bersama-sama mereka kerana mereka tiada tempat bergantung melainkan kita. Kitalah menjadi tempat mereka mengadu, menangis, bergembira dan berkongsi segala perasaan mereka. Hal ini kerana hubungan yang terjalin antara seorang ibu dengan anaknya ialah hubungan yang ditentukan oleh Tuhan di dunia dan akhirat. Selain itu, kita juga perlu menyediakan segala keperluan dan permintaan ibu bapa kita. Pada usia yang semakin lanjut, mereka mudah lupa tentang apa-apa yang diperlukan oleh mereka. Dalam hal ini, kita perlu menyediakan segala keperluan ibu bapa kita seperti makanan, pakaian, tempat tinggal yang selesa dan ubat-ubatan. Ada ketikanya, ibu bapa berasa segan untuk meminta sesuatu daripada kita sebagai anak kerana mereka merasakan bahawa hal ini akan membebankan kita. Kita seharusnya ingat bahawa suatu ketika dahulu, ibu bapa kita telah menyediakan segala keperluan untuk kita tanpa diminta. Mereka sanggup memakai pakaian yang lama untuk membeli pakaian yang baharu untuk kita. Oleh itu, kita harus menjaga segala keperluan ibu bapa kita bagi membalas segala penat lelah mereka. Ulama ada mengatakan bahawa seseorang yang tidak mendapat keredaan ibu bapa tidak akan mencium bau syurga. Sekiranya kita gagal menjaga kebajikan ibu bapa kita, maka kita telah melakukan dosa. Jelasnya, kita harus melaksanakan kewajipan kita sebagai anak yang saleh dengan menjaga ibu bapa kita dengan baik. Selain itu, kita juga harus belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai kejayaan dalam pelajaran. Setiap ibu bapa mengharapkan anak- anak mereka agar berjaya dalam hidup. Mereka sanggup bertungkus lumus demi menyekolahkan kita agar kita hidup senang pada kemudian hari. Dalam hal ini, kita seharusnya berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan untuk membalas jasa ibu bapa kita. Kita janganlah membiarkan hasrat ibu bapa kita berkecai seperti kaca terhempas ke batu. Hal ini akan meletakkan ibu bapa kita dalam keadaan yang sedih sekiranya kita gagal menunaikan hasrat mereka. Mereka tidak mengharapkan wang ringgit daripada kita tetapi hanya mendoakan agar kita menjadi insan yang berilmu dan berguna serta dipandang mulia oleh masyarakat. Ibu bapa akan berasa bangga dan gembira apabila melihat anak- anak mereka memperoleh segulung ijazah. Kita juga tidak harus melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat. Kita harus mengikuti jalan yang betul untuk menjaga perasaan ibu bapa kita. Meraka sudah tentu akan berasa sedih sekiranya melihat kita melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tegasnya, kita harus belajar bersungguh-sungguh agar pengorbanan ibu bapa kita tidak menjadi sia- sia. Seterusnya, kita perlu meluangkan masa bersama-sama ibu bapa kita. Walaupun sibuk dengan kerjaya, kita harus meluangkan masa untuk bergaul dan beramah mesra dengan mereka. Apabila semakin tua, ibu bapa kita mudah diselubungi perasaan kesunyian. Pada ketika inilah, mereka memerlukan teman untuk berbual-bual. Kita seharusnya menemani mereka ketika mereka berasa sunyi dan sepi. Memang tidak dapat dinafikan apabila telah berkerjaya, kita lebih banyak menghabiskan masa dalam kerjaya. Namun begitu, pada masa lapang, kita perlu menziarahi mereka dan berbual-bual dengan mereka. Kita juga perlu bergurau senda dengan mereka untuk menghiburkan hati mereka. Ilmuwan Islam ada menyatakan sekiranya kita lupa akan jasa ibu bapa, maka kita juga telah lupa akan diri kita. Bagi anak-anak yang tinggal berjauhan, mereka boleh berhubung dengan ibu bapa mereka melalui telefon. Ketika berbual dengan mereka, kita perlu menggunakan pertuturan yang bersopan dengan mereka agar tidak menggores perasaan mereka. Bukan itu sahaja, kita juga boleh membantu ibu bapa kita melakukan kerja-kerja rumah untuk meringankan beban mereka. Sebagai contoh, kita boleh membantu ibu kita untuk memasak, mencuci pakaian, mengemas rumah dan sebagainya. Jelasnya, komunikasi yang baik antara anak-anak dengan ibu bapa dapat menjamin keharmonian keluarga. Sejajar dengan konteks perbicaraan, kita juga perlu menyambut sesuatu perayaan bersama-sama ibu bapa kita. Kita perlu ingat bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu

bapa. Menjelang musim perayaan, kita perlu balik ke kampung untuk menyambut sesuatu perayaan. Ketika musim perayaan, kita dapat meluangkan masa yang lama bersama-sama mereka. Kita juga perlu meraikan Hari Bapa dan Hari Ibu sebagai tanda menghargai jasa mereka. Dengan itu, ibu bapa kita akan merasakan bahawa diri mereka dihargai kerana kita sudi mengadakan majlis untuk mereka . Malah, kita juga boleh mengadakan majlis sempena ulang tahun perkahwinan ibu bapa kita. Melalui majlis sebegini, ibu bapa kita dapat mengimbau kembali kenangan manis mereka sewaktu muda. Walaupun ibu bapa kita sudah tua, kita juga boleh menyambut hari jadi mereka. Masa itu emas, jikalau kita meluangkan masa untuk ibu bapa kita dalam mengadakan majlis khas untuk mereka, masa itu bagaikan permata, lebih mahal daripada emas. Bukan itu sahaja, kita juga perlu meraikan kejayaan kita bersama- sama ibu bapa kita. Hal ini kerana kejayaan itu sebenarnya hasil titik peluh ibu bapa kita. Walaupun sudah berkahwin, kita perlu memberikan keutamaan kepada ibu bapa kita kerana jasa mereka tidak ternilai. Akhir sekali, kita perlu mendoakan kesejahteraan hidup ibu bapa kita di dunia dan di akhirat. Doa kita akan termakbul sekiranya permintaan kita ikhlas. Bayangkanlah sekiranya ibu bapa kita telah meninggal dunia, adakah kita akan berpeluang untuk melihat mereka semula? Maksud Al-Quran ada menyatakan Dan ucapkanlah doa : Wahai Tuhanku, kasihanilah kedua-dua ibu bapaku, sebagaimana mereka mendidik dan mengasihani aku sewaktu aku kecil. Oleh itu, kita harus berdoa agar ibu bapa kita dikurniakan dengan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur. Bagi ibu bapa yang sudah meninggal, kita juga boleh berdoa agar mereka ditempatkan bersama-sama orang-orang yang mulia. Setiap anak digalakkan membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah ibu bapa mereka. Orang India pula akan mengadakan upacara sembahyang pada setiap ulang tahun kematian ibu bapa mereka. Bagi masyarakat Cina, mereka akan menyembah roh arwah ibu bapa dan nenek moyang mereka pada setiap Tahun Baru Cina dengan melawati kubur orang tua mereka. Dalam hal ini, setiap agama menyeru kepada bangsanya untuk berdoa agar roh ibu bapa mereka tenteram. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak harus melaksanakan kewajipan mereka dengan menjaga ibu bapa dengan baik. Selagi ibu bapa kita hidup di muka bumi ini, kita perlu memenuhi segala permintaan dan hajat mereka sebagai tanda menghargai pengorbanan mereka. Hal ini kerana apabila mereka sudah tiada di dunia, kita tidak berpeluang melakukan sesuatu bagi membalas jasa kedua-dua orang tua kita. Ketika itu, kita akan menyesal namun pepatah menyatakan bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, marilah kita menyahut slogan Sayangilah Ibu Bapa kita dan berbakti kepada ibu bapa kita agar hidup diberkati. Firman Allah SWT yang bermaksud Sesungguhnya orang-orang yang mulia ialah orang- orang yang tida melakukan dosa. Kita janganlah melakukan dosa dengan menyakitkan hati ibu bapa kita. Tegasnya, setiap insan harus mendukung kewajipan sebagai anak yang soleh dan solehah serta melaksanakan kewajipan tersebut dengan baik agar hidup diberkati.

Latihan 4: (Dimensi Keluarga)


Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak menggunakan barangan buatan Malaysia. Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju menjelang 2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia? Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang paling dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. Walaubagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini. Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi mudakita. Ibu bapa patut menyeru anakanak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran. Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan dan batik, yang merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai

barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini. Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauhjauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walalau bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi. Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi. LATIHAN 5 (Dimensi Keluarga) Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. . Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa Jiran Sepakat Membawa Berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat

kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat? Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktivitiaktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat. Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau role model yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran mereka.. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anakanak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan

rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masingmasing di negara ini. Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu. Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anakanak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan. Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandarmenyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan. Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk

memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali. LATIHAN 6 (Dimensi Keluarga) Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak? Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas

menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca bukubuku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anakanak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar. Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan. Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwaperistiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, pemuda harapan ban gsa, pemudi tiang negara. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehlah juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan Jepun di negara kita sehingga terpaksa makan ubi kayu sahaja. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding kehidupan yang ditempuhi oleh nenek moyang mereka dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana anak-anak akan insaf dan sedar bagaimana susahnya kehidupan pada zaman penjajahan dan lahirnya perasaan mensyukuri nikmat kemerdekaan yang ada sekarang. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anakanak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik. Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutansambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat

disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak kemerdekaan, mendengar perkisahan cerita-cerita tentang kesengsaraan pengorbanan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara, dan sama-sama menyaksikan perbarisan yang boleh menyemarakkan semangat cinta akan tanah air. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia berdiri megah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan. LATIHAN 7 (Dimensi Keluarga) Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat. Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka? Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Ibu bapa perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Anak-anak digalakkan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang lebih kerana baik untuk kesihatan mata, gusi, kulit serta mengekalkan kecergasan tubuh badan. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan memasak makanan untuk anak-anak dan mengelakkan makan di luar rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan, dibimbangi telah tercemar kerana mungkin terdedah kepada habuk dan

asap kenderaan serta banyak mengandungi perisa makanan yang tidak baik untuk kesihatan. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan makanan ringan oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat. Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 30 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senam robik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Anak-anak yang mengamalkan senaman dan beriadah, akan lebih sihat dan dapat memberikan tumpuan terhadap pelajaran di kelas semasa guru sedang mengajar dan semasa mengulang kaji pelajaran. Menurut kajian, murid-murid yang tidak gemar bersukan dan beriadah lebih cenderung untuk berkelakuan pasif di dalam kelas selain suka berkhayal dan mengantuk ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk bagi melahirkan otak yang cerdas dan badan yang cergas. Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun di hospital atau klinik kesihatan yang berhampiran. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah dan tahap kolesterol. Tujuan pemeriksaan dibuat agar ibu bapa dapat memastikan tahap kesihatan anakanak berada dalam keadaan sihat dan baik. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segera membawa anak-anak berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Hal ini penting bagi membantu ibu bapa mengawal penyakit yang dihidapi anaknya daripada menjadi lebih serius dan kronik, bak kata pepatah cegah sebelum parah. Seterusnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran tempat tinggal pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, anak-anak diajar agar mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak

dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anakanak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak. Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga perlu mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit. Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam diri anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat. Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Anak-anak yang mendapat tidur yang secukupnya berupaya menambah tenaga untuk bergiat aktif ketika di sekolah. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Nik Nor Madihah, pelajar cemerlang SPM 2008, menyarankan agar semua pelajar tidur secukupnya. Namun, ramai dalam kalangan anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokannya merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga terganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak.. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Ibu bapa memainkan masa depan seseorang. Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gejala sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anakanak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran? Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anakanak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap rumahku syurgaku. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya LATIHAN 8 (Dimensi Keluarga) peranan penting untuk mencorakkan

anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran. Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu bapa perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anakanak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar

anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anaksebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.

Latihan 9 (Dimensi Keluarga) Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anakanak. Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula di rumah. Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anakanak. Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka. Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anakanak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan berpandukan ajaran agama. Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak. Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa dan adik-beradik yang lebih berusia seperti kakak atau abang berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak atau adik-adik bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anakanak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-

anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca dan sentiasa menunaikan solat, sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana sedemikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca dan mendirikan solat apabila masuk waktunya tanpa perlu disuruh oleh ibu bapanya. Walau ke mana-mana pun mereka pergi, amalan tersebut akan terbawa-bawa kerana sudah sebati dalam jiwa. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati. Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh. Tegasnya , pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab . Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh

yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis. Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia . Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. Latihan 10 (Dimensi Keluarga) Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu. Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut. Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat khabar, novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al Islam, dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk berfikir sedangkan majalah atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan? Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa anak-anak ke pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku

yang menarik serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih bukubuku yang disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadiulat buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah memulakan budaya membaca di rumah dengan menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat anak-anak untuk membaca bukubuku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat khabar pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak buku atau majalah yang yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh mengembangkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Apabila anakanak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat khabar yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal maka tak cinta. Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak membaca buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang

terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku . Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menyertai Kempen Galakan Membaca dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen membaca, anak-anak bukan sahaja mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya. Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi bahanbahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah seperti novel karya agung, kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi diri selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di rumah. Anak-anak juga digalakkan untuk membaca surat khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya. Apabila anakanak sudah biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian dan menjadikan membaca sebagai amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu membaca apabila ada masa terluang dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anakanak ke perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anakanak melayari internet untuk mencari judul buku ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini dapat menggalakkan anak-anak membaca karyakarya ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Latihan 11 (Dimensi Keluarga) Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna. Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai. Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai? Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. Ibu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya, banyak ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara negatif. Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan. Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep Rumahku Syurgaku demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anakanak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan dan pertengkaran di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik

untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasankawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya. Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik kerana kalau asal benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau, dilontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Jika ibu bapa mempunyai pegangan dan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna. Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu bapa borek anak rintik sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Sebagai contohnya, jika anak-anak melihat ibu bapanya mendirikan solat dan mengamalkan sikap suka membaca, anak-anak sudah pasti akan mencontohi setiap perbuatan dan perlakuan ibu bapa mereka. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna. Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah menjaga tepi kain orang lain dalam masyarakat adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan

yang sama. Ibu bapa janganlah mudah melenting apabila terdapat jiran-jiran atau guru-guru memberitahu tentang perangai anak-anak kita kerana sebagai manusia yang bukan bersifat sempurna, kadang-kadang kita sendiri sebagai ibu bapa tidak pernah mengambil tahu kekurangan dan kelemahan anak-anak kita. Hal ini demikian kerana kita sibuk dengan urusan dan kerjaya masing-masing. Oleh itu, kita perlu menganggap setiap kritikan yang diterima sebagai satu teguran yang membina. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna atau sudah terhantuk baru terngadah sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa. Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya,ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga kita. Latihan 12 (Dimensi Diri) Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa anda tercapai. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa,Tiada anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit. Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya

dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai? Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh dengan persaingan ini, amat penting bagi seseorang mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya. . Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.. Pada masa yang sama,saya juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segalagalanya.Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang.Tegasnya,saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi menunaikan harapan ibu bapa. Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Anak yang dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa ialah anak yang menyayangi dan menghormati ibu bapa. Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malah perlu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi. Dalam hal ini, saya akan mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru, jiran tetangga dan orang di sekeliling saya. Saya akan sentiasa menyayangi kedua-dua ibu bapa saya dengan sepenuh hati. Saya juga akan sentiasa melayan mereka dengan baik dengan menyahut penggilan yang lemah-lembut terhadap mereka tanpa membantah atau meninggikan suara apabila bercakap. Hal ini demikian kerana saya sedar, tanpa ibu bapa, siapalah saya. Sebagai seorang anak, saya perlu menunjukkan nilai hormat terhadap ibu bapa kerana ini adalah tuntutan agama. Allah berfirman yang bermaksud, Janganlah engkau mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ah dan janganlah engkau menengking kedua-duanya. Ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik .. Sahsiah yang saya miliki ini pasti akan menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, ahklak yang baik seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat. Saya tidak mahu menjadi anak yang derhaka seperti dalam cerita Si Tanggang yang malu mahu mengaku wanita tua yang miskin sebagai ibunya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang saya miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya ahklak seseorang itu buruk,,walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Tuntasnya, saya akan sentiasa menerapkan amalan berbudi bahasa agar menyenangkan hati ibu bapa dan memenuhi impian mereka kerana sebagai anak, saya tidak sanggup melihat ibu bapa saya berhatiwalang. Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk melawan serangan

pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini kerana Tuhan sentiasa menyeru hambanya untuk melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Sebagai seorang anak, saya juga tidak akan menghampakan harapan ibu bapa terhadap saya. Didikan agama yang saya terima daripada ibu bapa akan saya praktikkan dalam kehidupan dan saya saya tambah dengan menghadiri kelas-kelas agama atau majlis ilmu. Tegasnya,saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya. Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala sosial yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran bersama mereka bagi membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut. Saya juga tidak akan berasa tersisih sebaliknya bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakanrakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya dengan memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stres. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa. Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibn. Khaldun pernah berkata bahawa membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara.Hal ini jelas menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi sikap malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan. Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa

iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka. Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai sekali pun saya, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan kekuatan dan idola saya untuk mengejar impian dan cita-cita serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke atas diri saya. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus, saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya. Charles Dickens pernah berkata bahawa kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba. Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Latihan 13 (Dimensi Keluarga) Amalan Membaca dapat melahirkan generasi yang berjaya. Bincangkan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak. Membaca jambatan ilmu. Itulah ungkapan yang sering menjadi halwa telinga kita dalam menjelaskan kepentingan membaca. Sememangnya amalan membaca itu menjadi tali yang menghubungkan seseorang dengan pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Membaca dapat menambahkan ilmu dan keyakinan seseorang untuk berhadapan dengan dunia realiti. Namun begitu, amat menyedihkan apabila kajian yang dibuat menunjukkan majoriti masyarakat Malaysia hanya tiga buah buku sahaja setahun. Amalan membaca sepatutnya menjadi suatu budaya dalam lapisan masyarakat tanpa mengira agama ataupun bangsa seseorang. Oleh itu, dalam merealisasi hasrat murni ini, peranan ibu bapa sangat ditagih. Persoalannya , apakah peraran ibu bapa dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak ? Ibu bapa ialah suri teladan utama kepada anak-anak. Ibu bapa mesti mendidik dan menanam minta membaca dalam kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Unt uk itu, ibu bapa hendaklah menerapkan amalan membaca dalam kehidupan seharian. Ibu bapa hendaklah membudayakan amalan mulia ini di hadapan anak-anak di samping mengajak mereka membaca bersama-sama. Tindakan segelintir ibu bapa yang selalu membacakan buku cerita kepada anak-anak kecil mereka sebelum tidur pada waktu malam wajar dipuji kerana amalan ini tanpa disedari boleh memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Kedua-dua ibu bapa jugaperlu membimbing anak-anak untuk memilih bahan bacaan yang bermutu dan sesuai dengan usia mereka.

Dalam usaha menjadikan amalan membaca sebagai budaya dalam kalangan anak-anak, ibu bapa haruslah bersedia membuat sedikit pelaburan dengan membeli bahan bacaan yang mencukupi untuk anak-anak. Walaupun pelaburan ini tidak menampakkan keuntungan dalam jangka masa pendek, namun dalam jangka masa panjang pelaburan ini cukup menguntungkan. Hal ini dikatakan demikian kerana ,anak-anak yang gemar membaca akan mempunyai pemikiran yang matang di samping melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam bidang akademik. Secara tidak langsung, tindakan ini seolah-olah menjadi serampang dua mata dalam usaha melahirkan anak-anak yang cemerlang. Bahan bacaan yang boleh menjadi pilihan ibu bapa untuk tatapan anak-anak ialah bahan bacaan ilmiah dan majalah seperti Asuh, e-Baca, Kawan dan sebagainya. Selain itu, ibu bapa boleh membeli akhbar perdana setiap hari seperti akhbar Berita Harian dan Utusan Malayisia supaya anak-anak dapt membaca berita utama setiap hari sebagai persediaan untuk menjawab soalan karangan bahagian A dan B. Seelok-eloknya, ibu bapa melanggan surat khabar harian dan majalah-majalah seperti ini pada setiap bulan. Untuk menanam minat membaca dalam kalangan anak-anak, ibu bapa juga sewajarnya menyediakan ruang yang selesa di rumah sebagai tempat membaca. Bagi yang berkemampuan, mereka boleh menyediakan sebuah bilik yang dilengkapi dengan kerusi dan meja yang selesa serta pendingin hawa. Bilik yang kondusif seperti ini mampu mencetus minat yang lebih baik kepada anak-anak untuk membaca. Mereka juga boleh belajar dan mengulang kaji pelajaran di bilik ini. Ibu bapa yang kurang berkemampuan pula boleh menyediakan satu sudut atau bilik khas yang jauh daripada ruang menonton televisyen agar tumpuan anak-anak ketika membaca tidak akan terganggu. Dengan adanya bilik atau tempat khusus untuk membaca ini dan ditambah pula dengan susulan buku yang pelbagai genre di dalam bilik tersebut akan melahirkan suasana seperti sebuah perpustakaan di rumah sendiri yang mampu menarik minat semua orang untuk membaca. Perpustakaan merupakan khazanah ilmu. Kunjungan seseorang ke perpustakaan akan membuka nafsu mereka untuk membaca. Oleh itu, dalam hal ini ibu bapa sewajarnya menetapkan satu hari pada setiap bulan untuk membawa anak-anak berkunjung ke perpustakaan awam. Anak-anak perlu dibiasakan dengan gedung ilmu ini kerana selain membaca, ibu bapa juga boleh membantu anak-anak meneroka pelbagai ilmu yang dapat diperoleh melalui buku-buku di perpustakaan. Anak-anak akan mempunyai pilihan untuk memilih bahan-bahan yang diminati. Sebenarnya, kunjungan ke perpustakaan selain dapat terus memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak, kunjungan ini juga dapat menjimatkan belanja ibu bapa kerana tidak perlu membeli buku untuk di baca oleh anak-anal sebaliknya hanya meminjam sahaja daripada perpustakaan. Akhir sekali, ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak membaca dengan memberi hadiah dan ganjaran. Hadiah dan ganjaran mungkin dalam bentuk barangan atau wang ringgit. Ganjaran yang dijanjikan ini akan memberi motivasi dan galakan kepada anak-anak dan seterusnya menjadi tarikan untuk mereka membaca. Anak-anak di minta membaca buku atau bahan bacaan lain sebanyak mungkin dalam tempoh sebulan.Mereka perlu bersaing antara adik-beradik untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh ibu bapa. Persaingan ini sangat sihat kerana mereka akan memdapat pelbagai ilmu dan maklumat yang buku yang di baca di samping hadiah yang bakal diberikan oleh ibu bapa mereka. Hakikatnya , budaya membaca banyak mendatangkan manfaat. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu proaktif dalam usaha menggalakkan anak-anak membaca. Walaupun sesibuk mana, ibu bapa perlu meluangkan sedikit masa untuk menemani dan membaca bersamasama dengan anak. Pepatah bapa borek anak rintik memberi gambaran kepada umum bahawa anak-anak akan mengikut semua tindakan yang dibuat oleh ibu bapa mereka. Jadi, ibu bapa hendaklah menjadikan amalan mulia ini sebagai ikutan anak-anak.

LATIHAN 14 (Dimensi Keluarga) Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat bersukan dalam diri anak-anak. Huraikan pendapat anda. Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita selain bidang pelancongan dan perindustrian. Hal ini demikian kerana, bidang sukan mendatangkan pelbagai faedah kepada masyarakat dan negara. Selain melahirkan masyarakat yang cergas dan sihat, bidang sukan juga mampu menjana ekonomi yang baik kepada negara dan memberi pulangan yang lumayan kepada ahli-ahli sukan. Dato Lee Chong Wei yang merupakan pemenang pingat perak sukan Olimpik dua kali berturut-turut pada tahun 2008 dan 2012 dan Dato Nicol David, Ratu Squasy negara yang sudah beberapa kali dinobatkan sebagai Juara Dunia adalah antara ahli sukan yang memperoleh pendapatan yang lumayan hasil daripada bidang sukan yang diceburi. Oleh itu, untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang berminat dalam bidang sukan, ibu bapa hendaklah memberi galakan dan motivasi kepada anak-anak agar menceburkan diri dalam bidang sukan. Berdasarkan kajian, 80 hingga 85 peratus ibu bapa mampu mempengaruhi anak-anak untuk bersukan. Sekiranya ibu bapa mampu memberikan sokongan dan galakan, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan negara akan tercapai dan Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang sukan, Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam memupuk minat bersukan dalam diri anak-anak? Usaha pertama yang perlu dilakukan oleh setiap ibu bapa bagi memupuk minat bersukan dalam diri anak-anak ialah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak. Ibu bapa haruslah menunjukkan semangat kesukanan agar anak-anak juga memiliki semangat yang sama dalam diri mereka. Untuk memupuk semangat bersukan, ibu bapa boleh bermula dengan melakukan senaman atau riadah bersama anak-anak. Ibu bapa boleh berjoging, bermain badminton dan melakukan aktiviti kecergasan di padang terutama pada waktu hujung minggu. Secara tidak langsung, minat anak-anak terhadap sukan akan bercambah. Apabila anak-anak membesar, minat mereka terhadap sukan akan berkembang. Sebagai contohnya, anak-anak yang telah didedahkan dengan sukan bola sepak dan badminton oleh ibu bapa sejak kecil, sudah pasti mereka akan berminat menceburkan diri dalam sukan badminton. Selain itu, jika ibu bapa mempunyai masa terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke pusat-pusat sukan yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia sukan. Ibu bapa harus sedar bahawa setiap tindak tanduk ibu bapa sering diperhatikan oleh anak-anak. Sekiranya ibu bapa tidak pernah bersukan, masakan anak-anak mahu bersukan? Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak-anak sejak kecil lagi untuk bersukan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan aktiviti sukan sebagai satu amalan ke mana- mana sahaja mereka berada, bak kata pepatah, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Selain itu, langkah lain yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak bersukan ialah ibu bapa perlu menyediakan peralatan sukan yang lengkap kepada anak-anak yang boleh mendorong minat anak-anak untuk bersukan. Peralatan-peralatan sukan yang mudah didapati haruslah disediakan seperti raket badminton, bola sepak, kasut bola dan alat-alat keselamatan untuk bersukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak untuk bersukan dengan menggunakan pelbagai peralatan yang telah tersedia di depan mata mereka. Sekiranya anak-anak memiliki kelengkapan sukan yang lengkap dan sesuai, sudah pasti mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa yang sanggup berkorban dengan memperuntukkan sejumlah besar wang bagi menyediakan gelanggang sukan pelbagai guna seperti gelanggang badminton, sepak takraw, bola keranjang dan tennis

sudah pasti dapat menyuburkan minat anak-anak untuk bersukan dengan menggunakan kemudahan yang tersedia di depan mata mereka. Kasih sayang yang dicurahkan bagai menatang minyak yang penuh oleh ibu bapa kepada anak-anak sudah pasti mampu membuka mata anak-anak untuk menghargai segala usaha yang dilakukan oleh ibu bapa dan seterusnya menimbulkan minat yang mendalam untuk bersukan. Sejarah sukan badminton tanah air pasti tidak pernah melupakan pengorbanan Dato Mohd Siddik Kamar dalam usaha membantu negara melahirkan jaguh badminton terkenal di persada antarabangsa seperti Misbun Siddik, Razif Siddik, Jailani Siddik, Rashid Shiddik dan Rahman Shiddik. Pengorbanan beliau dengan membina gelanggang badminton di halaman rumahnya sendiri akhirnya berbaloi kerana semua anaknya berjaya menjadi pemain badminton yang terkenal. Tegasnya, usaha ibu bapa menyediakan peralatan sukan yang lengkap dapat melahirkan generasi yang minat untuk bersukan. Di samping itu, untuk memupuk semangat bersukan dalam diri anak-anak, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke stadium dan tempat-tempat pertandingan yang menganjurkan pelbagai jenis kejohanan sukan sama ada peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa. Hal ini dapat menimbulkan rasa minat untuk bersukan dalam diri anakanak kerana tak kenal maka tak cinta. Anak-anak terbiasa dengan suasana meriah dan penuh dengan semangat kesukanan apabila berdiri bersama lautan penyokong sukan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan negara serantau. Anak-anak yang menyaksikan kejohanan sukan secara langsung di stadium akan bersama-sama bertepuk tangan memberikan sokongan kepada atlet-atlet yang bertanding. Mereka turut bersemangat apabila berdiri menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama pemain-pemain memenangi kejohanan sukan yang disaksikan. Dengan itu, perasaan minat untuk bersukan juga seterusnya akan bercambah sedikit demi sedikit dalam diri anak-anak. Secara tidak langsung, anak-anak akan meminati sukan tersebut dan mencuba sukan yang telah dipersembahkan di hadapan mereka dengan kaedah yang betul malah mampu membawa anak-anak ke satu tahap yang lebih tinggi setelah mereka mengkaji sukan-sukan yang telah dipertonton. Sebagai contohnya, apabila anak-anak sering menyaksikan sukan bola sepak di stadium sama ada di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa bersama-sama ibu bapa, mereka akan jatuh cinta dan berminat untuk menceburkan diri dalam sukan tersebut dan berusaha mencuba menjadi yang pemain yang terbaik dalam sukan itu. Perkara seperti ini akan sentiasa dipraktikkan sehingga anakanak menjadi dewasa. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak ke stadium-stadium dan tempat-tempat kejohanan sukan berlangsung, merupakan salah satu langkah yang berkesan bagi melahirkan anak-anak untuk bersukan dengan lebih cemerlang dan menjadi penggiat sukan dan seterusnya melahirkan anak-anak yang cinta dan minat untuk bersukan. Seterusnya, langkah yang lebih progresif ialah ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak bersukan dengan cara mendaftar anak-anak menjadi ahli kelab sukan. Melalui penyertaan dalam kelab sukan, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan sukan yang terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Bola Sepak Maybank yang ditubuhkan bagi mencungkil bakat muda. Ibu bapa haruslah menjadi ahli kelab terlebih dahulu sebelum mendaftarkan anak ke kelab sukan supaya anakanak terbina semangat untuk menceburi sukan yang disertai oleh ibu bapa. Anak-anak boleh diibaratkan seperti sehelai kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan warna pada kain tersebut dengan mendaftarkan anak-anak ke kelab sukan. Bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Maka acuan-acuan yang terbentuk apabila anak-anak menyertai kelab ini sudah pasti acuan yang cinta akan sukan. Apabila anak-anak menjadi ahli kelab sukan mereka akan didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan sukan. Anak-anak akan didedahkan dengan permainan dan sukan-sukan tertentu yang boleh diceburi oleh anak-anak. Secara tidak langsung, anak-anak dapat membezakan cara permainan yang baik dan cara permainan yang tidak baik. Anak-anak pasti memilih cara permainan yang baik

kerana boleh mematangkan cara permainan supaya dapat menjadi yang terbaik dalam apa jua bidang sukan yang diceburi. Tegasnya, ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak menyertai kelab sukan agar anak-anak yang berminat untuk bersukan dapat dilahirkan. Tambahan lagi, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menceburkan diri dalam bidang sukan dengan lebih aktif dengan memberikan sokongan moral. Anak-anak hendaklah digalakkan bergiat cergas dalam dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan di sekolah. Hal ini demikian kerana aktiviti sukan dapat menyihatkan dan mencergaskan badan, bak kata pepatah, otak cerdas, badan cergas. Anak-anak yang telah dikenal pasti bakat dan potensinya dalam sukan-sukan tertentu, haruslah digalakkan mencipta kejayaan yang cemerlang. Minat tersebut perlu dipupuk sejak kecil oleh ibu bapa kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Setelah dewasa, bakat anak-anak akan terus berkembang agar dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat permainan atau latihan tersebut diadakan. Sokongan yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan menyebabkan anak-anak lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam sukan tersebut. Sebagai tanda sokongan, ibu bapa boleh menemani anak-anak ketika menjalani latihan atau hadir untuk menyaksikan anak-anak bertanding dalam sesuatu acara sukan mahupun permainan. Keadaan ini pasti menimbulkan kesan yang mendalam dalam diri anak-anak dalam usaha mencapai kejayaan yang diharap-harapkan kerana tinggi gunung tinggi lagi harapan. Tegasnya, anakanak terdorong untuk menceburkan diri dalam bidang sukan seandainya kedua-dua ibu bapa sentiasa memberi dorongan dan motivasi serta galakan kepadanya dalam bersukan. Akhir sekali, ibu bapa juga hendaklah memupuk minat bersukan dengan membelikan majalah sukan yang diminati oleh anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam sukan dengan lebih serius. Mereka akan mendapat maklumat yang terkini tentang perkembangan sukan melalui majalah sukan tersebut. Kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah sukan akan menjadi pencetus semangat serta motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya. Selain itu, ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak mereka melayari internet untuk mendapat bahan tentang jenis sukan dan cara-cara atau teknik-teknik terbaik untuk permainan yang diminati. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat tidak kira tua mahupun muda. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari bahan tentang cara permainan sukan yang terbaik dan terkenal supaya boleh menjadi contoh dan diikuti apabila bersukan. Sudah terang lagikan bersuluh, hampir semua golongan remaja terpengaruh dengan internet. Oleh hal yang demikian, ibu bapa bolehlah menjadikan internet sebagai salah satu medium utama dalam usaha memupuk minat bersukan dalam diri anak-anak. Hal ini dapat menggalakkan anakanak bersukan supaya boleh melahirkan anak-anak yang sihat. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan internet boleh dijadikan panduan untuk bersukan dengan lebih baik dan bermutu tinggi. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam internet. Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat bersukan dengan membimbing anakanak melayari internet. Berdasarkan perbincangan diatas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan generasi yang minat bersukan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak bersukan. Asas pendidikan bermula dari rumah, sudah pasti ibu bapa memainkan peranan penting kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti bersukan, kesihatan anak-anak sudah pasti terjamin. Imam Al-Ghazali pernah menyatakan bahawa, ciri yang membezakan anatara manusia dengan haiwan ialah ilmu, maka manusia menjadi mulia kerana ilmunya dan bukan kerana kekuatan dirinya.tegasnya,

ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat sukan dalam kalangan anak-anak.
Karangan Dimensi Masyarakat/Negara Latihan 1: (Dimensi Masyarakat) Dasar 1 Murid 1 Sukan telah dilaksanakan di sekolah-sekolah di seluruh Negara untuk memastikan setiap murid melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh oleh murid-murid apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Melihat di skrin kotak hiburan tentang kejayaan Datuk Lee Chong Wei, pemain badminton Nombor Satu di dunia dan Ratu Squasy kita, Datuk Nicol David, terasa bangga dan kagum dengan kehebatan negara kita dalam bidang sukan. Namun tertanya-tanya dalam diri saya pula adakah kejayaan ini akan diteruskan? Adakah masyarakat di negara kita terutamanya golongan remaja mampu mewarisi gelaran atlet-atlet kita ini dengan hanya melepak ataupun duduk berjam-jam di depan skrin komputer? Sudah jelas masalah-masalah ini telah menjadi kebimbangan dan keresahan banyak pihak terutamanya pihak kerajaan. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Dasar ini mewajibkan semua murid di negara ini memilih satu jenis sukan. Namun, segala-galanya tidak akan membuahkan hasil jika murid-murid tidak sedar akan kepentingan bersukan. Persoalannya, apakah faedahfaedah terlibat dalam aktiviti sukan? Faedah bersukan yang pertama adalah kita dapat menjamin kesihatan yang sihat. Kita amat jelas bahawa apabila kebanyakan dalam kalangan kita lapar sahaja, makanan segera di KFC, MacDonald, PizzaHut dan sebagainya akan terlintas di minda kita. Namun, adakah kita sedar bahawa kekerapan memakan makanan segera dan malas pula untuk bersenam akan menyebabkan kita diserang pelbagai penyakit berbahaya? Sekiranya kita bersenam ataupun bersukan, secara tidak langsung kita akan dapat menghindarkan diri kita daripada pelbagai penyakit berbahaya seperti kencing manis, sakit jantung, saluran darah tersumbat, dan sebagainya. Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati? Lagipun bersukan tidak memerlukan kos yang tinggi kerana segala kemudahan sukan telahpun disediakan oleh pihak kerajaan. Oleh itu, mengapakah kita tidak memilih untuk bersukan daripada membiayai kos perubatan yang mungkin mencecah beribu-ribu ringgit? Tegasnya, bersukan dapat mengelakkan diri kita daripada menghidapi pelbagai penyakit berbahaya yang mungkin meragut nyawa kita. Selain itu, otak yang cerdas lahir daripada badan yang sihat. Oleh itu, amatlah digalakkan murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan kerana bersukan akan dapat membantu dalam pencapaian akademik mereka. Sebenarnya, murid-murid mempunyai tanggapan yang salah tentang bersukan yang hanya akan menyebabkan mereka letih dan berpeluh. Selepas berpeluh, murid-murid akan berasa lebih selesa kerana toksin dalam tubuh badan mereka telah dikeluarkan melalui peluh. Sekiranya murid-murid berasa letih atau mengantuk, semuanya berpunca daripada amalan rutin harian mereka yang sering tidur lewat. Sebaliknya, bersukan dapat menyegarkan otak dan minda kita supaya dapat berfikir dengan jelas serta dapat menimbang dan berfokus dengan lebih mahir. Justeru, murid yang selalu bersukan akan lebih mudah menerima pelajaran dan dapat menumpukan perhatian ketika waktu pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, murid-murid akan lebih berkeyakinan. Natijahnya, pencapaian akademik mereka akan meningkat. Jelasnya, murid-murid yang melibatkan diri yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan akan dapat menyumbang dalam pencapaian akademik mereka kerana badan cergas, otak cerdas. Seterusnya, semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan murid melalui aktiviti sukan. Dasar 1 Murid 1 Sukan merupakan jambatan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara murid. Negara kita, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu, semangat perpaduan amatlah penting untuk memastikan negara kita aman dan damai. Melalui aktiviti sukan, murid-murid akan

berkenalan dengan ramai kenalan baru yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, dan budaya. Hal ini kerana demi melahirkan atlet-atlet, pihak kerajaan akan mengumpulkan semua murid yang aktif dan berminat dalam sukan di seluruh negara di bawah satu bumbung dan mengajar mereka tentang teknik-teknik serta maklumat yang berkaitan dengan sukan. Di bawah satu bumbung yang terdapat pelbagai kaum yang mempunyai minat yang sama iaitu sukan, sudah pasti murid-murid dapat berinteraksi dengan mudah dan saling bertukar pandangan dan pendapat. Oleh itu, melibatkan diri dalam aktiviti sukan bukan sahaja membolehkan murid-murid mendapat kenalan baru, malah juga dapat memantapkan semangat perpaduan di negara kita. Di samping itu, dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan, murid-murid dapat mengelakkan diri mereka daripada terjebak dalam gejala sosial. Hal ini berikutan masa lapang mereka akan diisi dengan aktiviti yang berfaedah seperti bersukan. Murid-murid yang dapat membezakan antara permata dengan kaca tentu dapat tahu bahawa bersukan lebih mendatangkan faedah daripada terlibat dalam gejala sosial yang hanya mencontengkan arang ke muka ibu bapa. Sekiranya murid-murid mengisi masa senggang mereka dengan bersukan maka mereka akan dapat mengelakkan diri daripada terjatuh ke lembah kehinaan. Bukankah berjoging di taman ataupun bermain permainan seperti badminton, bola keranjang, bola jaring, dan bola sepak lebih baik dan bermanfaat daripada melepak di kaki lima yang hanya membazirkan masa kita ataupun merosakkan kemudahan awam yang hanya mencederakan diri kita? Mengapakah kita tidak memilih untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang baik untuk kesihatan kita dan mungkin dapat memanjangkan usia hidup kita daripada terlantar di hospital ataupun meninggal dunia pada usia yang masih muda dan lebih menyedihkan lagi fizikal kita tidak sempurna akibat terlibat dalam gejala sosial? Tegasnya, murid-murid dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala sosial dengan mengisi masa lapang mereka dengan bersukan. Melalui aktiviti sukan, murid-murid juga dapat melatih diri mereka lebih berdisiplin, dapat menerapkan sifat-sifat kepimpinan dan memahami erti kerjasama. Semasa pertandingan permainan sukan, murid-murid perlu mematuhi segala peraturan permainan agar permainan itu dimainkan dengan adil dan saksama. Oleh itu, murid-murid telah dilatih untuk menjadi lebih berdisiplin. Dalam permainan sukan seperti bola sepak, bola jaring, bola keranjang, dan hoki yang dimainkan dalam bentuk berpasukan membolehkan murid-murid dapat berkomukasi antara satu sama lain dengan lebih baik. Hal ini kerana murid-murid perlu memikirkan dan sentiasa berbincang strategi untuk permainan mereka. Secara tidak langsung, mereka akan bersatu padu bagaikan sebuah keluarga yang besar. Sifat kepimpinan juga dapat diterapkan dalam diri murid-murid. Ketua pasukan perlu menyatukan semua ahli pasukannya untuk menjayakan sesuatu pertandingan. Seseorang ketua perlu sentiasa menggalakkan ahlinya untuk bermain dengan sepenuh hati dan bermain dengan sebaik mungkin. Tegasnya, murid-murid dapat membina sahsiah yang baik melalui aktiviti sukan. Akhir sekali, murid-murid dapat menjadikan sukan sebagai kerjaya mereka. Sebenarnya, pihak sekolah dan pihak kerajaan bukan sahaja fokus pada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik tetapi juga giat mencungkil bakat murid-murid dalam bidang sukan. Hal ini jelas dibuktikan apabila pihak kerajaan sanggup membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina kemudahan sukan di negara kita. Murid-murid akan dapat mencipta nama sendiri di arena antarabangsa dalam bidang sukan. Lagipun, kejayaan murid-murid dalam bidang sukan akan menjadi kebanggaan setiap lapisan masyarakat. Contohnya, semasa Datuk Lee Chong Wei sedang bertanding untuk mendapat juara dalam pertandingan badminton antarabangsa, seluruh Malaysia bersorak untuk beliau. Datuk Misbun Sidek, jurulatihnya juga pernah terlibat secara aktif di pentas badminton antarabangsa. Dari seorang pemain badminton wakil sekolah, beliau kini telah menjadi seorang jurulatih kepada pemain lapis dalam pasukan badminton kebangsaan Malaysia. Murid-murid yang berjaya dan dapat

mencipta kejayaan dalam bidang sukan akan dapat meningkatkan imej keluarganya, mengharumkan nama sekolah dan seterusnya memperkenalkan Malaysia di arena antarabangsa. Jelasnya, murid-murid dapat memperkenalkan diri mereka dalam bidang sukan. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat banyak faedah yang dapat diperoleh oleh murid-murid apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Namun, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing agar dapat memupuk minat murid-murid dalam bidang sukan. Sesungguhnya, tiada masalah yang tanpa penyelesaiannya kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalannya. Negara kita bukan sahaja memerlukan pemimpin yang bijaksana tetapi juga memerlukan atlet-atlet yang mampu membanggakan negara kita agar negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dan berlari sama gagah dengan negara-negara maju. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyeru Malaysia Boleh!

Latihan 2: Dimensi Masyarakat/Negara

Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya yang berlainan, perpaduan amat penting dalam mencapai matlamat pembangunan negara. Sarankan usaha-usaha meperkukuh perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain, namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh perpaduan kaum bukannya mudah. Pelbagai usaha dijalankan ke arah perpaduan termasuk penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Rukun Tetangga hinggalah kepada Pelan Integrasi Nasional, Sekolah Wawasan, dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Persoalannya, apakah usaha-usaha maemperkukuh perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini? Antara usaha untuk memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini ialah rakyat Malaysia perlu menyertai aktiviti kemasyarakatan. Sebagai contohnya, masyarakat boleh mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan seperti membersihkan kawasan longkang, semak-samun dan sebagainya. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati suasana harmoni dalam kalangan masyarakat. Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung seperti rumah terbuka rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan. Kebudayaan dan adat resam antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman, bertimbang rasa serta membina masyarakat yang saling menghormati. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalin hubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh. Tambahan lagi sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk

tempatan. Usaha ini secara tidak langsung, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum. Di samping itu, pendidikan juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia. Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada semua kaum dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan sejak dari kecil lagi malahan dapat memupuk semangat kerjasama melalui aktiviti kokurikulum dan kokurikulum. Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu serta tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sejak di prasekolah lagi sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada prinsip Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil. Bagi mempererat perpaduan antara kaum di bumi bertuah ini, media massa pula mempunyai peranan yang tersendiri. Semua saluran media di Malaysia, tidak kira media cetak atau elektronik, membuat liputan yang begitu bertanggungjawab tentang isu-isu yang membabitkan kaum. Pihak media jarang-jarang menyiarkan berita yang boleh menggugat perpaduan nasional dan kestabilan politik negara. Pihak media harus sedar betapa besarnya peranan dan pengaruh yang ada pada mereka. Justeru, mereka sungguh berhati-hati dalam mengendalikan sesuatu isu sensitif yang menyentuh soal bangsa, agama dan bahasa. Banyak pengajaran yang telah kita terima daripada peristiwa-peristiwa hitam yang pernah melanda negara seperti Peristiwa 13 Mei 1969. Seterusnya, perpaduan dapat dikukuhkan melalui penglibatan dalam kegiatan sukan. Hal ini demikian kerana melalui bersukan, semua lapisan masyarakat dapat melibatkan diri tanpa mengira perbezaan kaum. Berkongsi minat dalam sukan yang sama akan melahirkan sikap tolong-menolong dan saling menghormati di samping memupuk semangat kesukanan dan semangat berpasukan yang tinggi. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan sama-sama memberikan sokongan padu kepada atlet-atlet yang bertanding atas semangat Malaysia Boleh. Tegasnya, kegiatan sukan dapat menyatukan semua kaum dalam sesebuah pasukan. Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agarWawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.
Latihan 3: Dimensi Masyarakat/Negara

Kejadian tanah runtuh merupakan petaka yang terjadi akibat kelalaian manusia. Manusia masih mempunyai cara untuk mengelakkan tanah runtuh. Huraikan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh.

Bencana tanah runtuh merupakan satu fenomena yang serius seperti kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada Disember, 2006 dan kejadian meragut nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat baru-baru ini memerlukan satu pendekatan yang dinamik dan menyeluruh. Fenomena ini merupakan rentetan daripada kegagalan pelbagai pihak bertindak ke atas kesan-kesan semula jadi dan tindakan manusia. Pelbagai reaksi yang ditunjukkan, ada pihak melempar batu, sembunyi tangan. Ada pihak tidak ambil pusingdengan tanda-tanda awal kejadian mungkin berlaku. Justeru, usaha-usaha yang lebih pragmatis perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini lagi. Pemusnahan hutan dan aktiviti pembalakan tanpa kawalan lazimnya dikaitkan dengan fenomena tanah runtuh ini. Kerakusan manusia menggeledah rimba raya dan bukit bukau ini telah mengganggu ekosistem dan lestari alam. Keadaan tanah di cerun bukit digondolkan serta mendedahkanya kepada risiko tanah runtuh. Pokok-pokok yang menjadi ikatan kepada tekstur tanah telah ditebang dan dibuang. Apabila hujan turun air yang mengalir menjadi beban kepada cerun yang longgar dan tidak stabil. Hal ini boleh menyebabkan tanah rebah seperti yang pernah berlaku di tanah tinggi Genting Highland dan Pos Dipang satu ketika dahulu. Oleh itu, kawalan terhadap penebangan hutan dan aktiviti pembalakan ini diharapkan dapat menjadi satu usaha jitu dalam menyelamatkan cerun dan tanah daripada runtuh dan mengancam nyawa. Selain itu, usaha menanam semula tumbuh-tumbuhan selepas aktiviti pembangunan merupakan langkah yang agak efisen bagi meminimakan kejadian tanah runtuh. Manusia mengolah alam sekitar dan hidupan untuk mendapatkan keperluan asas hidupnya seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, dan mendirikan tempat rekreasi. Dalam usaha memenuhi keperluannya, manusia telah membuka hutan untuk pertanian, perumahan, industri, perlombongan, membina empangan dan mengeringkan hutan paya bakau. Aktiviti-aktiviti manusia ini menukar alam persekitaran serta menghapuskan habitat semula jadi, banyak sepsis tumbuhan musnah. Oleh itu, kerjasama semua pihak yang terbabit membuang segala sifat evasif dengan memikul tanggungjawab lapang bagi memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Ghalibnya, usaha ini dapat kembali menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan. Bagi mengelak kejadian buruk ini, negara perlu mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan sistematik terhadap setiap pelan pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Kita ambil contoh, pembangunan tanah perlu diberi perlesenan wajar, mengambil kira jenis tanah dan kawasan serta faktor cuaca dan alam semula jadi. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam dengan projek yang bakal dimajukan. Usaha ini diharapkan dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Tanah runtuh juga mungkin dapat dielakkan, jika negara menguatkuasakan undangundang. Hanya undang-undang sahaja yang dapat mencegah kedegilan dan kerakusan manusia mengaut keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan sosial. Pesalah perlu dihukum mengikut undang-undang. Rasuah dan sikap pilih bulu perlu diketepikan sama sekali dalam menjayakan agenda negara agar keberkesanan tindakan dapat dilihat hasilnya. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, akta tanah, akta perhutanan dapat menjaga hak dan menyelamatkan situasi genting. Pembangunan dilakukan dengan berhati-hati sudah pasti dapat meminimakan kejadian ini. Konklusinya, sikap bertanggungjawab semua pihak amat perlu dalam mengelakkan kejadian tanah runtuh ini. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap sedemikian sering mengundang padah. Bagi mengatasi masalah ini, sinergi dari semua lapisan masyarakat sahaja dapat menjayakan misi dan visi murni ini.

Sesungguhnya, tindakan kita perlu umpamamenarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak. Kerja yang teliti pasti membuahkan hasil yang baik.
Karangan Dimensi Masyarakat/Negara Latihan 4: Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin berkurangan.

Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya sastera? Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, Salina oleh A.Samad Said, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur oleh Kamaludin Muhamad dan Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan mengulas novel, sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan para pelajar untuk membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan setiap kelas menyediakan satu ruang atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya sastera ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera. Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.

Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera. Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera. Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karyakarya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu. Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.
Karangan Dimensi Masyarakat/Negara Latihan 5:

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini? Orang Kurang Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat keadaan fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal dan mental ini menghalang mereka dari melakukan aktiviti-aktiviti normal seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kurang upaya secara kekal

dan kurang upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada , masyarakat kurang upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU meneruskan kehidupan dengan sempurna. Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini kerana masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain. Golongan Kurang Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya. Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati,belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati. Media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkah kisah sedih dan pilu OKU untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini , perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka. Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu OKU dengan memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang . Golongan Kurang Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini ,OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri . Setelah mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga. Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit , makanan dan minuman, pakaian , tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat mengembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain. Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu

diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu. Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja.Selain itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka. Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguhsunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.

Karangan Dimensi Masyarakat/Negara Latihan 6:

Semangat Kejiranan dalam kalangan rakyat di negara ini semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh pelbagai pihak supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan? Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa Jiran sepakat membawa berkat. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkahlangkah yang wajar diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat? Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang

diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.Usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan janganlah seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jelasnya,kempen yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan. Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Malahan, menurut laporan majalah The Times di Australia. kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara aktiviti yang terbaik di dunia. Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan.Media cetak misalnya boleh menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan .Media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah .Sesungguhnya,berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha Majalah 3 menyiarkan Colour of Malaysia wajar disokong. Justeru,semangat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan melalui media massa. Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalan kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina,Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi. Di samping itu, Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Taman juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan,s emua ahli keluarga jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air ke dalam botol ,terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga.Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi atau padang sekolah yang berhampiran .Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu

antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu,ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan. Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjungmengunjungi dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkanke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita itu. Kesimpulannya, kita perul memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Oleh itu,dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi,dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Karangan Dimensi Masyarakat/Negara Latihan 7:

Permainan tradisional sudah tidak lagi diberikan perhatian dan semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Bincangkan peranan pelbagai pihak untuk mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat. Permainan tradisional ialah permainan tradisi nenek moyang kita yang telah diwarisi sehingga kini secara turun-temurun. Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis permainan seperti wau atau layang-layang, gasing, congkak, sepak raga, galah panjang dan permainan teng-teng. Walau bagaimanapun, permainan tradisional kian kurang diberi perhatian oleh generasi muda dan semakin dilupakan. Hal ini disebabkan oleh pelbagai permainan video dan permainan

komputer di pasaran seperti play station, game boy dan permainan internet. Selain itu, perhatian terhadap permainan ini juga kurang diberi oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu, kita perlu memastikan permainan ini terus diwarisi agar tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak bagi mempopularkan semula permainan-permainan tradisional? Dalam mempopularkan semula permainan tradisional, setiap individu memainkan peranan yang penting. Setiap individu harus menanamkan sikap suka akan permainan tradisional dan sentiasa mencari peluang untuk mendalami dan memahami permainanpermainan tradisional. Setiap individu juga mestilah mempelajari cara bermain permainan tersebut. Hal ini demikian kerana mewarisi permainan tradisional ini merupakan tanggungjawab kita sebagai generasi muda yang menghargai warisan khazanah budaya. Kita juga mestilah melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti-aktiviti permainan tradisional yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sebagai sokongan terhadap permainan tradisional di negara kita. Sambutan yang hangat terhadap aktiviti-aktiviti ini amat penting supaya aktiviti-aktiviti tersebut terus dianjurkan dan lebih ramai orang boleh menyertainya. Tegasnya, setiap individu harus berusaha dan memainkan peranan dirinya bagi menyokong usaha mempopularkan permainan tradisional. Selain itu, peranan ibu bapa juga penting untuk mempopularkan permainan tradisional kepada anak-anak. Ibu bapa merupakan orang yang terdekat kepada anak-anak dan anak-anak juga menghabiskan kebanyakan masanya dengan ibu bapa mereka. Oleh itu, amat mudah bagi ibu bapa untuk memupuk minat dalam permainan tradisional dalam diri anak-anak terutamanya semasa anak-anak masih kecil. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ibu bapa mestilah memperkenalkan permainan tradisional kepada anakanak sejak kecil lagi. Ibu bapa boleh menyediakan pelbagai jenis permainan tradisional seperti gasing, congkak dan wau di rumah. Ibu bapa juga mestilah meluangkan masa untuk bermain permainan tradisional bersama anak-anak dan mengajar mereka cara bermainnya. Ibu bapa juga boleh memperkenalkan permainan tradisional yang berlainan kepada anak-anak dari masa ke masa supaya minat dalam permainan tradisional akan terus ditanam diri anakanak. Jelasnya, sebagai orang-orang yang paling berpengaruh terhadap anak-anak, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan anak-anak. Salah satu lagi usaha bagi mempopularkan permainan tradisional adalah melalui pihak sekolah. Pihak sekolah sebenarnya memainkan peranan yang amat penting dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Hal ini demikian kerana pihak sekolah boleh menubuhkan kelab permainan tradisional di sekolah supaya para pelajar boleh menyertai permainan tersebut. Melalui penyertaan dalam kelab tersebut, pelajar-pelajar boleh mengenali permainan-permainan tradisional dengan lebih mendalam dan mempelajari cara bermainnya. Kelab permainan tradisional juga boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari semasa ke semasa. Pelajar akan sanggup berlatih bagi memenangi pertandingan tersebut dan secara tidak langsung, minat terhadap permainan tradisional dapat dipupuk dalam diri pelajar. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jelasnya, pihak sekolah sememangnya boleh melakukan pelbagai usaha bagi mempopularkan permainan tradisional terutamanya dalam kalangan pelajar. Di samping itu, masyarakat juga boleh melakukan pelbagai usaha untuk mempopularkan semula permainan tradisional. Sebagai contoh, masyarakat boleh menyediakan pelbagai jenis permainan tradisional untuk kemudahan orang ramai di tempattempat awam kawasan kediaman mereka seperti di dewan orang ramai dan sebagainya.

Dengan sokongan masyarakat tersebut, orang ramai lebih mudah untuk mendapatkan kemudahan apabila mereka hendak bermain permainan tradisional tersebut. Bagi warga tua pula, mereka boleh mengajar anak-anak muda untuk mempelajari cara permainan tradisional supaya warisan budaya ini tidak lenyap pada masa akan datang. Dengan ini, anak-anak muda boleh mempelajari dan bermain permainan tradisional dengan jiran-jiran yang tinggal berdekatan. Anak-anak juga boleh menjadikan permainan tradisional ini sebagai hobi mereka. Tegasnya, sokongan oleh masyarakat adalah amat penting bagi mempopularkan semula permainan tradisional dan membolehkan anak-anak muda untuk mengenali permainan tradisional. Usaha seterusnya ialah peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan. Terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan seperti mengadakan pesta dan karnival permainan tradisional secara besar-besaran di negara kita pada setiap tahun. Pesta dan karnival yang begitu meriah ini bukan sahaja mampu menarik minat penduduk tempatan tetapi juga pelancong asing yang melawat ke negara kita. Sasaran pesta dan karnivalini boleh ditujukan kepada semua lapisan masyarakat lalu memupuk minat terhadap permainan tradisional dalam diri mereka. Pesta dan karnival ini juga pasti boleh membuka mata pelbagai lapisan masyarakat tentang kehebatan warisan budaya ini yang diwarisi oleh nenek moyang kita. Contohnya, Festival Layang-layang di Pasir Gudang. Johor buakn sahaja mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat tempatan malahan masyarakat antarabangsa. Pesta yang berjaya ini telah membuktikan tidak sia-sia usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Jelasnya, usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan mampu mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Seterusnya, media massa juga boleh melakukan pelbagai usaha dalam mempopularkan permainan tradisional. Hal ini demikian kerana media massa merupakan perhubungan yang amat penting dan digunakan secara meluas pada zaman siber ini. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah. Justeru, media massa boleh sentiasa memaparkan iklan, artikel dan sebagainya bagi memperkenalkan permainan tradisional kepada orang ramai. Selain itu, media massa juga boleh menghebahkan kelebihan permainan tradisional melalui internet, televisyen, surat khabar dan majalah. Sesungguhnya, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, televisyen boleh mempromosikan semua aktiviti permainan tradisional yang dianjurkan pihak kerajaan atau pihak swasta supaya semua lapisan masyarakat dapat mengetahui aktiviti yang dianjurkan. Tegasnya, media massa mampu menyumbang dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kerjasama daripada pelbagai pihak amat penting dalam menjayakan usaha mempopularkan permainan tradisional. Semua usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak berkait rapat antara satu sama lain. Oleh itu, pihak-pihak tersebut seharusnya berganding bahu dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Hal ini demikian agar permainan tradisional ini dapat diwarisi dari generasi ke generasi pada masa akan datang. Khazanah budaya warisan merupakan khazaanah yang paling berharga dan tidak harus dilupakan dan dibiarkan. Ringkasnya, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam melakukan usaha yang penuh bermakna ini.