You are on page 1of 7

SEJARAH PENUBUHAN YAYASAN KHAIRIAH

Sejarah penubuhan Yayasan Khairiah bermula dengan kepulangan Tuan Guru Haji Yahaya bin Taha dari
Tanah Suci Mekah pada tahun 1935, setelah tinggal di sana selama 12 tahun. Kepulangan beliau dari
tanah suci ini merupakan suatu rahmat kepada masyarakat Islam setempat yang dahagakan ilmu agama.

Diatas kesedaran inilah maka satu Jawatankuasa yang terdiri daripada Hj. Mohammad Zain Abdul
Rahman, Haji Mohd Taha, Haji Mohd Diah, Pak Cik Bakar dan lain-lain lagi telah mengadakan satu
mesyuarat dan bersetuju untuk mendirikan sebuah Madrasah dan pondok sebagai tempat kepada Tuan
Guru Hj.Yahaya untuk menyampaikan pelajarannya. Walau bagaimanapun pengajian ilmu agama pada
masa itu telah berjalan di rumah Hj. Mohd Zain dan Hj. Ahmad Awang Besar di Kampung Jerai.

Dengan gotong-royong penduduk kampung, telah didirikan sebuah madrasah diatas 18 batang tiang
ulat, beratapkan atap cucoh yang diambil dari kawasan rimba sekitar. Pembinaan madrasah ini
mengambil masa beberapa hari yang dikerjakan oleh 4 orang tukang secera sukarela. Mereka adalah
terdiri daripada Ismail Cek Mek, Pak Lang Kecik Cerok Rambai, Pak Cik Bakar dan Haji Dahaman Hj.
Salleh.

Terdirinya bangunan Madrasah ini telah menjadi asas kepada Tuan Guru Hj. Yahaya untuk
menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat sekitar yang dahagakan ilmu agama. Pada peringkat
awalnya hanya 8 orang murid sahaja yang belajar dari beliau. Mereka adalah terdiri daripada :

1) Yahaya Hj. Taib


2) Abdullah Awang Besar
3) Mohd Noh Awang Kecik
4) Ramli Abdullah
5) Hussin Abdullah
6) Chek Man Abdullah
7) Chek Hamad Chek Heng
8) Tidak dapat dijejaki

Ketika ini hanya pengajian Al-Quran sahaja yang diberikan, iaitu di waktu pagi. Pelajar-pelajarnya
datang pada setiap pagi dari kampung sekitar kerana pada waktu tersebut belum lagi didirikan pondok.
Dari sehari ke sehari jumlah pelajar yang datang semakin bertambah. Pada masa yang sama juga para
ahli Jamaah telah bermesyuarat dan bersetuju untuk menghantar anak-anak mereka belajar Al-Quran
daripada Tuan Guru. Maka berbekalkan nasi bungkus mereka datang ke Madrasah untuk belajar
membaca Al-Quran sehinggan jam 12.00 tengahari. Kemudian disambung dengan pelajaran Nahu.
Manakala di waktu malam pula mereka menadah kitab daripada Tuan Guru.

Di antara kitab-kitab yang dipelajari ialah :


1) Al-Matan Al-Ajrumiah
2) Mudkhola Al-Wusul Ila Makrifatu Ilmu Al-Usul

dan berbaki lagi tiga buah kitab jawi.

Datang belajar dari Tuan guru termasuklah mereka yang tinggal jauh dari Madrasah. Menurut sumber
yang diperolehi orang pertama yang membina pondok ialah Awang dan Mohd Dom dari Bukit Hitam.
Dalam masa yang sama juga rumah Tuan Guru dibina berhampiran Madrasah oleh anak muridnya.

Dengan bertambahnya bilangan pelajar-pelajar yang datang ke Madrasah yang sedia ada tidak mampu
untuk menampungnya. Lalu diadakan mesyuarat untuk mendirikan yang lebih besar. Untuk mendirikan
Madrasah yang baru ini kayu-kayunya diambil dari Kampung Tiak yang dibawa pulang melalui sungai.
Kerja pembinaannya dilakukan secara gotong-royong dimana setiap penduduk mempunyai tugas
masing-masing. Pembinaannya memakan masa lebih kurang dua hingga tiga bulan. Dengan terdirinya
Madrasah yang baru ini, Semakin ramailah lagi pelajar yang datang dan kemasyuran pondok Kampung
Pisang semakin tersebar luas ke seluruh negeri Kedah serta ke negeri-negeri lain seperti Pahang, perak
dan negeri Sembilan.

Pada tahun 1942, iaitu pada masa meletusnya peperangan Dunia Kedua, perjalanan Madrasah telah
terhenti buat seketika. Tetapi pada tahun 1943 ia berjalan semula dan Tuan Guru Hj. Yahaya kembali
mengajar seperti biasa. Pemerintahan Jepun tidak menghalang pondok-pondok dari menjalankan
kegiatannya. Dengan ini pelajar-pelajar kembali ramai datang. Sebagaimana catatan sejarah bahawa
pendududukan Jepun di Tanah Melayu sangat membebankan, satu tempoh hidup yang meyeksakan,
kekejaman berlaku sewenang-wenangnya. Mana-mana belia yang didapati tidak bersekolah atau tidak
bekerja apa-apa akan ditangkap menjadi buruh paksa membina jalan ke Burma. Dengan demikian jalan
yang paling baik bagi meyelamatkan diri dari mangsa kekejaman Jepun ini ialah dengan memasuki
pondok-pondok seperti ini. Dengan cara ini juga sekaligus menyebabkan bilangan pelajar Madrasah
Tuan Guru ini bertambah dengan cepatnya sehingga hampir 500 orang. Pondok-pondok menjadi satu
perkampungan.

Dalam masa peralihan daripada kerajaan Jepun kepada kerajaan Negeri Bersekutu pada tahun 1945
Tanah Melayu diperintah buat sementara waktu oleh Bintang Tiga selama 3 bulan 10 hari. Tiada siapa
yang dapat membayangkan kezaliman Bintang Tiga ini. Tetapi Madrasah Khairiah ini menjadi tempat
perlindungan bagi orang-orang melayu di daerah Baling daripada kezaliman Bintang Tiga tersebut.

Tuan Guru Hj. Yahaya telah berangkat semula ke Tanah Suci untuk menunaikan fardhu haji.
Sepeninggalannya ke Tanah Suci pentadbiran Madrasah disandang oleh Pak Su Haji Ahmad. Dalam masa
tersebut beliau telah membesarkan lagi Madrasah disebelah hilirnya.

Sepulangannya dari Tanah Suci Mekah setahun kemudiaan, Tuan Guru Hj. Yahaya telah
menyambungkan semula pengajarannya di Madrasah Khairiah. Semenjak dari itu pada setiap hari dan
bulan bilangan pelajarnya semakin bertambah.

KUNJUNGAN DATO' ONN JAAFAR

Di tahun 1940-an semangat Hidup Melayu bergema dalam masyarakat melayu. Pada tahun 1945 telah
diadakan satu majlis 'IHTIFAL' secara besar-besaran di Madrasah yang dianjurkan oleh penduduk
tempatan. Dengan usaha Paksu Haji Ahmad maka di dalam majlis tersebuat turut dihadiri oleh Sultan
Kedah, Dato' Onn Jaafar, pembesar-pembesar negeri serta orang-orang kenamaan yang lain. Lebih
puluhan ribu manusia hadir pada hari tersebut untuk mendengar ucapan Dato' Onn Jaafar dalam
memperjuangkan nasib Melayu. Pada hari tersebut tidak kurang dari 20 ekor kerbau yang disembelih
untuk jamuan kepada hadirin. Dari sini jelas bahawa kemasyuran, kemajuan dan kejayaan Madrasah
Khairiah pada masa itu adalah gabungan dua tenaga utama iaitu Tuan Guru Hj.Yahaya sendiri yang
bergiat dalam bidang pelajaran dan Pak Su Hj. Ahmad yang memainkan peranan dalam hal-hal luar.

Sistem Pelajaran Secara Nizomi

Sebelum tahun 1951 Madrasah Khairiah hanya menumpukan pembelajarannya secara umumi semata-
mata dengan mempelajari kitab-kitab agama yang ditulis dalam bahasa melayu Pattani yang
diterjemahkan dari kitab Arab sendiri oleh guru-guru Pattani di Mekah disamping kitab-kitab agama
yang ditulis di dalam bahasa Arab sendiri. Tetapi kemudiaannya pada tahun 1951 dengan persetujuan
mesyuarat agung, Tuan Guru bersetuju mengadakan pengajian secara Nizomi dan mengikuti pengajian
secara umumi pada malamnya yang dikendalikan oleh Tuan Guru Hj. Yahaya sendiri. Dalam sistem
Nizomi tenaga pengajar terdiri daripada murid-murid tua yang menjalankan tugas secara sukarela.
Mereka ialah Hj. Hassan Rasyid (Mudir), Hj. Zakaria Hj. Ahmad, Haji Abdullah Awang Besar, Haji Sulaiman
Ibrahim Al- Fahmi, haji Badruddin dan Haji Abdul Rahman Hj. Majid.

Manakala golongan pelajar yang pertama yang mengikuti pengajian secara Nizomi ialah seramai 15
oarang. Mereka ialah :

1) Elias b. Hashim
2) Ghazali b. Abdullah
3) Ahmad B. Mat Hassan
4) Salleh b. Ahmad
5) Mohd Daud b. Awang
6) Ghazali b. Ahmad
7) Yusuf b. Ibrahim
8) Othman b. Debok
9) Ismail b. Senik
10) Abd Karim b. Salleh
11) Abd Wahab Awang Besar
12) Mohd Dom Abdul Wahab
13) Hussin b. YUnus
14) Ahmad Haji Ismail
15) Abd Razak b. Mat Piah

Waktu pengajian secara Nizomi ini adalah di sebelah malam sehingga pukul 10.00 malam dan selepas
solat subuh dari pukul 6.00 pagi sehingga 8.00 pagi. Cara pengajiannya adalah bercorak kuliah secara
beramai-ramai dengan menadah kitab.

Sejak dari itu bertambah lagi pelajar-pelajarnya yang datang dari berbagai-bagai yempat terutamanya
dari negeri Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Disini dapatlah dilihat betapa Madrasah Khairiah telah meningkat maju dan sampai ke kemuncaknya
pada zaman Tuan Guru Haji Yahaya dalam waktu yang singkat sahaja.Dari pengajian ini dapat dirumus
beberapa faktor :

1. Tuan Hj. Yahaya adalah seorang yang alim lagi luas ilmunya terutaman dalam bidang Fekah dan Usul
disamping beliau adalah tokoh terbilang sebagai seorang manusia yang keramat apabila berguru
dengannya ilmu yang diperoleh sangat-sangat memberi berkat.

2. Ramainya pembantu-pembantu beliau yang alim seperti Haji Umar Zuhdi, paksu Haji Ahmad dan lain-
lain.

3. Semangat keagamaan yang mula tumbuh dikalangan masyarakat melayu pada masa itu, disamping
penghargaan yang diberikan oleh masyarakat terhadap pelajar-pelajar sekolah agama.

4. Sikap kerajinan dan keberanian Tuan Guru Haji Yahaya sendiri telah menimbulkan pujian dari
masyarakat sehingga tidak menjadi keberatan kepada mereka untuk bekerjasama dengan beliau dalam
semua lapangan dan setiap bidang.

5. Tidak berlakunya perpecahan di kalangan masyarakat samada akibat perbezaan politik dan
sebagainya menyebabkan masyarakat bersatu hati dalam usaha membangungan Madrasah Khairiah.
Hari ini dalam sejarah

Pada tahun 1959 Tuan Haji Yahaya telah kembali ke Rahmatullah. Teraju Madrasah Khairiah dipimpin
pula oleh Ustaz Abdullah Awang Besar, menantu kepada Allahyarham. Sistem yang dijalankan masih
kekal dengan sistem dahulu cuma pada masa ini diadakan sistem kelas. Berbanding dengan masa
Allahyarham dahulu yang hanya terdapat sebuah bangunan Madrasah yang kecil sahaja, maka di waktu
Ustaz Abdullah terdapat dua buah bangunan Madrasah. Di masa ini terdapat 10 orang guru yang
membantu beliau di mana mereka ini berkelulusan Madrasah Khairiah sendiri yang telah mendapat
keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan 'Syahadah Nihayyah'. Mereka terdiri daripada :

1) Ustaz Sulaiman Ibrahim Al-Fahmi


2) Ustaz Yahaya Awang Besar
3) Ustaz Abdul Rahman Daud
4) Ustaz satimin Satipin
5) Ustaz Hassan Yaakob
6) Ustaz Yaakob Shafie
7) Ustaz Elias Hasyim
8) Ustaz Abdul Rahman
9) Ustaz Yahaya Isa
10) Ustazah fatimah Hj. Yahaya

Mereka dibayar gaji antara RM50.00 hingga RM100.00 sahaja, hasil yang diperoleh dari kutipan yuran
murid dimana setiap murid dikenakan yuran sebanyak RM2.00 sebulan. Oleh kerana guru-guru ini
mendapat gaji yang rendah, maka ada diantara mereka terpaksa turun ke sawah dan ladang bagi
menambahkan lagi pendapatan. Namun begitu dengan usaha dan kerajinan pihak pentadbir, mereka
telah membuat permohonan kepada pejabat zakat negeri Kedah bagi mendapatkan bantuan kewangan.
Akhirnya permohonan mereka telah berjaya dan gaji bertambah dari RM100 hingga RM300.
Pentadbiran sekolah masa ini terdiri daripada :

1) Seorang Pengerusi
2) Seorang Naib Pengerusi
3) Seorang Setiausaha
4) Seorang Naib Setiausaha
5) Seorang Bendahari
6) 20 oarang Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada waris-waris.

kerjasama dan kesungguhan para pentadbir ini, Madrasah Khairiah semakin maju dan terkenal. Namun
demikian beberapa masalah masih timbul terutamanya mengenai tempat penginapan pelajar-pelajar
wanita dan sistem yang kurang teratur. Akhirnya masalah pertama dapat diatasi dengan pembinaan
sebuah asrama yang dapat menampung 150 orang pelajar hasil dari sumbangan ibubapa dan orang
kampung sekitarnya.

Pada tahun 1969 Ustaz Abdullah telah kembali ke Rahmatullah. Beliau telah digantikan oleh Ustaz
Sulaiman Ibrahim Al-Fahmi yang berasal dari Kampung Atok, Raub Pahang. Beliau adalah salah seorang
murid tertua Tuan GUru Hj. Yahaya Taha.

Semasa pentadbiran beliau tiada sebarang perubahan yang dilakukan diatas sistem pelajaran yang lalu.
Cuma beliau telah membuat pelajar diwajibkan lulus di dalam peperiksaan sebelum dinaikkan kelas.

Setelah tiga atau empat tahun menerajui Madrasah Khairiah, ia dipimpin pula oleh Ustaz Zawawi
Ahmad anak tertua kepada Paksu Hj. Ahmad yang berkelulusan Sarjana Muda Pendidikan Universiti Al-
Azhar. Di masa pentadbiran beliaulah nama Madrasah Khairiah ditukar kepada Yayasan Khairiah seperti
yang dikenali kini. Beliau tidak lama memegang jawatan Mudir Madrasah Khairiah kerana beberapa
bulan kemudian beliau telah berangkat ke Sabah kerana bertugas sebagai salah seorang kakitangan
pegawai agama di Kota Kinabalu.

Dengan ini pentadbiran Yayasan dipangku semula oleh Ustaz Sulaiman Ibrahim Al-Fahmi buat seketika
sementara menunggu kepulangan anak sulung Tuan Guru Hj.Yahya (Dari isteri Ke2) yang sedang
menuntut di Universiti Al-Azhar,Mesir.

Pada tahun 1977 bagaikan sebiji bintang yang bersinar di tengah kegelapan malam,anak sulung Tuan
Guru,Ustaz Abdul Rahman telah pulang ke tanahair. Beliau kembali bersama harapan dan citi-cita bagi
mengembalikan yayasan khariah ke kemuncaknya seperti di masa ayahandanya dahulu

Satu perubahan penting yang dilakukan ialah dengan kemasukan pelajaran akademik ke dalam sistem
pelajaran yayasan. Ini memandangkan pelajaran akademik juga sama pentingnya kepada generasi kini
dalam menghadapi perubahan zaman. Ia telah meletakkan Yayasan Khairiah setaraf dengan sekolah-
sekolah agama yang lain seperti Maktab Mahmud dan lain-lainnya.

Langkah pertamanya ialah dengan memasukkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran(SRP). Ia memberi
peluang kepada pelajar-pelajar Yayasan sendiri dan juga pelajar Sekolah Menengah yang gagal didalam
peperiksaan tersebut untuk mengulang di Yayasan ini. Bagi memastikan kejayaan pelajar-pelajar, guru-
guru akademik yang berpengalaman telah diambil.Hasilnya daripada 100 orang pelajar yang mengambil
peperiksaan tersebut 50% daripada mereka telah berjaya dengan cemerlang.

Kejayaan ini mendorong pihak Yayasan untuk membuka peluang kepada pelajar-pelajarnya mengambil
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1978. Daripada kejayaan pelajar-pelajarnya dalam
peperiksaan tersebut telah menyedarkan masyarakat sekitar tentang peranan yang dimainkan oleh
Yayasan. Ia bukan sahaja menumpukan kepada pelajaran Agama dan Arab semata-mata, bahkan
melingkupi pelajaran-pelajaran akademik bagi melengkapi pelajar-pelajarnya dalam menghadapi
perubahan zaman.
Hasil dari kesedaran ini maka pada tahun 1979, seramai 250 orang pelajar baru telah mendaftar diri,
menjadikan jumlah pelajarnya ketika itu seramai 650 orang. Dengan pertambahan yang ramai ini maka
pihak Yayasan terpaksa menolak beberapa permohonan untuk belajar di sini memandangkan tempat
penginapan yang tidak mencukupi.

Hari ini setelah berbagai cabaran dan halangan dihadapi, maka Yayasan Khairiah telah muncul sebagai
sebuah Sekolah Agama Rakyat yang terbesar di daerah Baling dan memberi khidmat kepada agama,
bangsa dan negara. Beginilah serba sedikit daripada sejarah tertubuhnya Yayasan Khairiah.

Maklumat pengsejarah semula ini disediakan dan susunatur oleh :

Nur Shatirah binti Karim

Mohd Dhiaul Iman bin Shaifuddin