You are on page 1of 17

ISU SENSITIF BERKAITAN DENGAN KEPENGGUNAAN DALAM MASYARAKAT MALAYSIA

Mohammad Aizat Jamaludin1 & Mohd Anuar Ramli2


1

Laboratori Polisi & Pengurusan Halal, Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia. mohdaizat@halal.upm.edu.my. Pegawai Penyelidik dalam bidang fiqh dan usul terutama berkaitan halal dan kepenggunaan Islam. 2 Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. mohdanuar@um.edu.my. Pensyarah dalam bidang fiqh dan usul.

PENGENALAN Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Keunikan ini dapat digambarkan dengan masyarakat majmuk. Kemajmukan bukan hanya melibatkan masyarakat berbilang kaum, ia turut diwarnai dengan masyarakat yang berbeza kepercayaan dan agama serta berlainan budaya. Ia digelar sebagai pentas miniatur Asia. Ini kerana dalam komposisi yang membentuk masyarakat Malaysia, terdapat pelbagai kaum yang mempunyai akar peradaban Asia yang kukuh, iaitu kaum Melayu, kaum Cina dan India. Setiap kaum mempunyai identiti budaya yang tersendiri. Identiti budaya ini termasuklah corak pemakanan atau lebih umumnya kepenggunaan. Setiap masyarakat mempunyai kepercayaan dan pantang larang tersendiri, yang mana ia berkait rapat dengan tradisi dan pegangan agama masing-masing. Setiapnya ada perbezaan dan ciri-ciri yang tersendiri. Kadangkala ia bersifat kontradik antara satu masyarakat dengan yang lain. Sebagai contoh, dalam isu melibatkan khinzir dan derivatifnya, ia menimbulkan konflik antara golongan Islam dengan bukan Islam. Dalam konteks masyarakat Malaysia, yang mana pengenalan kaum seiring dengan status keagamaannya, isu khinzir melibatkan orang Melayu dengan Cina. Bagi orang Melayu dan Islam, khinzir adalah binatang yang dilarang dan ia jelas termaktub di dalam al-Quran, sedangkan bagi orang Cina, tradisinya amat menggemari makanan berasaskan khinzir. Begitu juga dengan isu binatang lembu, yang mana menimbulkan konflik antara orang Islam dan penganut Hindu ataupun, orang Melayu dengan orang India. Bagi orang Melayu dan Islam, lembu adalah binatang yang halal, boleh disembelih dan makan serta dapat

dijadikan haiwan qurban pada musim perayaan Aidil Adha, sedangkan bagi penganut Hindu, lembu adalah binatang suci, tidak boleh disembelih ataupun dimakan. Kontradiksi dalam budaya kepenggunaan ini kadangkala menimbulkan rasa tidak puas hati, malah timbul konflik apabila ia dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu. Sehubungan dengan itu, setiap pihak perlu menanamkan sikap saling hormat-menghormati terutama dalam menjaga sensitiviti setiap kaum agar masyarakat majmuk di Malaysia dapat terus hidup dalam suasana aman lagi harmoni. LATAR BELAKANG MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA Negara-bangsa Malaysia telah lahir dan berkembang dalam satu suasana budaya dan peradaban Melayu yang ditunjangi oleh sifat Melayu Islam selama hampir 1000 tahun. Landskap budaya ini diwarnai pula oleh golongan pendatang terutama pada abad ke-19M dan ke-20M dan keturunan mereka yang telah bermastautin dan menjadikan negara dan wilayah ini sebagai tanah air mereka (Musa, 2002). Secara umumnya, masyarakat Malaysia telah mengalami hubungan budaya ( cultural contact) dengan kebudayaan India (Hindu-Buddha) sejak 1500 tahun yang lalu, Arab-Parsi (Islam) sejak 800 tahun lalu dan pengaruh Barat sejak 500 tahun yang lampau (Bakar, 1985). Pada dasarnya, masyarakat Malaysia yang ada telah ditentukan oleh proses sejarah khususnya kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu. Melalui dasar pintu terbuka, Tanah Melayu menjadi tumpuan golongan imigran dari China, India dan Indonesia (Abraham, 1997). Aliran penduduk ini merupakan asas utama terdapatnya komposisi ras dan etnik di negara-negara yang pernah dijajah. J.S. Furnivall menyarankan idea bahawa dalam masyarakat majmuk terdapat beberapa masyarakat yang tinggal sebelah menyebelah di dalam satu unit politik yang sama tetapi dalam beberapa hal, hidup mereka terpisah. Setiap masyarakat mempunyai kepercayaan agama, kebudayaan, bahasa, idea dan cara hidup yang tersendiri. Pembahagian masyarakat atau kaum ini berlanjutan dalam sektor ekonomi di mana terdapat pembahagian jenis pekerjaan berasaskan bangsa (Furnivall, 1967). Pendek kata, masyarakat majmuk yang berkembang di dalam masyarakat Malaysia boleh dilihat dalam empat dimensi iaitu politik, ekonomi, sosial dan budaya. Bangsa Melayu merupakan penduduk asal dan teras kepada bangsa Malaysia. Menurut Abdul Halim Othman, terdapat empat tahap pembentukan identiti etnik Melayu di
2

Malaysia. Pertama, di antara 1874M-1920M, etnik Melayu merupakan bumiputera Melayu pelbagai negeri seperti Terengganu, Kedah dan lain-lain. Kedua, antara tahun 1920M-1942M mengandungi kelompok tambahan dari Indonesia seperti Jawa, Boyan dan lain-lain. Tahun 1948M ke atas mengandungi orang Arab, India dan Cina Muslim. Peringkat terakhir selepas 1961M mengandungi kelompok tambahan dari kalangan orang Asli dan kaum Bumiputera timur Malaysia (Othman, 1978). Dengan itu, etnik Melayu diperkuatkan oleh kehadiran imigran dari kepulauan Indonesia dan selatan Thailand dan diperkayakan oleh pemelayuan keturunan Arab dan India. Menjadi suatu realiti yang berkembang dapat membantu kelangsungan kaum Melayu dalam perubahan demografik yang membimbangkan. Kemasukan beramai-ramai orang Cina ke Tanah Melayu berlaku dalam jangka masa antara 1870M-1939M. Kebanyakannya berasal dari kawasan Kwantung, Fukien dan Kwangsi. Terdapat sembilan bahasa utama, iaitu Hokkien (penduduk Amoy dan pedalaman) yang dominan, diikuti Kantonis yang kedua terbesar, Hakka (Kheh) yang berasal dari barat selatan Fukien, Tiechiu dari Swatow, Hainan (Hailam) dari pulau Hainan, Kwongsai dari tengah dan barat bahagian Kwangsi, Hokchiu dari pulau bandar Foochow serta pedalaman Fukien, Hokchia dari kawasan kecil di bawah Foochow dan Henghua dari bahagian Fukien utara Chuanchow. Kebanjiran imigran dari negara China adalah refleksi kemelesetan yang teruk serta peperangan dan polisi kerajaan British di Tanah Melayu. Bentuk keagamaan masyarakat Cina di Tanah Melayu sama seperti di negara China walaupun terdapat beberapa modifikasi kesan hubungan dengan realiti tempatan. Konfusianisme, Taoisme dan Buddha merupakan tiga kepercayaan utama (Purcell, 1975). Perkembangan sektor perladangan momentum kemasukan buruh dari India. Imigrasi India bermula dalam jangka masa 1857M-1938M melalui tiga cara, iaitu buruh kontrak, sistem Kangany dan buruh bebas. Proses imigrasi ini adalah fenomena India selatan. Kumpulan yang bertutur bahasa Tamil merupakan komposisi yang terbesar diikuti Malayalam yang banyak bekerja di bandar sebagai buruh berbanding di estet. Selain itu, terdapat kumpulan kecil India Muslim dan Punjabi (Sikh) dari utara India terlibat dalam pasukan keselamatan dan pekerjaan komersial serta kewangan di bandar. Agama Hindu merupakan agama utama imigran India (Arasaratnam, 1970). Selain pendatang dari negara China dan India, Tanah Melayu juga menjadi tumpuan imigran etnik Indonesia. Populasi Indonesia didominasi oleh etnik Jawa dan Banjar diikuti Sumatera (etnik Minangkabau, Mandailing, Kerinchi dan lain-lain), Boyan dan Bugis (Othman, 1970). Imigrasi pelbagai etnik dari kepulauan Indonesia kemudiannya menjadi sebahagian
3

populasi homogen bangsa Melayu kerana persamaan keagamaan selain untuk mengimbangi komposisi heterogen kaum imigran dari China serta India dan juga kekuatan politik dan ekonomi bagi orang Melayu. Ini disebabkan pada tahun 1931M sebelum Perang Dunia II, populasi golongan pendatang melebihi orang Melayu (Jen, 1982). Justeru, masyarakat Malaysia hari ini telah melalui proses interaksi sosio-budaya yang berlangsung dengan baik. Dalam proses interaksi ini, ada yang berbentuk penyesuaian, peminjaman malah ada persaingan. Walaupun orang Cina bersusur galur dari tanah besar China dan orang India dari benua India, namun mereka cuba untuk menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, walaupun tidak mengalami asimilasi seperti etnik Baba dan Nyonya. Senario ini berlaku kerana ketika kehadiran imigran dari luar, budaya Melayu mengalami zaman kegelapan dalam iklim penjajahan Barat, hinggalah kemerdekaan negara. Berbanding dengan etnik Baba Nyonya, kehadiran mereka ketika mana budaya dan peradaban Melayu berada di kemuncak. Hasil dominasi budaya Melayu, etnik Cina asalnya mengalami proses asimilasi struktur, natijahnya lahir etnik Baba Nyonya seperti yang ada di Melaka pada hari ini. Keadaan ini selaras dengan karakter sesebuah masyarakat itu sendiri, yang mana masyarakat dominan akan menguasai masyarakat yang subordinat. Namun kini, setiap masyarakat mengekalkan identiti budaya masing-masing. Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, mereka dapat hidup dengan harmoni dan dapat mengamalkan cara hidup masing-masing di dalam sebuah negara, tanpa penekanan dan pemaksaan unsur keagamaan dan perkauman, sebaliknya berasaskan konsensus nilai yang sama, neutral dan universal (Muzaffar, 2001). Sejajar dengan itu, lahir cita rasa makanan lintas budaya (cross-culture food) yang mana ada unsur peminjaman serta perkongsian antara satu sama lain. Menurut Taib Osman, asas cara hidup ala-Malaysia telah lama wujud (Osman, 1988). Dari segi makanan, masyarakat Malaysia dapat menerima capati, nasi lemak, roti canai, maruku, tosei, kuew teau, tauhu, steam boat tanpa sebarang masalah. Setiap kaum dapat menerima budaya pemakanan kaum lain tanpa halangan. Ini merupakan satu interaksi positif dan ia dapat membentuk perpaduan menerusi aspek pemakanan. Walaupun begitu, realiti hari ini menzahirkan bahawa wujud juga isu-isu sensitif berhubungkait dengan kepenggunaan umumnya dan pemakanan khususnya. Isu ini walaupun tidak menimbukan konflik serta rusuhan kaum dan agama, ia wajar dielakkan oleh semua pihak yang terlibat bagi menjaga keharmonian kaum dan kedamaian negara.

ISU-ISU SENSITIF BERKAITAN KEPENGGUNAAN DALAM MASYARAKAT MALAYSIA Polemik berasaskan kepenggunaan terutama dalam membincangkan makanan dan pemakanan tidak pernah susut walaupun masa dan keadaan sentiasa berubah (Rahman, 2009). Boleh dikatakan hampir saban tahun pelbagai isu berkaitan dengan kepenggunaan timbul dalam masyarakat Malaysia terutamanya melibatkan pengguna Muslim. Di Malaysia, isu-isu yang berkaitan kepenggunaan sangat memberi kesan dan sensitif di kalangan pengguna Muslim. Di antara isu tersebut adalah melibatkan khinzir seperti ternakan ikan yang diberi makan organ dalamannya, tumbuhan yang dibajai dengan najis, sosej yang diperolehi daripada usus, lemak yang digunakan sebagai bahan tambah, DNA khinzir dalam produk berasaskan surimi, gelatin dalam ubatan dan derivatifnya yang lain dalam produk gunaan semasa. Selain itu, terdapat juga isu kepenggunaan bersumberkan khinzir dalam produk bukan makanan seperti berus, karbon penapis air, seramik dan seumpamanya. Kebimbangan pengguna Muslim berhubung isu tersebut bukan hanya melibatkan sumber daripada khinzir, malah dalam aspek sumber lain seperti percampuran plasma darah serta alkohol yang tidak menepati piawaian yang dibenarkan dalam makanan. Di samping itu, isu lain yang turut membelenggu pengguna Muslim adalah penyembelihan haiwan halal yang tidak mengikut syariat Islam dan penyalahgunaan logo halal dalam produk barangan gunaan yang tidak diberi sijil Halal oleh JAKIM. Berasaskan isu-isu tersebut, berikut huraian ringkas bagi menjelaskan dengan lebih jelas. 1) Ternakan Ikan Yang Diberi Makan Organ Khinzir Sekitar tahun 2006, masyarakat Malaysia digemparkan dengan isu ternakan ikan yang diberi makan makanan bersumberkan khinzir dan derivatifnya. Malah sehingga kini isu tersebut tetap dibincangkan walaupun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia telah menggariskan panduan yang jelas tentang persoalan tersebut.1 Berdasarkan laporan-laporan akhbar yang telah dibuat, aktiviti penternakan ikan tersebut banyak dilakukan di beberapa

Lihat lebih lanjut dalam www.e-fatwa.gov.my berhubung status ikan yang diberi makan najis.

kawasan bekas lombong sekitar Batu Gajah, Tronoh dan Papan di negeri Perak, Negeri Sembilan, Johor dan dibeberapa buah tempat yang lain di Malaysia.2 Modus operandi yang dilakukan oleh penternak-penternak ini adalah memaksimumkan penggunaan kawasan yang dimiliki untuk beberapa tujuan tertentu. Sebagai contoh, kebanyakan penternak akan menternak khinzir di satu bahagian kawasannya manakala dua bahagian yang lain akan digunakan untuk menternak ikan dan penanaman buan-buahan atau sayuran. Dalam hal ini, penternak khinzir akan memanfaatkan najis dan hasilan khinzir seperti organ dalaman yang kemudiannya direbus lalu dijadikan sebagai bahan makan kepada ternakan ikan. Antara ternakan ikan tersebut adalah keli, patin, talapia dan seumpamanya. Kemudiannya, air najis daripada ladang ternakan khinzir akan dialirkan ke dalam kolam ternakan ikan sebagai medium penyucian air sebelum dilepaskan ke sungai berhampiran. Setelah itu, air kolam ternakan ikan dipam kembali untuk disalurkan ke ladang tanaman buahbuahan dan sayuran. Oleh kerana itu, tindakan segelintir pihak yang mementingkan keuntungan tanpa memikirkan sensitiviti pengguna Muslim perlu dibendung dengan tindakan yang sewajarnya. Malah, kebimbangan ini disuarakan juga oleh sebilangan pengguna bukan Muslim terhadap aspek pencemaran alam sekitar hasil daripada sisa kumbahan ternakan haiwan yang tidak dikawal dan mematuhi piawaian pihak berkuasa tempatan. 2) Sosej Daripada Usus Khinzir Sikap pengusaha makanan dalam industri Halal yang tidak beretika juga perlu dibendung apabila ia melibatkan sensitiviti sesetengah pihak. Hal ini dapat dikesan apabila terdapat sebilangan pengusaha makanan yang menghasilkan sarung kulit sosej (casing) daripada usus khinzir. Penggunaan kulit sosej daripada sumber ini lebih murah dan mudah didapati berbanding bersumberkan haiwan halal seperti lembu dan kambing. Pada awal pertengahan tahun 2005, dua buah kilang dilaporkan telah diserbu di sekitar kompleks dan pasar borong di Selayang oleh pihak berkuasa terhadap penggunaan usus khinzir di dalam sarung kulit sosej dan penyalahgunaan logo halal terhadap produk halal.3 Hasil pemeriksaan tersebut, pihak berkuasa telah merampas 200 kotak berisi sosej,
2 3

Lihat lebih lanjut dalam Harian Metro, 18 Januari 2006; Utusan Malaysia, 18 Januari 2006. Lihat lebih lanjut dalam Utusan Malaysia dan Berita Harian, Mei 2005.

kotak kosong dengan logo halal yang tidak sah, pelekat dan sarung plastik. Disamping itu, kedua-dua buah kilang tersebut merupakan pembekal utama sosej kepada kira-kira 56 pasar raya dan hotel terkemuka sekitar Lembah Klang. Walaupun hasil analisis makmal mendapati kilang tersebut bersih daripada tuduhan yang dikatakan menggunakan sumber usus daripada khinzir, 4 persepsi masyarakat terhadap percampuran bahan yang dikategorikan sebagai haram atau meragukan adalah membimbangkan. Berdasarkan laporan analisis makmal menunjukkan tiada unsur khinzir dalam sosej sebagaimana didakwa. Malah, ujian Deoxyribonucleic acid (DNA) itu mendapati empat contoh sarung sosej itu dibuat daripada sumber bebiri, satu daripada tumbuhtumbuhan, tiga contoh sosej tanpa sarung daripada sumber ayam, manakala tiga sosej bersarung daripada sumber ayam dan bebiri. Walaupun begitu, pengilang tersebut tetap dikenakan pendakwaan di atas penyalahgunaan logo halal pada produk halal yang telah tamat tempoh. Hal ini boleh mencetuskan rasa sensitiviti pengguna Muslim sebagai pengguna majoriti di Malaysia. 3) Penggunaan Lemak Khinzir dalam Shortening dan Bahan Masakan Selain itu, lemak daripada haiwan turut digunakan sebagai bahan tambah ( additive food) dalam makanan. Ia berfungsi sebagai agen emulsifier, lelemak (shortening), agen pewarna, pengikat air serta minyak dan seumpamanya dalam produk seperti coklat, aiskrim, pastri, kek dan sebagainya. Sumber lemak tersebut dapat diperolehi daripada dua bahan utama iaitu haiwan dan tumbuhan. Bagi kategori haiwan, ia terdiri daripada sumber haiwan halal serta disembelih dan haiwan yang diharamkan mengikut perundangan Islam. Asasnya, lemak dan minyak yang bersumberkan haiwan halal dan tumbuhan dibenarkan dan tidak menimbulkan kebimbangan dikalangan pengguna Muslim. Ia berbeza daripada lemak yang bersumberkan khinzir (lard). Ini kerana penggunaan lemak daripada khinzir dalam produk makanan dan bahan masakan sering kali dilaporkan dalam akhbarakhbar tempatan. Berdasarkan laporan akhbar pada bulan September 2o1o, sebuah syarikat pengilang minyak sapi jenama QBB Pure Ghee telah ditarik balik status halalnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 19 Ogos tahun yang sama kerana didapati mengandungi elemen yang meragukan dipercayai bersumberkan lemak daripada khinzir
4

Lihat lebih lanjut dalam Berita Harian, 29 Mac 2005.

(lard).5 Walaupun begitu, setelah kajian dilakukan oleh pihak berkuasa didapati produk QBB disahkan halal dan suci daripada elemen yang meragukan.6 4) Gelatin Khinzir Dalam Makanan dan Kapsul Ubatan Penggunaan gelatin begitu meluas di dalam industri sehingga mendapat perhatian dikalangan pengguna. Kajian oleh Gelatine Manufacturers of Europe (GME) menunjukkan 46% sumber gelatin diekstrak daripada sumber khinzir.7 Selain itu, ia juga diperolehi daripada sumber yang lain seperti ikan, lembu, biri-biri dan ayam. Malah terdapat juga penggunaan gelatin yang diekstrak daripada plasenta manusia dan seumpamanya. Disebabkan ciri-ciri gelatin yang unik, ia banyak digunakan secara meluas didalam pelbagai aspek kepenggunaan. Penggunaan gelatin bukan sahaja melibatkan bidang makanan, malah terdapat juga dalam bukan makanan. Sebagai contoh, gelatin digunakan sebagai bahan asas pembuatan kapsul dalam ubat-ubatan. Di dalam industri makanan, gelatin banyak digunakan di dalam produk-produk seperti konfeksi khasnya untuk membaiki tekstur, kestabilan buih dan keboleh-kunyahan. Di dalam produk tenusu ia digunakan untuk meningkatkan kestabilan dan tekstur. Selain itu, gelatin dalam produk bakeri berfungsi sebagai pengemulsi, agen pengelan dan penstabil. Malah gelatin digunakan dalam produk daging untuk meningkatkan kadar pegangan air dan penstabil tekstur (Karim & Bhat, 2009). Timbul beberapa isu berasaskan gelatin bersumberkan khinzir dalam bahan makanan dan produk farmaseutikal. Sebagai contoh, gelatin dalam makanan digunakan sebagai agen pengenyal bagi produk seperti gummies buah-buahan, agen pengemulsi bagi produk keju, dadih dan yogurt dan agen penjernih bagi menghalang rasa, bau dan warna yang tidak diingini dalam minuman. Di Malaysia, masyarakat pernah didedahkan dengan laporan penemuan gelatin daripada khinzir dalam produk jeli dan seumpamanya. Hal ini terutama apabila jeli tersebut dimport daripada luar negara yang mana status bahan ramuannya banyak bersumberkan khinzir dan derivatifnya. Bagi penggunaan gelatin dalam produk farmesutikal, ia digunakan sebagai pembinaan dinding kapsul keras, pemplastik bagi mengekalkan keelastikan kapsul lembut dan
5 6 7

Lihat Berita Harian, 4 September 2010. Lihat Berita Harian, 11 November 2010. Lihat lebih lanjut dalam http://www.gelatine.org/en/about-gelatine/manufacturing/raw-materials.html [Dilayari pada 05-07-2011]

pengganti plasma darah yang hilang jika tiada darah sebenar. Terdapat beberapa isu berkaitan penggunaan gelatin daripada khinzir dalam produk farmaseutikal pernah dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan.8 Berikutan tersebut, senario ini telah menimbulkan kebimbangan pengguna Muslim dalam memilih produk farmaseutikal yang diyakini kesucian dan halal. Sejajar dengan itu, pihak berkuasa telah mengambil inisiatif dengan melakukan beberapa analisis makmal yang lebih komprehensif terhadap produk yang terdapat dalam pasaran semasa. 5) Penggunaan Tulang Babi Dalam Penapis Air Dan Seramik Selain penggunaan khinzir dalam makanan, tulang turut digunakan sebagai bahan penapis air dan agen percampuran dengan produk-produk seramik. Sebagai contoh, terdapat laporan yang menyatakan katrij sistem penapis air diperolehi daripada tulang khinzir yang dihancurkan, diproses secara mampatan serta dibentuk seperti tiub untuk dipasang pada katrij sistem penapis air. Ia digunakan sebagai bahan awal yang menyaring bahan lumpur, lumut, mikro-organisma dan bahan-bahan cemar yang besar sebelum melalui proses penyaringan berikutnya. Hal ini menimbulkan kegelisahan dikalangan pengguna Muslim. Penggunaan katrij daripada sumber ini lebih murah dan mudah diperolehi daripada sumber bahan yang halal. Disamping itu, set pinggan yang disebut sebagai fine bone China adalah merupakan di antara produk yang efektif dan mudah didapati dalam pasaran. Barangan seramik ini dikatakan kuat, keras, tidak mudah pecah dan kelihatan berkilat serta keputihan. Ciri-ciri keputihan inilah yang membezakannya dengan pinggan mangkuk biasa. Dalam proses pembuatan barangan seramik ini, campuran adunan porselin dengan 40-50% daripada abu tulang. Ia bertindak sebagai bahan pemutih dan menguatkan porselin sekaligus mengurangkan suhu pembakaran sehingga 150 200C. Kebiasaannya, abu tulang diperolehi daripada tulang binatang yang dibakar dan dikisar. Seterusnya tisu dibuang daripada tulang dan dibakar pada kadar suhu 1000 C. Setelah itu, abu yang telah terbentuk ditumbuk sehingga menjadi serbuk dan dicampurkan dengan air sebelum ditambah ke dalam ramuan lain porselin. Di antara jenama pinggan mangkuk yang terkenal adalah Noritake dan Wedgewood. Di Malaysia, di antara pengeluar terkenal dalam barangan seramik adalah syarikat pengilang Claytan Group. Sekitar tahun 90-an, syarikat ini pernah dilabel menggunakan abu
8

Ubat ada gelatin babi dijual di kaunter tertutup. Berita Harian, 6 Mac 2011 dan Kosmo, 4 Julai 2011.

tulang bersumberkan daripada khinzir. Walaubagaimanapun, hal tersebut disangkal oleh pemilik syarikat berkenaan bahawa kesemua produknya adalah bebas daripada campuran abu tulang daripada khinzir malah menggunakan sebatian percampuran yang tidak memudaratkan. Namun begitu, masyarakat Malaysia terutama pengguna Muslim perlu peka dan berwaspada dengan penggunaan tulang berasaskan khinzir terutamanya produk import daripada negara luar. Adalah disarankan para pengguna menggunakan barangan seramik daripada tembikar dan kaca melainkan produk berasaskan tulang tersebut telah diyakini halal dan suci. 6) Penggunaan Bulu khinzir Dalam Berus

Penggunaan derivatif khinzir dalam barangan gunaan termasuklah bulu. Hal ini jelas dalam pembuatan berus lukisan, berus cat, berus menggosok kasut dan songkok, berus gigi, berus cukuran, berus menyapu kek dan seumpamanya. Ia digunakan secara meluas dan mudah didapati disebabkan kos pembuatannya yang lebih murah berbanding bulu yang dihasilkan daripada binatang lain seperti kuda dan keladai. Kebiasaanya, berus yang diperbuat daripada sumber berasaskan khinzir disebut sebagai Pure Bristle. Didapati Bristle daripada wilayah Chungking China adalah yang terbaik untuk digunakan untuk mengecat. Untuk tujuan itu, bulu khinzir hutan digunakan kerana ia mempunyai daya kelikatan cat yang lebih baik berbanding bahan-bahan sintetik lain seperti nilon. Beberapa kaedah telah dikenalpasti bagi mengetahui keadaan bulu bersumberkan khinzir samada secara fizikal dan penggunaan bahan kimia. Secara fizikalnya, bulu khinzir mempunyai sifat yang unik iaitu mempunyai tiga cabang dihujungnya ( flagged tips) dan bersifat lebih keras (stout bristle hairs). Begitu juga, apabila dibakar menghasilkan bau yang sama seperti bau rambut manusia. Ini berbeza dengan berus bersumberkan bulu kambing atau biri-biri yang banyak digunakan untuk kaligrafi. Hujungnya tidak bercabang seperti bulu khinzir bahkan bulu kambing atau biri-biri ini mempunyai hujung yang tajam. 7) Penggunaan Plasma Darah Dalam Makanan

Lambakan sisa buangan daripada rumah sembelihan seperti darah turut digunakan sebagai sumber bahan yang diproses kembali untuk tujuan pemprosesan produk baru. Sebagai
10

contoh, penggunaan enzim transglutaminase dan serbuk plasma adalah di antara bahan penambah makanan (additive food) yang bersumberkan daripada darah. Ini kerana enzim transglutaminase mempunyai kemampuan melarut dan mengemulsi yang tinggi, kelikatan yang rendah serta kemampuan untuk membentuk gel-gel yang kuat, mudah melentur serta dapat mengekalkan ciri-ciri tersebut. Selain itu, ia boleh menambah tekstur dalam produk makanan diproses seperti daging dan ikan. Manakala penggunaan protein plasma darah bersumberkan bekalan darah dari rumah sembelihan diempar (centrifuged) untuk menyingkirkan platelet darah (yang memberikan warna merah kepada darah). Seterusnya yang tinggal adalah plasma darah iaitu cecair berwarna kuning air yang kemudiannya dikeringkan secara semburan dan digunakan sebagai sumber protein. Sumber darah ini datangnya daripada haiwan seperti lembu, kambing, ayam dan sebagainya. Penggunaan plasma darah dalam makanan seperti produk surimi yang terdiri daripada bebola ikan, bebola ketam dan seumpamanya adalah di antara polemik yang sering dibincangkan dalam masyarakat Malaysia. Hal ini kerana, sehingga kini penggunaannya masih meluas apabila kos mendapatkannya lebih murah dan mudah diperolehi dalam pasaran. 8) Penyembelihan Yang Tidak Ikut Syariat

Salah satu pra syarat utama haiwan halal bagi pengguna Muslim apabila hendak di makan mestilah disembelih mengikut hukum syarak. Empat asas utama perlu diteliti iaitu halkum, mari, karotid arteri dan jugular vein perlu dipastikan sempurna sembelihannya. Selain itu, beberapa syarat lain perlu dititik beratkan seperti keadaan kesihatan haiwan, persekitaran, alat pemprosesan dan seumpamanya juga membantu memastikan haiwan yang disembelih bersih dan suci. Hal ini berbebeza apabila haiwan yang tidak memenuhi garis panduan tersebut disebut sebagai haram dan tidak dibenarkan untuk di makan. Soal haiwan yang tidak disembelih mengikut syariat pernah dilaporkan oleh akhbar tempatan apabila haiwan tersebut tidak sempurna potongan sembelihannya. Malah terdapat juga haiwan tersebut mati bukan disebabkan disembelih tetapi disebabkan faktor lain seperti lemas, terseksa dan sebagainya. Pada tahun 2003 dan penghujung 2009, masyarakat digemparkan dengan pemeriksaan mengejut oleh pihak berkuasa terhadap rumah-rumah sembelihan di sekitar
11

lembah Klang.9 Di antara tempat yang diserbu adalah di rumah sembelihan ayam, kampung Sg. Kayu Ara, Damansara dan sekitar Selayang. Hasil pemeriksaan mendapati rumah sembelihan tersebut tidak memperolehi sijil sah untuk menjalankan penyembelihan halal dan keadaan persekitarannya yang kotor. Begitu juga, ayam yang telah disembelih oleh penyembelih yang tidak bertauliah dan tidak mengamalkan amalan kebersihan yang ditetapkan. Selain itu, terdapat juga sebilangan ayam yang mati disebabkan lemas di dalam air panas selepas penyembelihan dilakukan dan mencampurkan haiwan yang halal disembelih dan tidak halal sekaligus di atas lantai. 9) Penggunaan Alkohol Dalam Masakan/Kek Dalam industri pemprosesan makanan, alkohol merupakan di antara bahan pelarut yang penting selain air. Ia banyak digunakan sebagai perasa tambahan dalam makanan seperti kek, masakan makanan laut dan seumpamanya (Joslyn, 1963). Dalam penghasilan perasa makanan, bahan yang dipanggil sebagai minyak essential dilarutkan dalam alkohol dengan tujuan supaya tahan lebih lama serta mampu mengekalkan bauannya. Selain itu, dalam penghasilan produk makanan seperti kek biasanya ia disapu atau dicampur untuk menghasilkan kek yang lebih bermutu. Begitu juga dalam industri penternakan, alkohol juga digunakan untuk menambah kualiti daging. Contohnya, lembu Kobe.10 Ia diberi minum sake, diperdengarkan muzik dan dinamakan sebagai Wagyu. Tambahan pula, dalam penghasilan kek terdapat wain yang disapu atau dicampur pada doh asalnya. Kandungan alkohol dalam wain berbeza mengikut jenis yang mana julatnya adalah di antara 6 hingga 21%. Percampuran ini berlaku sama ada secara internal atau external pada kandungan asal doh tersebut. Isu berkaitan dengan alkohol dalam produk makanan sentiasa dibincangkan apabila tiada piawaian yang tepat berhubung dengan persoalan tersebut. Hal ini kerana, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan hanya menggariskan panduan umum, iaitu hanya sedikit sahaja tidak memabukkan.11 Disebabkan tiada satu garis panduan yang jelas, timbul beberapa isu berkaitan alkohol dalam produk gunaan semasa di Malaysia. Sebagai contoh, akhbar pernah
9 10

Mat Gian sembelih Ayam, Harian Metro, 19 Januari 2003 & 9 Disember 2009. Lihat Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Perak (2006), Daging Kobe Gred Dunia Keluaran Malaysia, www.jphpk.gov.my. Alkohol sebagai penstabil minuman ringan. Lihat lebih lanjut dalam www.e-fatwa.gov.my [Dilayari pada 28.9.2011]

11

12

melaporkan terdapat kandungan alkohol di dalam perisa minuman segera atau produk pemeraman seperti coca-cola, perisa vanilla, tapai dan minuman Istak serta Barbican yang melebihi piawaian yang dibenarkan.12 Begitu juga, penggunaan alkohol dalam produk gunaan lain bukan makanan seperti kosmetik dan ubat-ubatan. 10) Penggunaan DNA khinzir sebagai bahan tambah makanan dan produk meatball di IKEA Pada bulan Mei 2011, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui kenyataan laman web miliknya menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei 2011 telah memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA khinzir dalam produk Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat berkenaan.13 Hal ini telah menimbulkan kerisauan dikalangan pengguna Muslim kepada sebuah syarikat yang terkenal iaitu Secret Recipe Malaysia apabila dikaitkan dengan penemuan bahan ramuan tersebut. Namun begitu, hal ini disanggah oleh pegawai halal syarikat berkenaan yang menyatakan keraguan timbul apabila syarikat Puratos Sdn. Bhd. menggunakan nama secret recipe pada bahan ramuan mereka. Pihak syarikat terbabit juga menyatakan dengan jelas semua bahan ramuan yang digunakan adalah suci dan mendapat sijil Halal daripada pihak berkuasa, JAKIM. Hal ini turut dikesan apabila sekitar bulan Mei 2011, akhbar melaporkan terdapat DNA khinzir di dalam produk surimi seperti bebola daging di medan selera IKEA, Damansara. Sehinggakan premis tersebut terpaksa ditutup bagi satu tempoh tertentu untuk tujuan pembersihan dan penyamakan. Berasaskan huraian yang telah dibincangkan di atas, jelas menunjukkan pelbagai isu berkaitan kepenggunaan dalam masyarakat timbul terutama melibatkan pengguna Muslim di dalam pasaran semasa. Polemik perbincangan ini bukan sahaja melibatkan produk gunaan berasaskan makanan malah bukan makanan. Ini disebabkan kurangnya kesedaran dikalangan pengguna dan pengusaha dalam menitik beratkan sensitiviti masyarakat sekeliling
Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (2006), Op. cit., hlm. 175-178. JAKIM tidak memberikan sijil halal kepada Syarikat Puratos Sdn. Bhd. kerana bahan ramuan mereka yang meragukan. Lihat lebih lanjut dalam www.halal.gov.my [Dilayari pada

12 13

13

terhadap pengambilan barangan gunaan harian. Justeru itu, sikap pengguna yang berpengetahuan dan pengusaha yang beretika perlu diterapkan dalam masayarakat Malaysia khususnya supaya amalan percampuran bahan halal dengan bahan yang haram dapat dibendung dengan sewajarnya. PENYELESAIAN KEPADA ISU SENSITIF DALAM KEPENGGUNAAN Tidak dapat dinafikan, isu sensitif yang timbul dalam masyarakat Malaysia dapat membibitkan rasa prejudis serta kecurigaan antara kaum dan agama. Perasaan ini perlu ditangani dengan berhemah agar tidak terus membarah dalam masyarakat. Di antara penyelesaian yang boleh diguna pakai adalah: 1. Mempromosikan program kesedaran halal (halal awareness) kalangan pengusaha industri khususnya dan khalayak pengguna amnya. Pengenalan kepada konsep halalan toyyiba (halal lagi baik) adalah perlu memandangkan ia asas kepada kepenggunaan bagi masyarakat Islam. Begitu juga bagi masyarakat bukan Islam, mereka turut mempunyai peraturan yang tertentu dalam aspek kepenggunaan, lebihlebih lagi pemakanan. Penanaman kesedaran halal ini dapat memberi maklumat kepada pengusaha bukan Islam khususnya dalam aspek penyediaan barangan pengguna yang berkait dengan umat Islam. 2. Mengetatkan prosedur kelulusan sijil halal kepada pengusaha industri. Dengan kata lain, Akta Halal perlu dikuatkuasakan untuk mengelakkan sikap sambil lewa pengusaha industri makanan khususnya dalam mengabaikan aspek halal tayyiban. Begitu juga dengan mewajibkan perjawatan Eksekutif Halal dalam syarikat-syarikat pemegang sijil Halal di Malaysia. Ini bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengaplikasian prinsip-prinsip halal dapat dilaksanakan dengan berkesan. 3. Memperbanyakkan dialog untuk menanam rasa hormat, meningkat tahap toleransi antara kaum dan hidup umat beragama dalam kerukunan. Proses dialog ini dapat diterokai berdasarkan dialog peradaban (Bakar, 1997) dan inter-agama (Cornell, 1994). Melalui dialog, persefahaman antara kaum dan agama dapat dipupuk. Ianya
14

melalui proses membina nilai-nilai bersama yang mana ia adalah nilai-nilai umum yang boleh dicungkil dari sistem-sistem agama tanpa membezakan sama ada itu Islam ataupun bukan Islam. Asas ini penting memandangkan nilai bersama sesebuah negara harus dibentuk dan dibina berasaskan keperluan seluruh masyarakat, bukan keperluan sesuatu kumpulan kaum dan agama tertentu (Tong, 1986). Sebagai contoh, sikap toleransi, kesederhanaan, kasih sayang, hormat menghormati, keperibadian agung, alami dan sebagainya (Sung-Joo & Noor, 1999). Walaupun begitu, nilai adalah suatu yang relatif bukan universal. Latar belakang peradaban Asia adalah kukuh dan selari dengan nilai keagamaan. Ia dapat dilihat dalam tiap kaum di Malaysia. Kaum Melayu berpaksikan peradaban Melayu yang ditunjangi agama Islam, kaum Cina berasaskan peradaban Cina yang berpaksikan agama Buddha, Confucius dan Taoisme, sedangkan kaum India berlandaskan peradaban India yang beragama Hindu. Setiap peradaban tersebut mempunyai nilai-nilai universal yang dapat dikongsi dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Budaya Asia ini mempunyai karakter yang tersendiri berbanding budaya Barat. Keunikan ini perlu dieksploitasi oleh tiap kaum yang ada di Malaysia bagi mewujudkan persefahaman antara satu sama lain. Proses internalisasi budaya sepunya untuk mewujudkan persefahaman pada peringkat awal lagi. Sehubungan dengan itu, penekanan sistem aksiologi ini dapat diaplikasikan dalam usaha mengurangkan jurang antara kaum di Malaysia. Sistem aksiologi Melayu berasaskan budi Melayu dan dapat dilihat dalam epistemologi Melayu (Ahmad, 2003). Manakala sistem aksiologi Islam berdasarkan wahyu iaitu alQuran dan al-Sunnah, sedangkan sistem aksiologi kaum atau agama lain berasaskan nilai positif, universal dan sejagat yang tidak bercanggah dengan adat Melayu dan syariat Islam. Walau bagaimana pun, proses dialog ini mesti disertai oleh golongan pakar yang mempunyai latar belakang pengetahuan yang jelas, dengan memberi penekanan terhadap isu semasa yang dapat memberikan manfaat di samping dapat menyelesaikan permasalahan manusia. Selain itu, unsur perdebatan yang boleh menjatuhkan maruah serta memperkecilkan agama pihak lain perlu dihindarkan

15

(Khatami, 1998). Kriteria ini perlu diambilkira bagi memastikan berjayanya tiap dialog yang dianjurkan. RUMUSAN Sebagai masyarakat yang berbilang kaum, agama serta budaya, isu-isu sensitif yang timbul dalam masyarakat perlu ditangani dengan sewajarnya. Ia tidak wajar dibiarkan berlanjutan kerana ia dapat menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk. Setiap anggota masyarakat dari setiap kaum perlu untuk bersama-sama menjaga sensitiviti kaum. Tindakan ini perlu memandangkan tiap konflik yang terjadi biasanya membabitkan isu perkauman dan keagamaan. Selain itu, semua pihak perlu gembleng tenaga dalam mewujudkan perpaduan kaum agar cita-cita kerajaan melahirkan 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan berkesan.

BIBLIOGRAFI Abraham, C.E.R. (1997), Divide and Rule : The Roots of Race Relations in Malaysia. Kuala Lumpur : Institute for Social Analysis (INSAN). Ahmad, H. (2003), Metafora Melayu : Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk Epistemologinya. Kajang, Selangor : Akademi Kajian Ketamadunan, h. 32. Arasaratnam, S. (1970), Indians in Malaysia and Singapore. Kuala Lumpur : Oxford University Press. Bakar, A. L. A. (1985),Sejarah dan Pemikiran Konsep Kebudayaan di Malaysia, dalam Abdul Latif Abu Bakar (ed.), Warisan Dunia Melayu Teras Peradaban Malaysia. Kuala Lumpur : Penerbitan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA). Bakar, O. (1997), Islam and Civilizational Dialogue : The Quest For Truly Universal Civilization. Kuala Lumpur : University Malay Press. Cornell, V. J. (1994),Towards a Cooperation Among People of Different World Religions, dalam Abdul Monir Yaacob & Ahmad Faiz Abdul Rahman (eds.), Towards a Positive Islamic World-View. Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Furnivall, J.S. (1967), Netherlands India : A Study of Plural Economy. Cambridge : Cambridge University Press. Ginsburg, N. & Roberts J, C. F. (1958), Malaya. Seattle : The American Ethnological Society. Jen, L. D. (1982), British Malaya : An Economic Analysis. (edisi semakan kedua), Kuala Lumpur : Institute for Social Analysis (INSAN). Joslyn, M. A. (1963), Alcoholometry dalam Maynard A. Joslyn (ed.), Methods in Food Production, London: Academic Press. Karim, A. A. dan Bhat, R. (2009), Fish Gelatin: Properties, Challenges and Prospects As An Alternative to Mammalian Gelatins, Food Hydrocolloids, 23 (3), 563-576.
16

Khatami, M., (1998) Membangun Dialog Antara Peradaban : Harapan dan Tantangan , Bandung : Mizan. Musa, H. (2002),Strategi Membangunkan Peradaban Malaysia : Perspektif Peradaban Islam Melayu, Seminar Nilai-nilai Peradaban dan Wawasan 2020, Kuala Lumpur: Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya. Muzaffar, C. (2001), Rights, Religion and Reform : Enhancing Human Dignity Through Spiritual and Moral Transformation. London : Routledge & Curzon. Noor, F. A. (1999),Values in the Dynamics of Malaysias Internal and External Politic Relations, dalam Han Sung-Joo (ed.), Changing Values in Asia : Their Impact on Governance and Development. Singapore : Institute of Southeast Asian Studies. Osman, M. T. (1988), Kebudayaan Melayu dalam Beberapa Persoalan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Othman, M. A. (1977), Ethnic Identity in a Malay Community in Malaysia. Ann Arbor Michigan : University Microfilms. Othman, W. A. H. [1978], Ethnogenesis : A Case Study of the Malay of West Malaysia, Tesis Ph.D. [Tidak diterbitkan], University of Bristol. Purcell, V. (1975), The Chinese in Malaya. Kuala Lumpur : Oxford University Press. Rahman, L.A. (2009), Isu Halal Tiada Penghujungnya, Melaka: Alambaca Sdn. Bhd. Sung-Joo, H. Asian Values : An Asset or a Liability, dalam Han Sung-Joo (ed.), Changing Values in Asia : Their Impact on Governance and Development. Singapore : Institute of Southeast Asian Studies. Tanpa Nama, (2006), Halal Haram: Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Pulau Pinang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Tong, C. H. (1986),Peranan Nilai-nilai Bukan Islam Dalam Konteks Kebudayaan Kebangsaan, dalam Cheu Hock Tong (ed.), Beberapa Asas Integrasi Nasional : Pro dan Kontranya. Kuala Lumpur : Penerbit Karya Kreatif.

17