Laman Karya Pelajar

Golongan Warga Emas dan Kurang Bernasib Baik : Dilupakan dan Diabaikan
Oleh : Aw Mei Yee Pepatah terbilang Melayu lama yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit” mungkin paling sesuai untuk membicarakan isu golongan warga emas dan mereka yang kurang bernasib baik, dan sering dilupakan dan diabaikan oleh semua pihak. Golongan warga emas bermaksud mereka yang telah lanjut usianya, manakala golongan yang kurang bernasib baik pula boleh didefinisikan sebagai mereka yang kurang berupaya, ataupun anak yatim dan sebagainya. Dalam hal ini, kita sering tertanya-tanya tentang sebab-sebab golongan ini sentiasa dilupakan, malah diabaikan oleh semua lapisan masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa “Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, tentu terdapatnya faktor tertentu yang menyumbang ke arah berlakunya masalah ini. Salah satu faktor yang paling ketara ialah sikap manusia itu sendiri. Segelintir manusia memandang enteng terhadap golongan ini. Mereka menggangap warga emas tidak berguna lagi, malah amat membebankan. Oleh itu, anak-anak lebih gemar menghantar orang tua yang telah lanjut usianya ke rumah orang tua. Di samping itu, masyarakat juga memandang serong terhadap mereka yang kurang bernasib baik, sekali gus menyisihkan mereka. Sikap sebegini amat tidak bermoral, terutamanya bagi anakanak yang derhaka. Ibu bapa telah membesarkan mereka dengan bersusah payah, namun apakah yang diperoleh mereka semasa mereka tua dan tidak bertenaga lagi? Tentunya mereka akan berasa sakit hati apabila dilayan sedemikian oleh anak kesayangan mereka yang dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh. Selain itu, kita haruslah faham bahawa mereka yang kurang bernasib baik sudah cukup malang, dan janganlah menambah keperitan itu lagi dengan layanan buruk terhadap mereka. Dalam situasi ini, bukankah masyarakat sepatutnya memberikan kasih sayang kepada mereka? Namun, yang berlaku dalam realiti kehidupan masa kini ialah masyarakat tidak ada pun rasa belas kasihan ataupun menunjukkan simpati terhadap golongan ini, sebaliknya menyisihkan mereka dan menjadikan mereka sebagai bahan gurauan dan cacian. Bukan setakat itu sahaja, masyarakat sering memandang ringan terhadap golongan ini. Mereka menganggap warga tua telah tiada gunanya dan tidak berjasa lagi. Anggapan sedemikian ini sememangnya salah. Pernahkah kita terfikir akan jasa-jasa yang telah disumbangkan oleh warga emas sepanjang hayat mereka? Jika bukan kerana mereka, dapatkah kita menikmati kesenangan seperti yang dinimati pada hari ini? Memang tidak dapat dinafikan bahawa golongan warga emas telah banyak menabur budi kepada kemajuan yang kita capai pada masa kini. Mereka telah berhempas pulas demi mencari rezeki untuk menyara keluarga. Mereka telah berpenat lelah demi masa depan anak-anak. Malahan, mereka telah berkorban masa dan tenaga demi kemajuan negara. Walaupun kini mereka telah lanjut usia, mereka tetap tabah mengharungi liku-liku kehidupan, dan segala asam garam dan pahit getir dalam hidup ini telah ditempuhi mereka. Ingatlah, mereka amat berpengalaman dan segala pandangan, nasihat serta tunjuk ajar mereka patut dihargai dan dijadikan pedoman hidup.

smjk chung hwa, kb.

Laman Karya Pelajar Bagi mereka yang kurang bernasib pula, kasihanilah mereka kerana mereka tidak berhak untuk menentukan betapa sempurnanya mereka sebaik dilahirkan. Tidak ada sesiapa pun yang mahu dilahirkan sedemikian. Pada hakikatnya, ini ialah takdir mereka yang telah tersurat. Cuba bayangkan perasaan golongan ini. Tentunya mereka mendapat tamparan yang begitu hebat! Mereka tentu berasa sebak akan nasib yang menimpa mereka! Dalam hal ini, bukankah kita patut memberi dorongan, galakan serta kasih sayang kepada mereka? Kita sepatutnya berasa bertuah kerana amat bernasib baik sejak dilahirkan. Kita mempunyai keluarga yang bahagia, badan yang cergas dan otak yang cerdas. Namun, golongan yang kurang bernasib baik ini tidak dapat menikmati segala tuah dan kegembiraan yang kita alami. Oleh itu, kita patutlah cuba menyelami perasaan dan jiwa raga mereka, mengambil berat soal mereka dan menghulurkan bantuan semasa mereka berada dalam kesusahan. Janganlah kita menganggap mereka sebagai sampah masyarakat kerana kita harus ingat bahawa mereka juga sebahagian daripada masyarakat kita. Oleh itu, berilah peluang kepada mereka agar mereka gigih berusaha. Hal ini demikian kerana kita yakin golongan yang kurang bernasib baik ini juga akan berjaya dalam mengharungi liku-liku kehidupan, malah dapat menyumbang kepada masyarakat, bangsa dan negara. Sikap masyarakat yang sering melupakan dan mengabaikan warga tua dan golongan yang kurang bernasib baik haruslah dikikis. Untuk mencapai matlamat ini, semua pihak patut menggembleng tenaga, bak kata pepatah, “ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Dalam mengatasi masalah ini, peranan institusi keluarga, terutamanya ibu bapa amat penting. Ibaratkanlah anak-anak sebagai kain putih, maka ibu bapalah yang menentukan coraknya, sama ada tetap putih ataupun terpalit warna hitam. Lantaran itu, ibu bapa perlulah mengasuh anak-anak dengan baik semenjak mereka berusia setahun jagung lagi. Didikan agama yang kukuh juga perlu disemai dalam diri anak-anak sejak mereka masih kecil. Nilai-nilai murni seperti kasih sayang, belas kasihan, taat akan orang tua dan sebagainya perlu disemaikan dalam jiwa raga anak-anak. Bukan setakat itu sahaja, ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan(role model) yang baik kepada anak-anak dan berpegang teguh pada peribahasa kita, bapa borek, anak rintik, dan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Janganlah menyesal apabila anak-anak yang tidak diasuh dengan baik tidak mentaati ibu bapa mereka apabila ibu bapa mereka menjangkau usia tua kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Semuanya sudah terlambat apabila nasi sudah menjadi bubur. Ibu bapa hanya dapat mempersalahkan diri sendiri kerana tidak mendidik anak-anak dengan baik. Di samping itu, media massa dan pihak sekolah juga perlu memainkan peranan masing-masing. Para guru hendaklah menekankan aspek rohaniah para pelajar di samping menyalurkan ilmu pengetahuan. Mereka bertanggungjawab menerapkan nilainilai muni kepada para pelajar untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi pengetahuan dan juga sahsiahnya. Media massa juga memainkan peranan yang tidak wajar dipandang enteng dalam membendung masalah ini. Media massa perlulah mengadakan kempen-kempen kesedaran moral menerusi kaca televisyen dan juga akhbar untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Hal ini amat penting untuk memastikan masyarakat yang terpelajar tidak lagi melupakan serta mengabaikan golongan ini,

smjk chung hwa, kb.

Laman Karya Pelajar sebaliknya mencurahkan kasih sayang kepada warga emas dan golongan yang kurang bernasib baik ini. Sebagai akhirulkalamnya, semua lapisan masyarakat perlu bersatu tenaga, bak kata pepatah, “bukit sama didaki, lurah sama dituruni” untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang. Ekoran daripada itu, kita yakin masalah ini dapat dikurangkan pada tahap minimum. Kita tidak mahu masyarakat kita berterusan digelar sebgai masyarakat yang bagaikan kacang lupakan kulit. Kita mesti membuktikan bahawa masyarakat kita masyarakat yang bertamadun; masyarakat kita masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang , sebagaimana yang dicita-citakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri kita.

smjk chung hwa, kb.