You are on page 1of 6

Hikayat Seri Kelantan

Wan Ali Wan Nuh dan Penulisan Sejarah Negeri Kelantan
Oleh: Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah Telah diceritakan oleh Allahyarham Wan Mansor Wan Sulaiman dan dicatatkan oleh Wan Hazim Wan Abdullah[1] bahawa DYMM Sultan Muhammad IV pernah menitahkan Wan Ali Wan Nuh dan Haji Nik Mahmud Haji Wan Ismail [2] iaitu Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja (setaraf Menteri Besar sekarang) mengarang sebuah buku sejarah negeri Kelantan. Buku tersebut dikatakan berjudul Ringkasan Chetera Kelantan[3]. Berdasarkan kajian penulis, buku sejarah negeri Kelantan yang boleh dikaitkan dengan Wan Ali Wan Nuh sebenarnya adalah Hikayat Seri Kelantan dan bukannya Ringkasan Chetera Kelantan. Ini adalah kerana pada ‘Pengenalan’ kepada buku Ringkasan Chetera Kelantan yang diterbitkan pada 1934 itu, Dato’ Perdana sendiri mencatatkan bahawa: “Ringkasan Chetera Kelantan ini disalin daripada tulisan peringatan Pak Wan Mahmud Menteri Besar[4] yang ditulis di dalam tahun 1197 Hijrah iaitu diambil daripada perkataan Pak Bedolah (Abdullah) taulan kepada Mandul Mis, duduknya di Kampung Kubang Garung ialah daripada pemerintah yang di atas hingga kepada pemerintah Sultan Muhammad (Sultan Mandul) dan kemungkinan daripadanya hingga kepada Sultan Mansur diringkaskan daripada karangan Nik Yusof (Nik Seri Paduka) bin Nik Jid dan lain-lain. Kami telah bandingkan beberapa naskah dengan cermatnya, tetapi kami tidak dapat jalan yang lebih bersih daripada yang kami aturkan di dalam beberapa keping kertas ini.”[5] Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah Wan Ali Wan Nuh tidak pernah mengarang mahu pun terlibat dengan penghasilan Ringkasan Chetera Kelantan. Namun, nama Wan Ali ada tercatat dalam Hikayat Seri Kelantan iaitu di hujung baris ke-8 di halaman akhir manuskrip tersebut. Mungkin manuskrip inilah yang sebenarnya dimaksudkan oleh Allahyarham Wan Mansor. Salinan halaman akhir manuskrip tersebut dipaparkan di bawah:

Nama Wan Ali Pekan tercatat pada halaman akhir manuskrip

Versi ruminya[6] baris demi baris adalah seperti di bawah: bahasa Siam[7]. Itulah perintahan atas negeri Kelantan. Itulah halnya yang tiada dapat hendak di-katakan lagi. Demikianlah adanya. Telah selesai-lah ini chetera pada malam Raba’a 9 haribulan Rabiul awal tahun 1332[8] pada waktu jam pukul 9 malam (di hadapan Wan Ali bin Wan Yusof …………)[9]. Dan ini chetera dua, saya buat satu, iaitu saya ambil daripada chetera Raja Muda[10] satu, yang membawa kepada sayanya Tuan Guru Haji Awan Kenali, dan yang akhir ini saya dapat daripada Wan Ali Pekan, iaitu ia dapat daripada Nik Seri Paduka[11], sangat-sangat betul. Menurut Nik Mohamed Nik Mohd Salleh[12],

“Hikayat Seri Kelantan mengandungi 105 halaman, 19 baris pada setiap halaman, berukuran 15.5 x 20.5 sentimeter dan tulisannya terang. Naskhah asal manuskrip ini pernah disimpan oleh almarhum Haji Nik Mahmud bin Ismail (Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja) Menteri Besar Kelantan dari tahun 1920 hingga tahun 1949 Masihi. Kemudian disimpan oleh anaknya yang bernama Nik Mustapha Fadhil bin Haji Nik Mahmud (Dato Seri Amar Raja) bekas pegawai tadbir negeri Kelantan dan Dato Maharajalela di Istana Negara Kuala Lumpur. Penulis difahamkan iaitu pada akhir tahun 50-an naskah asal hikayat ini telah diserahkan kepada Perpustakaan Universiti Malaya di Singapura. Mengikut catatan oleh pengarangnya yang tiada diketahui namanya, “Hikayat Seri Kelantan” adalah gabungan dari dua sejarah atau hikayat kepunyaan Raja Muda dan Nik Yusof. Hikayat Seri Kelantan menceritakan sejarah negeri Kelantan daripada zaman ketika negeri yang pada masa ini dipanggil Kelantan diperintah oleh seorang Ratu atau Raja Perempuan bernama Che’ Siti Wan Kembang sehingga kepada tahun 1900 Masihi apabila Long Senik bin Long Kundor atau Long Senik bin Sultan Muhamad III menjadi raja pemerintah Kelantan menggantikan almarhum Sultan Mansur. Walau bagaimana pun timbul tanda tanya dan kesamaran di kalangan ahli sejarah dan para pengkaji perihal penulis sebenar manuskrip ini. Misalnya, Nik Mohamed Nik Mohd Salleh percaya bahawa ianya dikarang oleh Wan Ali Wan Yusof yang dikenali sebagai Wan Ali Pekan. Katanya: “Adalah dipercayai bahawa ‘Hikayat Seri Kelantan” telah disusun atau dikarang oleh Wan Ali bin Wan Yusof yang lebih dikenali dengan panggilan Wan Ali Pekan kerana beliau berasal dari Kampung Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat.”[13] Nik Mohamed juga menyatakan Wan Ali Wan Yusof ini turut dikenali sebagai Wan Ali Kutan[14]. Sekiranya Wan Ali Wan Yusof dikenali sebagai Wan Ali Kutan, ini jelas menunjukkan bahawa beliau berasal dari Kutan dan bukannya dari Pekan (Pasir Pekan). Setengah pengkaji pula menyatakan penulis sebenar Manuskrip Hikayat Seri Kelantan tidak diketahui identitinya. Mohd. Taib Osman misalnya berpendapat bahawa: “…, siapa yang menulis atau menyalin naskhah ini sa-benarnya tidak di-ketahui, iaitu ‘saya’ yang di-hujong naskhah ini maseh menjadi tanda tanya.”[15] Pandangan Mohd. Taib ini bersandarkan kepada catatan akuan penulis naskhah itu bahawa beliau menulis di hadapan Wan Ali bin Wan Yusof. Menurut Mohd Taib, Wan Ali bin Wan Yusof ini merujuk kepada orang yang sama yang dicatatkan sebagai Wan Ali Pekan. Andaian ini dibuat beliau berdasarkan kenyataan Y.M. Tengku Khalid dan juga Sa’ad Shukry[16] bahawa Wan Ali Pekan adalah gelaran kepada Wan Ali Wan Yusof kerana beliau merupakan seorang guru agama di Pasir Pekan, Kelantan.[17] Ahmad Ramizu Abdullah[18] dalam kajian beliau juga tidak

membuat penemuan baru tentang penulis sebenar Hikayat Seri Kelantan. Beliau setakat mengulangi pandangan yang diutarakan oleh Mohd. Taib Osman ini. Kesimpulan Sekiranya diamati pengakuan penulis Hikayat Seri Kelantan pada halaman terakhir tersebut, kita mendapat gambaran bahawa Wan Ali Wan Yusof dan Wan Ali Pekan adalah individu yang berlainan. Jelas daripada pengakuan penulis misteri yang ‘mengarang’ atau ‘menyusun’ Hikayat Seri Kelantan bahawa Hikayat tersebut selesai ditulis dengan bersaksikan Wan Ali Wan Yusof (nama ini kelihatan terpotong seperti yang dapat dilihat pada salinan yang disiarkan dalam monograf Warisan Kelantan IX seperti di atas). Penulis misteri ini seterusnya mengakui bahawa sebahagian sumber maklumat sejarah Kelantan itu diperolehi beliau melalui Wan Ali Pekan. Mustahil seorang penulis itu memberikan nama yang berlainan untuk merujuk kepada orang yang sama tanpa sebab yang munasabah lebih-lebih lagi disaksikan sendiri oleh empunya diri, Wan Ali Wan Yusof. Secara kebetulannya kedua-dua individu bernama Wan Ali dan ini tidak boleh membawa kepada kita untuk membuat rumusan bahawa nama dan gelaran itu merujuk kepada orang yang sama. Malah amat munasabah untuk dirumuskan bahawa penulis misteri itu sengaja memberikan nama penuh kepada Wan Ali Wan Yusof dan meletakkan gelaran Wan Ali Pekan kepada Wan Ali Wan Nuh untuk membezakan antara kedua individu ini serta mengelakkan dari sebarang kesamaran dan kekeliruan pembaca. Dengan ini tertolaklah andaian yang dibuat oleh para pengkaji sebelum ini tentang identiti Wan Ali Pekan. Menurut Wan Mohd Hazim[19] yang mengkaji sejarah Mukim Pekan, tiada orang yang dikenali sebagai Wan Ali Pekan di zaman itu melainkan Wan Ali Wan Nuh yang sememangnya dikira tokoh dari Mukim Pekan yang mempunyai hubungan istimewa dengan Istana Kelantan. Setakat kajian penulis, nama Wan Ali Wan Yusof yang dikatakan seorang guru agama dari Pasir Pekan itu masih belum dapat dikenal pasti apatah lagi apabila beliau juga dikatakan turut dikenali sebagai Wan Ali Kutan iaitu bersempena daerah Kutan yang kedudukannya terasing dari Mukim Pekan atau Pasir Pekan. Namun apa yang pasti Wan Ali Wan Nuh tetap memberikan sumbangan dalam penulisan Hikayat Seri Kelantan sekiranya Wan Ali Pekan itu hanya sanya merujuk kepada beliau. Hakikat ini sekali gus dapat merungkaikan kekeliruan dan kesamaran yang timbul di kalangan sarjana yang mengkaji identiti Wan Ali Pekan. Menurut cerita yang diperolehi oleh Wan Mohd Hazim, Wan Ali Wan Nuh @ Wan Ali Pekan telah menerima titah perintah daripada Ke Bawah DYM Sultan untuk berusaha menghasilkan kitab sejarah Kelantan dan atas dasar itu beliau mengumpulkan bahan dan mengupah orang tertentu untuk menyalin dan mengarangnya. Hikayat Seri Kelantan juga merupakan antara rujukan utama Dato Perdana Menteri Paduka Raja untuk mengarang Ringkasan Chetera Kelantan pada tahun 1934 yang dijadikan teks pengajian murid-murid sekolah seluruh Negeri Kelantan ketika itu. Akhirnya, beberapa persoalan yang masih belum terjawab. Antaranya, siapakah penulis sebenar Hikayat Seri Kelantan? dan kenapakah nama Wan Ali Wan Yusof kelihatan dipotong pada manuskrip yang disiarkan dalam Monograf Warisan Kelantan IX? Mungkin persoalan kedua ini

akan terjawab sekiranya penulis berkesempatan menemubual penulis rencana dalam monograf tersebut iaitu Dato’ Nik Mohamed Nik Mohd Salleh yang merupakan Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia. InsyaAllah. (Terbaru: Dato’ Nik Mohamed Nik Mohd Salleh dalam temubual dengan penulis pada 3 Disember 2007 telah mengesahkan bahawa salinan fotokopi manuskrip Hikayat Seri Kelantan yang disiarkan dalam monograf Warisan Kelantan IX adalah salinan sama yang diperolehinya dari Mohd Taib Osman, iaitu terdapatnya ayat yang dipotong itu. Justeru dapat dirumuskan bahawa sememangnya begitulah keadaannya manuskrip asal yang mungkin penulisnya sendiri yang memotong ayat tersebut. Persoalan yang timbul pula ialah dari manakah datangnya ayat dalam kurungan ‘di hadapan Wan Ali bin Wan Yusof …………’?. Menurut Mohd Taib Osman, ayat dalam kurungan walaupun telah dihapuskan, ayatnya masih dapat dibaca kecuali perkataan yang di hujung. Sila rujuk Mohd Taib Osman, Siri Warisan Sastera Klasik: Hikayat Seri Kelantan, DBP, Kuala Lumpur 2004, Nota Hujung 512: hlm. 125.) Wallahu’alam Merujuk kepada artikel Wan Mohd Hazim Wan Abdullah, Riwayat Hidup Seorang Pejuang: Wan Ali Nakhoda Al-Haj bin Wan Nuh Al-Haj yang disiarkan dalam http://www.wannuh.com
[1]

Menurut Nik Mohamed Nik Mohd Salleh, Nik Mahmud bin Ismail yang menjadi Menteri Besar Kelantan dari 1921 – 1944 adalah satu-satunya sejarawan yang terkenal di Kelantan di zaman hayatnya. Beliau dikatakan telah mengumpul banyak manuskrip tempatan dan satusatunya manuskrip yang penting yang pernah berada dalam simpanan Nik Mahmud ialah ‘Hikayat Seri Kelantan’. Lihat Nik Mohamed Nik Mohd Salleh, Warisan Kelantan IX, hlm. 80.
[2]

Salinan ‘Ringkasan Chetera Kelantan’ boleh dirujuk di Bahagian Koleksi Diraja, Arkib Negara, Kuala Lumpur no. ruj. ARD/27. Edisi Bercetak Jawi ini di terbitkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada 1934 untuk pengajian murid-murid sekolah kerajaan Kelantan.
[3]

Pak Wan Mahmud adalah Menteri Besar Kelantan di zaman pemerintahan Sultan Muhammad I : 1800 – 1837 Masihi. Lihat Nik Mohamed Nik Mohd Salleh, Warisan Kelantan IX, hlm. 69
[4] [5]

Ringkasan Chetera Kelantan, hlm. 3

Teks ini dirumikan oleh Mohd Taib bin Osman dalam kajian M.A. beliau berjudul ‘Hikayat Seri Kelantan, Sa-buah naskhah tulisan tangan dari Kelantan’, Universiti Malaya, Jan. 1961. No. Ruj. PL5113HK.MUHTO
[6]

Perkataan ‘bahasa Siam’ ini adalah sambungan ayat dari halaman sebelumnya iaitu: ..tiadalah dapat raja Kelantan ikut perentahan2 Pia Sukon segenap perkara sampai kepada Pia Sukon tiada benar diajar mata lain daripada bahasa Siam.”
[7] [8]

Bersamaan 5 Februari 1914

Dalam salinan manuskrip yang terbit dalam Monograf Warisan Kelantan IX, hlm. 102, ayat dalam kurungan (di hadapan Wan Ali bin Wan Yusof) tidak kelihatan kerana nampak seperti dipotong/dibatalkan. Namun begitu ayat dalam kurungan ini dinyatakan dalam kajian Mohd Taib bin Osman,‘Hikayat Seri Kelantan, Sa-buah naskhah tulisan tangan dari Kelantan’, Jan. 1961 dan juga Ahmad Ramizu Abdullah, ‘Kajian Penulisan, Pembentukan dan Penggunaan Kata dalam Hikayat Seri Kelantan’, Universiti Malaya, Mei. 1994. No. Ruj. PL5113 HK.Ahmra
[9]

Raja Muda ialah Tuan Zainal Abidin bin Tuan Kundor atau Tengku Zainal Abidin bin Sultan Muhammad III. Baginda bergelar Raja Muga dari tahun 1900 – 1944. Lihat Nik Mohamed Nik Mohd Salleh, Warisan Kelantan IX, hlm. 101.
[10]

Nama penuhnya ialah Nik Yusof bin Nik Abdul Majid atau Nik Soh bin Nik Jid lebih dikenali dengan penggilan Nik Soh Seri Paduka atau Nik Seri Paduka kerana gelarannya Dato’ Seri Paduka Raja. Pernah menjadi Menteri Besar Kelantan dari tahun 1894 – 1900 Masihi di zaman pemerintahan sultan Mansur. Lihat Nik Mohamed Nik Mohd Salleh, Warisan Kelantan IX, hlm. 101.
[11]

Lihat Nik Mohamed Nik Mohd Salleh, Manuskrip Melayu di Kelantan dlm. Warisan Kelantan IX, hlm. 97-101.
[12] [13]

Ibid. 101 Ibid. 80.

[14]

Mohd. Taib Osman, ‘Hikayat Seri Kelantan, Sa-buah naskhah tulisan tangan dari Kelantan’, Universiti Malaya, Jan. 1961, hlm. 9
[15]

Nama penuh beliau ialah Muhamad Asaad bin Haji Muda (lebih dikenali sebagai Asaad Shukri bukannya Sa’ad Shukry). Beliau ialah abang kepada Dato’ Muhamad Asri bin Haji Muda, bekas Presiden PAS. Beliau adalah sejarawan dan nasionalis tempatan yang mengarang beberapa buku sejarah Kelantan. Lihat Nik Mohamed Nik Mohd Salleh, Manuskrip Melayu di Kelantan dlm. Warisan Kelantan IX, hlm. 80-81.
[16]

Mohd. Taib Osman, ‘Hikayat Seri Kelantan, Sa-buah naskhah tulisan tangan dari Kelantan’, Universiti Malaya, Jan. 1961. Nota kaki hlm. 10
[17]

Ahmad Ramizu Abdullah, ‘Kajian Penulisan, Pembentukan dan Penggunaan Kata dalam Hikayat Seri Kelantan’, Universiti Malaya, Mei. 1994. No. Ruj. PL5113 HK.Ahmra
[18]

Merujuk kepada temubual penulis dengan Wan Mohd Hazim Wan Abdullah mengenai persoalan yang dibangkitkan di atas pada 29 November 2007.
[19]