You are on page 1of 4

Langkah-langkah untuk Menjaga Alam Sekitar

Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak
mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan
tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin
tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan
pencemaran seperti pembuangan sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia
dan pelbagai lagi. Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya
digunakan pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi.
Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga alam
sekitar perlulah diambil.
Langkah-langkah yang boleh
diambil adalah melalui pendedahan mediamassa. Media massa ini termasuklah
televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar. Pada hari ini, media
massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna.
Media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran
alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen
adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di
setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian kerana setiap manusia atau individu perlu
mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang
sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah
pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar.
Pihak-pihak berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan
lebih luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak
menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.

Selain itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar.
Antara kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita,
kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini
masyarakat akan didedahkan tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara
menjaga alam sekitar seperti menguruskan sisa pembuangan supaya kurang memberi
pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan
pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu,
masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam
sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-
pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan.
Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat
mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa
pentingnya hidupan hijau di bumi ini.

Langkah ketiga bagi mengatasi pencemaran alam
sekitar pula ialah melalui organisasi-organisasi seperti sekolah,balai rakyat, kelab
remaja dan juga syarikat-syarikat tertentu. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan
secara formal pada peringkat rendah dalam pelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat
menengah khususnya dalam pelajaran sains seperti Biologi dan di peringkat pengajian
tinggi melaluikursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru sekolah
haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cintakan alam sekitar. Hal
ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan cinta alam sekitar kepada
pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah. Pertandingan kelas terbersih
di antara kelas juga perlu dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam
sekitar dalam diri pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan dengan
proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan hubungannya dengan
hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan alam sekitar akan dapat dipupuk
dalam diri pelajar .

Langkah seterusnya ialah melalui penggunaan teknologi moden. Penggunaan
teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting.
Penggunaan teknologi moden dapat mengawal dan mengurangkan pencemaran dengan
lebih cepat dan efektif. Dengan adanya teknologi moden, tumpahan minyak di lautan
adalah lebih mudah dibersihkan tanpa meninggalkan sisa tumpahan minyak. Selain itu,
dengan menggunakan teknologi moden kita dapat menjalankan aktiviti kitar semula
bahan-bahan buangan dan sisa-sisa pepejal seperti surat khabar, majalahlama, kain dan
bahan-bahan plastik. Hal ini sudah tentu akan dapat mengurangkan pencemaran yang
disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna. Penggunaan teknologi
moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap
kilang-kilang perindustrian telah dapat mengurangkan kadar gas karbon monoksida yang
dilepaskan. Hal ini akan dapat mengurangkan kadar pencemaran udara di sekeliling.

Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar semakin hari semakin meningkat
mengikut pertambahan bilangan pengguna. Saya berharap setiap individu dapat
mengambil pengajaran tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar agar alam
sekitar yang semakin tercemar ini dapat dipulihkan semula dan dapat dijaga dengan
lebih baik pada masa hadapan. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang
berkaitan haruslah memainkan peranan penting dalam memulihkan dan memelihara alam
sekitar. Sebagai golongan yang berkuasa mereka pasti dapat menjaga dan mengawal
alam sekitar daripada terus tercemar.

You might also like