You are on page 1of 4

Aspirasi pendidikan Negara merupakan hasrat yang ingin dicapai oleh

kerajaan dalam kerangka membangunkan sistem pendidikan negara. Kerajaan telah
merangka satu pelan bertujuan untuk melonjakkan kedudukan dan kualiti sistem
pendidikan negara Malaysia berada dalam kalangan negara sepertiga teratas sistem
pendidikan terbaik di dunia. Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPM)
merupakan pelan yang dirangka oleh Kementerian Pendidikan yang menyatakan
satu hasrat bagi mencapai keberhasilan pendidikan negara yang merangkumi lima
aspek iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Akses merupakan
antara satu aspek yang memainkan peranan penting dalam pendidikan Negara
yang mana kadar akses dipastikan sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari
peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas menjelang tahun 2020
untuk mencapai kejayaan.
Aspirasi sistem pendidikan yang pertama ialah aspek akses dimana 100%
enrolmen dicapai merentas semua peringkat pendidikan dari peringkat prasekolah
sehingga menengah atas menjelang tahun 2020.. Kerajaan telah menjalankan
pelbagai projek insfrastruktur dan kemudahan pendidikan di seluruh negara
termasuklah di luar bandar untuk memperluaskan lagi akses pendidikan yang
berkualiti. Di samping itu, dalam KPM telah memberi tumpuan kepada penyediaan
insfrastruktur, perisian dan latihan ICT. Projek pusat akses juga disediakan di luar
bandar dan dengan ini ramai murid dapat melaksanakan pembelajaran kendiri,
berkomunikasi secara elektronik, mencapai maklumat dan memperoleh kemahiran
ICT. Kementerian juga meningkatkan pelaburan dalam sumber fizikal dan sumber
pengajaran untuk murid berkeperluan khusus dan melanjutkan pendidikan wajib dari
6 tahun kepada 11 tahun bermula pada umur enam tahun. Selain itu, memperluas
akses dan meningkatkan kualiti laluan pendidikan bermula dengan pendidikan
vokasional yang diberi sentuhan yang lebih dinamik di samping meningkatkan kualiti
pra-sekolah dan menggalakkan enrolmen sejagat menjelang 2020.

Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara
diletakkan dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa
mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa
(TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan,
Matematik dan Sains dalam tempoh 15 tahun. Dalam era kemajuan dalam
pendidikan, timbul kesedaran di peringkat global yang mengatakan bahawa
penguasaan 3M sahaja tidak mencukupi bagi pelajar untuk meninggalkan alam
persekolahan. Tumpuan bukan hanya kepada kepentingan memperolehi ilmu
pengetahuan, tetapi juga membangun kemahiran berfikir aras tinggi. Oleh itu, untuk
bersaing di peringkat antarabangsa, pelbagai bahasa antarabangsaan perlu
dikuasai. Untuk tujuan itu Kementerian telah mengambil langkah untuk
memperkukuhkan penguasaan bahasa inggeris yang merupakan bahasa kedua
negara dengan melatih para guru untuk pakar dalam bahasa tersebut, lantas mampu
meningkatkan keupayaan murid menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan
teknologi, serta mempersiapkan mereka menghadapi persaingan arus globlalisasi.

Ekuiti dalam pendidikan pula ditingkatkan di peringkat IPTS dengan
perancangan yang akan dilaksanakan dengan menyediakan kriteria dan mekanisme
kemasukan pelajar yang mempunyai pelbagai kebolehan dan bakat, menyediakan
mekanisme pengiktirafan Prior Learning Experience bagi menggalakkan lebih ramai
pelajar matang serta mengkaji penyertaan mengikut gender di IPT terutama dalam
bidang sains dan matematik. Dalam merapatkan jurang antara golongan tertentu,
kerajaan dalam usaha menyediakan kriteria kemasukan khusus untuk golongan
miskin di bandar dan luar bandar, bumiputera di Sabah dan Sarawak, orang Asli dan
OKU.
Dalam meningkatkan kualiti pendidikan, Kementerian mengaitkan setiap
program kepada keberhasilan murid yang jelas dan merasionalisasi program
berimpak rendah pada setiap tahun, selaras dengan anjakan keseluruhan kerajaan
ke arah Buget Berasaskan Keberhasilan (OBB) dan memanfaatkan peluang
meningkatkan efisiensi, dengan mengagihkan peruntukan kepada bidang paling
kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru. Bergerak ke hadapan, setiap
program yang dilancarkan oleh Kementerian akan dihubungkan dengan sasaran
khusus yang berkait dengan keberhasilan murid. Pejabat persekutuan, negeri dan
daerah akan menjalankan kajian semula tahunan untuk menilai kejayaan program
bagi memenuhi sasaran ini. Pemberian dana untuk tahun berikutnya akan
bergantung pada peningkatan hasil yang ditunjukkan. Melalui pendekatan bajet
berasaskan hasil ini, ibu bapa, guru dan pengetua/guru besar akan berkeyakinan
bahawa setiap program diselaraskan dengan keutamaan dan nilai tambah Pelan
Pendidikan Pembangunan ini.
Seterusnya, kewujudan pelbagai jenis sekolah kebangsaan dan swasta di
peringkat rendah dan menengah dalam sistem pendidikan menyediakan peluang
kepada ibu bapa untuk memilih jenis sekolah bagi anak-anak mereka.
Walaubagaimanapun, kewujudan persekitaran etnik yang homogen di sekolah
menimbulkan kebimbangan tentang kurangnya peluang untuk berinteraksi dalam
kalangan murid. Demi pengukuhan identiti dan perpaduan nasional, interaksi dalam
kalangan murid perlu dipertingkatkan bagi membolehkan mereka berkongsi
pengalaman dan aspirasi masa depan Malaysia. Situasi kepelbagaian jenis sekolah
yang wujud dalam sistem pendidikan pada masa ini tidak menyumbang kepada
interaksi yang dihasratkan. Dalam usaha mencapai perpaduan, penting bagi setiap
murid berinteraksi dan belajar bersama-sama rakan sebaya dan guru daripada
pelbagai etnik, agama, budaya dan latar belakang sosioekonomi. Kementerian telah
menyediakan program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP)
menerusi aktiviti kokurikulum bagi mengukuhkan interaksi dalam kalangan murid di
pelbagai jenis sekolah. Kajian semula yang dijalankan oleh Jemaah Nazir dan
Jaminan Kualiti (JNJK) mendapati program RIMUP berjaya mewujudkan pergaulan
antara etnik di dalam dan di luar bilik darjah.
Dalam mencapai kejayaan dalam pendidikan, akses dalam pendidikan
memainkan peranan yang sangat penting kerana dengan memberi hak
kesamarataan dalam pendidikan kanak-kanak dapat memberi peluang untuk mereka
mengembangkan potensi masing-masing. Kementerian berusaha meningkatkan
kualiti prasekolah dan meningkatkan enrolmen kepada 100% menjelang 2020.
Usaha Kementerian ini dapat memastikan tidak ada golongan yang tercicir dalam
pendidikan di Negara ini dan Negara kita mampu melahirkan generasi yang berdaya
saing di peringkat global. Selain itu, Kementerian melaksanakan projek pusat akses
dalam meningkatkan lagi akses dalam pendidikan. Dengan usaha ini, pelajar di
semua peringkat dan juga tempat mampu mempelajari kemahiran ICT dan juga
pembelajaran juga lebih efektif sekaligus memudahkan proses pengajaran. Maka
lahirlah generasi yang mahir dalam bidang teknologi maklumat yang akan
membangunkan Negara kita kepada Negara yang lebih maju pada tahun 2020.
Secara menyeluruhnya, Pelan Pembangunan Pendidikan ingin mencapai
objektif iaitu, memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia
dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan
standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan
dalam kalangan murid, serta mengoptimumkan kecekapan sistem. Mewujudkan visi
dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan setiap murid bagi 13 tahun
akan datang dan menggariskan program transformasi system pendidikan, yang
merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan
baharu dan harapan masyarakat yang meningkat. Semua aspek yang ditekankan
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Negara ini memainkan peranan yang
penting dalam mencapai satu visi dalam menjadikan negara Malaysia satu negara
yang mempunyai pendidikan yang berkualiti dan setaraf dengan negara lain