You are on page 1of 16

Azfa Hanani

Karya Halis Azhan Mohd Hanafiah


Novel Bahasa Melayu Tingkatan Empat




Nama Pelajar: Marcus Lye Kin Yin
Kelas: 4SA3
Guru: En. Abdul Ghani
Sinopsis Cerita
Novel ini mengisahkan pengorbanan seorang gadis remaja yang bernama Azfa Hanani ( Nani ). Azfa
Hanani merupakan murid tingkatan 5 Kenanga, Sekolah Menengah Seri Dian. Azfa Hanani telah
diminta menyamar sebagai Tengku Murni oleh Tengku Mazran dan isterinya Syafinaz.Hal ini
demikian kerana Tengku Murni telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Datin
Maziah yang turut terlibat dalam kemalangan itu koma. Apabila Datin Maziah sedar daripada
komanya, dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak perempuan tunggalnya telah meninggal
dunia.
Azfa Hanani yang hidup dalam kemiskinan di rumah Pak Madi (Pak Long) telah mengambil buku
rujukan tanpa kebenaran pihak sekolah. Tujuannya adalah untuk mengulang kaji pelajarannya . Pada
masa yang sama anak Pak Longnya , Zuraini mengalami penyakit lumpuh. Azfa Hanani yang
merasakan dirinya membebani keluaga Pak Long bertekad untuk menerima tawaran penyamaran
sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani menerima tawaran itu kerana Tengku Mazran berjanji untuk
menanggung kos rawatan Zuraini.
Azfa Hanani dibawa ke banglo Datuk Tengku Makmur untuk menemui Datin Maziah. Azfa Hanani
telah diberi penjelasan dan tunjuk ajar oleh Tengku Mazran dan isterinya tentang tingkah laku Tengku
Murni. Penyamaran itu nampaknya berhasil kerana Datin Maziah tidak mengesyaki apa-apa
kekurangan yang ada dalam diri Azfa Hanani. Kemudian Azfa Hanani dihantar bersekolah di Sekolah
Menengah Taman Sari. Di situ, dia mengenali rakan-rakan Tengku Murni, seperti Tengku Ellina,
Suzana, Adriani, Ekran dan lain-lain. Azfa Hanani turut mengenali beberapa orang pelajar yang tidak
menyukai Tengku Murni iaitu Laili, Syafikah dan Fuziana. Di banglo Datin Maziah dan di sekolah
barunya pelbagai peristiwa gembira dan sedih telah dilaluinya.
Azfa Hanani telah membaca diari Tengku Murni. Melalui diari ini terbongkar rahsia cinta yang
terhalang antara Tengku Murni dan Ekran. Cinta mereka terhalang disebabkan abang Tengku Murni,
Tengku Muzaffar mementingkan status keluarga mereka sebagai golongan kaya dan bangsawan. Hal
ini menyebabkan konflik berlaku antara Azfa Hanani dan Tengku Muzaffar. Pertengkaran mereka
telah didengari oleh Datin Maziah, akibatnya penyamaran Azfa Hanani terbongkar. Datin Maziah
telah menghalau Azfa Hanani keluar dari rumah.
Azfa Hanani pulang ke rumah Pak Long Madi di Kampung Merpati. Tengku Datuk Makmur dan
Datin Maziah datang ke Kampung Merpati untuk memohon maaf dan memujuk Azfa Hanani agar
kembali ke banglo mereka. Tengku Datuk Makmur menceritakan kisah yang terjadi enam belas tahun
yang lalu. Menurut beliau kematian ibu bapa Azfa Hanani disebabkan kecuaiannya semasa memandu
dalam keadaan mabuk.Teksi yang dinaiki oleh ibu bapa Azfa Hanani telah terjunam ke dalam gaung
dan Azfa Hanani tercampak keluar. Datin Maziah yang bersimpati dengan Azfa Hanani telah
menyusuinya.
Datin Maziah dan Datuk Tengku Makmur ingin menebus kesalahan mereka. Mereka memujuk agar
Azfa Hanani kembali tinggal bersama-sama mereka. Akhirnya Azfa Hanani bersetuju untuk kembali
tinggal di banglo itu dengan identiti sebenarnya. Dia juga mengetahui bahawa ibu bapa Ekran
sebenarnya merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka bukannya miskin
sebagaimana yang dikatakan oleh Tengku Muzaffar.
Sinopsis Bab Demi Bab
1. Takut:
Ketika rakan-rakannya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran Kimia, Azfa Hanani diburu
rasa takut sekiranya namanya dipanggil pengetua kerana mencuri buku dari perpustakaan. Padanya,
dia bukan bertujuan untuk mencuri sebaliknya hanya "meminjam" untuk mengulang kaji pelajaran
kerana tidak mampu untuk membeli buku rujukan tersebut. Dia takut dibuang sekolah kerana
perbuatannya mencuri, sekali gus namanya akan tercemar. Semua terjadi disebabkan kemiskinan
keluarga pak long yang memeliharanya sejak kedua-dua ibu dan bapanya meninggal dunia akibat
kemalangan jalan raya. Dia semakin takut apabila pengetua mahu menemuinya.
2. Siapa Mereka?:
Di bilik pengetua, terdapat tetamu yang begitu asing baginya, iaitu Tengku Mazran, Syafinaz dan
Syarifah Rozan. Mereka memberitahu dirinya kembar seiras Tengku Murni, seorang remaja yang
meninggal dunia dalam suatu kemalangan empat bulan lalu. Tengku Mazran dan Syafinaz
memberitahu bahawa dia berkunjung ke rumah Syarifah Rozan semalam dan ternampak gambarnya
dalam album. Gambarnya seiras wajah adiknya, Tengku Murni. Azfa Hanani ditawarkan menjadi
anak emas keluarga kaya dan menyamar sebagai Tengku Murni kerana wajah mereka seiras, umpama
kembar.
Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadis tunggalnya telah meninggal dunia.
Dia menuduh anak-anak lelakinya telah melarikan Tengku Murni. Oleh sebab itu, mereka bercadang
untuk mengambil Azfa Hanani menggantikan Tengku Murni bagi menenangkan hati Datin Maziah.
Azfa Hanani agak risau untuk menerima tawaran itu walaupun dijanjikan dengan pelbagai
kemewahan. Namun begitu, dia akan mencuba jika diizinkan oleh pak long dan mak longnya.
3. Kerana Terdesak:
Tengku Mazran dan Syafinaz yang ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji Arshad tiba di rumah
pak long untuk berbincang dengan pak long dan mak long. Pak Haji Arshad menjadi orang tengah
dalam perbincangan itu. Tengku Mazran menceritakan kemalangan yang menimpa adiknya, Tengku
Murni. Menurut Tengku Mazran, apabila ibunya, Datin Maziah tersedar daripada koma, yang ditanya
ialah Tengku Murni. Puas mereka berdalih dengan mengatakan Tengku Murni mengikuti program
pertukaran pelajar di Jepun. Dia tidak mampu berterusan menipu dan tidak mahu ibunya menghadapi
tekanan jiwa. Tengku Mazran meminta keizinan pak long dan mak long untuk membawa Azfa Hanani
ke Kuala Lumpur. Sebagai balasan, sekiranya Azfa Hanani mahu menggantikan tempat "Tengku
Murni", kos perubatan anak pak longnya, Zuraini yang hampir lumpuh akan ditanggung. Azfa Hanani
berfikir, sekiranya dia masih kekal di Sekolah Menengah Sri Dian, dia akan dibuang sekolah kerana
mencuri buku di perpustakaan. Selain itu, bila-bila masa sahaja pak longnya akan memberhentikan
persekolahannya kerana kesempitan hidup. Setelah memikirkan masalah dirinya dan penyakit Zuraini
boleh disembuhkan, akhirnya dia menerima tawaran Tengku Mazran.
4. Seawal Kehadiran:
Di Hotel Universe, Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz mengajar cara-cara bertutur, makan dan
bergaul dengan Datin Maziah. Apabila tiba di banglo yang dimaksudkan, dia dibawa ke bilik Tengku
Murni ketika hayatnya dahulu. Tengku Mazran dan Syafinaz memujuk Azfa Hanani akan sikap kasar
Tengku Muzaffar yang mengungkapkan kata-kata menyakitkan hatinya. Azfa Hanani kemudian
berehat di dalam bilik itu. Ketika itu, dia teringat akan kata-kata Nordin sebelum dia bertolak ke sini,
bahawa bukan dia yang dituduh mencuri buku, sebaliknya yang mencari beberapa orang pelajar lelaki.
Apabila Datin Maziah sudah terjaga daripada tidur, Azfa Hanani dibawa bertemu. Dia mengikut
arahan seperti yang diajar oleh Tengku Mazran dan Syafinaz.
5. Sebagai Murid Baharu:
Azfa Hanani dihantar belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah itu, dia berkenalan
dengan saudara dua pupu Tengku Murni, iaitu Tengku Ellina. Dia juga berkenalan dengan rakan-
rakan Tengku Murni yang lain seperti Adriani, Ekran, selain 'musuh' Tengku Murni, iaitu Laili,
Syafikah, dan Fauziana yang dipanggil Budak Glamor. Tengku Ellina menyatakan kehairanannya
kerana sehingga kini kad pengenalan, kad ATM dan dompet Tengku Murni belum ditemukan lagi.
6. Imbalan Budi:
Sekembalinya Azfa Hanani dari sekolah, dia telah disambut oleh Datin Maziah. Dia makan bersama-
sama dengan Datin Maziah dan Kak Finaz. Dia kekok makan menggunakan sudu dan garpu. Azfa
Hanani bertanyakan tentang dompet Tengku Murni yang hilang itu kepada Kak Finaz. Kak Finaz
menyatakan mungkin dompet itu telah diambil orang. Azfa Hanani bimbang rahsianya terbongkar.
Kak Finaz meyakinkannya bahawa mayat yang dikebumikan itu memang mayat Tengku Murni. Di
dalam bilik, Azfa Hanani menemukan diari Tengku Murni dan dibaca diari itu untuk mengetahui
peribadi Tengku Murni.
Tengku Datuk Makmur datang menemui Azfa Hanani di biliknya. Dia akan membayar RM500
sebulan kepada Azfa Hanani sebagai upah kerana menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani
tidak menyangka budinya akan dibalas dengan wang ringgit. Namun dia terpaksa menerima wang itu
demi membantu pak long di kampung.
7. Kerenah Laili:
Azfa Hanani ke sekolah untuk menghadiri majlis perjumpaan pelajar tingkatan 5 bagi
membincangkan projek Hari Sumbangsih. Program yang diatur meliputi pasar ria, kejohanan sukan
terbuka, dan pameran. Pada tahun lalu program tersebut telah berjaya mengumpul wang sebanyak RM
16 ribu. Laili tidak berpuas hati dan mendakwa kononnya terdapat ketidakadilan dalam pengagihan
slot. Dia tidak berpuas hati kerana tidak diberikan slot mengendalikan Malam Bakat Sumbangsih.
Laili turut mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan jawatankuasa yang terlibat. Dakwaan Laili
dibantah oleh Ekran dengan menjelaskan bahawa agihan slot dibuat melalui undian. Setiap ketua
tingkatan mengambil bahagian dalam undian tersebut dan seharusnya soal ketidakadilan tidak
sepatutnya ditimbulkan.
8. Tertanya-tanya:
Azfa Hanani tertanya-tanya mengapa dia tidak dapat berbual panjang dengan Ekran. Lidahnya
menjadi kelu kala berhadapan dengan Ekran. Dia juga tertanya-tanya mengapa Ekran menjual burger
berhampiran dengan Plaza Cahaya sedangkan gayanya tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Di
perpustakaan, Fauziana dan Syafikah menawarkan Azfa Hanani sebagai pengacara Malam Bakat
Sumbangsih kerana suaranya sesuai. Azfa Hanani tahu bahawa majlis itu diuruskan oleh pelajar
Tingkatan 5 Sastera II, jadi dia menganggap tidak perlu masuk campur. Azfa Hanani menolak dengan
baik kerana menyedari niat mereka tidak ikhlas. Penolakannya itu membuatkan mereka begitu marah.
9. Ekran:
Azfa Hanani mengikuti kelas bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca. Dia pergi
ke Institut untuk meminjam beberapa buah buku. Sebenarnya dia cuma beralasan untuk keluar rumah.
Hasrat hatinya adalah untuk menemui Ekran. Ketika berada di tempat tersebut, Iskandar mahu
menghantarnya pulang dengan menaiki motorsikal. Azfa Hanani menolak kerana dia tidak mengenali
lelaki itu. Azfa Hanani berpeluang bertemu Ekran yang menjual burger pada hari itu.Ekran
menjelaskan minatnya untuk menjadi akauntan.
10. Meluah Rasa:
Azfa Hanani meluahkan perasaannya kepada Ekran dan menjelaskan bahawa dia bukan Tengku
Murni. Dia hanya seorang budak kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Dia bukan anak
manja Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Azfa Hanani hanya menyamar sebagai Tengku
Murni untuk memenuhi janjinya kepada Abang Mazran dan Kak Finaz. Dia juga menerima tawaran
mereka kerana tidak mahu keciciran dalam pelajaran. Selain itu dia ingin membalas budi pak long dan
mak longnya. Abang Mazran dan Kak Finaz telah berjanji untuk menanggung segala kos rawatan
Zuraini yang lumpuh.
11. Bukan Dirancang:
Azfa Hanani tidak merancang untuk ke rumah Tengku Ellina. Tengku Ellina mengajaknya ke rumah
kerana pasukan Forum Remaja Sekolah Menengah Taman Sari akan mengadakan sesi perbincangan
dan latihan. Datin Maziah memberikan persetujuan akan hasrat Azfa Hanani ke rumah rakannya,
Tengku Ellina. Azfa Hanani berasa bersalah kerana berbohong kepada Datin Maziah. Datin Maziah
mengingatkan Azfa Hanani agar memberikan fokus terhadap SPM supaya memperoleh keputusan
cemerlang seperti "abang-abangnya". Tengku Muzaffar menghantar Azfa Hanani dengan menaiki
motosikal berkuasa tinggi. Setibanya di rumah Tengku Ellina, rakan-rakannya telah sedia menunggu.
Tengku Ellina meminta Azfa Hanani menggantikan tempatnya sebentar sebagai Pengerusi Forum
Remaja, sementara dia mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar untuk Hari Sumbangsih.
Setelah ahli-ahli pasukan Forum Remaja melihat kepetahan dan kelancaran Azfa Hanani sebagai
pengerusi, mereka memutuskan bahawa Azfa Hanani akan kekal mempengerusikan Forum Remaja.
12. Melulu:
Pertandingan Forum Remaja yang akan diadakan di dewan besar sekolah bakal berlangsung sebentar
lagi. Azfa Hanani membuat persiapan; memakai tali leher dan menghafal skrip. Azfa Hanani
mendapat khabar gerai burger Ekran telah dibakar orang menyebabkan dia bergegas ke bilik persatuan
untuk mendapatkan penjelasan daripada Ekran. Ekran tidak ditemui sebaliknya dia bertemu dengan
Laili yang tidak berpuas hati akan sikapnya menarik diri sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih.
Kata-kata menghina yang diucapkan Laili telah menggetarkan perasaan Azfa Hanani sebelum
melangkah ke pertandingan Forum Remaja.
13. Hadiah Bererti:
Pasukan yang disertai oleh Azfa Hanani dalam pertandingan Forum Remaja telah berjaya menjadi
johan dan Azfa Hanani diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Ramai yang memuji suara
Azfa Hanani amat lunak dan sesuai menjadi pengacara televisyen. Seterusnya, Datin Maziah telah
mengadakan majlis ulang tahun yang ke-17 untuk Tengku Murni. Azfa Hanani, walaupun mengambil
peranan sebagai Tengku Murni, tetapi berasa terharu kerana diraikan dalam majlis yang begitu meriah.
Ekran datang lewat dan hanya menyerahkan hadiah melalui pintu pagar rumah. Azfa Hanani
meluahkan perasaan rindunya terhadap pak long sekeluarga di kampung kepada Abang Mazran.
Abang Mazran berjanji akan membawa Azfa Hanani pulang bertemu dengan keluarganya di kampung.
Abang Mazran juga meminjamkan telefon bimbitnya kepada Azfa Hanani agar dia dapat
menghubungi kawan-kawannya di kampung.
14. Misteri Yang Tersimpan:
Azfa Hanani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Abang Mazran untuk
menghubungi rakan-rakannya di kampung. Azfa Hanani mengimbau perbualannya dengan rakan-
rakan sekampungnya, Falina dan Aini. Kak Finaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Abang Mazran
bersetuju untuk memasang talian telefon di rumah pak long. Abang Mazran juga akan membelikan
Azfa Hanani telefon bimbit yang baharu. Azfa Hanani membuka hadiah yang diberikan oleh Ekran.
Azfa Hanani terkejut apabila mendapati hadiah itu berupa dompet milik arwah Tengku Murni dan di
dalamnya terdapat sejumlah wang, beberapa keping kad, dan sehelai kertas catatan.
15 Kunjungan Mengejut:
Azfa Hanani menyuarakan hasratnya kepada Kak Finaz untuk menyambut kepulangan pak long dan
Zuraini daripada menjalani rawatan di Indonesia. Kak Finaz berjanji untuk membawa Azfa Hanani
pulang ke kampung semasa cuti semester pertama nanti. Sekembalinya daripada mengikuti kelas
bahasa di Institut Lingua Franca, Azfa Hanani terkejut melihat pak long dan Zuraini berada di rumah
Datin Maziah. Kerinduan Azfa Hanani terubat kerana dapat berbual-bual dengan pak long dan Zuraini.
Menurut Zuraini, Tengku Datuk Makmur seakan-akan sudah mengenali keluarga mereka sebelum ini.
16. Hari Sumbangsih:
Hari ini berlangsungnya Hari Sumbangsih di Sekolah Menengah Taman Sari. Sambutan Hari
Sumbangsih pada tahun ini lebih meriah. Ekran yang menjadi pengerusi persatuan pelajar tingkatan
lima sibuk mengendalikan program sempena Hari Sumbangsih. Ada khabar angin yang mengatakan
bahawa Malam Bakat Sumbangsih akan dipulaukan oleh pelajar yang tidak berpuas hati. Azfa Hanani
mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Ekran di bilik persatuan. Azfa Hanani mendesak
Ekran untuk berterus-terang tentang punca dia menjauhkan diri daripadanya. Akhirnya Ekran
membuat pengakuan yang mengejutkan. Ekran mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan
Tengku Murni. Namun hubungan itu terpaksa diputuskan atas sebab-sebab tertentu. Pada pertemuan
terakhir sebelum kemalangan itu, dompet Tengku Murni tertinggal dan dia menyimpan dompet
tersebut.
17. Terusir:
Azfa Hanani masih lagi tertanya-tanya tentang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni. Azfa
Hanani membuat tekaan bahawa Datin Maziahlah punca hubungan Tengku Murni dengan Ekran
terputus. Dengan menggunakan teknik yang tertentu, Azfa Hanani berjaya membaca rahsia yang
terkandung di dalam diari Tengku Murni. Azfa Hanani lantas bersemuka dengan Tengku Muzaffar
untuk mendapatkan kepastian. Tengku Muzaffarlah rupa-rupanya yang menjadi dalang yang
merosakkan hubungan yang terjalin antara Tengku Murni dengan Ekran. Tengku Muzaffar
memberitahu bahawa dia menghalang hubungan antara Tengku Murni dengan Ekran kerana ingin
menjaga nama baik keluarga disebabkan Ekran daripada keluarga miskin. Azfa Hanani berasa terhina
kerana dirinya juga daripada keluarga miskin. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana kini Tengku
Muzaffar melarangnya berkawan dengan Ekran pula. Akhirnya berlakulah pertengkaran antara
mereka dan didengari pula oleh Datin Maziah. Datin Maziah amat marah apabila mendapati Azfa
Hanani selama ini menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani ditampar, kemudian dihalau keluar
dari rumah itu.
18 Hakikat:
Azfa Hanani mahu terus pulang ke kampung, tetapi Tengku Muzaffar meletakkan Azfa Hanani di
rumah Tengku Ellina. Akhirnya, Azfa Hanani dapat kembali tinggal di rumah pak longnya di
Kampung Merpati. Namun, pak long dan mak longnya masih belum mengetahui bahawa Azfa Hanani
sebenarnya telah diusir keluar dari rumah Datin Maziah. Sebelum ini, Abang Mazran dan Kak Finaz
berjanji untuk memujuk Datin Maziah untuk menerima Azfa Hanani kembali. Namun, Azfa Hanani
telah membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung. Azfa Hanani terkejut apabila keluarga
Tengku Datuk Makmur datang mencarinya di kampung. Akhirnya terbongkar rahsia apabila Tengku
Datuk Makmur menceritakan bahawa dialah yang telah melanggar teksi yang dinaiki oleh Azfa
Hanani sekeluarga sehingga mengakibatkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani. Datin Maziah tidak
sampai hati apabila melihat Azfa Hanani yang ketika itu masih bayi menangis kelaparan lalu
menyusuinya. Selama 16 tahun, Tengku Datuk Makmur berusaha untuk menjejaki Azfa Hanani.
Pencariannya berhasil setelah berbual-bual dengan pak long yang kebetulan berkunjung ke rumahnya
sekembalinya daripada menemani anaknya, Zuraini yang mendapatkan rawatan di Indonesia.
19. Segala-galanya Berakhir:
Azfa Hanani kembali tinggal di banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Kali ini dia mahu
dikenali dengan identiti sebenar, bukan sebagai Tengku Murni lagi. Tengku Muzaffar pula semakin
mendekatkan diri dengan agama. Aktiviti Hari Sumbangsih telah berjaya mengumpul sebanyak
RM16,655.00. Syafikah dan Fauzana bersikap baik terhadap Azfa Hanani. Motosikal yang ditunggang
oleh Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Manakala Laili yang
membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan kini di wad ICU.
Pasukan yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani telah
diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Pada suatu hari, Azfa Hanani menaiki teksi ke rumah
Ekran. Ketika Azfa Hanani tiba, dia melihat Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan
sebuah gerai. Akhirnya Azfa Hanani mengetahui kedudukan perkara yang sebenar iaitu, Tengku
Muzaffarlah yang membakar gerai burger Ekran. Sementara itu, Ekran bukanlah daripada keluarga
yang susah. Ayah dan ibuny bekerja sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini
sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat. Adik-adik
perempuannya ikut serta manakala adik lelakinya menuntut di sebuah sekolah asrama penuh. Dia
selesa tinggal dengan datuk dan neneknya.

Tema
Tema dalam novel Azfa Hanani ialah penyamaran yang dilakukan oleh seorang gadis demi
menyelamatkan seorang ibu daripada menghadapi tekanan jiwa kerana kehilangan anak
kesayangannya dalam kemalangan jalan raya. Azfa Hanani seorang anak yatim piatu sanggup
menerima tawaran untuk menjadi Tengku Murni bagi memastikan Datin Maziah yang baru tersedar
daripada koma tidak tertekan jika mendapat tahu bahawa anak kesayangannya telah meninggal dunia.
Persoalan
1. Pengorbanan dalam menempuh kehidupan.
a. Azfa Hanani sanggup menerima tawaran Abang Mazran dan Kak Finaz bagi menggantikan tempat
Tengku Murni. Kesanggupannya itu juga membolehkan sepupunya mendapat rawatan penyakit
lumpuhnya sebagai balasan.
b. Azfa Hanani berkorban dengan meninggalkan rakan-rakannya dan keluarga di kampung.
c. Azfa Hanani sanggup mengorbankan perasaannya yang tidak selesa tinggal di rumah Datin Maziah.
Hal yang demikian kerana Azfa Hanani dapat merasakan bahawa Tengku Muzaffar dan Tengku
Datuk Makmur seakan-akan tidak menyukai kehadirannya di rumah itu.
2. Berani mengambil risiko.
a. Azfa Hanani seorang gadis yang baru berusia 17 tahun tetapi berani mengambil risiko dengan
menyamar sebagai Tengku Murni.
b. Azfa Hanani berani mencuba suasana yang baharu, iaitu di rumah baharu, sekolah baharu dan
kawan-kawan yang baharu.
3. Kegigihan dan tidak berputus asa dalam menjalani kehidupan seharian.
a. Azfa Hanani yang berasal daripada keluarga miskin tetap gigih belajar dengan tujuan untuk
membaiki masa depan keluarga dan hidupnya.
b. Selepas dihalau oleh Datin Maziah dan kembali tinggal di kampung, Azfa Hanani masih bersikap
optimis dan tidak berputus asa.
4. Sikap manusia yang mementingkan darjat atau pangkat.
a. Datuk Tengku Makmur menganggap Azfa Hanani sanggup untuk menyamar kerana tamakkan harta.
b. Tengku Muzaffar tidak membenarkan arwah adiknya berkawan dengan Ekran kerana Ekran berasal
dari keluarga yang susah.
c. Sikap Laili yang sombong dan angkuh kerana berasal daripada keluarga yang kaya.
5. Berpegang kepada janji.
a. Datuk Tengku Makmur tetap menunaikan janjinya untuk membayar upah kepada Azfa Hanani
kerana menyamar sebagai Murni.
b. Tengku Mazran menunaikan janjinya dengan membiayai kos rawatan Zuraini.
c. Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah berpegang kepada janji mereka 16 tahun yang lalu untuk
menjaga Azfa Hanani dengan penuh kasih sayang sebagai menebus kesalahan mereka.

Watak dan Perwatakan
Azfa Hanani / Aku
a. Azfa Hanani ialah watak utama novel ini.
b. Berumur 17 tahun.
c. Secara fizikalnya Azfa Hanani gadis yang cantik, wajahnya lembut.
d. Azfa Hanani kehilangan kedua ibu bapanya semasa dia masih bayi.
e. Dia bersekolah dalam Tingkatan Lima Kenanga di SM Seri Dian dalam aliran sains setelah
mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan SRP, kecuali subjek Bahasa Inggeris.
f. Dia dibesarkan oleh bapa saudaranya dalam serba kekurangan.
g. Gigih dalam menuntut ilmu. Buktinya setiap hari dia berulang-alik dari rumah ke sekolah sejauh 30
km dengan menggunakan bas sekolah.
h. Taat kepada pak long dan mak longnya. Dia meminta keizinan mereka terlebih dahulu sebelum
bersetuju untuk mengikut Abang Mazran dan Kak Finaz ke Kuala Lumpur.
i. Penyayang. Dia amat menyayangi anak-anak pak longnya.
j. Bertanggungjawab. Dia tetap mengeposkan buku-buku rujukan SPM yang dipinjamnya itu kepada
Cikgu Zamin.
k. Taat pada perintah agama. Buktinya, dia rajin bersembahyang dan selalunya setiap malam Jumaat
dia akan membaca Al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah ayah dan ibunya.
l. Bijak bergaul. Dia tidak kekok untuk bercampur dengan pelajar-pelajar di sekolah baharunya, iaitu
SM Taman Sari.
m. Cekal hati. Contohnya, Azfa Hanani berjaya mengharungi kehidupan seorang diri di tempat yang
baharu.
n. Pemaaf. Dia sudi memaafkan perbuatan Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah.
o. Teguh jati diri. Buktinya, dia masih mahu mengekalkan identiti diri sebagai Azfa Hanani walaupun
telah diterima baik oleh keluarga Datuk Tengku Makmur.
Tengku Murni / Murni
a. Anak perempuan Datuk T. Makmur dan Datin Maziah.
b. Wajahnya seiras dengan Azfa Hanani.
c. Meninggal dunia akibat kemalangan yang menimpanya semasa memandu bersama-sama ibunya.
d. Gemar berpakaian rugged. Buktinya diceritakan oleh Azfa Hanani melalui gambar-gambar di
dalam album Tengku Murni.
e. Anak yang manja. Tengku Murni akan mencium pipi ibunya sebelum keluar ke mana-mana.
f. Peramah. Tengku Ellina memberitahu Azfa Hanani bahawa Murni baik dengan hampir semua
pelajar SM Taman Sari.
g. Tidak mudah mengalah. Buktinya melalui perbualan antara Abang Mazran dan Azfa Hanani, Murni
dikatakan tidak mahu beralah apabila bergaduh dengan abang-abangnya.
h. Tidak memandang rendah pada orang lain. Syafiqah dan Fuziana ditegur oleh Murni kerana sering
merendahkan orang lain.
Datin Maziah
a. Isteri Datuk Tengku Makmur.
b. Ibu kepada Tengku Murshadad (anak sulung), Tengku Mirzan, Tengku Mazran, Tengku Muzaffar
dan akhirnya Tengku Murni.
c. Hidup bermadu setelah suaminya bernikah dengan seorang gadis muda.
d. Ibu yang penyayang. Dia sangat menyayangi dan memanjakan Tengku Murni.
e. Mengalami tekanan perasaan. Tengku Mazran terpaksa meminta Azfa Hanani menyamar sebagai
Tengku Murni bagi meredakan tekanan perasaan yang dialami oleh ibunya itu.
Tengku Mazran / Abang Mazran
a. Anak Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah.
b. Isterinya bernama Syafinaz.
c. Anak yang bertanggungjawab. Buktinya, dia berusaha untuk menyembuhkan ibunya dengan
mencari
penawarnya, iaitu meminta Azfa Hanani menyamar sebagai adiknya Tengku Murni.
d. Penyayang. Buktinya, atas dasar kasih kepada ibu, dia berusaha untuk menyembuhkan tekanan
perasaan yang dihadapi ibunya.
e. Mengambil berat. Buktinya dia sentiasa mengambil tahu akan keperluan Azfa Hanani.
f. Berpegang teguh pada janji. Setiap janjinya dengan Azfa Hanani ditunaikan.
g. Berpendirian terbuka. Contohnya, dia tidak begitu kisah dengan statusnya yang berketurunan
bangsawan.
Syafinaz/Kak Finaz
a. Isteri Tengku Mazran.
b. Kakak ipar yang baik hati. Buktinya banyak membantu AH sepanjang dia tinggal di rumah banglo
Datin
Maziah.
c. Sanggup berkorban. Dia telah berhenti kerja kerana hendak mengurus keluarga mentuanya setelah
Datin Maziah sakit.
d. Bijak mengurus diri. Setelah AH dapat menyesuaikan dirinya, Kak Finaz menyambung tugasnya
sebagai seorang arkitek.
Ekran
a. Ayah dan ibunya merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan kini sedang
mengikuti kursus doktor falsafah di Amerika Syarikat.
b. Ekran pengerusi Persatuan Pelajar Tingkatan Lima di SM Taman Sari.
c. Ingin menjadi akauntan. Buktinya, perniagaan burger diusahakannya bagi mempraktikkan apa-apa
yang dipelajarinya di sekolah.
d. Cekap. Projek Hari Sumbangsih telah berjaya membuat kutipan yang tinggi hasil kecekapannya
sebagai pengerusi.
e. Merendah diri. Dia tidak berasa malu untuk berniaga burger sungguhpun dia berasal dari keluarga
yang agak berada.
f. Mempunyai hubungan yang istimewa dengan Tengku Murni. Diari Tengku Murni yang dibaca oleh
AH mengesahkan hubungan mereka.
Datuk Tengku Makmur
a. Suami Datin Maziah.
b. Mempunyai dua orang isteri.
c. Angkuh. Dia menilai pertolongan yang diberikan oleh AH berdasarkan pertimbangan wang ringgit
semata-mata.
e. Berpegang teguh pada janji. Buktinya selama 16 tahun beliau dan Datin Maziah mencari AH
namun tidak berjumpa. Tujuannya untuk menunaikan janji mereka untuk memelihara AH.

Latar
Latar Tempat
1. Di makmal kimia. Di sinilah Azfa Hanani bimbang kerana mengesyaki perbuatannya mencuri
buku-buku rujukan dari perpustakaan terbongkar.
2. Di bilik pengetua. Azfa Hanani bertemu buat kali yang pertama dengan Tengku Mazran dan Kak
Finaz.
3. Di rumah pak long. Tempat Azfa Hanani dibesarkan.
4. Di Hotek Universe. Azfa Hanani diberi tunjuk ajar oleh Kak Finaz tentang cara Tengku Murni
makan, bercakap, dan lain-lain lagi.
5. Di banglo kepunyaan Datin Maziah. Tempat tinggal Azfa Hanani.
3. Di Sekolah Menengah Taman Sari. Perjumpaan yang diadakan oleh pelajar-pelajar Tingkatan lima
bagi berbincang tentang projek Hari Sumbangsih yang akan diadakan.
4. Di Institut Lingua Franca. Tempat di mana Azfa Hanani belajar bahasa Inggeris dan Bahasa Jepun.
5. Di rumah Tengku Ellina. Azfa Hanani dan para pelajar yang lain berlatih dan berbincang tentang
pertandingan Forum Remaja.
6. Di dusun Pak Haji Arshad. Datuk Tengku Makmur sekeluarga datang menemui Azfa Hanani.
Latar Masa
1. Latar masa novel ini mengambil masa beberapa bulan sahaja iaitu semasa Azfa Hanani menuntut di
Sekolah Menengah Sri Dian dan kemudiannya meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah
Taman Sari.
2. Peristiwa dalam novel ini berlaku pada waktu siang, petang dan malam. Azfa Hanani menjalani
kehidupannya sebagai pelajar pada waktu pagi . Waktu petang pula adalah ketika Datin Maziah
mengadakan sambutan hari jadi Azfa Hanani yang ke-17. Latar malam ketika Azfa Hanani membaca
dan mengkaji diari Tengku Murni.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang sanggup berkorban dengan tujuan membantu orang lain.
Contohnya, Azfa Hanani yang sanggup menerima tawaran menyamar sebagai Tengku Murni dengan
tujuan untuk menyelamatkan Datin Maziah daripada mengalami tekanan jiwa.
2. Masyarakat yang mengutamakan kasih sayang. Contohnya, sungguhpun kehidupan pak long
sekeluarga susah, namun mereka kaya dengan kasih sayang.
3. Masyarakat yang bertanggungjawab.Contohnya, sikap Azfa Hanani yang melaksanakan tugas
sebagai pengerusi Hari Sumbangsih yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan cemerlang
sekali.
4. Masyarakat elit yang bongkak dan sombong kerana statusnya. Contohnya, Datuk Tengku Makmur
yang memandang rendah dan menghina Azfa Hanani kerana berasal dari kampung dan miskin dengan
mencampakkan wang ke atas katil sebagai upah menyamar.
5. Masyarakat pelajar. Contohnya, masyarakat pelajar di Sekolah Menengah Sri Dian tempat Azfa
Hanani melanjutkan pelajaran di Tingkatan 5 Kenanga. Selain itu, masyarakat pelajar di Sekolah
Menengah Taman Sari yang sibuk menjayakan Hari Sumbangsih.
6. Masyarakat yang berpegang kepada janji. Contohnya, Tengku Mazran berusaha sedaya upaya
membantu sepupu Azfa Hanani mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakit lumpuhnya
dengan menghantar Zuraini ke Indonesia.

Plot
- Plot ialah jalan cerita iaitu rentetan peristiwa yang ada sebab dan akibat.
- Plot novel ini disusun secara kronologi iaitu mengikut urutan masa.
Permulaan cerita.
Pembaca diperkenalkan dengan watak Azfa Hanani yang berasa takut setelah mengetahui bahawa
orang yang selalu mencuri buku rujukan di perpustakaan telah dikenal pasti dan akan ditangkap.
Azfa Hanani berkenalan dengan Tengku Mazran dan Kak Finaz yang memintanya menyamar sebagai
Tengku Murni kerana muka mereka seiras.
Perkembangan.
Azfa Hanani diajar cara bertutur, makan dan bergaul seperti Tengku Murni dan kemudiannya dihantar
ke Sekolah Menengah Taman Sari untuk bersekolah.
Azfa Hanani belajar menyesuaikan diri menjalani kehidupan mewah sebagai Tengku Murni. Di
sekolah dia mengalami konflik kerana kadang-kadang dia menjadi Azfa Hanani dan Tengku Murni.
Kumpulan Budak Glamor benci akan Azfa Hanani kerana sebelum ini mereka tidak sependapat
dengan Murni.
Azfa Hanani diminta menjadi pengerusi forum menggantikan Ellina. Dia berjaya menjalankan tugas
itu dengan baik dan muncul sebagai pengerusi terbaik.
Tengku Muzaffar yang pada mulanya membenci Azfa Hanani kini mula menunjukkan perasaan
sayang seperti seorang adik setelah sering mendengar Azfa Hanani membaca surah Yasin.
Berdasarkan diari Tengku Murni, Azfa Hanani mengetahui bahawa Tengku Muzaffarlah menjadi
punca putusnya hubungan antara Murni dan Ekran.
Klimaks/Puncak Cerita
Azfa Hanani bertengkar dengan Tengku Muzaffar kerana sikap Tengku Muzaffar yang membenci,
menghina dan menghalang Azfa Hanani daripada berkawan dengan Ekran.
Pertengkaran mereka didengar oleh Datin Maziah dan rahsia penyamarannya terbongkar.
Datin Maziah begitu marah kerana berasa tertipu lalu menampar dan menghalau Azfa Hanani dari
rumah.
Peleraian Cerita
Penyakit lumpuh Zuraini telah sembuh setelah menjalani rawatan di Jakarta.
Datuk Tengku Makmur menemui orang yang dicari selama ini dan mengakui bahawa dialah yang
melanggar teksi yang dinaiki oleh ibu bapa Azfa Hanani sehingga mereka terbunuh. Akhirnya Azfa
Hanani diterima sebagai anggota keluarga mereka dan kembali ke banglo Datin Maziah.
Syafinaz menyambung kerjayanya sebagai arkitek.
Iskandar terbunuh dalam kemalangan jalan raya dan Laili cedera parah.
Program Hari Sumbangsih berjaya mengumpul dana melebihi sasaran yang ditetapkan.
Pasukan Forum Remaja Azfa Hanani menjadi johan peringkat negeri dan dia diumumkan sebagai
pengerusi terbaik.

Teknik Plot
Teknik plot atau teknik penceritaan ialah cara pengarang mengolah ceritanya supaya menarik dan
berkesan.
1. Teknik Pemerian / huraian / deskriptif.
- Teknik ini digunakan oleh pengarang untuk menjelaskan sesuatu keadaan, situasi atau perasaan.
Contohnya, pengarang memerikan suasana pembelajaran di Makmal Kimia.
2. Teknik dialog.
- Untuk menjadikan sesebuah cerita lebih realistik, pertuturan antara watak digunakan. Contohnya,
Azfa Hanani berdialog dengan Kak Finaz.
3. Teknik Monolog dalaman.
- Watak berkata-kata di dalam hati atau berfikir tentang sesuatu perkara. Contohnya, Azfa Hanani
bermonolog dalaman setelah dia terasa tersindir dengan kata-kata Kamilah.
4. Teknik Imbas Kembali
- Ingatan sesuatu watak terhadap peristiwa, kejadian yang telah berlaku atau yang telah dialaminya.
Contohnya, Kisah Murni meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya diceritakan oleh Tengku
Mazran.
5. Teknik Suspen.
- Unsur suspen dapat mengundang minat pembaca untuk menghabiskan bacaan bagi mengetahui kisah
seterusnya. Contohnya, Ekran telah meninggalkan Azfa Hanani ketika di Dewan Sri Wawasan ketika
mereka melawat pameran buku Pesta Buku Alam Malaysia dan kisah gerai burger Ekran dibakar.
6. Teknik Kejutan.
- Pengarang menerapkan unsur kejutan untuk mewujudkan suasana pembacaan yang menarik.
Contohnya, Azfa Hanani terkejut apabila melihat pak long dan Zuraini yang telah sembuh daripada
penyakit lumpuh berbual dengan Datuk Tengku Makmur.

Gaya Bahasa
1. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri. (194)
dan sambil menyelam minum air (173)
2. Personifikasi biarpun dadaku dikocak debar yang bukan kepalang hebatnya...(45)
...kerana perasaan tertarik itu acap kali hadir tanpa disedari...(151)
3. Simile macam rusa masuk kampung, bagai aur dengan tebing, umpama gajah putih (37).
4. Metafora arus lamunan (107), putik-putik kedewasaan (151), takhta hati (152)
5. Sinkop Agaknya, orang tu tak dapat cari nombor PIN. (63) Sikit-sikit tu, fahamlah. Cuma, nak
menjawab tu yang susah, ujarku....(54)
6. Penggunaan bahasa Arab keadaan akan berubah tetapi mereka akan terus kuhubungi, insya-Allah.
(43)
7. Penggunaan perkataan bahasa Perancis merci beau coup. (98)
8. Paradoks - ...gadis malang yatim piatu ini mahu diangkat menjadi anak emas sebuah keluarga
hartawan (20), bahawa kedua-dua orang tuanya bekerja sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan
Malaysia. Dia bukannya berasal dari keluarga yang miskin. (213)

Nilai
1. Hormat-menghormati Abang Mazran dan kak finaz menghormati pak long dan mak long
walaupun mereka berketurunan bangsawan.
2. Kasih sayang Bapa saudara Azfa Hanani yang dipanggil pak long sanggup menjaganya dari kecil
selepas kematian ayah dan ibu Azfa Hanani.
3. Tanggungjawab Azfa Hanani sanggup menyamar sebagai Tengku Murni demi memulihkan
tekanan perasaan yang dihadapi oleh datin Maziah.
4. Kesyukuran walaupun sebelum ini Azfa Hanani tinggal di rumah mewah milik Datin Maziah,
namun dia masih gembira walaupun kembali tinggal di rumah pak longnya.
5. Baik hati Azfa Hanani memaafkan kesalahan Syafikah dan Fuziana dan dia sedikit pun tidak
mendendami mereka.

Pengajaran
1. Kita hendaklah memberikan pertolongan kepada yang memerlukan. Azfa Hanani sanggup
membantu Kak Finaz dan Abang Mazran dengan menyamar sebagai tengku Murni.
2. Kita hendaklah menerima takdir yang menimpa dengan reda. Azfa Hanani reda menerima takdir
bahawa kematian ayah dan ibunya dalam kemalangan disebabkan oleh Datuk Tengku Makmur.
3. Kita hendaklah bersikap rendah diri terhadap orang lain walaupun berasal daripada keluarga berada.
Walaupun Tengku Murni anak orang kaya, tetapi dia tidak sombong dengan rakan-rakannya yang lain.
4. Seseorang yang pernah melakukan kesilapan mestilah mengakui kesilapannya. Datuk Tengku
Makmur meminta maaf dan mengakui kesilapannya sehingga menyebabkan kematian ibu dan bapa
Azfa Hanani.
5. Kita hendaklah bersimpati terhadap kesusahan orang lain walaupun kita telah hidup senang. Azfa
Hanani teringatkan keadaan pak long, mak long, dan sepupu-sepupunya semasa dia melihat lauk-pauk
yang lazat dihidangkan kepadanya.
6. Kita perlu menjaga maruah diri setiap masa. Azfa Hanani menolak pelawaan lelaki yang tidak
dikenalinya itu yang mahu menghantarnya pulang ke rumah.