You are on page 1of 10

DISKUSI 7 :

MENCARI SYURGA DI TELAPAK BONDA


(AL-ISRA :23-27)

OBJEKTIF
Menanam keimanan dalam hati umat Islam supaya mentauhidkan Allah S.W.T dan
tidak mensyirikkanNya.
Menyedarkan umat manusia tentang kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapa
sama ada melalui percakapan, perbuatan ataupun perasaan.
Berbuat baik kepada kaum kerabat, fakir miskin dan orang yang bermusafir dalam
membantu memenuhi keperluan asas yang diperlukan oleh mereka.
Menegaskan bahawa sikap membazir itu merupakan perbuatan yang dikeji oleh
Allah dan mereka yang menghambur-hamburkan hartanya secara boros merupakan
saudara syaitan.
1.0

MUQADDIMAH
Surah ini merupakan wahyu al-Quran yang ke-50 yang diterima oleh nabi
Muhammad S.A.W. Surah ini diturunkan selepas surah al-Qasas dan sebelum surah
Yunus. Al-Biqai berpendapat bahawa tema surah ini adalah ajakan menuju ke hadrat
Allah S.W.T, dan meninggalkan selainNya, kerana hanya Allah pemilik segala sesuatu
dan Dia juga yang mengutamakan sesuatu atas lainnya.
Surah al-Isra adalah surah yang ke-17 dalam al-Quran. Surah ini tergolong dalam
surah Makiyyah yang terdiri daripada 111 ayat. Surah ini dinamakan al-Isra yang
bererti Memperjalankan di Malam Hari dan terdapat juga pendapat mengatakan
surah ini dinamakan Bani Israil yang bererti Keturunan Israil. Maka dalam surah
ini, perbincangan kita akan berfokus kepada beberapa ayat iaitu ayat ke-23 sehingga
ayat ke-27.

2.0

AL-QURAN DAN TERJEMAHAN





23. Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.
Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut
dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada
keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan
ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
24. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang
dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana
mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil".
25. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu, jika kamu orang-orang
yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang
bertaubat.
26. Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada
orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu
menghambur-hamburkan [hartamu] secara boros.
27. Sesungguhnya orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan dan
syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

3. 0

INTIPATI AYAT
Kandungan ayat-ayat di atas menerangkan hakikat asas keimanan iaitu kewajipan
dalam mengesakan Allah S.W.T dan penafian dalam mensyirikkan Allah S.W.T. Hal
ini menunjukkan betapa kaum Muslimin memiliki kedudukan yang sangat tinggi
berbanding dengan kaum yang menyekutukan Allah S.W.T.
Dalam ayat ini juga terdapat perkaitan
tentang akhlak, etika pergaulan,
tanggungjawab peribadi dan sosial, serta perkaitannya dengan akidah dalam
ketauhidan kepada Allah S.W.T. Bahkan dengan akidah itu dikaitkan dengan segala
ikatan dan hubungan seperti hubungan kekeluargaan, kemasyarakatan dan
kehidupan.



Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia
dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika
salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam
pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya
perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada
mereka perkataan yang mulia.
Ayat ini dimulakan dengan menegaskan ketetapan yang merupakan perintah Allah
S.W.T untuk mengesakan Allah S.W.T dalam beribadah, mengikhlaskan diri dan tidak
menyekutukanNya. Keyakinan akan keEsaan Allah serta kewajipan mengikhlaskan
diri kepadaNya adalah dasar yang padanya bertitik tolak segala perbuatan manusia.
Kewajipan pertama selepas kewajipan mengesakan Allah S.W.T dan beribadah
kepadaNya adalah berbakti kepada ibu bapa. Terdapat tiga ayat di dalam al-Quran
yang saling berulang, yang dapat kita gunakan untuk mengetahui betapa besar
kedudukan ibu bapa dan betapa penting tuntutan untuk berbuat baik kepada
mereka.
Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan
kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan Allah dengan sesuatu apa pun
dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibubapa.
[al-Anaam :151]
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan
kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
[al-Isra :23]

Jika kita mengkaji ketiga-tiga ayat di atas, maka kita akan dapati bahawa ia memiliki
tiga persamaan :
Pertama:
Ayat-ayat di atas kesemuanya berkaitan perintah berbuat baik kepada ibu bapa serta
perintah mentauhidkan Allah S.W.T. Dalam erti kata yang lain, setelah diperintahkan
kepada kita untuk mentauhidkanNya, yakni dengan mengesakanNya dan beribadah
kepada-Nya sahaja, Allah memerintahkan kita untuk berbuat baik kepada kedua ibu

bapa. Ini menjadi ukuran pertama tentang betapa besar kedudukan ibu bapa dan
betapa penting tuntutan untuk berbuat baik kepada mereka. Seandainya kedudukan
dan tuntutan ini adalah biasa sahaja, nescaya Allah tidak akan meletakkannya di
tangga kedua selepas perintah mentauhidkanNya.
Perlu difahami bahawa mentauhidkan Allah S.W.T tidak semata-mata dengan
berkata Tidak ada tuhan melainkan Allah. Bahkan pa yang tersemat di hati dan
dituturkan melalui lisan perlu dibuktikan kemantapan dan kemurniannya dengan
perbuatan, yakni amal ibadah. Amal ibadah pula dapat dibahagikan kepada dua
jenis:
Ibadah yang bersifat menegak (vertical), iaitu yang melibatkan hubungan antara
kita dengan Allah S.W.T. Ini adalah ibadah-ibadah yang masa, tempat dan caranya
telah ditentukan secara terperinci oleh Allah dan RasulNya. Wudhu, solat, puasa,
haji dan zikir termasuk dalam kategori ini.
Ibadah yang bersifat mendatar (horizontal), iaitu yang melibatkan hubungan
antara kita dengan sesama makhluk. Ini adalah ibadah-ibadah yang telah ditentukan
secara umum manakala perincian pengamalannya diserahkan kepada manusia,
selari dengan suasana masing-masing. Berbuat baik kepada ibu bapa, jiran, sesama
manusia, haiwan dan alam sekitar termasuk dalam kategori ini. Pada waktu yang
sama tidak berjumpa dengan bomoh, tidak berdoa kepada sesama makhluk dan
tidak mempercayai kekuasaan tertentu pada kejadian tertentu juga termasuk dalam
kategori ini.
Berbuat baik kepada ibu bapa termasuk salah satu bentuk pembuktian akan
kemantapan dan kemurnian tauhid kita kepada Allah S.W.T. Tidak sempurna tauhid
seseorang yang hanya bersolat dan berpuasa akan tetapi dia tidak mengendahkan
hal ehwal ibu bapanya. Demikian juga, tidak sempurna tauhid seseorang jika dia
hanya memerhatikan ibu bapanya sehingga melalaikan kewajipan solat, puasa dan
sebagainya. Ketauhidan seseorang hanya akan mencapai tahap kesempurnaan jika
dia memerhatikan dengan adil ibadah yang bersifat menegak dan mendatar.
Kedua:
Dalam rangka perintah berbuat baik kepada ibu bapa, Allah S.W.T menggunakan
perkataan Ihsan ( )yang bererti berbuat kebaikan dengan sebaik-baiknya,
melebihi kebiasaan. Penjelasan Muhammad Quraish Syihab menjadi tumpuan :
Al-Quran menggunakan perkataan Ihsan ( )sebanyak enam kali, lima di
antaranya dalam konteks berbakti kepada kedua orang tua. Kata Husn ()
mencakupi

Segala

sesuatu

yang

menggembirakan

dan

disenangi.

Hasanah digunakan untuk menggambarkan apa yang menggembirakan manusia


kerana memperolehi nikmat berkaitan dengan diri (rohani), jasmani dan
keadaannya.
Demikian dirumuskan oleh pakar kosa kata al-Quran, ar-Ragib al-Asfahani.
Seterusnya, menurut pakar tersebut, perkataan Ihsan digunakan untuk dua keadaan
iaitu : memberi nikmat kepada pihak lain dan kedua : perbuatan baik. Kerana itu,
kata Ihsan lebih luas dari sekadar memberi nikmat atau nafkah.
Bahkan ia mempunyai makna yang lebih tinggi dan mendalam daripada kandungan
makna adil, kerana adil adalah memperlakukan orang lain sama dengan
perlakuannya kepada anda, sedangkan Ihsan adalah memperlakukannya lebih
baik daripada perlakuannya terhadap anda. Adil adalah mengambil semua hak
anda atau memberi semua hak orang lain sedangkan Ihsan adalah memberi lebih
banyak daripada apa yang harus anda berikan dan mengambil lebih sedikit daripada
apa yang seharusnya anda ambil.
Ketiga:
Apabila menyentuh perihal ibubapa, ketiga-tiga ayat di atas menggunakan
perkataan bi (), iaitu wa bil walidain ihsana (). Diingatkan bahawa
firman-firman Allah S.W.T di dalam al-Quran bukanlah sesuatu yang berlaku secara
rambang, akan tetapi setiap pilihan perkataan dan susunan ayat memiliki maksud
dan tujuannya yang tersendiri. Dalam kes ini, Muhammad Quraish Syihab
menjelaskan maksud dan tujuan penggunaan perkataan bi ():
Al-Quran menggunakan kata penghubung bi ketika berbicara tentang bakti
kepada ibubapa wa bil walidain ihsana ( )padahal bahasa juga
membenarkan penggunaan li ( )yang bererti untuk dan ila ( )yang bererti
kepada sebagai penghubung kata Ihsan. Menurut pakar-pakar bahasa,
kata ila ( )mengandungi makna jarak sedangkan Allah tidak menghendaki
adanya jarak walau sedikit pun dalam hubungan antara anak dan orang tuanya.
Anak harus selalu mendekati dan merasa dekat kepada ibubapanya, bahkan kalau
dapat (hendaklah) dia melekat kepadanya. Kerana itu digunakan kata bi yang
mengandung erti Ilshaq ( )yakni kelekatan. Kerana itulah, maka bakti yang
dipersembahkan oleh anak kepada orang tuanya, pada hakikatnya bukan untuk ibu
bapanya tetapi untuk dirinya sendiri. Dan kerana itu juga tidak digunkan kata
penghubung li ( )yang mengandung makna [peruntukan].
Demikianlah tiga ayat yang saling berulang dan tiga persamaan dalam ayat-ayat
tersebut yang menunjukkan kepada kita betapa mulianya kedudukan ibu bapa dan

betapa pentingnya tuntutan untuk berbuat baik kepada mereka. Kebaikan yang
dipersembahkan kepada ibu bapa kita hendaklah melebihi daripada kebaikan yang
biasa, bahkan sehingga menjadikan kita begitu rapat dengan mereka. Lebih penting,
berbuat baik kepada ibu bapa adalah sebagai pembuktian tauhid kepada Allah
S.W.T yang diterjemahkan dalam bentuk perbuatan.
Ayat di atas ada menyebut secara tegas iaitu kedua ibu bapa atau salah seorang di

antara keduanya saja dalam firmannya: (


) . Hal ini
bertujuan untuk menekankan bahawa apa pun keadaan mereka, berdua atau
sendiri, masing-masing harus mendapat perhatian daripada anak.
Maka janganlah sekali-kali kita mengatakan kepada kedua mereka perkataan ah
atau suara dan kata-kata yang mengandungi makna kemarahan atau perasaan jemu,
walaupun sebanyak dan sebesar manapun pengorbanan dan perhatian kita kepada
mereka. Dan janganlah kita membentak kedua ibu bapa berkaitan perbuatan yang
mereka lakukan, bahkan yang lebih buruk daripada membentak seperti memukul
dan menzalimi keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya, perkataan yang mulia
yakni perkataan yang baik, lembut dan penuh kebaikan dan penghormatan.
Ayat di atas menuntut agar apa yang disampaikan kepada orang tua bukan saja yang
benar dan tepat, bukan juga yang sesuai dengan adat kebiasaan yang baik dalam
masyarakat, tetapi ia harus yang terbaik dan termulia, dan walaupun seandainya
orang tua melakukan sesuatu kesalahan terhadap anak, kesalahan itu harus
dianggap tiada atau dimaafkan kerana tidak ada orang tua yang bermaksud buruk
terhadap anaknya.


Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih
sayang dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua,
sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil".
Ayat ini masih berkisar tentang tuntutan berbakti kepada kedua ibu bapa. Ayat ini
memerintahkan seorang anak supaya merendahkan diri kepada orang tuanya
kerana terdorong oleh rasa penghormatan dan rasa takut untuk melakukan perkaraperkara yang tidak sesuai dengan kedudukan ibu bapanya, bukan kerana takut atau
malu dicela oleh orang lain. Ayat di atas juga menuntut agar seorang anak
mendoakan kedua ibu bapanya baik masih hidup mahupun setelah meninggal
dunia.

Dan Rasulullah S.A.W bersabda, Apabila anak Adam mati maka terputuslah semua
amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak
soleh yang mendoakannya.
(HR. Muslim kitab al-Washiyyah)
Manakala ibu bapa yang kafir dan masih hidup, tetap boleh didoakan. Para mufassir
antaranya al-Baidhawi menerangkan bahawa ayat ini memerintahkan agar berdoa
untuk keduanya supaya memperoleh rahmat Allah yang kekal dan tidak sekadar
memohon rahmatNya yang sementara di dunia. Ini juga bermaksud walaupun kedua
ibu bapanya kafir, masih tetap boleh mendoakan mereka kerana ianya termasuk
dalam cakupan rahmat Allah iaitu penganugerahan hidayah kepada keduanya.




Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu, jika kamu orang-orang
yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang
bertaubat.
Tuntutan ayat-ayat sebelum ini haruslah didasari dengan keikhlasan kerana Allah
telah menegaskan bahawa Dia mengetahui apa yang terdetik dalam hati seseorang,
termasuklah sikap dan usaha kita dalam menghormati kedua ibu bapa. Maka Allah
akan menghitungkannya jika seseorang itu termasuk dalam kalangan orang-orang
yang soleh, yakni selalu berusaha untuk mematuhi dan menghormati kedua ibu
bapa, dan hatinya benar-benar tulus ikhlas, maka apabila dia sesekali terlanjur
sehingga melakukan kesalahan yang menyinggung perasaan mereka, maka
mohonlah maaf kepada mereka, nescaya Allah akan mengampuninya.






Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang
miskin dan orang yang dalam perjalanan, dan janganlah kamu menghamburhamburkan [hartamu] secara boros.
Setelah diturunkan perintah tuntutan supaya berbakti kepada kedua ibu bapa, ayat
ini berkisar tentang tuntutan berbuat baik kepada kaum kerabat dan selain mereka.
Allah memerintahkan kepada kaum Muslimin agar menunaikan kewajipan
memenuhi hak keluarga terdekat, fakir miskin dan orang yang bermusafir,
maksudnya ialah menyantuni mereka dengan membantu memenuhi keperluan asas
yang diperlukan oleh mereka.
Hak yang harus ditunaikan antaranya ialah mengeratkan tali persaudaraan dan
hubungan kasih sayang, mengunjungi rumah dan bersikap sopan santun, serta
membantu meringankan penderitaan-penderitaan yang mereka alami. Kalau
sekiranya ada di antara keluarga-keluarga yang dekat, ataupun orang-orang miskin

dan orang-orang yang ada dalam perjalanan itu memerlukan kewangan yang
diperlukan untuk keperluan hidupnya maka hendaklah diberi bantuan secukupnya
untuk memenuhi keperluan mereka. Orang-orang yang dalam perjalanan yang patut
diringankan penderitaannya, ialah orang yang melakukan perjalanan kerana tujuantujuan yang dibenarkan oleh agama. Orang yang demikian perlu dibantu agar segera
tercapai apa yang menjadi tujuannya.
Pada ayat terakhir, Allah S.W.T melarang kaum Muslimin membelanjakan harta
bendanya secara boros. Larangan ini bertujuan agar kaum Muslimin mengatur
perbelanjaannya dengan perhitungan yang sangat cermat, agar apa yang
dibelanjakannya sesuai dan tepat dengan keperluannya. Selain itu, tidak boleh
membelanjakan harta kepada orang-orang yang tidak berhak menerimanya, atau
memberikan harta melebihi dari yang seharusnya. Sebagai keterangan lebih lanjut,
bagaimana seharusnya kaum Muslimin membelanjakan hartanya, disebutkan firman
Allah S.W.T:

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak


berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (pembelanjaan itu) di
tengah-tengah antara yang demikian.
(al-Furqan : 67)

Adapun keterangan yang dapat menjelaskan makna yang terkandung dalam ayat
tersebut, yang kita temui dari hadis-hadis Nabi adalah sebagai berikut:

::

Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar, ia berkata: "Rasulullah S.A.W bertemu dengan
Saad pada saat berwuduk, lalu Rasulullah bersabda: "Alangkah borosnya wudukmu
itu hai Saad!". Saad berkata: "Apakah di dalam berwuduk ada pemborosan? "
Rasulullah S.A.W bersabda: Meskipun kamu berada di tepi sungai yang mengalir. "





Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan
syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

Kemudian Allah S.W.T menyatakan bahawa orang yang suka membazir adalah
saudara syaitan. Ungkapan seperti ini biasa digunakan oleh orang-orang Arab. Orang
yang membiasakan diri mengikuti sesuatu peraturan dan sesuatu kaum atau
mengikuti jejak langkahnya, disebut saudara-saudara kaum itu. Jadi orang-orang
yang memboroskan hartanya, bererti orang-orang yang mengikuti langkah syaitan.
Dan yang dimaksud pemboros-pemboros dalam ayat ini ialah orang-orang yang
menghambur-hamburkan harta bendanya dalam perbuatan maksiat dan perbuatan
itu tentunya di luar perintah Allah. Orang-orang seperti inilah yang disebut kawankawan syaitan. Di dunia mereka itu tergoda oleh syaitan, dan di akhirat mereka akan
dimasukkan ke dalam neraka Jahanam bersama-sama syaitan itu pula. Firman Allah
S.W.T :

Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (alQuran) Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkannya), maka syaitan
itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
(az-Zukhruf: 36)


(Kepada malaikat diperintahkan): "Kumpulkanlah orang-orang yang zalim
beserta teman sejawat mereka dan sembahan-sembahan yang selalu mereka
sembah. "
(as-Saffat: 22)
Di akhir ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan betapa ingkarnya syaitan kepada
Tuhannya, iaitu sangat ingkar kepada nikmat Allah yang diberikan kepadanya, dan
tidak mahu mensyukurinya, bahkan syaitan itu membangkang tidak mahu mentaati
perintah Allah, malah menggoda manusia agar berbuat maksiat. Maka apabila
syaitan itu dinyatakan kafir (sangat ingkar), tentulah teman-temannya, iaitu orangorang yang mengikuti ajakan syaitan itu akan menjadi kayu bakar api neraka.
Al-Karkhi menjelaskan bahawa demikian pulalah keadaan orang yang diberi
limpahan harta dan kemuliaan, kemudian apabila orang itu memanfaatkan harta dan
kemuliaan itu di luar batas-batas yang diredhai Allah, maka orang itu dikira
mengingkari nikmat Allah. Orang yang berbuat seperti itu dapatlah disamakan
dengan perbuatan syaitan.

Ayat ini diturunkan oleh Allah dalam rangka menjelaskan perbuatan orang-orang
Jahiliyah. Telah menjadi kebiasaan bagi orang-orang Arab mengumpulkan harta yang
mereka peroleh daripada harta rampasan perang, rompakan dan menyamun,
kemudian harta tersebut digunakan untuk berfoya-foya, untuk mendapatkan
kemasyhuran. Orang-orang musyrik Quraisy juga telah menggunakan harta untuk
menghalang penyebaran agama Islam, melemahkan umat Islam, dan membantu
musuh-musuh Islam, maka turunlah ayat tersebut untuk menyatakan betapa
buruknya usaha mereka.

4. 0

NILAI DAN PENGAJARAN


1. Tauhid merupakan asas keimanan, dan mensyirikkan Allah merupakan punca
kekufuran dan kesesatan.
2. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa merupakan kewajipan kepada setiap
manusia, yakni berbicara seperti yang dianjurkan oleh Allah S.W.T adalah dengan
menggunakan bahasa yang sopan dan halus.
3. Menderhakai kedua ibu bapa merupakan dosa besar melainkan jika mereka
menyuruh berbuat perkara-perkara yang melanggar perintah Allah S.W.T, maka
wajib untuk kita tidak mengikuti perintah mereka.
4. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa tidak dikhususkan untuk umat Islam sahaja,
bahkan wajib kita berbuat baik kepada keduanya walaupun mereka dalam
keadaan kafir.
5. Allah memerintahkan kewajipan memenuhi hak keluarga terdekat, orang-orang
miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan yakni menyantuni, membantu
dan memenuhi keperluan asas mereka.
6. Islam melarang menghambur-hamburkan harta yang dimiliki dengan secara
boros dalam perbuatan maksiat dan perbuatan itu tentunya di luar perintah Allah
S.W.T.

RUJUKAN
1) Dr. Wahbah Mustaffa al-Zuhaily, Tafsir al-Munir.
2) Muhammad Quraish Shihab ,Tafsir al-Mishbah, (Lentera Hati, Djuanda, 2000-2004), Jilid 2.

You might also like