You are on page 1of 4

Mengenali Hadith Mawdhu’ (Palsu

)

Hadith-hadith Mawdhu’ itu dapat dikenali pada sanadnya dan juga pada matannya. Di antara ciri-
cirinya yang utama ialah:

1. Pengakuan yang dibuat oleh pembuat hadith itu sendiri

Umpamanya seperti yang diakui sendiri oleh Abdul Karim bin Abu Al-Auja’, Maisarah bin Abdul
Rabbih dan Nuh bin Abi Maryam.

2. Perawinya terkenal pembohong

Sedangkan Hadith yang diriwayatkan tidak diriwayatkan oleh perawi lain yang tsiqah (dipercayai).

3. Bertentangan dengan kenyataan (fakta) sejarah

Umpamanya seorang perawi meriwayatkan sebuah hadith dari seorang guru, yang menurut
kenyataan ia tidak pernah menemui guru itu, atau ia dilahirkan sesudah guru yang dikatakan itu
meninggal dunia, ataupun ia tidak pernah datang berguru dengan guru tersebut.

Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi mendakwa ada mendengar hadith dari Hisyam bin ‘Amman
kekanda kepada Ibn Hibban, maka Ibn Hibban bertanya:

“Bilakah engkau ke kota Syam?” Ma’mun menjawab: “Pada tahun 250H.” Mendengar itu Ibn
Hibban berkata: “Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.”

Termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang yang mengaku sebagai sahabat Nabi dan
mendengar hadith-hadith Nabi dari Nabi SAW atau dari sahabat-sahabat Nabi SAW, padahal
mereka hidup ratusan tahun setelah Nabi SAW dan para sahabat meninggal dunia.

4. Motif yang mendorong membuat hadith palsu itu

Sebenarnya ada motif dan tujuan yang tertentu yang mendorong orang membuat hadith-hadith
palsu itu, seperti politik, fanatik golongan, fanatik mazhab, kerana membodek raja, kerana
mencari rezeki atau sebagainya.

Contoh-contohnya:

"Bubur Harisah itu akan menguatkan belakang."

Hadith ini dibuat oleh Muhammad bin al-Hajjah Al-Lakhmi, seorang penjual bubur Harisah untuk
melariskan buburnya itu.

"Aku beriman kepada Jibril di sisi Ka ‘bah, maka Ia mengeraskan bacaan."

Hadith ini dibuat untuk mempertahankan pendapat dalam mazhab Syafi’e yang mengatakan
Bismillah adalah salah satu ayat dari surah al-Fatihah yang wajib dibaca dengan suara keras
dalam solat Jahriyyah.

Apa yang telah lalu disebutkan ialah mengenai ciri-ciri Hadith Mawdhu’ pada sanadnya. Selain itu
Hadith Mawdhu’ dapat diketahui melalui matannya, iaitu:
1. Perkataan dan ayat-ayatnya sangat jelek dan janggal

2. Kerosakan maknanya:

(a) Berlawanan dengan perkara yang mudah diketahui oleh akal dan tak dapat pula dita’wil

Contoh: "Bahawasanya bahtera Nuh bertawaf di Baitullah selama 7 hari dan bersolat 2 rakaat di
Maqam Ibrahim."

(b) Berlawanan dengan hukum akal mengenai Allah. Akal menetapkan bahawa Allah suci
daripada menyerupai makhluk

Seperti hadith:

"Bahawasanya Allah menciptakan kuda lalu dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Ia
menciptakan dirinya dari kuda itu."

"Allah mengadu sakit mata, maka para Malaikat datang melawatnya."

(c) Berlawanan dengan ilmu kedoktoran

Contoh: "Buah terung itu adalah penawar bagi segala penyakit."

(d) Mengandungi dongeng yang tidak diterima akal

Seperti hadith: "Ayam putih itu adalahku dan kekasih bagi kekasihku Jibril."

(e) Bertentangan dengan kenyataan dan ilmu

Seperti hadith:

"Bahawasanya Qaf itu adalah sebuah bukit dari permata zamrud hijau yang mengelilingi dunia
bagaikan tembok mengelilingi kebun dan bahu-bahu langit terletak di atasnya."

"Bahawasanya bumi ini di atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka
apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu."

Al-Imam Ar-Razi berkata:

"Semua hadith yang kau dapatinya bertentangan dengan akal, berlawanan dengan dasar-dasar
agama dan berlainan dengan yang dinukilkan dari Nabi, maka ketahuilah bahawa itu adalah
Hadith Mawdhu’."

(f) Menyalahi keterangan Al-Quran yang qathi’e dan tidak pula dapat dita’wilkan

Contoh: "Anak zina tidak akan memasuki Syurga sampai 7 keturunan."

Hadith ini bertentangan dengan Al-Quran:

"Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain." (Al-An'am: 64)
(g) Menyalahi Hadith Mutawatir

Contoh: "Apabila diriwayatkan kepada kamu sebuah hadith yang sesuai dengan kebenaran,
maka ambillah dia sama ada saya mengkhabarkannya ataupun tidak."

Hadith ini bertentangan dengan Hadith Mutawatir:

"Barangsiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja maka bersedialah mengambil
tempatnya dari Neraka." (Hadith Muttafaq ‘Alaih dan Hadith ini adalah Mutawatir)

(h) Menyalahi kaedah umum yang diambil dari al-Quran dan Sunnah

Contoh: "Barangsiapa yang dilahirkan untuknya seorang bayi lelaki lalu diberi nama Muhammad,
maka dia dan anaknya di dalam Syurga."

Ini bertentangan dengan kaedah umum, iaitu masuk Syurga mesti melalui amal soleh, bukan
semata-mata kerana nama atau gelaran belaka.

(i) Menyalahi kenyataan sejarah yang memang sudah terkenal pada zaman Nabi SAW

Umpamanya hadith yang menerangkan bahawa Nabi SAW memberatkan jizyah atas penduduk-
penduduk Khaibar dengan disaksikan oleh Sa’ad dan dituliskan oleh Abu Sufyan, pada hal
menurut riwayat yang benar bahawa jizyah itu belum lagi dikenakan pada waktu itu. Ia baru
dikenakan sesudah peperangan Tabuk. Sa’ad meninggal sebelum itu pada tahun peperangan
Khandak dan Abu Sufyan memeluk Islam setelah pembukaan kota Makkah.

(j) Hadith yang sesuai benar dengan mazhab yang dipegang oleh perawinya dan ia pula
terlalu sangat fanatik kepada mazhabnya

Misalnya hadith: Kata Ali: "Aku menyembah Allah bersama-sama Rasul-Nya sebelum lagi Dia
disembah oleh seseorang dari umat ini 5 tahun atau 7 tahun."

Hadith ini diriwayatkan oleh Habbah bin Juwain yang terlalu fanatik kepada mazhab Syi’ah.

(k) Hadith yang menerangkan pahala yang sangat besar terhadap sesuatu kebajikan yang
sangat kecil

Misalnya:

"Sesuap makanan yang diberikan kepada orang lapar lebih utama daripada membina 1,000 jami’
(masjid)."

"Barangsiapa mengucapkan Laa ilaha Illallah, maka Allah menjadikan untuknya seekor burung
yang mempunyai 70,000 lidah dan bagi tiap-tiap lidah 70,000 bahasa yang mereka beristighfar
dengannya untuknya."

"Barangsiapa bersolat Dhuha sekian rakaat, maka akan diberikan kepadanya pahala 70 orang
Nabi."
(l) Hadith yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat besar atas kesalahan yang kecil

Umpamanya: "Barangsiapa memakan bawang putih pada malam Jumaat, maka hendaklah ia
masuk Neraka selama 70 tahun."

(m) Hadith yang menerangkan sesuatu urusan agama yang kalau ada semestinya
diriwayatkan oleh orang ramai

Demikianlah ciri-ciri Hadith Mawdhu’ itu, dan dengan memerhatikan ciri-ciri itu, maka Hadith
Mawdhu’ dapat dikenal dengan mudah.

Ar-Rabi’ mengatakan:

"Bahasawanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang bersinar seperti sinaran waktu siang
dan bahawasanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang gelap seperti malam, kita
mengetahuinya dengan gelap itu."

Perkataan Ar-Rabi’ ita menunjukkan, bahawa perbezaan antara Hadith Nabi dengan Hadith
Palsu itu terlalu sangat jelas dan terang, dan tanda-tandanya sangat mudah diketahui, ia
bagaikan malam dengan siang.

Dan Al-Imam Ibn Al-Jawzy pula berkata:

"Hadith Mungkar yakni Hadith Mawdhu’ itu menggementarkan kulit (badan) penuntut ilmu dan
kebiasaannya tidak diterima oleh hati."

Allahu a'lam bisshawab

*Dipetik dari kitab Himpunan Hadith Dha'if dan Mawdhu’, susunan Drs Abdul Ghani Azmi Haji
Idris

dari: http://dhanysarip.blogspot.com/2005/11/ciri-ciri-hadith-maudhu-palsu.html