You are on page 1of 10

SEJARAH PENUBUHAN ASEAN

Perkara penting dalam sejarah negara-negara anggota ASEAN adalah penjajahan kuasa Barat
di Asia Tenggara dan penguasaannya ke hampir seluruh negara-negara di Asia Tenggara.
Antaranya ialah Indonesia yang dijajah oleh Belanda dan Portugis; Malaysia, Singapura, dan
Brunei Darussalam yang dijajah oleh Portugis, Belanda, dan British; serta Filipina yang dijajah
oleh Sepanyol dan Amerika.
Jangka masa dan tempoh penjajahan yang panjang terhadap pemerintahan dan perundangan
negara-negara di rantau ini telah membentuk tradisi, sosial dan budaya yang berbeza di setiap
negara mengikut negara penjajah masing-masing. Golongan elit dari penduduk tempatan yang
berpendidikan tinggi hanya berkhidmat semata-mata kepada penjajah yang memerintah.
Hubungan dan kerjasama antara negara-negara jiran boleh dikatakan tidak wujud langsung.
Dalam tempoh masa penjajahan, Asia Tenggara merupakan wilayah yang terbahagi. Setiap
negara tidak berminat untuk mengetahui dan menjalin hubungan dengan negara-negara
jirannya. Tetapi, mereka memberikan pandangan yang luas kepada kuasa-kuasa besar di Barat
seperti Britain, Amerika Syarikat, Belanda, dan Perancis yang dianggap maju dan dapat
memberi contoh ikutan kepada mereka. Ini termasuklah juga negara Thailand. Walaupun
negara tersebut tidak pernah dijajah, Thailand telah lama menjalinkan hubungan dengan
negara-negara Barat melalui bidang perdagangan dan mereka sedikit sebanyak mempelajari
ilmu-ilmu dari Barat dan terpengaruh dengan budayanya.
Perkara pertama yang membawa kepada perubahan politik di Asia Tenggara pada kurun ke-20
ialah Perang Dunia ke-2. Kedatangan gerombolan tentera Jepun telah meledakkan kubu-kubu
penjajah Barat di Asia Tenggara di samping membawa semangat memerdekakan Asia daripada
penjajah Barat. Pemerintahan Jepun di negara-negara Asia Tenggara walaupun hanya seketika,
telah membenamkan perasaan sanjung tinggi dan penghormatan rakyat dan penduduk Asia
Tenggara terhadap negara-negara Barat yang selama ini menjajah mereka.
Ini sekaligus membentuk semangat baru di kalangan penduduk negara-negara di Asia Tenggara
untuk bangkit daripada tidur mereka bagi melakukan perubahan dan menentukan halatuju
negara mereka. Para penduduk telah bangun menentang penjajah Barat untuk mendapatkan
kemerdekaan dan merampas kembali kedaulatan dan ketuanan di tanahair mereka.
Penentangan tersebut samada dalam bentuk damai ataupun dalam bentuk revolusi seperti
Indonesia yang kemudiannya mempengaruhi Malaysia, Singapura, dan Brunei.
Manakala bagi Filipina pula, perubahan dari penjajahan kepada kemerdekaan melalui laluan
dan liku-liku yang lebih sukar kerana menghadapi dua kuasa penjajah iaiatu Sepanyol dan
Amerika. Filipina sebenarnya telah pun mendapatkan kemerdekaan daripada Sepanyol selepas
berlakunya revolusi pada tahun 1896. revolusi ini kemudiannya membawa kepada kejayaan

1

rakyat Filipina di mana pada 12 Jun 1898, General Emilio Aguinaldo telah mengisytiharkan
Filipina sebagai sebuah nagara yang merdeka dan berdaulat.
Namun, dalam tahun yang sama juga Amerika Syarikat tealah menawan Filipina lantaran
kemenangannya menewaskan Sepanyol dala Perang Sepanyol-Amerika. Rakyat Filipina sekali
lagi berada dalam penjajahan untuk beberapa tahun. Kemudiannya, pada tahun 1936, Amerika
telah menubuhkan satu persekutuan di Filipina bagi menyediakan negara ini untuk ditadbir
sendiri oleh rakyatnya. Akhirnya setelah sepuluh tahun berikutnya iaiatu pada 4 Julai 1946,
Amerika memberikan kemerdekaan kepada Filipina.
Malah negara Thailand juga turut sama berusaha dalam mengekalkan kedaulatannya
khususnya dalam menghadapi ancaman Komunis dari China. Perkembangan Komunis di
Indochina telah meletakkan Thailand dalam keadaan berjaga-jaga dan mendorongnya untuk
menjalinkan hubungan lebih erat dengan negara-negara jirannya.
Setelah negara-negara tersebut memperoleh kemerdekaan, cabaran dan konflik masih terus
berlaku. Walaupun konflik dan ketegangan tersebut berlaku secara dalaman di negara-negara
yang baru sahaja mendapat kemerdekaan, ia telah mencetuskan situasi huru-hara yang
membimbangkan. Episod konfrontasi Indonesia terhadap pembentukan Malaysia dan juga
tuntutan Filipina ke atas Sabah telah mengeruhkan hubungan antara negara-negara di Asia
Tenggara. Situasi dan ketegangan ini memberikan gambaran buruk kepada prospek kestabilan
dan kerjasama serantau.
Tahun 1960 merupakan satu titik tolak kepada perubahan kepada negara-negara di Asia
Tenggara. Dalam masa ketegangan Perang Dingin antara blok Kapitalis pimpinan Amerika dan
Amerika dengan blok Komunis pimpinan Soviet Union dan Republik Rakyat China, negaranegara membangun yang tidak terlibat berusaha untuk membetuk satu kesepakatan dan
kerjasama agar tidak diperalatkan dan menjadi mangsa konflik tersebut, sekaligus membentuk
kewilayahan yang aman, bebas, dan stabil serta memebri manfaat kepada semua.
Terdapat beberapa usaha kerjasama di kalangan negara-negara di Asia yang telah
dilaksanakan yang memberi inspirasi kepada penubuhan ASEAN seperti the Asian and Pasific
Council atau ASPAC yang ditubuhkan pada tahun 1966 dengan matlamat untuk menjalinkan
kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial, dan budaya di kalangan negara-negara anggota iaitu
Malaysia, Filipina, Thailand, Australia, Jepun, Taiwan, New Zealand, Vietnam Selatan, dan
Korea Selatan. Namun, ASPAC akhirnya dibubarkan pada tahun 1975 dan kemudiannya
ditubuhkan pula Asia Pasific Economic Forum atau APEC dengan membawa gagasan yang
sama.
Dua pertubuhan lain yang turut menjadi inisiatif negara-negara Asia Tenggara dalam membina
hubungan dan menjalin kerjasama ialah the Association of Southeast Asia atau ASA dan juga
Maphilindo. Dua pertubuhan ini hanya dapat bertahan sekejap sahaja. Namun, kedua-duanya
merupakan gagasan yang lebih spesifik untuk membawa kepada kerjasama serantau yang
lebih efektif di peringkat Asia Tenggara.
2

ASA ditubuhkan pada tahun 1961 dan terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya,
Thailand, dan Filipina. Namun, kerjasama ini mencapai jalan buntu setelah berlaku perselisihan
dan pertelingkahan antara negara-negara anggota. Antaranya ialah tuntutan Filipina ke atas
Sabah yang menyertai gagasan Malaysia.
Kemudiannya pada tahun 1963, Presiden Macapagal mengusulkan idea penubuhan sebuah
organisasi yang diberi nama Maphilindo yang merupakan singkatan kepada Malaysia,
Philippines, dan Indonesia. Namun, konsep tersebut tidak dijalankan dengan jayanya akibat
persengketaan antara negara-negara anggota khusunya Konfrontasi Indonesia dan Malaysia.
Menjelang tahun 1966, pelbagai faktor politik dan persekitaran di wilayah Asia Tenggara telah
menguatkan lagi semangat untuk bersama-sama membentuk jalinan kerjasama. Pada tahun itu
juga, Indonesia telah membuat perubahan drastik dengan gagasan Order Baru yang
mengakhiri Konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia dan memulihkan hubungan antara
kedua-dua negara tersebut.
Malaysia juga turut menyelesaikan permasalahan rusuhan kaum yang berlaku dengan
memisahkan Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965. perubahan kerajaan di Filipina
telah membentuk hubungan baik antara Malaysia dan Filipina pada tahun 1966. Perkembangan
positif ini dan juga peperangan di Vietnam telah menjadi faktor pendorong kepada
pembentukan ASEAN.
Akhirnya pada 8 Ogos 1967, lima orang pemimpin iaitu Menteri-menteri Luar dari negara
Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand telah duduk semeja di dewan besar
Jabatan Hal-Ehwal Luar Negera Thailand di Bangkok dan menandatangani satu dokumen yang
dikenali sebagai Deklarasi Bangkok dan kini dikenali seebagai Deklarasi ASEAN. Berasaskan
kepada perjanjian tersebutlah, ASEAN atau the Association of Southeast Asian Nations
ditubuhkan.
Lima orang Menteri-menteri Luar tersebut yang menandatangani perjanjian itu ialah Adam Malik
dari Indonesia, Narciso R. Ramos dari Filipina, Tun Abdul Razak dari Malaysia, S. Rajaratnam
dari Singapura, dan Thanat Khoman dari Thailand.
Kelima-lima mereka ini dianggap sebagai Bapa Pengasas ASEAN yang merupakan sebuah
organisasi antara kerajaan yang paling berjaya di kalangan negara-negara membangun.
Dokumen yang telah mereka tandatangani tersebut dikenali sebagai Deklarasi ASEAN atau
ASEAN Declaration.
Dokumen perjanjian tersebut hanyalah berupa lima artikel pendek dan ringkas. Perjanjian ini
mengisytiharkan penubuhan satu pertubuhan bagi kerjasama serantau di kalangan negaranegara di Asia Tenggara yang dikenali sebagai the Associatio of Sotheast Asian Nations
(ASEAN). Ia juga turut menyebutkan tentang tujuan dan matlamat pertubuhan tersebut.
3

Tujuan dan matlamat tersebut meliputi kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial, budaya,
teknikal, pendidikan, dan sebagainya, di samping itu, pertubuhan ini juga turut mempromosikan
keamanan dan kestabilan serantau dengan mematuhi dan menghormati keadilan dan undangundang dan mematuhi prinsip-prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Bagi mencapai tujuan, dasar, dan matlamat penubuhan ASEAN, perjanjian tersebut juga
menetapkan bahawa pertubuhan ASEAN ini akan dibuka penyertaannya kepada semua
negara-negara di kewilayahan Asia Tenggara.
Perjanjian ini juga menyatakan kedudukan ASEAN sebagai mewakili kehendak kolektif bagi
negara-negara di Asia Tenggara untuk diikat bersama atas dasar setiakawan dan kerjasama, di
samping melalui usahasama dan pengorbanan untuk menjamin dan memastikan keselamatan
rakyat dan keturunan mereka, keamanan, kebebasan dan kemakmuran negara.
Peristiwa ini berlaku ketikamana Thailand telah bertindak menjadi pengantara perdamaian
terhadap perselisihan dan konfrontasi yang berlaku antara Indonesia, Filipina, dan Malaysia. Ia
merupakan titik tolak yang membawa kepada kerjasama serantau bagi menghadapi masa
hadapan wilayah Asia Tenggara yang tidak menentu.
Thanat Khoman, Menteri Luar Thailand pada ketika itu menyatakan bahawa bagi mendamaikan
antara tiga pihak yang berselisih itu, beliau telah mengusulkan idea pembentukan sebuah
organisasi yang lain kepada Adam Malik, Menteri Luar Indonesia. Adam Malik menyetujuinya
tanpa ragu, namun beliau meminta sedikit masa untuk membincangkannya dengan kerajaan
Indonesia di samping memulihkan kembali hubungan dengan Malaysia setelah tamatnya
konfronrasi.
Pada masa yang sama, Pejabat Menteri Luar Thailand telah menyediakan draf piagam bagi
pertubuhan baru itu. Dalam tempoh masa beberapa bulan, kesemuanya telah siap sedia.
Thanat Khoman kemudiannya menjemput dua bekas anggota the Association for Southeast
Asia (ASA) iaitu Malaysia dan Filipina, serta Indonesia untuk bertemu dalam satu mesyuarat di
Bangkok.
Singapura kemudiannya menunjukkan minat untuk menyertai pertubuhan yang bakal
ditubuhkan itu, lalu menghantar Menteri Luar Singapura, S. Rajaratnam untuk bertemu Thanat
Khoman. Walaupun cadangan asal penubuhan organisasi baru ini hanyalah untuk anggotaanggota lama ASA sahaja dan juga Indonesia, namun permohonan Singapura itu
dipertimbangkan dan diterima dengan penuh terbuka.
Maka dengan itu, pada awal bulan Ogos 1967, lima orang Menteri Luar telah menghabiskan
masa selama empat hari di sebuah pusat peranginan terpencil di Bang Saen, sebuah bandar
pesisir pantai yang terletak kurang 100 kilometer dari tengara Bangkok.
Di sana, mereka berunding dan berbincang mengenai dokumen yang telah disediakan dalam
4

cara yang kurang formal dan santai. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu proses yang
mudah. Setiap pihak memberi pertimbangan dalam perspektif sejarah dan politik yang tidak
menemukan titik persamaan antara satu sama lain. Namun dengan niat dan semangat yang
baik dan jitu, mereka dapat duduk semeja dan berjabat tangan sesama mereka. Mereka
membuang segala perbezaan dan perselisihan serta berdiri sebaris bersama-sama menghayun
kayu golf dan bermesra menjalin hubungan yang harmoni antara mereka hingga kemudiannya
membentuk satu gaya pertimbangan yang menjadi tradisi ASEAN sehingga ke hari ini.
Dengan ketegasan dan fokus yang tinggi dalam perundingan di samping suasana Bang Saen
yang penuh damai dan santai, mereka telah menandatangani perjanjian tersebut yang dikenali
sebagai Deklarasi Bangkok atau Deklarasi ASEAN.
Orang pertama yang mula menyampaikan ucapan ialah Setiausaha Hal-ehwal Luar Filipina,
Narciso Ramos. Beliau merupakan bekas seorang wartawan dan penggubal undang-undang
yang telah melepaskan peluangnya untuk menjadi Speaker Kongres Filipina bagi menjadi salah
seorang daripada diplomat negaranya yang pertama. Beliau pada ketika itu berumur 66 tahun,
sementara anak tunggalnya, Fidel V. Ramos (yang kemudiannya menjadi Presiden Filipina),
pada masa itu telah berkhidmat dalam Kumpulan Tindakan Sivik Filipina untuk berperang
dengan Vietnam.
Narciso Ramos mengingatkan kembali suasana dingin ketika perundingan yang telah
berlangsung yang kemudiannya membawa mereka untuk menandatangani deklarasi tersebut
dan menyatakan bahawa ia merupakan satu usaha yang mengerah niat yang baik, imaginasi
berwawasan, kesabaran, dan persefahaman di antara lima menteri yang terbabit.
ASEAN ditubuhkan dengan jayanya setelah mengharungi segala kesukaran dan rintangan
tersebut. Narciso Ramos menyatakan kepada para diplomat, pegawai, dan media yang hadir
menyaksikan majlis penandatangan perjanjian tersebut bahawa perasaan yang memuncak
telah mendesak menteri-menteri tersebut untuk menghadapi segala masalah tersebut. Beliau
juga menerangkan bahwa kekuatan kelangsungan hidup bagi negara-negara di Asia Tenggara
telah mulai tersedia dan tersusun.
Ekonomi Asia Tenggara yang pada masa dahulu hanya bersifat individu dan berasingan antara
satu sama lain telah mula menganjakkan langkahnya kepada objektif yang lebih luas dengan
perkongsian secara pintar dan multilateral. Jika pada masa dahulu negara-negara di Asia
tenggara hanya mengejar matlamat dan objektif negara masing-masing yang terhad dan hanya
mempunyai sumber dalam negara yang terbatas di samping bergantung tinggi kepada negaranegara maju. Kini negara-negara Asia Tenggara dapat saling lengkap-melengkapi dan saling
berusaha keras bersama-sama mengatasi kelemahan dan berkongsi pengalaman dan
kekayaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial agar menjadi sebuah rantau
yang membangun dengan kekuatan sendiri. Dengan demikian, ASEAN akan dapat mengemudi
dan mengawal potensi wilayah yang kaya dengan hasil bumi ini dengan tindakan yang lebih
padu dan lebih besar.
5

Apabila tiba giliran Adam Malik, Menteri Hal Ehwal Politik dan Menteri Hal Ehwal Luar Indonesia
untuk berucap, beliau telah mengingatkan kepada hadirin ketika satu tahun yang lalu di
Bangkok ketika sesi perbincangan antara Indonesia dan Malaysia, di mana beliau telah
menyatakan cadangannya untuk menubuhkan sebuah pertubuhan seumpama ASEAN yang
dianggotai bersama oleh Indonesia, Malaysia, dan Thailand.
Adam Malik lahir di Pematang Siantar pada tahun 1917 dan meninggal pada tahun 1984 di
Bandung. Beliau merupakan salah seorang pemuda Indonesia yang telah berjuang untuk
memperoleh kemerdekaan negaranya dua dekad sebelum itu. Beliau pada masa penubuhan
ASEAN tersebut berumur 50 tahun dan merupakan salah seorang menteri di bawah
kepimpinan Presiden Soeharto yang mengepalai Indonesia daripada kegawatan ekonomi dan
kekacauan politik.
Ketika Presiden Sukarno melancarkan perang ke atas Malaysia dengan slogan 'Ganyang
Malaysia', Adam Malik selaku Menteri Luar Indonesia merupakan menteri penting di Indonesia
yang memainkan peranan dalam membantu memulihkan hubungan dengan negara-negara
jirannya yang keruh akibat polisi konfrontasi.
Beliau telah berjaya menyelesaikan sengketa antara serumpun tersebut dengan jayanya
sehinggalah termeterainya perjanjian di Bangkok ini yang membawa kepada perdamaian dan
kesatuan antara negara-negara yang bertelagah ini. Adam Malik mempunyai ramai saudara
mara di Chemor, Perak. Lantaran itu rasa ikatan kekeluargaan cukup kuat sehingga berusaha
keras mendamaikan antara Indonesia dan Malaysia.
Adam Malik kemudiannya pernah menjadi Naib Presiden Indonesia pada tahun 1978 sehingga
tahun 1983. Beliau menyatakan bahawa para menteri-menteri luar yang hadir dalam pertemuan
tersebut telah berusaha bersama-sama bagi meralisasikan idea penubuhan ASEAN dan
menjadikan keadaan dari tegang kepada tenang dalam rangka membina satu gagasan
pertubuhan baru dan kerjasama serantau.
Adam Malik juga turut menjelaskan visi Indonesia terhadap pembangunan Asia Tenggara
sebagai suatu wilayah yang mampu berdiri di atas kakinya sendiri, mampu mempertahankan
dirinya sendiri daripada segala pengaruh negatif yang datang dari luar. Hasrat ini bukanlah
suatu yang mudah untuk dijelmakan melainkan jika sekiranya negara-negara di rantau ini saling
bekerjasama secara berkesan antara satu sama lain dengan cara memastikan sumber alam
dan sumber manusia dapat disatukan dan diguna bersama dalam satu kewilayahan.
Beliau juga turut menegaskan bahawa walaupun terdapat pandangan yang berbeza antara satu
negara dengan negara yang lain, namun perbezaan tersebut akan dapat diatasi melalui niat
dan tujuan yang murni serta persefahaman dan kepercayaan yang jitu. Bahkan ia juga
memerlukan usaha keras, kesabaran, dan ketekunan.
Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu kemudiannya
6

menyampaikan ucapannya. Beliau berkata bahawa negara-negara di Asia Tenggara harus
sedia memikul tanggungjawab terhadap apa jua perkara yang berlaku. Beliau menyatakan
visinya bahawa ASEAN akan disertai oleh semua negara-negara di Asia Tenggara dan menjadi
organisasi tunggal yang mewakili negara-negara di kewilayahan ini.
Tun Abdul Razak yang juga merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Pembangunan Negara
telah memainkan peranan besar dalam membentuk hubungan baik Malaysia dengan negaranegara jiran. Beliau menegaskan bahawa jika sekiranya negara-negara di Asia Tenggara tidak
membentuk halatujunya sendiri dan tidak mencegah campurtangan kuasa luar, maka selagi
itulah kita akan terus ditekan, ditindas, dan diancam.
Bahkan juga jika sekiranya kita tidak mengambil tindakan dan langkah yang kolektif dan bersatu
padu bagi mencegah konflik dalaman Asia Tenggara, maka selagi itulah kita akan terdedah
dengan manipulasi dan campurtangan kuasa luar yang sentiasa mengambil kesempatan ke
atas kita.
Tun Abdul Razak menegaskan bahawa kita sebagai negara dan rakyat Asia Tenggara mesti
bersatu hati dan membentuk sendiri satu perspektif baru serta satu kerangka baru bagi
kewilayahan kita. Ia merupakan satu perkara yang penting bagi membentuk kesedaran yang
mendalam bahawa kita selama-lamanya tidak akan dapat hidup secara bebas dan bersendirian
melainkan bahawa kita juga mesti memikirkan dan bertindak bersama-sama sebagai satu unit
keluarga negara-negara Asia Tenggara dan menghubungkan ikatan setiakawan dan janji agar
dapat merealisasikan idea dan aspirasi penduduk-penduduk Asia Tenggara mengikut matlamat
dan cara yang kita bentuk sendiri. Dengan itu, penubuhan ASEAN ini dilihat oleh Tun Abdul
Razak sebagai satu batu loncatan ke arah mencapai hasrat dan cita-cita tersebut.
Ucapan beliau ini kemudian disusuli pula dengan ucapan oleh Menteri Kebudayaan Singapura,
S. Rajaratnam. Beliau pada ketika itu juga bertindak sebagai Menteri Luar Singapuran yang
pertama. S. Rajaratnam menjelaskan bahawa dua dekad di mana rakyat Asia Tenggara hidup
dalam semangat nasionalis yang tinggi ternyata tidak memberikan apa-apa kemajuan kepada
kehidupan mereka. Jika ASEAN ini berjaya, maka negara-negara anggotanya harus
menggabungjalinkan pemikiran nasionalis atau individualis dengan pemikiran kewilayahan atau
kolektif.
Kita tidak boleh hanya memikirkan tentang kepentingan dan keperluan negara kita sendiri
sahaja, bahkan kita juga perlu memikirkan tentang kepentingan dan keperluan negara-negara
jiran serantau. Ia merupakan satu bentuk cara pemikiran baru yang dapat menyelesaikan
banyak masalah dan perkara walaupun pada sesetengah keadaan berlaku percanggahan di
antara kepentingan negara dan kepentingan kewilayahan.
Kita juga harus menerima hakikat bahawa jika kita benar-benar nekad tentang kerjasama
serantau ini, maka kita mesti benar-benar sanggup menghadapi dan membuat keputusan
dalam mempertimbangkan antara kepentingan negara dan juga kepentingan bersama dalam
7

konteks wilayah Asia Tenggara. Jika tidak, maka cita-cita ASEAN ini hanya tinggal cita-cita
semata-mata.
S. Rajaratnam menyatakan kebimbangannya bahawa ASEAN mungkin akan disalah anggap
oleh sesetengah negara luar khususnya kuasa besar bahawa ASEAN ditubuhkan sebagai satu
usaha untuk membentuk satu kuasa bersama yang ingin mencabar dan menentang mereka.
Beliau menjelaskan bahawa kita tidak menentang sesiapapun. Apa yang jelas ialah bahawa
matlamat kita ialah ingin membentuk satu kewilayahan yang bebas dan kukuh dengan cara kita
sendiri tanpa campurtangan dan pengaruh daripada luar.
Misi ASEAN bukannya mahu membentuk satu kapitalis besar di Asia Tenggara yang
memonopoli, mengaut untung dan menindas mereka yang lemah sebagaimana yang dilakukan
oleh negara-negara kuasa besar. Tetapi, matlamat utama ASEAN adalah agar segala kekayaan
dan kemakmuran di rantau Asia Tengara ini dapat dikongsi bersama oleh negara-negara lain
yang besar dan kecil, yang maju dan mundur dengan cara berusaha bersama-sama
membentuk kemajuan, keamanan, dan kestabilan serta saling bantu membantu antara satu
sama lain.
Thanat Khoman, Menteri Luar Thailand kemudiannya memberikan ucapannya. Beliau
menegaskan bahawa tujuan ASEAN bukanlah untuk meruntuhkan, bahkan sebenarnya untuk
membina pembangunan yang seimbang dan saksama. Pada masa ketika konflik Vietnam
memuncak dan tentera Amerika kelihatan akan bekubu selama-lamanya di Indochina, Thanat
Khoman meramalkan bahawa Amerika pada satu masa nanti akan menarik keluar tenteranya
dari Indochina. Beliau juga berusaha untuk mengubahsuai dasar luar Thailand supaya sesuai
dengan realiti semasa dan usaha ini nampaknya mula membuahkan hasil satu dekad selepas
itu.
Thanat Khoman menegaskan bahawa negara-negara di Asia Tenggara tidak mempunyai pilihan
melainkan untuk mengubah keadaan darurat pada ketika itu kepada kerjasama yang lebih rapat
dan juga integrasi yang lebih kukuh. Beliau juga turut menjelaskan kembali bahawa objektif
penubuhan ASEAN adalah sebagai suatu usaha untuk membina satu komuniti dan masyarakat
baru yang bersikap responsif kepada keperluan-keperluan semasa dan juga bersiap sedia
secara efisyen untuk menghasilkan kejayaan dan kemajuan material serta spiritual kepada
rakyat dan juga negara.
Secara khususnya, apa yang penduduk Asia Tenggara ini mahukan ialah untuk menghapuskan
konsep dominasi yang kolot dan jumud serta menggantikannya dengan semangat baru melalui
konsep memberi dan menerima juga konsep persamaan dan perkongsian. Lebih daripada itu,
mereka mahu menjadi tuan kepada rumah mereka sendiri dan menikmati hak mutlak untuk
menentukan matlamat mereka sendiri.
Ketikamana negara-negara Asia Tenggara berusaha untuk mendapatkan kebebasan dan
kedaulatan mereka, mereka pertama sekali mestilah membebaskan diri mereka daripada
cabaran kejahilan, penyakit, dan kelaparan. Setiap daripada negara-negara ini tidak dapat
menyempurnakan misi tersebut secara bersendirian, tetapi hendaklah dengan berusaha dan
8

bekerja bersama-sama dengan negara-negara lain yang mempunyai aspirasi dan matlamat
yang sama. Maka dengan demikian itu, objektif-objektif tersebut akan lebih mudah untuk
dicapai.
Thanat Khoman menyimpulkan bahawa apa yang telah kita putuskan pada hari ini hanyalah
satu permulaan yang kecil terhadap apa yang kita harapkan agar menjadi satu kesinambungan
pencapaian yang panjang dan berterusan yang akan dapat dibanggakan oleh diri kita sendiri,
dan juga negara-negara lain yang akan menyertai kita pada kemudian hari serta generasi
selepas
kita.
Maka dengan itu, hendaklah kita berusaha untuk Asia Tenggara, sebuah kewilayahan yang
kaya dengan potensi, kaya dengan sejarah, dan juga kaya dengan sumber material. Moga
dengan usaha murni ini, ia akan menjadi satu sinar inspirasi, dan kebanggaan kepada seluruh
penduduk di benua Asia khususnya.
Menteri Luar Thailand itu menutup sesi ucapan ASEAN tersebut dengan mengahadiahkan
kepada rakan sejawatnya degan satu cenderamata. Pada cenderamata tersebut tertulis, "In
recognition of services rendered by His Excellency Adam Malik to the ASEAN organization, the
name of which was suggested by him" (Menghargai khidmat bakti yang disumbangkan oleh
Adam Malik kepada ASEAN, nama yang dicadangkannya).
Begitulah bagaimana ASEAN yang diharap-harapkan, dinamakan, dan dilahirkan selepas 14
bulan Thanat Khoman mengusulkan idea penubuhan ASEAN ketika perbincangan dengan
rakan sejawatnya dari Malaysia dan Indonesia. Dalam masa sekitar tiga minggu kemudiannya,
Indonesia mula membentuk hubungan diplomatik dengan Malaysia dan kemudiannya
Singapura.
Walau bagaimanapun, perselisihan dan pertelingkahan tetap berlaku setelah penubuhan
ASEAN. Filipina dan Malaysia telah berselisih tentang hak pemilikan terhadap Sabah. Malah
banyak lagi isu-isu lain yang terus berlaku sepanjang masa sehingga ke hari ini. Namun,
dengan semangat setiakawan, perdamaian dan perpaduan, negara-negara ASEAN tetap
komited untuk menyelesaikan perselisihan mereka dengan cara yang aman dan bijaksana.
Memang peselisihan tidak dapat dielakkan, namun ia tidak seharusnya dipanjangkan sehingga
mencetuskan keadaan yang tidak diingini. Tugas utama yang sepatutnya dilakukan ialah
membuat kerangkakerja tentang dialog dan kerjasama serantau.
Dua muka surat Deklarasi Bangkok bukan sahaja mengandungi rasional penubuhan ASEAN
dan juga objektif-objektif khususnya. Ia juga turut mewakili modus operandi pertubuhan ini
dalam membina langkah kecil, kerelaan, dan penyusunan secara tidak formal ke arah perjanjian
yang lebih kukuh dan mapan dalam bentuk perlembagaan.
Kesemua negara-negara anggota yang mengasaskan ASEAN ini telah mengorak langkah
dengan semangat daripada Deklarasi Bangkok ini. Tahun demi tahun, ASEAN secara
progresfinya telah menjana pelbagai perjanjian dan kerjasama secara rasmi seperti Treaty of
Amity and Cooperation in Southeast Asia (Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia
9

Tenggara) yang dimeterai pada tahun 1976 dan juga Treaty on the Southeast Asia Nuclear
Weapon-Free Zone (Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara) pada tahun 1995.
Berasaskan kepada konflik di Indoshina, para menteri pengasas ASEAN ini membentuk
wawasan ke arah pembentukan satu komuniti bagi seluruh negara-negara di Asia Tenggara.
Oleh yang demikian, Deklarasi Bangkok mewarwarkan bahawa penyertaan ke dalam
pertubuhan ini adalah terbuka kepada semua negara-negara di Asia Tenggara yang ingin turut
sama menyumbang bagi mencapai matlamat, prinsip, dan hasrat yang telah digariskan.
Pandangan inklusif ASEAN telah membuka jalan kepada pembinaan komuniti bukan sahaja di
Asia Tenggara, bahkan juga menjangkaui kewilayahan Asia Pasifik yang menyaksikan
beberapa pertubuhan antara kerajaan dapat bergerak dan hidup bersama.

10