You are on page 1of 3

Refleksi Individu

Sebagai seorang guru prasekolah, adalah amat penting untuk melengkapkan diri
dengan ilmu atau kemahiran asas pertolongan cemas kerana kemalangan boleh berlaku
tidak mengira masa dan tempat khususnya di pusat prasekolah. Menurut Jean Piaget,
secara fitrahnya kanak-kanak merupakan individu yang mempunyai rasa ingin tahu yang
tinggi. Faktor ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kanak-kanak mempunyai
risiko yang tinggi untuk terlibat dengan kemalangan yang melibatkan kecederaan. Sebagai
seorang guru prasekolah, kita tidak boleh menghalang sifat ingin tahu kanak-kanak ini
kerana sifat ini merupakan aset penting dalam penerokaan dan pembelajaran persekitaran
mereka. Sebagai langkah menghadapi situasi yang melibatkan kecederaan kanak-kanak di
prasekolah, guru sendiri haruslah mempelajari dan menguasai ilmu serta kemahiran asas
pertolongan cemas. Bukan hanya guru, kanak juga boleh didedahkan dengan kemahiran ini
agar mereka boleh menangani sendiri kecederaan-kecederaan kecil yang melibatkan diri
mereka sekiranya perlu.
Sehubungan dengan itu, kumpulan pengajian kami telah menganjurkan satu bengkel
pertolongan cemas kepada kanak-kanak di prasekolah Institut Pendidikan Guru Kampus
Batu Lintang dengan tujuan utama untuk mendedahkan kanak-kanak di prasekolah tersebut
dengan ilmu dan kemahiran asas pertolongan cemas. Secara peribadi saya dapat
simpulkan bahawa program ini mempunyai manfaat dan kekuatannya tersendiri. Dari sudut
diri saya sendiri, program ini memberi pendedahan kepada diri saya berkenaan dengan
cara-cara untuk menguruskan sesebuah program bengkel pertolongan cemas khususnya di
prasekolah. Pengurusan ini melibatkan tiga fasa utama yang melibatkan fasa perancangan,
fasa pelaksanaan dan fasa pendokumentasian. Pengalaman ini amat berguna sebagai
bekalan untuk menghadapi cabaran di sekolah kelak. Tidak mustahil saya akan diminta
untuk mengurus program seumpama program bengkel pertolongan cemas ini di sekolah
kelak. Maka, di sinilah pengalaman dan ilmu yang telah ditimba dapat digunakan semula.
Selain daripada itu, apa yang lebih penting adalah kanak-kanak yang terlibat dapat
menguasai atau setidak-tidaknya mempraktikkan kemahiran yang telah dipelajari ke dalam
situasi sebenar sekiranya perlu. Di prasekolah misalnya, guru prasekolah ada untuk
mengambil tindakan segera bagi mengurus kanak-kanak yang mengalami luka ringan akibat
kemalangan. Bagaimana pula sekiranya kanak-kanak tersebut tidak mempunyai akses
kepada bantuan orang yang levih dewasa? Setidak-tidaknya kanak-kanak tahu apa yang
perlu dibuat terlebih dahulu sekiranya mereka mengalami luka iaitu membersihkan luka
tersebut dengan air bersih. Ini dapat mengurangkan risiko luka tersebut menjadi lebih serius

akibat jangkitan bakteria contohnya. Dalam bengkel ini, kanak-kanak telah diajar dengan
beberapa cara balutan menggunakan kain anduh dan pembalut luka (bandage).
Kekuatan yang seterusnya ialah, melalui program ini sifat bekerjasama dan bertolak
ansur dapat dipupuk dalam kalangan pihak yang terlibat. Pihak-pihak yang terlibat
termasuklah guru prasekolah, pembantu pengurusan murid, penceramah jemputan, kanakkanak prasekolah dan ahli dalam kalangan kumpulan pengajian kami. Program seperti ini
tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna sekiranya semua pihak di atas tidak
memberikan kerjasama dan sokongan yang padu dalam menjayakan objektif program.
Sesuai dengan pepatah Melayu yang mengatakan, berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing. Setiap pihak atau setiap individu memainkan peranan masing-masing tidak kira
sekecil mana peranan tersebut, semuanya adalah penting. Selain daripada hubungan
kerjasama yang padu, hubungan komunikasi juga semakin teguh. Misalnya, melalui
program ini, kumpulan kami mendapat peluang untuk membina satu hubungan yang lebih
baik khususnya dengan guru prasekolah di prasekolah tersebut memandangkan beliau
adalah seorang guru yang baru menggantikan guru prasekolah sebelum ini. Program ini
menyediakan satu laluan jalinan kerjasama antara kami dengan guru prasekolah tersebut.
Selain daripada kekuatan yang telah dinyatakan di atas, dari segi input pengetahuan
dan kemahiran saya dapat memperkukuhkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengenai
pertolongan asas kecemasan. Sebelum ini saya memang telah banyak didedahkan dengan
kemahiran-kemahiran pertolongan cemas ini namun setelah sekian lama tidak digunakan,
ilmu dan kemahiran ini semakin pudar dalam ingatan. Sebagai fasilitator yang mengajarkan
kemahiran ini kepada kanak-kanak prasekolah, saya terpaksa belajar semula dan
menguasai kemahiran-kemahiran tersebut sebelum diajarkan kepada kanak-kanak di
prasekolah. Secara tidak langsung saya dapat mengimbas serta memperkukuhkan lagi ilmu
dan kemahiran berkaitan dengan pertolongan cemas.
Itu adalah antara beberapa kekuatan utama yang dapat saya jelaskan. Banyak lagi
sebenarnya kekuatan lain jika diteliti dan difikirkan sedalam-dalamnya.
Walaubagaimanapun, setiap perkara yang dilaksanakan pasti akan ada kekurangan atau
cacat celanya. Begitu juga dengan pelaksanaan program bengkel pertolongan cemas ini.
Antara kelemahan yang dapat saya kenal pasti adalah dari segi pengurusan masa. Terdapat
beberapa orang kanak-kanak yang datang lewat menyebabkan perjalanan program bengkel
pertolongan cemas pada hari tersebut bermula sedikit lewat. Semasa aktiviti mengajar
kemahiran asas pertolongan cemas kepada kanak-kanak sedang dijalankan, ada segelintir
kanak-kanak juga dibiarkan bermain tanpa kawalan yang cukup, menyebabkan gangguan
kepada kanak-kanak lain yang sedang belajar. Kanak-kanak tersebut sepatutnya berada

dalam kumpulan masing-masing namun kanak-kanak ini dibiarkan berlegar-legar ke


kumpulan yang lain sehingga mengganggu konsentrasi kanak-kanak lain. Jarak yang kecil
antara kumpulan juga mungkin adalah antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.
Jarak yang kecil antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain memudahkan kanakkanak tersebut mengacau kumpulan berhampiran.
Oleh itu, cadangan bagi mengatasi masalah atau kelemahan-kelemahan yang telah
dinyatakan ialah, di masa yang akan datang ibu bapa kanak-kanak boleh diberitahu terlebih
dahulu perihal program yang akan dijalankan dan meminta supaya mereka menghantar
anak mereka lebih awal. Ini adalah bagi cadangan penambahbaikan bagi mengatasi kanakkanak yang datang lewat. Bagi masalah kanak-kanak prasekolah yang mengganggu rakanrakannya, pemantauan yang lebih harus diberikan oleh para fasilitator yang mengambil alih
satu-satu kumpulan kanak-kanak tersebut. Perkara ini boleh ditekankan semasa
penerangan mengenai tugas setiap bahagian masing-masing. Selain daripada itu, jarak
antara kumpulan juga harus ditambah supaya menyukarkan sedikit kanak-kanak yang ingin
mengganggu rakan di kumpulan berhampiran.
Kesimpulannya, pelaksanaan program bengkel pertolongan cemas ini mempunyai
banyak kekuatan daripada kelemahan. Maka, program-program seumpamanya harus
digalakkan dan diperbanyakkan lagi khasnya di prasekolah. Bagi cadangan untuk
pelaksanaan program bengkel pertolongan cemas yang akan datang, ibu bapa boleh
dilibatkan sekali sebagai fasilitator yang berperanan sebagai tenaga pengajar. Selain
daripada kanak-kanak, ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut juga akan memperoleh
manfaat yang besar kerana pada masa yang sama ibu bapa juga akan dapat mempelajari
kemahiran asas pertolongan cemas tersebut. Akhir kata melentur buluh biarlah dari
rebungnya, membentuk insan biarlah dari kecilnya.

You might also like