You are on page 1of 6

KRITIKAN DAN PENAFSIRAN SUMBER SEJARAH

Pengenalan
Sejarah merupakan satu cabang ilmu kemanusiaan yang tidak asing lagi pada masa
ini. Walaupun kepentingan dan masa depan subjek ini sering dipertikaikan, namun ,
terdapat pelbagai usaha untuk menjadikan sejarah sebagai suatu bidang ilmu yang
setanding dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Perkataan sejarah diterbitkan
daripada pelbagai istilah khusus seperti syajaratun yakni dalam bahasa Arab, dan
history pula dalam bahasa Inggeris. Menurut J.B. Bury, sejarah ialah sains, tidak
kurang dan tidak lebih.[1] Pada pandangan R.G. Collingwood pula sejarah ialah
pemikiran manakala E.H. Carr menyatakan bahawa sejarah itu merupakan suatu
proses interaksi yang berterusan antara sejarawan dengan fakta-faktanya.[2]
Melihat pengertian sejarah daripada sudut pandangan sejarawan menjadikan
bidang ini merupakan satu bidang penyelidikan yang pada diri seseorang itu atau
ahli sejarah itu perlu tahu sebelum layak atau mampu untuk mengemukakan faktafakta tentang sesuatu yang diperkatakan. Sejarah menuntut pengkajinya mencari
kebenaran tentang sesuatu peristiwa melalui kajian yang sistematik serta
penghujahan yang kukuh, logik dan objektif. Ahli sejarah perlu arif dan bijak dalam
menentukan penggunaan sumber untuk dijadikan asas dalam penulisannya.
Sehubungan dengan itu, ahli sejarah perlu mengetahui dan memahami apa itu
proses kritikan sumber. Apakah yang diertikan dengan sumber dan kritikan itu ?.
Benarkah kritikan sumber menentukan nilai hasil penulisan sejarah ?. Dengan
wujudnya persoalan-persoalan ini, bidang sejarah menjadi satu subjek yang
menuntut pemikiran ahli sejarah, bukan lagi setakat mengesahkan sesuatu fakta
secara bulat-bulat tanpa penyelidikan terlebih dahulu.

KRITIKAN SUMBER
Makna sumber
Ahli-ahli sejarah amat mementingkan penggunaan sumber yang sahih dalam
penghasilan sesebuah penulisan sejarah. Sumber yang benar dan tepat tentang
sesuatu hasil kajian sejarah dapat membuktikan kesahihan sesuatu peristiwa atau
kejadian yang telah berlaku pada suatu ketika dahulu. Menurut Muhd. Yusof Ibrahim,
sumber ialah suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran
atau penulisan.[3] Selain itu, terdapat beberapa definisi atau tafsiran lain yang
merujuk kepada maksud sumber, antaranya seperti di dalam kamus Oxford English
Dictionary, sumber atau source bererti sesebuah karya, dan lain-lain, yang
menyediakan maklumat atau bukti (khusus yang bersifat tulen atau asli) berkenaan
sesuatu fakta, kejadian, atau siri hal-hal tersebut.[4] Sumber juga boleh diertikan
seperti bahan-bahan tinggalan sejarah yang berupa seperti dokumen, artifak, jurnal,
buku catatan peribadi dan lain-lain yang tersimpan di arkib, perpustakaan, pejabat
khas, muzium dan sebagainya. Bahan-bahan ini secara langsung atau tidak
langsung menjadi rujukan untuk tujuan penyelidikan bagi ahli-ahli sejarah mahupun
pengkaji-pengkaji dalam mana-mana disiplin ilmu. Sumber terbahagi kepada 2

jenis, yakni sumber primer dan sumber sekunder. Sumber primer diklasifikasikan
sebagai bahan-bahan asli atau tulen seperti dokumen, surat (rasmi atau tidak
rasmi), laporan, buku harian dan sebagainya yang belum ditafsir atau
diperlengkapkan lagi.[5] Bahan-bahan yang dikategorikan sebagai sumber primer
kerana keadaannya yang asli dan mengandungi maklumat asal sama ada benar
atau tidak benar untuk tujuan penyelidikan. Seterusnya ialah sumber sekunder atau
kedua yakni bahan-bahan penulisan tentang sesuatu peristiwa atau biografi tentang
tokoh-tokoh tertentu yang diterbitkan oleh seseorang penulis atau sesebuah
organisasi berdasarkan kajian terhadap sumber primer.[6] Penggunaan sumber
sekunder adalah penting bagi seseorang penulis sejarah kerana ia berfungsi
sebagai penyokong atau pengukuh bagi sesuatu hujah dan bukti yang
dikemukakan. Sumber-sumber kedua adalah seperti buku, majalah, surat khabar,
disertasi atau tesis.
Penafsiran Sumber
Sumber terdapat dalam pelbagai bentuk yakni berupa seperti dokumen, surat,
catatan harian seseorang, koin , artifak, peninggalan peribadi dan sebagainya.
Namun, sumber sering kali disalahertikan dan menimbulkan keraguan sesetengah
pihak dan pengkaji kerana ia mempunyai pertalian atau cohesion dengan bukti.
Hal ini kerana terdapat anggapan bahawa bukti membawa maksud yang serupa
dengan istilah sumber. Kendatipun, anggapan itu ternyata tidak benar sama sekali
kerana menurut ahli-ahli sejarah, istilah sumber dalam konteks sejarah membawa
makna bahan-bahan yang menyediakan bukti berkenaan sesuatu yang dikaji itu.
Di samping itu, bukti pula bermaksud keterangan atau fakta-fakta yang dapat
mengesahkan atau menyangkal sesuatu hal yang khusus.[7] Fakta merupakan
tulang belakang bagi sesebuah penulisan sejarah, tanpanya, penulisan itu hanyalah
sebuah cerita rekaan semata-mata atau mungkin boleh menjadi sebuah penulisan
falsafah atau sastera. Fakta sejarah ialah sesuatu hakikat yang kukuh, stabil dan
tidak boleh dipersoalkan lagi kewibawaan mahupun kebenarannya[8]. Sungguh pun
begitu, sesuatu fakta itu masih belum boleh disahkan lagi pada peringkat fakta itu
dianggap masih mudah dan terbukti sepenuhnya akan kebenarannya.[9] Sekiranya
terdapat unsur subjektiviti seperti pengadilan moral, motif penulis dan sebagainya,
fakta tersebut akan berubah daripada asalnya. Fakta boleh menjadi sesuatu yang
subjektif kerana ia terhasil daripada proses pemikiran ahli-ahli sejarah.[10] Proses
ini dilakukan selepas seseorang pengkaji itu telah meneliti, mentafsir dan
membandingkan sumber-sumber yang digunapakai itu. Oleh itu, Ranke
menyarankan agar fakta tersebut tidak diwarnai dengan nilai-nilai subjektif agar
fakta tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, agama, bangsa dan sebagainya.
Walaupun begitu, kepentingan sesuatu sumber itu adalah berdasarkan ahli sejarah
yang mengkaji sesuatu peristiwa atau tajuk penulisannya.
Kritikan Luaran
Istilah kritikan pada masa ini bukanlah satu pendirian negatif semata-mata tetapi
menjadi satu ujian untuk mengesahkan atau menyangkal kebenaran pensejarahan
atau sumber-sumber tertentu. Ia turut dianggap sebagai satu usaha untuk
memastikan ketulenan sesuatu sumber asli itu.[11] Perkembangan dalam kaedah
penyelidikan sejarah ini telah diperluaskan lagi oleh tokoh pensejarahan moden

iaitu Leopold Von Ranke pada abad ke-19. Kaedah ini disifatkan sebagai sejarah
kritikal oleh R.G Collingwood kerana ia telah menjadikan bidang sejarah setanding
dengan pelbagai disiplin ilmu moden yang lain seperti bidang sains khususnya.
Kritikan luar lebih bersifat fizikal ke atas sesuatu sumber atau pengkaryaan. Perkara
ini merangkumi ujian kimia, ujian bahasa, ujian tulisan tangan dan ujian bahanbahan yang digunakan terdapat dalam dokumen itu. Bagi ujian kimia, dokumen itu
akan diuji keadaan kertas, penggunaan dakwat pena dan cap kerana bahan-bahan
ini akan berubah keadaan fizikal mengikut perederan masa, justeru, pemalsuan
dokumen boleh berlaku. Misalnya kes Buku Harian Hitler yang didakwa dipalsukan
yang telah menimbulkan pertelingkahan sesetengah ahli sejarah yang akui akan
kebenarannya, padahal hakikatnya memang benar buku itu adalah palsu setelah
ujian makmal dijalankan ke atas penggunaan benang polyester yang digunakan
untuk penjilidan yang tidak pernah digunakan pada zaman pemerintahan Hitler.
Manakala ujian bahasa penting untuk memastikan ketulenan sesuatu dokumen itu
kerana gaya bahasa sentiasa berubah mengikut peredaran zaman dari segi
tatabahasa, ejaan, ejaan, tanda baca dan sebagainya.[12] Ujian-ujian ini tidaklah
dilaksanakan oleh ahli sejarah semata-mata kerana mereka tidak mempunyai
kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Ahli-ahli sejarah berperanan mentafsir
kebenaran sesuatu sumber atau dokumen itu berdasarkan hasil ujian-ujian tersebut.
Kritikan Dalaman
Kesulitan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar daripada sumbersumber adalah satu perkara yang tipikal dalam sejarah. Hal ini kerana fakta-fakta
yang wujud dalam sesuatu sumber adalah nyata dan bisu, oleh itu, ahli sejarah
perlu meneroka dengan lebih dalam lagi sumber-sumber tersebut untuk
mendapatkan kebenaran yang hakiki tentang sesuatu kejadian. Justeru, lahirlah
satu proses dalam penyelidikan sejarah iaitu proses kritikan dalaman yang
bertujuan untuk memastikan kerasionalan dan kemunasabahan yang terdapat
dalam isi kandungan sesuatu sumber itu.[13] Selain itu, proses ini bertujuan untuk
menjamin bahawa setiap fakta yang diambil daripada sumber-sumber boleh
dipertanggungjawabkan dan disahkan oleh ahli sejarah.[14] Menurut Profesor
Kitson Clark, tidak ada dokumen, dan tidak ada penyataan, rasmi atau bukan
rasmi, yang tidak boleh disangsi. Kesangsian yang terbit dalam pemikiran ahli
sejarah adalah penting terhadap kajiannya ke atas sesuatu sumber kerana terdapat
fakta-fakta yang tersembunyi disebalik sumber yang nyata itu. Dalam penelitian
sesuatu sumber, maksud-maksud yang tersirat itu perlu dipersoalkan. Ahli sejarah
perlu bijak mengenalpasti tujuan atau latar belakang di sebalik surat atau dokumen
atau pengkaryaan. Hal ini penting kerana setiap ahli sejarah mempunyai pandangan
dan tafsiran yang berbeza tentang suatu kejadian tertentu. Akibatnya terdapat
bukti-bukti yang bercanggah antara satu sejarawan dengan yang lain.[15] Hal ini
demikian kerana penentu dalam sejarah bukanlah fakta-fakta yang yang wujud
pada sumber itu, penafsiran ahli-ahli sejarah yang mengkaji sumber itu yang
mengawal fakta tersebut. Sungguh pun begitu, ahli sejarah tidak boleh secara
sewenang-wenangnya memanipulasikan fakta jika tidak dapat mentafsir bukti
dalam sumber itu, perkara terbaik ialah mengakui kejahilannya. Hasil kajian ahli
sejarah perlu bersandarkan kepada apa yang didapatinya betul dan bukan apa
yang difikirkannya betul berdasarkan sumber yang ada.[16]

Contoh-contoh
Sejarah Melayu AS A HISTORICAL SOURCE
Karya oleh Kamaruzzaman Shariff ini menceritakan tentang kewibawaan Sejarah
Melayu sebagai satu sumber sejarah yang wajar dan berguna. Penulis berpendapat
bahawa pandangan dan kritikan membuta tuli yang dibuat oleh sejarawan Barat
terhadap kewibawaan Sejarah Melayu adalah tidak berasas. Misalnya,
R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt yang mengkritik Sejarah Melayu sebagai karya
mitos semata-mata kerana terdapat banyak unsur lagenda dan perlambangan
dalam karya tersebut.[17] Bagi penulis, sejarawan Barat perlu mengetahui dan
memahami konsep pensejarahan Melayu klasik sebelum menilainya dari sudut
kerasionalan mereka. Penggunaan unsur-unsur perlambangan atau metafora dalam
pengkaryaan sebenarnya bertujuan untuk pengarang menyampaikan luahan
perasaan, kritikan dan pandangan terhadap sesuatu perkara yang didapatinya tidak
boleh disampaikan secara terang-terangan. Hal ini perlu dipertimbangkan
kewajarannya kerana pengarang merupakan seorang pegawai istana yang
ditugaskan untuk menulis cerita-cerita tentang raja dan kisah-kisah berkaitannya.
Misalnya, dalam kisah Singapura di-langgar Todak yang mana pengarang cuba
menyampaikan kritikan mengenai ketidakadilan Sultan secara tersirat.[18] Perkaraperkara seperti nama pengarang asal tidak dapat dipastikan dan tidak terdapat
tarikh-tarikh penting dalam penulisannya menjadi permasalahan bagi ahli sejarah
untuk mengesahkan ketulenannya. Menurut Lienham dan Winstedt, versi Sejarah
Melayu karangan Tun Sri Lanang dengan pengarang asal adalah jauh berbeza[19]
walaupun Tun Sri Lanang mempunyai kebijaksanaan dan pengetahuan tentang asal
usul kesultanan Melayu Melaka dan peristiwa-peristiwa pada zaman pra-Melaka.
Dari sudut lain, Sejarah Melayu layak dijadikan sumber sejarah yang fundamental
bagi pengkaji-pengkaji sejarah kerana terdapat beberapa peristiwa yang penting
yang merupakan kejadian sejarah sebenar jika dibandingkan dengan beberapa
penulisan sejarah asing yang sezaman. Terdapat beberapa insiden yang berlaku
dalam Sejarah Melayu ada disebut dalam karya-karya asing lain seperti kronologi
Siam yang bertajuk Pongsawadai of Luang Praset[20] dan rekod China bertarikh
1537 iaitu Hai Yu.[21] Dengan membandingkan sumber-sumber asing ini,
sejarawan dapat membezakan mitos daripada yang benar.
Hikayat Merong Mahawangsa
Naskah yang dikaji ini merupakan salinan semula daripada naskah salinan sebuah
naskah yang tidak diketahui penulisnya pada tahun 1899. Umumnya, naskah asal
karya ini tidak dapat dipastikan, justeru, setiap penulisan hikayat ini adalah berbeza
dari segi kandungan, fakta dan susun aturnya menurut sejarawan yang
mengkajinya. Tarikh penulisan karya ini dikatakan bermula selepas kedatangan
Islam, namun terdapat beberapa pertikaian mengenai tarikh kedatangan Islam yang
sebenarnya di negeri Kedah. Kehadiran unsur-unsur dongeng dan khayalan
menjadikannya sukar untuk diterima akal akan peristiwa tersebut. Misalnya, kisah
pengislaman raja Kedah oleh Sheikh Abdullah yang dikatakan telah mengembara
dengan penghulu iblis kerana hendak mengetahui tingkah laku dan perbuatan iblis.
[22] Unsur-unsur mitos juga dapat dikenalpasti melalui penceritaan tentang Raja

Bersiong bertarung dengan Kampar, ...maka ia jadi-lah sa-ekor babi tunggal terlalu
besar panjang-nya. Maka ia bertaring dua siong-nya, segera ia berlari2 datang
menyondol2 di-chelah kangkang Raja Bersiong.[23] Elemen seperti ini diwujudkan
oleh penulis untuk menyampaikan luahan hati tentang kezaliman Raja Bersiong
yang patut digulingkan pemerintahannya yang berbeza sekali dengan pandangan
sarjana Barat. Hikayat Merong Mahawangsa dapat diterima sebagai hasil sastera
Melayu yang bercorak sejarah kerana ia menceritakan susur galur kesultanan
Melayu, raja-raja, peranan menteri-menteri, pembesar-pembesar dan sebagainya.
Misalnya sewaktu Raja Merong Mahawangsa ingin meminangkan putera rajanya
dengan seorang anak raja perempuan, ...maka di-alat-kan oleh menteri-nya dua
buah perahu serta segala barang2 dagangan mana yang patut-nya serta dua orang
menteri jadi utusan-nya...pun belayar-lah sa-orang sa-buah perahu, hala-nya pergi
masing2 menuju ka-negeri yang di-kehendaki-nya itu.[24] Walaupun ia
menceritakan kebudayaan dan latar belakang masyarakat zaman Melayu klasik,
hikayat ini sepertimana juga Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Siak, Bustan al-Salatin
dan sebagainya hanya menumpukan kepada kisah-kisah golongan raja dan
bangsawan istana. Nama Langkasuka iaitu nama kerajaan Kedah yang disebut
dalam hikayat ini telah dibuktikan kesahihannya melalui sumber-sumber sejarah
asing seperti batu-batu bersurat serta catatan oleh pedagang-pedagang dan
musafir walaupun terdapat perbezaan dari sebutannya. Misalnya, catatan oleh ITsing (692M) ada menyebut tentang negeri yang bernama Langkasu. Selain itu,
dalam batu bersurat Tanjore (1030M) terdapat nama Illangasogam dan
Kadaram.[25] Justeru, jika diperlihatkan semula sumber-sumber yang digunakan
dan dikaji sedalam-dalamnya hikayat ini, sudah pastinya sarjana Barat serta
sejarawan moden akan mengakui kesejarahannya.

Kesimpulan
Kritikan sumber bukan sahaja berperanan memastikan kesahihan bukti malah
mencari maklumat tambahan yang tersirat pada sumber. Telah ditegaskan bahawa
fakta-fakta merupakan entiti-entiti yang wujud secara hakiki dan nyata dalam
sumber dan tugas ahli-ahli sejarah ialah memilih dan menjelaskan fakta-fakta
tersebut. Justeru, hasil kajian ditentukan oleh ahli-ahli sejarah, bukan daripada
sumber-sumber. Hal ini menjelaskan lagi tentang mutu hasil kerja ahli-ahli sejarah
kerana setiap ahli sejarah mempunyai sudut pandangan yang berbeza. Menurut
Profesor M.M. Postan, bukti baru muncul serentak dengan kemunculan sudut
pandangan yang baru menperjelaskan lagi kepentingan tugas mentafsirkan
sumber oleh ahli-ahli sejarah yang membawa kepada nafas baru dalam kaedah

penyelidikan dalam sejarah. Berbeza dengan pandangan Ranke yang menuntut


keobjektifan dalam penulisan sejarah iaitu wie es eigentlich gewesen yang
bermaksud sejarah sepertimana ia berlaku, berpendapat bahawa sejarah
sepatutnya berlandaskan bukti, bukan daya imaginasi. Namun begitu, sejarah
sepatutnya seperti apa yang diutarakan oleh R.G.Collingwood iaitu sejarah ialah
pemikiran iaitu memahami perkara yang berlaku dengan memahami pemikiran si
pelaku. Oleh itu, nilai hasil penulisan sejarah amat bergantung kepada proses
kritikan sumber. Setiap sumber menceritakan peristiwa yang tidak sepertimana ia
termaktub padanya kerana terdapat faktor-faktor lain yang mendorong sesuatu
peristiwa itu berlaku yang memerlukan penafsiran ahli-ahli sejarah.

Bibliografi
Arbaiyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Dewan Bahasa dan Pustaka
Kuala Lumpur, 2002.
Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala
Lumpur, 1975.
R. Suntralingam, Pengenalan Sejarah, Merican and Sons Sdn. Bhd. Kuala Lumpur,
1985.
Kamaruzzaman Shariff, Sejarah Melayu AS A HISTORICAL SOURCE,
Universiti Sains Malaysia

Perpustakaan

Dzulkifli bin Mohd. Salleh, Hikayat Merong Mahawangsa, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1972.
Winstedt R.O., The Malacca Sultanate, JMBRAS, Vol. 20, 1947.
Morrison, The Siamese Wars with Malacca During the Reign of Muzaffar Shah
(1445-1458 A.D.), JMBRAS, Vol. 22, 1949.
Ab. Samad Ahmad, Sejarah Kesusasteraan Melayu 2, Dewan Bahasa dan Pustaka,
1963.
Shellabear, W.G., Sejarah Melayu, Malayan Publishing House Ltd., Singapura, 1961.
Hooykaas, Dr. C., Perintis Sastera, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1965.
Winstedt, R.O., A History of Classical Malay Literature JMBRAS, Vol. XXXI, Part 3,
June 1958.

You might also like