Kata Alu-aluan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi peluang mencoretkan sepatah dua kata sempena Majlis Anugerah Junjung Bestari 2010 dan Mesyuarat Agung PIBG kali ke19 pada kali ini. Mudah-mudahan kedua-dua program yang dijalankan ini, mampu mencetus idea dan pemikiran yang bernas ke arah memberi dorongan yang lebih besar dan kejayaan yang lebih gemilang kepada pelajar-pelajar sekolah ini. Sememangnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Junjung ini telah berjaya dan berjasa dalam memastikan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaanpeperiksaan awam, malah saban tahun muncul pelajar-pelajar cemerlang yang menjadi kebanggaan sekolah dan ibu bapa. Sekalung tahniah kepada pihak sekolah. Sesungguhnya pendidikan amat penting untuk membina tamadun pada masa hadapan. Pihak sekolah memainkan peranan penting untuk menjayakan hasrat murni negara ini. Namun begitu, dewasa ini peranan yang terpaksa dipikul oleh pihak sekolah amat mencabar. Warga pendidik dan kita sebagai waris terpaksa berdepan dengan pelbagai gelagat dan kerenah pelajar remaja. Isu-isu negatif yang melibatkan remaja mestilah dipandang serius dan langkah-langkah penyelesaian wajar ditangani secara bijaksana dan berhikmah. Sekolah bukan sahaja sebagai penjana kecemerlangan ilmu pengetahuan, tetapi perkara yang tidak kurang pentingnya adalah sebagai tempat menyemai dan memupuk sikap dan disiplin yang terpuji serta mulia. Ibu bapa melalui PIBG hendaklah sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mencapai tujuan tersebut. Tugas ibu bapa dalam pendidikan adalah sama beratnya dengan tugas guru. Oleh itu, itu ibu bapa haruslah memupuk nilai - nilai positif dalam diri pelajar agar dapat melahirkan pemimpin yang mempunyai ciri - ciri kepimpinan yang ideal pada masa hadapan. Ibu bapa juga semestinya mengambil tindakan yang proaktif dalam merangsangkan kecemerlangan akademik, berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak sekolah ke arah mencapai hasrat yang murni ini. Dalam kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah atas kejayaan menganjurkan Majlis Agunerah Junjung Bestari 2010. Tahniah juga kepada para pelajar dan waris yang telah berjaya mencapai kecemerlangan. Saya juga mengucapkan selamat bermesyuarat dan saya menyeru semua waris agar menjadikan wadah PIBG SMK. Junjung sebagai medan terbaik untuk bersama-sama para guru ke arah penjanaan kecemerlangan akademik, ketrampilan personaliti dan sahsiah serta pembentukan kerohanian berpaksikan nilai-nilai agama yang mampu mewujudkan insan kamil seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Akhir kata, semoga usaha kita diberkati Allah dan semua program yang telah dan akan dirancang dapat diteruskan, insya-Allah. Sekian. Terima kasih. “JUNJONG SENTIASA DI ATAS ” “ MAUFAKAT MEMBAWA BERKAT ”

( En. Habib Merikan Bawasah ) Yang Dipertua PIBG Sesi 2009 / 2010. Sekolah Menengah Kebangsaan Junjung.