ISTIGHFAR NABI

Kita semua sedia maklum bahawa Rasulullah saw adalah nabi dan rasul. Selaku nabi dan rasul, sudah semestinya baginda maksum daripada dosa, sama ada dosa yang lalu, sekarang atau yang akan datang. Tetapi, mengapakah baginda tetap beristighfar kepada Allah swt. Malah diriwayatkan baginda beristighfar sebanyak 100 kali sehari, dan dalam riwayat yang lain 70 kali sehari. Antara sebab-sebab yang disebutkan oleh para ulamak adalah1: 1. Hati baginda ‘terlalai’ (ghaflah) seketika daripada zikrullah. Kita perlu ingat bahawa hati baginda tidak pernah lupa daripada zikrullah. Tetapi apabila berlaku ghaflah iaitu disebaban sibuk dengan dakwah, maka baginda akan beristighfar. 2. Sebagai tanda ubudiyyah dan syukur kepada Allah. Ini bertepatan dengan jawapan baginda apabila ditanya oleh ‘Aisyah tentang kesungguhan baginda beribadah walaupun telah dijamin syurga dan diampunkan dosa. Maka jawab baginda “Adakah tidak boleh aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”. 3. Baginda melebihkan sedikit perkara mubah (harus), seperti makan, minum, tidur, rehat dsb. 4. Sebagai mengajar cara untuk meminta ampun daripada Allah swt. 5. Sebagai syafaat kepada umat baginda. 6. Iman baginda sentiasa meningkat, berbeza dengan iman kita yang naik dan turun. Maka apabila iman baginda meningkat satu darjat sebagai contoh, baginda akan melihat apa yang dibuatnya pada darjat yang sebelumnya sebagai dosa.

Mohd Naqib bin Hamdan Kuliyyah Pengajian Islam , Jabatan Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar , Damieatta, Mesir.

1

Ahsanul Kalam fil Fatawa wal Ahkam, Fatawa Jadidah oleh Syeikh Atiyyah Saqr. Beliau merupakan bekas pensyarah bagi pelajar MA, Universiti Al-Azhar.