You are on page 1of 8

Permainan Tradisional Wau

Latar Belakang Wau

Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan Thailand memandangkan negeri seperti Kelantan,
Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.

Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan
Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri
Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta
kerabat DiRaja, dan tidak pula disebut bermain wau

Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau.
Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’,
“wau’, “wau’ secara berirama.

Permainan layang-layang atau wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini
dimainkan semenjak lebih 500 tahun yang lalu. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan
seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Musim bermain wau adalah buluh yang diraut halus yang
ditampalkan dengan kertas berwarna mengikut bentuk rangka. Wau bukan sahaja dimainkan tetapi
dipertandingkan yang dititikberatkan ialah kecantikan rupa, kemerduan bunyi dan tinggi serta keindahan
naiknya.
Permainan wau atau pun lebih dikenali layang-layang suatu ketika dahulu lebih popular di kawasan
pedalaman seperti di kawasan pantai dan kawasan lapang seperti di padang, sawah padi dan sebagainya.

Kini permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum termasuklah mereka yang
menetap di kawasan bandar. Bukan itu sahaja, ia telah diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa
seperti di Pasir Gudang Kite Festivals International Guests yang diadakan pada setiap tahun. Sambutan
festival ini juga sangat memberangsangkan terutamanya peserta dari luar negara.

Sejarah Wau Malaysia

Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan tarikh serta asal-usulnya. Walau
bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia berasal dari negara China. Ini
kerana rekabentuk serta karektor mempunyai persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara China.

Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebar. Kemungkinan evolusi layang-layang
di Malaysia juga turut menyerap unsur-unsur kebudayaan dari negara China.

Mitos Permainan Wau

Permainan wau dikaitkan dengan mitos ‘Semangat Padi’ yang berasal dari utara Semenanjung Malaysia iaitu
di negeri Kedah.

Diceritakan bahawa ada sepasang suami isteri di negeri tersebut yang bekerja sebagai petani di sebuah kaki
bukit dengan menanam padi huma. Ketika mereka sedang menanam padi, mereka terjumpa seorang bayi
perempuan lalu dipeliharanya bayi tersebut sehinggalah dewasa. Oleh kerana suaminya ingin mengucapkan
syukur dan terlalu menyayangi anak gadisnya itu maka beliau selalu membawakan makanan ke tempat anak
gadisnya bermain iaitu di baluh padi.

Perbuatan suaminya itu telah menyebabkan sang isteri merasa sangat cemburu. Disebabkan perasaan
cemburunya itu dia telah menyiksa anak gadisnya sehingga melarikan diri mengikut arah mata angin barat.
Akibatnya, pada tahun itu juga padi yang telah dikerjakan tidak menjadi. Menurut Tok Nujum yang ditemui
menyatakan bahawa anak gadis mereka sebenarnya adalah ‘Semangat Padi’ dan menasihatkan petani
tersebut sebagai tanda meminta maaf mereka dikehendaki membuat sebuah lembaga yang menyerupai Wau
Bulan dan diterbangkan menggunakan tali jerami.

Jenis-jenis Wau.
Wau Bulan Wau kucing Wau daun

Wau helang Wau Jalabudi Wau kenyalang

Wau merak Wau puyuh Layang-layang

Bahagian Perincian Wau

Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau
dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.

Teknik Pembuatan Wau Tradisional

Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada
pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau.

Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau
yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di
dalam bidang aerodinamik. Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah
seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti.
Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan
buluh tersebut.

Petua dan Pantang Larang Pemilihan Buluh

Mencari dan Menebang Buluh

1. Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak atau dusun.
2. Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
3. Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai banyak kanji
dan mudah diserang serangga perosak.
4. Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai semangat yang kuat
menurut kepercayaan orang tua-tua.
5. Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti di waktu
tengahari.
6. Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya.
7. Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu
8. Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga.
9. Petua orang tua-tua di Kelantan pula semasa membawa balik buluh yang sudah ditebang, akan
meninggalkan pesan kepada Sang Bubuk iaitu, “Wahai Sang Bubuk, hak aku tinggal ini adalah hak mu,
hak aku wat kelik ni ialah hak aku, mu tok sah ikut akulah, mu make hok sini”.

Penyimpanan Buluh

Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Biasanya
tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia.

Antara petua-petua yang digunapakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat ialah :-

1. Buluh disimpan di dalam paya atau direndam di dalam selut.
2. Buluh ditanam di dalam pasir dan dinyalakan unggun api di atasnya selama satu jam.
3. Menyalai kepingan buluh pada bara api.

Meraut Buluh

Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain
itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas
digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat
dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan.

Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-
1. Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras.
2. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di
hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
3. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter.
4. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian
tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk.
5. Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan digosok pula dengan
kertas pasir.

Membuat Bingkai

Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka
sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu
dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor.
Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah
kepingan buluh.

Proses Mengikat Rangka Bingkai Wau

1. Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian tersebut.
2. Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu
3. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang
4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di
kedua-kedua belah.
5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap
6. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa
bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk
menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah
iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau.
7. Proses terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan
sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang.

Proses Memasang Tanah Wau

Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada wau. Tujuannya
supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin.
Pemasangan melibatkan beberapa langkah :-

1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai.
3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk ‘V’.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.

Mengukur, Melukis dan Menyobek Corak

Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan
istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat :

1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang
kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama
dengan corak di bahagian sayap.
3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau.
4. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang
kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas
bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas
kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap
tadi.
5. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna
sehingga siap sepenuhnya.
6. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya
sahaja.

Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan
akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang
rentas sayap wau. Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang
tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya
mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan
warna.
Proses Membuat Serta Memasang Jambul atau Rambu
Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau.
Diperbuat daripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk
rambu.

Proses Membuat Serta Memasang Belalai
Menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau.

Wau tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri. Warisan tradisional ini haruslah dikekalkan kerana
ia adalah identiti budaya bangsa Melayu dan juga sebuah negara. Kini permainan wau mulai popular di
kalangan masyarakat bandar dan tidak lagi terhad di luar bandar sahaja. Bukan itu sahaja, permainan wau ini
juga telah dimodenkan dan mula memasuki peringkat antarabangsa. Selain wau, layang-layang juga amat
diminati sebagai salah satu aktiviti pada waktu terluang.

Cara bermain wau

Kawasan yang sesuai

Wau hendaklah dimainkan di kawasan yang lapang seperti di tepi pantai, di kawasan sawah padi atau di
padang
kawasan tepi pantai merupakan kawasan yang paling sesuai untuk menerbangkan wau.
kawasan yang tidak sesuai bermain wau ialah dikawasan yang tidak lapang, banyak bangunan, pokok, tiang
elektrik atau tiang telefon.

3 unsur yang mempengaruhi kenaikan wau

Tekanan angin
Apabila tekanan angin di permukaan wau semakin kuat, maka kemampuan untuk naik tinggi semakin
meningkat.

Daya tarikan graviti
Tarikan graviti ialah daya yang menarik wau ke bawah.

Daya seretan.
Wau akan mengundur ke belakang apabila permukaan wau mendapat tekanan yang tinggi. Hal ini akan
mewujudkan daya seretan.

Permainan wau tradisional Melayu adalah dimainkan menggunakan satu tali sahaja. Penggunaan satu tali
membolehkan wau ini mudah diterbangkan dan dikawal. Terdapat dua cara melancarkan atau menaikkan wau
iaitu, pelancaran jarak dekat dan pelancaran jarak jauh. Tali yang digunakan adalah tali tangsi.

Teknik menaikkan wau jarak dekat.

Teknik ini sesuai bagi wau yang bersaiz kecil dan ringan.
Hanya seorang sahaja diperlukan untuk melancarkan teknik ini.
Pemain berdiri membelakangkan angin.
Sebelah tangan pemain akan memegang badan wau dan dihadapkan ke arah angin. Sebelah lagi tangan
memegang gelung tali.
wau dilepaskan perlahan-lahan sehingga wau naik tinggi ke udara.
Mengawal penerbangan
Tiupan angin yang tidak meneru menyebabkan pemain perlu mengawal penerbangan wau. Mengawal
penerbangan wau penting untuk mengelakkan wau jatuh ke tanah atau mengelakkan tali wau terputus.

Terdapat dua kemungkinan tiupan angin, iaitu angin beriup lemah dan angin bertiup kuat.
Apabila angin bertiup lemah, pemain mesti menggulung tali wau supaya wau tersebut tidak jatuh ke tanah.

Teknik menurunkan wau.
Menurunklan wau memerlukan dua pemain, iaitu seorang penarik tali dan seorang lagi penggulung tali.

Penarik tali ialah orang yang menarik talu wau manakala penggulung tali
ialah orang yang menggulung tali wau yang telah ditarik oleh penarik tali.

Permainan wau laga merupakan perlawanan memutuskan tali wau pihak lawan.
Ia memerlukan kepantasan, tumpuan dan kemahiran yang tinggi. Bahagian tali
wau ini disalut dengan serpihan kaca halus.