Biodata

Nama sebenar : Noor Hafizatul binti Che Man

Tmpt lahir Tarikh lahir No k/p Alamat semasa Sek pedalaman

: : : : :

Kuching, Sarawak 5 April 1985 850405-13-589 F65A, Kg Cheruk Kelubi, Sg pasir, 08000 Sg Petani SK Pos Legap

Kenangan Terindah Terimbas kembali difikiran ku bagaimana kami memulakan perjalanan setelah berehat sehari di SK Chenein. Sebuah kereta pacuan empat roda dan kereta Kenari menanti untuk membawa kami berlapan ke Pos Legap. Terdapat tiga orang pelatih dari opsyen Muzik, tiga orang dari opsyen Bimbingan dan Kaunseling dan dua dari opsyen Bahasa Inggeris. Semasa dalam perjalanan perasaan takut mula menyelubungi tubuhku. Perjalanan yang mengambil masa hampir satu jam memberikan satu pengalaman baru padaku apabila terpaksa menempuhi jalan yang berlekuk dan berlopak. Sakit seluruh badan apabila terpaksa menahan hentakan. Perasaan takut apabila melihat kenderaan pacuan empat roda yang di pandu Encik Wan ibarat kilat menyabung cuba memotong lori balak jelas terpancar diwajahku. Semuanya berakhir apabila kami sampai ke tempat yang dituju.Terfikir aku bagaimana guru-guru yang mengajar di sekolah Pos Legap berulang-alik melalui jalan tersebut dengan hanya menaiki motosilkal. Setibanya kami ke Pos Legap, kami disambut dengan meriah tanpa ada sedikitpun perasaan prejudis terhadap orang baru yang hadir dalam hidup mereka. Satu sesi suai kenal telah dilakukan di dewan sekolah. Kami di perkenalkan dengan guru-guru dan murid-murid sekolah. Hampir 250 orang pelajar dan 15 orang guru. Jika sebelum aku menjejakkan kaki ke sana aku berasa tidak sanggup dan ragu-ragu untuk berada di kawasan yang didiami oleh masyarakat Orang Asli, perasaan itu segera menjauh apabila melihat sambutan yang diberikan. Perasaan ragu dan gentar segara aku buangkan.

Guru-guru yang berada di sana menyambut kami dengan meriah dan memberikan sokongan untuk kami melaksanakan tugasan yang diberi. Seperti kata perpatah “tak kenal maka tak cinta”, begitu jugalah dengan perasaan yang aku alami. Dari rasa takut dan ragu-ragu, aku mula mengenali erti sayang dan kasih terhadap mereka. Setelah mendengar cerita SK Pos Legap dan tugasan yang perlu dilakukan, kami di bawa ke rumah untuk berehat. Kami diberitahu supaya siapkan segala urusan sebelum pukul 12 tengah malam kerana generator akan terpadam tepat pada waktunya. Malam itu semasa di rumah Cikgu Billy, dia berpesan sekiranya terdengar sebarang bunyi atau telihat apa-apa yang pelik, kami diminta supaya tidak menegur dan membiarkannya sahaja. Ketika itulah perasaan cuak mula membuak-buak. Pelbagai andaian mula berlegar-legar dalam fikiranku sehinggalah aku terlena. Pagi itu setelah bersiap, kami menuju ke kantin untuk bersarapan, kami mula berkenalan dengan Pak Yob dan isterinya Cik Nor. Mereka umpama ibu dan bapa sepanjang kami di sana. Layanan yang diberikan membuatkan kami cepat mesra dengan mereka. Manakala makanan yang dihidangkan memang betul-betul membangkitkan selera. Boleh dikatakan tiap-tiap hari kami dijamu dengan masakan yang sedap. Terasa lucu pula bila mengenangkan kami semua membawa bekalan makanan yang agak banyak kerana gusar makanan yang akan dihidangkan tidak enak dan tidak kena dengan selera kami. Jika sebelum ini aku sering berkata kepada diriku “alahai mati tak makan la aku kat sini” segera aku tukarkan “hmm nampak gayanya bertambah la berat badan ku sepanjang dua minggu di sini”.

Pengalaman melihat bagaimana guru-guru mengajar anak-anak Orang Asli ini membawa satu dimensi baru pada kami semua. Melihat ragam anak-anak orang asli ini membuatkan aku terkenang bagaimana zaman aku menempuhi zaman persekolahan. Kesukaran guru-guru untuk menggunakan bahasa perantaraan dengan murid-murid yang tidak tahu bertutur dalam Bahasa Melayu tidak menjadi masalah yang besar bagi mereka. Kepuasan apabila murid-murid mampu mengenal huruf, membaca dan mengira juga sudah lebih dari cukup bagi guru-guru ini. Ini kerana tahap keupayaan mereka untuk menumpukan perhatian semasa dalam kelas adalah sangat terhad. Sepanjang dua minggu di sana, aku berpeluang masuk ke dalam kelas dan melihat bagaimana Cikgu Azuan, Cikgu Azaharil, Cikgu Azimah dan Cikgu Termizi mengajar murid-murid dalam kelas pemulihan, tahun satu hingga enam dan kelas orang dewasa. Melihat bagaimana mereka cuba memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka dan bagaimana murid-murid Orang Asli mencuba bersungguh-sungguh untuk mempelajari ilmu yang diberikan. Hal ini memberikan satu panduan buat kami di masa hadapan dan bagaimana mahu mengaplikasikannya suatu masa nanti. Sepanjang kami di sana, kami tidak terhad dengan aktiviti di dalam kelas sahaja. Kami juga berkesempatan untuk menyertai majlis jamuan raya. Kami diberi peluang untuk melihat bagaimana sambutan majlis hari raya yang turut dihadiri oleh masyarakat Orang Asli. Terasa hilang semua penat lelah apabila melihat senyuman yang terukir di wajah mereka semasa mengambil makanan dari kami. Tidak dilupakan juga apabila ada di antara kami yang diminta naik ke pentas untuk menyanyikan lagu. Di sinilah dapat dilihat bagaimana kami bersikap terbuka untuk menyahut cabaran yang

diberikan. Zeti, Khai, Wan dan Eddy, menunjukkan bakatnya dengan mendendangkan lagu. Pertandingan sepak takraw yang dijalankan membolehkan kami melihat bagaimana Orang Asli menunjukkan kemahiran mereka bermain sepak takraw. Kesungguhan mereka bermain walaupun ketika itu panas terik membuatkan kami semua turut berasa teruja untuk menyaksikan perlawanan sehingga tamat. Aktiviti yang paling menyeronokkan bagi aku apabila guru-guru membawa kami berkelah di sebuah kawasan air terjun. Perasaan gembira dan teruja jelas tergambar di wajah kami semua. Seperti kanak-kanak yang mendapat gula-gula, kami tersenyum sepanjang perjalanan. “seronoknya nak pi berkelah, tak sabarnya aku nak pi”. Aku melontarkan rasa seronok ku pada Zeti. Satu pengalaman yang menarik apabila kami beramai-ramai berkonvoi menaiki motorsikal. Sebelum menuju ke kawasan air terjun tersebut, kami terpaksa mendaki cerun bukit untuk menuju ke tempat perkelahan. Rasa gusar apabila melihat beberapa orang menjerit apabila pacat menghinggap tubuh. “ wow cantiknya tempat ni” kata kak Yah pada kami semua. Rasa penat terasa hilang apabila nampak air terjun yang tersergam indah. Boleh dikatakan aktiviti yang paling menarik sepanjang program PBS ini apabila kami berkesempatan untuk menyertai majlis “Sewang” yang dibuat khas untuk meraikan kami. Satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila berkesempatan untuk melihat secara lebih dekat bagaimana upacara “Sewang” dilakukan.

Terdengar suara penduduk kampung, “ oh cikgu ni datang dari jauh ek?” , “jom la menari bersama kami” . Terasa kedatangan kami sangat di alu-alukan. Kami diberi peluang untuk bermain alatan muzik tradisional masyarakat Orang Asli Kaum Temiar. Jika sebelum ini hanya dapat melihatnya di dalam televisyen, kini kami dapat merasai sendiri bagaimana majlis itu dilakukan. Setelah selesai upacara sewang, kami diberi kesempatan untuk menyampaikan ucapan dan buah tangan kepada penduduk kampung. Walaupun buah tangan yang diberikan tidak seberapa, namun jelas mereka sangat suka dan gembira kerana memberikan buah tangan kepada mereka. Siapa menyangka pengalaman selama dua minggu di SK Pos Legap, Sungai Siput untuk menjalani program Pengalaman Berasaskan Sekolah memberi seribu satu pengalaman dan kenangan. Andai dapat diulang semula waktu, aku mahu berada di sana di samping anak-anak kecil yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan kami. Hubungan erat dan kerjasama yang diberikan membuktikan guru-guru yang telah lama berkhidmat sedia membantu dan menjalinkan satu ikatan yang kuat.Dua minggu yang dilalui terasa sangat singkat. Saat perpisahan membuatkan kami semua berasa sangat sedih dan terharu. Ketika sesi memaparkan video aktiviti ketika berada disekolah kami. Teringat kembali apabila Cikgu Termizi berkata “esok-esok kalau dah balik ke sana jangan lupakan kami.” Kemesraan yang ditunjukkan membuatkan kami semua berasa berat hati untuk meninggalkan Pos Legap. Seperti kata pepatah “jauh perjalanan luas pengalaman”. Hal ini memang terbukti apabila pemikiran aku yg tertutup sebelum ini mengenai kehidupan orang asli rupa-

rupanya jauh meleset. Mereka juga turut menerima maklumat tentang dunia luar juga dengan cepat. Ini terbukti apabila melihat hampir setiap rumah memiliki astro. Kemajuan yang ada di bandar juga tidak asing bagi mereka yang berada di pedalaman. Jadi tidak wajarlah kita membuat rumusan tentang sesuatu perkara yang kita tidak tahu hakikat yang sebenarnya apabila tidak melihatnya sendiri.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful