You are on page 1of 4

Laporan Program Penanda Aras

Bina Insan Guru Fasa VI - Guru Cemerlang


Tokoh Guru Cemerlang

NORDIN BIN ADNAN

Tempat

SK SERI TENGAH

Bina Insan Guru (BIG) merupakan suatu wahana ke arah pembinaan dan
pembentukan kualiti insan guru yang dihasratkan selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG). Pada sepanjang pratikum,
saya telah mengikuti lawatan penanda aras di sk seri tengah bersama dengan seorang
rakan saya. Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan para pelajar dengan
pengetahuan, kemahiran dan nilai profesionalisme keguruan. Seterusnya, lawatan ini
juga memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan pengetahuan tentang
inovasi pedagogi guru cemerlang serta amalan pengajaran dan pembelajaran.
Pada minggu pertama di sekolah tersebut, kami telah berjumpa dengan guru
besar dan mengumpulkan beberapa maklumat mengenai guru cemerlang di sekolah
tersebut. Terdapat 3 orang guru cemerlang yang sedang berkhidmat di sekolah
tersebut. Walaubagaimanapun, kami hanya dapat berjumpa dengan salah seorang guru
sahaja. Sehari sebelum temu bual, kami telah berjumpa dengan guru cemerlang
tersebut dan telah membuat temu janji dengan guru tersebut. Saya telah menyediakan
soalan-soalan dan maklumat penting bagi melaksanakan temu bual tersebut.
kami telah mengadakan temu bual bersama dengan guru cemerlang tersebut di
bilik guru. Dalam bilik guru tersebut, saya dapat berkenalan dengan lebih rapat
mengenai beliau. Selain memperkenalkan diri secara umum, beliau turut menceritakan
serba sedikit tentang latar belakang pendidikan dan sejarah keluarga. Beliau bernama
Nordin bin Adnan dan berumur 49 tahun. Jawatan utama beliau di Sk seri tengah
adalah sebagai seorang Guru Cemerlang Sains. Kelulusan ikhtisas beliau adalah Sijil
Perguruan Asas pada tahun 1989 manakala kelulusan akademik pula Ijazah Sarjana
Muda Sains pada tahun 1998.

En Nordin Bin Adnan mempunyai pengalaman mengajar selama 26 tahun dan


beliau bergred DG44. Mata pelajaran yang beliau pernah mengajar ialah Bahasa
Melayu dan Matematik. Beliau telah ditawarkan guru cemerlang pada tahun 2008.
Terdapat beberapa jawatan yang beliau pegang di Sk Seri Tengah. Antaranya ialah
Setiausaha Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), Pengerusi Panitia Sains, Guru Bilik
SAL, Guru Unit Pakaian Seragam Pengakap, Guru Persatuan Sains, Guru Permainan
Bola Jaring dan Guru Kelas Tahun 6.
Selepas mendapatkan maklumat mengenai latar belakang beliau, saya telah
mengemukakan beberapa soalan berkaitan dengan inovasi pedagogi guru cemerlang,
amalan pengajaran dan pembelajaran guru cemerlang serta ciri-ciri profesionalisme dan
komitmen guru cemerlang. En Nordin Bin Adnan telah melakukan salah satu inovasi
pedagogi khususnya bagi subjek Sains. Inovasi pedagogi yang telah beliau lakukan
adalah dari segi penyediaan latihan Sains bagi Tahap 2. Modul latihan yang beliau
sediakan dibentangkan di mesyuarat daerah yong peng bagi guru-guru Sains dan
digunakan di semua sekolah daerah yong peng .
Mengikut pendapat beliau, inovasi pedagogi ini amat berkesan dalam
mengenalpasti kelemahan murid-murid dan meningkatkan pencapaian murid-murid
tersebut dalam subjek Sains. Pada masa akan datang, beliau bercadang untuk
melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap inovasi beliau. Penambahbaikan
tersebut adalah dari segi penggunaan bahan inovasi tersebut. Beliau bercadang untuk
memasukkan penggunaan ICT dalam bahan inovasi tersebut supaya dapat menarik
perhatian dan minat murid serta jimat kos dan tenaga.
Dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran pula, En Nordin Bin Adnan telah
berkongsi banyak maklumat tentang amalan yang perlu dilakukan sebelum, semasa
dan selepas pengajaran dan pembelajaran. Menurut pendapat beliau, sebagai pendidik,
guru Sains yang berstatus Guru Cemerlang sewajarnya mampu memperkukuh kapasiti
untuk memperbaiki pembelajaran murid dengan melanjutkan pengetahuan profesional
dalam bidang keguruan. Gabungan ilmu pengetahuan dan pengalaman mengajar
sepatutnya menjadikan Guru Cemerlang mata pelajaran Sains seorang pendidik yang
berpandangan progresif. Dengan kata lain mereka mestilah sentiasa mencari jalan

memperkaya diri dengan pengetahuan, kemahiran dan trend-trend pengajaran dan


pembelajaran yang baru untuk disesuaikan dengan persekitaran sesebuah sekolah. Hal
ini mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Guru perlu mengajar mengikut kesesuaian tajuk serta kemampuan murid. Latihan yang
berbeza mengikut tahap murid perlu disediakan bagi meningkatkan kefahaman muridmurid tentang topik yang diajar. Selain itu, penyediaan alat bantu mengajar yang kreatif
dan inovatif serta cara penilaian murid-murid amat penting.
Melalui sesi temu bual bersama dengan guru cemerlang ini, saya memperolehi
banyak input baru mengenai ciri-ciri profesionalisme dan komitmen guru cemerlang.
Nilai profesionalisme yang perlu diamalkan semasa pengajaran dan pembelajaran ialah
seseorang guru perlu sentiasa bertangggungjawab, prihatin dan mengambil berat
tentang setiap murid di dalam bilik darjah. Dalam perjalanan menjadi seorang guru yang
cemerlang, pengalaman memainkan peranan yang sangat penting. Menurut En Nordin
Bin adnan , seseorang guru cemerlang mestilah menyumbang kepada pihak sekolah
dalam bidang tertentu dan juga perlu memberi sumbangan kepada pihak luar sekolah
bagi kecemerlangan subjek tersebut.
Selepas sesi temu bual, kami berkesempatan untuk melihat inovasi pedagogi
beliau iaitu modul latihan Sains. Kami telah mengambil gambar dengan beliau dan telah
mengambil salinan bahan inovasi pedagogi beliau sebagai bahan bukti lawatan
penanda aras. Selain itu, kami juga ditunjukkan dengan beberapa plak anugerah dan
gambar yang diperoleh beliau. Anugerah dan gambar-gambar tersebut mencetuskan
semangat dalam jiwa kami untuk turut sama mengikut jejak langkah beliau.

Semasa sesi temubual


Akhir sekali, selepas sesi bergambar dan bersalaman dengan beliau, kami telah
memberikan cenderahati kepada beliau. Secara keseluruhannya, program Bina Insan
Guru pada semester ini banyak membantu saya dalam meningkatkan pengetahuan
berkenaan dengan profesion keguruan dan juga memberi pendedahan kepada saya
untuk melengkapkan diri dengan semaksimum mungkin untuk memberi kepuasan
semasa bekerja sebagai guru. Kepuasan seorang guru tidak terletak pada gajinya tetapi
apabila melihat kejayaan pelajarnya memahami sesuatu perkara yang diajar (Abdul
Rahim,2005).