You are on page 1of 1

Kegagalan atlet negara di Sukan Olimpik Sdney 2000 menimbulkan pelbagai persoalan tentang

mutu pembangunan sukan negara di arena antarabangsa. Mutu sukan negara sepatutnya terus
berkembang dan mencapai banyak kejayaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.
Tetapi,mutu sukan negara terus merosot dari semasa ke semasa sedangkan pada masa yang
sama kerajaan telah menyediakan dan membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan
sukan tanah air supaya mencapai taraf dunia.
Sebenarnya kemelut dalam dunia sukan negara boleh berpunca daripada banyak pihak.
Paling ketara ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam
menentukan pemilihan pemain. Mereka lebih banyak menjadikan persatuan sukan sebagai
tempat mencari keuntungan peribadi daripada memberi perhatian khusus untuk memajukan
sukan bertaraf dunia. Mereka sering menunding jari kepada pihak lain daripada mengakui
kelemahan sendiri apabila punca kemerosotan atlet dikenali pasti. Mereka seharusnya sedar
bahawa kegagalan atlet sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan. Hal ini
disebabkan, mereka sebagai perancang pembangunan sukan tidak mempunyai hasrat atau visi
yang cukup tinggi untuk membantu meningkatkan mutu sukan.

Pengkritik sukan berpendapat banyak faktor yang menyebabkan mutu sukan
negara tidak mencapai kemajuan atau bertaraf dunia. Mereka berpendapat
sistem pendidikan yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan
sikap masyarakat atau ibu bapa yang mementingkan kecemerlangan
akademik membataskan murid-murid sekolah daripada mendekati sukan.
Fenomena ini menjadikan sekolah kini bukan lagi gelenggang untuk
melahirkan dan mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah yang boleh digilap
sebagai atlet negara sehingga mencapai taraf dunia.
Bagaimanapun adalah tidak adil kita hanya menyalahkan pihak tertentu tanpa meninjau
dilema atlet. Secara umumnya moral atlet kita berada di tahap yang rendah dan mudah mengaku
kalah apabila menghadapi lawan yang bertaraf dunia. Hal ini mungkin kerana mereka kurang
keyakinan di samping kurang pendedahan dan pengetahuan. Atlet kita juga dikatakan tidak
bersikap matang dalam usaha untuk menigkatkan prestasi diri. Mereka tidak menjiwai watak
sebagai ahli sukan tulen yang sanggup untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran sendiri.
Sesetengah atlet tidak berdisiplin dan menjadi keras kepala kerana menyedari khidmat mereka
amat diperlukan, ekoran sudah tidak ada atlet lain yang akan mewakili negara. Sikap atlet yang
manja dan sukar ditegur ini masalah kepada jurulatih untuk menggilap atlet negara menjadi ahli
sukan bertaraf dunia. Permasalahan ini bukan sahaja memerlukan atlet mengubah sikap tetapi
juga semua pihak yang terlibat demi mewujudkan sukan sebagai suatu budaya kehidupan.