PENGURUSAN TINGKAH LAKU KSPK PEMULIHAN KHAS

****************************************** PENDEKATAN TEORI PEMBELAJARAN PAVLOV TERHADAP MURID-MURID PEMULIHAN KHAS ****************************************** NAMA PELAJAR: NOOR HANA BINTI ISMAIL 731125-02-6028 KSPK PEMULIHAN KHAS 2007 PENSYARAH: EN. THIRUGNANA A/L SAMBATHAN JABATAN ILMU PENDIDIKAN

INSTITUT PERGURUAN BAHASA MELAYU MALAYSIA 59900 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR

PENGURUSAN TINGKAH LAKU MURID-MURID PEMULIHAN BERDASARKAN TEORI PEMBELAJARAN PAVLOV Ivan Petrovic Pavlov (1849 – 1939), seorang ahli fisiologi Rusia telah membuat kajian megenai proses asas pembelajaran yang menyentuh perkaitan antara rangsangan dan gerak balas. Eksperimennya dilakukan terhadap seekor anjing yang mengaitkan bunyi loceng dengan rembesan air liur anjing tersebut yang menjangka akan diberikan makanan. Mulanya, anjing itu mengeluarkan air liur apabila diberikan makanan. Kemudian, anjing itu merembeskan air liur apabila nampak makanan. Akhirnya anjing itu merembeskan air liur apabila nampak Pavlov masuk walaupun belum memberinya makanan. Seterusnya, Pavlov membunyikan loceng sebelum memberinya makanan. Anjing tidak memberi sebarang gerak balas terhadap bunyi loceng itu. Kemudian Pavlov memberinya makanan dan anjing itu merembeskan air liur. Eksperimen diteruskan dan akhirnya anjing tersebut akan merembeskan air liur setiap kali loceng dibunyikan walaupun belum lagi menerima makanan.

Berdasarkan teori pembelajaran Pavlov, guru dapat mengaplikasi beberapa tindakan yang mendatangkan kesan positif kepada murid-murid pemulihan. Antaranya ialah mengaitkan pengalaman positif dan baik(rangsangan) dengan tugasan pembelajaran (gerak balas) seperti mengadakan pertandingan antara kumpulan. Contohnya, murid pemulihan sering menghadapi masalah dari segi penampilan kerana mempunyai harga diri yang rendah atau sering memberi jawapan yang salah dalam sesi pembelajaran. Melalui pertandingan secara kumpulan, nilai-nilai sosial yang baik seperti tolongmenolong, betimbang rasa, belas kasihan, bekerjasama dan tekun bekerja dalam

kumpulan dapat dipupuk. Sokongan moral daripada rakan-rakan sekumpulan secara tidak langsung dapat meningkatkan imej kendiri murid pemulihan. Selain itu, melalui teori yang diketengahkan juga, guru dapat menolong pelajar untuk menghadapi situasi yang membimbangkan secara sukarela dan berjaya. Ini dapat dilakukan melalui pemberian tugasan yang lebih kecil/mudah untuk dilakukan terlebih dahulu sebelum menuju ke matlamat yang lebih besar. Kebanyakan murid pemulihan memiliki motivasi diri yang rendah disebabkan pengalaman kegagalan yang dialami pada masa lalu dan juga kata-kata hinaan oleh sesetengah ibu bapa dan guru yang

menyebabkan mereka cepat putus asa dan menggugat keyakinan diri mereka. Oleh itu, guru boleh menyusun pendekatan pembelajaran yang memudahkan murid menerima dan melaksanakannya dengan membahagikan kepada unit yang lebih kecil. Dengan kata lain, guru mengajar daripada yang senang kepada yang susah, daripada yang tahu kepada yang tak tahu, daripada yang maujud kepada yang mujarad, dan daripada yang umum kepada yang khusus. Apabila murid ini berjaya melaksanakan tugasan yang diberikan, secara tidak langsung pengalaman kejayaan ini akan memberi kesan yang lebih positif terhadap persepsi kendirinya tentang kebolehan yang dimilikinya. Dalam usaha membantu murid-murid pemulihan menguasai kemahiran yang diajar, melalui pendekatan behaviorisme dalam teori pembelajaran Pavlov ini, guru digalakkan mengajar murid membezakan persamaan dan perbezaan di antara situasi yang berlainan supaya mereka dapat membuat generalisasi dan diskriminasi dengan betul. Hal ini dapat dikaitkan dengan pengalaman belajar melalui bimbingan yang berterusan daripada guru yang menyebabkan rasa kebergantungan murid terhadap guru dalam menghadapi setiap situasi pembelajaran yang akhirnya akan membentuk sikap tidak

yakin diri dalam kalangan murid. Oleh itu guru pemulihan haruslah mengambil pendekatan dengan memberi penerangan yang jelas, tunjukcara yang betul dan bimbingan mengikut keperluan murid. Guru perlu wujudkan suasana yang membolehkan murid menyuarakan masalahnya dan meminta bantuan guru, mengelakkan rasa kebergantungan yang kuat terhadap guru dan orang sekeliling serta mengelakkan rasa tidak yakin diri apabila mengalami kegagalan. Guru juga dapat membimbing murid membuat diskriminasi yang betul dalam sesuatu situasi. Dalam aspek ini, guru membimbing murid memberi fokus kepada rangsangan yang betul dan dapat membezakan rangsangan yang lebih penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Aspek pengamatan misalnya, guru perlulah menumpukan kepada kemahiran yang kecil terlebih dahulu. Penerangan guru hendaklah jelas, tepat dan memberi gambaran yang bermakna di samping penggunaan suara dan gerak isyarat yang menarik minat murid. Jika murid masih lagi membuat kesalahan, guru boleh menghentikan kelas dan memberi komen yang positif tentang kemahiran tersebut. Secara tidak langsung, murid akan dapat membuat diskriminasi rangsangan antara maklumat penting dan kurang penting. Di samping itu, berdasarkan teori teori pembelajaran Pavlov juga, guru boleh merancang pengajaran yang menggalakkan murid belajar dengan mengaitkan antara rangsangan dengan gerak balas. Ini bermakna tingkah laku murid boleh dibiasakan dengan untuk gerak balas yang diingini oleh guru. Contohnya peraturan bagi kelas pemulihan seperti menjaga kebersihan kelas, beratur sebelum masuk dan keluar kelas, menyusun bahan selepas digunakan. Guru hendaklah memberi pengukuhan terhadap tingkah laku positif yang dilakukan oleh murid. Secara tidak langsung hal ini akan akan

menimbulkan semangat kekitaan bagi semua murid dalam kelas tersebut. Murid yang melanggar peraturan akan dikenakan dendaan manakala yang sentiasa mematuhi peraturan akan diberikan pujian. Kelaziman yang berlaku menyebabkan murid akan melakukan tingkah laku tersebut walaupun tanpa arahan guru. Menurut teori pembelajaran Pavlov ini, sesuatu rangsangan dan gerak balas boleh diperkukuhkan melalui latihan. Hal ini amat bertepatan dengan keperluan murid pemulihan. Kemahiran menulis yang sering menjadi masalah kepada murid pemulihan misalnya dapat diatasi melalui latihan-latihan yang diberikan. Murid akan dirangsang dengan membuat bentuk-bentuk terlebih dahulu seperti bulatan, garisan lengkungan, kombinasi lengkungan dan garis lurus dan sebagainya. Teknik memegang pensel dengan betul dan titik permulaan bagi penulisan sesuatu huruf harus dimaklumkan kepada murid terlebih dahulu. Dengan ini murid akan mampu menerima rangsangan secara positif dan menghasilkan gerak balas yang positif juga dalam proses pembelajaran mereka.