You are on page 1of 1

‘IZZATI BINTI ZAILAN PISMP MATEMATIK SEMESTER 8 LATIHAN EDU3083

Guru ialah penjawat awam yang bukan sahaja perlu telus dan tulus, memikul tanggungjawab terhadap ketuanya, orang
bawahan dan kepada pihak yang lain. Maka, guru juga bertanggungjawab mendidik murid dengan penuh keikhlasan dan
kejujuran supaya melahirkan generasi yang berguna kepada masyarakat dan Negara kita (Institusi Integriti Malaysia,
2010)

Berdasarkan kepada penyataan di atas, bincangkan bagaimana peranan dan tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan oleh
warga pendidik.

Guru memainkan peranan yang penting terhadap kejayaan murid-muridnya. Dalam masa yang sama, guru juga perlu
menjalankan tugasnya terhadap orang lain iaitu terhadap ketuanya, orang bawahan dan pihak yang lain. Tugas seorang guru
bukanlah mudah seperti yang dibayangkan. Pelbagai cara dapat dilaksanakan oleh setiap warga pendidik.

Pertama, guru perlu sentiasa bermuhasabah diri tentang tanggungjawab mereka terhadap murid-murid dan pihak lain.
Salah satu peranan guru abad 21 ialah berkolaborasi dengan rakan sekerja, pihak pengurusan, ibu bapa dalam usaha
menambahbaik mod penyampaian pengajaran serta menangani masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Guru juga perlu sedar
akan akauntabiliti terhadap murid, ibu bapa, rakan sekerja dan profesion serta masyarakat dan negara. Dalam akauntabiliti
tersebut jelas tertulis bahawa guru perlu memberi komitmen sepenuhnya terhadap tugasnya. Untuk melaksanakan komitmen
dengan sebaiknya, perasaan ikhlas, jujur, telus dan tulus itu perlu ada terlebih dahulu dalam diri guru.

Kedua, pengurusan masa yang baik oleh warga pendidik. Guru perlu bijak semasa menguruskan masa supaya semua
kerja dapat disiapkan tepat pada masanya. Menurut Kopper (2006), pengurusan masa ialah penguasaan ilmu yang berkaitan
dengan teknik dan cara seseorang itu mengurus, membahagi dan mengatur masa sehariannya supaya dapat dimanfaatkan
dengan sebaik-baiknya. Guru mempunyai tanggungjawab kepada ketuanya, orang bawahan dan pihak lain. Guru perlulah
cekap semasa menjalankan tugas. Walaupun mempunyai bebanan tugas yang banyak, tanggungjawab untuk mendidik murid-
murid tidak akan diabaikan. Sebagai contoh, guru menyediakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) untuk muridnya supaya dapat
memberi kefahaman terhadap pelajaran dan semua minit mesyuarat yang diminta guru besar juga telah berjaya disiapkan.

Ketiga, menjadikan kerjaya guru itu sebagai satu ibadah. Guru hendaklah menyedari bahawa tugas mendidik anak
bangsa merupakan suatu amanah Allah Taala yang tidak boleh disia-siakan. Apabila guru sentiasa sedar akan hakikat ini dan
menganggap kerjaya itu sebagai satu ibadah, setiap guru pastinya mempunyai sikap telus, tulus, amanah dan integriti terhadap
kerjayanya. Guru bukan sahaja mempunyai tugas mengajar murid tetapi memanusiakan seorang manusia. Guru perlu berusaha
dengan bersungguh-sungguh dalam amanah ini dan sentiasa mengambil peluang ini untuk mengumpul saham akhirat. Tanpa
komitmen dan usaha gigih para guru, semua pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan
betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka. Contohnya, jika seorang murid
gagal dalam sesuatu mata pelajaran, guru akan menyediakan kelas tambahan dan memberikan perhatian yang lebih terhadap
murid tersebut supaya tiada keciciran berlaku.

Kesimpulannya, guru merupakan rol model murid dan masyarakat. Sejurus dengan itu, guru perlu menunjukkan
contoh yang baik dan sentiasa memberikan komitmen yang maksimum terhadap kerjaya. Kejayaan sesebuah institusi
pendidikan bergantung pada kerjasama setiap ahlinya dan kejayaan seorang murid itu bergantung kepada kesungguhan
seseorang guru.