1.

0 PENGENALAN

Sebelum kemunculan Kesultanan Melayu Melaka, kerajaan awal boleh
dibahagikan kepada dua iaitu Kerajaan Agraria dan Kerajaan Maritim. Kerajaan
Agraria merupakan kerajaan yang berasaskan ekonomi pertanian, penternakan dan
pemungutan hasil hutan. Kerajaan Agraria terdiri daripada kerajaan Angkor dan
kerajaan Funan. Kerajaan ini terletak berhampiran sungai yang subur bagi
menjalankan kepentingan ekonomi.

Bagi kerajaan Maritim pula, kerajaan ini menjalankan ekonomi yang berasaskan
perdagangan, kelautan dan pelabuhan. Kerajaan ini berkembang daripada
perkampungan nelayan sehinggalah menjadi pelabuhan entrepot yang menjadi
pelabuhan pilihan para pedagang. Kerajaan Maritim terdiri daripada kerajaan
Langkasuka, Srivijaya, Chih-Tu, Champa dan Kedah Tua.

Kerajaan Kedah Tua ini merupakan kerajaan yang unik. Hal ini kerana, kerajaan
Kedah Tua merupakan kerajaan yang tertua di Tanah Melayu. Kerajaan ini
berkembang selepas membebaskan diri daripada naungan kerajaan Funan dan
mengalami kegemilangannya sehingga mempunyai pelabuhan entrepot seperti
Sungai Mas dan Pengkalan Bujang dan akhirnya mengalami zaman kemerosotan
pada penghujung kurun ke-13.

1
2.0 KERAJAAN AWAL (KEDAH TUA)
Kedah Tua merupakan antara kerajaan yang tertua di Asia Tenggara. Kenyataan
ini disokong melalui penemuan arkeologi di beberapa lokasi di Kedah yang
membuktikan adanya penempatan secara teratur semenjak kurun ke - 4 lagi (Jabil
Mapjabil, Nooriah Yusof dan Ahmad Tharmizzie Mat Jusoh, 2010). Kerajaan Kedah
Tua wujud lebih awal berbanding kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

2.1 ASAL USUL NAMA
Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan nama Kedah berasal daripada
bahasa Arab iaitu Kalah. Ibnu Muhalhil pernah menyebut tentang sebuah negeri di
utara Tanah Melayu yang bernama Kalah pada tahun 941 Masehi (Adnan Jusoh,
2013). Nama Kedah juga dikatakan berasal daripada perkataan arab iaitu Kalah Bar.
Menurut Jabil Mapjabil, Nooriah Yusof dan Ahmad Tharmizzie Mat Jusoh (2010),
seorang pengembara Arab bernama Sulaiman pernah menyebut tentang kawasan
bernama Kalahbar yang dikatakan sebagai tempat yang bernaung di bawah Zabaj
iaitu Empayar Srivijaya di Palembang dalam tulisan beliau pada tahun 851 Masihi.
Menurut Paul Wheatley (1961), Kalah Bar bermaksud sebuah kerajaan yang
lokasinya berdekatan dengan pesisir pantai. Kalah Bar juga merupakan kerajaan
yang berada di bawah penguasaan al-Zabaj iaitu Srivijaya (Paul Wheatley, 1961).
Roland Braddell (1950) pula menerangkan bahawa Kalah atau Kalah Bar merupakan
sebuah kerajaan yang besar dan dikelilingi tembok, taman bunga, kemudahan
sumber air, pasar dan rumah serta mempunyai penduduk yang ramai.
Menurut catatan I-Tsing, beliau telah melaporkan bahawa beliau pernah
mengunjungi sebuah tempat yang bernama ‘Chieh-cha’. Catatan tersebut jelas
menggambarkan lokasi yang dikunjungi oleh I-Tsing adalah negeri Kedah seperti
yang ditulis semula oleh Wolters (1967),

I-Tsing belayar tanpa halangan selama 20 hari (dari Canton) dan tiba ke ‘Fo-
Shih’ (Srivijaya). Dia singgah di situ dalam perjalanan (ke India) selama enam bulan
dan mula mempelajari ‘Sabdawidya’ (Nahu Sanskrit). Pemerintah (Fo-Shih)
menghulurkan bantuan dan mengirimnya ke (Malayu) yang kini diubah kepada ‘Shih-
li-fo-shih’ (Srivijaya). Sekali lagi I-Tsing singgah dalam perjalanan (di Malayu)
selama dua bulan dan kemudian lalu kembali ke kapalnya dan meneruskan
pelayarannya ke arah ‘Chieh-cha’ (Kedah). Tidak sampai bulan kedua belas (6
Januari-4 Februari, 672) layar kapal dinaikkan dan dia kembali ke kapal raja dan
kemudian beransur-ansur meneruskan perjalanan ke syurga Timur (India).

2
Kedah juga disebut sebagai Kataha atau Kadara dalam tulisan Sanskrit menurut
sumber catatan India manakala dalam tulisan Tamil pula, Kedah disebut sebagai
Kadaram atau Kalagam (Adnan Jusoh, 2013). Sebuah puisi Tamil yang berjudul
Pattinappalai yang pernah menyebut tentang Kedah dan menggelarnya Kadaram
merupakan bukti kewujudan Kedah pada awal abad masihi dan hubungannya
dengan petempatan orang India (Adi Haji Taha dan Othman Mohd Yatim, 1981).
Menurut Abdul Rahman Abdullah (2000), Kadaram bermaksud kuali besar manakala
Kalagam pula bermaksud warna hitam.
Kewujudan kerajaan Kedah juga boleh dirujuk melalui manuskrip Melayu atau
sumber sastera klasik Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa (1643) dan Al
Tarikh Salasilah Negeri Kedah (1927). Menurut Abdul Rahman Abdullah (2000),
Hikayat Merong Mahawangsa meriwayatkan bahawa asal usul Kedah dikaitkan
dengan negeri Rom dan diperintah oleh Raja Merong Mahawangsa sebagai Raja
Kedah yang pertama. Merong Mahawangsa kemudiannya memeluk Islam dan
menggunakan nama Sultan Muzaffar Shah. Manakala menurut Al-Tarikh Salasilah
Negeri Kedah karya Haji Hassan Haji Arshad pula, Raja Kedah yang pertama
bernama Maharaja Derbar Raja, iaitu seorang raja yang kehilangan takhta di
Gumarun dan mula memerintah pada sekitar tahun 630 Masihi. Maharaja Derbar
Raja kemudiannya memeluk Islam dan menggunakan nama Sultan Muzaffar Shah.

2.2 LATAR BELAKANG
Kedah Tua dikatakan telah wujud sejak abad kedua hingga keempat masihi
sebagai pelabuhan perdagangan berdasarkan sumber penulisan India. Menurut Nik
Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan
Asyaari Muhamad (2011), Kedah Tua juga merupakan antara kerajaan yang
dahulunya berada di bawah naungan kerajaan Funan . Namun perkembangan
Kedah Tua adalah agak terhad pada ketika itu. Hal ini berkemungkinan disebabkan
oleh dasar perdagangan kerajaan Funan yang memusatkan kepentingan
perdagangannya di Oc-Eo dan fungsi Kedah Tua hanya sebagai feeder port iaitu
pusat tempat komoditi perdagangan dihasilkan atau dikumpulkan kepada pelabuhan
Oc-Eo pada masa itu (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan
Zulkifli Jaafar, 2008)
Kedah Tua kemudiannya membebaskan diri daripada naungan kerajaan Funan
dan menjalankan pentadbirannya sendiri apabila kerajaan Funan mula lemah (Nik
Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan
Asyaari Muhamad, 2011). Kemunculan tamadun Lembah Bujang dikatakan bermula
seawal abad ke-5M dan diasaskan di Sungai Mas seperti yang dinyatakan oleh Nik

3
Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2008) setelah artifak dan inskripsi ditemui di
Sungai Mas ekoran projek pembinaan tali air. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik
Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim (1990), kawasannya terletak antara Sungai
Muda di Selatan dan Sungai Sala di Utara. Luas kawasan ini dianggarkan seluas 144
batu persegi dan merangkumi daerah Seberang Perai Utara, Yan, Kuala Muda dan
Kota Setar (Nazaruddin Zainun dan Nasha Rodziadi Khaw, 2015).
Dari sudut sistem pentadbiran, tidak terdapat laporan yang jelas tentang sistem
pentadbiran tempatan yang digunakan di Kedah Tua meskipun Kedah Tua wujud 600
tahun lebih awal daripada kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hikayat Merong
Mahawangsa, terdapat catatan yang melaporkan kewujudan pentadbiran tempatan
di kawasan Kuala Kilah (kini Kuala Merbuk) yang diketuai oleh Tun Derma Dewa dan
Tun Maha Perkasa semasa ketibaan Maharaja Derbar Raja pada tahun 630 Masihi.
Namun, hal ini masih tidak dapat menceritakan dengan jelas sistem pentadbiran
pada masa tersebut (Mazlan Ismail dan Nadzman Mustaffa, 2015). Namun
Mohammad Shariff Abu Samah (2012) menjelaskan sistem pentadbiran daerah telah
wujud semasa ketibaan Maharaja Derbar Raja yang mana kerajaan Kedah
dibahagikan kepada empat buah daerah iaitu Kuala Kilah, Kuala Bahang, Kuala
Merpah dan Kuala Bara.
Sebelum kedatangan Islam di Kedah Tua, Kedah Tua menerima dan
mengamalkan agama Buddha. Hal ini adalah berdasarkan kepada penemuan
Kolonel James Low juga menjumpai tinggalan kawasan jajahan Hindu dengan
runtuhan candi yang berselerak di sepanjang cerun Gunung Jerai serta tujuh
serpihan inskripsi yang dalam bahasa Sanskrit yang ditulis pada abad ke-4 Masihi
dengan tulisan Pallawa (Mohd. Dahlan Mansoer, 1979). I.H.N. Evans pula telah
menemui patung Durga Devi bersama arca Durga Mahisasuramardhini di Sungai
Batu pada tahun 1921 manakala pada tahun 1923, beliau menjumpai arca Ganesha
dan banyak lagi bahan arkeologi telah ditemui pada tahun-tahun selepasnya (I.H.N.
Evans, 1927). Agama Buddha bertapak di Lembah Bujang pada kira-kira abad ke-5
Masihi dan kemudiannya agama ini diresapi oleh unsur Saivisma pada abad ke-7
Masihi ekoran hubungan yang erat dengan India (Paul Wheatley, 1959). Semasa
peralihan pusat perdagangan Kedah ke Pengkalan Bujang pada kurun ke-10 Masihi
hingga kurun ke-13 Masihi, penduduk Kedah Tua ketika itu mengamalkan Hindu-
Saivisme (Adnan Jusoh, 2013). Menurut Adnan Jusoh (2013) lagi, semasa
kedatangan Islam, peranan Pengkalan Bujang sebagai pelabuhan entrepot mulai
merosot.

2.3 ZAMAN KEGEMILANGAN

4
Kedah Tua menikmati zaman kegemilangan dalam tempoh masa yang agak
panjang kerana pelabuhannya yang sering menjadi pilihan hati para pedagang. Hal
ini adalah kerana kedudukan Kedah yang terletak di pintu masuk Selat Melaka serta
kemegahan Gunung Jerai sebagai panduan arah kepada pedagang menjadikan
Kedah sebuah lokasi yang strategik bagi aktiviti perdagangan melalui jalan laut (Jabil
Mapjabil, Nooriah Yusof dan Ahmad Tharmizzie Mat Jusoh, 2010). Kedudukan
Kedah yang juga terletak di antara tamadun China dan tamadun India telah
menjadikannya sebuah pelabuhan entrepot yang penting. Oleh sebab itu, Kedah Tua
terus berkembang sebagai pelabuhan entreport sehingga penghujung abad ke-14.
Perkembangan Kedah Tua dapat dibahagikan kepada dua fasa utama iaitu fasa
pertama dan fasa kedua. Fasa pertama bermula dari kurun ke-4M sehingga kurun
ke-10M manakala fasa kedua pula bermula dari kurun ke-11M sehingga kurun ke-
13M (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, 1984). Fasa pertama berlaku
semasa pelabuhan Kedah berpusat di sekitar Sungai Mas manakala fasa kedua pula
melibatkan perkembangan Pengkalan Bujang sebagai pelabuhan entreport.

2.3.1 FASA PERTAMA
Kebanyakan pengkaji sejarah menganggap bahawa tamadun Lembah Bujang
terletak di sekitar Pengkalan Bujang dan Merbok sehinggalah pada tahun 1980,
sebuah projek pembinaan tali air dilakukan di Sungai Mas. Projek ini telah membawa
kepada penemuan inskripsi dan beribu-ribu artifak dan pengkaji sejarah mula
membuat penyelidikan dan ekskavasi secara menyeluruh di kawasan Sungai Mas.
Menurut Nik Hassan Shuhaimi (2008), penyelidikan dan ekskavasi ini menunjukkan
bahawa Sungai Mas merupakan lokasi bermulanya tamadun Lembah Bujang.
Kerajaan beraja di Sungai Mas dipercayai mula diasaskan pada abad ke 5/6
Masihi selepas kerajaan Kedah Tua membebaskan diri daripada naungan Funan dan
mula menjalankan pentadbirannya sendiri (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman,
Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari Muhamad, 2011). Hal ini disokong
melalui penemuan tinggalan Candi Sungai Mas yang diberi pentarikhan pada abad
ke 5/6 Masihi berdasarkan imej Buddha pada kalam semah dan skrip tulisan Pallava
pada batu bersurat yang terdapat di perkarangan candi (Zuliskandar & Nik Hassan
Shuhaimi, 2009). Selain Jambi dan Palembang, Kataha juga merupakan pusat
penyebaran agama Buddha di Nusantara pada masa itu. Banyak rumah-rumah
ibadat dibina di tebing-tebing Sungai Muda sebagai keperluan untuk memenuhi
tuntutan rohani dan pusat pentadbirannya terletak di Sungai Mas (Nik Hassan
Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari
Muhamad, 2011).

5
Sungai Mas dipercayai telah mempunyai sistem sosial dan budaya masyarakat
yang tersusun dan maju sejak abad ke-5M lagi. Kenyataan ini merupakan
berdasarkan penemuan bahan-bahan penting seperti Inskripsi Sungai Mas, Inskripsi
Sungai Mas II, kalam semah dan makara (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman,
Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari Muhamad, 2011). Masyarakat di
Sungai Mas juga berjaya menguasai ilmu sains dan teknologi secara perlahan-lahan.
Hal ini dibuktikan melalui penemuan produk tempatan seperti manik kaca monokrom
ataupun manik Indo-Pasifik di Sungai Mas dan bata yang digunakan untuk membina
Candi Sungai Mas (Zuliskandar dan Nik Hassan Shuhaimi, 2009). Masyarakat
tempatan juga dipercayai sudah mahir dalam seni ukiran batu berdasarkan
penemuan hasil ukiran daripada batu granit seperti pelipit gantha atau padma,
makara, bendul pintu dan tempayan besar.

Foto 1: Makara yang ditemui di Sungai Mas (Tapak 32/34) pada tahun 2007.
Sumber: Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). Kuala Lumpur: Jabatan
Warisan Negara.

Antara kriteria untuk mengiktiraf sesebuah pelabuhan sebagai pelabuhan
entrepot adalah perlunya kehadiran tinggalan serpihan tembikar dari negeri China,
Asia Barat, barang-barang kaca dari Asia Barat, pelbagai jenis manik, logam, damar,
dan lain-lain dalam bilangan yang banyak (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman,
Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari Muhamad, 2011). Oleh itu, pada
abad ke-7M, Sungai Mas telah mencapai taraf pelabuhan entrepot. Hal ini
berdasarkan dengan penemuan serpihan tembikar perdagangan di Sungai Mas yang
kebanyakannya lebih tua daripada Pengkalan Bujang. Serpihan tembikar ini terdiri
daripada tembikar China dan tembikar Timur Tengah. Kebanyakan serpihan tembikar
China adalah tembikar zaman T’ang dan zaman Song awal manakala tembikar Timur
Tengah adalah tembikar dari kawasan Iraq-Iran serta berwarna hijau dan jenis warna
hijau-kuning (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana
Abdullah dan Asyaari Muhamad, 2011). Penemuan di Sungai Mas yang dilaporkan

6
adalah hampir sama dengan yang dijumpai di Pulau Khokau Takuapa di pantai Barat
Semenanjung Thailand, Singapura dan Sumatera (Nik Hassan Shuhaimi, 2008).
Meskipun Kedah Tua berada di bawah naungan kerajaan Srivijaya pada abad
ke-7 Masihi, pemerintahan Kedah Tua masih ditadbir dalam kalangan raja Kedah
Tua sendiri. Kedah Tua dan beberapa kerajaan lain seperti Takuapa dan Jambi
hanya digunakan oleh kerajaan Srivijaya bagi mengawal aktiviti perdagangan di
Selat Melaka, di Selatan Thai dan di sebelah Laut China Selatan agar tidak jatuh ke
tangan kuasa lain (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli,
Farhana Abdullah dan Asyaari Muhamad, 2011).

2.3.2 FASA KEDUA
Fasa kedua perkembangan kerajaan Kedah Tua berlaku pada kurun ke-11
Masihi sehingga kurun ke-13 Masihi. Fasa kedua melibatkan perkembangan hebat
Pengkalan Bujang sebagai pelabuhan entrepot. Peranan Pengkalan Bujang dan
kawasan di sekitarnya tidak boleh disangkal lagi meskipun Sungai Mas berfungsi
sebagai pusat kerajaan. Pengkalan Bujang juga berfungsi sebagai pelabuhan
entrepot yang terkemuka. Hal ini disokong dengan penemuan candi yang dibina di
kiri dan kanan tebing Sungai Bujang sejak abad ke-5 Masihi berdasarkan jumpaan
inskripsi di Tapak 2 (Zuliskandar dan Nik Hassan Shuhaimi, 2012).
Penemuan cermin Dinasti Tang dan serpihan-serpihan seramik China zaman
Dinasti Sung dan Dinasti Yuan yang diberi pentarikhan pada abad ke-10 Masihi di
Pengkalan Bujang dapat menjadi bukti bahawa Pengkalan Bujang juga sebuah
pelabuhan entrepot yang penting bagi kerajaan Kedah Tua. Jumlah serpihan seramik
yang banyak menggambarkan Pengkalan Bujang merupakan pelabuhan yang sibuk
dan sarat dengan pedagang-pedagang semasa abad ke-10 Masihi (Nik Hassan
Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari
Muhamad, 2011). Selain itu, pengkaji sejarah juga menemui manik-manik dari India,
Timur Tengah dan tempatan serta kaca dari Timur Tengah. Alaistair Lamb (1966)
mengemukakan pendapat bahawa penemuan kaca dan bahan kaca yang dipercayai
berasal dari Timur Tengah dipercayai digunakan untuk menghasilkan manik kaca
monokrom yang banyak terdapat di Pengkalan Bujang. Menurut Othman Yatim
(1980), jumpaan ini menunjukkan bahawa Pengkalan Bujang telah menjadi tempat
pertemuan para pedagang bukan sahaja dari negeri China tetapi juga dari Timur
Tengah.
Antara penemuan yang menarik ialah penemuan alat-alat batu seperti
sumatralith, batu pelandas, hammerstone dan alat batu penetak pada lapisan paling
bawah (110-130 cm dari permukaan tanah). Melalui penemuan ini, dapatlah

7
disimpulkan bahawa masyarakat di Pengkalan Bujang telah berkembang maju dan
berevolusi daripada masyarakat prasejarah kepada masyarakat protosejarah
sehingga menjadikan Pengkalan Bujang sebagai pusat perkembangan ajaran agama
Hindu-Buddha dan pelabuhan entrepot yang maju (Zuliskandar Ramli, Nik Hassan
Shuhaimi, Adnan Jusoh dan Muhammad Rizal Razman, 2014).

2.4 ZAMAN KEMEROSOTAN
Pada penghujung kurun ke-13M, Kedah Tua mula berada pada ambang
kemerosotan. Hal ini dapat dibuktikan melalui kekurangan artifak yang dapat
dipertarikhkan pada zaman tersebut dan kewujudan lapisan stratigrafi kosong yang
terdiri daripada tanah mendapan aluvium di atas lapisan zaman Song-Yuan (Nasha
Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron & Zulkifli Jaafar, 2008). Lapisan
stratigrafi yang kosong ini memberi gambaran bahawa pelabuhan Kedah Tua mula
diabaikan selepas kurun ke-13M.

2.4.1 FAKTOR KEMEROSOTAN
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemerosotan Kedah Tua
terutamanya perubahan politik dan sosioekonomi pada kurun ke-13.

 Perubahan politik dan dasar perdagangan China
Pada awalnya, Dinasti Song Utara mengamalkan dasar state monopoly dan hal
ini dapat dilihat melalui tindakan pemerintah yang mengawal kegiatan perdagangan
dan mengenakan cukai terhadap barang dagangan. Dinasti Song juga mengamalkan
dasar ufti. Kawalan terhadap perdagangan dan dasar ufti ini menguntungkan
pelabuhan entrepot Srivijaya serta pelabuhan di pesisir Selat Melaka termasuklah
pelabuhan Kedah Tua (O.W. Wolters, 1990). Dinasti Song Utara juga mengawal
perdagangan antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan melalui kewujudan jawatan
Inspector of Foreign yang ditugaskan untuk mengawal perdagangan di setiap
pelabuhan utama di China (C. P. Fitzgerald, 1961).
Perubahan politik dan dasar perdagangan China bermula pada penghujung
kurun ke-12 apabila Dinasti Song Utara menghadapi masalah dengan puak-puak
nomad yang terdiri daripada puak Khitan (Dinasti Liao), puak Tongut (Dinasti Hsia)
dan puak Juchen (Dinasti Chin) (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji
Masron dan Zulkifli Jaafar, 2008). Pada tahun 1125, Dinasti Chin berjaya
menjatuhkan tiga dinasti yang lain dan menyebabkan waris-waris Dinasti Song
berundur ke Selatan China kemudian mengasaskan Kerajaan Song Selatan.
Ancaman berterusan daripada puak nomad menyebabkan dasar ufti mula diabaikan.

8
Menurut Ann Paludan (), pada tahun 1178, Maharaja Sung Hsiao Tung (1163-1190)
tidak membenarkan ufti dihantar ke istana tetapi terus dihantar ke Fukien seperti
yang dicatatkan oleh Ma Tuan Lin. Sehubungan dengan perubahan dasar ini,
bermula pada awal hingga hujung kurun ke-13, kapal-kapal dagang dari nusantara
mula berdagang terus dengan pusat pengeluaran barang dan tidak lagi berdagang di
pusat-pusat pengumpulan barangan.
Ketiadaan dasar perdagangan yang konsisten selepas kejatuhan Dinasti Song
Selatan kepada orang Mongol pada tahun 1280 menyebabkan kejatuhan
kebanyakan pelabuhan entrepot di nusantara termasuklah Kedah Tua. Hal ini adalah
kerana, kemakmuran pelabuhan entrepot bergantung kepada penguasaan
perdagangan atau peranannya sebagai penghubung antara pusat pengeluaran
komoditi dengan pembeli. Terdapat juga dasar Dinasti Mongol yang mengehadkan
penglibatan orang China dalam aktiviti perdagangan antarabangsa. Perubahan
politik China ini membawa kepada ketiadaan penemuan seramik zaman Ming yang
menunjukkan kemerosotan perdagangan di nusantara terutamanya Kedah Tua.

 Perkembangan pelabuhan Jawa
Secara umumnya, pelabuhan yang terletak pada laluan perdagangan akan
menjadi pelabuhan yang paling kerap dilawati dan akan meningkatkan hasil kutipan
cukai sekali gus membawa kepada kekayaan pelabuhan tersebut. Hal ini dapat
dibuktikan melalui kemakmuran pelabuhan-pelabuhan entrepot di pesisir Selat
Melaka yang diketahui merupakan laluan utama pedagang-pedagang antarabangsa.
Walau bagaimanapun, pada penghujung kurun ke-12, pelabuhan di Pulau Jawa
mula berkembang dan telah mengatasi kepentingan Melayu-Jambi. Hal ini seperti
yang dicatatkan dalam penulisan Chou-K'ii-Fei yang menyatakan bahawa
kepentingan pelabuhan ShO-Po [Jawa] telah mendahului kepentingan pelabuhan
San-Fo-Tsi [Suvarnadvipa, Melayu-Jambi]. (K. A. Nilakantha Sastri). Perkembangan
pelabuhan di Jawa bermula selepas perpindahan pusat kerajaan Mataram ke Jawa
Timur dan berkesinambungan sehingga ke zaman kerajaan Majapahit pada
penghujung kurun ke-13. Perkembangan pelabuhan di Pulau Jawa berkemungkinan
menjadi antara faktor kemerosoton Kedah Tua.
Pada zaman awal perkembangan pelabuhan Jawa, empayar Srivijaya masih
mampu menghalang pelabuhan Jawa Timur daripada menjadi saingan kepada
pelabuhan-pelabuhannya di Selat Melaka kerana empayar Srivijaya masih
mempunyai kuasa di perairan Asia Tenggara. Perkembangan kepentingan pelabuhan
maritim Jawa Timur dibuktikan melalui konflik antara Raja Dharmawangsa Teguh
dengan Melayu-Jambi pada tahun 997M (Boechari, 1976). Namun, pelabuhan Jawa

9
Timur masih belum dapat mengatasi kepentingan pelabuhan Srivijaya sehingga
kurun ke-12.
Konflik politik yang berlaku dalam kerajaan Mataram menyebabkan Raja
Airlangga membahagikan kerajaan Mataram kepada dua iaitu kerajaan Panglaju dan
kerajaan Janggala (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan
Zulkifli Jaafar. 2008). Pembahagian kerajaan ini kurang membawa kesan kepada
perdagangan di Jawa kerana kekayaan hasil bumi Jawa telah menarik perhatian
pedagang-pedagang asing dan menyebabkan kegiatan perdagangan maritim tetap
berkembang di sana. Menurut Boechari (1976), pelabuhan di Pulau Jawa dikatakan
pernah dilawati oleh para pedagang antarabangsa seperti Champa, Khmer, Burma,
Sri Lanka dan India semasa pemerintahan Raja Kamesvara. Hal ini membuktikan
peranan Pelabuhan Jawa sebagai pelabuhan entrepot pada masa itu. Kemakmuran
Jawa juga adalah selari dengan kemerosotan kerajaan Srivijaya (Wolters, O.W.,
1990).
Dasar perdagangan yang diamalkan oleh Srivijaya juga menjadi lebih agresif
pada kurun ke-13. Sebagai contohnya, Srivijaya akan menyerang kapal-kapal yang
tidak singgah di pelabuhannya. Kegiatan perlanunan yang berleluasa di Karimata
dan Bentan berpunca disebabkan kegiatan Datu-Datu orang laut yang bebas
merompak kapal dagang yang melalui perairan Selat Melaka juga turut mengkucar-
kacirkan perdagangan di Selat Melaka (Wolters, O.W., 1990). Hal ini jelas
menunjukkan mereka tidak lagi terikat atau menghormati dasar perdagangan yang
diamalkan oleh Srivijaya dan keadaan ini menyebabkan pedagang-pedagang luar
mula hilang sabar. Pedagang mula berusaha untuk mencari pelabuhan lain dan
kemudiannya memilih pelabuhan Jawa yang menggunakan dasar perdagangan yang
tidak bersifat menindas pedagang sebagai alternatif kepada pedagang-pedagang
antarabangsa untuk mengelak daripada perairan Srivijaya. Kekayaan hasil bumi
Jawa juga berkemungkinan telah meningkatkan jumlah pedagang di Pelabuhan
Jawa dan secara tidak langsung membawa kepada penurunan jumlah pedagang di
pelabuhan entrepot Srivijaya iaitu Kedah Tua.

 Kebangkitan Majapahit
Pada pertengahan kurun ke-14, terdapat pelbagai perubahan politik yang ketara
seperti berlakunya kebangkitan kuasa Ayutthaya, kebangkitan kuasa Majapahit,
kejatuhan kuasa Angkor dan pertumbuhan kerajaan-kerajaan Islam di Sumatera
Utara. (George Coedes, ). Perubahan ini telah melenyapkan struktur sosiopolitik dan
ekonomi yang pernah wujud sejak zaman proto sejarah lagi.

10
Kedah Tua yang diapit oleh kuasa Angkor-Champa di Utara, Jawa di Selatan,
China di Timur dan India di Barat telah menerima kesan yang amat mendalam akibat
daripada perubahan-perubahan yang berlaku tersebut. Peranan Kedah sebagai
sebuah pusat entrepot mula hilang apabila tiada seramik-seramik dan artifak-artifak
yang dapat dipertarikhkan pada zaman Ming (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin
Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar. 2008). Menurut Ann Paludan (), Dinasti
Ming merupakan kuasa yang menggantikan Dinasti Mongol di Tanah Besar China.
Penulisan Nagarakretagama menceritakan tentang bermulanya penguasaan
Majapahit di nusantara telah menyenaraikan Kedah Tua sebagai jajahannya
(Siametmujiana, 1976). Pada kurun ke-14, Majapahit yang memulakan dasar
peluasan kuasa yang lebih agresif. Walau bagaimanapun, peluasan kerajaan Agraris
yang kurang memberi perhatian terhadap perdagangan Kedah Tua berkemungkinan
menyebabkan tiada usaha dilakukan untuk menghidupkannya semula. Perluasan
kuasa Majapahit sehingga ke Selatan Thai kadangkala bertindih dengan kawasan
naungan Thai membawa kepada ketidaktentuan politik di pesisiran Selat Melaka
(Paul Wheatley, 1961). Hal sebegini sememangnya mendatangkan kesan negatif
terhadap perdagangan pada masa itu. Kejatuhan Dinasti Mongol dan kebangkitan
Dinasti Ming pada pertengahan kurun ke-14 dilihat sebagai zaman transisi dalam
pembabakan sejarah Asia Tenggara kerana zaman ini memperlihatkan kejatuhan
pelabuhan-pelabuhan tradisional di pesisiran Selat Melaka dan kebangkitan
pelabuhan-pelabuhan yang baru.

RUMUSAN
Pelbagai sumber dan catatan sama ada catatan asing, catatan tempatan atau
tinggalan arkeologi yang telah mencatatkan sejarah kerajaan Kedah Tua. Melalui
peninggalan ini, dapatlah disimpulkan bahawa kerajaan Kedah Tua telah menerima
pelbagai bentuk kebudayaan dan pengaruh agama dari luar sama ada Buddha,
Hindu mahupun Islam.
Penemuan pelbagai jenis peninggalan yang berharga seperti seramik China juga
jelas menggambarkan bahawa pelabuhan di Kedah Tua pernah menjadi pelabuhan
entrepot sebelum mengalami kemerosotan pada penghujung kurun ke-13 dan
kemudian kegemilangan orang Melayu disambung dengan kegemilangan Kesultanan
Melayu Melaka.
Secara kesimpulannya, kemerosotan Kedah Tua perlu menjadi iktibar supaya
kita tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa yang akan datang.
Kegemilangan kerajaan Kedah Tua pula perlulah sentiasa menjadi pembakar

11
semangat dalam diri kita untuk sentiasa berusaha memajukan Malaysia seperti
kemajuan Kedah Tua agar nama Malaysia harum di persada dunia.

12