You are on page 1of 3

PERANAN GURU BIASA SEBAGAI KAUNSELOR

Proses bimbingan dan kaunseling di peringkat sekolah bukan hanya digalas oleh guru
kaunseling sahaja namun semua pihak termasuk guru biasa juga terlibat secara langsung
dalam proses bimbingan dan kaunseling pelajar. Selain itu, bukan semua sekolah yang
mempunyai seorang guru kaunselor dalam sistem persekolahan. Justeru, kadang-kadang guru
biasa juga menjalankan fungsi-fungsi sebagai guru bimbingan dan seorang kaunselor.
Peranan guru-guru biasa adalah sangat penting kerana mereka mengenali murid-murid dalam
bilik darjah dengan baik dan dapat membekalkan maklumat yang berkaitan dengan tingkah
laku bermasalah semua murid-murid mereka. Menurut A. Ghani Abdullah dan Abd. Rahman
Abd. Aziz (2009), guru perlu mempunyai sikap dan keperibadian sebagai kaunselor ataupun
pembimbing kepada para pelajar memandangkan gurulah yang memainkan peranan yang
besar dan penting alam membentuk pelajar yang baik dan berketerampilan. Oleh itu, guru
tidak boleh mengelakkan peranan sebagai kaunselor atau pembimbing kepada pelajar, bukan
sahaja dalam mata pelajaran yang diajarnya, malah juga dalam menangani cabaran dan
masalah harian yang dihadapinya.

Gambar Hiasan

Antara peranan guru biasa sebagai kaunselor atau pembimbing ialah membantu dan
membimbing pelajar mengatasi masalah yang dihadapi seperti masalah berkaitan dengan
pembelajaran, sosioekonomi dan keluarga. Sebagai contoh, guru membimbing sekumpulan
pelajar melaksanakan tugasan yang diberi sukar seperti latihan matematik dan akan
memudahkan pelajar memahami dan menyelesaikan latihan tersebut. Dalam masalah sosial
emosi seperti kecewa, bosan, dan sebagainya, guru perlu membimbing pelajar-pelajar
berkenaan supaya dapat membina keyakinan diri semula dan menyertai aktiviti pembelajaran
secara aktif. Terdapat juga sesetengah kes pelajar menghadapi masalah keluarga seperti
perceraian. Dalam hal ini, peranan guru diperlukan untuk menasihati dan berbincang dengan
pelajar untuk mencari punca berlakunya masalah keluarga. Guru juga boleh membimbing
pelajar sekiranya pelajar tidak mampu menyelesaikan masalah sendiri. Dalam konteks ini,
guru harus peka dan mengambil berat tentang setiap pergerakan dan tingkah laku pelajar.
Sekiranya mendapati muri-murid menghadapi masalah, guru perlu membimbing mencari cara
menyelesaikan maslah secara positif supaya masalah disiplin bilik darjah tidak wujud seperti
tidak menumpukan perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan, tidur dan
sebagainya.

Selain itu, peranan guru biasa sebagai kaunselor adalah membantu mengembangkan
kebolehan pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar di sekolah mempunyai tahap
kebolehan yang berlainan sama ada pelajar pintar, sederhana dan lemah. Menurut Ramlah
Jantan dan Mahami Razali ( 2002 ) telah membahagikan aspek-aspek perbezaan individu
kepada sebelas aspek yang berlainan, iaitu fizikal, emosi, kecerdasan, sosial, budaya ,
personaliti, bakat, minat, latar belakang dan lain-lain. Justeru, guru memainkan peranan
dalam membimbing dengan menyediakan pelbagai aktiviti pengayaan untuk mencabar
pemikiran mental mereka. Hal ini akan menggalakkan pelajar lebih terlibat secara aktif dalam
pembelajaran. Dalam konteks ini, guru haruslah memberi peluang kepada murid-murid yang
lebih lemah untuk melibatkan diri dalam pengajaran dan pembelajaran supaya mereka berasa
disayangi dan akan melibatkan diri secara aktif semasa pengajaran dijalankan. Di dalam
kelas, guru boleh menggunakan teknik atau kaeah menyoal, teknik peneguhan, serta memberi
dorongan kepada para pelajar supaya kebolehan dapat dikembangkan. Kebolehan murid
mestilah dikembangkan dengan seimbang dari semua aspek iaitu jasmani, rohani, emosi,
intelek dan sosial.
Di samping itu, peranan guru biasa sebagai kaunselor ialah menolong pelajar
membuat penyesuaian. Dalam hal ini, guru biasa membantu pelajar-pelajarnya menyesuaikan
diri dalam pelbagai aspek seperti fizikal, mental, emosi, persekitaran dan sebagainya.
Penyesuaian ini berlaku secara langsung atau tidak langsung sama ada di dalam bilik darjah
atau di luar bilik darjah. Hal ini demikian kerana supaya pelajar dapat menyesuaikan diri
dengan persekitaran baru dan situasi baru yang mereka hadapi. Hal ini disebabkan semua
pelajar mempunyai latar belakang yang berbeza sama ada dari segi budaya, agama, kaum
dan keluarga. Justeru, guru perlu memainkan peranan dalam membimbing pelajar dengan
membiasakan mereka menghadapi situasi sebenar dengan memberi nasihat, motivasi serta
kata-kata yang boleh meningkat semangat pelajar. Dalam konteks ini, guru perlu lebih
memahami pelajarnya melalui pemerhatian yang dilakukan terhadap sikap dan keadaan
pelajar-pelajar di dalam bilik darjah. Jika terdapat pelajar yang kelihatan murung, guru perlu
mengambil tindakan dengan mengadakan perjumpaan dengan pelajar tersebut dan mengambil
langkah-langkah yang sesuai.

Peranan guru biasa sebagai kaunselor seterusnya membimbing pelajar membuat


keputusan. Pengalaman yang dimiliki oleh guru berbanding dengan pelajar membolehkan
guru lebih bijak dalam membuat sesuatu keputusan. Justeru, guru perlu membimbing murid
untuk membuat keputusan yang bijaksana dan rasional dalam pelbagai situasinya dalam
kehidupan mereka supaya mereka tidak kehilangan jalan dalam kehidupan. Dalam konteks
ini, guru hanya memberi cadangan kepada murid, tetapi hak untuk membuat keputusan
adalah berada di tangan pelajar tersebut. Selain itu, guru juga perlu memastikan keputusan
yang dibuat oleh murid adalah berpandukan nilai-nilai moral, agama, terminal dan juga
instrumental. Hal Ini disebabkan nilai-nilai adalah penting dalam memberikan panduan dalam
kehidupan manusia. Guru-guru biasa juga boleh membantu murid-murid untuk memilih mata
pelajaran -mata pelajaran yang mereka ingin belajar dan berkomunikasi dengan mereka
secara kerap untuk berfikir tentang bidang-bidang kerjaya yang mereka akan ceburi pada
masa depan kelak.

Seterusnya, peranan guru biasa sebagai seorang kaunselor ialah membentuk tabiat
kerja murid. Pembentukan tabiat positif mampu memberi kesan yang positif ke arah
peningkatan prestasi dalam pembelajaran. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah
seperti positif terhadap kesukaran yang dihadapi, peka terhadap masa, yakin terhadap
kebolehan diri, berani mencuba untuk kebaikan dan lain-lain lagi. Pembentukan tabiat positif
ini haruslah diberi penekanan oleh guru di awal tahun lagi agar segala masalah dapat
dibendung dan dapat dijadikan sebagai iktibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya
menguji kita dalam usaha mencapai kejayaan.

Oleh itu, dapat dirumuskan guru biasa juga mempunyai peranan yang hampir sama
dengan seorang kaunseling iaitu sikap pembimbing. Sememangnya sifat pembimbing ini
dimiliki oleh seorang dalam membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Guru biasa juga harus memiliki kemahiran-kemahiran dalam proses membimbing agar dapat
menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar dan memudahkan pelajar dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.