You are on page 1of 12

Sekolah Bestari : Konsep dan Harapan Perubahan terhadap Guru, Pelajar

dan Pentadbir

Rohana Bt Baharim1
Mohd Tahir Bin Ismail2
Mariani Bt Mohd Nor3
Sek. Men. Keb. Taman Pasir Putih1
Sek. Men. Keb. Munsyi Abdullah2
Universiti Tun Abdul Razak ( Pusat Wilayah Johor Bahru )3

(Sub tema: ICT dalam pendidikan guru)

Sekolah Bestari yang telah diperkenalkan pada tahun 1997 merupakan


satu perubahan yang besar dalam arus pendidikan di negara kita. Kertas
kerja ini adalah untuk membincangkan tentang konsep dan harapan
terhadap guru, pelajar dan pentadbir didalam perlaksanaannya. Dalam
proses pembestarian sekolah, beberapa mekanisme dan prinsip-prinsip
telah dikenalpasti dalam memastikan agenda penubuhan sekolah bestari
ini berjalan lancar. Harapan perubahan yang akan dibincangkan adalah
perubahan yang dilihat sebelum kewujudan sekolah bestari dan selepas
kewujudan sekolah bestari. Antara perubahan yang berlaku terhadap guru
dan pelajar semasa pembestarian sekolah adalah seperti perubahan
terhadap budaya pembelajaran dimana pelajar bertanggungjawab
terhadap pempelajaran mereka (self-directed), perubahan peranan guru
sebagai fasilitator, perubahan terhadap keperluan guru keatas kemahiran
ICT dan kemahiran kendiri. Manakala perubahan yang berlaku keatas
pihak pentadbir pula adalah pemahaman pengetua terhadap menyediakan
keupayaan ICT seterusnya dapat menyediakan latihan dan pembangunan
yang secukupnya kepada guru dan kakitangan lain yang terlibat .
Perubahan didalam bidang pentadbiran lebih menjurus kearah
perlaksanaan polisi serta hubungan diantara pihak yang mempunyai
kepentingan perlaksanaan sekolah bestari.

Abstract

Smart School which was introduced in the year 1997 is a big change in
the field of education of our country. This paper will be discussing the
concept of smart school and how the implementation is carried out, as
well as the expected changes from teachers, students and management
team towards the implementation. During the process a number of
mechanism and principle have been identified to ensure the smooth
sailing of this agenda. The expected changes will be looked at in
comparison between before and after the existance of smart school.
Among the significant changes that can be seen on teachers and students
are the learning cultures in which students are responsible towards their
learning ( self-directed), the role of teachers as fasilitator and the needs of
teachers to master ICT skills. Likewise on the management team, the
changes involve understanding on the principals part towards preparing

Muka surat 1/12


ICT facilities as well as sufficient training and development for teachers and
staffs. The changes are more towards the policy and the relation amongst
stakeholder in the Smart School implementation.

Pengenalan

Sejak mencapai kemerdekaan, negara kita telah mengalami perubahan yang


pesat dalam sistem pendidikannya. Bagi meningkatkan mutu pendidikan, dasar - dasar
pendidikan negara sentiasa dikaji dan kurikulum diperkemaskan bagi memastikan
keberkesanan perlaksanaannya dalam menghadapi alaf baru yang timbul dalam bidang
ekonomi, politik dan sosial selaras dengan perkembangan pesat yang sedang berlaku
dalam negara. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai matlamat Wawasan 2020,
iaitu memerlukan pertumbuhan produktif yang dapat dicapai melalui kepakaran
teknologi, tenaga kerja yang mampu berfikir secara kritis, inovatif dan kreatif serta
bersedia untuk turut serta dalam ekonomi globalisasi.

Di samping itu, falsafah pendidikan negara berhasrat untuk membentuk


perkembangan potensi individu secara holistik dan bersepadu supaya dapat
menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani. Pemangkin ke arah pengubahsuaian ini kerajaan telah mewujudkan Sekolah
Bestari yang lengkap dengan teknologi terkini bagi memperbaiki sistem pendidikan
negara di samping menyediakan tenaga kerja mahir bagi menghadapi cabaran alaf baru

Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara
menyeluruh dari segi amalan pengajaran, pembelajaran, pengurusan sekolah untuk
menyediakan pelajar bagi Zaman Maklumat. Sekolah Bestari berkembang dengan
pembentukan staf yang profesional, sumber yang bertambah dan pentadbiran yang
cekap. Ini membolehkan sekolah menyesuaikan diri dengan keadaan yang kian berubah.

Kurikulum Sekolah Bestari dirancang supaya bermakna, mempunyai


tanggungjawab sosial, reflektif, holistik, global, terbuka berdasarkan matlamat. Ia
menggalakkan pembelajaran holistik, membenarkan kanak - kanak maju mengikut
tahap pencapaian masing - masing dan mengambilkira keupayaan,. minat dan keperluan
pelajar yang berbeza-beza. Kanak - kanak dididik dengan kemahiran berfikir secara
kritis dan kreatif, disemai denngan nilai murni dan digalakkan meningkatkan kefasihan
berbahasa. Kurikulum Sekolah Bestari dibentuk untuk :

a) Membantu pelajar mencapai perkembangan yang seimbang;


b) Menyepadukan pengetahuan, kemahiran, nilai dan penggunaan bahasa
yang betul
c) Menyatakan secara eksplisit hasil pembelajaran yang dikehendaki bagi tahap
keupayaan yang berbeza;menawarkan pembelajaran multi
disiplinari,bertema dan berterusan:
d) Memupuk pengetahuan,kemahiran dan sikap yang sesuai untuk berjaya
dalam Zaman Maklumat.
e) Memupuk pengetahuan,kemahiran dan sikap yang sesuai untuk berjaya
dalam Zaman Maklumat.

Muka surat 2/12


Konsep Sekolah Bestari

Sekolah bestari ialah sekolah yang dapat menyediakan pelbagai peluang untuk
perkembangan pengajaran dan pembelajaran murid-murid. Sekolah bestari merupakan
sekolah yang dilengkapi dengan segala keperluan termasuk saluran pengajaran seperti
komputer dan kemudahan internet yang boleh digunakan oleh guru-guru untuk tujuan
pengajaran. Kaedah ini bukan sahaja dapat melicinkan dan memaksimakan
perkembangan pembelajaran dari segi kemahiran pemikiran yang tinggi, tetapi
kepelbagaian kebijakasanaan dalam mata pelajaran yang dipelajari (Hamizer,1997).

Sekolah bestari tidak membawa makna sekolah untuk pelajar bestari atau pintar
tetapi merupakan cara yang bestari bagi menjamin setiap pelajar cerdik atau lemah,
kaya atau miskin mencapai potensi sepenuhnya mengikut kadar dan gaya pembelajaran
yang paling sesuai denganya.(Abdul Rashid & Siti Rahayah, 2001). Sekolah bestari
dalam bahasa Inggeris smart school dalam kata yang sebenarnya ialah suatu tempat di
mana guru-guru dan murid-murid bekerja atau menjalankan aktiviti pembelajaran
dengan melibatkan pemikiran yang menyeluruh.Ia melibatkan pelbagai teknik dan
kaedah, mungkin juga melibatkan tugasan yang terbuka, perbincangan,kolaborasi rakan
sejawat serta perbahasan dan sebagainya.(Perkins,1992).

Manakala menurut Fiske (1991), sekolah bestari adalah berorientasikan


pembelajaran bukan pengajaran. Cara sekolah bestari beroperasi adalah berdasarkan
hubungan bahawa guru sebagai jurulatih (coach), pelajar adalah pekerja. Penekanan
beralih dari pengajaran kepada pembelajaran.Pendidikan dikatakan telah berlaku
apabila berlaku proses pemikiran di kalangan pelajar. Menurut Dr. Nor Hayati (2003),
sekolah bestari bukan merujuk kepada pelajar yang paling bijaksana tetapi ia merujuk
kepada cara yang paling bijak bagi memastikan setiap anak diberi peluang yang sama
bagi mencapai potensi diri. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menitikberatkan
perkembangan diri dipilih menjadi asas model sekolah bestari.

Pada tahun 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubal konsep


Sekolah Bestari berpusatkan pengajaran dan pembelajaran berfikiran kreatif dan kritis.
Teknologi sebagai pengupaya menjadi komponen penting dalam konsep sekolah
bestari. Sekolah bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara
menyeluruh dari segi pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk
membantu pelajar menghadapi cabaran zaman maklumat. Sekolah bestari mewakili satu
penciptaan semula persekitaran pembelajaran dan pengajaran, sistem pentadbiran
sekolah, proses sekolah dan lain-lain. Teknologi baru juga digunakan bagi
membolehkan transformasi sekolah biasa kepada sekolah bestari dapat dilakukan.

Prinsip-prinsip Pembestarian Sekolah

Terdapat beberapa prinsip untuk pembestarian sekolah (Mohammed Sani & Mohd
Jasmy, 2003):

(i) Membina Kebolehan Pelajar Dalam ICT


Kita perlu membina pelajar yang mampu menggunakan ICT. Dapatan-dapatan kajian
menunjukkan bahawa:

Muka surat 3/12


Pelajar-pelajar mampu meningkatkan kemampuan mereka dalam ICT
daripada sumber-sumber luar termasuk di rumah. Pelajar-pelajar yang tidak
mempunyai akses kepada ICT di rumah akan ketinggalan
Bukan semua guru mampu mengajar secara bestari jika tidak dilatih secara
berterusan. Oleh itu ada pelajar yang mampu mengaplikasikan ilmu ICT
sementara yang lainnya tidak
Pelajar-pelajar akan mendapat lebih manfaat melalui pengajaran bestari yang
berstruktur. Guru-guru perlu mampu menguruskan kelas-kelas bestari dengan
bijak.
Tugas-tugas yang diberi kepada pelajar perlu dirancang agar pelajar mampu
berfikir untuk menyelesaikan masalah-masalah dalam aplikasi dan membuat
keputusan serta menguasai ketrampilan-ketrampilan baru yang beraras tinggi.

(ii) Membina Kebolehan Guru-guru Dalam ICT

Jika sekolah hendak mempertingkatkan kualiti ilmu dan ketrampilan pelajar dalam
ICT, ianya perlu dilaksanakan melalui kerja guru dan lain-lain staf yang menyokong
tahap pembelajaran yang hendak dicapai.

Sektor Pendidikan di negara ini dijangka mempunyai jumlah tenaga pengajar


berkemahiran yang mencukupi apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil
inisiatif untuk melatih 100,000 lagi guru dalam bidang teknologi maklumat (IT)
(Khairul Anuar, 2002). Oleh itu, pengetua-pengetua perlulah berfikiran terbuka untuk
melepaskan guru-guru menghadiri kursus-kursus dalam perkhidmatan untuk
membolehkan mereka menguasai ilmu dan kemahiranICT.

(iii) Membina Kebolehan Kelas Dalan ICT

Sesebuah kelas yang berkebolehan dalam ICT adalah merupakan satu kombinasi
yang terdiri daripada :-
Guru-guru yang bersedia untuk menggunakan teknologi sebagai model kepada
pelajar-pelajar.
Pelajar-pelajar yang terpaksa menggunakan ICT yang mereka merasai bahawa
penggunaan ICT banyak memberi manfaat kepada diri masing-masing
Sumber yang mudah didapati sama ada di dalam kepas atau di sudut yang
berdekatan.
Guru-guru dikehendaki menghubung aktiviti-aktiviti yang dijalankan di bilik-bilik
komputer dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di bilik-bilik mata pelajaran.

(iv) Membina Kebolehan Guru-guru Mata Pelajaran Dalam ICT

Peranan Ketua-ketua Bidang adalah penting untuk membina sepasukan guru dalam
penggunaan ICT di bilik-bilik darjah. Guru-guru seharusnya mampu menggunakan ICT
dalam menganalisis data yang berkaitan dengan pencapaian pelajar-pelajar. Ketua-ketua
Bidang perlu menyediakan rancangan persediaan mengajar yang meliputi penggunaan
ICT dalam pengajaran dan pembelajaran untuk disebarkan kepada guru-guru yang
berkenaan di bawah pentadbiran masing-masing. Mereka juga perlu bekerjasama
dengan kordinator-kordinator ICT untuk menghasilkan bahan-bahan ini.

Muka surat 4/12


(v) Membina Kebolehan Kordinator ICT

Seseorang kordinator ICT di sebuah sekolah seharusnya mempunyai pemahaman


yang tinggi terhadap konsep asas ICT dan berketrampilan di aras yang tinggi. Mereka
juga perlu bekerjasama dengan guru-guru lain yang mempunyai stail pengajaran yang
pelbagai. Fokus terhadap pelbelajaran pelajar akan menggerakkan kordinasi dalam
pengajaran, kurikulum dan sumber, dan akan merupakan aspek nasihat yang perlu
diberikan kepada pihak pengetua tentang penggubalan polisi sumber.

Kordinator ICT perlu jelas tentang arahan-arahan daripada Kementerian Pelajaran


Malaysia, tetapi dalam melaksanakannya di peringkat sekolah, kordinator ICT perlu
menguasai segala prosedur mengikut kemampuan guru-guru untuk melaksanakannya
dengan berkesan. Mereka juga boleh bertindak sebagai pengurus sumber ICT. Mereka
akan menggunakan internet untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan di sekolah untuk
mendapatkan idea-idea baru tentang perkembangan teknologi dan pengajaran
menggunakan ICT dan juga untuk memenuhi keperluan perkembangan staf guru-guru.

(vi) Membina Tahap Kebolehan Pengurusan ICT

Kordinator-kordinator ICT semenangnya memerlukan sokongan dan kepimpinan


pengetua dan guru-guru kanan. Pengetua-pengetua dan guru-guru kanan sekolah boleh
menyokong kordinator-kordinator ICT di sekolah masing-masing secara langsung
melalui
Menentukan visi dan dorongan
Menyemak semula polisi
Perancang sumber dan penentuan peruntukan
Perancangan program perkembangan staf
Pemantauan dan penilaian
Menjadi model dalam penggunaan ICT

Pembestarian sekolah Anjakan paradigma profesion perguruan

Pendidikan pada era ini dan cabaran masa depan dapat dirasakan memerlukan
sekolah bestari sebagai wadah kearah pencapaian matlamatnya. Tanpa menghiraukan
kekangan yang wujud, sudah tiba masanya dan logik setiap sekolah di Negara ini ini,
dijelmakan menjadi sekolah bestari. Menurut Zailani Taslim (1998), pemikiran baru
dalam pendidikan, perkembangan teknologi dan ledakan maklumat memaksa kita
menyemak proses pengajaran dan pembelajaran (P & P), peranan guru, pelajar dan
kaedah menguruskan kurikulum sesuai dengan era itu. Begitu juga menurut (Bernama
2005), sekolah bestari diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu pelajar-pelajar
menghadapi cabaran di zaman maklumat ini. Kementerian kini dalam proses
mengkoordinasika pendekatan dan program-program ICT yang sedia ada di sekolah-
sekolah bagi membolehkan proses pembestarian semua sekolah menjadi satu kenyataan,
sambungnya lagi (Bernama 2005). Justeru itu suatu anjakan paradigma amat diperlukan
untuk merealisasikan falsafah pendidikan negara dalam pembestarian sekolah ini
supaya ianya menjadi kenyataan.

Muka surat 5/12


Usaha ini perlukan penglibatan oleh pelbagai pihak, samada pengetua,
guru-guru, kakitangan sekolah dan seluruh warga sekolah. Menurut Perdana
Menteri, Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya sempena hari buruh
(2002), setiap pekerja hendaklah memiliki kemahiran, kebolehan, kecenderungan untuk
berdaya saing serta keperibadian yang luhur dan bersedia menghadapi persekitaran
kerja dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar. Ucapan itu sejajar dengan konsep
bestari. Ia juga berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu pendidikan di
Malaysia adalah satu usaha yang berterusan kearah lebih memperkembangkan lagi
potensi individu secara holistic dan bersepadu untuk melahirkan individu yang
seimbang dan harmoni secara intelek, rohana, emosi dan jasmani berlandaskan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan
warganegara Malaysia yang berpengetahuan dan cekap, yang mempunyai nilai-nilai diri
tinggi, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.

Konsep sekolah bestari meletakkan ICT sebagai enabler atau alat pemboleh
dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) bestari dan pengurusan sekolah yang
cekap.Setiap guru mempunyai peranan yang sangat penting di Sekolah Bestari. Bagi P
& P Sekolah Bestari, kursus Bestari yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru
selama 14 minggu menyediakan setiap peserta kearah menguasai beberapa kemahiran
iaitu kemahiran pemudah cara, motivasi, membina nilai, bahasa, berfikir kritis dan
kreatif, teknologi maklumat , mentafsir dan menilai, dan juga kemahiran belajar (Berita
Harian Online 1998), strategi pembelajaran secara kumpulan ditekankan dalam
pelaksanaan KBSR dan KBSM. Penggunaan computer dan telekomunikasi semakin
rancak dalam P & P walaupun pada tahap perintis. Kelab computer yang ditubuhkan di
banyak sekolah semakin penting dan jelas peranannya. Begitu juga dengan pelaksanaan
jadual waktu anjal. Sekolah SMK Taman Pasir Putih, Pasir Gudang walaupun baru
berusia 4 tahun telah melaksanakan jadual waktu anjal selama 3 tahun berturut-turut.
Hasilnya, ia menunjukkan peningkatan yang baik.

Justeru itu, guru perlu berfikiran terbuka untuk menerima perubahan-


perubahan yang bakal dan akan dihadapi. Kerjasama antara guru, bekerja secara
berpasukan dan pengetahuan serta pemahaman yang mantap mengenai konsep Sekolah
Bestari adalah faktor yang amat penting dalam melaksanankan pembestarian sekolah.
Mungkin ada harapan sekolah-sekolah yang ingin mengambil inisiatifnya sendiri
kepada guru-guru yang tidak ke kursus supaya seiring dengan guru-guru yang ke
kursus. Namun, untuk menghayatinya adalah suatu yang bukan mudah seperti yang
dijangkakan. Malah ada sebahagian besar guru-guru yang telah menghadiri kursus
bestari bagi sekolah masing-masing telah berpindah dan tidak kekal lama di sekolah
mereka. Menurut Wan (2002), guru bertukar ganti dan akibatnya tiada penurunan ilmu
yang berterusan.

Jadi, untuk menentukan pembestarian sekolah, suatu anjakan paradigma amat


diperlukan supaya keseluruhan kakitangan sekolah perlu dibestarikan dan akhirnya
dapat mencapai matlamat Sekolah Bestari pada 2010.

Muka surat 6/12


Sekolah Bestari: perubahan terhadap guru dan pelajar

Sekolah bestari adalah merupakan satu perancangan kerajaan didalam


menaiktaraf institusi pengajaran yang dirancang secara sistematik dari segi proses
pengajaran dan pembelajaran selari dengan hasil perkembangan teknologi. Konsep
sekolah ini memerlukan komitmen dari semua pihak yang berkepentingan didalam
memastikan keberjayaannya. Oleh yang demikian perlaksanaan idea sekolah bestati
telah mewujudkan beberapa perubahan yang besar didalam sistem pendidikan negara
khususnya memperkayakan tugasan profesion perguruan samada dalam konteks
pembangunan terhadap para guru, pelajar mahupun terhadap sistem pengurusan dan
persekolahan. Pengkayaan yang dinyatakan juga boleh dilihat dari beberapa aspek
seperti:

Budaya pembelajaran

Objektif utama penubuhan sekolah bestari adalah untuk mengubah budaya


pendidikan kearah budaya berfikir, kreatif dan menyelesaikan masalah ( Ngor, Hoi ).
Perubahan budaya yang dimaksudkan ini memerlukan satu perubahan cara pemikiran
dari satu tahap ke tahap yang lain. Kewujudan sekolah bestari ini akan menjadikan para
guru menjadi lebih peka terhadap keperluan didalam memenuhi diri untuk menghadapi
perubahan ini. Para guru selepas pembestarian sekolah diharap dapat menyediakan diri
dengan lebih banyak kepakaran seperi celik IT, penguasaan ilmu yang mantap,
penguasaan komunikasi yang lengkap, bersifat lebih kreatif dan inovatif serta
mewujudkan penglibatan yang lebih kepada pelajar ( Ngor, Hoi ).

Budaya sekolah bestari bukan setakat menerapkan budaya berfikir malah


bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi maklumat dalam segala bentuk
tindakan untuk menjadikan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan (Ismail
Zain). Sistem pendidikan sebelum bestari telah menekankan keseragaman didalam
proses pembelajaran dimana pelajar menghadapai proses pembelajaran dengan tidak
melakukan banyak penglibatan didalam kelas. Namun konsep sekolah bestari telah
membuka era baru dengan menerapkan konsep demokrasi dimana pelajar lebih berhak
menentukan apakah yang dimahukan dalam proses pembelajaran dengan cara pemikiran
yang lebih menyeluruh dan menekankan tanggungjawab pelajar terhadap apa yang
dipelajarinya. Perubahan yang dimaksudkan ini juga secara langsung mengubah
daripada pembelajaran secara ingatan kearah pembelajaran yang boleh menjadi
pemangkin kearah berfikir, kreatif untuk memenuhi semua kebolehan dan gaya
pembelajaran.

Pelajar sebagai pembelajar aktif di Sekolah Bestari. Pembelajaran yang


berpusatkan budaya berfikir dengan memanfaatkan sumber ilmu oleh teknologi serta
menggunakannya secara menyeluruh dan bersepadu dalam berbagai situasi dapat
memupuk kemahiran penyelesaian masalah yang kreatif bagi menghadapi situasi baru.
Pelajar lebih bertindak dengan berani dalam membuat keputusan dan bertanggungjawab
terhadap keputusan tersebut Penjaringan melalui internet membolehkan interaksi wujud
di antara pelajar dan guru guru dalam membantu proses pembelajaran.

Muka surat 7/12


Guru sebagai fasilitator

Keberkesanan pendidikan dapat dilihat melalui peranan guru dan pelajar. (Ismail
Zain). Keberkesanan sistem pendidikan sekolah bestari amat berkait rapat dengan
peranan guru sebagai pembimbing atau fasilitator. Sekolah bestari boleh
dimengertikan sebagai satu usaha kearah mewujudkan suasana pembelajaran dan
persekolahan yang lebih efektif dimana guru adalah sebagai pembimbing untuk
menyampaikan pengajaran yang berkesan (Ismail Zain ) Jika dilihat peranan guru
sebagai penyampai didalam system pendidikan sebelum bestari, ( Ngor, Hoi)
mungkin tidak berjaya melahirkan pelajar yang berbudaya berfikir. Mengikut beliau
juga, peranan guru adalah untuk mewujudkan kelas yang bersifat interaksi
kolaboratif dikalangan pelajar.

Proses fasilitasi berlaku apabila ia dijalankan didalam kumpulan dimana peserta


digalakkan mengambil tanggungjawab didalam hasil pembelajarannya ( Van
Maurik, 1994). Beliau juga ada menerangkan beberapa peranan fasilitator yang
seakan memenuhi keperluan pembentukan system pendidikan sekolah bestari
seperti:

a) pertanyaan soalan yang dapat membantu kearah pencapaian jawapan yang betul
b) menyediakan jawapan yang menjurus ke arah pemikiran
c) mendengar kehendak kumpulan dan mengambil berat tentang perasaan
seterusnya melaksanakan tindakan yang sewajarnya
d) menyesuaikan diri dengan kumpulan dan mempunyai kuasa mengikut keperluan
untuk menyesuaikannya.

Dapat dilihat bahawa peranan guru telah semakin berkembang selari dengan
perlaksanaan sekolah bestari. Guru telah di gambarkan dengan keperluan menyediakan
diri sebagai fasilitator yang berjaya dan cemerlang yang dapat bertindak secara fleksibel
dan tepat terhadap kumpulan yang ditanganinya ( Van Maurik, 1994)

Persediaan menjadi fasilitatior yang efektif telah mengembangkan kemahiran


para guru untuk mempunyai kemahiran fasilitator yang efektif. Fasilitator yang efektif
dipercayai sebagai seorang yang mempuyai kemahiran-kemahiran tertentu seperti
kemahiran teknikal, kemahiran perundingan dan kemahiran antara perorangan dan
kelakuan ( Perry 1995). Kemahiran teknikal memerlukan seorang guru menguasai ilmu
dengan mahir ( Perry, 1995) untuk menjamin kredibilitinya didalam menangani pelajar
dan pembelajaran didalam kelas. Penguasaan ini adalah hasil kesinambungan kualiti
yang dihasilkan didalam diri seorang guru untuk mendalami dan memahirkan
matapelajaran yang diajar. Kualiti dapat dibentuk sekiranya para guru mempunyai
banyak pembacaan dan melakukan kajian. Kemahiran perundingan adalah pengetahuan
bagaimana menterjemahkan secara praktikal dan penyesuaian teknik bagaimana untuk
memenuhi keperluan tertentu dan kemahiran antara perorangan dan kelakuan merujuk
kepada kebolehan menerapkan kemahiran antara perorangan dan kelakuan mengikut
kesesuaian ( Perry, 1995).

Penekanan terhadap peranan guru sebagai fasilitator juga telah membuka ruang
untuk memahani bahawa proses pembelajaran adalah untuk memperbaiki kemahiran
pengurusan, kepimpinan dan motivasi ( Akinwunmi, 1995) didalam diri pelajar ketika

Muka surat 8/12


proses pembelajaran dilaksanakan. Melalui peranan ini dapat kita lihat
perhubungan diantara pekajar dan guru yang wujud dimana guru hanya sebagai
pembuka jalan terhadap sesuatu idea, dan pelajar adalah yang bertanggunjawab
meneruskan penerokaan terhadap pencarian maklumat tersebut.

Keperluan ICT didalam pembelajaran

Pelajar akan lebih cenderung untuk bermotivasi didalam proses pembelajaran


sekiranya mereka berasa proses tersebut tidak membosankan. Motivasi ini dapat
dicungkil dengan bantuan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif, inovatif dan
menarik daripada guru yang terlibat. Situasi ini sudah semestinya dapat diwujudkan
sekiranya guru dapat menyampaikan pengajaran dengan bantuan bahan dan media hasil
dari kepelbagaian perkembangan teknologi ( Ismail). Terdapatnya bantuan ICT didalam
pengajaran membolehkan guru-guru menjadi lebih kreatif dan mempelbagaikan cara
penyampaian untuk menarik minat pelajar untuk mendalami dan mengambil bahagian
didalam kelas.

Sejak tahun 2001, latihan demi latihan telah diberikan kepada guru dalam
membimbing mereka tentang bagaimana untuk mengendalikan kelas dan latihan tentang
bagaimana untuk menggunakan peralatan ICT (Utusan 2005). Perisian-perisian seperti
BestariEd yang dihasilkan oleh Kementerian Pelajaran memberi kemudahan kepada
guru untuk menyampaikan pengajaran kepada pelajar. Masa pendedahan murid-murid
dan guru terhadap penggunaan komputer juga akan dipertingkatkan ( Utusan Malaysia,
1995) dari masa ke semasa.

Komitmen kerajaan untuk memperkasakan kemahiran ICT guru-guru bestari


amat menggalakkan. Empat syarikat swasta iaitu Time Engineering, Microsoft Malaysia
, Prestariang Technology Sdn. Bhd, dan Intel Malaysia telah terlibat didalam memberi
latihan ICT kepada guru dan sama-sama berhasrat untuk memartabatkan profession
perguruan. Datuk Hishammudin juga telah menyatakan untuk memberi peluang kepada
guru inovatif ICT untuk meningkatkan pengetahuan dan rangkaian kerja mereka (
Utusan Malaysia, 2005).

Oleh yang demikian kepentingan ICT dan sekolah bestari seakan tidak dapat
dipisahkan untuk melahirkan para guru yang dapat mengintegrasikan aspek pedagogi,
psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu kearah melahirkan pelajar
yang berfikiran kritis dan kreatif ( Ismail ) . Teknologi juga dapat melahirkan guru yang
mempunyai penguasaan terhadap ilmu dan kemahiran ICT dan seterusnya dapat
membantu menjayakan proses pembelajaran.

Kemahiran kendiri dan komunikasi guru

Sistem pendidikan sebelum bestari mungkin dilihat tidak menekankan


komunikasi 2 hala dimana pada kebanyakan masa guru yang berupaya mendominasi
kelas ( Ngor, Hui). Sistem pendidikan bestari telah mengubah keperluan peranan guru
sebagai fasilitator yang juga telah memperlihatkan pentingnya kewujudan komunikasi 2
hala diantara pelajar dan guru-guru. Seperti mana yang telah dinyatakan bahawa pelajar
adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka dan seharusnya
mereka bertanggunjawab memastikan penyampai guru adalah difahami sepenuhnya.

Muka surat 9/12


Tuntutan komunikasi 2 hala ini secara langsung telah menambahkan
tanggunjawab guru untuk melengkapkan dan memperkayakan diri dengan
kemahiran-kemahiran komunikasi yang efektif seperti kemahiran mendengar, dan
kemahiran komunikasi antara perorangan. Guru juga harus melengkapkan diri dengan
kemahiran berfikir secara kreatif dan kritikal bagi menggalakkan kewujudan
komunikasi yang baik didalam kelas. Kemahiran guru berfikir secara kritikal akan dapat
menyediakan guru kearah menjadi seorang fasilitator yang efektif. Komunikasi yang
berkesan secara langsung dapat memastikan proses penyampai maklumat dapat
dijalankan dengan jayanya (Ngor, Hoi) seterusnya pelajar akan dapat memperolehi ilmu
dan mengaplikasinya.

Sistem sekolah bestari telah mengasah kebolehan para guru dalam teknologi dan
komunikasi ICT maklumat tanpa mengira latar belakang ( Marzita 2005). Mengikut
Vasantan salah seorang tokoh guru cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Sri
Aman, guru yang hanya bergantung kepada buku teks, tidak akan dapat menghasilkan
satu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Oleh yang demikian guru
bestari harus pandai menggunakan segala sumber yang ada bagi digunakan dalam
menarik minat pelajar seterusnya menjadikan value added kepada konsep pembestarian
sekolah ini.

Sistem sekolah bestari juga dipercayai mampu melahirkan guru bestari yang
mempunyai pengajaran dan pembelajaran yang dapat memotivasikan guru, tekun
bekerja, yakin, dan celik IT ( Marzita, 2005) . Motivasi boleh disemai apabila kita
melihat perlaksanaan sekolah bestari yang telah pun berjaya dibeberapa sekolah
diseluruh dunia. Sebagai contoh hasil kajian yang telah dijalankan di United Kingdom
telah menunjukkan kesungguhan para gurunya didalam menjayakan pembestarian
sekolah mereka dengan bantuan dari pelbagai pihak termasuk pengetua dan rakan
sekerja disamping hasil kemajuan teknologi ICT telah pun membuah kan hasil (Wan
2005).

Guru bestari yang mempunyai kemahiran menjadi pemimpin yang


konstruktivist (Ngor, Hoi) berfungsi sebagai pencetus idea manakala pelajar pula
berperanan sebagai yang berkuasa terhadap proses pemikiran seterusnya (Marzita,
2005).

Perubahan pengurusan proses integrasi peranan.

Pengurusan dan pentadbiran sekolah bestari merupakan penggerak atau otak


sekolah bestari adalah berbentuk elektronik. Pihak sekolah boleh mengaplikasikan
Model Pengurusan Perubahan Bahagian Pendidikan iaitu KASABestari bagi
merancang, melaksana dan menilai program perubahan.

Objektif utama pengurusan Sekolah Bestari ialah untuk mengurus sumber dan
proses dengan cekap dan berkesan bagi menyokong fungsi pengajaran dan pembelajarn.
Disamping itu, pengurusan sekolah bestari sering dikaitkan dengan peranan pengetua
didalam mengendalikan keperluan sekolah tersebut. Pengetua seharusnya terus berkuasa
dalam menentukan budaya dan pengurusan sesebuah sekolah ( Ngor, Hoi). Sokongan
pengetua didalam mengaplikasikan polisi-polisi yang membantu kearah membentuk
sekolah yang berkonsepkan bestari lebih ketara sekiranya pengetua memahami

Muka surat 10/12


keperluan sumbernya. Pengetua yang bestari dapat menilai keperluan latihan dan
pembangunan yang diperlukan oleh guru untuk memantapkan diri mereka dan
seterusnya mengubah polisi yang sepatutnya diubah. didalam sistem pendidikan bestari
ini. Selain guru , keperluan staf-staf sokongan sekolah juga harus diambil kira bagi
mempermudahan mereka mengadaptasi perkembangan teknologi dan keperluan kearah
pembestarian sekolah.

Disamping itu, penglibatan pihak yang berkenaan yang mempunyai kepentingan


kepada sistem pendidikan di Malaysia juga lebih berkembang. Para ibubapa, institusi-
institusi pendidikan dan pejabat-pejabat pendidikan dapat melahirkan idea dan saranan
yang bernas seterusnya mempercepatkan keberkesanan sistem sekolah bestari.
Komunikasi diantara pihak yang berkepentingan ini harus telus agar semua pihak sedar
dalam membantu perlaksanaan sistem ini. Selain dari itu, perhubungan antara sekolah
bestari dan agensi kerajaan dapat membantu meringankan keperluan memenuhi sumber-
sumber yang terhad yang mungkin dihadapi oleh pihak pengu

Kesimpulan

Kewujudan idea melahirkan sekolah bestari telah menjadi satu manifestasi


bagaimana seharusnya proses pengajaran dan pembelajaran diantara guru dan pelajar
dilaksanakan bagi melahirkan pelajar yang berdikari dan berfikiran kreatif dan berdaya
maju.

Pengurusan sekolah pula harus dilaksanakan dengan berlandaskan konsep


berfikir berasaskan teknologi dengan menggabungkan sumber manusia dan sumber
bukan manusia iaitu mesin. Perlaksanaan ini menerangkan tentang anjakan paradigma
yang perlu dilakukan oleh pihak yang telibat seperti guru dan para kakitangan sekolah.
Kelahiran sekolah bestari juga telah mendedahkan betapa pentingkan untuk guru
mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif disamping memahirkan diri didalam tugas
yang dipertanggungjawabkan.

Peranan pelajar bestari semakin berkembang dengan kebolehan mengakses


maklumat dan melaksanakan pembelajaran kendiri ( self-learning). Perubahan yang
berlaku keatas guru dan pelajar sahaja tidak akan dapat menjayakan perlaksanaan
sekolah bestari yang diidam-idamkan jika tidak mendapat sokongan daripada semua
pihak terutamanya pihak pengurusan sekolah..

Oleh yang demikian semua pihak didalam sistem pendidikan harus memainkan
peranan dan berhadapan dengan sebarang perubahan yang menjurus kearah menjayakan
hasrat kerajaan mewujudkan sekolah bestari didalam sistem pendidikan negara ini.

RUJUKAN

Abdul Rashid Johar & Siti Rahayah Ariffin.(2001). Isu Pengukuran dan Penilaian
Pendidikan. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muka surat 11/12


Akinwunmi, Peter ( 1995) Facilitating Psychological Skills: Technique is not
enough. Quality Assurance in Education Vol 3 No. 1 m.s 6-9

Fiske,Edward B.(1991).Smart School, Smart Kids. New York : Simon & Schuster

Hamizer Bin Mohd Sukor.(1997).Smarting Up For New Challenges Of Smart Schools.


Bestari Koleksi Johor.m/s12-21.

Ismail Zain. Pendidikan Bertaraf Dunia- Kearah Pembestarian dalam Proses Pengajaran
dan Pembelajaran. http://motivasiutusan.4mg.com/pendidikan_bertaraf_dunia.htm

Marzita Abdullah ( 14 Januari 2005). Sekolah Bestari: Inisiatif Guru Tentukan


Kejayaan.Utusan Malaysia Development Journal Vol 15 No 8 m.s 30-34

Mohammed Sani B. Hj Ibrahim. 2003. Pembestarian Sekolah Dalam Era Globalisasi:


Satu Pemikiran Baru Dalam Sistem Pendidikan Malaysia. Jurnal BTP. Siri 5. ISSN
1511-5925. m.s. 21-40.

Nor Hayati Binti Abd.Rashid & Chan Fong Mae.(2003).Applications Of The Smart
School Conceptual Model In Preschool Education. Journal BTP Siri 5.Dis
2003.m/s1-10.

Perkins,David.(1992).Smart Schools. Better Thingking and Learning For Every


Child.New York : The Free Press

Perry Lesli ( 1995) Effective Facilitator-a key element in successful continuous


Improvement Process. Training for Quality Vol 3 No. 4 m.s 9-14

Tan Kui Ngor, New Kuwi Hoi. Sekolah Bestari: Konsep dan Perlaksanaanya Dalam
Sistem Pendidikan Malaysia. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia

Wan, 2002. Pembestarian Sekolah- anjakan paradigma diperlukan . Utusan Online.


(http//www.utusan.com.my)

Zalina Yahaya.(8hb Julai 2002).Sekolah Bestari Konsepnya Banyak Kelebihan.Berita


Harian

13 Mei 2005. Sekolah Bestari-Komitmen kerajan diteruskan. Utusan Online


(http://www.utusan.com.my)

2 September 2005. Pembestarian Semua Perlu Buka Fikiran. Utusan Online.


(http//www.utusan.com.my)

1998. Apa Khabar sekolah Bestari. Berita Harian Online.

Muka surat 12/12