You are on page 1of 7

Sejarah Penubuhan Bank Islam

Sejarah penubuhan Bank Islam bermula sebelum Perang Dunia II lagi di mana umat
Islam di negara ini mula mencari sistem kewangan alternatif yang mematuhi kehendak
Syariah (perundangan Islam). Sehinggalah pada tahun 1969 Lembaga Urusan dan
Tabung Haji (Tabung Haji) ditubuhkan sebagai salah satu institusi kewangan Islam
yang pertama di negara ini, demi menggalakkan umat Islam membuat simpanan dan
pelaburan. Pada masa yang sama, ia juga membantu pendeposit untuk menunaikan
Haji.

Di peringkat antarabangsa, cadangan untuk menubuhkan sebuah sistem perbankan


Islam kian mendapat sambutan. Ia menjurus kepada penubuhan bank Islam pertama di
Dubai pada tahun 1975. Bank tersebut ditubuhkan berdasarkan hasil penyelidikan gigih
selama 15 tahun dan usaha bersama oleh pakar ekonomi profesional Islam, pembiaya
dan pegawai dari pelbagai organisasi Islam di dunia.

Penubuhan Bank Islam pada tahun 1983 adalah hasil dedikasi yang diilhamkan oleh
Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1980, diikuti dengan seminar mengenai
Konsep Pembangunan dalam Islam pada tahun 1981. Ia juga merupakan hasil usaha
sama Tabung Haji, PERKIM (pertubuhan bukan kerajaan yang komited untuk
memelihara kebajikan orang Islam di seluruh negara) dan Jawatankuasa Pemandu
Kebangsaan untuk bank Islam (Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan).

Bermula dengan 30 orang kakitangan, Bank Islam beroperasi di ibu pejabat sementara
di Kompleks Jemaah Haji, Subang pada tahun pertamanya. Pada akhir tahun kewangan
pertama, Bank Islam dengan 272 orang kakitangan menjalankan perniagaannya di
empat buah cawangan yang beroperasi di Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Kota
Bharu dan Alor Setar.

Melalui pengurusan pembangunan tanah Wakaf yang inovatif, hari ini ibu pejabat Bank
Islam bertempat di Menara Bank Islam yang terletak di tengah-tengah segitiga emas
Kuala Lumpur. Pada akhir tahun 2013, Bank Islam mempunyai 133 buah cawangan di
seluruh negara dengan tenaga kerja lebih daripada 4,200 orang kakitangan.

Penubuhan Bank Islam di Malaysia bukanlah satu manifestasi keangkuhan


orang Islam atau satu usaha simbolik untuk mempamerkan keislaman negara ini.
Penubuhan Bank Islam ini adalah satu usaha untuk meyakinkan bahawa
penerapan ajaran Islam ke dalam ekonomi negara ini tidak akan membawa
kemalangan. Untuk ini yang diperlukan bukan satu gesture atau simbol tetapi
satu usaha mewujud dan mengurus yang menentukan bank cara Islam boleh
memainkan peranannya dalam ekonomi yang moden.
Petikan ucapan oleh YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketika berkhidmat sebagai
Perdana Menteri Malaysia sempena pelancaran rasmi Bank Islam (1 Julai 1983)
1 Julai 1983 merupakan tarikh bersejarah di mana Bank Islam Malaysia Berhad atau
Bank Islam, telah ditubuhkan secara rasminya. Ia menandakan permulaan perbankan
Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia. Sebagai perintis di dalam
industri ini, Bank Islam telah menetapkan penanda aras bagi inovasi dengan
memperkenalkan beberapa produk dan perkhidmatan perbankan berasaskan Syariah.
Ia telah berkembang daripada sebuah organisasi perbankan yang menyediakan produk
dan perkhidmatan perbankan Islam kepada sebuah institusi yang menawarkan
penyelesaian kewangan yang komprehensif dan menyeluruh. Kini, Bank Islam
mengubah landskap ekonomi negara, memimpin dalam pembangunan Malaysia
sebagai salah satu hab kewangan Islam utama dunia.
Kini Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merupakan institusi perbankan
berasaskan Syariah pertama di Malaysia dan Asia Tenggara; dan telah memainkan
peranan utama dalam pembangunan industri perbankan Islam negara. Malah, Bank
telah memberi bantuan teknikal dalam penubuhan beberapa institusi Islam di rantau
Asia seperti Indonesia, Thailand dan Sri Lanka. Diperbadankan pada tahun 1983,
matlamat asal penubuhan Bank Islam adalah untuk membantu memenuhi keperluan
kewangan penduduk Islam di Malaysia. Sejak itu, Bank Islam telah mengembangkan
perkhidmatannya dengan lebih meluas kepada pengguna bukan Islam bagi memenuhi
prinsip Perbankan untuk Semua.
Kini, dengan lebih daripada 70 produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang inovatif
dan canggih, Bank Islam menawarkan pelbagai jenis penyelesaian kewangan patuh
Syariah kepada lebih daripada lima juta pelanggannya. Sebagai sebuah bank runcit
dengan perbankan pengguna mewakili lebih daripada 70% daripada jumlah
pembiayaan, senarai produk Bank Islam adalah pelbagai; dari pembiayaan tradisional,
simpanan dan penyelesaian pelaburan khusus untuk pelanggan individu, hinggalah ke
penyelesaian kewangan dan perbankan yang direka bagi memenuhi keperluan
kewangan pelanggan yang pantas berubah. Ini termasuklah yang berkaitan dengan
pembiayaan mikro, pengurusan kekayaan, pasaran modal, perbendaharaan dan produk
berstruktur. Kepelbagaian perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh Bank telah
lama wujud sejak awal penubuhannya apabila Bank bertindak sebagai pengatur utama
bagi terbitan Sukuk yang pertama di dunia sebanyak RM125 juta pada tahun 1990 oleh
Shell MDS Sdn. Bhd.
Dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggannya yang sentiasa berkembang, Bank
Islam kini mempunyai rangkaian perbankan Islam yang terluas di Malaysia dengan 145
cawangan dan lebih daripada 1000 terminal layan diri di seluruh negara.
Bank Islam, sebagai pelopor industri, percaya akan kepentingan inovasi dan telah
menghasilkan beberapa penyelesaian perbankan paling inovatif untuk pasaran. Status
perintis Bank Islam serta sokongan terhadap pembiayaan beretika dan
bertanggungjawab juga telah memberikannya kelebihan dengan mempunyai jenama
yang kukuh dan francais yang amat membezakannya daripada pesaing mewujudkan
imej sebagai bank Islam tulen yang telah dan akan terus menarik pelanggan setia yang
semakin meningkat. Di samping itu, Bank sentiasa komited terhadap tanggungjawab
sosial korporat, bukan hanya dengan menyumbang semula kepada masyarakat di mana
kami beroperasi malah kepada industri kewangan Islam secara keseluruhannya melalui
perkongsian pengetahuan serta menjadi sumber rujukan. Pada tahun-tahun
kebelakangan ini, Bank bukan sahaja telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari
segi prestasi kewangan tetapi mengguna pakai pengurusan risiko yang teguh bagi
memastikan pertumbuhan yang mapan.
Visi Bank Islam untuk menjadi Pemimpin Global dalam Perbankan Islam
menggambarkan komitmen Bank terhadap pengembangan jenama kewangan Islam
Malaysia di pasaran global. Dengan menitikberatkan budaya kecemerlangan
perkhidmatan, Bank Islam terus menawarkan hanya yang terbaik dan memenuhi
keperluan setiap pelanggan yang pelbagai serta berusaha untuk mengekalkan
statusnya sebagai simbol perbankan Islam di Malaysia.

You might also like