SI KURUS MENOLONG MEI LING

NO. PESERTA : NAMA PESERTA : S.SHREE RUTRAN

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang

arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang

akan saya sampaikan pada hari ini ialah Si Kurus Menolong Mei Ling.

Mei Ling anak seorang pekebun sayur. Dia selalu mengikut ibu dan ayahnya ke kebun.

Encik Chua rajin bekerja di kebun sayurnya. Puan Lim selalu membantu suaminya. Di

belakang kebun sayur itu terdapat sebatang anak sungai. Air sungai itu sungguh jernih.

Mei Ling sering pergi ke sungai itu untuk memancing. Mei Ling suka memancing di anak

sungai tersebut. Air sungai yang bersih menyebabkan banyak ikan terdapat di situ.

Di dalam kawasan kebun sayur ayah Mei Ling terdapat sebuah pondok. Setelah

penat bekerja, mereka sekeluarga berehat di pondok itu sambil menikmati juadah yang

dibawa dari rumah. Udara di situ nyaman dan angin bertiup sepoi-sepoi Bahasa.

Keadaan itu menyebabkan mereka makan dengan selera. Setiap kali pergi ke kebun, ibu

Mei Ling membawa bekal dari rumah.

Pada suatu hari, Mei Ling sedang berehat di pondok. Dia ternampak seekor kucing

di hadapan pondoknya. Kucing tersebut sedang memandangnya dengan sayu. Mei Ling

berasa kasihan melihat kucing itu. Tanpa melengahkan masa dia terus lari untuk

mendapatkan ibunya. Sambil tercungap-cungap, “ibu, bolehkah saya beri sedikit

makanan kepada kucing itu? Kucing itu lapar”, kata Mei Ling. Puan Lim membenarkan

Mei Ling mengambil makanan dan diberikan kepada kucing itu.

Semenjak itu, kucing itu selalu datang ke pondok Mei Ling. Mei Ling menyayangi

kucing itu. Dia menamakan kucing itu Si Kurus. Setiap hari kucing itu menunggu Mei Ling
datang ke kebun sayur. Mei Ling pula sayang kepada Si Kurus. Jika sehari tidak pergi ke

kebun ayahnya, Mei Ling berasa rindu kepada kucing itu. Mei Ling bermain-main dengan

Si Kurus. Si Kurus sangat nakal dan manja. Ia sering membuatkan Mei Ling ketawa. Mei

Ling berasa sangat gembira melihat telatah Si Kurus.

Pada suatu hari Mei Ling bercadang hendak pergi memancingdi sungai yang

berhampiran dengan kebun ayahnya. Dia mengajak Si Kurus ikut sama. Si Kurus pun

mengikut Mei Ling pergi ke anak sungai itu. Setibanya di sungai, Mei Ling pun mula

memancing. Dia duduk di atas batang pokok tumbang yang merentangi anak sungai itu.

Suasana sunyi, amat sesuai untuk memancing.

Tidak lama kemudian tali joran Mei Ling ditarik oleh ikan. Mei Ling berasa gembira.

Dia bangun berdiri di atas batang pokok tersebut. Dia tidak sabar untuk menarik ikan.

Ketika menarik tali jorannya, tiba-tiba kaki Mei Ling tergelincir. Dia terjatuh ke dalam anak

sungai. Arus air menghanyutkan Mei Ling. Dia tidak pandai berenang. Dia menjerit

meminta tolong. “ Ibu ! Ayah! Tolong!!” jerit Mei Ling sambil terkapai-kapai. Si Kurus terjun

ke dalam air untuk menolong Mei Ling. Si Kurus dengan pantas berenang ke arah Mei

Ling yang sudah lemas. Ia menggigit baju Mei Ling dan menariknya ke tepi sungai.

Walaupun badannya kecil, namun ia tetap kuatkan semangat dan mengumpul semua

kudrat untuk menarik Mei Ling.

Tidak lama kemudian, Encik Chua dan isterinya tiba di tepi sungai. Mereka

ternampak Si Kurus sedang manarik Mei Ling ke tepi sungai. Mereka amat terperanjat

melihat perbuatan Si Kurus. Si Kurus sampai ke tebing sungai. Ia meninggalkan Mei Ling

di situ. Ibu bapanya memberi pertolongan kecemasan kepada Mei Ling. Tidak berapa
lama kemudian, Mei Ling sedar daripada pengsan. Badannya masih lemah.“ Terima kasih

Si Kurus kerana telah menolong saya”, kata Mei Ling dengan nada sebak.

Mulai hari itu, mereka sekeluarga amat menyayangi Si Kurus. Si Kurus diberi tugas

untuk untuk menjaga tanaman di kebun mereka.

Hai kawan-kawan,

Dari cerita yang saya sampaikan tadi, dapatlah kita semua teladan bahawa setiap

perbuatan yang kita lakukan pasti mendapat balasan atau ganjarannya.

Sekian, terima kasih.
BURUNG BANGAU DENGAN SEEKOR KETAM

NO. PESERTA :17 NAMA PESERTA :

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang

arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang

akan saya sampaikan pada hari ini ialah “ Burung Bangau dengan Seekor Ketam”

Pada zaman dahulu terdapat sebuah tasik yang sangat indah. Airnya sungguh

jernih dan di dalamnya ditumbuhi oleh pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang

masa. Suasana di sekitar tasik tersebut sungguh indah. Pokok-pokok yang tumbuh di

sekitarnya hidup dengan subur. Banyak burung yang tinggal di kawasan sekitar tasik

tersebut. Salah seekornya adalah burung bangau. Manakala di dalam tasik hidup

bermacam-macam ikan dan haiwan lain. Ada ikan telapia sepat, kelah, keli, haruan dan

bermacam-macam ikan lagi. Selain daripada ikan,terdapat juga ketam dan katak yang

turut menghuni tasik tersebut.

Burung bangau sangat suka tinggal di kawasan tasik tersebut kerana ia senang

mencari makan. Ikan-ikan kecil di tasik tersebut sangat jinak dan mudah ditangkap.

Setiap hari burung bangau sentiasa menunggu di tepi tasik untuk menangkap ikan yang

datang berhampiran dengannya.

Beberapa tahun kemudian burung bangau semakin tua. Ia tidak lagi sekuat dulu untuk

menangkap ikan. Kadang- kadang ia tidak memperolehi ikan untuk dimakan

menyebabkan ia berlapar seharian. Ia berfikir di dalam hatinya seraya berkata "Kalau

beginilah keadaannya, aku akan mati kelaparan kerana tidak lagi berdaya untuk

menangkap ikan. Aku mesti mencari jalan supaya aku dapat memperolehi makanan
dengan mudah".

Burung bangau mendapat idea dan berpura-pura duduk termenung dengan perasaan

sedih di tebing tasik. Seekor katak yang kebetulan berada di situ ternampak bangau yang

sangat murung dan sedih lalu bertanya "Kenapakah aku lihat akhir-akhir ini kamu asyik

termenung dan bersedih sahaja wahai bangau? Bangau menjawab "Aku sedang

memikirkan keadaan nasib kita dan semua penghuni tasik ini." "Apa yang merunsingkan

kamu, sedangkan kita hidup di sini sudah sekian lama tidak menghadapi sebarang

masalah." Jawab katak. "Awak manalah tahu, aku sering terbang ke sana ke mari dan

mendengar manusia sedang berbincang tentang bencana kemarau yang akan menimpa

kawasan ini dalam beberapa bulan lagi. Kau lihat sajalah sejak akhir-akhir ini hari panas

semacam aje, hujan pun sudah lama tidak turun". Bangau menyambung lagi "Aku khuatir

tasik ini akan kering dan semua penghuni di tasik ini akan mati." Katak mengangguk-

anggukkan kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan hujah bangau tadi.

Tanpa membuang masa katak terus melompat ke dalam tasik untuk memaklumkan

kepada kawan-kawan yang lain.

Berita bencana kemarau telah tersebar ke seluruh tasik begitu cepat dan semua

penghuni tasik berkumpul ditebing sungai dimana bangau berada. Masing-masing riuh

rendah menanyakan cadangan bangau untuk membantu mereka.semua? "Burung

bangau berkata "Aku ada satu cadangan, tetapi aku khuatir kamu semua tidak bersetuju."

"Apakah cadangan tersebut" kata haruan seolah-olah tidak sabar lagi mendengarnya.

Bangau berkata tidak jauh dari sini ada sebuah tasik yang besar dan airnya dalam. Ia

berjanji akan membawa semua ikan-ikan dan ketam ke sana. Mereka pun bersetuju

dengan cadangan bangau.
Burung bangau mula mengangkut seekor demi seekor ikan daripada tasik

tersebut, tetapi ikan- ikan tersebut tidak dipindahkan ke tasik yang dikatakannya.Malahan

iamembawa ikan-ikan tersebut ke batu besar yang berhampiran dengan tasik dan

dimakannya dengan lahap sekali kerana ia sudah tidak makan selama beberapa hari.

Setelah ikan yang dibawanya dimakan habis, ia terbang lagi untuk mengangkut ikan yang

lain. Begitulah perbuatannya sehingga sampai kepada giliran ketam. Oleh kerana ketam

mempunyai sepit ia hanya bergantung pada leher burung bangau dengan menggunakan

sepitnya. Apabila hampir sampai ke kawasan batu besar tersebut,ketam memandang ke

bawah dan melihat tulang-tulang ikan bersepah di atas batu besar. Melihat keadaan

tersebut ketam berasa cemas dan berfikir di dalam hatinya "Matilah aku kali ini dimakan

oleh bangau." Lalu ia memikirkan sesuatu untuk menyelamatkan dirinya daripada ratahan

bangau yang rakus. Setelah tiba di atas batu besar ketam masih lagi berpegang pada

leher bangau sambil berkata "Dimanakah tasik yang engkau katakan itu dan kenapa

engakau membawa aku di sini?" Bangau pun tergelak dengan terbahak-bahak lalu

berkata "Kali ini telah tiba masanya engkau menjadi rezeki aku." Dengan perasaan marah

ketam menyepit leher bangau dengan lebih kuat lagi menyebabkan bangau sukar untuk

bernafas, sambil merayu minta di lepaskan, ia berjanji akan menghantar ketam kembali

ke tasik tersebut. Ketam tidak mempedulikan rayuan bangau malah ia menyepit lebih

kuat lagi sehingga leher bangau terputus dua dan bangau mati di situ jua.

Dengan perasaan gembira kerana terselamat daripada menjadi makanan bangau

ia bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik sambil membawa kepala bangau. Apabila

tiba di tasik, kawan-kawannya masih lagi setia menunggu giliran masing-masing. Setelah

melihat ketam sudah kembali dengan membawa kepala bangau mereka kehairanan dan

ketam menceritakan kisah yang berlaku. Semua binatang di tasik tersebut berasa
gembira kerana mereka terselamat daripada menjadi makanan burung bangau yang

tamak dan mementingkan diri sendiri. Mereka mengucapkan terima kasih kepada ketam

kerana telah menyelamatkan mereka semua.

Dari cerita yang saya sampaikan tadi, dapatlah kita semua teladan bahawaKita

tidak boleh bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri . Kita hendaklah memikirkan

perasaan orang lain .

Sekian, terima kasih.
JOJO BERUK YANG BERJASA

NO. PESERTA : NAMA PESERTA : LIONARD A/L MARIA SOOSA

Hai kawan-kawan! Kawan-kawan hendak mendengar cerita? Ya, kawan-

kawan apakah binatang yang boleh menolong manusia memetik buah kelapa? Apa?

Apa?.. Bijak…bijak… Ya. Kera, monyet ataupun beruk. Kali ini saya ingin bercerita

sebuah cerita yang bertajuk “ Jojo Beruk Berjasa”. Begini ceritanya kawan-kawan..

Pak Ali mempunyai seekor beruk kesayangan yang bernama Si Jojo. Pekerjaan

harian Si Jojo ialah memetik buah kelapa penduduk kampung. Murad anak Pak Ali yang

berusia 10 tahun memang rapat dan mesra dengan Si Jojo. Baginya binatang itu amat

berjasa kepada keluarganya. Manalah tidak. Dengan kerja yang dilakukan oleh Si Jojo,

ayahnya mendapat rezeki untuk menanggung keluarganya. Jika ada masa terluang,

Murad akan membantu ayahnya menjaga Si Jojo semasa memetik kelapa.

Pada suatu hari, Pak Selamat meminta Pak Ali memetik buah kelapa di kebunnya.

Kebetulan hari itu cuti sekolah. Murad ingin benar-benar menolong ayahnya. Disebabkan

Murad beria-ia melakukan, Pak Ali pun memberi kebenaran. Mengikut perjanjian biasa

yang dilakukan oleh Pak Ali, kalau Pak Ali berjaya memetik 10 biji kelapa upahnya ialah 2

biji. Murad memikirkan kalau sebentar nanti Si Jojo dapat memetik 100 biji kelapa tentu

dia akan mendapat upah 20 biji. Bagi Murad upah sebanyak itu memang memuaskan.

Sampai sahaja di kebun Pak Selamat, Si Jojo pun memulakan kerjanya. Tidak lama

selepas itu, sebiji demi sebiji dipetik dan dan digugurkan ke tanah. Murad mengumpul

buah-buah kelapa itu dengan senang hati. Murad mengira-ngira buah kelapa yang

berjaya dipetik pada hari itu. Jumlahnya adalah 120 biji. Ya, kawan-kawan jikalau 10 biji
upahnya 2 biji, 120 biji berapakah upahnya? Ya, Murad mendapat 24 biji kelapa sebagai

upah.

Kawan-kawan sekalian,

Kali ini Pak Ali membawa Si Jojo memetik buah kelapa di kebun Encik Samad.

Sebatang demi sebatang Si Jojo memanjat. Tanpa disedari hampir sejam Pak Ali berada

di kebun itu. Si Jojo hampir memetik 100 biji. Boleh dikatakan pada ketika itu Si Jojo

sudah terasa penat. Namun, disebabkan perasaan tamak di dalam diri Pak Ali, dia

langsung tidak memikirkan semuanya itu. Si Jojo sudah termengah-mengah. Mahu tidak

mahu Si Jojo terpaksa memanjat lagi. Wajah Si Jojo muram. Tanpa diduga semasa Si

Jojo memanjat sebatang lagi pokok kelapa, tiba-tiba Si Jojo terjatuh di atas tanah. Pak Ali

amat terkejut dan menjadi cemas. Pak Ali berlari untuk menyelamatkan Si Jojo. Pak Ali

segera membawa Si Jojo pulang.

Setelah berada di rumah, Pak Ali besungguh-sungguh merawat Jojo. Murad

pulang dari sekolah. Dia amat terperanjat dan tidak menduga yang perkara begitu boleh

berlaku. Murad merawat Si Jojo. Sejak ditimpa kemalangan, Si Jojo tidak boleh

melakukan kerja-kerjanya seperti biasa. Setiap hari Murad memberi Jojo makanan dan

minum susu. Pak Ali pula amat susah hati kerana tak ada pembantu untuk melakukan

kerja-kerjanya. Oleh itu, Pak Ali ingin mencari seekor beruk atau monyet. Akhirnya, Pak

Ali berjaya menangkap seekor beruk yang lebih besar. Beruk itu diberi nama Si Gagah.

Jojo berasa sedih kerana dirinya tidak dihiraukan lagi. Mujurlah Murad sentiasa memberi

perhatian terhadap Si Jojo.

Pada suatu hari ketika Pak Ali makan, tanpa disedari seekor ular tedung keluar

dari semak menuju ke arah Pak Ali. Melihat keadaan itu Si Jojo meronta-ronta cuba
melepaskan diri untuk menangkap ular yang menyusur itu. Pak Ali kehairanan dan

menyangka Si Jojo tidak siuman lagi. Ahh..barulah Pak Ali sedar. Rupa-rupanya seekor

ular tedung di belakangnya. Apa lagi, Pak Ali melompat ke depan. Si Gagah juga

melompat dan terus malarikan diri. Harap sahaja badan besar,tetapi penakut. Pak Ali

mengangkat sebatang galah lalu membunuh ular itu. Pak Ali bersyukur kerana nyawanya

terselamat. Sejak hari itu, Pak Ali memberikan perhatian kepada Si Jojo. Murad senang

hati melihat perubahan pada sikap ayahnya itu.

Begitulah cerita saya kawan-kawan. Kalau ada binatang peliharaan di rumah,

sayangilah binatang itu. Bagilah makan dan minum secukupnya. Jika binatang peliharaan

kita sakit, ubatilah atau bawa ke klinik haiwan. Manalah tahu binatang itu berjasa kepada

kita. Kata orang tua, buat baik pasti akan dibalas dengan baik.

Sekian, terima kasih.
Pada suatu pagi yang damai, ada sekumpulan semut yang sedang
bertungkus-lumus memunggah makanan untuk dibawa ke sarang
mereka. Sambil bekerja, mereka semua rancak menari dan ada
seekor semut yang terkenal sebagai penyanyi dalam kalangan
mereka iaitu Semut Merah namanya. Dia menyanyikan lagu ‘ Mari
Kita bekerja’ dengan merdu sekali.

Semut Merah: Mari kita bekerja....
sambil goyangkan badan...
ikut rentak..sama-sama....lalala..

Dalam rancak semut-semut itu menari dan menyanyi, tiba-tiba
datang seekor belalang yang tinggi, badan besar dan tangan yang
tajam. Sekali Si belalang itu menghayunkan tangannya dapat
menyebabkan semut-semut itu rebah dalam sekelip mata sahaja.

Belalang : Hoi! apa kamu semua buat kat sini ?

Semut : Kami sedang mencari makanan untuk di bawa ke sarang.
Tak lama lagi akan tibanya musim kemarau yang sangat dahsyat.
Kamu tak mendengar berita ke?

Belalang : Aku tak peduli la dengan cerita karut kamu semua ni.
Mana ada kemarau, aku tengok keadaan sekarang biasa saja. Baik
kamu semua pergi dari kawasan ini, kalau tidak aku akan
melaporkan perkara ini kepada ketuaku..

Semut Merah :Kenapa kami harus pergi dari sini sedangkan
kawasan ini tak ada sesiapa yang punya. Semua binatang boleh
datang mencari makanan di kawasan ini.

Belalang :Oh, kamu semua melawan ya...siap la kamu nanti !

Semua kaum semut telah kembali semula ke sarang dan
menceritakan kejadian tersebut kepada ketua mereka iaitu Ratu
Semut. Ratu Semut berasa marah dengan tindakan belalang
tersebut. Ratu telah menasihati semua rakyat-rakyatnya supaya
bersabar dan dia berjanji akan memikirkan penyelesaiannya.

Tiba-tiba terdengar laungan kuat dari luar disertai dengan ketukan
yang bertalu-talu. Kelihatan dari tirai-tirai jendela, segerombolan
belalang datang dan berhimpun di depan pintu sarang semut.
Tidak dapat dikira betapa ramainya belalang-belalang tersebut
kerana tersangatlah ramai seperti hendak berperang.

Ketua Belalang: Hoi! keluar kamu semua. Berani kamu
menjejakkan kaki ke kawasan jajahanku! Kamu semua tak tahu ke,
kawasan itu adalah kawasan larangan bagi kaum-kaum semut
sepertimu !

( Dengan perasaan angkuh dan bongkaknya Ketua Belalang itu
berkata-kata.. )

Ratu Semut : Kenapa bising-bising dekat luar ni... kalau iapun
belalang, bagi la salam dahulu bila datang ke tempat orang..ini
tidak, datang-datang je nak mengamuk... bukan ke tidak elok
dilihat oleh jiran tetangga.

Ketua Belalang: Kamu tanya la sendiri kaum-kaummu, apa yang
mereka sudah lakukan dikawasan jajahanku. Berani mereka
mencari makanan di sana tanpa keizinanku.

Ratu Semut : Sekiranya tempat itu adalah kawasan jajahanmu,
maka kawasan ini adalah jajahanku...jadi kamu juga tidak
mendapat izin dariku.. adilkah begitu? (Raja Semut dengan
berhemahnya menuturkan kata-kata) Apa kata kita semua duduk
berbincang terlebih dahulu. Apa pendapat kamu wahai Ketua
Belalang?

Ketua Belalang: Ha...ha..ha... apa kamu kata tadi, mengadakan
perbincangan?

Ha...ha..ha... ( semua belalang ketawa dengan kuatnya)
Kamu ingat kaum aku dengan kamu setaraf ke, tengok la diri kamu
tu dulu. Dari segi fizikal pun da banyak beza apatah lagi benda-
benda lain...
Ratu Semut :Sungguh angkuh kata-katamu wahai Ketua Belalang.
Sebagai seorang ketua, kamu sepatutnya mengawal dan mendidik
rakyatmu dengan sebaiknya supaya mereka dapat menjadi rakyat
yang berguna. Bukannya membawa mereka ke arah keburukan
dengan tindakan sebegini. Sungguhpun kaum kami kecil tetapi
bukan bermakna hati kami juga kecil. Kami sangat bersyukur
kerana hati dan budi kami murni dan kaya dengan budi bahasa...

Ketua Belalang:Ah! Tak perlu kamu berceramah di sini. Aku datang
bukan untuk mendegar ceramah darimu. Nanti akan tiba masanya
untuk aku membalas segala perbuatanmu.

(Ratu Semut hanya menggeleng-gelengkan kepala. Dalam hatinya
menyatakan betapa kerasnya hati Ketua Belalang tersebut dan
sukar untuk dilembutkan...)

Ketua Belalang: Kenapa kamu senyap...dah tak de idea ke..
( dengan nada perli). 2 bulan lagi aku akan datang untuk
memberikan pengajaran kepada kamu semua! Mari semua kita
beredar dari tempat ini.

Kaum semut tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan apa
yang akan berlaku 2 bulan nanti...Adakah kaum mereka semua
akan hancur diserang oleh kaum belalang? Itulah yang sentiasa
bermain di fikiran mereka.

Ratu Semut :Kamu semua janganlah bimbang. Kita perlu yakin dan
berusaha untuk mengatasi masalah ini. Tuhan akan sentiasa
menolong hamba-hambanya yang memerlukan. Apa yang penting
kita perlu banyak-banyakkan berdoa dan mengingatinya. Malam
ini, kita akan adakan satu mesyuarat tergempar. Kamu semua
perlu hadir untuk membincangkan mengenai perkara
tersebut.Menyuarat tergempar telah diadakan oleh kaum semut.

Ratu Semut : Semua sudah bersedia ye..tapi sebelum tu kita
mulakan dengan bacaan Al-fatihah terlebih dahulu supaya
mesyuarat kita mendapat keberkatan dan moga-moga kita semua
akan menemui jalan penyelesaiannya nanti. Amin..

Semut Merah :Saya ada satu idea, Ratu..
Ratu Semut :Idea apa tu, boleh kamu nyatakan..

Semut Merah : Apa kata kalau kita bina pagar...macam mana ?

Ratu Semut : Bagus juga idea kamu tu..apa pendapat kamu semua
wahai rakyatku?

Semut Hijau : Pada pendapat saya...Kita boleh membina pagar,
tetapi dengan daya dan fizikal kita seperti ini tidak mampu untuk
membinanya dalam masa yang teramat singkat. Sekiranya kita
bina pagar, mestilah mengelilingi seluruh kawasan kita ni, tetapi
sekiranya pagar yang dibina itu rendah dan tidak kukuh, maka
senanglah kaum belalang itu memecahkannya dengan
menggunakan kaki dan tangannya yang tajam itu.

Ratu Semut : Kalau macam tu, cara apakah yang paling sesuai
untuk kita menghadapi belalang-belalang tersebut?

Semut Hijau : Pada pandangan saya, kita perlu membina satu
replika binatang yang lebih besar daripada belalang supaya
mereka akan jadi takut apabila melihatnya nanti.

Semut Merah : Bukan ke sekiranya kita membina replika binatang
tersebut akan lebih menyusahkan lagi dari kita membina pagar...

Semut Hijau : Kalau kita semua bekerja sama dan bersatu hati,
maka semuanya dapat kita lakukan. Replika ini bukannya perlu di
bina mengelilingi kawasan kita, tetapi kita hanya perlu bina seekor
sahaja tetapi perlu cukup besar berbanding dengan kaum belalang
itu. Kita perlu bahagikan kepada setiap kumpulan, yang mana
kumpulan tersebut akan membina bahagian kaki, badan, tangan
dan sebagainya yang memerlukan kita yang akan
mengerakkannya nanti...

Ratu Semut :Bagus juga idea kamu itu, replika tersebut semestinya
kuat kerana kita semua berada di dalammya dan mengerakknnya.
Siapa yang setuju dengan idea tersebut?

( Kedengaran sebahagian besar semut telah bersetuju dengan idea
yang diberikan oleh Semut Hijau itu tadi )
Operasi membina replika binatang telah dimulai. Semua semut
telah diberikan tugas dalam kumpulan masing-masing..

Hari berganti hari dan tinggal beberapa minggu sahaja lagi, kaum-
kaum belalang akan datang menyerang kaum semut. Semuanya
sibuk menyiapkan kerja masing-masing dengan bertungkus lumus.
Kelihatan semut-semut betina sedang menyiapkan makanan dan
minuman kepada semut jantan yang sibuk bekerja. Semuanya
mengambil bahagian dan tidak terkecuali seekor semut pun dari
operasi tersebut.

Tibalah masa dan saat-saat yang ditunggu oleh semut. Satu
peperangan yang dahsyat akan berlaku diantara kaum yang kecil
dengan kaum yang lebih besar.. Pertempuran tersebut berlaku
pada musim kemarau yang teramat sangat. Walaubagaimanapun,
kaum-kaum semut yang rajin telah mengumpulkan makanan
terlebih awal lagi untuk menghadapai hari tersebut.

Sayup-sayup kedengaran bunyi bising berteriakan...tanah-tanah
bergegaran sehingga pasu-pasu bunga yang di tanam oleh semut
bergegar di sebabkan oleh kekuatan kaum belalang tersebut..

Keluarlah senjata dari kaum semut iaitu replika binatang yang
sangat besar. Replika tersebut digerakkan dengan seluruh kudrat
semut-semut tersebut. Kaum belalang terkejut dengan hasil
ciptaan kaum semut. Peperangan telah bermula dan kaum semut
telah berjaya memusnahkan banyak kaum belalang dengan
senang. Hal ini kerana kaum-kaum belalang kekurangan tenaga
akibat musim panas tersebut dan daun-daun hijau semuanya
menjadi kering. Akhirnya kaum semut berjaya menghapuskan
kaum-kaum belalang yang angkuh dan kuat itu.

Moral daripada cerita Semut dan Belalang adalah, janganlah kita
mementingkan status diri kita dan jangan beranggapan bahawa
golongan yang besar itu tidak boleh berkawan dengan golongan
bawahan. Selain itu juga tidak semestinya kelemahan itu di ukur
melalui besar ataupun kecil status tersebut. Sepatutnya kita perlu
hidup bersatu padu dan saling bekerjasama antara satu sama lain.
Tuhan menjadikan semua mahkluk dengan sempurna dan tidak
pernah membezakan antara satu sama lain. Semuanya ada
kekurangan dan kelebihan masing-masing. Selain itu, dalam cerita
ini terdapat juga nilai kepimpinan melalui watak Ratu Semut, nilai
bekerjasama, tidak sombong dan sebagainya yang perlu dipupuk
dalam diri setiap manusia.