KATA PENGANTAR

WATAK PEMIMPIN MAHASISWA DAN POLITIK KAMPUS

“Kalau memang saudara merasa tidak perlu ikut berpolitik, biar tak usah berpolitik. Tetapi
saudara jangan BUTA Politik. Kalau saudara buta politik, saudara akan dimakan oleh (orang)
politik”- Mohammad Natsir, Mantan Perdana Menteri Indonesia.

Bismillah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Selawat dan Salam kepada Nabi
Muhammad SAW. Jutaan terima kasih kepada Saudara Rahman Imuda kerana memberi
peluang kepada hamba Allah yang faqir ini menulis pembuka kata buku ini.

Pertama, sebetulnya penulis tidak layak memberi pembuka kata buku ini disebabkan penulis
hanyalah seorang pemerhati politik kampus dan hanya berjawatan kecil sebagai EXCO
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan EXCO Persatuan Sejarah Universiti
Malaya. Secangkir pengalaman yang lain tentang Gerakan Mahasiswa ialah penulis pernah
membuat kajian tentang Gerakan Mahasiswa di Universiti Malaya pada peringkat Latihan Ilmiah
di Jabatan Sejarah Universiti Malaya dibawah seliaan Professor Dr. Mohamad Redzuan Othman.

Falsafah Perjuangan Mahasiswa

Menurut pengarang buku Mahasiswa Menggugat, Dr. Mohamad Abu Bakar, falsafah
perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi
mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang
seringkali terdedah kepada dunia semasa. Tiga elemen dalam falsafah perjuangan mahasiswa
ini membentuk watak seorang mahasiswa dalam interaksi mereka dengan kerajaan,
pentadbiran universiti dan masyarakat.

Mahasiswa mesti sedar bahawa mereka berstatus sebagai pelajar universiti bukan lagi pelajar
sekolah. Beza antara pelajar universiti dengan pelajar sekolah adalah pemikiran dan budaya.
Pelajar universiti mesti berdikari dan tidak diharap disuap dengan ilmu oleh guru tetapi
meneroka ilmu secara kendiri. Di universiti, mahasiswa adalah anak muda yang merdeka bebas
daripada pengawasan ibubapa. Mereka bertindak mengikut akal dan hati nurani sendiri. Risiko
dan tanggungjawab atas diri mereka sendiri. Kecenderungan ini membuka ruang mencari
identiti tersendiri melalui intelektualisme.

Mahasiswa juga perlu sedar bahawa fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa. Usia
mereka yang rata-ratanya berusia 21 tahun menjadikan mereka sebagai warganegara yang
berhak untuk mengundi dan terlibat dalam proses demokrasi di negara ini. Dalam proses
kematangan para mahasiswa ini, adalah sukar untuk menghalang mereka cakna politik atau
celik politik terutamanya dalam suatu isu berkaitan politik negara dan kesejahteraan rakyat.
Tidak hairan sejarah membuktikan berlaku pertembungan pandangan antara gerakan
mahasiswa dengan pihak berkuasa.

Anak muda adalah pemilik zaman. Sebagai anak muda yang berpendidikan dan terdedah
dengan lambakan maklumat melalui media sosial, para mahasiswa pantas mendapat maklumat
tentang isu-isu semasa. Pendedahan isu semasa memerlukan mahasiswa menjadi progresif dan
kritis dalam isu masyarakat. Menurut Professor Diraja Ungku Aziz, “Mahasiswa bukan sahaja
berhak mengeluarkan suara-intelek mereka tetapi boleh dikatakan mereka wajib memberi syor
serta teguran oleh kerana merekalah di antara ribuan pemuda-pemudi yang lain, dari desa dan
kota, yang bernasib baik berpeluang mencapai pelajaran tinggi”.

Pokok pangkal kepada falsafah perjuangan mahasiswa ialah intelektualisme. Menurut kamus
dewan, intelektualisme ialah pengabdian kepada penggunaan intelek atau daya fikir. Manakala
satu lagi maksud ialah doktrin yang menekankan bahawa pengetahuan terhasil dengan
penaakulan tulen.

Bermulanya pengupayaan intelektualisme watak pemimpin mahasiswa ialah mereka mesti
dibebaskan daripada konsep watak tertawan seperti disaran oleh Dr. Syed Husein Alatas. Watak
tertawan yang ada dalam diri seorang pemimpin mahasiswa yang perlu dibebaskan ia lah [1]
watak yang suka meniru tanpa pertimbangan yang kritis iaitu menerima ilmu, maklumat dan
berita secara membuta-tuli. [2] Watak tertawan tidak mampu menimbulkan persoalan baru
yang diperlukan dalam lingkungannya. Mereka mengambil berat dalam suatu permasalahan
tetapi tiada idea dan gagal mencari solusi dalam masalah tersebut. [3] Watak tertawan terikut-
ikut dengan pengaruh luar terutamanya dari Barat. [4] Watak tertawan tidak mempersoalkan
sumber ilmu luar. [5] Watak tertawan tidak menyedari bahawa mereka adalah watak tertawan.

Dalam konteks Islam, intelektualisme diupayakan oleh Pandangan Alam Islam atau Islamic
Worldview yang benar dan sahih. Pandangan Alam Islam adalah suatu pandangan terhadap
sesuatu perkara atau isu melalui kaca mata Islam dan iman berdasarkan sumber rujukan ilmu
Islam iaitu al Quran dan al Sunnah. Al Quran sarat dengan pelbagai konsep-konsep tentang
kehidupan yang tersendiri melalui pengistilahan kata dasar yang yang tersendiri. Konsep-
konsep yang datang dan difahami dalam perspektif Quranik menghasilkan framework atau
kerangka pemikiran yang tersendiri yang jelas berbeza daripada worldview dan framework
bukan Islam terutamanya dari Barat. Pemimpin mahasiswa yang mempunyai pengupayaan
intelektualisme bukan sahaja mampu membebaskan diri mereka daripada sikap watak tertawan
tetapi paling penting mempunyai Pandangan Alam Islam yang sahih dan benar.

Pengupayaan intelektualisme dari segi pengislahan Pandangan Alam Islam dan pembebasan
daripada sikap Watak Tertawan perlu disusuli dengan pembudayaan ilmu melalui amalan
membaca buku secara berterusan, pembudayaan diskusi ilmiah dan menulis ulasan artikel atau
bab buku.

Pengupayaan intelektualisme dalam falsafah perjuangan mahasiswa menghasilkan watak
mahasiswa sebagai pemimpin sebuah pergerakan yang akan mengemudikan pelbagai aspek
perjuangan mahasiswa termasuklah dalam politik kampus dan politik nasional.

Dalam konteks politik kampus, Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah medan latihan bagi
mahasiswa menambah pengalaman politik mereka sebagai watak pemimpin. Bekalan ‘modal’
pengupayaan intelektualisme membolehkan watak pemimpin mahasiswa menghasilkan
gagasan pemikiran, alternatif dan manifesto dalam menyelesaikan masalah kampus dan
nasional.

Selain pengupayaan intelektualisme, watak pemimpin mahas iswa perlu mengambil peluang
meredah masuk dalam tiga perkara iaitu [1] mencari pengalaman dalam organisasi dan
kepimpinan, [2] membina jaringan persahabatan dan pengaruh didalam atau diluar kampus,
dan [3] meningkatkan kemahiran komunikasi.

Mahasiswa Buta Politik

Penulis menolak pandangan mengatakan politik itu kotor. Politik itu mulia kerana melalui politik
kita boleh menegakkan Islam dan memakmurkan dunia. Yang kotor adalah pelaku politik.

Kita tidak boleh menolak politik. Berorganisasi secara automatiknya membawa kita dalam
penglibatan politik sama ada politik tempat kerja, politik kampung mahupun politik kepartian.
Setiap inci kehidupan kita bergantung kepada keputusan politik dan kebodohan kita dalam
politik memberi natijah buruk kepada kehidupan kita dan anggota masyarakat yang lain.

Menurut Berthold Brecht (1898 – 1956), seorang penyair Jerman, sutradara teater, dan marxis
telah menyatakan “buta yang paling buruk adalah buta politik. Dia tidak tahu bahawa kos
hidup, harga kacang, harga ikan, harga tepung, kos sewa, harga kasut dan ubat, semua
bergantung pada keputusan politik. Orang yang buta politik begitu bodoh sehingga ia bangga
mengatakan bahawa ia membenci politik. Si dungu itu tidak tahu bahawa dari kebodohan
politiknya lahir pelacur, anak miskin, dan pencuri paling jahat daripada segala pencuri, politikus
jahat. Dengan adanya politikus jahat, rosaklah perkilangan nasional dan multinasional yang
mengurangkan kekayaan negara."(dengan olahan dan tambahan penulis)

Mantan Perdana Menteri Indonesia dan pemimpin utama MASYUMI, Mohammad Natsir
menyatakan “Kalau memang saudara merasa tidak perlu ikut berpolitik, biar tak usah
berpolitik. Tetapi saudara jangan BUTA Politik. Kalau saudara buta politik, saudara akan
dimakan oleh (orang) politik”. Jika kita tidak menyertai politik kepartian sekalipun, kita perlu
celik politik agar tidak tertipu dengan kelicikkan politikus jahat.

Di kampus, mahasiswa dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu [1] kelompok belajar tanpa aktif
berorganisasi, [2] kelompok terpengaruh dengan hedonisme dan [3] kelompok belajar dan aktif
berorganisasi. Kelompok mahasiswa [3] inilah yang dimaksudkan oleh Ungku Aziz dalam tulisan,
‘belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak maju
tanpa pemimpin pengalaman(mencabar) dan terpelajar’. Berpengalaman dalam kepimpinan di
kampus dan berpendidikan boleh menghasilkan pemimpin pelapis bagi negara ini.

Politik kampus meliputi PRK, pengurusan organisasi mahasiswa (termasuk Majlis Perwakilan
Pelajar-MPP) dan pengucapan awam memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa terlibat
dalam politik. Ia juga memberi kesedaran politik dan mengupayakan sikap bertanggungjawab
para mahasiswa terhadap isu-isu politik kampus, nasional atau antarabangsa. Ini selari dengan
pandangan Almarhum Sultan Azlan Syah, “mahasiswa harus bertanggungjawab terhadap
masyarakat dan perlu melakukan sesuatu untuk rakyat”.

Model Baru Mahasiswa Progresif

Sifat progresif dan radikal sesetengah pemimpin mahasiswa tidak perlu dibimbangi oleh
pemerintah dan pentadbiran universiti. Ia selari dengan ucapan Perdana Menteri Malaysia
Kedua, Tun Abdul Razak menyatakan, “Jikalau kita tinjau belakang semasa kita masih
menuntut, tentulah kita dapat melihat perkara itu dari sudut yang betul”. Anak muda dan
mahasiswa senantiasa merasakan pendirian mereka adalah betul dan bersedia
mempertahankannya.

Sejarah membuktikan bahawa ramai pemimpin progresif dan radikal yang melawan arus ketika
usia muda akhirnya kembali mengikut arus. Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang ultra
nasionalis Melayu akhirnya menjadi Perdana Menteri Keempat. Dato Seri Anwar Ibrahim,
pemimpin belia dan mahasiswa radikal yang mengerakkan banyak demonstrasi termasuk
demonstrasi Baling pada tahun 1974 telah menyertai UMNO-BN dan berkesempatan menjawat
jawatan Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Gerakan mahasiswa dan pemimpin mahasiswa progresif seringkali dipalitkan dengan hubungan
dengan pihak pembangkang. Jujurnya, sebahagian mereka bersama-sama pihak pembangkang
sama ada sebagai kader parti tertentu atau kebersamaan dalam sesuatu isu. Pengaruh luar
dalam gerakan mahasiswa sukar untuk dielakkan.

Model Baru Mahasiswa Progresif cuba memecah tembok yang mengatakan gerakan mahasiswa
yang progresif dan radikal mesti menentang kerajaan, bersama pembangkang dan
berdemonstrasi di jalanan. Ia selaras dengan kenyataan mantan Presiden PAS, Dato Fadzil
Mohd Nor menyatakan, "Gerakan Pelajar mahupun politik pelajar seharusnya mempunyai
orientasi tersendiri dan tidak seharusnya serba sama dengan politik kepartian".

Antara ciri Model Baru Mahasiswa Progresif ialah

1. Politik Santun ialah politik berasaskan ilmu dan akhlak yang mulia. Mengutamakan
politik penyatuan ummah dan kesejahteraan rakyat-mahasiswa merentasi politik
kepartian, politik perkauman, politik keagamaan yang sempit dan kepentingan peribadi.
Politik santun itu berpolitik kerana prinsip, berkonflik bukan kerana orangnya tetapi
pemikiran dan sikap mereka. Politik santun membolehkan mahasiswa bersolidariti dan
bersama serta bekerjasama dengan pihak lawan politik dalam sesuatu isu demi
kepentingan negara dan rakyat.
2. Pembinaan tradisi gerakan mahasiswa berakarkan intelektualisme dimana sedia belajar
dan manfaat segala sumber ilmu yang relevan termasuk sumber ilmu dari luar negara
tetapi masih berpaut dengan realiti tempatan dan bersikap kritis terhadap sumber ilmu
tersebut. Tradisi gerakan mahasiswa berakarkan intelektualisme juga mengabung-
jalinkan antara kekuatan ilmu turath dan ilmu semasa.
3. Mahasiswa Berkebajikan. Antara kegiatan yang dilakukan ialah dapur kampus , program
kesedaran kesihatan dan kelas tambahan percuma.

Pendekatan Model Baru Mahasiswa Progresif ialah:

1. Penubuhan sebuah grup diskusi dan pentarbiahan yang boleh dinamakan Grup Pemikir
Muda yang bebas daripada kongkongan mana-mana parti politik diluar kampus.
2. Grup ini mesti mengadakan 2 wacana mingguan (wajib) di kampus. Wacana pertama
berdasarkan kitab turath dan moden dimentori oleh intelek-sarjana berautoriti untuk
membina dan mengukuhkan Pandangan Alam Islam Mahasiswa. Kitab-kitab Ulama
Melayu Patani, buku-buku Syed Muhammad Naquib al-Attas dan para muridnya, dan
tulisan Dr. Ismail al-Faruqi boleh dikaji. Wacana kedua berkaitan dengan kajian terhadap
pemikiran dan isu semasa. Antara pemikiran yang boleh dikupas ialah pemikiran Syed
Husein Alatas, Joseph E. Stiglitz, Robert D. Kaplan, John L Esposito, Noam Chomsky,
Slavoj Žižek, Montgomomerry Watt, Syed Husin Ali dan lain-lain.
3. Grup ini akan menubuhkan sayap ‘parti politik kampus’ untuk menghadapi PRK dalam
mengaplikasikan ilmu-ilmu ke dalam lapangan politik kampus.
4. Sayap politik kampus Grup Pemikir Muda hanya fokus politik kampus dan PRK. Ahli Grup
Pemikir Muda yang mahu terlibat dalam politik nasional dan organisasi politik luar
kampus perlu mewakili diri sendiri bukannya atas nama Grup Pemikir Muda.
5. Mengutamakan pembentukan kualiti diri Watak Pemimpin Mahasiswa bukannya
menonjolkan gerakan mahasiswa anti-kerajaan.
6. Mengutamakan pendekatan serampang dua mata dan politik damai bukannya politik
kebencian, permusuhan dan konflik. Mengutamakan kerjasama politik, hubungan
mesra, pengkongsian kuasa, penglibatan dan penyertaan dalam mana-mana program
kemahasiswaan sama ada dianjurkan oleh organisasi mahasiswa, HEP, pihak kerajaan
atau parti pembangkang.
7. Mengkritik dan menegur pihak tertentu (termasuk pihak kerajaan dan pembangkang)
dengan hujah dan dalil sama ada dalam forum dan penulisan. Kritikan mesti membina
disertakan dengan alternatif penyelesaian.

Jujurnya, penulis tertarik dengan Model The Thinkers (di Universiti Malaya) sebagai sel diskusi
ilmu yang mempunyai sayap politik kampus dikenali sebagai Mahasiswa Hybrid atau Neo Siswa
UM. Antara sel diskusi lain yang wajar dicontohi ialah Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM).
Diharapkan sel-sel diskusi ilmu yang bebas daripada kongkongan politik luar kampus lebih
banyak bercambah dan bergerak dalam politik kampus untuk mengaplikasikan ilmu di
lapangan.

Buku Politik Kampus (PRK | MPP)

Politik kampus dan PRK menjadi tumpuan utama penulisan saudara Rahman Imuda. Buku ini
memberi gambaran asas atau pemula bagi para mahasiswa yang mahu berjinak-jinak dengan
politik kampus. Pada penulis, buku ini menjadi manual penting bagi mahasiswa dalam
menghadapi cabaran politik kampus.

Terima kasih saudara Rahman Imuda. Semoga buku ini bermanfaat untuk semua.

Salam Anak Muda.

Mohamad Ridhwan Alias
Pengasas-pemilik blog mahasiswamenggugat.blogspot