You are on page 1of 10

8 Langkah Mengelak Pengurus Sekolah Didakwa

Secara amnya, jika pemimpin sekolah telah mematuhi segala arahan serta peraturan semasa
menjalankan tugas-tugas harian dan melaksanakan kewajiban berjaga-jaga (duty of care) yang
wajar, maka beliau harus selamat dan telah dilindungi dari sebarang dakwaan yang mungkin
berlaku. Pemimpin sekolah juga perlu mahir mendapat kerjasama dan melibatkan pihak ibu-bapa
untuk menyelesaikan masalah sebelum ianya dibawa ke mahkamah. Pemimpin sekolah perlu
mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yng berikut bagi meminimumkan risiko didakwa atau
dipersalahkan.

1. Memastikan Keselamatan Persekitaran dan Fizikal Sekolah


Undang-undang menghendaki tuan punya premis (bangunan dan kawasan tanah) memastikan
premisnya adalah selamat digunakan atau didiami oleh semua pihak yang mempunyai hak
menggunakannya atau berada di situ.
Jadi keadaan fizikal sekolah hendaklah sentiasa diselenggarakan dengan baik.
Contohnya tangga dan serambi bangunan mesti mempunyai pelindung yang sesuai dan kukuh
untuk memastikan tiada murid berkemungkinan terjatuh ke bawah. Siling yang setengah
terjatuh dan bumbung yang bocor mesti dibaiki dengan kadar segera.
Dalam bilik darjah, kipas, wayar elektrik uzur, kerusi lama dan lain-lain perlu diperiksa dari
masa untuk memastikan keselamatan penggunaannya. Suis dan soket yang rosak mesti
diganti.
Semak-semak panjang di kawasan sekolah mesti di tebas untuk mengelak segala bentuk
bahaya seperti menjadi tempat perlindungan ular yang boleh mendatangkan kemudaratan.
Pokok juga boleh mendatangkan bahaya sekiranya ianya tumbang ditiup angin.

Dalam The Registration of Schools Ordinance, 1950. Schools (General) Regulations, sekolah
dikehendaki memastikan bilik-bilik darjah memenuhi syarat-syarat seperti:
spesifikasi keluasan,
tingkap mencukupi untuk pengudaraan,
ketinggian siling
ruang yang mencukupi untuk setiap murid,
cahaya yang cukup terang dan
bilangan maksimum murid yang dibenarkan dalam setiap bilik darjah.
Selain daripada itu, peraturan yang sama mengatakan bahawa pemimpin sekolah
bertanggungjawab membenarkan pihak-pihak yang berhak sahaja untuk menggunakan
premis sekolah.

Dalam kes Carmarthenshire County Council v. Lewis [1995], seorang murid berumur empat tahun
telah ditinggalkan seketika oleh gurunya. Murid tersebut keluar dari kawasan sekolah dan
menyebabkan suatu kemalangan jalanraya terjadi di mana seorang pemandu lori mati. Akhirnya,
pihak sekolah dipersalahkan kerana guru tidak mengawasi murid dan sekolah juga
dipersalahkan (vicariously liable) kerana gagal mengunci pintu masuk sekolah. Kecuaian untuk
memastikan keadaan sekolah selamat telah menyebabkan pihak sekolah didakwa.

2. Memastikan Keselamatan Sewaktu P & P Di Bilik Darjah

Pengawalan kelas merupakan salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh
seseorang guru sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kelas.
Mengikut undang-undang common law, guru dikehendaki membuat penyeliaan yang
munasabah(reasonable degree of supervision) ke atas murid-murid di bawah jagaannya
sewaktu kelas berjalan.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan beliau didakwa jika murid tercedera
akibat kecuaiannya. Ini disebabkan guru merupakan individu yang bertanggungjawab
dalam mengendalikan sesebuah pengajaran dan pembelajaran serta memastikan
keselamatan pelajar.

Dalam kes Government of Malaysia & Ors. v. Jumat Bin Mahmud & Anor., plaintif asal telah
tercedera akibat perbuatan nakal kawannya sehingga akhirnnya menjadi buta pada sebelah mata.
Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa pihak guru telah cuai dalam penyeliaannya. Tetapi
selepas rayuan dibuat kepada Mahkamah Persekutuan, didapati bahawa guru berkenaan tidak
boleh dipersalahkan kerana kecederaan yang dialami oleh murid adalah akibat dari kemalangan
yang tidak dapat diduga (not reasonably forseeable) oleh seseorang dalam keadaan yang biasa.
3. Memastikan Keselamatan Sewaktu Kelas Amali

Semua makmal dan bengkel kerja amali mesti mempunyai peraturan bertulis yang
diedarkan kepada setiap murid pada hari pertama mereka menggunakan makmal atau bengkel
tersebut.
Peraturan tersebut perlu diterangkan kepada murid oleh guru dengan jelas sehingga
mereka betul-betul faham.
Peraturan-peraturan tersebut juga perlu dipamerkan pada papan kenyataan setiap makmal
atau bengkel dan
diingatkan kepada murid dari semasa ke semasa.
Kelas-kelas amali atau kelas praktikal hanya boleh dikendalikan oleh guru-guru terlatih dalam
mata pelajaran yang berkenaan sahaja.
Jika terdapat guru sementara, pemimpin sekolah mesti memastikan bahawa mereka tidak
melakukan atau menyuruh pelajar melakukan percubaan-percubaan yang berbahaya.
Pemimpin sekolah dengan bantuan Guru Kanan Sains harus menapis rancangan kerja
guru-guru tersebut bagi kerja amali (Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/1974, bertarikh 8 Julai 1974).
Selain daripada itu, guru-guru mesti memberi amaran terlebih dahulu kepada murid-muirid
sebelum sebarang tunjukcara atau percubaan dijalankan dalam mana terdapat kemungkinan punca
letupan atau bahaya.
Langkah-langkah keselamatan yang lanjut dalam semua aspek pengurusan makmal misalnya:
pengendalian silinder,
paip dan saluran gas;
suis, alat dan penghubung elektrik;
pencegahan kebakaran;
latihan kecemasan api;
kelengkapan memadam api;
penyimpanan bahan-bahan berbahaya;
keadaan bilik-bilik makmal; dan lain-lain) adalah diberi dengan lengkap dan jelas dalam
Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/1974.
Pemimpin sekolah mesti memastikan semua guru sains mengetahui kandungan Surat
Pekeliling Ikhtisas berkenaan dan mematuhi semua arahan dan panduan yang diberikan demi
keselamatan semua pihak.
Buku-buku panduan penyelenggaraan makmal yang berkaitan juga perlu difahami dan
diguna sebagai panduan guru setiap masa.
Sewaktu kelas amali dijalankan, guru-guru mesti menyelia dan mengawasi aktiviti murid-
murid dengan rapi untuk memastikan keselamatan dijaga ke tahap munasabah di samping
membantu menjayakan percubaan mereka.
Dalam kes Mohamed Raihan Bin Ibrahim & Anor. v. Government of Malaysia & Ors., palintif
pertama (seorang murid kelas Sains Pertanian) telah pun dicederakan oleh cangkul yang
digunakan oleh kawan kelasnya sewaktu mereka sedang menjalankan kelas amali menyediakan
batas sayur. Guru kelas tersebut telah didapati bersalah kerana tidak memberi arahan dengan jelas
kepada murid dan tidak menyelia perjalanan kerja dengan munasabah. Ini bermakna beliau telah
gagal melaksanakan kewajiban berjaga-berjaga yang munasabah terhadap anak-anak muridnya.

4. Memastikan Keselamatan Kemudahan Sukan dan Kegiatan Ko-kurikulum


Sukan dan kegiatan ko-kurikulum merupakan satu lagi punca kemalangan mungkin
berlaku.
Pemimpin sekolah hendaklah memeriksa dan memastikan bahawa segala kemudahan
sukan dan permainan adalah dalam keadaan sempurna dan selamat untuk aktiviti-aktiviti ko-
kurikulum tersebut dijalankan.
Guru-guru mesti memastikan bahawa padang, gelanggang, dan alat-alat sukan yang baik
dan sempurna sahaja digunakan semasa menjalankan aktiviti.
Stor sukan mesti diselenggarakan dengan sempurna dan selamat mengikut segala arahan
dan peraturan yang ada kerana alat-alat sukan dianggap berbahaya.
Murid-murid hendaklah diajar dengan teliti supaya mereka tahu menggunakan alat-alat
dengan betul dan selamat.
Dalam kes di mana tiang gol mudah alih terjatuh, nyawa murid terkorban (belum dibicarakan lagi
di mahkamah). Ini menunjukkan dengan jelasnya alat sukan tersebut tidak selamat digunakan dan
mesti diganti dengan segera. Murid-murid juga perlu diberitahu tentang segala peraturan dan
arahan tentang langkah-langkah menjaga keselamatan yang perlu diambil pada setiap masa.
Penjagaan rapi diperlukan semasa aktiviti diadakan untuk mengelakkan insiden-insiden yang
serius seperti pelajar terlanggar tiang gol, terkena lontaran peluru, terjatuh dalam lubang, dan lain-
lain (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1995). Selain daripada
itu, guru juga hendaklah:

(i) mengambil kira faktor cuaca/ musim supaya aktiviti yang dijalankan tidak mendatangkan bahaya.
(ii) bertanggungjawab mengeluar, mengguna dan menyimpan alat-alat sukan walaupun boleh dibantu
oleh murid.
(iii) memastikan semua alat sukan dan permainan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum
digunakan.
(iv) Murid mesti mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga dan pemimpin
sekolah untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti kokurikulum di luar sekolah dan mesti
diiringi oleh guru. Jika ada murid perempuan, maka guru pengiring perempuan mesti ada
bersama.
(v) Memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid diberi keutamaan seperti makanan dan
minuman dan lain-lain lagi.
(vi) Murid yang cedera, lelah dan berpenyakit kronik tidak dipaksa dibenarkan/dipaksa mengambil
bahagian.
(vii) Menggalakkan pelajar mengadakan skim perlindungan insurans yang sesuai.
(viii) Kawasan dan kemudahan yang berbahaya seperti dewan gymn dan kolam renang mesti dikawal
penggunaannya dengan ketat.
(ix) Melaporkan segala kemalangan yang berlaku kepada pemimpin sekolah dengan segera untuk
tindakan selanjutnya.

Dalam kes Silvadurai v. Government of Malaysia seorang murid terjatuh kerana tersandung batu
selepas turun dari bermain jongkang-jongkit. Murid tersebut akhirnya mati akibat kemalangan
tersebut. Hakim mahkamah memutuskan guru dan pihak sekolah tidak bersalah kerana pelajar
telah selalu dinasihati tentang bahaya bermain jongkang-jongkit dan kecederaan yang diakibatkan
oleh murid berkenaan sebenarnya bukan disebabkan oleh permainan jongkang-jongkit. Ianya
merupakan satu kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian murid sendiri.
Walaupun guru dan pihak sekolah tidak dipertanggungjawabkan, tetapi kita mesti
mengambil iktibar dari kes ini dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan kawasan
berhampiran kemudahan sukan dan permainan adalah bebas dari kemungkinan berlakunya
kecederaan kepada murid-murid. Jika kerja pembinaan sedang dijalankan atau terdapat bahan
pembinaan yang dilonggokkan, kawasan tersebut perlu dipagari dan dijadikan kawasan larangan.
Murid-murid perlu diberitahu tentang bahaya di kawasan tersebut.
Peraturan-peraturan dan panduan yang diberi dalam Surat Pekeliling 3/1984, Bil.7/1977,
Bil. 7/1988, Bil 8/1995 dan Bil. 24/1998 berkenaan aktiviti kebudayaan, walkaton, penyertaan
dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia(MSSM), dan penglibatan aktiviti-
aktiviti anjuran agensi kerajaan dan swasta hendaklah diikuti bagi menjamin keselamatan pelajar-
pelajar dijaga dan memastikan persekolahan pelajar-pelajar tidak terjejas.

5. Memastikan Keselamatan Trafik Di Kawasan Sekolah


Pelajar-pelajar sentiasa berada di kawasan sekolah dan mesti dilindungi dari kemalangan
jalan raya.
Terutamanya pada masa sebelum kelas bermula dan masa selepas kelas baru tamat setiap
hari, ramai pelajar akan berkeliaran di merata tempat sekolah.
Pemimpin sekolah perlu mengadakan satu sistem pergerakan trafik yang cekap dan sistem
pengawasan yang sesuai untuk mengelakkan kemalangan berlaku.
Kawasan sekolah biasanya terhad maka adalah baik sekiranya semua kenderaan ibu bapa
dan bas sekolah dilarang masuk ke kawasan sekolah. Mereka dikehendaki mengambil pelajar-
pelajar di suatu tempat yang sesuai di luar kawasan sekolah.

Dalam kes Headmistress, Methodist Girls School & Ors. v. Headmaster, Anglo-Chinese Primary
School & Anor., sebuah bas sekolah telah melanggar seorang murid dalam kawasan sekolah yang
mana jalan-jalannya adalah sempit. Keputusan hakim mahkamah menyalahkan pemandu bas dan
pihak sekolah juga dipertanggung-jawabkan bersama (vicariously liable) kerana membenarkan
bas tersebut memasuki kawasan sekolah tersebut. Ini bermakna pemimpin sekolah perlu
mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan bahawa keadaan trafik di kawasan
sekolahnya adalah selamat untuk semua pihak, khasnya para pelajar.
6. Memastikan Keselamatan Kebakaran Sentiasa Dijaga
Kebakaran sekolah boleh diakibatkan oleh litar pintas, perbuatan jenayah (arson), kerja-
kerja amali di makmal atau bengkel, kecuaian dan lain-lain lagi.
Kebakaran yang berlaku di sekolah boleh mengakibatkan kerugian harta benda sekolah
dan kehilangan nyawa.
Untuk mengelakkan dari dakwaan berhubung dengan kebakaran sekolah, pemimpin
sekolah perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengelakkan berlakunya kebakaran
seperti menubuhkan:
Jawatankuasa Pencegahan kebakaran sekolah;
membuat pemeriksaan rapi terhadap sistem pendawaian elektrik;
mengadakan hari / minggu pencegahan kebakaran; dan
memastikan guru-guru makmal dan bengkel mematuhi prosedur pencegahan kebakaran di
makmal dan bengkel masing-masing.
Semua penghuni sekolah mesti tahu serta bersedia menangani masalah apabila kes
kebakaran berlaku.
Langkah-langkah persediaan menangani keebakaran termasuk memastikan alat-alat pemadam api
dan pencegahan kebakaran dalam keadaan baik dan boleh berfungsi pada setiap masa;
mengadakan demonstrasi memadam kebakaran dan mangadakan fire drill dengan melibatkan
semua murid, guru serta kakitangan sekolah(Rule 49, Schools (General) Regulations, The
Registration of Schols Ordinance, 1950); dan, menyediakan pelan keselamatan kebakaran di
sekolah. Selain daripada itu, pihak sekolah mesti mengawasi sekolah dengan rapi selepas waktu
sekolah untuk menghalang penceroboh masuk yang mungkin mengakibatkan kebakaran sekolah.
Arahan-arahan dan panduan yang diberi dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1978, Bil. 12/1989
dan Bil. 7/2000 hendaklah difahami dan dipatuhi oleh pemimpin sekolah sekolah.
7. Memastikan Keselamatan Sewaktu Membuat Lawatan
Lawatan adalah aktiviti yang penting dalam kehidupan seorang pelajar. Malangnya risiko
yang terlibat dalam lawatan adalah tinggi juga.
Banyak kemalangan seperti terjatuh, kemalangan jalan raya dan mati lemas telah pun
terjadi semasa pelajar-pelajar mengadakan lawatan.
Dalam kes Chen Soon Lee v. Chong Voon Pin, seorang murid sekolah telah mati lemas sewaktu
rombongan murid sedang bermain bola dalam air di tepi laut. Oleh kerana guru besar dan guru-
guru yang berada bersama mereka telah mengambil langkah-langkah pengawasan yang rapi
(beyond reasonable care) pada masa itu, tuduhan kecuaian tersebut ditolak oleh hakim Mahkamah
Tinggi Miri. Jelas dilihat bahawa Pemimpin sekolah bertanggungjawab untuk memastikan guru-
guru tidak cuai dalam penyeliaan aktiviti-aktiviti pelajar semasa lawatan diadakan. Segala langkah
pencegahan berlakunya tradegi mesti diambil untuk melindungi pelajar-pelajar semasa lawatan
diadakan. Selain dari itu, pemimpin sekolah harus memastikan guru-guru dan murid-murid
sekolahnya mematuhi segala undang-undang dan peraturan (Schols (Tours) Regulations, 1957;
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.1/1995) berhubung dengan
lawatan untuk mengelakkan daripada dakwaan dan melindungi pihak sekolah sekiranya tuduhan
dibawa juga ke mahkamah sekiranya sesuatu kemalangan berlaku.

Di antara langkah-langkah pencegahan dakwaan yang boleh diambil oleh pihak sekolah adalah
seperti berikut:

(i) Kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga dan pemimpin sekolah untuk mengambil
bahagian di dalam aktiviti lawatan mesti diperolehi sebelum ianya diadakan.
(ii) Jika lawatan itu diadakan di luar negeri asal sekolah, maka kebenaran dari Pendaftar mesti
diperolehi sebelum lawatan tersebut diadakan.
(iii) Semua lawatan pelajar mesti diiringi oleh guru. Jika ada murid perempuan yang menyertai
lawatan tersebut, maka rombongan tersebut mesti menpunyai guru pengiring perempuan.
Pengawasan oleh guru yang munasabah perlu dibuat sepanjang masa lawatan diadakan.
(iv) Maklumat dan arahan-arahan bertulis yang diedarkan kepada pelajar dan ibu-bapa harus teliti dan
jelas. Terutamanya risiko yang terlibat mesti jelas dinyatakan.
(v) Pelajar-pelajar membuat persetujuan bertulis untuk berdisiplin baik sewaktu lawatan diadakan.
(vi) Pelajar-pelajar diberitahu bahawa mereka perlu bawa keperluan persendirian yang mencukupi
seperti minuman, makanan, alat perlindungan dari cahaya matahari, dan lain-lain.
(vii) Memberi taklimat kepada pelajar dan ibu-bapa tentang lawatan yang akan diadakan.
(viii) Memastikan pelajar dan ibu bapa telah memberi segala maklumat yang penting (misalnya keadaan
kesihatan pelajar) kepada sekolah sebelum lawatan diadakan. Pihak sekolah mesti meminta
maklumat tersebut daripada setiap ibu bapa pelajar secara bertulis.
(ix) Jika perjalanan melibatkan penggunaan kenderaan, pelajar-pelajar mesti diarah untuk memasangkan
tali pinggang keledar pada setiap masa.
(x) Pihak sekolah mesti bersedia untuk mengatasi segala kemalangan yang mungkin berlaku.

8. Memastikan Kebersihan Makanan dan Kesihatan Murid Dijaga


Peraturan Schools (General) Regulations, The Registration of Schools Ordinance, 1950
menghendaki pihak sekolah mementingkan aspek kebersihan, keceriaan dan kesihatan guru-guru,
murid-murid dan kemudahan-kemudahan fizikal sekolah.
Makanan dan minuman yang disediakan atau dibekalkan di kawasan sekolah, sama ada di
kantin, di dapur sekolah atau pun makanan yang dibekalkan dalam Rancangan Makanan
Tambahan dan Program Susu Sekolah, mesti bersih dan sesuai bagi menjaga kesihatan semua
pihak.
Keracunan makanan di sekolah kebelakangan ini telah melibatkan kanak-kanak sekolah
amat membimbangkan. Punca keracunan makanan adalah daripada makanan yang siap masak
dijual di kantin sekolah.

Pemimpin sekolah sekolah perlu memastikan makanan di sekolah selamat digunakan oleh semua
pihak supaya tidak mendatangkan masalah kesihatan seperti keracunan makanan.

Pengurus sekolah perlu mengetahui dan memahami langkah-langkah keselamatan yang


sepatutnya diambil untuk elak insiden keracunan makanan di premis mereka.
Pelajar-pelajar perlu dinasihatkan tentang amalan kebersihan yang perlu untuk menjaga
kesihatan diri sendiri.
Pekerja dan pembekal makanan juga perlu mengamalkan kebersihan diri, alat-alat dan
perkakasan makanan, bangunan dan kemudahan yang digunakan untuk menyediakan
makanan.
Kecuaian pemimpin sekolah sekolah memastikan langkah-langkah kebersihan diambil
boleh mengakibatkan dakwaan yang tidak diingini.
[Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1995, Bil. 5/1988 dan 2/1983 adalah berkaitan.]

Bibligrafi
_________ (2002). Akta Pendidikan 1996 (hingga 25 hb Jun 2007). Petaling Jaya:
International Law Book Services.

_________(1991). Contoh Kes-Kes Tatatertib. Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan


Awam.

Mohd. Ismail Othman (2006). Undang-Undang Untuk Pemimpin Sekolah & Pemimpin
Sekolah. Kuala Lumpur:PTS Professional.

Tie Fatt Hee (2002). Undang-Undang Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit
Fajar Bakti.

http://www.scribd.com/doc/24367278/unit-1-pengenalan-sistem-perundangan-di-malaysia

You might also like