You are on page 1of 3

Melebihi 1000 bulan

Di penghujung Ramadhan, satu lagi anugerah Allah menunggu kita. Khazanah yang amat tinggi nilainya, dinilai melebihi 1000 bulan. Mujahid menceritakan bahawa satu ketika Junjungan s.a.w. mengkhabarkan kisah seorang pahlawan Bani Israil yang berjihad di jalan Allah selama 1000 bulan. Kisah tersebut mentakjubkan para sahabat yang mendengarnya, siapakah yang dapat melakukan sedemikian itu dari kalangan umat yang rata-rata umurnya 60 ke 70 tahun. Namun umat ini amat bertuah kerana umat ini umat Nabi pilihan, Junjungan sekalian alam dan kekasih Allah yang paling dikasihiNya, maka dianugerahkanlah kepada umat ini satu malam yang diberi gandaan lebih baik dari 1000 bulan. Maka bertuahlah umat yang mendambakan kehadiran malam tersebut dan mencarinya penuh kerinduan demi meraih keredhaan Ilahi. Begitu tinggi nilai anugerah Allah tersebut, masakan kita yang mengaku umat Nabi Junjungan sanggup melepaskan peluang keemasan memperolehinya. Jika ganjaran duniawi yang tidak seberapa, bersengkang mata kita menghasilkannya, kenapa kebahagiaan ukhrawi yang kekal abadi dipersia-siakan. Oleh itu jangan lepas peluang keemasan ini.

Naungan Nur Arsy

Almarhum Buya Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki dalam risalahnya mengenai peristiwa Isra` dan Mi'raj yang berjodol "al-Anwaar alBahiyyah min Isra` wa Mi'raaj Khairil Bariyyah" pada halaman 76 menukilkan satu kisah di mana ketika Junjungan Nabi s.a.w. tiba di Mustawa, baginda telah mendengar goresan kalam dan telah melihat seseorang sedang berselindung dalam cahaya 'arsy, yakni mendapat naungan 'arsy. Perkara ini sungguh mengkagumkan baginda s.a.w. kerana Jibril a.s. yang disifatkan Allah sebagai "Syadiidul Quwaa" pun tidak mampu untuk melepasi Sidratul Muntaha ke Mustawa. Justru dari aspek ini, orang tadi telah dikurniakan Allah s.w.t kemuliaan mengatasi malaikat agung tersebut. Junjungan s.a.w. dimaklumkan bahawa orang tersebut bukannya nabi dan bukannya malaikat tetapi dia adalah orang yang sewaktu di dunia memiliki lidah yang sentiasa basah dengan zikrullah, hati yang sentiasa bergantung atau terikat dengan masjid-masjid dan dia sentiasa mentaati kedua ibubapanya serta tidak mendatangkan cemohan dan cacian terhadap mereka. Mudah-mudahan Allah jadikan kita seperti orang tersebut, punya lidah yang sentiasa berzikir tiap saat dan ketika, punya hati yang sentiasa beribadat dan rindu dalam mentaati Allah dan menjadi anak yang sholeh yang menjadi penyejuk mata ayah dan bonda. Ingatlah akan kedatangan hari di mana manusia sejak Nabi Adam a.s. sehingga manusia terakhir dikumpulkan di satu lapangan, bersesak-sesakan menurut kadar amalan masingmasing, matahari pula hanya sejengkal jaraknya dari kepala ........... dan pada hari tersebut tiada naungan melainkan naungan Allah s.w.t. Allahu ... Allah...... berikanlah kami naunganMu.

‫اللهم أظلني تحت ظل عرشك يوم ل ظل إل ظلك‬
Ya Allah, naungilah aku di bawah naungan arsyMu pada hari tiada naungan melainkan naunganmu.

Sholawat Sidi Syamsuddin

Ini adalah sholawat yang dinisbahkan kepada Sayyidi Syamsuddin Muhammad al-Hanafi seorang waliyUllah yang dikatakan memegang maqam Quthub selama 46 tahun 3 bulan. Sholawat ini adalah sholawat ke-40 yang dicatat oleh Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam "Afdhalush Sholawat". Syaikh Yusuf turut menukilkan kisah bahawa Sidi Syamsuddin telah diperintahkan oleh Junjungan Nabi s.a.w. untuk menjadikan sholawat ini sebagai wirid dalam khalwatnya sebelum terbenam matahari. Sholawat ini merupakan antara shighah jami` yang menghimpunkan pahala dan rahsia yang banyak. Kandungannya ialah permohonan kita kepada Allah untuk menggandakan pahala ucapan sholawat dan salam yang kita ucapkan untuk baginda s.a.w. dan ahli keluarga serta para sahabat dengan gandaan yang besar lagi agung, iaitu sebanyak atau seluas ilmu Allah yang tiada kesudahan, baik dari segi bilangan, berat maupun isipadu. Allahu ... Allah.... hanya Allah sahaja yang mengetahui kadarnya.