You are on page 1of 3

Keistimewaan misi satelit RazakSat

Oleh AZMI HASSAN

Beberapa hari lagi rakyat Malaysia akan melalui
detik bersejarah dengan pelancaran RazakSat,
iaitu satelit pertama yang dibangunkan
sepenuhnya oleh kepakaran tempatan. RazakSat
bakal dilancarkan pada 21 April di tapak
pelancar Pulau Omelek, Kwajalein, Republik
Kepulauan Marshall, Lautan Pasifik.

Hari pelancaran dikatakan bersejarah bukan
sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga
kepada pengendali pelancar kerana RazakSat KELEBIHAN teknologi angkasa yang dimiliki oleh satelit RazakSAT memberi
lonjakan kepada kepentingan geostrategik negara.
akan menggunakan roket pelancar Falcon-1
milik Space Exploration Technologies (SpaceX)
yang dimiliki oleh pengasas PayPal Elon Musk.
SpaceX menanti dengan penuh harapan hari
pelancaran kerana RazakSat merupakan satelit pertama Falcon-1 yang akan dilancarkan ke orbit.

Kejayaan RazakSat bukan sahaja bakal menentukan hala tuju program angkasa negara tetapi juga
penentu kepada strategi busines SpaceX kerana selama ini kewujudan SpaceX banyak
bergantung kepada pembiayaan projek oleh Pentagon, Amerika Syarikat. RazakSat merupakan
satelit pertama yang akan dilancarkan oleh SpaceX menggunakan dana pemilik satelit awam
sepenuhnya.

Mungkin ramai rakyat Malaysia mula mempersoalkan keperluan membelanjakan wang dengan
begitu banyak hanya untuk memiliki sebuah satelit di ruang angkasa kerana semenjak dari tahun
2000 ketika program ini mula diilhamkan sehingga ke hari ini sebanyak RM150 juta telah
dibelanjakan.

Selain daripada jumlah wang yang telah dilaburkan, rakyat juga mempersoalkan mengapa masa
yang begitu lama diambil untuk membangunkan sebuah satelit.

Ada yang mempersoalkan keupayaan RazakSat mendapatkan imej beresolusi sehingga 2.5 meter
tersebut tiada apa yang boleh dibanggakan kerana terdapat banyak lagi satelit yang mempunyai
kemampuan jauh lebih baik daripada RazakSat.

Tanpa RazakSat rakyat Malaysia mampu mendapatkan imej daripada agensi Remote Sensing
Malaysia (RSM) atau pun dari sumber lain. Umpamanya pengguna boleh memperolehi imej
satelit Spot-5 kepunyaan Perancis yang mempunyai keupayaan yang serupa dengan RazakSat.

Tetapi imej yang diperolehi melalui RazakSat dijangka boleh dijual dengan harga jauh lebih
murah berbanding dengan satelit sedia ada kerana dua faktor.
Pertama adalah kos RM150 juta untuk membangunkan RazakSat adalah lebih rendah jika hendak
dibandingkan kos untuk memperolehi satelit yang telah siap dibangunkan pihak luar.

Faktor kedua ialah jumlah imbasan yang dapat dilakukan di Khatulistiwa adalah lebih banyak
jika hendak dibandingkan dengan satelit yang lain.

Tetapi pengkritik juga perlu menilai dari perspektif yang lebih adil kerana lompatan kemampuan
teknologi kepakaran tempatan adalah begitu ketara sekali.

Ini adalah kerana satelit TiungSat yang pada ketika ini sudah tidak beroperasi hanya mempunyai
resolusi 75 meter. Lompatan dari kemampuan resolusi 75 meter hingga ke 2.5 meter begitu jelas
menunjukkan peningkatan teknologi dan kepakaran saintis dan jurutera satelit tempatan.

Satu perkara yang paling menarik mengenai RazakSat yang tidak boleh diambil mudah ialah
satelit tersebut merupakan satelit pertama di dunia yang berada pada orbit hampir Khatulistiwa.
Keistimewaan orbit Khatulistiwa adalah RazakSat mampu membuat imbasan pada kawasan
tertentu di Malaysia sebanyak 11 hingga 14 kali dalam masa satu hari.

Kebanyakan satelit Remote Sensing sedia ada (seperti Spot) berada pada orbit polar yang
memberi maksud bahawa imbasan ulangan hanya dapat dilakukan selang beberapa hari. Oleh
kerana kawasan Khatulistiwa sering diliputi awan maka lazimnya imbasan akan ditutupi oleh
awan.

Tetapi dengan beberapa imbasan selama satu hari sudah pasti kelebihan RazakSat membawa
manfaat yang tidak terhingga bukan sahaja kepada Malaysia tetapi semua negara yang berada
dalam lintasan Khatulistiwa.

Sebagaimana Beijing, New Delhi, Pyongyang atau pun Teheran mengunakan pembangunan
teknologi angkasa lepas sebagai kekuatan strategi geopolitik masing-masing, Kuala Lumpur juga
tidak terkecuali dari persepsi sedemikian rupa.

Kekuatan politik merupakan antara faktor penting yang akan menentukan kejayaan cita-cita
angkasa lepas masing-masing kerana tekanan sama ada dalaman atau luaran adalah begitu hebat
sekali.

Cuma perbezaan yang ketara ialah ada negara menggunakan teknologi tersebut sebagai strategi
ketenteraan.

Nama asal RazakSat ialah MacSat kerana mengambil singkatan teknologi optik yang digunakan
iaitu Kamera Aperture Bersaiz Sederhana. Tetapi pada tahun 2003, Perdana Menteri ketika itu
Tun Dr. Mahathir Mohamad menukar MacSat ke RazakSat sempena mengambil nama bekas
Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak bagi mengenang jasa beliau dalam
membangunkan negara sesuai dengan gelaran 'Bapa Pembangunan'.

RazakSat merupakan manifestasi sebenar kekuatan politik Malaysia supaya negara tidak
ketinggalan dalam teknologi angkasa lepas. Ini adalah kerana teknologi ini bukan hanya
merangkumi ruang litup angkasa lepas tetapi yang lebih penting adalah ia memberi kesan
terhadap kepentingan geostrategik negara.

Sememangnya harapan Malaysia adalah untuk membangunkan teknologi angkasa lepas
menggunakan kepakaran tempatan seperti mana yang mampu dilaksanakan oleh Iran. Kejayaan
negara tersebut melancarkan satelit Omid menggunakan pelancar Safir-2 pada bulan Februari
lepas adalah contoh nyata bagaimana kesungguhan membawa kejayaan.

Kepakaran tempatan Malaysia yang berjaya membangunkan RazakSat seberat 150kg tidak boleh
diperkecilkan kerana ia merupakan antara satelit yang ringan bagi kelas satelit kecil.

Memang benar Malaysia perlu berhati-hati dalam melaksanakan program angkasa lepas negara
dan ini termasuklah program membangunkan satelit. Tetapi satu perkara perlu difahami dan
tidak dapat dielakkan ialah peruntukan yang besar adalah diperlukan jika Malaysia serius
menceburi bidang tersebut dan di sinilah kemahuan politik yang kuat memainkan peranan yang
penting untuk menjayakan misi tersebut.

PENULIS ialah Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (CENTEPIS),
Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia