You are on page 1of 1

TEKS UCAPAN MINGGU 30

Tajuk : Keselamatan di Jalan Raya

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Yang Dihormati Puan Guru Besar, Puan
Safiah bt Hj Fadzil, guru-guru sesi petang dan anak-anak murid yang dikasihi
sekalian. Pada tengah hari ini, cikgu ingin menyampaikan ucapan yang bertajuk
"Cara-cara Menjaga Keselamatan Di Jalan Raya".
Saban hari kita mendengar dan membaca banyak berita mengenai kemalangan
jalan raya yang ngeri sehingga mengorbankan banyak nyawa dan pada masa yang
sama ramai yang mengalami kecederaan parah dan kehilangan anggota badan.
Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2014 oleh Universiti Michigan Amerika
Syarikat, negara kita menduduki tempat ke 17 teratas jumlah kematian di jalan raya
di dunia. Kajian oleh MIROS menunjukkan bahawa kebanyakan kemalangan adalah
berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri. Oleh yang demikian
adalah penting setiap dari kita menjaga keselamatan di jalan raya.
Antara cara-cara menjaga keselamatan di jalan raya ialah dengan merancang
perjalanan kita terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana banyak kemalangan
berpunca daripada pemanduan yang terburu-buru dan hendak cepat sampai ke
destinasi. Perjalanan yang tidak dirancang menyebabkan seseorang itu memandu
laju dan secara melulu kerana bimbang terlewat. Jika sesuatu perjalanan dirancang
terlebih dahulu maka seseorang itu boleh memandu dengan tenang.
Selain itu, kita semua sepatutnya mematuhi semua undang-undang dan
peraturan jalan raya. Banyak kemalangan jalan raya berpunca daripada kegagalan
mematuhi undang-undang dan peraturan. Sebagai contoh, kemalangan ngeri selalu
berlaku di kawasan jalan raya yang berselekoh tajam. Ada pemandu yang gemar
memotong kenderaan lain di tempat-tempat sebegini walaupun berbahaya dan
boleh mengundang padah. Mereka tidak menghiraukan papan tanda "Dilarang
memotong" atau garisan berkembar.
Kita juga perlu bertindak bijak sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Kita
sepatutnya memeriksa terlebih dahulu kenderaan kita. Kita mesti memastikan
semua komponen keadaan kita berfungsi dengan baik. Sistem brek, lampu isyarat,
lampu hadapan dan tayar kenderaan kita perlu berada dalam keadaan terbaik
sebelum memulakan perjalanan.
Kesimpulannya, menjaga keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab semua
orang. Jika semua pengguna jalan raya menjaga keselamatan, maka kemalangan
dapat dielakkan. Akhir kata, saya berharap murid-murid SK Convent Muar dapat
menjaga keselamatan di jalan raya .